Wednesday, 21 February 2018

Dari Bukit Batu Putih ke Monkey Bay

Aktiviti hari Ahad lalu, ke Hutan Rekreasi Tanjung Tuan lagi...
Tanjung Tuan ni berstatus hutan simpan, hutan yang dipelihara. Sebab tu saya suka ke sini, sebab nak menikmati hutan tapi dalam keadaan yang lebih selamat. Nak mendaki gunung, rasa macam tak mampu pulak. Dah terlalu lama tinggalkan aktiviti mendaki gunung. Dan paling penting, lokasi ini tak jauh dari rumah.

1. Inilah perkara yang membahagiakan saya, berjalan di tengah hutan. Memerhati keunikan setiap pokok - daun, dahan, batang dan akar semuanya menarik bagi saya. SubhanAllah!

Kali ni kami ke Bukit Batu Putih, untuk kali kedua. Trek di sini agak mudah dilalui dan jelas, tak bimbang nak berjalan walaupun cuma berdua dengan suami. Sesekali berselisih dengan pengunjung lain, saling bertukar senyuman atau ucapan salam. 

2. Alhamdulillah! Tak sampai 30 minit perjalanan dari pintu masuk Hutan Rekreasi, kami tiba di puncak bukit. Kali ini, saya berani berdiri sebab kawasan batu ni agak lapang dan mendatar. Tak seperti masa pergi pertama kali, terpaksa ke kawasan batu yang curam sebab ramai pengunjung lain di kawasan ni. 

3. Bunga yang banyak di kawasan ni. Cantik!

4. Perkara yang menyakitkan mata saya - melihat botol air di buang merata dan contengan di batu. Kawasan puncak ni tak luas pun, dan semuanya memang batu-batu je. Banyak jugak batu-batu yang diconteng. Zaman dah moden, nak abadikan kenangan bukan dengan tulis atas batu, tapi ambil gambar jelah. Lain la zaman batu, takde alat lain terpaksa tulis kat batu. Zaman sekarang ni, tulis nama kat batu - batu nisan je kot!


Ke Monkey Bay

Masa turun dari puncak bukit ni, baru ternampak ada laluan lain (sebelah kanan, sebelum naik puncak bukit). Bukan laluan masa kami datang tadi. Berbual dengan kumpulan pengunjung lain, katanya tu laluan melalui pantai (yang dipanggil Monkey Bay). Disebabkan ada geng, kami pun cuba guna laluan tersebut. 

Rupa-rupanya laluannya lebih mencabar berbanding trek biasa masa kami datang tadi. Laluan curam, banyak bergantung kepada bantuan tali yang telah disediakan. Beberapa kali jugak nak tergelincir. Memang tak sempat lah nak memerhati alam dan mengambil gambar. 😅

5. Segala kepenatan hilang sebaik je nampak pemandangan ni di hadapan mata! Pantai yang cantik. Kami berhenti seketika untuk menikmati keindahan di sini dan mengambil gambar. 😍

6. Nampak batu berwarna putih tu? Itulah puncak Bukit Batu Putih tadi. Jika tadi saya berada di atas sana dan nampak pantai ni dari atas. Sekarang saya berada di pantai tersebut. Seronok rasanya!

7. Salah satu lokasi yang seronok untuk melepak dan cantik untuk ambil gambar. Terima kasih pada siapa yang dah buat buaian ni, memang memberi nilai tambah untuk pantai ni.

Selesai di sini, perjalanan perlu diteruskan. Kami masih bersama kumpulan pengunjung tadi, rasa lebih selamat meredah laluan buat pertama kali jika ramai-ramai. Untuk meneruskan perjalanan, ikut laluan yang ada sebelum pokok besar di atas. Seperti laluan ke pantai yang curam untuk menurun tadi, laluan seterusnya juga tak mudah. Memang betul-betul mengerah fizikal dan mental saya. Mencungap! 😅

Alhamdulillah akhirnya selamat sampai di jalan utama (bertar). Terus menuju pondok rehat berhampiran, terduduk kepenatan di situ. Sempat berbual dengan seorang kakak yang bersama kami sejak dari puncak Bukit Batu Putih tadi, katanya dia biasa guna laluan tadi sebab lebih mencabar. Dan ada laluan lain juga kalau nak lebih mencabar (sambil menunjuk ke suatu arah). 

8. Sebagai tanda, kalau lain kali nak ikut laluan tadi bolehlah cari pondok rehat dan tiang elektrik yang ni. Dari pintu masuk, ia terletak di sebelah kanan. Selepas tiang ni akan nampak laluan yang agak curam ke bawah. 


...nampaknya memang banyak laluan yang ada di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan ni. 
Insya Allah bolehlah cuba lain kali pulak...

Wednesday, 14 February 2018

JAKARTA, Indonesia : Jalan-Jalan Cari Makan

....menyambung kembali catatan yang terhenti lama. Bukan senang nak menyeru semangat menulis nih. 

Kalau ikut minat saya, JJCM bukanlah apa yang saya suka. Saya lebih suka melihat alam semulajadi (ecotourism). Tapi Jakarta bukanlah tempatnya, Jakarta untuk orang yang suka shopping dan suka makan-makan.  Okey, jom ikut saya jalan-jalan cari makan di Jakarta! 


Natrabu Minang Restaurant

Restoran ni terletak di Jl. H Agus Salim. Jom masuk... 

Rekaan dalaman restoran yang menarik! 
Ada pelamin kat hujung tu, bolehlah kalau nak berangan bersanding dengan pelamin Minang. Hehe..
Nak solat? Musolla ada kat sebelah kanan, keluar pintu kaca dan naik ke tingkat atas.
Tandas pulak kat sebelah kiri. Tandasnya bersih dan lengkap keperluan. 


Restoran Minang memang ginilah cara hidang. Letak kat meja kita bermacam-macam lauk, apa yang kita makan je akan dikira. Air teh tu pun dihidang tanpa kita minta. Air tehnya sedap, tak manis tapi terasa menyegarkan bila diminum. 

Kiri - sedap lauk daging ni! Rangup. Siap mintak sepiring lagi. 
Kanan - pertama kali cuba jus durian. Okey jugaklah..

Siap makan, jomlah kita naik pelamin!
Ini jelah gambar yang paling elok sebab nampak keseluruhan pelamin. Walaupun makcik dalam gambar tu nampaknya belum bersedia, baru nak betul-betulkan baju. Hahaa...yang penting nak tunjuk pelamin Minang ni.

* Kos makan-makan kami berdua di sini - Rp. 187.000


Sate Khas Senayan

Malam...makan sate pulak. Kami ke restoran Sate Khas Senayan.

Terasa macam buruk perangai pulak, punyalah banyak makanan cuma untuk dua orang! Ni kes silap pertimbangan masa buat order. Patutnya order sikit dulu, tak cukup baru tambah lagi. Terpaksalah sendatkan perut menghabiskan semua ni. Rasa sate di sini? Okey, sedap jugaklah. Tapi saya masih terkenang-kenang rasa sate Padang di Pekanbaru. 

Satu hidangan ni je pun dah cukup kenyang, semua lengkap. 
Rasanya? Agak tak kena dengan selera saya. Biasa-biasa aje. 

Try makan keropok kulit lembu. 
Tak reti nak cerita rasa dia. Tapi bolehlah sekadar nak merasa, nak mengulang tak kot. Haha..

* Kos makan-makan kami di sini - Rp. 326.700


MM Juice

Insaf sebab makan terlampau banyak kat restoran Sate Khas Senayan malam tadi, hari ni kami makan ringkas je. Order bihun goreng, nasi goreng dan otak otak bakar ni. 

Otak otak ni bukan macam kat Malaysia, yang ni warna putih. Dimakan bersama kuah kacang (takde dalam gambar). Yang ni memang sedap! Makan panas bersama kuah kacang yang rasanya tak sama macam kuah kacang kita. 

Sekali lagi...order jus durian (air warna putih). 
Jus durian kat MM Juice ni lebih sedap dan lebih rasa berbanding di restoran Natrabu. 

* Kos makan-makan kami di sini - Rp. 220.000

-----------------------------------------------------------------------------------------------------
Nampaknya kos makan-makan di restoran Jakarta tidaklah murah. Sebelum ni, saya ingat murah sebab nilai matawang kita yang lebih baik. Mungkin murah kalau makan di kedai kecil atau membeli dari peniaga kereta tolak di pinggir jalan (yang ni saya belum cuba). Tapi kalau kos pengangkutan, memang saya rasa murah. Ini sekadar hasil pemerhatian saya yang cuma dua hari berkunjung ke Jakarta. 

...tamat sudah catatan Jakarta...

Friday, 2 February 2018

JAKARTA, Indonesia : Car Free Day

Pagi hari kedua (terakhir) di kota Jakarta, hari Ahad...

1. Saya memerhati di luar tingkap bilik hotel, pemandangan tidak seperti hari semalam. Jalan raya yang sebelumnya sentiasa dipenuhi kenderaan, menjadi lengang pagi ini. Yang kelihatan, orang semakin ramai mengisi ruang jalan raya. Para peniaga juga mula membuka jualan di tepi-tepi jalan raya ini. Satu-satunya kenderaan bermotor yang kelihatan melalui jalan ini - bas berwarna merah tersebut. Bas Transjakarta mempunyai laluannya tersendiri, tidak mengganggu jalan raya yang makin meriah dengan orang ramai.

Rupanya hari ini adalah 'Car Free Day' di Jakarta. Untuk lokasi ini, Car Free Day berlangsung setiap hari Ahad dari jam 6-11 pagi. Jam 6 pagi di sini terang macam jam 7 pagi di Semenanjung Malaysia. (Gambar di atas di ambil sekitar jam 6.30 pagi waktu tempatan)


2. Selepas bersarapan di hotel, kami keluar untuk merasai suasana Car Free Day di sini. Kat Malaysia pun tak pernah join tau! Pertama kali. 😄

Beginilah suasana di luar bangunan hotel. Kaki-kaki lima bangunan kedai dipenuhi dengan jualan makanan/barangan. Tiada kereta lalu lalang, cuma motor masih bergerak seperti biasa. Tapi ni bukanlah di jalan raya utama seperti gambar no.1, ni jalan kecil di hadapan bangunan hotel kami tinggal. Hotel kami berada di deretan kedai.


3. Kami berjalan ke hadapan lagi, sepanjang jalan dibanjiri dengan orang ramai yang sedang menjamu selera dan aktiviti jual beli yang sedang berlangsung. Memang terasa meriah!


4. Dari jalan kecil tadi, kami menyertai orang ramai di jalan raya utama. Ada yang berjalan kaki, ada yang berlari, ada yang berbasikal, dan ada yang bersantai sambil membeli pelbagai jualan yang ada di tepi-tepi jalan raya ini. Ada juga peminta sedekah dan pengumpul dana dengan pelbagai gaya untuk menarik perhatian orang ramai. Suasana meriah dan menghiburkan! 

5. Memang seronok rasanya bila dapat bersantai di jalan raya yang biasanya sesak dengan kenderaan! Nun sejauh mata memandang, lautan manusia membanjiri jalan raya.


6. Masa jalan-jalan, tertarik nak rasa makanan ringan ni - GULALI. Rupa-rupanya, yang warna kuning coklat macam tali tu rasanya sama macam gula kapas kita. Ke memang ada kat tempat kita, tapi saya yang tak perasan? 👀 



...catatan seterusnya (terakhir) - JJCM Jakarta...


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...