Showing posts with label Negeri Sembilan. Show all posts
Showing posts with label Negeri Sembilan. Show all posts

Thursday, 11 September 2025

Meraikan 35 Tahun Persahabatan di Serenity At Port Dickson, Port Dickson

REUNION KALI KE-4
Acara reunion bersama kawan-kawan sekolah menengah (perempuan sahaja) diadakan setiap tiga tahun sekali, kali ini berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan tema pakaian warna coral.

Selama dua hari satu malam (tiga hari dua malam bagi para AJK dan kawan yang berkesempatan datang awal) kami berkumpul di Serenity At Port Dickson - sebuah banglo dua tingkat di tepi pantai. Kami melakukan pelbagai aktiviti bersama, ceria gembira penuh gelak ketawa. Masa seolah-olah terhenti dan terasa kembali ke zaman remaja - ketika menjalani kehidupan sebagai budak asrama. 
Cap jari tanda hadir. Lebih 40 orang berkesempatan hadir pada reunion kali ke-4 ini.

Ada yang datang dari Pahang, Perak, Kedah dan paling jauh dari Manila, Filipina - terbang pulang khusus bagi meraikan 35 tahun persahabatan kami. Saya sendiri melalui perjalanan sejauh kira-kira 600 km dari negeri paling utara di Semenanjung Malaysia.

Setiap orang dapat sebuah tote bag cantik ni sebagai tanda kenangan reunion. Di dalamnya terdapat pelbagai cenderamata kecil lain, termasuk sehelai baju untuk dipakai pada waktu malam.

Aktiviti bermula kira-kira pukul 11 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden, seterusnya cabutan bertuah - cabutan dibuat beberapa kali sepanjang hari sehingga malam. Oleh kerana ramai yang bermurah hati menaja hadiah cabutan bertuah, maka setiap orang berpeluang dapat lebih dari sekali cabutan.

Sesi fotografi di luar - berfoto ramai-ramai dan kemudian berfoto ikut kelas. Tiada sesi fotografi di pantai kerana nampaknya ada banyak jentera sedang melakukan kerja.

Masa untuk makan! Antara menu makan tengah hari yang disediakan - daging salai masak lemak cili api dengan pucuk ubi, ayam goreng berempah dan sambal udang. Sedap semuanya, tambahan pula bila makan semeja dengan kawan-kawan yang sesekali dapat berjumpa - makan sambil berborak.

Lepas makan, kami diberi masa untuk berehat/menunaikan solat Zohor.

Pukul 2.45 petang bermula aktiviti sukaneka. Kami dibahagikan kepada lima kumpulan. Terdapat lima jenis permainan dengan setiap permainan cuma memerlukan dua hingga lima orang saja. Ada permainan yang sesuai untuk mereka yang sihat fizikal dan ada permainan yang sesuai untuk mereka yang ada masalah kesihatan. Pendek kata, semua berpeluang melibatkan diri.

Permainan paling menguji fizikal - ‘Charlie Chaplin’ iaitu berlari/berjalan laju dengan memakai kain batik sambil kepit bola dan tangan pegang payung. Bermacam-macam aksi lucu dapat dilihat ketika ini, memang tak kering gusi ketawa!

Selepas penat bermain, kami diberi masa untuk berehat/menunaikan solat Asar. Kemudian aktiviti diteruskan dengan acara bertukar-tukar hadiah - setiap orang perlu bawa hadiah bernilai minima RM50, pertukaran hadiah menerusi cabutan nama. Nak bertukar hadiah pun penuh gelak ketawa, ada saja bahan usikan.

Solat Maghrib dilakukan secara berjemaah dan diikuti dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan tazkirah ringkas sementara menunggu waktu Isyak. Suasana begini mengimbau kenangan kehidupan di asrama.

Makan malam kami dihidangkan dengan nasi goreng Cina, kambing & ayam panggang serta hidangan sampingan lain.

Kek sempena 35 tahun persahabatan. Bukan saja nampak cantik tapi rasanya sangat sedap!

Awalnya saya menolak makan kek ni sebab perut dah kenyang makan hidangan malam, tapi kawan yang menghulur kek minta cuba dahulu. Jadi saya ambil juga dan berkongsi makan dengan seorang lagi kawan. Bermula dengan suapan pertama, saya mampu habiskan sepotong kek. Tak pasti ni kek apa tapi rasanya seperti kek chocolate indulgence, sedap dimakan selepas disimpan dalam peti sejuk. Kesedapan kek ini menjadi antara perkara yang kami bualkan sampai ada kawan yang nak menempah.

Sambil makan kek, cabutan bertuah berlangsung.

Cabutan bertuah kali kedua untuk saya yang disampaikan oleh Presiden yang baru dilantik. Tujuan sebenar saya letak foto ini kerana nak mengabadikan memori menggayakan baju kami pada malam tersebut. Semoga Allah murahkan rezeki kawan kami yang menaja baju batik lukisan tangan dari Kelantan ini. Cantik coraknya dan materialnya lembut selesa.

Aktiviti akhir - acara penyampaian hadiah sukaneka, hadiah penghargaan khas dan cabutan bertuah. Walaupun muka masing-masing keletihan tapi suasana riuh-rendah dengan usik-mengusik.

Aktiviti berakhir hampir pukul 11.30 malam. Saya terus balik ke bilik, membersihkan diri dan bersiap untuk tidur. Ada juga kawan-kawan yang tak terus tidur - bersembang, memakai inai.

Entah pukul berapa saya terjaga dek bunyi tingkap dan pintu kaca bergegar. Nampaknya hujan lebat berserta angin kuat. Lucunya, hanya saya dan seorang kawan yang tersedar kejadian tersebut. Lagi empat orang tidur tak sedar diri gara-gara terlampau letih!

Esok paginya - kami menunaikan solat Subuh berjemaah, diikuti dengan bacaan al-Ma’thurat dan seterusnya sesi perkongsian oleh seorang kawan. 

Kami makan sarapan dan mengemas homestay seperti sedia kala sebelum masing-masing beredar meninggalkan tempat yang telah merakam memori indah reunion kami.


SERENITY AT PORT DICKSON, PORT DICKSON
Oleh kerana saya hanya berkesempatan hadir pada hari kedua - iaitu hari berlangsungnya reunion, maka tak banyak foto sudut banglo yang dapat saya rakam. 

Bahagian belakang banglo yang menghadap pantai. Terdapat sebuah kolam renang bersaiz besar dan laman luas sesuai untuk aktiviti sukaneka. 

Ruang rehat di tingkat atas, seronok kalau dapat berehat di tempat begini tapi kami tak sempat pun nak duduk berborak di sini.

Terdapat lima buah bilik tidur lengkap dengan bilik air. Sebuah bilik tidur di bawah dan empat buah bilik di tingkat atas.

Saya menginap di bilik no. 3 bersama lima orang kawan. Dalam bilik kami terdapat sebuah katil besar dan satu katil single dengan pull out bed di bawahnya. Saya dan seorang lagi kawan tidur di lantai - saya lebih suka tidur pakai sleeping bag yang dibawa dan kawan saya tidur beralaskan tilam tambahan. Dah lama saya tak tidur ramai-ramai dalam satu bilik, rasa seronok dan dapat tidur lena walaupun tidaklah begitu selesa.

Secara keseluruhannya, Serenity At Port Dickson menawarkan penginapan yang bersih dan selesa. Paling menarik sebab lokasinya di tepi pantai. Cuma ianya kurang mesra bagi orang sakit lutut sebab akses masuk rumah ada tangga.


PERGI SATU BEG, BALIK BERBEG-BEG!
Terkejut Encik Suami sewaktu mengambil saya - pergi cuma bawa satu beg tarik tapi masa balik sampai tak cukup dua tangan nak pegang barang.

Barang-barang yang diterima hasil - bertukar hadiah, tiga kali cabutan bertuah, hadiah sukaneka, hadiah dalam tote bag dan oleh-oleh dari Filipina. Bukanlah banyaknya hadiah yang diharapkan, semuanya sekadar suka-suka bagi memeriahkan pertemuan kami.

*

Alhamdulillah…terima kasih Allah atas kesempatan buat saya berkumpul bersama kawan-kawan zaman remaja. Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa saya gembira dapat bertemu dengan kawan-kawan yang dikenali sejak kami berusia 12 tahun. Dah cukup kenal perangai masing-masing yang nampaknya tak jauh berubah sejak kali pertama bersua.

InsyaAllah panjang umur dan ada kesempatan, kami akan kembali bertemu pada usia 50 tahun. Kami dah siap berbincang berkenaan reunion gaya orang tua - homestay tiada atau minima tangga, tempat berkumpul ada banyak kerusi dan makanan lembut sesuai gigi orang tua. Lucu tapi inilah hakikatnya - masa muda kami kian berlalu.







Friday, 27 October 2023

Rumah PP - Rumah NS - Rumah P

[Catatan 19 - 23 Oktober 2023]

Agak lama saya tak mencoret di blog ini. Sebenarnya banyak yang nak dicatat, tetapi cukuplah sekadar beberapa keping foto di bawah dan catatan yang cuba saya ringkaskan sebagai satu kenangan hidup.


BALIK RUMAH NS
Encik Suami ada urusan di Selangor pada pagi Jumaat, jadinya lewat petang Khamis kami bertolak dari rumah PP menuju ke rumah NS. Perjalanan kami mengambil masa hampir 7 jam dalam keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan.

19 Oktober 2023 | 6.20 petang.
Pemandangan yang indah di mata saya, suasana berkabus tebal di Lebuhraya Utara-Selatan laluan Kuala Kangsar menuju ke Ipoh.

20 Oktober 2023 | 11 pagi
Hampir 4 bulan tak menjenguk rumah NS, banyak kerja pembersihan perlu saya lakukan di dalam dan di luar rumah. Dahan pokok bunga Cempaka Kuning depan rumah yang hampir menutupi nombor rumah kami perlu dipangkas. Saya buang dahan yang kecil jelah, kalau dahan besar kena tunggu Encik Suami buat. Pokok bunga Cempaka Kuning ini ditanam oleh pemaju. Bunganya berbau wangi, kalau waktu malam lebih kuat baunya sehingga ada yang fikir bukan-bukan 👻

Waktu petang selepas Asar, saya ke rumah jiran di lorong yang sama. Dapat berkumpul bertiga dengan jiran selorong pun dah cukup rasa seronok. Macam-macam kami bualkan sampai hampir waktu Maghrib barulah balik rumah. Saya kenal mereka ni sejak sama-sama berpindah masuk rumah baru, iaitu sekitar tahun 2014. Memang dah rasa mesra dan rasa bebas berbual macam saya jumpa kawan zaman sekolah. Terima kasih Allah atas ukhuwah ini ❤️

Nilai 3 Wholesale Centre
21 Oktober 2023 | 11.10 pagi
Hari Sabtu, saya dan Encik Suami ke Nilai 3 Wholesale Centre yang berjarak sekitar 6.6 km saja dari rumah kami. Kami ke sini untuk menempah langsir sliding door dan membeli bidai tingkap jenis Zebra untuk rumah di tempat baru nanti. Alang-alang ada urusan dan perlu balik rumah NS, bolehlah kami ke sini. Kalau tak, kami rancang nak beli saja di Kedah atau Perlis.


KEMBALI KE RUMAH PP

22 Oktober 2023 | 7.40 malam
Biasanya jika kami bertolak ke utara pada waktu pagi hari Ahad, trafik lancar kerana tiada deretan kenderaan berat dan tiada kerja baik pulih jalan pada hari cuti hujung minggu.

Tetapi kali ini kami bertolak waktu petang, pergerakan trafik perlahan di kebanyakkan tempat. Mungkin sebab ramai yang memilih bergerak lewat petang atau malam dan ditambah dengan keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan. Kami sampai rumah PP menghampiri waktu tengah malam. Letih sungguh.


PERSIAPAN PINDAH MASUK RUMAH DI TEMPAT BARU
Sebelum ini, dah dua kali kami berkunjung ke rumah di tempat baru untuk melihat keadaan rumah dan ambil ukuran sliding door serta tingkap. Kali ini kami datang untuk membuat persiapan masuk - nak buat kerja pembersihan rumah serta memasang langsir dan bidai.

Klippa Shopping Centre
23 Oktober 2023 | 2.30 petang
Kami ke IKEA Batu Kawan di Klippa Shopping Centre untuk membeli rod langsir sliding door. Lepas tu ke MR. DIY untuk membeli peralatan pembersihan. Kali ini kami bakal masuk rumah yang dah berusia puluhan tahun, memang berbeza dengan kerja pembersihan masuk rumah yang betul-betul baru.

Barang yang diperlukan semua dah cukup, kami pun bertolak menuju ke rumah di tempat baru…

Perlis
Insya Allah mulai bulan November kami akan berhijrah ke negeri Perlis. Berdebar rasanya nak ke tempat baru, suasana baru dan menghadapi cabaran hidup baru.

Perasaan saya berbelah bagi antara rasa seronok (kerana kehidupan saya akan lebih dekat dengan keindahan alam semula jadi) dan berat hati (atas beberapa sebab yang tak dapat saya nyatakan secara umum di sini). Apa pun, takdir Allah yang membawa saya ke sini maka kepada-Nya jua saya panjatkan doa memohon dipermudahkan segala urusan dan moga saya dapat sesuaikan diri menjalani hidup di tempat baru.







Monday, 20 March 2023

Kelazatan Masakan Tradisi Negeri Sembilan di Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai

[Catatan kisah hari Selasa, 14 Mac 2023]

Dulu semasa menetap di rumah NS, agak kerap kami makan di Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai. Pada tahun 2019, saya pernah catatkan di blog mengenai tempat makan kegemaran kami ini DI SINI

Selepas itu pada tahun 2020, pandemik COVID-19 melanda dan pada masa yang sama kami berhijrah ke utara tanah air. Tahun demi tahun (sewaktu berkesempatan balik ke rumah NS), ada beberapa kali kami datang. Tapi setiap kali tu tak ada rezeki makan di sini - sama ada pelanggan terlampau ramai pada hujung minggu, restoran tak beroperasi atau kami datang terlampau awal untuk waktu makan malam (tak dapat menunggu, kami perlu meneruskan perjalanan).

Alhamdulillah pada hari Selasa lalu, dapat juga kami kembali ke sini untuk ‘melerai rindu’ pada makanan kegemaran kami. Kami menjadi pelanggan pertama melangkah masuk ke restoran ini sebaik pintu dibuka pada pukul 5.40 petang untuk sesi makan malam (tempat ini dibuka dua sesi iaitu waktu makan tengah hari dan makan malam).

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Tak lama lepas kami duduk, datang beberapa kumpulan pelanggan lain. Kami pernah cuba datang pada hari hujung minggu, tempat ini meriah dengan pelanggan dan tak ada meja kosong. Terpaksa keluar dengan rasa kecewa.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Aunty Aini’s Garden Cafe menawarkan suasana tempat makan yang santai dan tenang dikelilingi tumbuhan hijau.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Buku menu. Ada perubahan harga. Maklumlah, dah bertahun tak ke sini.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Masih seperti dulu, kami memesan minuman ais kosong dan peach tea. Kali ini peach tea terasa lebih manis. Entah memang betul kali ini terlebih manis, atau deria rasa kami yang semakin meningkat usia ni jadi lebih sensitif 😄

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Lebih kurang 15 minit menunggu, hidangan kami tiba. Dua jenis lauk kegemaran (hampir setiap kali datang, yang itu jugak kami makan) dan dua jenis lauk yang baru pertama kali kami cuba makan. Dah bertahun tak dapat makan di sini kan, itu yang rasa macam nak kena makan lebih 😁

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api kupang - RM19.50. Sebenarnya kami nak makan gulai lemak cili api telur itik (satu lagi lauk kegemaran kami di sini), tapi habis pulak. Jadi kami tukarlah kepada lauk kupang ni, mencuba buat kali pertama. Sedap dan lembut isi kupang.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api cendawan kukur - RM11. Juga kali pertama mencuba.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Gulai lemak cili api daging salai - RM16.50. Inilah lauk kegemaran kami. Masih seperti dulu, sedap dan lembut dagingnya.

Aunty Aini’s Garden Cafe, Nilai
Kerabu pucuk paku - RM10. Juga lauk kegemaran kami.

Alhamdulillah…sangat memuaskan selera. Hampir licin pinggan habis kami makan semuanya, kecuali pinggan lauk kupang dan cendawan kukur masih bersisa kuah masak lemak cili api.

Kagum saya bagaimana mereka berjaya mengekalkan rasa lazat yang sama bertahun lama. Kadang tu kan kita pergi kedai makan, hari ini sangat sedap, datang lagi dah lain pulak rasanya.

Ada satu perbezaan yang kami perasaan, masakan lemak cili api kali ini dah berkurang kadar pedasnya. Kalau dulu kami makan sampai hidung berair. Kali ni tak lagi, kami makan dengan lebih selesa. Saya lebih suka kadar pedas begini.

Selain lauk-pauk, kami juga gemar kuih lepat pisang di sini. Tapi bukan selalu lepat pisang ni ada dijual. Biasanya kalau ada, kami akan membeli lebih. Macam kali ni, tak ada rezeki kami nak makan lepat pisang. Ada pilihan kuih lain, kami beli juga untuk mencuba. Tetap jua lepat pisang menjadi kuih paling sedap di sini.







Friday, 25 February 2022

Gempa Bumi Lemah di Pagi Jumaat

Sarapan Pagi Menu Johor
Pagi tadi sebelum pergi bekerja, encik suami keluar membeli sarapan pagi kami di sebuah kedai yang menghidangkan menu Johor. Selain nasi lemak, mereka jual sate, lontong, kacang pool dan mi bandung.

Pilihan saya - lontong biasa. Dah ada telur rebus separuh biji, encik suami tambahkan pula telur mata. Sedap rasanya, kena dengan selera saya. Saiz hidangan sederhana, tak sikit sangat dan tak terlampau banyak.

Pilihan encik suami - mi bandung daging. Pun sedap dan kena selera kami. Ikutkan, dua-dua menu ni saya suka. Tapi biasanya kami ambil menu berbeza, boleh kongsi dan merasa dua masakan berbeza.


Gempa Bumi Lemah
Selepas sarapan bersama di rumah, encik suami keluar bekerja. Selesai kemas itu ini di bawah, saya naik ke bilik di tingkat atas. Duduk di hujung katil yang sudah pun dikemas, pegang handphone dan melayan media sosial.

Tingkap bilik yang dibuka.
Sejak dari awal pagi saya buka kedua-dua tingkap yang ada di bilik untuk aliran masuk udara segar. Tiada tiupan angin, tenang saja. Tetapi semasa saya sedang duduk di katil tadi, tiba-tiba saya terasa hembusan angin masuk menerusi kedua-dua tingkap. Bidai tertolak sedikit dek hembusan angin.

Sejurus selepas itu, saya rasa katil yang saya duduki bergoyang. Hairan. Biasanya kalau ada lori besar lalu depan rumah, memang terasa rumah seperti bergegar. Tapi bukan katil yang bergegar atau bergoyang. Kejadian ni berlaku cuma beberapa detik. Selepas itu kepala saya terasa pening. Saya mula rasa keliru, eh tadi betul ke katil bergoyang atau kepala saya yang pening jadi rasa bergoyang?

Saya tunggu beberapa ketika kot kejadian tadi berulang (untuk memastikan bahawa saya tidak berkhayal). Tiada apa yang jadi. Keadaan tenang-tenang saja. Saya pun letak handphone, bangun bertukar tempat duduk di kerusi dan mula menyelak lembaran buku pula. Saya pun tak faham kenapa saya buat tindakan begitu 😅

Selesai membaca beberapa bab pendek, saya ambil semula handphone dan buka WhatsApp. Oh, rupa-rupanya kejadian yang saya alami tadi adalah gempa bumi lemah! Ya Allah, tak terfikir langsung. Ada jiran yang turut sama merasa gegaran lemah tersebut, tetapi ramai juga yang tak perasan bila ia berlaku. Adik saya yang bekerja di Bangi pun turut sama terkesan, bangunan pejabatnya segera dikosongkan. Kakak saya yang berada di Pontian pun dapat merasa gegaran tersebut, tapi dia fikir sebab tak cukup tidur menjaga anak kecil yang tak sihat.

Gempa bumi
Info dari page Fb Malaysian Meteorological Department.

Peta menunjukkan kadar kekuatan gegaran yang dirasai di Indonesia dan Malaysia.

Sekitar pukul 12 tengah hari tadi, berlaku gempa bumi kedua dengan ukuran 4.9 pada skala Richter. Tidak sekuat yang pertama pada pagi tadi. Katanya cuma dirasai di Lembah Klang.

Satu pengalaman buat saya, balik rumah NS dapat ‘merasa’ gempa bumi. Walaupun cuma gegaran lemah, tetapi yang sedikit dan sekejap begitu pun dah menjejaskan diri (rasa pening kepala). Entah bagaimana mereka yang berada di pusat gempa. Sesungguhnya pada setiap kejadian ada sesuatu untuk kita fikir dan ambil pelajaran.




Monday, 3 May 2021

Rendang Maman - Makanan Tradisi Gemencheh

Memori Ghondang Maman dan Monceh
Sekitar tahun 2003 - 2005 saya menetap di Gemencheh, Negeri Sembilan. Gemencheh atau dalam loghat tempatan disebut Monceh. Suatu tempat yang belum pernah saya kunjungi sebelumnya. Takdir membawa saya dan suami ke Monceh atas sebab pekerjaan. Banyak pengalaman baru juga kenangan sepanjang saya menetap di sana. Emm...terus terasa nak menulis kisah lalu, sekadar untuk mengabadikan memori dalam bentuk penulisan. Tapi kena ‘korek’ gambar lama dululah untuk menyorot memori lalu tu.

Berbalik kisah Rendang Maman atau dalam loghat tempatan Ghondang Maman. Sebelum saya tinggal di Gemencheh, saya memang tak pernah tau kewujudan Rendang Maman. Walaupun sebelumnya saya pernah menetap selama 5 tahun di Negeri Sembilan (lebih tepat di asrama sekolah di Labu). Mungkin sebab saya tak pernah satu dorm dengan kawan-kawan yang berasal dari Gemencheh. Rendang Maman ni merupakan makanan tradisi Gemencheh, dihasilkan daripada daun maman.

Kali pertama saya merasa Rendang Maman ni apabila jiran depan rumah (sewaktu menetap di Gemencheh), seorang kakak yang baik hati datang ke rumah saya dan menghulurkan satu bekas Rendang Maman air tangannya. Pertama kali masuk ke mulut, err...saya rasa agak pelik dengan rasa daun maman. Dan ada la sikit rasa pahit. Tapi lepas cuba jugak makan dan habiskan, perasaan pelik tadi bertukar jadi suka. Hehe. Kakak jiran depan rumah tu pulak rajin beri Rendang Maman, memang suka sangatlah saya.

Pencarian Rendang Maman...
Selepas berpindah keluar dari Gemencheh, saya tak lagi dapat merasa Rendang Maman. Pernah beberapa kali jumpa dan beli di ekspo makanan atau pasar pagi di Negeri Sembilan, tapi kecewa sebab rasanya tak menepati selera. Tak sama seperti hasil air tangan kakak jiran depan rumah di Gemencheh.

Sehinggalah sebelum Ramadan baru-baru ini, seorang kawan sekolah saya (berasal dari Gemencheh) membuka jualan Rendang Maman hasil air tangan orang kampungnya. Memang pantas la saya buat pesanan bila dia kata boleh pos. Asalnya dia jual dalam bekas plastik je, tapi demi memenuhi permintaan orang jauh seperti saya maka dia buatlah juga dalam pek aluminium foil.

Alhamdulillah...diterima dalam keadaan baik. Teliti pembungkusannya, siap masuk dalam plastik, kemudian ‘bubble wrap’ dan bungkus pula dengan kertas surat khabar. Servis pihak kurier pun pantas - pos semalam, hari ni sampai.

Saya beli Rendang Maman ayam dan daging. Nak cuba tiap satu. Harga RM16 / pek, berat 230 gram setiap pek. Caj pos 2 pek ni RM10.

Satu pek Rendang Maman dapat banyak gini. Alhamdulillah...sedap! Memang inilah rasa yang saya cari. Rendang Maman dimakan bersama nasi panas ni dah cukup membuka selera. Seronok rasanya dapat jumpa rasa yang saya inginkan.

Sekarang ni dah habis pun 2 pek Rendang Maman, saya dah buat pembelian lagi beberapa pek. Beli lebih terus, jimat caj pos. Simpan dalam peti sejuk, bila-bila nak makan buka je satu pek dan panaskan.



Thursday, 8 October 2020

Itik Salai Masthar Nilai

Restoran Itik Salai Masthar Nilai ni saya dan suami jumpa secara tak sengaja pada bulan lepas. Rancangan asalnya nak ke Aunty Aini’s Garden Cafe, tekak dah teringin nak makan masakan tradisi Negeri Sembilan.  

Tapi dalam perjalanan ternampak ada kedai baru dengan papan tanda bertulis Itik Salai Masthar. Memang satu nama yang tak asing, sebab dulu pernah beberapa kali saya makan di kedai Itik Salai Masthar @ Food Valet, Kajang. 

Restoran Itik Salai Masthar Nilai baru je beroperasi di sini. Sebuah tempat makan yang luas, bersih dan selesa. Ruang parkir pun banyak, tak perlu parkir di bahu jalan. Banyak pilihan lauk dan ulaman. Ada juga kuih-muih, kek dan kerepek. Kat sini kena layan diri. Beratur bawa dulang untuk ambil makanan dan seterusnya order air serta buat bayaran di kaunter. Lauk-pauk semua dah diletak dalam mangkuk/pinggan. Tinggal pilih dan ambil je. Memang tersusun dan mudah. Lagi satu yang best, kedai ni tak terasa bahang walaupun berbumbungkan zink sebab dipasang lapisan aluminium di bawah bumbung sebagai penebat haba.

Lauk pilihan kami...keli salai masak lemak cili api, telur itik masak lemak cili api, itik salai dan ulaman. Fuh...dah sekian lama tak makan lauk salai lemak cili api sejak PKP. Memang rasa bahagia betul dapat makan begini. Salai masak lemak cili apinya memang sedap dan cukup pekat! Juga tak terlalu pedas. Itik salai tu pun lembut dagingnya. Alhamdulillah!

Disebabkan tadi makan itik salai lembut sedap, kami bercadang nak beli seekor untuk dibawa balik ke Pulau Pinang. Kami ke pondok salai yang terletak di hadapan kedai. Beginilah rupa dapur salainya. Tapi takde pun yang sedang disalai pada masa ni, sebab mereka dah buat awal dan disimpan sejuk. Memang elok sangatlah, sebab kami nak melalui perjalanan yang jauh. Kami beli seekor itik salai dan minta potong kecil. Harganya RM40.

Itik Salai Masak Lemak Cili Api di Pulau Pinang
Sampai di rumah Pulau Pinang, saya terus asingkan itik salai ke dalam beberapa bekas. Setiap bekas untuk 3 orang makan (tengahari saya seorang, malam berdua dengan suami). Dapatlah 4 bekas, simpan dalam bahagian sejuk beku.

Itik salai masak lemak cili api buatan sendiri. Mudah sangat nak masak menu salai ni. Cuma masukkan itik salai, cili api & kunyit yang ditumbuk/kisar, serai, santan dan sedikit air ke dalam periuk. Api perlahan dan kacau supaya santan tak pecah. Kemudian letak asam keping dan perasakan garam. Masak sampai agak pekat kuahnya. Aroma itik disalai tu sendiri akan menyedapkan rasa masakan. Kalau guna santan segar, lagilah sedap dan pekat. Ni guna santan kotak, agak cair.

Walaupun kami berdua keturunan Jawa Johor, tapi tekak kami gemarkan masakan tradisi Negeri Sembilan. Selain menu salai masak lemak cili api, kami suka sambal tempoyak daun kayu (yang ni agak susah nak jumpa orang jual sedap). Apa tidaknya, kalau dikira-kira kami lebih lama menetap di Negeri Sembilan berbanding negeri asal.

Tuesday, 31 December 2019

Aunty Aini's Garden Cafe, Nilai

Aunty Aini's Garden Cafe merupakan antara lokasi makan-makan kegemaran saya dan suami. Disebabkan ia terletak tidak terlalu jauh dari rumah kami, maka agak biasa jugak kami makan di sini sejak lebih lima tahun lalu.

Dah selalu datang makan, baru kali ini rasa rajin nak catatkan di blog...haha! Tapi tempat ni memang dah sedia terkenal pun, cuma saja nak jugak buat catatan dari sudut pandangan sendiri dan sebagai rujukan akan datang.

Kenapa saya suka makan di sini? Sebabnya...

Makan Dengan Konsep Dalam Taman
Saya memang gemarkan kehijauan alam, terutamanya taman ala tropika. Jadinya, Aunty Aini's Garden Cafe ni memang memenuhi citarasa saya.

Pintu masuk dengan daun pintu kayu yang unik dan menarik. Lengkap dengan kemudahan untuk pengguna kerusi roda.

Pandangan dari pintu masuk ke ruang makan. Juga terdapat kemudahan bangku dan pondok (kanan) untuk kita duduk-duduk menikmati keindahan di sini.

Pelbagai jenis tanaman orkid yang terdapat di salah satu sudut.

 Konsep tanaman yang menarik!

Terapi mata. Kenal tak yang kanan tu? Tumbuhan yang tak perlu tanam guna tanah. Ada saya catatkan DI SINI.

Tempayan yang menambah seri landskap di sini.

Menikmati hidangan dalam persekitaran kehijauan taman. Saya suka!


Kemudahan Yang Lengkap
Lokasi makan-makan yang baik mestilah dilengkapi dengan kemudahan lengkap dan terurus.

Ruangan parkir disediakan, walaupun tak terlalu luas (masih ada yang perlu parkir di tepi jalan) ia memudahkan pelanggan yang datang. Tempatnya pun kemas & bersih.

Selain tandas (tiada gambar), kemudahan ruangan solat turut disediakan. Nampak comel dan cantik je kan..

Pondok untuk merokok. Terletak jauh dari tempat makan. Sesuai dengan peraturan larangan merokok di tempat makan mulai tahun 2020 (esok).


Masakan Tradisi Negeri Sembilan Yang Sedap
Rasa masakan yang sedap semestinya menjadi tarikan utama saya datang ke sini. Terdapat pelbagai pilihan menu tradisi tempatan dan barat. Tapi tekak saya dan suami lebih serasi dengan masakan tradisi Negeri Sembilan jika makan di sini. Pernah beberapa kali makan Laksa Johor dan beberapa menu lain, tapi tak memenuhi citarasa kami.

Jadinya hampir setiap kali datang, inilah menu yang kami pesan - daging salai masak lemak cili api, telur itik masak lemak cili api dan kerabu pucuk paku. Kuah masak lemaknya cukup pekat dan rasanya menepati selera kami. Walaupun sebenarnya kami tak berapa kuat makan pedas, tetap jugak makan (kadang-kadang sampai habis licin kuahnya) dengan hidung yang mula berair dek menahan kepedasan. Haha..

Menu yang paling saya suka - kerabu pucuk paku. Lembut dimakan walaupun pada bahagian batang pucuk paku yang besar.

Tak rasa ralat membayar bila makanan yang dimakan memuaskan selera dan dengan suasana tempat makan dalam kehijauan alam.

Disebabkan tempat ini sudah terkenal tetapi ruang makan yang tersedia tidaklah begitu banyak, biasanya akan berlaku kesesakan (tak dapat tempat duduk). Jadi cuba elakkan datang makan pada hari cuti hujung minggu/cuti umum, atau datanglah awal. Pintu bukak je, boleh terus masuk.

Dari segi masa menghidang, kadang-kadang cepat dan kadang-kadang agak lambat. Macam yang terbaru kami makan ni, memang dah dibagitau akan lambat sebab menu yang kami pesan ni sedang dimasak yang baru. Kami okey je.
------------------------------------

AUNTY AINI'S GARDEN CAFE

LOKASI :
Batu 16, Jalan Sepang,
Kg. Chelet, Nilai,
Negeri Sembilan.

WAKTU OPERASI :
Selasa - Ahad
11.30 pagi - 2.30 petang
5.30 petang - 10.30 malam

(Tutup : Isnin)