Monday 17 April 2023

‘Shopping Raya’ di Pekan Rabu

Cerita semalam - Ahad, 16 April 2023.

Saya dan encik suami ke Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah untuk mengambil kuih raya yang dah ditempah daripada seorang peniaga di sana. Ceritanya, tahun ini mak saya berhajat nak beri kuih raya kepada anak-anak (adik-beradik saya seramai 9 orang/keluarga). Mak minta saya uruskan dengan memberi sejumlah wang. Jadi saya beli sajalah makanan yang biasa kami beli dan makan. Mudah sebab dah kenal peniaga yang menjual dan insyaAllah sedap.

Bandar Alor Setar. Menghampiri pukul 12 tengah hari, tapi matahari tak kelihatan. Bukan mendung, masa ni tengah panas. Ruang udara nampak putih, mungkin sedikit berjerebu dek cuaca panas yang sedang melanda negara sekarang ni.

Bangunan Pekan Rabu. Kami masuk ke ruangan parkir bawah tanah, tapi penuh. Terpaksa keluar dan parkir di seberang sungai (papan tanda ‘parking kereta’ dalam foto di atas). Parkir kendalian swasta, RM4 sekali masuk.

Suasana di dalam bangunan Pekan Rabu. Kami terus menuju ke kedai di mana kami menempah kuih raya. Kami dah buat tempahan awal melalui WhatsApp sebab nak membeli dalam kuantiti yang banyak. Bila semuanya tersedia, peniaga maklumkan kami untuk datang bayar dan ambil.

Tiga jenis semuanya - kuih ros (kuih loyang madu), kuih kapit mix (isi coklat & peanut butter) dan popia simpul. Ada sejenis lagi kami beli dari tempat lain, biskut Amos (tiada dalam foto). Jadi semuanya empat jenis kuih.

Bungkusan kotak dan plastik ni semuanya kami tak perlu angkut sendiri ke kereta. Nanti peniaga akan bawa menggunakan troli ke bahagian depan bangunan. Tinggal ambil kereta bawa ke tempat tersebut jelah. Tak payah susah payah angkut jauh.

Urusan kuih dah selesai, kami jalan-jalan melihat barang jualan lain. Belek punya belek, akhirnya encik suami jadi juara membeli kali ini 😄. Dah beli satu kopiah keras, jalan lagi berkenan pulak kopiah yang dikait tangan. Harganya RM12.90. Kemudian menambah pulak sehelai kurta lengan pendek dengan poket di sisi kanan kiri jenama Almas. Sedap lembut kain cotton-nya dan potongan longgar. Memang belum pernah ada baju begini, sesuai jugak dipakai pergi kerja pada hari Jumaat.

Alhamdulillah selesai satu urusan. Lepas ni nak isi sampul duit raya, balut hadiah kahwin anak saudara (insyaAllah majlisnya pada 30 April), berkemas beg balik kampung dan kemas rumah yang nak ditinggalkan lama (insyaAllah 1 Mei baru kembali ke PP).






Sunday 16 April 2023

Tunaikan Zakat Fitrah Secara ‘Online’

Alhamdulillah beberapa hari lalu saya selesai menunaikan zakat fitrah secara online buat kami suami isteri dan mak saya di kampung. Dengan adanya portal pembayaran secara online, mudah bagi saya yang berada di utara tanah air untuk menunaikan zakat fitrah mewakili mak yang berada di selatan.
Syarat bagi mewakilkan bayaran zakat fitrah orang yang bukan tanggungan kita adalah mesti mendapatkan keizinan daripada individu tersebut. Kalau tidak, bayaran yang kita buat sekadar menjadi sedekah, bukan zakat fitrah. Ini kerana zakat fitrah adalah satu ibadah, ibadah perlu kepada niat tuan punya badan.

Untuk mak saya di Johor, berikut adalah kadar zakat fitrah dan laman web bayaran :

Ada dua kadar bayaran.


Buat bayaran di laman web fitrah.maij.gov.my. Saya pilih bayar melalui FPX, caj 50 sen dikenakan.


Untuk kami yang menetap di Pulau Pinang, berikut adalah kadar zakat fitrah dan laman web bayaran :

Ada tiga kadar bayaran.

Buat bayaran di laman web zakatpenang2u.com. Saya pilih bayar melalui FPX, tiada caj dikenakan.


Risau ‘Raya Awal’? Bayarlah Zakat Fitrah Awal

Dah kecoh di sana sini berkenaan ‘raya awal’. Ramai yang risau peristiwa kelam kabut seperti tahun lepas berulang lagi. Geli hati terkenang kisah kami suami isteri yang cuma makan burger Mc Donalds di pagi raya 😂. Masa tu kami dari rumah PP, singgah bermalam di rumah NS sebelum meneruskan perjalanan ke Johor. Tak sempat sampai Johor, dah raya! Maka, tahun lepas kami menyambut pagi raya berdua saja sama seperti tahun-tahun sebelumnya (sewaktu pandemik COVID-19).

Risau ‘raya awal’? Jadi kita buatlah persiapan awal. Persiapan dari segi ibadah, iaitu menunaikan zakat fitrah itulah yang penting. Jangan sampai baju raya dan kuih raya semua dah siap, ehh…zakat fitrah pulak tak sempat ya sebab katanya ‘raya mengejut’.

Buatlah bayaran awal, tak kisahlah nak bayar melalui amil atau melalui online. Sekarang ni amil bukan je buka kaunter di masjid, di AEON Mall Bukit Mertajam ni pun saya nampak ada dua kaunter zakat fitrah. Sangat memudahkan.

Kalau bayar saat akhir, laman web bayaran mungkin sesak dan tak boleh diakses dek trafik tinggi. Atau kalau bayar melalui amil, boleh jadi kaunter dah tutup atau resit kutipan zakat habis. Pendek kata, bagi mengelakkan risiko gagal menunaikan zakat fitrah, maka eloklah kita bayar awal.






Friday 14 April 2023

Gulai Lemak Cili Api Telur Itik

Minggu ini sekali lagi saya temankan encik suami bermusafir. Nampaknya sejak 4 minggu terakhir ni, setiap minggu kami berulang-alik di antara Pulau Pinang dan kawasan tengah (KL/Selangor) juga ke rumah sendiri di Negeri Sembilan.

Memang terasa lebih letih dan mudah mengantuk bila bermusafir di siang hari pada bulan Ramadan, tambahan lagi dengan cuaca panas terik. Saya lebih mudah terlelap, tak berborak dengan encik suami yang sedang memandu. Tapi bila dah tak boleh makan minum ni memang kena kurangkan berborak, nanti haus pulak kan.

BALIK NS, KITA MAKAN MASAKAN ‘NISMILAN’

Awal pagi semalam kami bertolak dari rumah PP ke rumah NS. Dalam perjalanan, encik suami menyebut pasal keinginannya nak makan lauk kegemaran kami di Aunty Aini’s.

Menjelang waktu berbuka tu encik suami balik dari kerja dengan membawa bungkusan agak besar. Saya bawa bungkusan ke meja makan untuk dihidang. Bila buka bungkusan, barulah nampak bersusun lauk kuning-kuning. Eh…ingatkan cakap kosong je 😄. Rupanya encik suami telefon kedai buat tempahan awal, balik dari kerja teruslah singgah ambil.
Inilah juadah berbuka kami semalam - kerabu pucuk paku, gulai lemak cili api daging salai dan gulai lemak cili api telur itik. Akhirnya, dapat juga makan masakan lemak cili api telur itik di Aunty Aini’s Garden Cafe. Bulan lepas kami pergi, tak ada rezeki nak merasa lauk tersebut.

Bila perut kosong lepas tu makan banyak begini, memang terasa kekenyangan. Baru berjaya turun berat sikit, ni naik baliklah nampaknya 😅







Tuesday 11 April 2023

Sakitnya Nak Menelan Bila Gusi Belakang Bengkak

Sejak minggu lepas, saya mulai rasa sakit di bahagian kanan belakang dalam mulut. Awalnya cuma rasa sakit yang sedikit, kemudian hari demi hari ia jadi bertambah sakit. Bila saya lihat di cermin, nampak seperti benjolan kecil di gusi belakang. Kemerahan dan sakit bila disentuh. Tak berdenyut, cuma rasa sakit.

Walaupun tak berdenyut, tetapi kesan sakitnya membawa ke tekak dan leher. Saya jadi susah nak menelan air liur, rasa sangat sakit. Nak membuka mulut pun terasa susah dan sakit. Tambahan pulak bila berpuasa, tekak tak digunakan untuk makan dan minum. Bila nak makan waktu berbuka tu memang sangat seksa.

Jadinya pada hari Sabtu semasa dalam perjalanan dari Ampang ke rumah NS, saya singgah ke klinik gigi di Bandar Seri Putra, Bangi. Klinik yang dah beberapa kali saya kunjungi sewaktu menetap di NS.

Sumber foto Google.
Foto hasil carian Google. Bengkak gusi saya terjadi di kedudukan yang hampir sama seperti dalam foto di atas, iaitu berhampiran gigi bongsu sebelah kanan. Tapi lebih belakang dan di atas sedikit. Saya tulis terperinci supaya mudah nak rujuk semula pada masa akan datang.

Setelah melakukan pemeriksaan, doktor maklumkan mungkin berlaku infeksi pada gigi bongsu. Doktor beri 4 jenis ubatan :
  • Mefenamic acid 500mg - untuk legakan kesakitan, makan bila perlu.
  • Metronidazole 200mg - antibiotik.
  • Lysozyme chloride 120mg - antiradang untuk susut bengkak.
  • Ubat kumur.
Alhamdulillah mulai semalam (hari Isnin), saya dah tak rasa sakit tekak bila menelan air liur. Begitu juga leher dah tak rasa sakit. Tapi saya masih teruskan makan ubat terutamanya antibiotik bagi memastikan bengkak tersebut surut sepenuhnya. 

Bila jadi begini, terasa nikmatnya keupayaan ‘menelan air liur’! Nampak macam perkara remeh, telan air liur je. Sesungguhnya tanpa anugerah kesihatan dari Allah, perkara sekecil menelan air liur pun kita tak mampu. Begitulah kerdilnya kita, sentiasa mengharap pada Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam.


Terima kasih Allah atas nikmat sihat ❤️





Monday 10 April 2023

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor - Hotel Dengan Surau Solat Jumaat

Hari Jumaat lepas, 7 April 2023 bersamaan 16 Ramadan 1444H saya dan encik suami bermusafir dari rumah PP ke Selangor. Kali ini kami menginap di Grand Barakah Hotel yang terletak di Ampang, Selangor.

Kami sampai di perkarangan hotel pada waktu tengah hari, tak lama lagi masuk waktu solat Jumaat. Jadi saya buatlah carian di Google Maps ‘masjid near me’, sort by distance. Muncul paparan pertama - ‘Surau Jumaat Nurul Hikmah, 3rd Floor, De Palma Hotel Ampang’. Eh, ada surau untuk solat Jumaat di hotel!

Saya tahu Grand Barakah Hotel ni dulu dikenali sebagai De Palma Hotel Ampang, tapi saya tak tahu pula ada surau Jumaat di hotel. Maklumlah, baru pertama kali datang menginap di sini. Alhamdulillah, mudahlah encik suami nak menunaikan solat Jumaat.

Waktu daftar masuk hotel pada pukul 3 petang. Jadinya sementara encik suami menunaikan solat Jumaat di aras 3, saya duduk menunggu di lobi. Ada orang lain juga yang sama-sama menunggu untuk daftar masuk.

Solat Jumaat di surau hotel ini terbuka untuk semua, bukan hanya staf atau tetamu hotel je. Maka ramailah orang yang datang untuk sama-sama menunaikan solat Jumaat.


GRAND BARAKAH HOTEL, AMPANG

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Alhamdulillah, dapat masuk bilik kira-kira pukul 2.30 petang. Inilah bilik penginapan kami untuk satu malam. Luas dan nampak bersih. Tapi semasa masuk bilik, saya terbau macam hapak. Mungkin disebabkan bau karpet dan perabot usang. Tilam & bantalnya pula empuk, selesa tidur.

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Bilik airnya pula agak kurang selesa bagi saya. Selain disebabkan sudah usang - mangkuk tandas dengan tompok kekuningan, ruangan ini nampak macam tak dibersihkan dengan baik - masih ‘berdaki’ di tempat tertentu.

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Kemudahan yang terdapat di bilik.

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Terasa ‘zaman dulu’ sungguh bila jumpa suis & tombol di meja begini 😁. Alat pendingin hawa cuma boleh dilaras - Off/Lo/Mid/Hi dengan cara menekan tombol hitam. Tak ada plug di tepi katil, cuma ada satu di meja panjang serba guna. Tak jadi masalah bagi saya sebab sentiasa bawa 3-way multi-adaptor Cosway sewaktu bermusafir, boleh guna 3 plug dalam satu masa.

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Pemandangan dari jendela bilik kami di aras 6. Ada kolam renang besar dan kecil (tak kelihatan di foto).

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Baca brosur hotel, barulah tahu bahawa surau hotel mereka merupakan surau hotel pertama di Malaysia yang mendapat kebenaran untuk solat Jumaat oleh pihak berkuasa. Bukan mudah ya sebuah surau di hotel nak dapat kebenaran begini, ada kriteria tertentu.

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Di dalam lif, terpapar info aktiviti & program sepanjang bulan Ramadan. Alhamdulillah…memang terbaik! Agak sayang juga pada malam kami menginap di sini, kami tak berkesempatan ikut berjemaah solat tarawih di surau hotel. Encik suami balik kerja lewat, jadinya sekitar pukul 8 lebih barulah kami sempat keluar makan dengan berjalan kaki di kedai makan berhampiran. 

Grand Barakah Hotel, Ampang, Selangor
Pinggan hidangan sahur saya.
Pakej penginapan kami termasuk makan sahur. Sahur bermula pukul 2 pagi sehingga 5 pagi. Dah biasa di rumah bangun sahur sekitar pukul 5.10 pagi, jadinya memang berat mata sungguh bila nak kena bangun pukul 3.30 pagi untuk bersiap turun bersahur. Nak sahur dekat pukul 5 pagi, bimbang habis pula makanan.

Semasa kami tiba, ramai juga tetamu hotel yang sedang menikmati hidangan sahur. Pilihan makanan yang tersedia - nasi putih, rendang ayam, daging masak hitam, sayur kubis goreng, tiga jenis kek, dua jenis buah dan minuman panas & sejuk.

Saya rasa kurang berselera sebab jarang makan nasi masa sahur, jadi saya ambil makanan sikit je (foto di atas). Tapi bila dah mula makan, eh…sedap rendang ayam dan daging masak hitamnya. Encik suami pula, tadi ambil nasi banyak tapi tak dapat habiskan. Sedang eloklah kan, saya pun ambil nasi encik suami sebab tiba-tiba jadi berselera makan 😄. Encik suami bangun tolong ambil lauk tambah - daging masak hitam. Rupanya bukan daging je, dicampur juga dengan hati. Mujur menambah, dapat makan hati masak hitam. Sedap!

Jadinya, ok ke tak menginap di sini? Menurut saya, walaupun ada sedikit kekurangan dari segi keselesaan bilik penginapan, tetapi dengan adanya kemudahan surau Jumaat dan rasa makanan yang memenuhi cita rasa, Grand Barakah Hotel Ampang boleh menjadi penginapan pilihan yang baik jika berkunjung ke Ampang.





Tuesday 4 April 2023

#AboutFriends


#AboutFriends Tere Liye
Judul : #AboutFriends
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Gramedia
Tahun terbit : Cetakan ke-7, Januari 2021
Jumlah halaman : 100


Buku dengan judul bahasa Inggeris tetapi isinya bahasa Indonesia. #AboutFriends membawakan 100 kutipan penulis tentang persahabatan. Setiap halaman disertakan dengan ilustrasi yang membuatkan pembacaan terasa nyaman.

Kata-kata penulis membuat saya berfikir tentang mengapa kita memerlukan sahabat baik, apa itu sahabat yang baik dan bagaimana menjadi sahabat yang baik. Sesekali saya tersenyum bila membaca kata-kata yang terasa ada kaitan dengan diri sendiri.

#AboutFriends Tere Liye

#AboutFriends - buku yang sangat sesuai dihadiahkan buat sahabat baik. Semoga dengan mengamati kata-kata dalam buku ini membuatkan kita saling menghargai sebuah ikatan persahabatan.

Hidup sendirian itu bukan hal menyakitkan. Yang sangat menyakitkan adalah kalian hidup di tengah keramaian, tapi justru dilupakan begitu saja oleh seseorang yang sangat berharga bagi kalian. Dianggap tidak ada lagi. Dihapus dari hidupnya. - #AboutFriends, Tere Liye.



Monday 3 April 2023

Terima Kasih Blogger Ako Retna 🥰

Kelmarin saya terima bungkusan hadiah daripada sahabat blogger - Ako Retna. Hadiah kerana menjadi top commentators di blog beliau pada bulan Februari lalu. Alhamdulillah…rezeki berblog 😊

Sedang elok je saiz beg yang diterima, tak besar dan tak kecil. Eh, besar atau kecil tetap ada kegunaan tersendiri 😀

Seronok membelek beg baru, terus saya cuba masukkan beberapa barang dari beg sedia ada. Saya masukkan book sleeve dan bekas alat tulis. Masih ada banyak ruang untuk saya letak barang lain. Wah, memang ngam! Nampaknya lepas ni saya ada beg baru untuk mengisi bahan bacaan, buku nota dan keperluan lain sewaktu bermusafir. Begnya memang sesuai dan praktikal! Saya suka 🥰

Berbanyak terima kasih buat blogger Retna atas kiriman hadiah yang saya rasa cukup istimewa. Moga Allah membalas kebaikan yang diberi. 







Sunday 2 April 2023

Malam Ramadan di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur

Sambungan catatan Ramadan di KL. Sebelah petangnya saya dan encik suami sempat ke bazar Ramadan. Waktu malam pula kami berpeluang solat isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di Masjid Jamek Kampung Baru.

Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur
Suasana di dalam masjid. Ruang masjid pula terasa lebih lapang kerana tiada tabir pemisah antara jemaah lelaki dan perempuan.

Menariknya di sini, terdapat beberapa skrin besar bagi menyampaikan maklumat kepada para jemaah. Menerusi paparan di skrin, saya dapat menyaksikan suasana berbuka di sini. Selain menyediakan agihan percuma bubur lambuk selepas solat asar (kami tak sempat ambil), pihak masjid turut menyediakan hidangan berbuka puasa untuk 500 orang.

Solat sunat tarawih di sini dibuat sebanyak 20 rakaat. Kira-kira pukul 9.45 malam, kami berhenti selepas 8 rakaat. Tak boleh nak berlama lagi, esok nak bangun sahur dan perlu bertolak ke Perak sebelum pukul 7 pagi.

Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur
Suasana di perkarangan Masjid Jamek Kampung Baru, KL. Ramai juga yang berhenti dan keluar selepas 8 rakaat, macam kami 🤭. Tapi tak salah ya, solat tetap sah walau tak ikut imam sampai habis. Masing-masing ada urusan hidup yang perlu diselesaikan, terutamanya mereka yang perlu keluar bekerja awal pagi.

Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur
Saya mendongak ke langit. MasyaAllah, cantiknya bulan! Siap ada sebuah planet berdekatan bulan. Bukan saya seorang je yang sibuk merakam keindahan langit, ada beberapa orang berhampiran saya turut teruja seperti saya. Sempat saya berbual ringkas dengan seorang jemaah perempuan, menurut beliau dah beberapa malam bulan bersinar cantik pada kedudukan begini.

Kalau dulu saya fikir semua butiran kecil yang bersinar di langit tu adalah bintang. Tapi selepas mengikuti FB FalakOnline, saya jadi lebih peka apa yang ada di langit. Barulah saya faham bahawa - bintang berkerlip (dengan kerlipan tak sekata), manakala planet pula bersinar tanpa kerlipan. 

Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur
Kedudukan masjid dan Hotel Tamu (bangunan tinggi di sebelah kiri foto). Dekat je, cuma cabarannya nak melintas dua kali di jalanan yang agak sibuk. Boleh gunakan lampu isyarat untuk melintas jalan, tapi kena hati-hati sebelum melintas sebab ada kenderaan yang tak memerhati lampu isyarat.

Kampung Baru, Kuala Lumpur
Panorama malam di Kampung Baru, sebuah penempatan unik dengan kawasan rumah kampung masih berdiri teguh dikelilingi bangunan pencakar langit. Perkampungan di tengah hutan konkrit. Foto dirakam dari jendela penginapan kami di aras 26, Hotel Tamu.

Alhamdulillah…dapat juga saya menunaikan solat sunat tarawih berjemaah di masjid buat kali pertama sejak pandemik melanda pada awal tahun 2020. Bagusnya bila solat berjemaah di masjid, saya jadi auto rajin untuk menunaikan solat sunat rawatib (solat sunat yang mengiringi solat fardu - qabliah & ba’diah). Kalau di rumah…hmm, jarang-jarang 😬