Showing posts with label Pahang. Show all posts
Showing posts with label Pahang. Show all posts

Monday, 4 September 2023

Laluan Mencabar Dari Jerantut ke Tapah

[Catatan hari Isnin, 28 Ogos 2023]

Kami menginap di Jerantut satu malam saja. Selesai urusan kerja Encik Suami pada tengah hari Isnin, kami bergerak meninggalkan Jerantut untuk menyambung perjalanan ke Ipoh, Perak pula.

Dah duduk dalam kereta, barulah kami berdua berbincang nak ikut laluan mana (berdasarkan pilihan cadangan laluan di Google Maps). Semalam kami datang ikut laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), jadinya hari ini kami sepakat nak mencuba jalan biasa (bukan lebuh raya) yang akan melalui Jalan Ringlet - Sungai Koyan dan Jalan Tapah - Cameron Highlands. Dua laluan berbukit yang mencabar.

Sangkaan kami meleset, rupanya bukan setakat dua laluan berbukit tetapi sebenarnya kami perlu melalui tiga laluan berbukit yang mencabar!


LALUAN PERSEKUTUAN 234 | JALAN JERANTUT - KUALA LIPIS

Laluan Persekutuan 234 Jalan Jerantut - Kuala Lipis
Jalan Jerantut - Kuala Tembeling
Dari Jerantut, kami menghala ke Kuala Lipis melalui Laluan Persekutuan 234 yang juga dikenali sebagai Jalan Jerantut - Kuala Lipis. Jalan yang belum pernah kami lalui.

Struktur jalan yang sempit, berbukit yang curam dan banyak selekoh di Kuala Tembeling membuatkan pemanduan Encik Suami agak perlahan. Saya rasa ngeri apabila kenderaan kami berselisih dengan lori besar. Paling terasa ngeri apabila kenderaan kita mendaki bukit dan selepas itu terdapat selekoh, kita tak dapat melihat apa yang ada di hadapan.

Carian saya (sewaktu nak menghasilkan entri ini) menemukan banyak kes kemalangan berlaku di jalan ini. Antara kes yang mengerikan, lori besar tak mampu mendaki bukit lalu menggelongsor ke bawah melanggar kenderaan di belakang. Juga kes jalan runtuh pada musim banjir. Memang sangat bahaya bagi pengguna seperti kami yang tak pernah tahu tentang struktur jalan di sini.

Khabar baiknya, apabila laluan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) siap sepenuhnya pengguna ada pilihan untuk tidak melalui jalan yang cukup mencabar ini lagi.

Jeti Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang
Jeti Kuala Tembeling
Dalam perjalanan, kami singgah sebentar di Jeti Kuala Tembeling yang terletak di sebelah kanan jalan raya. Terdapat deretan kedai dan sebuah bangunan kompleks jeti di sini, tetapi tiada premis yang beroperasi.

Jeti Kuala Tembeling, Jerantut, Pahang
Jeti ini menjadi penghubung bagi pelancong yang nak ke Taman Negara Pahang di Kuala Tahan melalui jalan air. Walaupun sekarang dah ada jalan darat, tapi masih ramai yang sukakan cabaran dan mahu merasai pengalaman berbeza dengan memilih untuk menaiki bot. Semasa kami sampai, kelihatan ramai pelancong asing sedang menunggu di jeti.

Menaiki bot dari Kuala Tembeling ke Kuala Tahan ini merupakan salah satu impian kami suami isteri sejak dahulu. Tapi bila dah semakin bertambah usia, rasanya macam dah tak mampu saya nak duduk dalam bot untuk perjalanan selama kira-kira 3 jam. Dapat sampai ke jeti ini dan berfoto-foto pun jadiklah kan 😄

Jalan Kuala Tembeling - Kuala Lipis
Jalan Kuala Tembeling - Kuala Lipis
Dari daerah Jerantut, kami memasuki daerah Kuala Lipis. Masih lagi di Laluan Persekutuan 234, tetapi jalan di sini tidaklah begitu berbahaya seperti di Jalan Kuala Tembeling tadi.

Jalan Kuala Tembeling - Kuala Lipis
Pemandangan yang indah dan memukau. Dan, eh…di sini rupanya lokasi Taman Eko Rimba Kenong (papan tanda dalam foto). Teringat buku bacaan semasa zaman kanak-kanak yang berjudul ‘Misteri di Rimba Kenong’. Kalau tak silap saya, begitulah judul buku tersebut.

Video berdurasi 31 saat memaparkan sebahagian Laluan Persekutuan 234 / Jalan Jerantut - Kuala Lipis. Tapi bukanlah di lokasi yang sangat mencabar dan berbahaya ya, kalau tempat begitu saya tak pegang telefon tapi bibir sibuk melafaz zikir Ù„َا Ø­َÙˆْÙ„َ ÙˆَÙ„َا Ù‚ُÙˆَّØ©َ Ø¥ِÙ„َّا بِٱللَّٰÙ‡ِ dan mata fokus memandang ke depan je 😬


LALUAN PERSEKUTUAN 102 | JALAN RINGLET - SUNGAI KOYAN

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan.
Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan.
Kami singgah menunaikan solat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah sebelum meneruskan perjalanan melalui laluan berbukit seterusnya. Awal perjalanan tadi cuaca panas terik, kemudian sempat merasa hujan lebat di Jalan Jerantut - Kuala Lipis sehinggalah kami tiba di masjid yang cantik dan bersih ini.

Jalan Ringlet - Sungai Koyan
Di antara tiga laluan berbukit yang kami lalui hari ini, Jalan Ringlet - Sungai Koyan inilah yang paling melegakan laluannya. Struktur jalan yang lebar dan kurang selekoh tajam serta sangat kurang kenderaan membuatkan pemanduan Encik Suami lebih lancar. Saya menurunkan cermin tingkap kenderaan bagi menikmati udara di perbukitan yang segar dan nyaman, juga melayan mata dengan pemandangan indah hijau alam.

Jalan Ringlet - Sungai Koyan
Pun begitu kalau dah namanya laluan berbukit, tetap juga ada risiko runtuhan jalan. Sepanjang pengalaman kami melalui jalan ini, memang sentiasa ada saja jalan yang rosak disebabkan runtuhan jalan. Cuma kali ini tiada kerosakan teruk sehingga terputus laluan seperti yang pernah terjadi.


LALUAN PERSEKUTUAN 59 | JALAN TAPAH - CAMERON HIGHLANDS

Jalan Tapah - Cameron Highlands
Bagi kalian yang pernah lalu Jalan Tapah - Cameron Highlands ini tentu sedia maklum bagaimana rupa jalannya. Struktur jalan sempit, berbukit dan banyak selekoh tajam menjadikan laluan ini cukup mencabar.

Perjalanan kali ini lebih mencabar dan berbahaya sebab terdapat banyak lokasi kerja-kerja baik pulih cerun sedang dijalankan. Hanya satu laluan saja di buka di tempat begini. Kalau ada yang nak ke Cameron Highlands dalam masa terdekat, elakkanlah laluan ini ya.

Sup ekor bakar
Pesan sup ekor bakar, tapi dapat sup ekor biasa. Dah lapar, makan je apa dapat.
Sampai di bawah sebelum memasuki Lebuhraya Utara Selatan, kami singgah makan di Eryna Sup Darat. Ini bukan pertama kali kami makan di sini, selalu jugak kami sengaja keluar dari lebuh raya semata-mata nak makan sup di sini. Supnya sedap dan menyegarkan sesuai dengan cita rasa kami.

Alhamdulillah, kami kemudiannya selamat tiba di penginapan K Garden Hotel, Ipoh sekitar pukul 8.40 malam. Perjalanan kira-kira 8 jam turun naik bukit membuatkan mental dan fizikal saya keletihan! Apa pun, seronok juga sebab dapat pengalaman baru melalui laluan mencabar di Kuala Tembeling.






.

Thursday, 31 August 2023

Galeri Mat Kilau, Jerantut

Semasa berada di Jerantut, saya dan Encik Suami sempat mengunjungi Galeri Mat Kilau. Tak susah nak mencari lokasinya yang terletak di tepi jalan besar. Jika dari bandar Jerantut, bangunan galeri ini terletak di sebelah kiri jalan. Tertera di bahagian luar kawasan galeri - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar.

Kehadiran kami disambut oleh penjaga galeri ini, seorang lelaki yang ramah dan mesra. Menurut beliau, kami merupakan pengunjung pertama dari Pulau Pinang pada hari tersebut.

Jom kita tengok apa yang ada di Galeri Mat Kilau ini…

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Beginilah rupa dalam galeri. Pengunjung akan menyusuri laluan berbentuk pusingan untuk menghayati kisah perjuangan Mat Kilau, pahlawan negeri Pahang ini.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Diorama pertempuran Mat Kilau dengan penjajah British.

Antara bukti penentangan Mat Kilau terhadap British - telegram bertarikh 26 Oktober 1895 mengenai kehadiran Mat Kilau di Tembeling yang menjadi ancaman kepada pihak British.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Keratan akhbar Utusan Melayu bertarikh 27 Disember 1969, memaparkan berita kemunculan semula Mat Kilau yang disangka telah terkorban dalam satu pertempuran pada tahun 1895.

Galeri Mat Kilau, Jerantut
Di galeri ini juga terdapat sebuah bilik tayangan yang memaparkan dokumentari Mat Kilau oleh TV3.

Lukisan potret pahlawan Mat Kilau. Saya edit sedikit dengan mengubah warna latar belakang lukisan supaya wajah Mat Kilau lebih menyerlah.

Fakta ringkas berkenaan pahlawan Mat Kilau :
  • Nama sebenar beliau - Mat Kilau bin Imam Rasu. Imam Rasu (ayah Mat Kilau) lebih dikenali sebagai Tok Gajah, juga merupakan pahlawan negeri Pahang.
  • Pada tahun 1892, Mat Kilau bersama orang-orangnya telah melakukan siri serangan hendap ke atas kubu-kubu British.
  • Pada tahun 1895, Mat Kilau telah tewas dan disangka telah meninggal dunia dalam satu serangan hasil kerjasama British dan pihak Siam.
  • Pada 26 Disember 1969, Mat Kilau (yang ketika itu dikenali dengan nama Mat Siam) muncul semula di Masjid Kampung Pulau Tawar, Jerantut dan mengisytiharkan dirinya adalah Mat Kilau pahlawan Pahang. 
  • Pada 8 Januari 1970, sebuah Jawatankuasa Menyiasat Kemunculan Semula Mat Kilau ditubuhkan. Hasil siasatan rapi, jawatankuasa menyimpulkan dan mengisytiharkan bahawa Mat Siam sebagai Mat Kilau. Pengumuman rasmi telah dibuat oleh Menteri Besar Pahang pada 6 Ogos 1970.
  • Mat Kilau meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, iaitu 10 hari selepas pengumuman tersebut. Jenazah beliau dikebumikan di sebelah kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Kedong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang dalam usianya lebih 100 tahun.

Walaupun hanya sebuah galeri kecil, tetapi cukup untuk kita mengenali dan mengenang Mat Kilau sebagai seorang pahlawan negeri Pahang khususnya dan Tanah Melayu amnya.

Selain membuat lawatan di galeri, kita juga boleh mengunjungi Makam Pahlawan Mat Kilau yang terletak sekitar 6.2 km dari Galeri Mat Kilau. Kami tak pergi ke makam, cukuplah lawatan di galeri ini.

Kemunculan semula Mat Kilau pada tahun 1969 mungkin tidak meyakinkan semua pihak, tetapi itu tidak menafikan sumbangan besar Mat Kilau yang telah bangkit berjuang menentang penindasan oleh penjajah British. Semangat membela maruah diri, agama dan bangsa itulah yang harus disematkan dalam diri kita.

————————————————————

GALERI MAT KILAU, JERANTUT
(Google Maps - Kompleks Galeri Mat Kilau Pulau Tawar)
Kampung Batu Rong, Jerantut,
Pahang.

Waktu lawatan :
Isnin - Khamis | 8 pagi - 5 petang
Jumaat | 10 pagi - 12 tengah hari & 2.30 petang - 5 petang
Sabtu, Ahad & Cuti Umum | 10 pagi - 5 petang

Bayaran Masuk :
Dewasa (13 tahun ke atas) - RM2
Kanak-kanak - RM1
Bawah 6 tahun - Percuma



SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-66 TAHUN
SELAMAT HARI KEBANGSAAN 2023 🇲🇾






Tuesday, 29 August 2023

Jerantut - Bandar Taman Negara

[Catatan hari Ahad, 27 Ogos 2023]

Encik Suami ada urusan kerja di Jerantut pada pagi hari Isnin, jadinya seawal pukul 6.40 pagi hari Ahad kami bertolak dari rumah PP menuju ke Jerantut, Pahang. Bimbang kalau lewat nanti jalan akan sesak memandangkan hari Ahad biasanya aliran trafik dari utara menuju ke KL lebih tinggi. Tambahan lagi cuti sekolah sudah bermula, kenalah bersedia dengan pertambahan kenderaan di lebuh raya dan jalan utama.

Google Maps memberikan tiga cadangan laluan perjalanan dari rumah PP ke bandar Jerantut :
  • Dari Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar di Tapah seterusnya melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan.
  • Dari Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar di Tanjung Malim seterusnya melalui bandar Raub.
  • Dari Lebuhraya Utara-Selatan susur keluar menuju ke Kuantan/Genting Highlands seterusnya melalui Lebuhraya Pantai Timur.
Kami pilih laluan yang paling mudah tetapi jaraknya lebih jauh, iaitu melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pukul 7.24 pagi di Lebuhraya Utara-Selatan - pemandangan indah suasana pagi disimbah cahaya matahari.

Pukul 11.16 pagi kami melalui Terowong Genting Sempah di sempadan negeri Pahang. Terpapar poster besar Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong Malaysia di pintu masuk terowong.


BATU KILOMETER SIFAR 
Pukul 1.10 tengah hari, kami tiba di Jerantut. Alhamdulillah kami selamat sampai setelah melalui perjalanan sekitar 6 jam 30 minit (termasuk berhenti makan sarapan dan ke tandas). Penat rasanya duduk lama dalam kereta dan perut pun dah lapar.

Batu Kilometer Sifar atau Batu KM0 Jerantut
Sebelum itu saya buat carian Google Maps - ‘makan sedap Jerantut’. Daripada senarai yang terpapar, kami pilih untuk mencuba makan di Gypsy Garden Jerantut Cafe. Di hadapan kafe inilah terletaknya Batu Kilometer Sifar atau Batu KM0 Jerantut. Ini bukanlah batu yang diletak oleh pemilik kafe sebagai tarikan, tetapi ianya dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kilometer sifar atau KM0 merujuk kepada satu lokasi di mana titik permulaan jarak sesebuah jalan, bandar atau negara. Batu KM0 biasanya terletak berdekatan Pejabat Pos kerana pada masa dahulu perkhidmatan pos menjadi nadi utama sistem perhubungan. Oleh itu, Pejabat Pos dijadikan sebagai titik KM0 bagi sesebuah bandar.

GYPSY GARDEN JERANTUT CAFE
Sebuah kafe dengan tema unik. Menerusi ulasan di internet, tahulah saya bahawa operasi kafe ini dijalankan oleh pasangan suami isteri.
[gip.si] | ݢيڤسي
Definisi : orang yg berasal drpd suku bangsa Asia yg tinggal di Eropah dan Amerika Utara dan mengamalkan cara hidup berpindah-randah. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Rupa bahagian hadapan kafe, di sebelahnya bangunan Pejabat Pos Lama Jerantut. Nampaknya tak banyak meja tersedia, sebuah meja panjang di bahagian dalam dan beberapa buah meja di luar.

Ada satu hal yang saya terlepas pandang sebelum ke sini, iaitu pelanggan perlu membuat tempahan sebelum datang (selepas itu baru saya perasan adanya pesanan pemilik berkenaan hal ini pada bahagian ‘about’ di Google Maps). Pemilik kedai, seorang lelaki kelihatan sedikit terkejut melihat kehadiran kami berdua di muka pintu kafe. Beliau meminta maaf kerana cuma menerima pelanggan yang telah membuat tempahan.

Tetapi sebelum kami beredar, beliau mendekati kami kembali dan berbual ringkas. Dipendekkan cerita, beliau sudi menerima kami memandangkan kami datang dari jauh. Alhamdulillah…rezeki kami makan di sini.

Memahami situasi beliau yang melakukan semua kerja sendirian pada hari tersebut, kami cuma memesan dua hidangan yang mudah disediakan. Segan jugalah kan, terasa menyusahkan beliau pulak kalau nak pesan macam-macam. 

Kami duduk di bahagian luar kafe, meja di dalam sudah ditempah oleh sekumpulan pelanggan.

Sup cendawan yang pekat berkrim. Sedap!

Besar saiz potongan ayam panggang ni. Kami kongsi makan potongan ayam ini.

Isi ayam lembut dan berjus. Rasa perapannya pun sedap.

Alhamdulillah kami dapat merasa masakan lazat pemilik kafe. Orangnya pun mesra dan ramah. Memang patutlah ramai mat salih memberikan ulasan baik pada kafe ini. Harga dikenakan juga berpatutan, kami membayar sekitar RM28 bagi dua jenis hidangan dan dua jenis minuman.


AZA GALERI
Aza Galeri merupakan sebuah galeri milik kartunis Aza atau nama sebenarnya Abdul Razak Sofhi @ Subhi yang popular bersama majalah Gila-Gila. Masih ada yang ingat? Saya tak ingat nama kartunis Aza, sekadar ingat dulu memang suka baca majalah Gila-Gila.

Bangunan galeri ini dahulunya merupakan bangunan Pejabat Pos Lama Jerantut. Saya sekadar memotret bahagian luar bangunan. Bagi yang nak berkunjung ke sini, boleh buat carian Google Maps - Aza Cartoon Gallery.


SY JERANTUT HOTEL
Selepas makan, kami menuju ke hotel. Kami menginap satu malam di SY Jerantut Hotel. Saya pilih hotel ini berdasarkan ulasan berkenaan tahap kebersihan yang baik. Juga ruang parkir yang luas kerana tak perlu berkongsi dengan premis perniagaan lain. 

Alhamdulillah memang saya puas hati dengan tahap kebersihan bilik yang kami dapat. Keluasan bilik dan bilik airnya juga memuaskan. Sesuailah dengan harga bajet rendah yang kami bayar. Bilik ini tiada tingkap, tapi tak menjadi masalah kerana cuma tidur satu malam. Bilik airnya cuma menyediakan dua buku kecil sabun, juga bukan masalah bagi saya sebab sentiasa bawa kelengkapan mandian sendiri.

Yang menjadi sedikit masalah bagi saya - tilamnya terasa spring dan tiada lif. Kami perlu berhati-hati meniti anak tangganya yang berukuran kecil.
.
.
.
Hari masih cerah, ada satu lagi tempat di Jerantut yang sempat kami kunjungi. Catatan berkenaannya Insya Allah pada entri akan datang.

Imbas kembali - pada kunjungan tahun 2019 ke Jerantut, kami berpeluang mendaki Bukit Buluh a.k.a. Red Forest. Catatannya DI SINI. Kami juga pernah ke Taman Negara Pahang dengan kunjungan terakhir pada Februari 2020, sebelum pandemik COVID-19 melanda. Catatan berkenaan Taman Negara Pahang DI SINI.






.

Sunday, 21 May 2023

Lemang dan Ayam Bakar Sedap di Lemang To’ki Bentong

Dalam perjalanan dari Kelantan ke Negeri Sembilan melalui Bentong, Pahang tempohari, kami sempat singgah makan lemang dan ayam bakar di restoran Lemang To’ki. Beberapa tahun lalu, kerap kali kami singgah makan di sini sewaktu dalam perjalanan dari/ke Negeri Sembilan - Kuala Lipis, Pahang atas urusan kerja encik suami. Tapi itulah, walau dah kerap makan di sini tapi rupanya belum pernah saya bercerita secara khusus mengenai tempat ini di blog 😄

Setiap kali ke sini, biasanya tempat ini sesak dengan pelanggan. Tapi masa kami sampai ni tak ramai orang, mungkin sebab dah lewat petang dan pada hari bekerja (Khamis).

Lemang To’ki Bentong
Tempatnya luas. Ada banyak pilihan sudut untuk kita duduk menikmati hidangan. Kalau dulu kami suka duduk di sudut yang membolehkan mata melihat pemandangan aliran sungai yang terdapat di belakang restoran. Tapi kali ni susun atur restoran sudah berubah. Tiada lagi tempat makan di sudut berkenaan.

Lemang To’ki Bentong
Konsep di sini adalah secara layan diri. Kami menuju ke kaunter yang membuat lemang dan ayam bakar (dalam foto di atas). Biasanya di sini agak panas dan sedikit berasap, tapi ni dah lewat petang mereka dah siap membakar lemang dan ayam. Selain itu, di kaunter ni juga kita boleh dapatkan rendang, sambal hitam dan air asam pencicah ayam bakar. Dah dapat hidangan pilihan, boleh terus ke kaunter bayaran.

Lemang To’ki Bentong
Ada senarai harga, mudahlah kita nak buat pilihan (klik foto untuk paparan lebih jelas). Kalau setakat nak merasa, boleh pilih set lemang. Kalau yang dah tau betapa sedapnya lemang di sini dan nak makan banyak macam kami, terus beli lemang sebatang 😄. Bukan senang kami nak sampai sini tau, kenalah beli lebih.

Lemang To’ki Bentong
Kami beli dua batang lemang saiz kecil, mintak keluarkan dari buluh dan letak dalam bekas. Beli juga dua bekas rendang ayam. Sebenarnya saya suka rendang daging buatan mereka, tapi habis 🥲. Tak ada rezeki, rendang ayam pun boleh jugaklah.

Lemang To’ki Bentong
Set ayam bakar & air asam.
Kami beli dua set ayam bakar & air asam, harganya RM8.50 / set. Saya suka ayam bakar di sini disebabkan rasa perapan yang sedap dan isi ayamnya lembut berjus. Cicah pulak dengan air asam, memang berselera makan! Cuma kali ini ayam bakarnya mungkin terlebih bakar, jadi saya rasa sedikit liat bahagian luar ayam. Atau mungkin gigi saya yang dah semakin tak kuat 😅

Oh ya, air asam tu ada dijual dalam botol 260 ml dengan harga RM7. Kalau dulu rajin kami membeli air asam. Sedap jadi pencicah untuk ikan bakar atau sotong bakar. Tapi mengenangkan sekarang kami tak selalu berada lama di rumah dan sempat masak itu ini, tak perlulah kami menambah koleksi benda-benda terbiar dalam peti sejuk rumah tu.

Lemang To’ki Bentong
Lemang & rendang ayam.
Kami buka satu bekas lemang dan rendang ayam yang dibeli tadi. Nak jugak merasa makan lemang panas. Seperti sebelum ini, lemang buatan Lemang To’ki memang sedap cukup rasa lemak masin, cukup lembut dan tak berkerak. Makan sambil tersenyum dan pejam-pejam mata!

Eh, makanan lain tak ada ke? Ada. Kalau tengah hari tu ada nasi campur. Kalau tak suka lemang boleh pesan makanan bergoreng. Saya nampak ada macam-macam menu lain. Tapi kalau kami ke sini, memang suka makan lemang dan ayam bakar tu jelah. Ulang-ulang pun tak bosan, bukan dapat makan selalu pun.

Bagusnya restoran Lemang To’ki ni ada menyediakan tandas yang selesa. Kekurangan tempat ini, ruangan parkirnya sangat terhad. Kalau nak mudah dapat parkir dan mudah nak membeli lemang tanpa perlu beratur panjang, usahakan datang pada hari bekerja.

Nak ke sini boleh buat carian di Google Maps - Lemang To’ki. Lokasinya terletak di sebelah kiri jalan jika kita dari bandar Bentong. Ada satu lagi cawangan mereka iaitu Lemang To’ki 2 yang terletak di Jalan Karak, Bentong. Ruang parkirnya lebih luas. Bolehlah pilih nak pergi mana satu. Setakat ni kami lebih suka pergi restoran pertama sebab rasa lebih meriah.

————————————————————————

LEMANG TO’KI
Batu 2, Jalan Tras,
Bentong, Pahang.

Waktu operasi :
Selasa - Ahad | 7 pagi hingga 12 tengah malam
Isnin | Tutup




Friday, 19 May 2023

Catatan 11 Mei 2023

Catatan hari Khamis 11 Mei 2023, iaitu hari terakhir kami di Gua Musang, Kelantan. Kami memulakan perjalanan meninggalkan Gua Musang menuju ke rumah di Negeri Sembilan kira-kira pukul 2 petang.


Cuaca panas terik di Gua Musang dengan suhu 35 darjah Celsius.

Bandar Gua Musang, Kelantan
Sempatlah saya merakam gambar jejantas yang tertera tulisan ‘GUA MUSANG’. InsyaAllah ada rezeki kami akan kembali. Walaupun dah beberapa kali ke sini, tapi kami masih belum sempat meneroka kawasan sekitar. Maklumlah, kedatangan kami ke sini atas urusan kerja encik suami. Dengan jadual kerja yang padat, tak sempat nak jalan-jalan.

Hentian Gua Musang
Kami berhenti seketika di stesen minyak Shell yang terletak di Hentian Gua Musang. Eh, dah ada Mc Donald’s di sini! Katanya ia baru beroperasi pada awal tahun ini.

Hentian Gua Musang
Deretan bendera berkibar megah di bawah terik matahari.

Merapoh, Pahang
Jalan Merapoh - Gua Musang / Lebuhraya Kuala Lumpur - Gua Musang
Pemandangan indah langit membiru, gumpalan awan putih dan perbukitan batu kapur di kanan dan kiri jalan. Ini antara laluan yang saya suka sebab sajian pemandangannya. Laluan ini juga biasanya sunyi dan agak lengang, hanya sesekali ada kenderaan lain. Tak tahulah kalau pada musim perayaan, mungkin laluan ini sibuk dan sesak oleh anak perantau yang pulang.

Terowong Genting Sempah
Terowong Genting Sempah, terowong lebuh raya yang pertama di Malaysia.
Dah lama saya tak lalu Lebuhraya Karak, rasa agak seram sewaktu melalui jalan berliku dan berbukit di sini. Menghampiri Terowong Genting Sempah, terkejut pulak saya tengok poster besar Pemangku Raja Pahang (foto di atas).

Setelah melalui perjalanan kira-kira 6 jam - keluar masuk lebuh raya, merentasi beberapa negeri, siang bertukar malam, akhirnya kami selamat sampai di rumah NS. Alhamdulillah! Sepanjang perjalanan, ada satu kali kami berhenti makan iaitu semasa di Bentong. Tempat makan yang suatu masa dahulu sering saya kunjungi. InsyaAllah catatannya pada entri akan datang.







Monday, 15 August 2022

Riadah Pagi di Tanah Rata, Cameron Highlands

SABTU | 30.07.2022

Bagi peminat alam semula jadi dan mereka yang sukakan aktiviti merentas hutan (jungle trekking), Cameron Highlands menawarkan sekitar 14 denai hutan (jungle trail) untuk diterokai.

Hasil carian di internet, saya dapati denai hutan #4 (Jabatan Perhutanan ke Parit Waterfall) menawarkan laluan paling mudah, tak memerlukan juru pandu arah dan mengambil masa sekitar 30 minit perjalanan bagi satu hala. Manakala denai hutan #5 (MARDI ke denai hutan #3) adalah laluan kedua paling mudah, tak memerlukan juru pandu arah dan mengambil masa sekitar 1 jam perjalanan bagi satu hala.


DENAI HUTAN #5 | MISI YANG TAK TERLAKSANA

Saya memilih untuk ke denai hutan #5 (MARDI ke denai hutan #3) kerana lokasi MARDI yang terletak tak begitu jauh dari penginapan kami iaitu di The Cool Point Hotel. Jadinya bolehlah saya dan encik suami berjalan kaki dari hotel menuju ke MARDI, tak perlu naik kereta pada hari Sabtu yang sesak dengan kenderaan di jalan raya.

Berpandukan Google Maps (carian : Jungle Trail 5), saya pilih mod berjalan kaki. Kami melintasi jalan, kemudian berjalan di laluan taman rekreasi dan padang awam, sehinggalah kami tiba di MARDI - Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands.

Tiba di kawasan parkir, kami ambil jalan ke kiri (dalam gambar). Seorang pengawal yang berada di situ bertanya, “Nak pergi mana?”. Saya jawab, “Trail 5”. Pengawal tadi menganggukkan kepala. Selepas itu baru kami faham kenapa dia bertanya, sebabnya kawasan taman agro ni tidak semua berpagar. Jadinya ada kemungkinan orang boleh masuk melawat (melalui bahagian yang tak berpagar) tanpa membayar tiket di kaunter. Kami pula tidaklah berminat nak masuk taman agro ni sebab dah pernah masuk beberapa kali sebelum ini.

Perjalanan diteruskan dengan melalui jalan tar yang mendaki. Kami berjalan perlahan saja dek kepenatan dan sambil menikmati keindahan flora di sepanjang laluan. Setelah berjalan sejauh 1.3 km (berdasarkan kiraan jarak di Google Maps), akhirnya kami tiba di laluan permulaan denai hutan #5. Lokasinya bersebelahan dengan deretan rumah peranginan KoMARDI.

Tapi tak jauh pun kami berjalan, langkah kami terhenti bila melihat denai permulaan yang tak begitu jelas. Tertutup dengan rumput-rumput tinggi. Bimbang pula kalau kami masuk dan sesat, terpapar berita berkenaan sepasang ‘remaja purba’ diselamatkan setelah tersesat di hutan Cameron Highlands. Haha! Tambahan pula masing-masing dah kurang semangat sebab dah kepenatan mendaki jalan tadi. Maka, seorang ajak patah balik dan seorang lagi setuju aje. Yaa…sudah. Begitulah berakhirnya misi denai hutan yang tak terlaksana.

Marilah kita berpatah balik. Beginilah laluan kami tadi. Ni foto semasa nak menuruni jalan. Masa naik tadi tak larat dah nak berfoto-foto. Layan jaga pernafasan je sambil sesekali berhenti sebab terpesona memerhati bunga-bunga cantik yang tumbuh liar di tepi jalan dan di dalam semak belukar. Seronoknya di CH ni, cuaca nyaman sejuk je. Langsung tak berpeluh. Jadinya selesa jelah sepanjang berjalan.


SANTAI PAGI DI PADANG AWAM MDCH

Dah tak jadi jalan-jalan dalam hutan, marilah kita jalan-jalan di padang awam saja. Sebuah padang yang dijaga baik dan lengkap dengan kemudahan untuk orang awam beriadah.

Di tepi padang ada disediakan laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal (warna biru). Sebelah tu aliran Sungai Bertam. Dasar sungai bukanlah batuan atau pasir, tapi dah disimen mungkin untuk memudahkan kerja pembersihan. Memang bersih pun sungai ni, sedap mata memandang.

Orang lain berbasikal, berjoging atau berjalan kaki, saya pula sibuk memerhati dan memotret sana sini.

Selain disediakan bangku batu di tepi laluan, di sini terdapat beberapa buah tempat rehat berbentuk tube.

Di seberang padang sana, kelihatan Masjid Abu Bakar dan bangunan sekolah.


TAMAN KEPUTERAAN 

Dari padang, kami menuju ke Taman Keputeraan pula. Lokasinya cuma bersebelahan dengan padang awam tadi.

Terdapat sebuah menara jam dan taman permainan kanak-kanak.

Eh, ada almari comel menempatkan bahan bacaan. Usaha yang baik! Saya ambil masa lama sedikit di sini sebab menyusun bahan bacaan yang bersepah-sepah tu. Sakit mata saya tengok. Ada buku berbahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Beginilah saya apabila ke tempat yang penuh dengan hijau alam. Sibuk memerhati dan memotret segala yang terlihat menarik di mata saya. Walaupun akhirnya banyak yang kena delete, sebab tak semua yang cantik dipandang mata, akan nampak cantik dalam bentuk foto.

Letak satu foto bunga sebagai kenangan.

Ok, itu sajalah catatan riadah pagi kami di Tanah Rata, Cameron Highlands. Keseluruhan masa yang diambil adalah sekitar 1 jam 30 minit dan dapatlah 6,000 langkah untuk pagi ni. Alhamdulillah, seronok dapat jalan-jalan menikmati udara pagi yang nyaman di CH. Orang pun tak ramai, tenang je.




Thursday, 11 August 2022

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands Sudah Boleh Dilalui

JUMAAT | 29 JULAI 2022

Selesai urusan encik suami di Kuala Lipis, perjalanan kami diteruskan untuk kembali ke rumah di PP. Berdasarkan jarak dan masa, memang lebih baik jika kami melalui jalan Sungai Koyan ke Cameron Highlands (Laluan Persekutuan 102 juga dikenali sebagai Jalan Ringlet - Sungai Koyan).

Beberapa hari sebelumnya, saya dah pun buat semakan status laluan tersebut di laman FB rasmi ‘JKR Cameron Highlands’. Ini kerana sejak bulan Mei 2022, laluan ini ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan di beberapa tempat. Kalau tak semak status, nanti kecewa bila tiba di pertengahan jalan kena berpatah balik pula. 

Jadinya dah boleh lalu atau tidak ni? Alhamdulillah, dah boleh lalu bermula 7 Julai 2022 lalu. Tetapi pembukaan sebelah laluan dan untuk kenderaan ringan dengan had muatan 5 tan ke bawah sahaja sebab kerja-kerja penyelenggaraan masih belum siap.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Jalan Sungai Koyan - Cameron Highlands
Berdasarkan catatan di blog, kali terakhir kami melalui jalan ini adalah pada bulan Mac 2022. Iaitu sekitar 4 bulan yang lalu. Papan tanda amaran kawasan lintasan hidupan liar (dengan gambar gajah) tu macam baru juga dipasang. Tak tahulah kot memang dah lama wujud tapi saya yang tak perasan. Siap ada nombor telefon PERHILITAN tertera di situ.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Lokasi pertama.
Ada 2 tempat di mana hanya sebelah laluan saja dibuka. Ini yang pertama, lokasinya berhampiran Empangan Susu.

Laluan Sungai Koyan Ke Cameron Highlands
Lokasi kedua.
Dan satu tempat lagi ni terletak tak jauh selepas lokasi pertama tadi. Saya rasa seram juga bila pandang kawasan tanah yang runtuh semasa melalui kedua-dua tempat ni. Tempat-tempat lain cuma ada sedikit kerosakan jalan atau runtuhan kecil di bahu jalan. 

Sampai di simpang tiga ini, tamatlah laluan dengan jarak sekitar 80 km. Nak balik rumah PP, ambil ke kiri untuk lalu Jalan Tapah. Tapi kami ambil ke kanan, sebab kami nak bermalam di Tanah Rata. Dari Tanah Rata boleh terus lalu Jalan Simpang Pulai untuk balik rumah. Walau pun sedia maklum esok hari Sabtu mesti sesak jalan di CH, tambahan pula cuti Awal Muharam. Kami bukan nak jalan ke mana pun, sekadar nak menikmati udara sejuk dan nyaman di CH.

Aidilbadri Strawberries Tanah Rata
Makan di Aidilbadri Strawberries Cafe & Farm.
Sampai di Tanah Rata, kami terus ke Kampung Taman Sedia untuk mengisi perut. Masa tu dah lewat petang, iaitu sekitar pukul 6.20 petang. Kedai makan yang ada di situ banyak yang sedang berkemas untuk menutup operasi. Mujur ada sebuah kedai makan yang masih menerima pengunjung. Dapatlah kami makan di Aidilbadri Strawberries Cafe & Farm. Pertama kali kami mencuba makan di sini. Alhamdulillah sedap nasi lemak sambal strawberi, scone dan yang paling sedap fudgy brownies.

———————————————————————————————-

Esok paginya hajat di hati nak pergi mengulang makan fudgy brownies, tapi memang tak dapatlah. Hujung minggu di Cameron Highlands adalah hari-hari yang cukup sesak. Walaupun konon dah berpagian (sampai di Kampung Taman Sedia sebelum pukul 8 pagi), tapi kami tak dapat parkir. Siap pusing belakang ikut jalan ke Jabatan Perhutanan tu pun masih tak dapat tempat parkir yang selamat. Takpelah, bukan rezekinya. Syukur juga dah dapat makan petang semalam, lagi pun tak bagus selalu makan manis-manis (ayat pujuk hati…haha).

Tengah hari Sabtu, disebabkan kesesakan teruk dari pekan Tanah Rata arah ke Kea Farm, kami ambil keputusan lalu Jalan Tapah untuk balik ke rumah (sepatutnya ikut Jalan Simpang Pulai untuk balik ke utara). Berdasarkan pengalaman lalu, kami pernah ambil masa selama beberapa jam dari Pekan Tanah Rata untuk sampai ke simpang tiga Kampung Raja disebabkan kesesakan jalan.

Jadinya pilihan terbaik adalah melalui Jalan Tapah. Kenderaan kami bergerak lancar kecuali di beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti di Cameron Bharat Plantation. Merasalah kami melalui Jalan Tapah yang dah bertahun tak pernah kami lalui. Jalan Tapah ni merupakan laluan dari/ke Cameron Highlands yang paling mencabar berbanding laluan lain - sempit, berliku dan ada tempat yang sukar untuk kita nampak kenderaan dari arah bertentangan.