Wednesday, 13 May 2026

Persediaan Ke Tanah Suci Untuk Umrah dan Ziarah

Sambungan entri terdahulu —> Kembara 8 Hari 7 Malam di Bumi Haramain

Entri ini merupakan catatan persediaan umrah pertama saya sebagai kenangan dan rujukan sendiri pada masa akan datang. Semoga catatan ini memberi sedikit panduan bagi kalian yang berhasrat mahu menunaikan umrah buat kali pertama.


Persediaan yang saya lakukan sebelum ke Tanah Suci :

⏵ MENCARI SYARIKAT PENGENDALI UMRAH YANG DIPERCAYAI
Agak sukar juga mencari syarikat pengendali umrah yang dipercayai di wilayah utara (Perlis atau Kedah) yang menyediakan pakej umrah bagi tempoh perjalanan kurang 10 hari.

Kenapa saya perlu pakej umrah kurang 10 hari? Encik Suami tak dapat nak bercuti panjang, lagi pula cuti umrah tersebut perlu ditambah beberapa hari bagi perjalanan pergi balik KL-Perlis dan cuti rehat selepas balik dari umrah.

Setelah agak lama saya mencari dan mengkaji, kami akhirnya memilih syarikat Rayhar Travels sebagai pengendali umrah. Pejabatnya terletak di Alor Setar, kira-kira 63 km dari rumah Perlis. Alhamdulillah…lega satu hal yang sangat penting.


⏵ PEMILIHAN TARIKH PERJALANAN
Tiga faktor berikut diambil kira bagi pemilihan tarikh perjalanan kami :
  • Bukan musim panas - buat carian ramalan cuaca.
  • Sesuai dengan kerja Encik Suami - pilih waktu dijangka kurang sibuk.
  • Mengambil kira waktu cuti solat saya -  pilih tarikh ‘selamat’. Saya rujuk aplikasi My Calendar (period tracker) yang telah saya gunakan sekian lama.

Setelah mempertimbangkan faktor di atas, kami memilih Promosi Syawal selama 9 hari 7 malam dengan tarikh perjalanan 7 - 15 April 2026. Terdapat dua jenis pakej ditawarkan, kami ambil pakej Safwah Jimat. Walaupun pakej ini 9 hari, tetapi dalam catatan saya nyatakan 8 hari di Bumi Haramain kerana pada awal pagi hari ke-9 kami sudah pun tiba di tanah air.

Klik poster untuk paparan lebih jelas.

⏵ BAYARAN PAKEJ
  • Deposit - RM1,000
  • Bayaran kedua - RM4,000 (2 bulan sebelum tarikh berlepas)
  • Baki bayaran akhir - 30 hari sebelum tarikh berlepas.

⏵ PERSEDIAAN DOKUMEN
  • Pasport antarabangsa - tempoh sah laku 7 bulan sebelum tarikh berlepas.
  • Buku vaksin meningococcal - dapatkan suntikan vaksin paling lewat 14 hari sebelum berlepas.
  • Gambar saiz visa umrah untuk permohonan visa.
  • Insurans berkelompok - sudah termasuk dalam pakej.
  • Insurans tambahan (insurans individu) - perlu bayaran tambahan. Kami beli sendiri Etiqa TripCare 360 Takaful (International - Area 3) bagi tempoh 1 tahun.

⏵ PERSEDIAAN ILMU & INFO
  • Persediaan ilmu ibadah umrah - hadir kursus anjuran Rayhar Travels, menonton YouTube dan membaca buku berkaitan.
  • Cari info berkaitan pemakaian/keperluan diri, suasana di Masjidil Haram & Masjid Nabawi dan segala hal berkaitan perjalanan kembara di Bumi Haramain menerusi tontonan YouTube dan membaca perkongsian mereka yang pernah ke sana.
Persediaan ilmu dan info akan membantu kita bagi membuat persediaan fizikal, mental dan kelengkapan yang perlu dibawa.


⏵ PERSEDIAAN FIZIKAL
  • Menghampiri tarikh perjalanan, perlu jaga kesihatan - elakkan perkara yang boleh mendatangkan risiko jatuh sakit.
  • Lakukan rutin senaman berjalan kaki bagi meningkatkan stamina dan sebagai persediaan - kita akan banyak berjalan kaki untuk ke masjid dan aktiviti ziarah.

⏵ PERSEDIAAN MENTAL
  • Bersedia menghadapi pelbagai ragam manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia - bersabar dengan kerenah mereka.
  • Pemahaman agama dan budaya hidup mereka mungkin berbeza dengan kita. Berlapang dada menerima perbezaan dan fokus pada diri sendiri sahaja - beribadah dan teruskan buat perkara baik.

⏵ TEMPAH SLOT MASUK RAUDHAH MENERUSI APLIKASI NUSUK
Tempahan slot masuk Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah saya lakukan kira-kira 4 minggu sebelum tarikh masuk. Pihak Rayhar berikan tarikh dan masa dicadangkan untuk jemaah kumpulan kami buat tempahan slot - tujuan pilih masa yang sama supaya boleh masuk ke Raudhah dalam satu kumpulan.


⏵ PERSIAPAN KEPERLUAN DIRI
Agak lama juga saya mengkaji bab pemakaian yang sesuai dan selesa dengan diri saya (begitu juga dengan pemakaian Encik Suami, saya uruskan). 

Juga perlu fikir nak bawa sedikit saja kemudian cuci pakaian/mendobi atau bawa satu persalinan setiap hari. Memandangkan trip kami cuma 8 hari, saya bawa satu persalinan pakaian bagi setiap hari kecuali tudung saja perlu cuci untuk pakai semula.

Antara keperluan yang saya bawa :
  • Pakaian ihram pantsuit warna putih.
  • Stokin tawaf dan stokin tebal (tidak jarang) sesuai dibawa solat.
  • Mini telekung tanpa kain. Bawa juga satu kain solat, persediaan jika perlu solat di bilik.
  • Jubah.
  • Pantsuit.
  • Tudung labuh/sederhana labuh.
  • Set baju tidur
  • Pakaian dalam, serkup, handsock, stokin - 1 helai/sepasang setiap hari, kecuali handsock tak perlu banyak sebab saya pakai jubah/pantsuit yang sudah menutup aurat lengan. Lain-lain bawa lebih sebagai persediaan jika perlu pakai lebih sehelai/sepasang dalam sehari.
  • Inner seluar untuk pantsuit - perlu pakai jika material pantsuit jenis lembik atau sedikit jarang.
  • Seluar (bukan inner seluar yang biasanya nipis) untuk dipakai bersama jubah - perlu pakai bagi memastikan aurat terjaga ketika melangkah.
  • Ubat-ubatan asas (antaranya - Panadol, Actal, Cetirizine, krim Counterpain) dan vitamin harian (saya bawa Blackmores Vitamin C dan Omega 3 Fish Oil).
  • Spray wuduk (saya gunakan dalam pesawat).
  • Portable bidet (saya gunakan dalam pesawat).
  • Gunting lipat untuk tahalul - bawa sendiri mudah nak guna.
  • Sejadah nipis saiz sederhana untuk kegunaan solat di lantai masjid tanpa karpet.
  • Travel iron - saya bawa sebagai persediaan sebab ada pakaian jenis mudah renyuk.
  • Sos cili peket kecil (sangat berguna bagi meningkatkan rasa makanan yang dibeli).

Saya susun semua keperluan menggunakan travel organizer bag.

Baju dan tudung semua siap bergosok, bila masuk dalam organizer bag ni kuranglah masalah renyuk - cuma ada garis lipatan. Saya bawa juga vacuum compression bag bagi mengisi pakaian yang sudah dipakai - dapat kurangkan ruangan dalam beg dan boleh isi barang yang baru dibeli.

Paling utama adalah persediaan hati - niat ke Tanah Suci untuk mencari redha Allah, mendekatkan diri kepada-Nya. 








Wednesday, 6 May 2026

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Catatan hari Sabtu, 2 Mei 2026.

Saya suka bila Encik Suami ada urusan di sekitar KL dan kami menginap di The Everly, Putrajaya. Penginapan yang selesa, lokasi berhampiran kompleks beli-belah Alamanda dan taman rekreasi Jejak Sisiran 1 - juga dikenali sebagai Putrajaya City Trail.

Pagi hari Sabtu, Encik Suami keluar selesaikan urusannya dan saya pula keluar beriadah di laluan Jejak Sisiran 1. Kali ini saya dah bersedia dengan pakaian bersesuaian termasuk kasut joging. Saya berazam nak brisk walk (berjalan dengan cepat), bukan berjalan santai (sekejap berhenti belek tumbuhan, sekejap lagi berhenti memotret itu ini 😄) seperti kali pertama ke sini dulu - entrinya DI SINI.

Tiap kali nampak sesuatu yang menarik, saya ingatkan diri sendiri jangan berhenti untuk memotret. Sehinggalah tiba di kawasan santuari spesis burung air, ada seekor burung bangau bersaiz besar dengan warna yang menarik berada tak jauh dari kedudukan saya.

Seperti sengaja mahu dirinya menjadi sasaran lensa kamera saya, burung ini tak segera terbang. Burung daripada keluarga Burung Bangau (Heron) ini berjalan ke sana ke sini memberi peluang kepada saya memotretnya dari beberapa sudut.

Inilah hasilnya…

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Masya Allah…cantik sangat!

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Burung ini dikenali sebagai Painted Stork.

Nama Inggeris : Painted Stork
Nama saintifik : Mycteria leucocephala
Nama Melayu : Upih Sawah / Botak Padi

Ciri-ciri Painted Stork :
  • Kaki panjang berwarna merah jambu.
  • Bulu badan warna putih dengan corak hitam di bahagian sayap.
  • Paruh panjang warna kuning terang.
  • Bulu berwarna merah jambu di bahagian belakang.

Puas memotret, langkah kaki diteruskan. Saya berjalan melewati bawah Jambatan Seri Bakti dan seterusnya menghampiri Masjid Putra - masjid dengan kubah berwarna pink.

Nampak kubah cantik warna merah jambu di atas sana? Saya tak naik atas pun, melangkah lebih kurang suku anak tangga je lepas tu berpatah balik. Semangat sangat naik atas, nanti sendiri yang tanggung penat nak patah balik ke hotel 😅

Alhamdulillah…dapatlah saya beriadah sejauh 5.19 km. Jarang-jarang ya saya dapat pergi jauh begini. Seronok betul dapat beriadah di taman yang dijaga rapi dan lengkap kemudahan. Pakai pula kasut yang bersesuaian, kaki rasa selesa walau dah berjalan jauh. Bukanlah tak rasa penat kaki, tapi tidaklah teruk sangat rasanya.

Ada rezeki menginap di The Everly, bolehlah saya brisk walk lagi di sini.