Monday 29 May 2023

Flora, Fauna dan Fungus di Bukit Juru

Memotret flora, fauna dan fungus di hutan menjadi terapi jiwa buat saya. Encik suami pun dah faham dan terpaksa bersabar sebab banyak kali kami berhenti di trek. Tapi kadang tu kalau dia dah terlampau letih, berubah jugaklah air mukanya bila saya kerap berhenti membelek dan memotret itu ini ๐Ÿ˜…. Masa tu saya akan kurangkan berhenti, kunci mulut dan jalan terus. Bukanlah saya tak rasa letih, tapi sebab saya sedang gembira berada dalam hutan menjadikan saya terlupa soal letih.

Berbalik kepada tajuk entri, sebenarnya nak tulis ‘flora, fauna dan cendawan’. Tapi macam lebih sedap pulak bila ada tiga ‘F’ - flora, fauna & fungus. Cendawan merupakan sejenis kulat atau fungus. Kiranya bolehlah saya letak tajuk 3F tu ๐Ÿ˜

Jom kita belek foto-foto flora, fauna dan fungus yang saya temui sewaktu mendaki Bukit Juru di Pulau Pinang. Klik foto untuk paparan lebih jelas dan puas mata memandang.

Flora, Fauna dan Fungus di Bukit Juru
Entah apa nama pokok ini, berbuah agak lebat bergugusan. Kesemua buahnya berwarna seakan merah gelap. Pastinya ia bukanlah buah yang boleh dimakan kerana tak diambil oleh penghuni hutan ini (tupai dan monyet).

Flora, Fauna dan Fungus di Bukit Juru
Pertama kali saya temui benda gini. Tak tau nak panggil cendawan atau apa disebabkan rupanya yang berbeza berbanding rupa cendawan di batang pokok hidup yang pernah saya temui. Nampak macam ketumbuhan pada pokok.

Flora, Fauna dan Fungus di Bukit Juru
Ulat gonggok hutan bersaiz lebih besar dan panjang. Juga rama-rama bersaiz besar yang terbang di tepi trek. Saya berhenti untuk cubaan memotret, sedang elok dia pun datang dekat saya dan berhenti bergerak. Memang mintak difoto agaknya ๐Ÿ˜€

Flora, Fauna dan Fungus di Bukit Juru
Koleksi foto cendawan pelbagai rupa, warna dan saiz. Ada yang tumbuh di lantai hutan dan sebahagian besar yang lain tumbuh di dahan atau batang pokok.



Video berdurasi 1:00 minit.










Friday 26 May 2023

Pendakian Bukit Juru | Puncak IOI

Pada hari Sabtu 20 Mei 2023, saya dan encik suami sekali lagi melakukan pendakian di Bukit Juru. Kali pertama kami mendaki Bukit Juru sekitar bulan Februari lalu. Tetapi pada masa tersebut kami tak menjelajah sehingga ke puncak IOI.

Kiranya di Bukit Juru terdapat tiga puncak atau viewpoint. Kami dah pergi dua darinya pada pendakian lepas, dan kali ini kami akan ke puncak satu lagi yang dikenali sebagai IOI. Tertanya-tanya jugak saya apa itu IOI?

Cara ke Bukit Juru, foto permulaan laluan pendakian (trailhead) dan foto laluan bertangga di awal pendakian, semuanya itu ada dalam entri DI SINI. Tak perlu saya catatkan sekali lagi. Kita terus ke foto dan cerita bermula di simpang pertama.

Jumpa simpang pertama. Ambil kiri ke IOI.
Setelah mendaki anak tangga yang cukup memenatkan, kami tiba di persimpangan pertama. Dalam pendakian sebelum ini, kami ambil jalan ke kanan (ada dua puncak atau viewpoint di situ). Jadinya kali ini kami nak cuba laluan ke kiri pula, menuju ke puncak IOI.

Mendaki dengan ‘berjalan itik’ di sini.
Nampaknya trek di sini agak kurang dilalui orang. Ada yang dah dihalang dengan pokok tumbang (kami jalan di tepi) dan ada ketika kami perlu ‘berjalan itik’ bagi melepasi trek yang hampir tertutup dengan rimbunan ranting kering. Sebelum lalu tu, kita pastikan tak ada sebarang bahaya di sebalik timbunan dedaun kering di lantai hutan dengan menggunakan tongkat hiking (hiking stick / trekking pole). Itulah antara kegunaannya, bukan sebagai sokongan kaki dan lutut je.

‘Berjalan itik’ kalau di jalan rata mungkin tak begitu sukar, tapi sebab trek agak mendaki jadi susah jugaklah bagi orang yang tak biasa dan tak muda ni ๐Ÿ˜…. Pun begitu, ini tidaklah sesukar pengalaman saya sewaktu mendaki Gunung Stong di Kelantan, kami perlu merangkak di bawah rimbunan pokok buluh yang tumbang menghalang trek.

Simpang kedua, pilih kiri ke IOI.
Seterusnya kita akan berjumpa dengan persimpangan kedua. Seperti simpang pertama tadi, arah kanan membawa kepada puncak atau viewpoint yang sama. Ikut arah papan tanda ke kiri untuk trek menuju puncak IOI.

Setelah melalui trek yang perlu ‘berjalan itik’ tadi, menurut saya eloklah jangan pilih ke kiri semasa di simpang pertama. Teruskan saja ke kanan, menuju ke dua viewpoint dan teruskan perjalanan sehingga kita jumpa simpang kedua ni. Lebih mudah.

Trek ke IOI, sekejap lalu trek dengan pencahayaan suram sebab banyak pokok, sekejap lalu trek lapang cerah begini. Dari kedudukan ini, kita dah boleh nampak kawasan hutan dengan pokok tinggi di bahagian atas sana.

Di sinilah permulaan trek dengan suasana hutan yang saya gemari - ada pokok besar/tinggi. Kedudukan pokok rapat-rapat, menjadikan suasana di sini sangat redup dan kadang-kala cahayanya suram. 

Saya melangkah perlahan, menikmati keindahan hutan. Mendongak kepala menyaksikan keindahan kanopi hutan. Maha hebat Allah ❤️

Saya suka dan rasa sangat gembira melalui trek di sini. Aktiviti jalan-jalan dalam hutan yang membahagiakan! Kerap kali saya berhenti untuk memerhatikan suasana sekitar dan tumbuhan yang ada. Juga kadang-kala cuba menangkap pergerakan laju haiwan kecil di sebalik rimbunan daun. Beberapa kali saya nampak tupai dengan warna agak kehitaman melompat sana sini. 

Antara pokok besar yang ditemui di laluan menuju ke IOI.

Di laluan dengan batu besar.

Trek di sini agak landai, tapi tetap menuntut stamina yang baik untuk kaki terus melangkah.

Kami tiba di sini pada pukul 10.40 pagi.
Sampai di kawasan dengan pondok besar ni, maksudnya kita dah berada di puncak atau dikenali sebagai viewpoint IOI ๐Ÿ‘

Selain sebuah pondok besar, terdapat juga beberapa bangku konkrit tertera sumbangan IOI Oleochemical. Terjawablah persoalan saya tentang kenapa puncak ini dikenali sebagai IOI ๐Ÿ˜„

Siap ada alat senaman angkat berat tu! Kawasan di sini juga nampaknya ada yang menjaga sebab nampak ada alat penggaruk daun.

Panorama yang dapat disaksikan dari puncak bukit. Tidaklah begitu menarik, tetapi tak mengapa kerana tujuan saya ke sini hanya mahu menikmati suasana berjalan di dalam hutan. Dapat pemandangan puncak menarik, itu satu bonus.

Selepas berehat seketika, kami berpatah balik dengan melalui trek yang sama untuk kembali ke kaki bukit. Cuma bezanya, kami elak laluan ‘berjalan itik’ dengan memilih trek melalui dua buah viewpoint.

Terima kasih Allah atas izin dan kudrat dari-Nya dapatlah saya menikmati suasana hutan sejauh hampir 4 km! Terasa sangat jauh sebab dah lama tak masuk hutan dengan jarak begini. Memang terasa sangat penat dan badan bermandi peluh. Basah baju yang saya pakai, sampaikan bangku tempat saya duduk rehat pun terkena kesan basah peluh ๐Ÿ˜…

Data dari Samsung Watch saya. Letak sini untuk rujukan.

Saya rasa sangat bersyukur, akhirnya saya jumpa jugak suasana hutan yang saya suka dengan lokasi yang tak jauh dari rumah (sekitar 15 km). Mudahlah nak pergi bila saya rindukan suasana hutan. Treknya juga tak terlalu sukar, boleh dikira tahap sederhana. Cabaran utama pada pendakian anak tangga yang membuat degupan jantung saya meningkat sehingga 187 bpm! Kena perlahankan langkah kaki yang memang tak laju demi mengurangkan kadar degupan jantung. Jarang bersenam, gitulah jadinya.

InsyaAllah foto-foto flora, fauna dan fungus di Bukit Juru akan menyusul pada entri seterusnya ๐Ÿ˜Š




Thursday 25 May 2023

Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi


Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi
Judul : KEMBARA MENALAR DIRI, LEGASI IMAM BIRGIVI
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2022
Jumlah halaman : 440

Sebuah lagi karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang selesai saya baca sekitar bulan Ramadan lalu. Karya ini pernah diterbitkan buat kali pertama pada tahun 2014 oleh KarangKraf, kini diterbitkan semula dan dikemaskini dengan penambaikan teks oleh rumah penerbitan Jejak Tarbiah. Kulit buku edisi kemaskini ini begitu menarik dan nampak segar. Rasa bersemangat saya nak membacanya.

Kembara Menalar Diri, Legasi Imam Bergivi merupakan sebuah travelog yang merakamkan perjalanan penulis sebagai murid sejarah. Sebuah kisah pengembaraan mencari kebenaran yang bertitik tolak daripada penyelidikan penulis terhadap seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16, iaitu Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi.

Penulis mengembara ke Turki, ke lapangan lokasi sejarah, bertemu dengan kepelbagaian ragam manusia dan menyelongkar sisi yang tidak ditemukan dalam karya asing. Segala pengalaman ini menuntun penulis untuk menalar erti kehidupan seorang insan sebagai hamba serta khalifah Allah SWT di muka bumi ini.

Memetik kata-kata penulis dalam satu posting di laman Facebook beliau berkenaan buku ini :
“Pada tahun 2013, saya memandu 1000 km pergi balik merentas banjaran untuk akhirnya tiba di sebuah pusara di bawah sepohon pokok tua yang rendang, tempat bersemadinya tokoh itu, semenjak tahun 1572 yang lalu.

Semasa itu, yang saya temui bukanlah Imam Birgivi, kerana beliau sudah pergi.

Yang saya temui adalah diri saya sendiri, melalui Imam Birgivi. Dengannya saya mengubah perjalanan hidup dan mengembalikan makna diri hidup tanpa kejujuran terhadap diri, adalah fatamorgana lagi ilusi.”

 

SIAPA IMAM BIRGIVI?

Sheikh Muhammad bin Pir Ali al-Birkawi atau Imam Birgivi merupakan seorang tokoh ilmuwan Turki Uthmaniyah terkemuka pada abad ke-16. Beliau dilahirkan di Balฤฑkesir pada tahun 1523 Masihi, dua tahun selepas pertabalan Sultan Suleyman al-Qanuni. Hampir keseluruhan hidup beliau adalah dalam era sultan ini, dengan dua tahun terakhir hayatnya di bawah pemerintahan Sultan Selim II.

Keluarga Birgivi mempunyai latar belakang tradisi sufi dan kesarjanaan Islam yang kukuh. Bapanya, Pir Ali merupakan seorang tenaga pengajar muderris dan shaykh dalam gerakan Tarekat Bayrami.

Perjalanan kehidupan Imam Birgivi daripada seorang anak kampung di Balฤฑkesir kepada sarjana muda di Istanbul dan seterusnya meniti tangga kerjaya di Edirne, beliau tidak alpa untuk sentiasa menyaring diri dan persekitarannya.

Imam Birgivi nekad untuk meninggalkan kemasyhuran semasa berada di kemuncak kejayaan, berhijrah ke daerah Birgi di perut Anatolia dan menyampaikan Islam yang “jernih” ke akar umbi masyarakat.

Pengalaman Imam Birgivi banyak memberi jawapan kepada penulis untuk kembali menilai diri dan perjuangan.


Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi

ANTARA ISI PENTING BUKU INI :

1. Saya tertarik dengan pendapat penulis dalam bab Sunnah : Antara Teknik dan Fitrah (halaman 16 - 23) mengenai pelbagai kursus teknik yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Secara peribadi, saya agak kurang senang bila ternampak iklan kursus atau jualan buku dengan tajuk atau judul ‘teknik Nabi’ atau ‘gaya Nabi’. Seperti ada yang tak kena, tapi dengan keterbatasan ilmu dan pemikiran maka saya gagal menangkap apa yang tak kena dengan kewujudan produk begitu.
  • Secara ringkasnya, penulis menjelaskan bahawa seruan Islam dan pendekatan Nabi Muhammad SAW adalah untuk membetulkan dalaman diri manusia (akidah). Kemudian, segala perilaku positif dan betul dalam mendidik, memimpin dan berinteraksi dengan manusia lain terjadi secara sejahtera malah tidak terbatas kepada satu dua cara sahaja.
  • Penulis memetik kata-kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, “Umat kita dilanda bukan masalah mati pucuk, tetapi masalah mati akar. Akar spiritual yang dicabut daripada intelektual, emosional dan fizikal atas nama sebuah teknik.”

2. Perihal sikap suka meminta-minta (halaman 72 - 74).
  • Islam mengajar kita berdikari. Suka membantu, tetapi tidak suka meminta-minta dibantu tanpa keperluan. Ini bukan sahaja penting untuk memupuk sikap lebih berusaha, malah Allah SWT mahu hamba-Nya menjadi manusia yang memelihara maruah dan menjadi orang yang lebih baik.

3. Tentang sifat malu (halaman 207 - 209). Penulis berkongsi tazkirah oleh Imam Birgivi, antaranya menyebut :
  • Peraturan pertama untuk sifat malu yang mulia adalah dengan berasa malu di hadapan Tuhanmu tentang perbuatanmu yang disisi-Nya, ia adalah keji dan dosa. Kemudian barulah rasa malu yang seterusnya pula muncul, terhadap kelakuan-kelakuan yang rendah, seperti kegagalan untuk peduli terhadap perasaan orang lain, hak mereka dan kehidupan yang mereka miliki. 
  • Sifat tidak tahu malu adalah petanda kepada keangkuhan, rohani yang lemah dan tercicirnya keseriusan dan kesedaran dalam beragama.

4. Berkenaan isu Wahabi dalam bab Lima Tiang Pensejarahan Dakwah Muhammad Ibn ‘Abd Al-Wahhab (halaman 210 - 218). Penulis menafikan tuduhan beliau seorang Wahabi. Beliau juga mengajak pembaca mengkaji pensejarahan ‘Wahabi’. Menurut penulis :
  • Topik Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan gerakannya tidak terbatas kepada topik akidah dan fiqah untuk kita secara pantas dan langsung membuat keputusan mengenainya. Apatah lagi untuk menggunakan istilah Wahabi secara bebas tanpa melunaskan amanah ilmu terlebih dahulu, mengetahui asal usul istilah tersebut dan perkara sebenarnya yang dimaksudkan dengan Wahabi itu sendiri. Sesungguhnya, topik ini terlebih dahulu merupakan topik sejarah.
  • Mungkin dengan kajian yang adil tentang Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab, tidaklah mengurangkan pendirian kita membantahnya. Namun, sekurang-kurangnya tidaklah sampai mengkafirkan sesama Muslim, menasihati jemaah umrah dan haji agar solat di bilik atau jika di masjid sehingga bermufaraqah daripada imam, serta lain-lain tindakan yang memporak-perandakan ummah, ratusan tahun selepas matinya insan yang dibantah.

5. Bab Taubat Seorang Televangelis Muslim (halaman 246 - 256) memperkatakan perihal agamawan dan dunia populariti. Juga bagaimana selangkah demi selangkah penulis berundur diri dari dunia populariti.
  • Televangelism ialah fenomena penceramah-penceramah Kristian menggunakan medium televisyen dan medium media sosial semasa sebagai saluran untuk mereka menyebarkan ajaran mereka. Fenomena ini banyak dibahaskan oleh dunia Barat mengenai pro dan kontranya.
  • Penulis menceritakan ketidakselesaan beliau apabila perlu muncul di kaca tv - wajah dipakaikan compact powder, percakapan perlu dikawal, sensitiviti mesti dirai, hitungan masa untuk memberi laluan kepada mesej komersial serta wajah yang perlu sentiasa sedap dipandang senyumnya. Penulis juga berasa terbeban apabila orang berebut mahu bergambar bersama beliau, yang mana ini bukan kesan yang sepatutnya lahir daripada sebuah dakwah.
  • Penulis berkongsi pesanan Imam Birgivi tentang mengenal pasti kejahatan di halaman 253. Saya sertakan sedikit petikan pesanan tersebut yang menyebut bahawa, “Kemunafikan itu menyelinap masuk ke hatimu melalui tiga pintu - keinginan agar kebaikanmu diketahui orang ramai, harapanmu agar engkau dipuji serta dianugerahkan dengan kemuliaan serta kedudukan sebagai ganjaran perbuatanmu, dan keakuranmu dan rasa enak terhadap kemasyhuran dan ganjaran yang engkau peroleh…”

6. Terdapat tujuh sebab mengapa kita belajar sejarah (halaman 267 - 270). Saya kongsikan secara ringkas tujuh sebab tersebut :
  • Akar - ilmu kita seperti pokok. Sejarah ialah akarnya. Tanpa akar, pokok akan layu dan mati.
  • Memahami - sejarah membantu kita lebih memahami dunia tempat kita menumpang hidup, memahami manusia dan memahami kesan tindak-tanduknya.
  • Sebab musabab - belajar sejarah melatih keupayaan untuk mengenal pasti cause and effect (sebab musabab) kepada satu situasi, menganalisa dan menjadikannya sebagai panduan untuk tindak-tanduk kita seterusnya.
  • Ideologi dan idea - belajar sejarah menjadikan kita lebih menghargai kepelbagaian pendapat manusia. Kita akan memahami bahawa ideologi seseorang berasal daripada idea yang terbit daripada fikiran, perasaan, pemerhatian terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya.
  • Pemikiran kritis - sejarah membuatkan kita berfikir di luar kotak dan tidak secara literal semata.
  • Menilai bahan bukti - sejarah bukan hanya meletakkan asas sesuatu benda yang mesti dibuktikan, malah bahan bukti itu juga perlu dinilai kekuatannya untuk diterima sebagai bahan bukti.
  • Mengaitkan semalam dan hari ini - memahami semalam adalah kunci untuk memahami semasa. Mereka yang buta semalam, akan terjebak dalam bencana mengulangi kesilapannya.

7. Kritikan penulis tentang novel berinspirasikan sejarah Islam yang hanya menggunakan sedikit fakta dan kemudian diolah berdasarkan imaginasi pengarang. Hal ini menyebabkan perkara yang masuk dalam minda pembaca novel tersebut hanyalah imaginasi pengarang dan bukan hakikat sebenarnya. Novel sebegini disangka sedang berbakti untuk sejarah, tetapi hakikatnya merosakkan kebenaran.


BUKAN SEKADAR TRAVELOG

Kembara Menalar Diri - Legasi Imam Birgivi bukan saja sebuah buku travelog tetapi ia juga buku pemikiran. Huraian pendapat oleh penulis banyak membantu saya menjelaskan beberapa kekeliruan isu tertentu.

Pun begitu, ada topik yang sukar untuk saya faham dan hadam. Tetapi tidaklah sampai mengganggu keseronokan membaca buku ini.

Semoga perkongsian catatan bacaan saya ini memberi manfaat bagi diri saya dan kalian yang membaca. Buku yang bagus, tetapi kalau nak mengulang baca tentu bukan mudah bagi saya. Dengan adanya catatan ringkas begini memudahkan saya mengingat kembali sebahagian kecil isi buku setebal 440 halaman ini.


“…medan populis. 
Medan yang memberikan banyak perkara yang saya perlu, tetapi semakin menjauhkan saya daripada perkara yang saya mahu. Medan yang memberikan masyarakat banyak yang mereka mahu, tetapi semakin menjauhkan mereka daripada perkara yang mereka perlu.”  - petikan halaman 418.




Tuesday 23 May 2023

Puas Mandi Kolam di Salak Denai Chalet, Yan

Dalam entri ‘Enam Hari Enam Malam Ke Sana Sini’, saya ada menyebut berkenaan perjalanan kami dari rumah NS ke Yan di Kedah. Bukan atas urusan kerja, tapi kami nak menghabiskan masa hujung minggu bersama ahli keluarga yang lain di Salak Denai Chalet.

Hari Sabtu 13 Mei 2023, saya dan encik suami memulakan perjalanan ke Kedah selepas waktu Zohor. Nak bertolak awal pagi tak boleh pulak sebab encik suami masih ada urusan kerja yang belum selesai. Kemudian kami singgah di rumah PP mengambil pakaian yang bersesuaian untuk aktiviti santai/mandi kolam. Tak bawa siap-siap sebab ikut rancangan awal kami balik ke rumah PP pada hari Jumaat. Jadi hari Sabtu sepatutnya bergerak dari rumah PP ke Kedah. Tapi itulah, rancangan berubah.

Ini kali pertama kami ke Salak Denai Chalet. Kami ikut saja panduan perjalanan di aplikasi Google Maps. Dari Lebuhraya PLUS, keluar tol Sungai Petani. Kemudian melalui jalan yang sedikit berliku dan berbukit menuju ke pekan Yan. Mujur tak panjang laluan tersebut, seramlah jugak waktu malam lalu jalan begitu. Esok siangnya dalam perjalanan balik, barulah saya dapat lihat dengan jelas bentuk muka bumi di situ - sebelah jalan lautan dan sawah padi terbentang, sebelah jalan lagi bukit. Patutlah berliku, rupanya kita lalu di lereng bukit. Cantik jugak pemandangan di sini.

Seterusnya, laluan semakin kecil sehingga cuma muat satu kenderaan (boleh tonton video di hujung entri). Mujur adik ipar dah berpesan berkenaan jalan masuk di sini. Jadi, tidaklah kami ragu-ragu nak meneruskan perjalanan.

Alhamdulillah kami selamat tiba di chalet penginapan kira-kira pukul 10.30 malam. Punyalah mengantuk ๐Ÿ˜ด, saya asyik menguap berkali-kali. Tak mampu nak berborak dengan ahli keluarga lain yang dah tiba lebih awal. Tapi saya masih mampu memotret sekeping dua suasana malam kolam mandi di sini.

Salak Denai Chalet, Yan
Suasana malam di kolam mandi.
Inilah tarikan utama di Salak Denai Chalet - kolam mandi privasi bagi setiap chalet. Bentuk dan saiz kolam mandi adalah berbeza bagi setiap chalet. Kami menginap di chalet Siti Aisyah yang mempunyai dua buah bilik tidur dan kolam mandi dewasa yang lebih besar. Kolam mandi kanak-kanaknya kecik je (lihat foto kedua akhir). Adik ipar (selaku penaja dan menguruskan tempahan) sengaja mintak chalet dengan kolam mandi dewasa lebih besar sebab tak ada kanak-kanak di kalangan kami. Semuanya remaja dan orang dewasa.

Malam tersebut, anak-anak saudara dan encik suami terjun kolam. Seronok sungguh ya malam-malam masuk kolam. Saya hanya mampu memandang, tak mampu nak ikut serta. Esok siang jelah.

Salak Denai Chalet, Yan
Ok, hari dah terang bolehlah kita memotret sana sini. Beginilah pemandangan dari suatu sudut kolam mandi. Dari sini kita boleh nampak perbukitan. Di belakang tangga dan gelongsor tu terletaknya pintu masuk ke chalet penginapan kami. Di sebelah kanan ada pintu kayu untuk masuk ke dalam chalet penginapan.

Salak Denai Chalet, Yan
Ini pintu masuk ke dalam chalet. Terus jumpa dapur. Senang lepas masak terus bawa makanan ke meja depan pintu ni. Boleh makan-makan tepi kolam.

Salak Denai Chalet, Yan
Dapurnya dilengkapi dapur gas memasak, rice cooker, microwave, kuali, periuk dan sedikit peralatan makan. Perlukan lebih dari itu, bawalah sendiri ya. Sebelah kanan dapur ni terletaknya bilik-bilik tidur, ruang menonton dan bilik air di hujung sekali. Bilik airnya ada laluan lain yang bersambung dengan kolam mandi. Jadinya lepas basah keluar dari kolam, tak perlulah masuk dalam chalet. 

Salak Denai Chalet, Yan
Satu lagi pemandangan menarik ๐Ÿ˜ƒ - buah durian bergantungan! Pokok durian ni terletak di belakang chalet kami. Geram tengok banyak gini.

Menginap di sini kita kena memasak atau bawa makanan sendirilah ya. Nak membeli pun agak jauh jugak nak keluar. Awal pagi saya keluar jalan-jalan di sekitar kawasan Salak Denai Chalet (boleh lihat video di hujung entri). Kemudian kembali ke chalet dan mula memasak.

Saya masak mi goreng, encik suami goreng karipap & samosa, manakala makanan lain disiapkan oleh mak mentua, adik ipar dan suaminya. Ayam bakar dan kambing bakar je tak sempat ikut berfoto sebab saya dah berada dalam kolam semasa mereka siap memasak ๐Ÿ˜„

Salak Denai Chalet, Yan
Samosa dan karipap sedap! Lagi tambah sedap bila makan tepi kolam sambil memerhati titisan hujan menimpa permukaan kolam. Hujan turun sekejap pada pagi tersebut. Sekitar pukul 9 lebih, hujan berhenti. Apa lagi, jomlah kita mulakan acara mandi kolam!

Salak Denai Chalet, Yan
Kami tujuh orang semuanya, lagi dua orang tiada dalam foto ini.
Mula-mula cuma saya dan seorang anak saudara je yang masuk kolam. Yang lain ada yang belum habis makan dan ada yang masih membakar ayam/kambing. Lepas tu barulah semuanya masuk kolam termasuk mak mentua. Chalet sebelah riuh dengan suara budak, chalet kami riuh dengan suara orang tua ๐Ÿ˜‚

Orang tua pun bertukar jadi budak bila jumpa air! Ahli keluarga paling muda berusia 13 tahun dan paling tua berusia 70-an. Semuanya seronok bermain air. Macam-macam aksi kami buat. Terjunan, menyelam, menari-nari dan main gelongsor!

Seronoknya main air di sini, kita cuma berkumpul ahli keluarga sendiri je. Jadinya tak perlu bertudung dan lebih bebas buat aksi itu ini. Kecuali saya je yang masih perlu bertudung dan tak boleh bebas sangat sebab ada biras lelaki dan anak saudara lelaki. Ni nak bergambar, masing-masing sarung tudung jugaklah.

Salak Denai Chalet, Yan
Inilah gelongsornya. Bawah tu kolam mandi kanak-kanak. Kalau nak kolam mandi kanak-kanak yang lebih besar, boleh mintak chalet lain. Cakap pasal gelongsor, mulanya saya takut jugak. Dah lama tak main gelongsor. Tapi lepas tengok adik ipar buat, teringin jugak saya mencuba. Eh, seronok rupanya tau! Lepas menggelongsor, terus kita meluncur masuk dalam air kolam tu. Mula-mula je menjerit, lepas tu dah ok. Yang penting, kena ada teknik. Tangan rapat ke badan, tutup hidung sebab nak elak masuk air dan kekal pada posisi duduk. Terus berkali-kali masing-masing main gelongsor ๐Ÿ˜‚

Hampir dua jam saya bermain air (sesekali keluar dari kolam untuk makan/minum/tandas), jari-jemari sampai kecut. Memang main air puas sungguhlah. Lepas tu mandi, tukar baju barulah terasa sakit-sakit badan. Letih sungguh! Sempat terlelap di bilik tidur dek keletihan. Yang mana main air beria, semuanya pakat terlelap lepas mandi ๐Ÿ˜„

Salak Denai Chalet, Yan
Kesan tinggalan tragedi kepala air di Salak Denai Chalet.
Disebalik keseronokan yang ditawarkan di sini, Salak Denai Chalet menyimpan kisah duka tragedi kepala air dari Gunung Jerai yang membawa bersama lumpur dan pokok-pokok balak. Peristiwa tersebut yang berlaku pada Ogos 2021 bukan saja memusnahkan bangunan yang ada di sini, tetapi meragut nyawa salah seorang ahli keluarga pemilik Salak Denai Chalet ๐Ÿฅฒ

Berbalik kepada chalet penginapan kami, seronok ke tidak menginap di sini? Menurut saya, sangat seronok sebab kita boleh main air di ruang tertutup. Kolam mandinya juga cukup luas dan dalam. Airnya sejuk bersih berpunca dari air bukit, ianya bebas klorin. Memang inilah tarikan utama di sini - kolam mandi privasi.

Chaletnya juga cukup luas. Bilik tidurnya memuatkan sebuah katil besar dan masih ada ruang sesuai untuk beberapa orang tidur di lantai (jika ahli keluarga ramai). Ruang tengah yang menempatkan tv juga lapang, boleh bentang toto atau dijadikan ruang aktiviti keluarga. Oh ya, di sini tak kisah nak masuk berapa orang. Terpulang ikut selesa kita.

Bagi penginapan di chalet Siti Aisyah ni, terdapat dua buah tandas (duduk & cangkung) dan dua buah bilik mandi. Cuma saya kurang selesa dengan bilik mandinya yang sangat sempit dan tak ada tempat untuk sangkut tuala/pakaian. Mujur saya memang bawa alat penyangkut di pintu, sangat memudahkan. Cumanya tetap juga tuala/pakaian bersih terkena percikan air mandian sebab ruang terlampau kecil.

Walaupun binaan chalet di sini ala rumah kampung yang ringkas, tapi ianya selesa dan bersih. Harganya pula menurut saya bersesuaian dengan apa yang ditawarkan.

Berikut saya sertakan harga chalet di sini, kot ada yang berminat :
  • Siti Khadijah | 2 bilik | RM350
  • Siti Aisyah | 2 bilik | RM350
  • Siti Safiyyah | 2 bilik | RM350
  • Siti Hafsah | 3 bilik | RM450
Waktu daftar masuk pada pukul 7 malam dan keluar pukul 4 petang. Kalau tak mahu menginap, sekadar nak datang siang saja pun boleh, tolak RM100 daripada harga tertera di atas. Waktu masuk pukul 9 pagi dan keluar pukul 4 petang.


Video pendek berdurasi 1:07 minit memaparkan laluan masuk ke sini, suasana pagi di sekitar chalet dan kolam mandi di penginapan kami.


————————————————————————

SALAK DENAI CHALET
Jalan Peranginan Batu Hampar,
Yan, Kedah.

Info lanjut/tempahan, boleh terus ke Facebook - Salak Denai Chalet.



Sunday 21 May 2023

Lemang dan Ayam Bakar Sedap di Lemang To’ki Bentong

Dalam perjalanan dari Kelantan ke Negeri Sembilan melalui Bentong, Pahang tempohari, kami sempat singgah makan lemang dan ayam bakar di restoran Lemang To’ki. Beberapa tahun lalu, kerap kali kami singgah makan di sini sewaktu dalam perjalanan dari/ke Negeri Sembilan - Kuala Lipis, Pahang atas urusan kerja encik suami. Tapi itulah, walau dah kerap makan di sini tapi rupanya belum pernah saya bercerita secara khusus mengenai tempat ini di blog ๐Ÿ˜„

Setiap kali ke sini, biasanya tempat ini sesak dengan pelanggan. Tapi masa kami sampai ni tak ramai orang, mungkin sebab dah lewat petang dan pada hari bekerja (Khamis).

Lemang To’ki Bentong
Tempatnya luas. Ada banyak pilihan sudut untuk kita duduk menikmati hidangan. Kalau dulu kami suka duduk di sudut yang membolehkan mata melihat pemandangan aliran sungai yang terdapat di belakang restoran. Tapi kali ni susun atur restoran sudah berubah. Tiada lagi tempat makan di sudut berkenaan.

Lemang To’ki Bentong
Konsep di sini adalah secara layan diri. Kami menuju ke kaunter yang membuat lemang dan ayam bakar (dalam foto di atas). Biasanya di sini agak panas dan sedikit berasap, tapi ni dah lewat petang mereka dah siap membakar lemang dan ayam. Selain itu, di kaunter ni juga kita boleh dapatkan rendang, sambal hitam dan air asam pencicah ayam bakar. Dah dapat hidangan pilihan, boleh terus ke kaunter bayaran.

Lemang To’ki Bentong
Ada senarai harga, mudahlah kita nak buat pilihan (klik foto untuk paparan lebih jelas). Kalau setakat nak merasa, boleh pilih set lemang. Kalau yang dah tau betapa sedapnya lemang di sini dan nak makan banyak macam kami, terus beli lemang sebatang ๐Ÿ˜„. Bukan senang kami nak sampai sini tau, kenalah beli lebih.

Lemang To’ki Bentong
Kami beli dua batang lemang saiz kecil, mintak keluarkan dari buluh dan letak dalam bekas. Beli juga dua bekas rendang ayam. Sebenarnya saya suka rendang daging buatan mereka, tapi habis ๐Ÿฅฒ. Tak ada rezeki, rendang ayam pun boleh jugaklah.

Lemang To’ki Bentong
Set ayam bakar & air asam.
Kami beli dua set ayam bakar & air asam, harganya RM8.50 / set. Saya suka ayam bakar di sini disebabkan rasa perapan yang sedap dan isi ayamnya lembut berjus. Cicah pulak dengan air asam, memang berselera makan! Cuma kali ini ayam bakarnya mungkin terlebih bakar, jadi saya rasa sedikit liat bahagian luar ayam. Atau mungkin gigi saya yang dah semakin tak kuat ๐Ÿ˜…

Oh ya, air asam tu ada dijual dalam botol 260 ml dengan harga RM7. Kalau dulu rajin kami membeli air asam. Sedap jadi pencicah untuk ikan bakar atau sotong bakar. Tapi mengenangkan sekarang kami tak selalu berada lama di rumah dan sempat masak itu ini, tak perlulah kami menambah koleksi benda-benda terbiar dalam peti sejuk rumah tu.

Lemang To’ki Bentong
Lemang & rendang ayam.
Kami buka satu bekas lemang dan rendang ayam yang dibeli tadi. Nak jugak merasa makan lemang panas. Seperti sebelum ini, lemang buatan Lemang To’ki memang sedap cukup rasa lemak masin, cukup lembut dan tak berkerak. Makan sambil tersenyum dan pejam-pejam mata!

Eh, makanan lain tak ada ke? Ada. Kalau tengah hari tu ada nasi campur. Kalau tak suka lemang boleh pesan makanan bergoreng. Saya nampak ada macam-macam menu lain. Tapi kalau kami ke sini, memang suka makan lemang dan ayam bakar tu jelah. Ulang-ulang pun tak bosan, bukan dapat makan selalu pun.

Bagusnya restoran Lemang To’ki ni ada menyediakan tandas yang selesa. Kekurangan tempat ini, ruangan parkirnya sangat terhad. Kalau nak mudah dapat parkir dan mudah nak membeli lemang tanpa perlu beratur panjang, usahakan datang pada hari bekerja.

Nak ke sini boleh buat carian di Google Maps - Lemang To’ki. Lokasinya terletak di sebelah kiri jalan jika kita dari bandar Bentong. Ada satu lagi cawangan mereka iaitu Lemang To’ki 2 yang terletak di Jalan Karak, Bentong. Ruang parkirnya lebih luas. Bolehlah pilih nak pergi mana satu. Setakat ni kami lebih suka pergi restoran pertama sebab rasa lebih meriah.

————————————————————————

LEMANG TO’KI
Batu 2, Jalan Tras,
Bentong, Pahang.

Waktu operasi :
Selasa - Ahad | 7 pagi hingga 12 tengah malam
Isnin | Tutup




Friday 19 May 2023

Catatan 11 Mei 2023

Catatan hari Khamis 11 Mei 2023, iaitu hari terakhir kami di Gua Musang, Kelantan. Kami memulakan perjalanan meninggalkan Gua Musang menuju ke rumah di Negeri Sembilan kira-kira pukul 2 petang.


Cuaca panas terik di Gua Musang dengan suhu 35 darjah Celsius.

Bandar Gua Musang, Kelantan
Sempatlah saya merakam gambar jejantas yang tertera tulisan ‘GUA MUSANG’. InsyaAllah ada rezeki kami akan kembali. Walaupun dah beberapa kali ke sini, tapi kami masih belum sempat meneroka kawasan sekitar. Maklumlah, kedatangan kami ke sini atas urusan kerja encik suami. Dengan jadual kerja yang padat, tak sempat nak jalan-jalan.

Hentian Gua Musang
Kami berhenti seketika di stesen minyak Shell yang terletak di Hentian Gua Musang. Eh, dah ada Mc Donald’s di sini! Katanya ia baru beroperasi pada awal tahun ini.

Hentian Gua Musang
Deretan bendera berkibar megah di bawah terik matahari.

Merapoh, Pahang
Jalan Merapoh - Gua Musang / Lebuhraya Kuala Lumpur - Gua Musang
Pemandangan indah langit membiru, gumpalan awan putih dan perbukitan batu kapur di kanan dan kiri jalan. Ini antara laluan yang saya suka sebab sajian pemandangannya. Laluan ini juga biasanya sunyi dan agak lengang, hanya sesekali ada kenderaan lain. Tak tahulah kalau pada musim perayaan, mungkin laluan ini sibuk dan sesak oleh anak perantau yang pulang.

Terowong Genting Sempah
Terowong Genting Sempah, terowong lebuh raya yang pertama di Malaysia.
Dah lama saya tak lalu Lebuhraya Karak, rasa agak seram sewaktu melalui jalan berliku dan berbukit di sini. Menghampiri Terowong Genting Sempah, terkejut pulak saya tengok poster besar Pemangku Raja Pahang (foto di atas).

Setelah melalui perjalanan kira-kira 6 jam - keluar masuk lebuh raya, merentasi beberapa negeri, siang bertukar malam, akhirnya kami selamat sampai di rumah NS. Alhamdulillah! Sepanjang perjalanan, ada satu kali kami berhenti makan iaitu semasa di Bentong. Tempat makan yang suatu masa dahulu sering saya kunjungi. InsyaAllah catatannya pada entri akan datang.







Thursday 18 May 2023

Dua Hari Berturut Makan Malam Dengan Sup Kambing

Setiap kali berpeluang ke Gua Musang, Kelantan saya dan encik suami tak melepaskan peluang menikmati hidangan sup di Warong Muse. Pada kunjungan baru-baru ini, kami sempat makan sup kambing selama dua hari berturut sebagai hidangan makan malam. Cukup puas dapat makan dua kali ๐Ÿ˜ƒ

Biasanya kami makan malam sebelum pukul 7 malam. Jadinya selepas encik suami balik dari kerja waktu petang, terus saja kami keluar makan. Waktu malam bolehlah berehat di bilik hotel. Jarang kami keluar malam di sini sebab encik suami pun dah kepenatan bekerja di bawah terik matahari.

Foto-foto di bawah adalah hasil memotret sewaktu kami ke Warong Muse dua hari berturut :

Gua Musang, Kelantan
Selasa | 9 Mei 2023, 6.22 petang.
Kalau datang sini waktu siang, saya biasanya memilih duduk di meja yang terletak di bawah rimbunan pokok buluh. Rasa lebih santai menikmati suasana petang di sudut ini. Memerhati perubahan langit senja, keindahan sembilan menara Masjid Razaleigh (yang masih belum sempat kami kunjungi) dan Stesen Keretapi Gua Musang. Saya perasan juga kawasan perumahan yang dulu sunyi kini sudah pun meriah dengan penduduk. Macam seronok pulak tengok kehidupan mereka di tempat aman damai begini. Dekat pulak dengan dua buah masjid unik - Masjid Buluh dan Masjid Razaleigh.

Gua Musang, Kelantan
Hari pertama, kami memesan dua set sup kambing. Set maksudnya ada sup kambing dan potongan roti. Kemudian saya tambah pula roti titab (foto di atas). Teringin. Tapi kali ni kurang cantik kejadiannya, telur separuh masaknya kurang masak. Tercair. Roti titab ni saya makan seorang, encik suami tak berminat. Jadinya saya minta encik suami tolong habiskan set sup kambing bahagian saya yang masih berbaki. Ikut selera nak makan itu ini, tapi perut tak mampu terima banyak ๐Ÿ˜„

Gua Musang, Kelantan
Hari berikutnya, kami memesan dua set sup kambing dan sepinggan nasi lemak. Nasi lemak kami kongsi berdua. Mintak nasi putih untuk makan dengan sup kambing, tapi mereka tak jual nasi putih pulak.

Gua Musang, Kelantan
Rabu | 10 Mei 2023, 7.11 malam.
Pemandangan indah bukit batu kapur di hadapan Warong Muse, lebih tepat lagi di Muse Ecopark. Ada perubahan, kali ini dah ada tulisan ‘Muse Ecopark’ dipasang pada bukit batu kapur tersebut.

Kalian ada ke Gua Musang? Bolehlah mencuba set sup kambing di sini, harganya RM13. Tapi sup hanya tersedia pada waktu petang, iaitu sekitar pukul 2 petang ke atas. Setelah beberapa kali kami makan di sini, rasa sup kambingnya konsisten sedap dan isinya banyak. Tak suka sup kambing? Ada juga pilihan beberapa jenis sup lain, seingat saya ada sup daging dan sup tulang. Tapi pilihan makanan lain tak banyaklah. Cuma sup, roti, nasi lemak dan yong tau foo pada waktu petang hingga malam. Waktu pagi dan tengah hari mereka jual beraneka nasi bungkus dan kuih.





Wednesday 17 May 2023

Welcome Inn GM, Gua Musang

Welcome Inn GM yang terletak di Bandar Utama Gua Musang menjadi hotel pilihan kami setiap kali perlu menginap di Gua Musang, Kelantan. Kali ini kami pilih bilik Family Single + Queen sebab nak bilik bertingkap dan saiz lebih luas selesa untuk penginapan selama dua malam. 

Keluasan bilik memuaskan, tak kecil dan tak luas sangat. Muat bagi kita menunaikan solat dengan selesa. Ada almari, meja serba guna dan tv. Tapi tv tu tak boleh ditonton, tak ada siaran ๐Ÿ˜„

Satu katil queen dan satu katil single. Katil single tu kami buat letak barang.

Bilik airnya kecil tapi bersih selesa. Cuma air di lantai lambat turun, bertakung sekejap setiap kali lepas mandi. Sabun mandi ada disediakan, syampu tak ada. Tapi bukan masalah bagi kami sebab sentiasa bawa peralatan mandian sendiri.

Ada penyangkut baju dan sejadah dalam almari. Mudahlah kita nak sangkut baju tudung segala. Paling penting, almari ni tak ada lipas. Saya pernah dapat almari hotel yang ada lipas. Geli nak guna dan tak tenang nak tidur malam tau.

Pemandangan luar dari tingkap bilik di tingkat 1, menghadap kawasan lapang, perbukitan dan deretan bangunan kedai pejabat. Pada waktu siang, petak parkir di bawah hampir kosong. Tapi menjelang lewat petang, kenderaan mula memenuhi ruang parkir. Banyak kenderaan pacuan empat roda. Mungkin hotel ini menjadi tumpuan penginapan orang dari luar yang ada urusan kerja di sini, sama seperti kami.

Kadar harga bilik di Welcome Inn GM. Harga bilik kami RM120, tapi kami bayar RM108 saja pembelian menerusi Agoda.

Secara keseluruhannya, kami berpuas hati menginap di Welcome Inn GM. Tapi janganlah bandingkan tahap selesa di sini dengan hotel berbintang-bintang ya. Ini cuma hotel satu bintang yang terletak di bangunan kedai pejabat dan tiada lif. Asalkan bersih dan semua keperluan berfungsi baik, itu dah kira puas hatilah bagi saya. Sedikit kekurangan itu ini kita pejam mata sajalah.

Kelebihan menginap di sini, mudah kita nak mencari barang keperluan sebab kedudukan hotel ini satu bangunan dengan pasaraya TMG. Nak sarapan pun senang, ada gerai jualan nasi lemak terletak tak jauh dari bangunan hotel. Gerai nasi lemak ni beroperasi seawal pukul 7 pagi. Kami berjalan kaki je untuk membeli sarapan, kemudian makan di bilik hotel. Ada juga kedai makan yang menjual sarapan, tapi perlu bawa kenderaan sebab terletak jauh sedikit. Waktu tengah hari pula, ada beberapa gerai jualan minuman dan makanan beroperasi di kawasan yang sama dengan gerai nasi lemak.