Tuesday 28 February 2023

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan

Saya pernah makan sate padang yang sangat sedap di Restoran Sate Bundo Kanduang di Pekanbaru, Riau. Jadinya bila ke Medan, saya tak melepaskan peluang mencuba sate padang yang dijual di sini. Ada banyak pilihan tempat makan yang menjual sate padang. Setelah meneliti ulasan di internet, saya memilih untuk mencuba Sate Padang Afrizal Amir.

Tapi saya dan encik suami tak pergi ke kedainya pun, kami beli menerusi GrabFood. Dah penat berulang kali keluar, jadinya malam tu malas nak keluar lagi. Kami makan sate padang di bilik hotel je.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Screenshot pilihan sate di aplikasi GrabFood. Kami mencuba sate padang ayam dan sate padang daging sapi (lembu). Ada juga pilihan beberapa jenis keropok/kerepek untuk dimakan bersama sate padang. Kami pilih kerepek ubi pedas.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Tak lama menunggu, sate padang selamat kami terima. Unik cara bungkusnya.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Beginilah rupa sate padang dalam bungkusan tadi. 6 cucuk sate dan potongan ketupat siap diletak kuah sate padang dengan beralaskan daun pisang. Atasnya ditabur dengan bawang goreng. Sebelum nak makan, saya taburkan pula dengan kerepek ubi pedas.

Sedap pedas rasa kuahnya, tetapi saya lebih suka sate padang di Pekanbaru yang lebih sedap rasa kuahnya menurut selera saya.






Monday 27 February 2023

Polygamist Reader

 

Sebelum ini saya merupakan seorang monogamist reader - fokus membaca satu buku saja dalam satu masa. Tetapi sejak beberapa bulan lalu, saya mulai merasa jemu membaca satu buku dan mula membaca buku lain pula. Buku A belum habis, tetapi saya mula membaca buku B pula. Bukan tinggal terus buku A tau, tetapi saya membaca buku A dan B secara bergilir mengikut mood membaca saya. 

Saya mengenal pasti punca timbulnya rasa jemu pada buku A adalah disebabkan bahan bacaan tersebut agak ‘berat’ dan jumlah halamannya banyak. Perlu lebih tumpuan masa dan fikiran untuk menghadam apa yang dibaca. Itulah kelemahan saya, susah nak fokus bila membaca bahan ilmiah. Maka saya selitkan pembacaan lain yang lebih ringan supaya minat membaca saya tidaklah terus berkubur.

Tetapi tak cukup menambah buku B, saya tambah pula buku C dan buku D ๐Ÿคญ. Puncanya? Gara-gara tak sabar nak baca buku lain yang nampak menarik! Sudahnya, setiap buku mengambil masa yang lama untuk dihabiskan. Buat masa sekarang, inilah empat buah buku yang sedang saya hadam :
  • Kompas 114 - sebuah pengembaraan menghayati al-Quran.
  • Kembara Menalar Diri - sebuah travelog pencari ilmu dan kebenaran.
  • #About Friends - kumpulan kutipan kata-kata penulis tentang persahabatan.
  • Si Anak Spesial - sebuah novel keluarga.

Semuanya buku fizikal kecuali Si Anak Spesial merupakan buku digital, saya baca melalui aplikasi Google Play Books di iPad. Mudah nak baca waktu makan seorang diri di rumah. Letak je depan pinggan makan, sambil makan sambil membaca. Jadinya selain makan sambil menonton, saya ada pilihan makan sambil membaca juga. Dua-dua pun seronok dan mampu menjadi teman makan yang baik ๐Ÿ˜„

Itulah kisahnya bagaimana saya mula menjadi polygamist reader - membaca lebih daripada satu buku dalam satu masa. Bukan baca serentak semua buku tau, tapi bertukar-tukar buku mengikut suasana. Biasanya kalau waktu pagi atau malam, saya lebih suka membaca bahan yang perlu lebih tumpuan.




Sunday 26 February 2023

Kolam Pancing Air Masin Bakau De Baruh dan The Cafe Villa Tok Janggut

Cerita semalam - Sabtu, 25 Februari 2023.

Berkesempatan merasai suasana dan menikmati makanan di dua buah tempat berikut :

๐Ÿ“Kolam Pancing Air Masin Bakau De Baruh, Sungai Sumun, Bagan Datuk

Kolam Pancing Air Masin Bakau De Baruh
Kolam pancing air masin dengan suasana yang sangat menarik! Deretan pokok kelapa di sekeliling kolam pancing memberikan rasa nyaman. Beberapa kali saya nampak para pemancing berjaya menaikkan ikan-ikan bersaiz besar. Saya dan encik suami yang tak pandai memancing pun jadi tertarik dengan aktiviti memancing bila berada di sini.

Tambah menariknya tempat ni, walaupun tak memancing kita masih boleh makan-makan di di sini sambil menikmati suasana. Bolehlah sambil makan kita tengok macam mana pemancing melontar joran dan ikut teruja bila nampak mereka berjaya menaikkan hasil pancingan.

Kolam Pancing Air Masin Bakau De Baruh
Makan-makan kami - mi rebus dan mi goreng mamak (tiada foto). Sedap kedua-duanya, terutamanya mi rebus. Katanya rojak di sini pun sedap juga. InsyaAllah lain kali kalau datang lagi, bolehlah mencuba rojak pula. Oh ya, kalau nak pesan makanan kita kena pergi terus ke kaunter kedai tau. Nanti dah siap akan dihantar ke meja makan kita.

Kalau kalian nak ke sini, bolehlah buat carian ‘Kolam Pancing Air Masin Bakau De Baruh’ di Google Maps. Nak tahu pakej memancing yang ditawarkan? Boleh terus ikuti Facebook - Kolam Pancing Bakau De Baruh.


๐Ÿ“The Cafe Villa Tok Janggut, Changkat Jering

Saya perasan tempat makan ni semasa balik dari Hutan Melintang ke PP pada bulan Disember lalu. Tapi baru kali ini kami berkesempatan singgah makan di sini. Nampak cantik dekorasinya dari luar. Selepas itu baru saya perasan, di sini pun ada homestay yang terletak bersebelahan bangunan tempat makan.

The Cafe Villa Tok Janggut
Dekorasi menarik di salah satu ruang makan - tidak berbumbung sepenuhnya. Kami memilih duduk di sini, tapi kemudiannya salah seorang pelayan kedai memaklumkan boleh berpindah ke ruang berbumbung penuh jika hujan. Masa ni langit dah gelap sikit, macam nak hujan.

The Cafe Villa Tok Janggut
Kami berpindah ke ruang lain. Kot nanti tengah makan hujan turun, leceh pula nak pindah. Ruang ini pun ada tarikannya tersendiri. Barang-barang antik memenuhi ruangan. Termasuklah meja yang kami duduk, kakinya daripada mesin jahit lama menggunakan kaki. Sambil duduk, saya gerakkan kaki mesin jahit. Mengimbau nostalgia zaman sekolah, perlu menjahit beg dan baju kurung Kedah menggunakan mesin jahit kaki bagi subjek Kemahiran Hidup ๐Ÿ˜„

The Cafe Villa Tok Janggut
Makanan yang dipesan pun tiba.

Ikan kembong rebus goreng
Menu istimewa nasi goreng ikan kembong rebus. Istimewa sebab ini merupakan kali pertama saya mencuba makan ikan rebus yang digoreng. Memang sedap ikan rebus goreng, garing di luar dan lembut di dalamnya! Yang kami makan ni ada rasa masin sedikit, macam ikan masin.

Secara keseluruhannya, tempat ni memang menarik terutamanya bagi penggemar barangan antik/lama. Juga banyak sudut menarik bagi yang gemar berfoto. Kalau aspek rasa makanan yang kami makan (rujuk foto), semuanya biasa-biasa saja kecuali ikan kembong rebus digoreng tu memang sedap. Apa pun, cita rasa kita adalah berbeza. Kenalah mencuba sendiri ya.

Bagi yang nak ke sini boleh buat carian ‘Tok Janggut Cottage and The Cafe Villa’ di Google Maps. Terletak di tepi jalan, mudah nampak tapi mungkin susah sedikit nak berhenti dan parkir kenderaan kerana jalan di sini agak sibuk.







Saturday 25 February 2023

Hutan Melintang dan Zura Nasi Lemak Hijau

Petang semalam, saya dan encik suami bertolak dari rumah di PP ke Hutan Melintang, Perak atas urusan kerja encik suami. Kami memulakan perjalanan agak lewat, waktu sudah menghampiri pukul 4.30 petang. 

Kami berhenti menunaikan solat Asar di Hentian Sebelah Taiping sebelum keluar di Exit 146 - Changkat Jering/Taiping/Beruas. Di Changkat Jering ni ada Kuey Teow Theng, encik suami tanya kalau saya nak singgah makan di situ. Malas pula saya nak singgah sebab hari dah lewat, kalau boleh nak cepat sampai ke destinasi.

Perjalanan kami diteruskan melalui jalan yang agak sempit dan berliku-liku melewati pekan Terong dan pekan Beruas. Memasuki Beruas, terpapar papan tanda ‘Selamat datang ke Beruas. Warisan Gangga Negara’. Gangga Negara dipercayai merupakan sebuah kerajaan Melayu-Hindu lama yang berpusat di Beruas.

Perjalanan seterusnya melalui laluan E32 - Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Laluan yang tenang saja, tak banyak kenderaan di sini.

Keindahan panorama mentari senja di WCE. Pukul 7.17 malam tetapi belum pun masuk waktu Maghrib. Sekarang ni waktu Subuh pun lewat, iaitu sekitar pukul 6.20 pagi. Pukul 7 pagi jenguk luar masih gelap.

Alhamdulillah kami selamat tiba di Hutan Melintang sekitar pukul 8 malam. Pusing-pusing cari tempat makan, akhirnya pergi KFC je sebab mudah nampak dan mudah parkir. Tiga ketul ayam goreng dihidang atas pinggan makan, diberi juga satu pinggan kosong. Eh, rasa macam dah lama tak dapat pinggan kan? Biasanya dihidang atas kotak kertas tu je.

Selesai makan sambil menahan mata mengantuk dan penat badan, kami menuju ke hotel penginapan. Kali ni cuba hotel lain pula, kunjungan lepas kami menginap di Hotel Lagenda. Di Hutan Melintang ni cuma ada beberapa hotel je, tak banyak pilihan.

Bilik penginapan kami - Deluxe King Room di VVIP Hotel. Keluasan sederhana, dilengkapi dengan sofa 2 tempat duduk, peti sejuk mini dan tempat gantung baju. Sebuah bilik yang memuaskan. Bilik airnya juga bersih dan selesa digunakan. Rasa puas hati walaupun pada awalnya terasa mahal perlu membayar RM145.

Hotel ni juga ada sediakan lif, mudahlah nak angkat beg. Cuma satu masalah di sini, waktu daftar masuknya pukul 3 petang dan perlu daftar keluar pukul 11 pagi. Encik suami minta sehingga pukul 12 tengah hari, sebab saya akan menunggu di bilik sementara encik suami pergi selesaikan urusan kerjanya. Jadinya dapatlah mengurangkan masa saya perlu melepak di lobi hotel jika urusan encik suami berlanjutan.

Pemandangan dari jendela bilik penginapan kami. Foto diambil pada waktu pagi tadi.

Ini pula foto hidangan sarapan pagi kami - nasi lemak hijau. Dah dua kali ke Hutan Melintang, dua kali juga bersarapan di tempat yang sama. Dalam entri terdahulu, saya ada menyebut berkenaan kedai makan ini tak ada sebarang papan tanda nama. Kali ini dah ada papan tanda nama di jalan masuk ke kawasan kedai - Zura Nasi Lemak Hijau.

Selesai urusan kerja encik suami nanti, kami belum pasti lagi sama ada nak terus balik ke PP atau nak berjalan-jalan ke tempat lain. Kadang tu rasa malas nak berjalan-jalan, tapi alang-alang dah lalu tu rugi pula tak ambil kesempatan melihat tempat orang.





Thursday 23 February 2023

Medan, Indonesia | Tjong A Fie Mansion

Pada pagi hari kedua di kota Medan, kami ke Tjong A Fie Mansion. Sebuah rumah agam berusia lebih 120 tahun milik seorang tokoh filantropi bernama Tjong Fung Nam yang juga lebih dikenali sebagai Tjong A Fie.

Sejarah Ringkas Tjong A Fie
Tjong A Fie berasal dari tanah besar China. Pada tahun 1880 ketika berusia 18 tahun, beliau telah berlayar dan tiba di Labuhan Deli, Sumatera Utara, Indonesia. Beliau memulakan hidup sebagai pekerja bawahan sehingga akhirnya berjaya memiliki perkebunan dan pelbagai bisnes. Ini menjadikan beliau seorang tokoh penting di Medan.

Tjong A Fie meninggal dunia pada tahun 1921. Beliau dikenang sebagai individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Rumah agam milik Tjong A Fie mula dibina pada tahun 1895 dan siap pada tahun 1900. Rumah dua tingkat yang memiliki banyak ruang/bilik ini merupakan kediaman beliau bersama isteri ketiga dan anak-anak mereka.

Rumah tersebut kini dijadikan sebuah muzium bagi orang ramai menyaksikan sendiri sejarah dan pengaruh Tjong A Fie. Sewaktu kunjungan kami ke sini, kami dimaklumkan bahawa sebahagian rumah ini masih didiami oleh salah seorang cucu beliau.


Jom kita lihat foto-foto sekitar rumah agam Tjong A Fie :

Tjong A Fie Mansion
Tjong A Fie Mansion terletak di Jalan Jenderal Ahmad Yani, Kesawan, Kota Medan.

Tjong A Fie Mansion
Setelah melewati sebuah pintu gerbang berwarna hijau, kami tiba di perkarangan rumah Tjong A Fie. Melihat seni binanya, saya terasa bagai berada di zaman lalu (berdasarkan tontonan drama seperti ‘The Little Nyonya’).

Tjong A Fie Mansion
Pintu masuk rumah. Sebelum masuk, kami membayar tiket di kaunter yang terletak di sebelah kanan.

Tjong A Fie Mansion
Tiket lawatan. Selepas mendapatkan tiket masuk, staf berkenaan bertanya sama ada kami mahu melawat sendiri atau perlukan tour guide. Kami memilih lawatan bersama tour guide. Lebih mudah dan lebih seronok mendengar penerangan dari tour guide. Lagi pula bukan setiap ruang/barang ada disediakan info bertulis.

Kami dibawa melawat setiap ruang oleh tour guide - seorang perempuan muda (mungkin berbangsa Cina).  Penerangan diberi dalam bahasa Indonesia.

Tjong A Fie Mansion
Ruang tengah rumah tanpa bumbung untuk menerima kemasukan cahaya sebagai simbol rezeki masuk, ciri-ciri rumah mengikut kepercayaan feng shui. Lebih kurang begitulah yang saya faham. Selesai bercerita berkenaan ruang ini, tour guide menawarkan diri untuk mengambil foto kami di sini. Encik suami tak mahu, maka saya seorang jelah berfoto di ruang yang menarik ni. 

Tjong A Fie Mansion
Hiasan gantungan pelbagai saiz, corak dan warna memberi suntikan elemen ceria di rumah lama ini.

Tjong A Fie Mansion
Ruangan luas di lantai atas untuk majlis tarian. Langit-langit rumah daripada papan dengan motif pepatung. Tentu ada simbolik disebalik pemilihan serangga tersebut.

Tjong A Fie Mansion
Berkenaan perabot yang ada, sebahagiannya merupakan tinggalan sejak zaman dahulu.

Tjong A Fie Mansion
Ruang dapur masak.

Tjong A Fie Mansion
Potret Tjong A Fie.

Tjong A Fie Mansion
Entah berapa bilik/ruangan ada di rumah agam ni. Lupa saya nak bertanya. Di bahagian ini juga terdapat sebuah telaga yang masih berfungsi sehingga ke hari ini.

Tjong A Fie Mansion
Lawatan berakhir apabila kita tiba di pintu ini.

Foto-foto di atas hanyalah sedikit daripada apa yang kami lihat. Tour guide membawa kami ke bilik-bilik tidur, ruang kerja, ruang menyambut tetamu, galeri sejarah, ruang makan dan ruangan lain yang terletak di lantai bawah dan lantai atas rumah dua tingkat ini. Tetapi bukan semua ruangan dibuka untuk lawatan, mana-mana yang bertutup pintu tu tak boleh masuklah ya. Juga tak semua ruangan kita boleh ambil foto.

Lawatan bersama tour guide tamat sekitar 30 minit saja, maklumlah yang di bawa melawat cuma kami berdua. Selepas itu kami sambung melihat-lihat sendiri rumah ini. Kami ambil masa agak lama di ruang galeri, meneliti deretan foto & info tertera berkenaan bisnes-bisnes yang dijalankan, hubungan baik Tjong A Fie bersama Sultan Deli dan pelbagai sumbangan beliau kepada masyarakat.

Setelah melihat sendiri sejarah Tjong A Fie, ada beberapa perkara yang dapat kami simpulkan tetapi tak perlulah dinyatakan di sini. Benarlah, sejarah adalah jendela masa lalu untuk kita memahami situasi semasa.

Berbaloi atau tidak kunjungan ke sini? Dengan harga tiket Rp. 35k saya terasa agak mahal dan kurang berbaloi. Tetapi tak banyak tempat menarik yang boleh kita kunjungi di kota Medan ini, lawatan ke Tjong A Fie Mansion menjadi sesuatu yang menarik bagi memenuhi itinerari. Selain dapat melihat tinggalan sejarah seorang tokoh di Medan, dapat juga saya merasai suasana berbeza berada di dalam rumah agam berusia lebih 120 tahun dengan seni bina klasik.






.

Tuesday 21 February 2023

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia

Bersambung catatan perjalanan di Medan, Indonesia…

Bika Ambon merupakan antara makanan khas Medan yang harus kita cuba jika berkunjung ke Medan. Terdapat banyak pilihan jenama/pembuat kuih istimewa Medan ini, tetapi yang terkenal adalah Bika Ambon Zulaikha.

Kalau ikut perancangan awal, kami nak pergi sendiri ke kedai Bika Ambon Zulaikha untuk membeli Bika Ambon dan dapatlah melihat/membeli sendiri pelbagai pilihan kuih lain yang ada dijual di sana. Tetapi kami tukar fikiran, kami beli saja melalui GrabFood.

Bika Ambon dihantar terus ke depan pintu hotel. Mudah juga begini kan.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Bika Ambon Zulaikha saiz besar dengan perisa Original. Saya pilih perisa asli disebabkan ini kali pertama mencuba makan Bika Ambon. Pilihan perisa lain - pandan dan keju. Kalau ada jual perisa campuran dalam satu pek pun menarik juga. Boleh mencuba pelbagai rasa. Nak ambil pek kecil tak ada pula pilihan tersebut di GrabFood, kalau ada bolehlah ambil pek kecil dua perisa.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Di bahagian sisi kotak tertera pelbagai maklumat produk dan juga pesanan. Selain maklumat produk (nama & alamat pengusaha dan bahan-bahan digunakan), dipesan juga cara melembutkan Bika Ambon  yang mengeras dengan kaedah mengukus/memanggang. Juga ada pesanan agar membeli terus daripada mereka untuk mendapatkan mutu produk yang terbaik. Kuih ini tiada bahan pengawet, jadinya ia tak boleh bertahan lama.

Kotak Bika Ambon yang kami terima tadinya berbungkus plastik, dikemaskan lagi dengan balutan pelekat. Sesuailah untuk kita bawa naik kapal terbang. Walaupun sudah berbungkus rapi begitu, tetap tak dapat menyembunyikan bau harum kuih ini. Bagai memanggil untuk dibuka kotaknya dan dicuba makan segera ๐Ÿ˜ƒ

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah rupa kuih Bika Ambon. Sedap sungguh baunya, mungkin juga kerana ia baru dibuat. Dengan menggunakan sudu yang ada di bilik hotel, saya ‘potong’ kuih Bika Ambon supaya dapat kami nikmati.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah tekstur kuih Bika Ambon, seakan tekstur Kek Gula Hangus. Ia kenyal tetapi lembut. Rasanya juga tidak terlalu manis. Banyak juga saya makan, apa lagi sambil menatap titisan hujan menerusi jendela bilik hotel. Memang layan…cuma tak ada kopi je ๐Ÿ˜

Bika Ambon Zulaikha
Foto tekstur kuih Bika Ambon yang lebih jelas. Foto diambil sewaktu di rumah, kuih dah pun disimpan dalam peti sejuk. Saya biarkan seketika potongan kuih yang nak dimakan di luar peti sejuk, kemudian saya panaskan menggunakan microwave. Rasanya masih kenyal dan lembut seperti baru dibeli, cuma aroma harum sudah berkurangan.

Menurut info di sisi kotak, kuih Bika Ambon dihasilkan daripada bahan-bahan berikut - tepung tapioka (tepung ubi), gula pasir, telur, santan, nira, daun limau purut dan daun pandan. Patutlah sedap baunya, ada limau purut dan daun pandan. Saya buat carian resepi Bika Ambon, nampak leceh juga proses nak menghasilkannya.

Bika Ambon Zulaikha yang saya beli ni harganya Rp. 93,501 termasuk caj pembelian melalui GrabFood. Kalau nak beli di lapangan terbang pun ada, harganya lebih tinggi sesuai dengan lokasinya. Selain Bika Ambon, Medan juga terkenal dengan kuih Bolu Meranti dan beberapa nama kuih lain. Semuanya boleh didapati di kedai oleh-oleh yang terdapat banyak di dalam lapangan terbang.







Monday 20 February 2023

Foto-foto Cendawan di Bukit Juru

Foto-foto cendawan yang saya temui semasa mendaki Bukit Juru kelmarin :

Cendawan di Bukit Juru

Cendawan di Bukit Juru

Cendawan di Bukit Juru

Cendawan di Bukit Juru

Cendawan di Bukit Juru

Cendawan di Bukit Juru

Kalau masuk hutan tak dapat jumpa cendawan, saya akan rasa sedikit kecewa. Suka betul saya membelek cendawan, rupa bentuk dan warnanya begitu menarik perhatian saya. Inilah antara hal-hal kecil yang boleh membuatkan saya gembira ๐Ÿ˜Š






Sunday 19 February 2023

Mendaki Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’

Catatan perjalanan ke Medan, Indonesia masih belum tamat. Entri kali ini saya nak mencatat kisah aktiviti pada pagi semalam - hari Sabtu, 18 Februari 2023. Aktiviti yang menjadi minat saya, iaitu menikmati suasana alam semula jadi di hutan. Lama tak masuk hutan, terasa rindu!

Pendakian saya kali ini ke Bukit Juru yang terletak di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Jaraknya dari rumah sekitar 15 km sahaja. Seperti selalunya, saya cuma berdua dengan encik suami.


Cara Ke Bukit Juru
Terdapat dua trailhead (tempat permulaan laluan pendakian) untuk ke Bukit Juru. Kami memilih masuk ikut trailhead dengan carian ‘1800 Steps Bukit Juru’ di Google Maps. 

Sampai di lokasi, kita boleh parkir kenderaan di kawasan lapang yang terletak di seberang jalan. Terdapat rumah-rumah, Jeti Pertubuhan Kew Ong Yeah dan aliran Sungai Juru di situ. Tiada bayaran dikenakan. Parkir elok-elok asalkan tak mengganggu penduduk.


Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
Rekod pendakian bermula di sini.
1. Dari jalan besar, beginilah rupa laluan permulaan pendakian. Tak perlu berjalan jauh untuk kita tiba di  kaki bukit. Terdapat papan tanda dengan anak panah tertera ‘Bukit Juru’. Ikut saja pandu arah diberi. 

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
2. Laluan di sini jelas, kita cuma perlu mendaki ‘anak tangga’ yang tersedia. Tanah diteres membentuk anak tangga untuk kemudahan para pengunjung. Selain dapat mencapai matlamat memudahkan pendakian, dalam pada masa yang sama ia mengekalkan suasana alam semula jadi (binaan tangga daripada tanah). Kagum sungguh saya dengan usaha mereka yang menjaga laluan pendakian di sini ๐Ÿ‘๐Ÿฝ

Sesuai dengan nama trek ‘1800 steps’, tag penanda diletak pada tempat tertentu. Jadinya kita boleh buat anggaran berapa jauh lagi kita perlu melangkah untuk tiba di puncak. 

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
3. Tiba di sini, ada persimpangan. Papan tanda arah ke kanan tertera ‘TO SEAVIEW’ dan papan tanda arah ke kiri pula tertera ‘LOOP TO IOI/SEAVIEW’.

Kami ikut arah ke kanan, naik ke atas mendaki anak-anak tangga.

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
Pukul 9.09 pagi tiba di puncak Bukit Juru - city view.
4. Alhamdulillah…kami tiba di puncak yang menghidangkan panorama indah kawasan bandar dan dua buah bukit iaitu Bukit Mertajam dan Bukit Seraya. Kami mengambil masa sekitar 35 minit untuk tiba di sini. Pendakian kami perlahan je, saya perlu menjaga kadar degupan jantung jangan terlampau tinggi dan banyak berhenti memotret apa-apa yang menarik di sepanjang laluan.

Rakaman video pemandangan di sini. Suasana nyaman dengan tiupan angin. Cukup mendamaikan. Di sini ada disediakan bangku-bangku untuk kita duduk berehat. Kawasannya bersih dan ada tanaman pokok bunga, seperti taman mini. Kami bersantai di sini sekitar 15 minit. Sempat juga berbual dengan seorang pendaki yang menunjukkan kepada kami pokok tongkat ali yang banyak terdapat di sini. Juga mendengar pengalaman beliau yang bertuah kerana pernah bertemu dengan sepasang pelanduk sewaktu mendaki di sini.

Selepas itu kami meneruskan langkah ke kawasan puncak satu lagi…

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
5. Di sinilah terletaknya tanda ‘1800 steps’. Sejauh mana kebenarannya? Tak tahulah. Tapi yang pasti selepas selesai pendakian, Samsung Watch saya merekodkan lebih 5,000 langkah (data diambil sejak bangun Subuh).

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
6. Di sini juga disediakan bangku-bangku kayu dan hammock. Menariknya, First Aid Box turut disediakan di sini. Bagus sungguh pihak yang menguruskan kawasan pendakian ini.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
Bukit Juru - sea view.
7. Kalau sebelum ni kita dapat lihat ‘city view’, di sini pula kita disajikan dengan panorama lautan menghadap bahagian pulau Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang. Pemandangan tak begitu luas dan tak begitu jelas.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
8. Pemandangan di sudut lain - kawasan perumahan, kawasan kilang, aliran sebatang sungai dan perbukitan.

Dah puas memerhati sekitar dan memotret sana sini, marilah kita turun. Ada pilihan nak berpatah balik atau teruskan perjalanan untuk membuat satu pusingan. Kami teruskan perjalanan…

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
9. Tiba di persimpangan. Kami dari arah ‘SEAVIEW’. Untuk kembali ke kaki bukit di mana kami bermula, perlu ikut tanda arah ‘DOWNHILL LOOP’. Pilihan lain kalau nak teruskan penjelajahan, boleh ke depan lagi ikut tanda arah ‘IOI’.

Menurut info pendaki lain, laluan ‘IOI’ akan membawa kita ke kaki bukit berhampiran kedai makan Mi Ketam. Mungkin itulah trailhead satu lagi. InsyaAllah lain masa kami akan cuba laluan ‘IOI’ pula.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
10. Berbeza dengan laluan semasa naik tadi (tersedia laluan lapang dan bertangga), laluan di sini sedikit mencabar. Awalnya kami ragu-ragu juga nak meneruskan langkah, bimbang silap jalan. Sedang elok masa tu muncul 3 orang pendaki dari arah laluan ‘IOI’, mereka mengesahkan memang inilah laluannya. Mereka berjalan di hadapan dan diikuti oleh kami berdua.

Tak lama kemudian, kami bertemu semula dengan persimpangan pertama (foto no. 3). Dari situ bermulalah perjalanan menuruni anak tangga menuju ke kaki bukit. Perjalanan turun sememangnya lebih mudah, tetapi perlu mengatur langkah jangan terlalu laju menuruni tangga.


Rekod Pendakian

Data dari Samsung Watch.

Mula : 8.34 pagi
Tamat : 10.07 pagi
Highest elevation : 121 m

Alhamdulillah. Menurut saya, tahap pendakian Bukit Juru boleh dikategorikan sebagai agak mudah kerana bukitnya tidak begitu tinggi, trailhead berada berhampiran jalan besar dan tersedia laluan bertangga. Kawasannya juga dijaga baik, tiada sampah bersepah. Kita yang datang ni kenalah turut sama menjaga ya. Seperkara lagi, bukit ini terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal Juru. Jadinya jangan cuba-cuba merayau di luar laluan pendakian atau mengambil sebarang hasil hutan.

Walaupun trek Bukit Juru yang saya lalui ini tidaklah memberikan suasana hutan yang saya mahu (hutan dengan pokok besar dan bunyi orkestra hutan), tetapi ia tetap memberikan rasa bahagia dan tenang buat diri saya. Saya masih dapat memotret cendawan pelbagai bentuk/warna. Paling penting, saya dapat melakukan senaman yang menggerakkan seluruh badan untuk jangka masa lama. Kalau bersenam di rumah, skipping cuma mampu beberapa minit je. Nak capai 5 minit pun seksa ๐Ÿ˜…






.

Friday 17 February 2023

Medan, Indonesia | Menikmati Durian di Ucok Durian Medan

Tahun 2023 ni saya belum merasa makan durian di Malaysia, tetapi rezekinya dapat merasa makan durian di Ucok Durian Medan. Bukanlah sengaja nak berjalan jauh semata-mata nak makan durian, tetapi alang-alang dah ke Medan, haruslah kita mencuba makan durian di kedai menjual durian yang terkenal ini.

Bukan sekali saya dan encik suami ke Ucok Durian Medan ni tau, tetapi dua kali ๐Ÿคญ

Foto dirakam pada kunjungan kedua. Semasa kunjungan pertama, ruangan gerbang ini sibuk dengan kenderaan pikap sedang menurunkan durian.
Ucok Durian - bukan setakat menjual durian untuk di bawa pulang, tetapi ia merupakan kedai makan durian yang agak luas. Sesuai sangatlah bagi kami yang menginap di hotel ni, durian merupakan sesuatu yang dilarang bawa masuk ke hotel. Memang kena makan di kedai je kalau nak makan durian.

Semasa kali pertama datang, kami tiba di sini menghampiri pukul 8 malam. Kelihatan kenderaan pikap sedang menurunkan buah durian. Juga longgokan buah durian di suatu sudut. Suasana terasa begitu meriah. Boleh tonton video di akhir entri ini.

Banyak meja makan disediakan. Pelanggan boleh terus duduk, kemudian pelayan kedai akan datang bertanyakan saiz durian pilihan kita. Durian akan di bawa ke meja kita, dikopekkan dan bolehlah kita nikmati. Kita tak perlu pilih durian dan kalau dapat durian yang tak elok, mereka akan ganti lain.

Di atas meja ada disediakan sarung tangan plastik jernih kalau kita tak mahu kotorkan tangan makan durian. Ada air minuman saiz kecil disediakan secara percuma. Juga disediakan bekas untuk buang biji durian. Di bawah meja pula disediakan bekas (warna hitam dalam gambar) untuk buang kulit durian.

Terdapat 4 pilihan harga durian berdasarkan saiz buah :
  • Rp. 50k
  • Rp. 75k
  • Rp. 100k
  • Rp. 150k

Durian, pulut dan sate kerang.
Sebaik kami duduk di meja, ada yang datang menghantar sepiring pulut dan sepiring sate kerang. Yang ni bukan Ucok Durian Medan yang menjual. Kalau kita makan, nanti bayar terus kepada penjual berkenaan.

Semasa kunjungan kedua, barulah kami cuba merasa pulut dan sate kerang yang dihidang. Pulut tu semata-mata pulut tanpa sebarang isi, cuma terasa sedikit manis. Sate kerangnya pula macam kita makan rendang kerang. Bolehlah sekadar merasa, tetapi bukan makanan yang kena dengan selera kami.

Encik suami pilih durian berharga Rp. 100k. Awalnya saya ragu-ragu sebab baru pertama kali mencuba, encik suami pula yakin sungguh terus pilih saiz agak besar. Kami pernah ada pengalaman makan durian di Pekanbaru, Riau yang rasanya mengecewakan, akhirnya terbazir begitu saja.

Sewaktu pelayan kedai menghidangkan durian di atas meja, saya lihat biasa saja warna isi durian tidaklah begitu kuning menggoda. Tetapi bila dimakan, terasa isinya lemak manis dan ada sedikit pahit. Alhamdulillah sedap! Mungkin rasanya macam kita makan durian D24 di tempat kita.

Sebiji durian yang kami makan ni ada 11 ulas. Siap mengira tu ๐Ÿ˜„

Minuman pilihan kami - teh botol Sosro. Air teh dengan sedikit rasa kelat, tapi sedap.
.
.
Disebabkan rasa durian yang sedap, esoknya encik suami ajak makan durian lagi ๐Ÿ˜‚
Jomlah kita…
.
.

Kunjungan kali kedua pada waktu petang, kami tiba di sini sekitar pukul 5.30 petang. Keadaan agak lengang. Tiada longgokan buah seperti semalam. Cuma ada durian bersaiz besar.

Buah durian saiz besar berharga Rp. 150k.

Sama seperti semalam, isinya lemak manis dan sedikit pahit.

Kami berbual dengan pelayan kedai berkenaan varieti durian yang dijual, menurutnya semua dikenali sebagai durian tempatan. Tiada nama macam di tempat kita - Musang King, D24 dan sebagainya. Walaupun tiada nama yang gah, tetapi rasa durian yang dijual di sini memang terbaik ๐Ÿ‘๐Ÿฝ

Saya tertarik dengan kata-kata yang dipaparkan di kedai ini.

Video berdurasi 0:15 minit - kemeriahan di Ucok Durian Medan.

Bagi kalian yang mahu makan durian di sini, sebaiknya datanglah sekitar pukul 8 malam atau waktu pagi/tengah hari. Kerana stok durian tiba setiap hari sekitar pukul 7 - 8 malam. Kalau datang lewat petang (seperti kunjungan kali kedua kami), tak banyak pilihan saiz durian.

Ada musim ke tak durian di sini? Menurut apa yang kami faham, durian ada sepanjang tahun kerana stok durian datang dari serata tempat. Waktu operasi di sini juga panjang iaitu bermula 8 pagi sehingga 12 tengah malam, mudahlah untuk kita datang makan durian.


Jangan bilang pernah ke Medan, kalau belum mampir ke Ucok Durian.
- tagline Ucok Durian Medan -