Thursday 28 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Bersiar-siar di Laut Andaman & Ke Restoran Terapung

Sambungan entri terdahulu :


BERSIAR-SIAR DI LAUT ANDAMAN

Selesai lawatan di Gua Kelawar, Encik Mahadi membawa kami bersiar-siar di Laut Andaman. Bot dibawa sedikit laju untuk menuju ke laut luas. Kalau yang pakai topi tu kenalah buka, bimbang topi melayang pula.

Nampak tak batu di atas tu berbentuk sisi wajah manusia? Mancung hidungnya!
Encik Mahadi berhenti di beberapa tempat dan menunjukkan kepada kami formasi batuan unik yang terdapat di sekitar Kilim Geoforest Park. Ada diberikan nama tertentu mengikut bentuk batuan tersebut, tapi saya lupa pula entah apa namanya. Yang pasti, semuanya memang sangat unik dan menarik. Asyik sungguh saya menikmati keindahan formasi batuan di sini. Ada batuan yang kelihatan seperti disusun bertimpa dengan batuan kecil di atas sekali. Takjub sungguh dengan penciptaan Allah.

Foto berlatarkan ikon Kilim Geoforest Park.
Bot kami kemudiannya tiba di bukit batu kapur yang terdapat tulisan ‘Kilim Geoforest Park’. Cantik sangat tempat ni, cuma dalam gambar gelap sikit sebab cuaca sedikit mendung. Kami dan para pelancong lain ambil peluang berfoto di sini secara bergilir. Walaupun saya rasa segan sebab kita berfoto sambil diperhatikan oleh orang lain, tapi kalau tak berfoto terasa rugi pula. Kalau yang tak segan tu bolehlah berfoto dengan aksi yang lebih menarik, tidaklah duduk kaku macam saya. Tapi ada juga yang langsung tak mahu berfoto.

Pada perjalanan seterusnya, bot kami turut melalui kawasan yang berhampiran dengan perairan negara jiran iaitu Thailand. Boleh nampaklah pulau di negara jiran.


TANJUNG RHU FLOATING RESTAURANT & FISH FARM

Aktiviti dan tempat terakhir dalam lawatan kami adalah ke restoran terapung. Kami dibawa ke Tanjung Rhu Floating Restaurant & Fish Farm. 

Tempat ni terbahagi kepada dua bahagian, satu bahagian menempatkan restoran dan satu bahagian lagi menempatkan kelong. Binaan di hujung kelong dengan dinding anyaman tu adalah surau. Siap ada papan tanda bertulisan Jawi.

Pertunjukan ikan (fish show).
Staf di sini akan memberi makan ikan dan membuat aksi bersama ikan. Ini merupakan pengalaman kedua saya menyaksikan pertunjukan ikan di Kilim. Menurut saya, pengalaman kali ini kurang menarik berbanding sewaktu kunjungan saya pada tahun 2014 di restoran terapung Hole In The Wall. Info terkini yang saya dapat, tempat tersebut sudah pun menutup operasinya.

Ada ikan berwarna-warni, cantik! Menurut staf di sini, ikan-ikan kecil dibela sebagai sumber makanan untuk ikan besar. Ikan berwarna-warni tu saya tak pastilah apa statusnya, kalau jadi makanan ikan besar macam sayang juga kan.

Set hidangan tengah hari. Tiada dalam gambar - potongan buah oren.
Tibalah waktu makan yang dinantikan oleh saya sebab perut rasa sangat lapar. Semasa kita membeli pakej Mangrove Tour, kita diberi pilihan untuk menambah set hidangan tengah hari dengan harga RM10 / set. Kalau tak mahu ambil set begini pun boleh, sampai di sini kita buat pesanan ikut selera sendiri. Kalau dah ambil set dan nak tambah menu lain pun boleh je. Tak mahu makan? Pun boleh, nikmati sajalah suasana di restoran terapung ni.

Hidangan makan tengah hari disediakan di meja panjang. Jadinya kita akan duduk bersama para pelancong lain di meja yang sama. Di meja saya duduk ni, barisan depan saya semua pelancong asing. Tak tahulah dari mana, ada macam-macam rupa. Bukan orang putih je. Tak berborak pun, cuma bertukar senyum je.

Sedap tak set hidangan yang disediakan? Walau pun ringkas tapi sedap. Nasi goreng, potongan ayam yang digoreng garing dan sup kosong, semuanya dihidang panas. Nasi tu pun banyak, tak habis saya dan encik suami makan. Kalau dikira-kira, memang berbaloi ambil set begini dengan harga RM10. Tak mahal. Tambahan pula dengan suasana makan di atas restoran terapung.

Pemandangan indah dari restoran terapung.

Video berdurasi 03:16 minit memaparkan keseluruhan pengembaraan alam di Kilim Geoforest Park. Ringkas saja tapi bolehlah buat kenangan sendiri dan perkongsian pengalaman bagi yang tak berkesempatan ke sini.

Video kali ini (walau pun dah dikecilkan saiz) gagal dimuat naik di Blogger sebab saiznya melebihi had maksima. Jadinya buat pertama kali saya memuat naik video di YouTube dan kemudiannya kongsikan di sini. Kualiti video lebih baik berbanding saya kecilkan lagi saiz untuk masukkan di Blogger.

Ok, tamat sampai di sini catatan berkenaan Mangrove Tour di Langkawi. Kalau ada ke Langkawi, bolehlah masukkan aktiviti ini. Ianya merupakan satu pengalaman yang cukup menarik dan memberi banyak pengetahuan tentang alam semula jadi. Fikiran pun terasa lebih segar apabila melihat keindahan alam.









Thursday 21 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Gua Buaya & Gua Kelawar

Sambungan entri INI

Encik Mahadi membawa bot kami keluar dari kawasan hutan bakau untuk ke lokasi seterusnya, iaitu Gua Buaya. Eh, ada buayakah?

Kilim Geoforest Park
Perjalanan yang mempesona, bot sedang melalui celahan tebing bukit batu kapur.

Langkawi Mangrove Tour
Di sepanjang perjalanan, pandangan mata saya terpukau dengan keunikan landskap batu kapur di sini. Sungguh saya tak sangka bahawa Langkawi menyimpan khazanah alam seindah begini. Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan alam ini.


GUA BUAYA

Saya sangkakan kami perlu berjalan kaki masuk ke gua. Rupa-rupanya, kita duduk je di dalam bot dan bot akan masuk ke dalam gua.

Langkawi Mangrove Tour
Pintu masuk Gua Buaya.
Pengalaman yang belum pernah saya lalui - masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Laluan yang sempit.
Laluan dalam gua ni agak sempit, memang menguji kecekapan pemandu bot untuk bergerak. Gua ini bukan sentiasa boleh kita masuk ya, bergantung kepada paras air. Macam sekarang ni air surut, bolehlah bot lalu. Dalam gua ni dapatlah kita perhatikan formasi batuan. Saya nampak ada stalaktit saiz kecil.

Sekejap je kita berada dalam ni, sekitar beberapa minit. Macam lalu terowong pendek. Bolehlah buat ambil pengalaman masuk gua naik bot.

Langkawi Mangrove Tour
Batu kapur berbentuk buaya, itulah asal nama Gua Buaya.
Sebaik saja keluar dari gua, Encik Mahadi menunjukkan kepada kami formasi batuan berbentuk buaya. Jadi, itulah asal nama Gua Buaya. Tak ada buaya pun ya. Hehe. Kalau ada buaya, siapa pula berani nak datang sini kan?

Seterusnya, kami dibawa ke Gua Kelawar pula…


GUA KELAWAR

Langkawi Mangrove Tour
Jeti ke Gua Kelawar
Gua Kelawar ni terletak di kaki bukit. Sekelilingnya adalah hutan paya bakau. Manakala pintu Gua Kelawar pula menghadap Sungai Kilim. Inilah keunikan Kilim, adanya ekosistem paya bakau di perbukitan batu kapur.

Bot kami berhenti di jeti ini. Encik Mahadi menurunkan kami semua dan bot beredar ke tempat lain. Di sini kita bebas meneroka tanpa jurupandu lawatan. Di atas ni ada kaunter, perlu bayar RM2 seorang untuk masuk ke Gua Kelawar. Rupanya bayaran masuk gua ni tidak termasuk dalam pakej lawatan. Dalam Gua Kelawar ni sangat gelap, jadinya ada disediakan lampu suluh untuk disewa dengan kadar RM1 saja. Tapi kalau hilang kena bayar RM25. Kami dah bersedia dengan membawa lampu suluh sendiri.

Jom kita teruskan penerokaan…

Gua Kelawar Langkawi
Pintu masuk ke Gua Kelawar.
Tak susah pun untuk kita meneroka Gua Kelawar ni sebab dah disediakan laluan bersimen. Ikut saja laluan tersebut dari pintu masuk sehingga ke pintu keluar. Cabaran utamanya adalah kegelapan di dalam gua. Tapi bagi saya, gua ni tidaklah gelap pekat sebab tak begitu panjang laluan di dalam gua. Ada kemasukan cahaya dari luar. Tapi masih perlu kepada cahaya lampu untuk kita mengatur langkah dengan selamat. Sebelum kita masuk, ada notis larangan guna flash pada kamera. Mungkin tak mahu kelawar terkejut dengan cahaya flash.

Gua Kelawar Langkawi
Kelawar bergantungan di langit-langit gua.
Sebaik melangkah masuk ke dalam gua, saya terhidu bau yang tak sedap. Bau najis kelawar la agaknya. Tapi tak nampak pula mana kelawarnya. Lampu suluh dihala ke sekitar gua untuk melihat-lihat. Pemandangan biasa di dalam gua, kita akan dapat melihat stalaktit dan stalakmit. Tapi tak ada pula stalaktit atau stalakmit yang cantik berkilau seperti yang pernah saya lihat di gua-gua lain.

Sehinggalah lampu suluh kami menyuluh sesuatu di langit-langit gua…sekumpulan kelawar bergantungan! Tak pasti spesis apa, kelawar di sini bersaiz kecil. Bila diperhatikan, seram juga saya lihat rupa kelawar. Rasanya ini merupakan pengalaman pertama saya melihat kelawar bergantungan di langit gua. 

Gua Kelawar Langkawi
Keluar dari gua, kita akan dapat menikmati pemandangan hutan paya bakau. Masa ni cuaca panas terik. Nampak cantik pokok-pokok bakau ni bila disimbah cahaya matahari.

Gua Kelawar Langkawi
Mind your head, watch your step.
Selepas laluan dengan pemandangan hutan paya bakau tadi, sekali lagi kita perlu masuk gua untuk meneruskan perjalanan keluar dari kawasan ini. Nak masuk ni kena berhati-hati, bumbung gua sangat rendah dan pada masa yang sama kita perlu melangkah anak tangga. Jadinya kita kena berjalan sambil membongkokkan badan. Sekejap je, lepas tu boleh melangkah macam biasa. Laluan dalam ni lebih pendek berbanding laluan gua pertama tadi.

Gua Kelawar Langkawi
Tangga untuk naik ke atas bukit.
Sampai di hujung jalan untuk keluar dari gua, terdapat satu tangga kayu dengan notis larangan naik ke atas. Rupanya inilah tangga untuk kita melihat pemandangan atas bukit. Mungkin atas faktor keselamatan maka kita dilarang naik ke atas.

Gua Kelawar Langkawi
Suasana kesibukan di jeti, bot-bot mengambil dan menurunkan pelancong.
Selesai lawatan di gua-gua, Encik Mahadi kemudiannya membawa kami bersiar-siar di Laut Andaman dan ke lokasi terakhir lawatan ini iaitu restoran terapung. Insya Allah catatannya pada entri akan datang.





Tuesday 19 July 2022

Langkawi Mangrove Tour | Aktiviti Memerhati Helang & Menelusuri Sungai Kilim

Pada kunjungan kali ini, saya meletakkan aktiviti Mangrove Tour di Kilim Karst Geoforest Park sebagai aktiviti utama. Sekiranya sempat, teringin juga nak naik SkyCab untuk ke SkyBridge (saya pernah naik SkyCab pada tahun 2014, tapi masa tu SkyBridge belum wujud).

Berdasarkan semakan ramalan cuaca, berkemungkinan hujan pada pagi Isnin. Sedangkan aktiviti air perlu bermula pada waktu pagi. Memandangkan kami cuma ada dua waktu pagi di Langkawi (pagi Ahad dan pagi Isnin), kami buat keputusan pada pagi Ahad buat aktiviti Mangrove Tour dan pagi Isnin kalau tak hujan bolehlah ke SkyBridge.


AHAD | 03.07.2022

Menerusi carian pakej Mangrove Tour di internet (saya berurusan menerusi WhatsApp sebelum tiba di Langkawi), kami pilih pakej lawatan selama 2 - 3 jam, berserta makan tengah hari dan berkongsi bot dengan harga RM65 / dewasa. Bayaran deposit diperlukan, bakinya kita bayar sebelum naik bot. Kalau nak lebih privasi atau datang bersama kumpulan besar, bolehlah sewa satu bot terus ya.

Pakej lawatan ni sebenarnya tak perlu tempah awal pun, sampai di Langkawi kita boleh pilih dari mana-mana agen pelancongan. Nak terus ambil di jeti pun boleh, tapi pastikan datang awal sebelum lawatan bermula pada pukul 10 pagi. Kalau sewa satu bot, tak kisah nak mula pukul berapa asalkan tak melepasi waktu operasi bot. Tapi saya lebih suka tempah awal sebab mudah nak buat pemilihan pakej, perbandingan harga dan rasa senang hati dah urus awal.

Jomlah kita mulakan lawatan…

Langkawi Mangrove Tour
Jeti Tanjung Rhu, Langkawi.
Kami berkumpul di Jeti Tanjung Rhu sekitar pukul 9.45 pagi. Cari pengendali lawatan kita, selesaikan baki bayaran dan kemudiannya kita diberi satu pelekat tertera maklumat pengendali. Lekatkanlah di bahagian yang mudah dilihat.

Langkawi Mangrove Tour
Bot yang kami naiki, ada 13 orang pelancong.
Dalam bot kami ni semuanya orang Malaysia, ada Melayu dan Cina. Pelancong asing dikumpulkan di bot berbeza, mungkin untuk memudahkan komunikasi. Saya orang pertama naik bot, terus pilih tempat duduk depan sekali supaya mudah nak merakam foto dan video. Sangat teruja!

Langkawi Mangrove Tour
Puncak Gorila - puncak bukit dengan bentuk seakan gorila.
Encik Mahadi selaku pemandu bot merangkap jurupandu lawatan bertanya kepada kami, “Nampak tak puncak bukit tu macam bentuk apa?”. Disebabkan sebahagian besar bentuk muka bumi di Kilim ni terhasil daripada batu kapur dan telah mengalami hakisan sejak jutaan tahun lalu, maka kita akan dapat menyaksikan pelbagai formasi batuan unik di kawasan ini.

Langkawi Mangrove Tour
Aktiviti memerhati burung helang.
Perjalanan bot diteruskan ke suatu kawasan habitat burung helang. Encik Mahadi kemudiannya ‘membuang’ kulit ayam dipermukaan air untuk menarik perhatian kawanan helang. Meriahlah kawasan tersebut apabila kawanan helang mula menyambar makanan yang diberi. Sememangnya ia suatu pemandangan yang begitu mengujakan.

Pun begitu, secara peribadi saya kurang bersetuju dengan perbuatan memberi makan helang. Saya lebih suka jika kita dapat memerhati helang dalam kehidupan semula jadi. Bersesuaian dengan tujuan lawatan ekopelancongan, iaitu supaya kita belajar mengenal alam dan menghargai setiap hidupan yang ada tanpa membuat gangguan.

Langkawi Mangrove Tour
Burung Helang Merah.
Encik Mahadi menunjukkan kepada kami burung Helang Merah yang berada di dahan pokok bakau berhampiran dengan bot kami. Helang Merah inilah yang menjadi ikon bagi pulau Langkawi dan asal nama bagi Langkawi, iaitu lang - helang dan kawi - warna kemerahan. Helang Merah mempunyai kepala, leher dan dadanya berwarna putih. Manakala sayap dan bahagian badan yang lain berwarna coklat kemerahan. Memang cantik. Saya rasa seronok dapat memerhatikan helang secara dekat begini di habitatnya. 

Langkawi Mangrove Tour
Burung Helang Siput
Selain burung Helang Merah, kami juga dapat memerhati burung Helang Siput. Saiz badannya lebih besar berbanding Helang Merah. Kepala, dada, bahagian bawah sayap dan ekornya berwarna putih. Manakala bahagian badannya yang lain berwarna kelabu kehitaman. Bagaimanapun, jumlah Helang Siput adalah berkurangan berbanding Helang Merah. 

Langkawi Mangrove Tour
Aktiviti menelusuri Sungai Kilim.
Seterusnya, kami dibawa menelusuri Sungai Kilim. Suatu pengalaman yang cukup menarik sewaktu bot yang kami naiki membelok masuk di celahan hutan bakau. Masya Allah begitu indah pemandangan alam. Memang luas kawasan hutan bakau di Kilim ni dan banyak celahan, ada yang kecil (mungkin muat laluan satu bot kecil) dan ada yang luas (seperti dalam gambar di atas).

Langkawi Mangrove Tour
Memerhati hidupan di hutan paya bakau.
Bot kami berhenti di suatu kawasan yang terdapat banyak monyet. Kumpulan monyet ini bagai sudah bersedia menunggu kedatangan para pelancong dengan ‘menunggu’ di tepi sungai. Entah siapa yang nak memerhatikan siapa ni? Hahaa…

Kalau perasan, dalam gambar ni ada seekor monyet yang sedang berenang. Kisahnya, ada ahli rombongan bot kami yang memberi makan cebisan roti (dengan kebenaran Encik Mahadi). Tapi bila dibaling tu cuma jatuh dalam air sajalah sebab ringan. Monyet lain cuma memerhati, tapi monyet nan seekor ni gigih berenang. Geli hati juga tengok gelagatnya. Tapi kalau tanya saya, memang saya tak bersetuju kita beri makanan kepada monyet. Bahaya untuk kita. Seolah-olah kita mengajar monyet ni untuk mendapatkan makanan dari kita.

Cebisan roti tadi juga rupanya mengundang ikan-ikan lain datang menghampiri bot kami. Leka juga saya memerhati beberapa jenis ikan yang berebut makanan. Ada kawanan ikan jenjulung dengan muncung panjang macam ikan todak, tapi tidaklah tajam macam todak. Juga ada ikan buntal yang cantik (berwarna kuning kalau tak silap ingatan saya), berbadan hampir bulat dengan corak berbintik.

Selesai di sini, lawatan kami diteruskan ke gua-gua pula. Gua dengan nama-nama haiwan. Bersambung cerita pada entri seterusnya.





Friday 15 July 2022

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik

Sewa Kereta di Langkawi

Bersambung kisah mabuk laut. Saya rasa sangat lega apabila feri mula merapat di Jeti Kuah. Rasa mual dan ketidakselesaan perut pun berkurangan. Tapi kepala masih rasa pening. Melihat keadaan saya yang tak sihat, encik suami tolong bawakan beg galas belakang saya.

Keluar dari terminal feri, perkara pertama dibuat adalah ambil kereta sewa. Saya dah buat tempahan awal melalui Shopee dengan kadar RM80 / hari untuk kereta Axia. Bayar deposit RM50 di Shopee dan bakinya dibayar semasa kita ambil kunci kereta di kaunter Shah Kawi Holidays.

Saya rasa sedikit kesal apabila pihak pemberi sewa tak bersihkan terlebih dahulu kereta sebelum menyerahkan kepada pelanggan. Kereta Axia yang kami terima tidak memuaskan dari aspek kebersihan. Antaranya, masih ada sampah tisu terpakai dan plastik jajan di tempat duduk kereta.

Bab sewa kereta ni, kalau masa sampai di Langkawi baru nak cari pun boleh juga. Ramai yang akan mendekati kita dan menawarkan sewaan kereta. Ada yang menawarkan kepada kami serendah RM60 / hari.

Lepas dapat kereta, kami menuju ke hotel penginapan iaitu HIG Hotel yang terletak tak begitu jauh dari Jeti Kuah. Sampai je di sana kami makan dahulu di medan selera berhadapan dengan bangunan HIG. Kemudian barulah daftar masuk hotel.


HIG Hotel - Hotel Islamik

Sengaja kami pilih HIG Hotel ni sebab nak ambil pengalaman penginapan di Kuah. Satu malam di sini dan malam berikutnya di Pantai Cenang pula. Dapatlah merasa pengalaman berbeza.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
Bilik Deluxe Sea View
Inilah bilik penginapan kami - ada pilihan sama ada nak 2 single bed atau 1 double bed. Tapi bilik dengan double bed dah penuh, kami dapat bilik dengan 2 single bed. Staf hotel kata, rapatkan je dua katil ni. Oh ya, ni foto zoom out jadinya katil tu nampak lebih lebar berbanding katil sebuah lagi.

Bilik ni sangat memuaskan - cukup luas, lengkap meja panjang, juga set kerusi meja untuk duduk bersantai. Paling utama, semuanya berada dalam keadaan bersih. Memang sangat selesa tidur di sini. Sesuailah untuk saya berehat pada petang tersebut, tak berjalan ke mana sebab masih pening kepala.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
Bilik air juga luas, bersih dan selesa digunakan. Saya suka rain shower tu dan juga ada paip yang sesuai untuk kita berwuduk.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
HIG Hotel Langkawi - “We are an Islamic Hotel”. Sebenarnya sebelum sampai sini saya tak tahu pun HIG Hotel ni merupakan hotel islamik. Saya cuma tahu ia hotel milik orang Islam iaitu Haji Ismail Group. Rasa seronok bila tahu ini adalah hotel islamik. Antara ciri-ciri hotel islamik - larangan membawa arak masuk ke hotel ni. Bagus sungguh kan? Saya pernah dapat bilik hotel dengan deretan tin arak di dalam peti sejuk mini, memang rasa tak selesa.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
HIG Hotel juga menyediakan sejadah dan telekung. Satu usaha yang baik dan memudahkan bagi tetamu hotel yang tak membawa sejadah dan telekung sendiri.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
Al-Quran terjemahan turut disediakan. Bagus al-Quran ni diletakkan di paras yang tinggi.

HIG Hotel Langkawi - Hotel Islamik
Kutipan bayaran warisan.
Selain bayaran bilik hotel, kita turut dikenakan bayaran tambahan mengikut kategori hotel. HIG Hotel ni bertaraf 3 bintang, jadinya kami perlu bayar RM3 / malam.

Menara MAHA, Kuah, Langkawi
Panorama indah dari jendela bilik penginapan kami.
Masya Allah cantik sungguh pemandangan lautan, gugusan pulau, kapal-kapal layar dan Menara MAHA yang berketinggian 138 meter. Terasa macam lihat pemandangan di luar negara pula. Mungkin disebabkan reka bentuk menara tersebut seakan-akan Menara Eiffel.

Foto zoom in di atas saya ambil pada keesokkan paginya. Pada waktu malam, menara ini dipasang lampu yang bertukar-tukar warna. Boleh tonton video di bawah. Sebenarnya menara ni masih belum siap sepenuhnya dan belum dibuka kepada pengunjung. Bila tengok dari kejauhan dan kerlipan lampu pada waktu malam, saya sangkakan menara ni dah beroperasi.

Keindahan Menara MAHA pada waktu malam.

Selain bilik penginapan yang cukup memuaskan, hidangan sarapan pagi yang disediakan di sini juga memenuhi cita rasa saya. Walaupun tak banyak pilihan (sesuai dengan hotel bertaraf 3 bintang), tetapi semuanya sedap. Paling saya suka - Nasi Lemak Pandan (nasi berwarna hijau), cukup lemaknya dan sedap sambalnya.

Apa lagi yang menarik bila kita menginap di sini? Hotel ni berada di bangunan yang sama dengan Kompleks HIG. Mudahlah kalau nak membeli-belah coklat dan lain-lain. Keluar je hotel, terus ke Kompleks HIG di sebelah. Sepanjang menginap di sini, dua kali kami masuk kompleks untuk membeli coklat sebagai kudapan. Kalau nak beli bawa balik kenalah tunggu hari terakhir di Langkawi.

Insya Allah kalau ada ke Langkawi lagi, HIG Hotel yang terletak di Kuah ini akan menjadi pilihan saya. Kawasan yang tenang, bebas sesak dan mudah nak parkir kereta.





Thursday 14 July 2022

Begini Rasanya Mabuk Laut…

Ini kisah sebelum Hari Raya Aidiladha - percutian mengejut ke pulau Langkawi. Saya katakan mengejut sebab tak ada perancangan awal. Hari Khamis encik suami tanya sama ada saya nak ke Langkawi atau tak pada hari hujung minggu. Sebab encik suami ada sedikit kelapangan jadinya bolehlah ambil cuti pada hari Isnin, kiranya dapatlah kami ke Langkawi pada hari Sabtu dan balik pada hari Isnin.

Sebenarnya saya terfikir juga nak ke Langkawi pada hujung minggu, tapi simpan dalam hati saja sebab fikirkan encik suami biasanya banyak kerja nak disiapkan. Sesungguhnya Allah Maha Tahu setiap bisikan hati hamba-Nya. Alhamdulillah…ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

Jadinya hari Khamis malam tu terus encik suami buat tempahan online tiket feri dan bilik hotel. Manakala tugas saya pula merancang itinerari sepanjang di Langkawi. Berpinar juga mata saya nak buat carian itu ini di internet dalam masa yang cukup singkat. Antara hasil carian yang membantu saya adalah entri blogger Ako Retna - berkenaan Sky Bridge.

SABTU | 02.07.2022

Percutian kali ini akan menjadi kunjungan kali ketiga saya ke Langkawi setelah kunjungan kali kedua sekitar 8 tahun lalu. Dah cukup lama. Bagaimanapun, ini merupakan percutian pertama ke Langkawi semenjak kami berpindah ke utara tanah air. Juga pengalaman pertama saya menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah, berbanding encik suami yang sudah beberapa kali atas urusan kerjanya.

JETI KUALA KEDAH KE LANGKAWI
Kawasan parkir berhampiran Terminal Jeti Kuala Kedah. Caj RM10 / hari.
Dari rumah di PP kami menaiki kereta ke Kuala Kedah. Perjalanan mengambil masa hampir 2 jam dengan jarak sekitar 120 km. Semasa kami berada di satu persimpangan lampu trafik menuju ke terminal, kereta kami didekati oleh seseorang yang menaiki motorsikal. Lelaki tersebut bertanya, “Nak ke Langkawi?”. Encik suami menjawab, “Tak”. Menurut encik suami, mereka inilah ‘ulat parkir’. Dan akan ada ‘ulat parkir’ lain yang akan mendekati kita di persimpangan seterusnya. Kalau kita jawab ‘ya’ mereka akan ajak kita ikuti mereka untuk parkir kereta. Masalahnya, tempat yang dibawa adalah jauh, bukan tempat parkir yang selamat dan caj yang melampau. Boleh baca cerita mereka yang pernah menjadi mangsa DI SINI.

Alhamdulillah kami dapat parkir di kawasan yang sah - ada petak parkir dan ada pondok penjaga parkir. Dekat je dengan terminal. Pun begitu, tetap ada risiko bila kita parkir kereta berhampiran terminal. Iaitu sekiranya berlaku fenomena air pasang besar, ada kemungkinan kereta kita akan dimasuki air laut.

TERMINAL FERI KUALA KEDAH
Terminal Feri Kuala Kedah.
Nak naik feri kita kena datang awal 1 jam sebelum berlepas. Sebelum memasuki bangunan terminal, anggota RELA bertugas akan membuat pemeriksaan dokumen pengenalan diri dan tiket feri (boarding pass). Mulai 1 Julai 2022, hanya penumpang dengan tiket sah selari dokumen pengenalan diri saja dibenarkan masuk terminal. Ini bertujuan mengatasi masalah penyeludupan PATI dan ‘ulat tiket’.

Apa itu ‘ulat tiket’? Mereka ni akan beli tiket feri lebih awal dan menjual semula kepada bakal penumpang (yang terdesak sebab tiket feri habis) dengan harga lebih tinggi. Macam kami ni memang dah membeli tiket secara online di laman www.cuticutilangkawi.com dengan harga RM23 / dewasa untuk perjalanan sehala.

TERMINAL FERI KUALA KEDAH
Beratur untuk pemeriksaan tiket sebelum ke jeti.
Jadual berlepas feri kami adalah pada pukul 12 tengah hari. Sekitar pukul 11.30 pagi pintu ke jeti di buka. Para penumpang perlu beratur untuk pemeriksaan tiket. Satu barisan bagi penumpang yang membeli tiket di kaunter dan satu barisan lagi bagi penumpang yang membeli tiket secara online. Kami beli tiket online secara bersama, jadinya hanya seorang saja perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada Boarding Pass.

TERMINAL FERI KUALA KEDAH
Beratur untuk memasuki feri.
Kali pertama ke Langkawi hampir 20 tahun lalu, saya menaiki feri di Kuala Perlis. Saya ingat-ingat lupa suasananya. Tapi rasanya kali ni macam lebih teratur dan tidak perlu bersesak memasuki feri. Yelah, dah 20 tahun berlalu.

TERMINAL FERI KUALA KEDAH
Sementara beratur, sempat juga saya memotret foto kapal-kapal nelayan. Juga orang-orang yang sedang menguruskan jemuran ikan masin. Klik gambar untuk lebih jelas.

TERMINAL FERI KUALA KEDAH
Tingkat atas feri. Tak seluas ruangan di tingkat bawah.
Masuk saja ke dalam feri, kita beritahu nombor tempat duduk kita kepada krew kapal yang memang berada di pintu masuk feri. Mereka akan tunjukkan arah lokasi tempat duduk kita. Maklumlah, bahagian dalam feri ni luas dan ada dua tingkat. Jenuh juga kalau nak mencari sendiri. Kami dapat tingkat atas. Perlu menaiki tangga kecil untuk ke atas. Beg pun kami bawa bersama memandangkan kami cuma membawa beg galas belakang. Kalau beg besar boleh letak di ruangan beg, tapi kena bertimpa-timpa dengan beg penumpang lain.

Begini Rasanya Mabuk Laut…

Masa mula-mula dapat tahu tempat duduk kami di atas, saya rasa seronok. Konon dapatlah tengok pemandangan lebih luas sebab duduk di tingkat atas. Tapi rupanya, itulah permulaan seksaan bagi saya. Foto di atas saya rakam semasa baru saja mula duduk, orang belum memenuhi tempat duduk dan feri belum bergerak. Memang terasa olengan feri, tapi tidaklah rasa pening. Bolehlah berfoto-foto lagi masa ni.

Tapi selepas beberapa ketika feri mulai bergerak, olengan tadi yang semakin kuat memberikan rasa tak selesa buat saya. Dari tempat duduk saya, apabila memandang ke luar - sekejap nampak lautan dan sekejap tak nampak. Begitulah kesan olengan feri.

Saya rasa pening kepala, perut tak selesa dan tekak jadi mual. Encik suami yang duduk di sebelah kiri saya masih stabil, siap boleh layan handphone. Penumpang lelaki di sebelah kanan saya pula, awal perjalanan terus tidur. Saya cuba pejamkan mata. Oh, rupanya bila pejam mata kurang jugalah rasa pening kepala. Hati terus berzikir minta Allah bantu, janganlah sampai muntah.

Maka sepanjang perjalanan feri yang mengambil masa 1 jam 45 minit, saya hanya memejamkan mata dan berada dalam keadaan yang sangat tak selesa. Pendingin hawa yang terpasang pun tak terasa sejuk, saya berpeluh. Tak boleh nak tidur walau mata pejam. Bukan saya seorang saja yang sedang terseksa, saya mendengar perbualan dan suara beberapa penumpang perempuan lain yang sedang mengalami hal yang sama seperti saya. Patutlah di dalam feri banyak disediakan gantungan plastik hitam, rupanya untuk kemudahan mereka yang muntah.

Oh, begini rasanya mabuk laut. Pengalaman pertama bagi saya. Tak terfikir akan mengalami mabuk laut sebab ini bukan kali pertama saya menaiki kenderaan laut. 

Kalaulah Boleh Memilih Nombor Tempat Duduk Feri…

Nampaknya mabuk laut yang saya alami adalah disebabkan duduk di tingkat atas feri. Yang mana gerakan olengan feri lebih memberi kesan kepada penumpang di atas. Semasa perjalanan baliknya, kami dapat duduk di tingkat bawah. Saya tak mengalami sebarang masalah kesihatan. Lega sungguh rasanya. Dapat menikmati pemandangan di lautan - melihat kapal-kapal nelayan dan benda-benda yang terapung di permukaan laut.

Jadinya, bolehkah kita memilih tempat duduk di dalam feri? Jawapannya - tak boleh. Sistem komputer yang aturkan tempat duduk kita. Memang bermasalah bila guna sistem begini. Yang jenis mabuk laut bila duduk di tingkat atas, tak boleh memilih untuk duduk di bawah. Yang beli tiket bersama ahli keluarga, mungkin duduk terpisah walaupun nombor bersebelahan. Kami pun terkena juga. Masa perjalanan balik, nombor tempat duduk kami 145 & 146. Tapi terpisah di barisan berbeza. Terpaksalah encik suami minta ehsan penumpang lelaki di sebelah saya untuk bertukar tempat duduk.

Harapan saya agar pihak pengendali feri dapatlah ubah sistem sedia ada ni. Berilah penumpang memilih tempat duduk supaya perjalanan menjadi lebih selesa.



Wednesday 13 July 2022

Catatan Hari Raya Aidiladha 1443H / 2022M

Terasa lama tak mencatat kisah di blog, sibuk ke sana ke sini - balik kampung di Johor dan menjenguk rumah sendiri di NS. Perjalanan saya dan encik suami balik ke kampung bermula pada hari Khamis lalu, kebetulan di PP cuti umum sempena George Town World Heritage City Day yang disambut pada setiap 7 Julai. Jadinya encik suami cuma perlu memohon cuti kerja sehari saja (Jumaat), dapatlah kami bercuti lama sikit (Khamis - Isnin).

Dari PP kami terus balik ke kampung saya di Pontian. Walaupun namanya cuti umum, tetap juga ada online meeting yang perlu encik suami hadiri. Maka lambatlah kami bertolak dari PP. Dah tengah hari baru mula bergerak, singgah pula di beberapa tempat untuk beberapa hal. Akhirnya sampai jua di Pontian kira-kira pukul 11.30 malam. Alhamdulillah, lega dan letih. Sempatlah 2 malam di Pontian.

Tahun ni kami sambut Hari Raya Aidiladha di kampung encik suami. Pada hari Sabtu kami bergerak ke Batu Pahat pula - kampung encik suami. Sambutan raya dari aspek makanan, kami sambut ringkas saja. Ahli keluarga yang ada pun tak ramai, cuma dua keluarga saja yang ada. Malam menjelang hari raya saya masak nasi impit menggunakan PPC dan rendang ayam menggunakan pes rendang jenama Tumisan Bonda. Hasilnya tak mengecewakan, sedap aroma masakan sampaikan anak saudara datang menjenguk kuali. Nampaknya lain kali bolehlah beli lagi jenama Tumisan Bonda ni, memudahkan kerja dan jadi penyelamat bagi orang yang masih belum berjaya masak rendang yang sedap (saya la tu…hehe).

Pagi hari raya, saya dan biras memasak lodeh. Mak mentua pula mengukus ketupat palas yang dibawa oleh adik ipar dari Terengganu. Lepas tu masing-masing terus bersiap untuk ke masjid berhampiran. Kami pergi menaiki dua buah kereta. Rumah kosong.

Ahad, 10 Julai 2022 | Masjid Jamek Seri Medan, Batu Pahat
Kami tiba di sini sekitar pukul 8.10 pagi, ingatkan dah terlewat tapi rupanya belum ramai orang datang. Kawasan parkir masih banyak kosong.

Alhamdulillah…kali ni dapat juga saya menunaikan solat hari raya di masjid. Tak ramai pun muslimat, cuma ada tiga saf pendek dan tak penuh pun safnya.

Petangnya kami bergerak ke rumah NS. Hampir dua bulan tak menjenguk, lega saya bila tengok pokok Orkid Harimau dan Pothos hidup segar. Orkid Harimau makin meninggi dan tumbuh anak-anak pokok, manakala Pothos merimbun dan mula menjalar di lantai. Rumah juga dalam keadaan baik. Alhamdulillah. Kami bermalam satu malam di rumah NS. Hidupkan hampir semua kipas, lampu dan peti sejuk untuk mengelakkan rosak kerana lama tak digunakan. Kuali-kuali pun dah nampak berkarat sebab dah lama tak digunakan. Nak dibawa ke rumah PP tak boleh pula sebab rumah PP gunakan induction cooker.

Decathlon Shah Alam
Esoknya dalam perjalanan balik ke rumah PP, kami singgah di Decathlon Shah Alam. Tujuannya nak membeli clip-on sunglasses dan beg je, tapi itulah bila dah masuk Decathlon memang jadi rambang mata saya. Akhirnya kami keluar dengan membawa tambahan barang-barang lain. Itu pun encik suami mengingatkan kepada saya bahawa kami cuma boleh berada di sini selama sejam saja. Haha.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah PP pada waktu Maghrib. Ok, ini saja catatan hari raya kami untuk kenangan pada masa akan datang. Maklumlah, tahun lepas kita masih dalam suasana pandemik dan tak dapat balik kampung pada hari raya Aidiladha. Tahun ni pun masih dalam keadaan berjaga-jaga, COVID-19 masih ada dan sekarang ramai pula yang dijangkiti virus influenza.



Wednesday 6 July 2022

Pulut Pagi - Kuih Tradisional Kelantan

Masih lagi cerita di Gua Musang, Kelantan. Kali ni berkenaan sejenis kuih tradisional di Kelantan - Pulut Pagi. Kuih yang tak pernah saya tahu kewujudannya. Bila saya buat carian berkenaan kuih ini, ternyata ia bukanlah kategori kuih yang jarang jumpa. Cuma saya sendiri yang belum pernah jumpa. Hehe.

Lokasi kami bersarapan pagi - Warong Muse. Kalau waktu petang, kita dapat menikmati keindahan matahari terbenam di bahagian belakang kedai. Pada waktu pagi pula, kita dapat menikmati keindahan matahari terbit di bahagian depan kedai. Terpesona saya dengan panorama (gambar di atas) - cahaya matahari pagi menyimbah bumi dengan latar gua batu kapur. Indah sungguh ciptaan Allah.

Masa kami sampai ni, tak banyak pilihan makanan sarapan pagi. Cuma ada kuih-muih dan nasi bungkus berlauk. Ada beberapa jenis kuih yang tak pernah saya jumpa. Selepas bertanyakan nama kuih yang berbalut daun pisang tu, kami ambil satu untuk mencuba.

Inilah kuih Pulut Pagi - kuih berasaskan pulut, dimakan bersama kelapa parut dan kacang merah. Pulut tu seakan kuih Wajik tapi tak manis macam Wajik yang pernah saya makan. Habislah juga dimakan, tetapi nampaknya bukan jenis kuih yang akan kami beli lagi. Bukan tak sedap, tapi cita rasa manusia berbeza. Yang pasti, rugi kalau kita tak mahu mencuba makanan di tempat orang kerana makanan adalah sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan.



Friday 1 July 2022

Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan


Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan
Judul : BUYA HAMKA BERBICARA TENTANG PEREMPUAN
Penulis : Buya Hamka
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan pertama 2021
Jumlah halaman : 156

Naskhah Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan yang ada pada saya ini merupakan terbitan semula oleh penerbit di Malaysia, iaitu Jejak Tarbiah. Penulisan oleh Buya Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah) ini bukanlah sebuah naskhah yang membicarakan tentang sifat-sifat perempuan. Ia juga bukan penulisan yang semata-mata ditujukan buat perempuan. Tetapi ia sebuah naskhah yang membicarakan hak dan kedudukan perempuan di dalam Islam. Di mana sebelum kedatangan Islam, kedudukan perempuan dianggap rendah dan tiada hak berbanding lelaki.

Naskhah ini hanya setebal 156 halaman dengan 16 bab, tetapi bagi saya ianya cukup lengkap dan padat dalam membicarakan hak perempuan dan bagaimana Islam telah mengangkat darjat perempuan sama seperti lelaki.

Saya kongsikan sebahagian poin penting di dalam naskhah ini :
  1. Lelaki dan perempuan berasal dari kejadian yang satu, apa yang membezakan setiap manusia itu adalah takwa kepada Allah.
  2. Lelaki dan perempuan sama tugasnya dalam menegakkan Islam - amar makruf nahi mungkar.
  3. Lelaki dilihat seperti mendapat kelebihan pahala kerana kewajiban seorang lelaki untuk keluar berjihad dan menunaikan solat Jumaat, tetapi sesungguhnya seorang perempuan yang taat serta mengamalkan apa yang Allah reda maka nilainya mengimbangi segala kelebihan yang ada pada lelaki. Ini kerana meskipun lelaki dan perempuan mempunyai hak yang sama, tetapi tugas adalah berbeza sesuai fizikal keduanya.
  4. Sebelum berkahwin, perempuan boleh membuat syarat-syarat terlebih dahulu yang mesti dipenuhi oleh bakal suaminya jika mereka berkahwin dengan meminta taklik talak.
  5. Perempuan tidak hilang hak dan peribadinya walaupun telah berkahwin - tidak perlu menghapus nama ayahnya dan ditukar kepada nama suaminya, juga mempunyai kebebasan hak ke atas harta sendiri (malah boleh mengeluarkan zakat kepada suaminya jika suami itu termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat).
  6. Sesuai dengan fizikal lelaki yang lebih kuat, maka sewajarnya lelaki menjadi pemimpin juga pembela kepada perempuan - suami bertanggungjawab keluar mencari belanja sara hidup keluarga dan isteri bertanggungjawab menjaga harta yang ada di dalam rumah.
  7. Lelaki mendapat pembahagian warisan yang lebih berbanding perempuan adalah kerana lelaki bertanggungjawab memimpin juga membela perempuan. Maka sebahagian besar bahagian warisan yang diterimanya itu akan digunakan untuk tujuan tersebut. Walaupun lelaki menolak pembahagian untuknya, tanggungjawab tersebut tidak gugur.
  8. Jika berlaku perselisihan dalam rumahtangga, lelaki dan perempuan sama-sama mempunyai hak melantik hakam (orang tengah / pendamai). Ini menjelaskan bahawa hak isteri untuk dibela adalah sama dengan hak suami.

Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan
Isi buku Buya Hamka Berbicara Tentang Perempuan.

Buya Hamka juga menyatakan apa itu maksud lelaki sebagai pemimpin perempuan. Memetik kata-kata beliau :

Qauwwamuna bererti memimpin supaya tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam. Mengajar kalau ilmunya masih kurang. Memujuk kalau dia dalam kesedihan. Di samping itu mencukupkan apa keperluannya, kainnya, bajunya, yang sepanjang tubuh, sepanjang bayang-bayang. Itulah tugas laki-laki untuk membela perempuan. Ertinya menurut kekuatan dan kemampuan si laki-laki. - halaman 114

Seterusnya, Buya Hamka menyebut tentang ciri-ciri perempuan yang dianggap baik oleh Allah, iaitu perempuan solehah. Memetik kata-kata Buya Hamka :

Dia ialah perempuan taat, yang sedar diri, yang tahu sampai di batas mana dia harus berjalan. Iaitu perempuan yang memelihara hal-hal yang tersembunyi. - halaman 115

Jelas sekali, naskhah ini walaupun berkisar tentang hak dan kedudukan perempuan tetapi yang patut membacanya adalah kedua-duanya iaitu lelaki dan perempuan. Supaya lelaki tahu menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya dan perempuan pula tahu apa hak dirinya. Dengan itu masing-masing boleh saling menghargai dan hidup harmoni sesuai dengan tujuan penciptaan lelaki dan perempuan untuk saling melengkapi.

Naskhah ini juga telah memberi penjelasan berkenaan beberapa persoalan yang pernah bermain dalam fikiran saya. Disebabkan itu, proses pembacaan menjadi lebih seronok. Walaupun bahasa penulisan naskhah ini bukanlah sepenuhnya bahasa Melayu yang kita gunakan pada hari ini, tetapi tidaklah begitu jauh berbeza sehingga mengganggu tumpuan. Di akhir penulisan juga ada disebut bahawa judul asal buku ini adalah ‘Kedudukan Perempuan Dalam Islam’ (hasil carian saya mendapati naskhah dengan judul ini telah diterbitkan buat kali pertama pada awal tahun 70-an).

Saya kongsikan pesanan penting daripada Buya Hamka di dalam buku ini :
Kalau terdapat pertikaian yang tidak selesai dalam masyarakat Islam yang masih jahil dalam hukum-hukum agama, bukanlah kerana Islam tidak memberikan hak bagi wanita, melainkan kejahilan umatnyalah yang menjadi penghalang. - halaman 154