Thursday 24 November 2022

Setia Dengan Kebenaran

 
Buku Setia Dengan Kebenaran
Judul : SETIA DENGAN KEBENARAN
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : Cetakan ke-5, 2020
Jumlah halaman : 346

Sebuah lagi naskhah hasil penulisan ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang selesai saya nikmati. Saya meminati penulisan beliau yang membawa pemikiran pembaca supaya berfikir secara kritis. Kita membaca, kita berfikir dan mula menganalisa kejadian-kejadian di sekitar lingkungan kehidupan kita. Sering kali juga saya temukan jawapan kepada persoalan yang bermain di fikiran. Membaca penulisan beliau membuat fikiran saya lebih jelas tentang satu-satu hal dan memberi rasa tenang untuk terus menghadapi ujian demi ujian dalam meniti kehidupan.

SETIA DENGAN KEBENARAN
Buku Setia Dengan Kebenaran adalah kumpulan artikel yang disampaikan dalam bentuk travelog santai tetapi membawa persoalan yang serius dan rumit. Penulis memberi penjelasan, kritikan, pandangan serta solusi berkaitan persoalan yang dibawa.

Kandungan buku ini terbahagi kepada lima bahagian dengan bab kecil di bawahnya :
  1. Kebenaran Ilmu dan Akal
  2. Kebenaran Akhlak
  3. Kebenaran Pendidikan
  4. Kebenaran Gerakan Islam
  5. Tamadun
Antara bab yang menarik perhatian saya - Masih Ada Betul yang Betul dan Salah yang Salah. Bab ini  menjawab persoalan yang timbul dalam pemikiran saya apabila terbaca hantaran atau komentar di media sosial. Ketika kita tahu perkara tersebut adalah salah lalu ada yang menyuarakannya, namun ia dibalas dengan kata-kata seperti berikut :

“Biarlah dia nak pakai macam mana pun, bukan beli pakai duit kau!”
“Alah…serius sangat grup ni! Gurau-gurau je pun tak boleh ke?”
“Setiap manusia ada pendapat berbeza, kita lapang dada jelah dengan apa dia kata.”

Semuanya jadi betul dan boleh dibuat. Tak ada yang salah. Sungguhkah begitu? Memetik kata-kata penulis di halaman 184 :
“Mungkin ada kebenarannya tetapi kesan besarnya adalah seperti langsung tiada apa yang muktamad dalam kehidupan ini hingga tidak tahu apa yang hendak dipegang sebagai “pegangan” dalam hidup ini. Hidup tanpa panduan. Semuanya betul belaka.”
Pegangan. Itulah kata kuncinya. Kita mesti ada pegangan hidup. Berkelakuan dan bercakap selari dengan pegangan hidup kita. Kita Muslim maka pegangan hidup kita berpandukan ajaran Islam. Perbezaan di antara kita bukanlah alasan untuk kita bebas melakukan apa saja atau bercakap apa saja atas nama perbezaan. Masih ada perkara yang betul dan ada perkara yang salah.

Buku Setia Dengan Kebenaran
Isi buku Setia Dengan Kebenaran.

ANTARA PETIKAN MENARIK DI DALAM BUKU INI :
  1. Agama kita hanya ritual. Bukan sahaja ritual pada sujud dan rukuk, malah dalam segala-galanya. Tanpa makna. Kita solat, berpuasa, berzakat dan berhaji tetapi sejauh mana solat menjadikan kita ini sujud dan tunduk di luar solat? Sejauh mana puasa membebaskan diri daripada perhambaan kepentingan peribadi atau kepada mengutamakan kepentingan Yang Maha Tinggi? Sejauh mana zakat kita menjadikan komuniti Muslim sebagai komuniti yang saling menjaga kebajikan si miskin yang tiada status sosial? Sejauh mana haji kita menjadi kemuncak Freedom, Equality dan Fraternity? Kita berusaha keras untuk menyahihkan penampilan luaran ibadah kita tetapi pedulikah kita kepada roh ibadah itu sendiri? - bab Meninjau Eropah : Beragama Tanpa Tuhan.
  2. Sesungguhnya, setinggi-tinggi falsafah dan pemikiran adalah dalam membawa kepala seorang hamba sujud di atas tanah menyerah diri kepada Tuhan. - bab Takutilah Fitnah Ilmu dan Tahu.
  3. Bagi mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan nama Allah, dia melakukannya dengan kualiti tertinggi. Dia melakukannya dengan prinsip yang tinggi. Dia melaksanakannya dengan penghormatan yang tinggi kerana dia membawa nama Tuhannya. - bab Risalah Al-Nur : Teladan Basmallah.
  4. Kita memuliakan masa kerana memuliakan masa itu ialah ibadah kita kepada Allah. Tanda keimanan kita kepada-Nya. Ibadah-ibadah kita sangat banyak yang disandarkan kepada masa. Lima waktu solat, permulaan puasa dan berbuka, Ramadan dan Syawal, hawl untuk zakat, musim haji, dan amalan-amalan sunat yang disandarkan kepada masa-masa yang tertentu ialah modus operandi Islam agar sensitiviti terhadap masa adalah dengan dorongan iman. - bab Perlukah Jepun kepada Wal-Asr?
  5. Dengan berbahasa secara betul, kita akan berfikir dengan betul. Oleh sebab berbahasa itu amat dekat dengan soal berfikir, kita perlu menertibkan cara berbahasa dan cara berfikir. - bab Qawlan Sadida : Menyelamatkan Perkataan daripada Kebengkokan.
  6. Lisan itu banyak mengundang sesalan. Apabila lisan mengungkapkan sesuatu, kadang-kadang teratur dan lurus, namun sering juga terbabas hingga diumpamakan oleh cerdik pandai kita bahawa “lidah itu tidak bertulang”. Sukar lurus. Sering terpesong ke sana sini. Malah apabila terpesong disengajakan dan jadi biasa, lidah tidak bertulang bertukar menjadi “lidah bercabang”. - bab Tulisan dan Lisan : Tangan Menjadi Lidah pada Akhir Zaman.
  7. Perbaiki hati agar ada ukhuwah, ada empati. Dengan hati yang mahu berkomunikasi, kita lebih sabar dalam mendengar. Lebih berisi. Mendengar secara salah bukan penyakit telinga. Ia penyakit hati. Akibatnya, kita gagal memahami. - bab Salah Mendengar Bukan Akibat Sakit Telinga.
  8. Andai ilmu itu diumpamakan seperti air, maka sudah tentu tanah yang paling rendah bakal menakung air terbanyak. Rendahkanlah diri, nescaya rahmat Allah akan berpihak kepada kita. Rahmat beroleh kurnia ilmu yang membentuk akhlak. - bab Mengadabkan Orang Mengaji.
  9. Apabila kita mahu menghormati, memuliakan dan beradab sopan dengan guru, kita hilang keseimbangan lalu menjadi taasub tok guru. Kita memuja mereka dan menjadi pahlawan-pahlawan membentengi mereka daripada kritikan yang hakikatnya diperlukan oleh semua manusia. Apabila kita mahu berfikiran kritis, memuliakan kebenaran dan mengamalkan keberanian dalam berpendapat, kita sekali lagi hilang titik keseimbangan lalu menjadi biadab, bermulut celopar, mengutip jargon-jargon longkang dan menggambarkannya sebagai manifestasi kebebasan diri daripada belenggu status quo. Mengapa begitu? - bab Pemberontak yang Seimbang.
  10. Mempertahankan kewarasan akal ialah prasyarat untuk kekal setia dengan kebenaran. - bab Mempertahankan Kewarasan Akal.

Petikan di atas saya kongsikan bukanlah kerana ia menarik pada keindahan bahasa semata, tetapi ia menarik untuk kita fikir-fikirkan dan dijadikan sebagai nasihat yang baik dalam meniti kehidupan. Pun begitu, apa yang saya kongsikan ini terlalu ringkas dan sedikit. Sebaiknya bacalah dan hadamkan sendiri buku ini untuk mendapat kefahaman yang lebih menyeluruh dan lebih jelas.

Setia dengan Kebenaran - bacaan bagus yang membawa pembaca untuk berfikir dengan akal yang baik demi setia dengan kebenaran. Walaupun mungkin ada bahagian yang tidak mudah untuk saya faham, tetapi pada keseluruhannya saya amat menikmati pembacaan naskhah ini. Semoga apa yang terkandung di dalamnya memberi kebaikan buat diri saya dan orang di sekeliling.


Buku ini bukanlah jawapan kepada “Apakah itu kebenaran?”, buku ini hanya memberi kunci kepada persoalan-persoalan akal supaya berfungsi penuh demi mencari kebenaran. Kerana kebenaran akan lumpuh dengan akal yang tumpul. 
- petikan kata pengantar oleh Hafizul Faiz.



Wednesday 23 November 2022

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Tamu Hotel & Suite yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur ini dimiliki oleh usahawan Muslim. Sebab itulah saya dan encik suami berhasrat nak mencuba penginapan di sini. Alhamdulillah kami berpeluang menginap di sini selama beberapa malam atas urusan kerja encik suami.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Bilik penginapan kami - Standard Room. Bilik dengan keluasan yang cukup selesa. Dilengkapi dengan meja kerja, peti sejuk mini, sejadah dan kelengkapan menggosok pakaian (iron & iron board). Ini foto zoom-out, itu yang nampak katil terlampau lebar.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Sebelah katil itulah bilik air. Dipisahkan dengan dinding dan sliding door kayu.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Luas, bersih dan selesa bilik airnya.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Dalam laci di meja kerja turut disediakan buku surah Yasin dan al-Quran terjemahan Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, satu usaha yang baik - memudahkan tetamu Muslim dan juga sebagai satu dakwah kepada yang belum Muslim.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Pemandangan dari bilik penginapan kami di aras 19 - kawasan Kampung Baru dan tiga mercu tanda KL iaitu Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur (KL Tower) dan menara Merdeka 118. Kalau nak bilik dengan pemandangan yang betul-betul menghadap KLCC, boleh ambil Deluxe Room.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Eh…boleh nampak tingkap bilik sebelah.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Dari sudut ini, tak nampak KLCC.
Jom kita jalan-jalan tengok swimming pool yang terletak di aras 14. Walaupun dibuka hanya sehingga pukul 7 malam, tetapi masa kami datang (selepas pukul 7 malam) pintu masih terbuka. Selain kami, ada beberapa orang tetamu hotel yang sedang sibuk memotret di sana sini. Jadinya tidaklah segan saya nak memotret pemandangan malam di sini yang cukup menarik.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Di sini barulah nampak KLCC.
Swimming pool di sini luas dengan bentuk seakan U. Ada notis makluman sebahagian kawasan untuk lelaki dan sebahagian lagi untuk perempuan., tapi tak ada pemisah. Terdapat juga kolam untuk kanak-kanak di bahagian hujung.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Infinity pool
Infinity pool dengan berlatarkan panorama KLCC. Macam seronok kalau dapat berendam di sudut sini kan? Eh, macam seram jugak bila tengok hujung kolam begitu. Yelah, dah konsep infinity pool memanglah begitu reka bentuknya. Tapi tak perlu risau pun, tentunya dah dibina dengan ciri-ciri keselamatan.

Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur
Antara makanan pilihan saya pada hari pertama bersarapan.
Ruang makan bagi bufet sarapan pagi terletak di aras 27. Bukanlah aras tertinggi di bangunan hotel ini, tetapi masih menyajikan keindahan panorama kota Kuala Lumpur. Makanan yang disajikan juga memenuhi selera saya. Terdapat banyak pilihan makanan, tak terasa bosan walaupun makan di sini selama 3 hari berturut-turut. Sudahlah banyak pilihan, sedap pula semuanya. Memang berbaloi ambil pakej penginapan berserta sarapan pagi di Tamu Hotel ni.

Secara keseluruhannya, saya sangat berpuashati menginap di Tamu Hotel ni. Bilik penginapan berkeadaan baik, bersih dan cukup selesa. Tiada pengalaman yang tak seronok sepanjang kami menginap 3 malam di bilik bernombor 1912.

Satu lagi kelebihan menginap di sini, kita boleh berjalan kaki untuk ke Masjid Kampung Baru dan untuk menjamu selera di sekitar Kampung Baru (terutamanya di Jalan Raja Muda Musa yang terkenal sebagai ‘syurga makanan’).

Kalau pun mahu mencari kekurangan Tamu Hotel, satu-satunya kekurangan di sini adalah berkenaan ruangan parkir bertingkatnya. Selain terdapat sudut membelok untuk naik ke tingkat atas yang kecil dan kurang selamat, ruang parkirnya juga tak banyak bagi setiap aras dan keluasan ruang parkir yang berbeza. Nasib tak baik, terpaksa parkir di ruang yang kecil. Memang susah payah nak parkir kereta dan nak keluar semula. 







Monday 21 November 2022

Kad Undangan Istimewa

Tentunya setiap kad undangan adalah istimewa. Kerana ia khusus ditujukan buat si penerima. Pun begitu, kad undangan yang saya terima pada 16 November lalu saya anggap lebih istimewa kerana keunikannya.

Kad undangan ke majlis reunion bersama sahabat sekolah menengah yang bakal berlangsung pada 26 - 27 November ini di Bangi, Selangor. Sahabat perempuan saja, tak melibatkan sahabat lelaki.

Paling saya suka, sampul hijau ini dimeterai dengan ‘cop mohor’ istimewa. Unik! Sehingga saya rasa sayang nak membuka sampul cantik ni. Tapi sampai bila pula tak mau buka? Jadi kita buka jugalah ya.

Sebenarnya majlis reunion kami ini tertunda sejak tahun 2021 dek pandemik. Jadinya sekitar bulan Jun 2022 lalu, perancangan reunion kembali diatur. Tidak begitu mudah persiapannya kerana kami bukan setakat berjumpa dan makan-makan, tetapi akan bermalam dan melakukan aktiviti bersama.

Insya Allah hari Jumaat ni encik suami akan menghantar saya ke Bangi. Saya dan sahabat AJK lain perlu datang awal untuk membuat persiapan. Hari Sabtu barulah majlis bermula.

Ini merupakan antara sebab saya dan encik suami tak balik ke NS untuk mengundi. Tak larat pula nak berulang dua hujung minggu berturutan dari utara. Minggu lepas pun kami baru saja balik dari KL/NS.

Sejak bertukar alamat dari Johor ke NS, sempatlah kami mengundi di NS dalam PRU ke-14. PRU terdahulu kami mengundi di kampung bersama mak-mak kami.

Menyentuh soal PRU ke-15, nampaknya Agong sudah memperkenan proses pencalonan PM dilanjutkan sehingga 2 petang esok (Selasa, 22 Nov). Terselit rasa risau dengan situasi politik negara kita yang tak stabil, kerana kestabilan politik merupakan jaminan kemakmuran negara. Selain itu, ada beberapa isu peribadi berkaitan keluarga yang turut menjadi antara perkara yang merisaukan hati saya. Tak sesuai ditulis untuk paparan umum. Tapi cukuplah saya nyatakan bahawa di saat separuh hati saya melonjak gembira untuk majlis reunion, separuh lagi hati saya sedang dalam kerisauan. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah. 





Thursday 17 November 2022

Di Balik Awan

Memerhati langit malam merupakan antara perkara yang saya gemar lakukan. Ada keindahan tersendiri, juga menghadirkan rasa tenang dan menerbitkan keinsafan betapa hebatnya kuasa Allah pentadbir alam ini.

Foto-foto langit malam berikut saya rakam pada 10 November 2022 sewaktu menginap di aras 28, Tamu Hotel & Suites di Kampung Baru, KL. Sejak dari petang membawa ke malam kota Kuala Lumpur disimbahi hujan. Selepas hujan, langit dilitupi gumpalan awan yang boleh dikatakan tebal. Tidak seperti beberapa malam terdahulu, langit malam gelap tanpa kehadiran awan putih.

Menara KL dan Menara Merdeka 118 waktu malam.
Pemandangan pada pukul 10.06 malam, masa ni gumpalan awan tak begitu tebal. Masih kelihatan puncak Menara Kuala Lumpur (KL Tower) dan menara Merdeka 118.

Menara KL dan Menara Merdeka 118 waktu malam.
Pemandangan pada pukul 10.25 malam, awan tebal menyelimuti langit malam. Puncak kedua-dua menara terselindung di balik awan.

Menara KL dan Menara Merdeka 118 waktu malam.
Percubaan zoom-in puncak menara beberapa detik sebelum foto kedua di atas. Tak begitu jelas kerana keterbatasan kemampuan kamera dan foto dirakam di balik cermin sliding door bilik penginapan.

Saya sertakan info ringkas berkenaan menara Merdeka 118 :
  • Bangunan kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Emiriah Arab Bersatu dan tertinggi di Asia Tenggara.
  • Mula dibina pada tahun 2014 dan masih belum siap sepenuhnya.
  • Berketinggian 678.9 meter.
  • Mempunyai 118 tingkat.
  • Pembinaan dibiayai oleh anak syarikat milik penuh PNB, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd.
  • Bangunan ini turut dikenali sebagai Menara PNB 118.





Tuesday 15 November 2022

Hasil Menyertai Acara Larian Maya

Hasil menyertai acara larian maya (virtual run) pada bulan lepas (jemput baca entri Misi Menyempurnakan Larian Maya di Empangan Mengkuang), dapatlah saya e-sijil yang diberi melalui e-mel dan pingat serta t-shirt yang dihantar melalui pos.

IKMAL Virtual Run 2022
Pingat perak untuk peserta yang tamat larian 5 km dan 10 km.

IKMAL Virtual Run 2022
Saya ambil acara 5 km je. Walaupun mengidam pingat emas (acara 21 km), tapi pingat perak pun memadai untuk penyertaan kali pertama. Eh, ada penyertaan seterusnya? Setakat ni tak ada, sebab minat saya lebih kepada menikmati suasana hutan. Ah, alasan je kan…padahal memang tak rajin 🤭

IKMAL Virtual Run 2022
T-shirt muslimah. Sedap material baju ni, lembut dan sejuk dipakai.

IKMAL Virtual Run 2022
Bahagian depan baju ada tulisan khat singkatan nama sekolah dan di bahagian bahu ada lencana sekolah.

Kalau bukan kerana acara anjuran alumni sekolah, entah bila saya akan mula menyertai acara larian begini 😅. Disebabkan itu juga, barulah saya tahu gunakan aplikasi Strava.

Saya dan kawan-kawan perempuan sama batch yang menyertai acara larian ini turut mewujudkan grup WhatsApp untuk saling memberi semangat. Memang seronok bila masing-masing berkongsi kegigihan dalam menyempurnakan larian. Terutamanya bagi kawan-kawan yang memilih acara 21 km, asalkan ada peluang berjalan kaki je terus record di Strava.

Alhamdulillah…hasil menyertai acara larian maya, saya bukan saja dapat pingat dan baju malah dapat pengalaman baru dan mengeratkan hubungan sesama kawan-kawan sekolah.




Monday 14 November 2022

Mencuba Kunafa, Manisan Dari Negara Timur Tengah

Kalau sebelum ini saya dah mencuba makan Pani Puri. Malam seterusnya di Kampung Baru, KL saya beli pula Kunafa atau Kanafeh. Sejenis manisan dari negara Timur Tengah. Bukanlah teringin sangat, tapi dah ada yang menjual maka kita beli jelah untuk merasa.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Saya beli Kunafa di sebuah gerai yang terletak di Jalan Raja Muda Musa. Penjualnya bukan warga tempatan. Ada dua pilihan Kunafa - biasa/original dan cheese. Kunafa dijual dalam bentuk potongan empat segi. Manakala dalam bekas lain tu kalau tak silap pemahaman saya, namanya Baklava.

Harga Kunafa biasa RM12 sepotong dan Kunafa cheese RM15 sepotong. Baklava bersaiz kecil dijual RM12 untuk 6 biji. Disebabkan terasa agak mahal dan tak pernah makan (bimbang tak kena selera), kita beli satu jelah iaitu Kunafa cheese.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Kunafa Cheese RM15 sepotong.
Beli dan bawa balik makan di bilik hotel. Bahagian atas tu yang ada cheese. Atas sekali ditabur dengan kekacang. Entah kacang apa.

Kunafa Kanafeh Kampung Baru Kuala Lumpur
Apa rasanya? Saya tak tahu nak terangkan, tapi kira sedaplah sebab boleh habis dimakan. Cuma bahagian yang ada cheese dah mengeras, jadi kurang rasa nikmatnya. Kalau di rumah, boleh panaskan di microwave sebelum makan. Kunafa ni kalau makan sikit, ok je tak terasa manis. Tapi bila makan suapan demi suapan, terasa manisnya. Mungkin lebih sedap dimakan secara santai sambil menghirup kopi atau teh panas.

Cukuplah merasa sekali. Seperti Pani Puri, Kunafa juga nampaknya bukanlah makanan yang saya nak mengulang beli. Tetapi tak menolak untuk makan jika ada di depan mata. Hehe…




Sunday 13 November 2022

5 Malam di KL dan 1 Malam di NS

Malam semalam (Sabtu malam Ahad), saya dan encik suami selamat kembali ke rumah PP yang telah ditinggalkan hampir seminggu lamanya. Tinggalkan rumah pada hari Ahad lepas dan kembali semula pada hari Sabtu.

Selama 5 malam kami menginap di Tamu Hotel & Suites di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ini bukanlah kali pertama saya ikut encik suami ‘berkampung’ di satu-satu tempat. Cuma kadang tu bertangguh untuk catat di blog sehingga akhirnya rasa malas nak menulis. Padahal perlu juga kita mencatat sebagai satu memori dan rujukan sendiri pada masa akan datang. Maklumlah, ingatan semakin berusia semakin lemah.

Foto di atas - saya sedang memerhatikan encik suami (memakai beg galas belakang) pergi kerja dari tingkap bilik hotel di aras 19. Foto di atas merupakan hasil 10x zoom in dan kemudian saya edit sedikit supaya lebih jelas.

Seawal pagi hari Jumaat kami bergerak keluar dari KL menuju ke rumah kami di NS. Kali terakhir kami menjenguk rumah NS sekitar 3 bulan lalu. Kali ni kebetulan encik suami ada urusan di kawasan berhampiran, bolehlah kami tidur 1 malam di rumah sendiri. Sempatlah saya membersihkan rumah dan memeriksa sebarang kerosakan. Prosedur biasa bila balik rumah NS - hidupkan peti ais, hidupkan lampu & kipas di setiap ruang, buka paip air & flush tandas dan vaccum & mop lantai.

Dah dekat tengah hari baru teringat nak tanya jiran yang biasa menjual pes ayam bakar, kalau-kalau ada simpan stok. Stok tak ada, tapi boleh buatkan. Alhamdulillah…terus saya memesan 4 bekas pes ayam bakar. Beli banyak buat stok, entah bila nak balik lagi. Kebetulan jiran ada buat pes nasi goreng dan cili kisar, haruslah saya beli juga. Benda boleh mudah, buat apa nak susah 😁

Petangnya jiran datang hantar pes. Terus saya simpan di bahagian sejuk beku. Mudahlah nak dibawa melalui perjalanan jauh ke rumah PP.

Pagi hari Sabtu kami bergerak ke rumah PP. Singgah juga di Bangi, Shah Alam dan Kuala Kangsar atas beberapa hal. Masa di Bangi ok lagi tak hujan. Bila tiba di Shah Alam langit gelap dan hujan mulai turun. Selepas tu kami menempuh perjalanan ke utara dalam hujan yang kadangkala sangat lebat. Mulut tak henti berzikir memohon perlindungan Allah. Di samping tu mata terpukau dengan keindahan alam yang terbentang di depan mata.

Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah PP sekitar pukul 10 malam. Dengan mata mengantuk dan badan letih, kena bawa barang-barang dari parkir ke tingkat atas. Encik suami siap turun naik sekali lagi untuk bawa naik barang kami. Beginilah bila tinggal di rumah tinggi, tabah sajalah 😅




Thursday 10 November 2022

Mencuba Pani Puri Makanan Masyarakat India

Nama makanan Pani Puri agak asing bagi saya. Mungkin sebab saya jarang menonton cerita Hindi atau Tamil. Sehinggalah baru-baru ni ramai pula yang kongsikan Pani Puri buatan Muslim di media sosial. Jadinya terus saya membeli bila nampak ada sebuah gerai kecil yang menjual Pani Puri di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, KL. Boleh baca di entri Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pani Puri
Pani Puri Original
Ada dua pilihan Pani Puri yang dijual - original dan yogurt. Saya beli original dengan harga RM10. Kalau yogurt harganya RM12.

Dalam set Pani Puri Original ni diberikan 10 biji puri (yang macam bola kecil tu), kentang lenyek (dalam bekas empat segi), sebungkus muruku halus (saya tak pasti nama sebenar, bila dimakan rasa macam muruku) dan 3 jenis kuah/sos.

Pani Puri
Menurut penjual Pani Puri, cara makannya - pecahkan puri menggunakan belakang sudu untuk buat lubang, masukkan kentang lenyek dan muruku ke dalam puri, kemudian siramkan dengan 3 jenis kuah/sos. Untuk menikmatinya, kita kena makan terus sebiji tu. Barulah boleh rasa campuran bahan-bahan tadi.

Pani Puri
Tak tahulah kena letak banyak mana, saya letak je ikut suka.

Pani Puri
Kena masuk mulut sebiji ni tau. Tapi sebiji je saya masuk terus ke mulut. Yang lain tu saya gigit dua tiga kali jugalah. Macam penuh je mulut nak kena makan sebiji ada macam-macam isi 😅

Jadinya, apa rasa Pani Puri ni? Sedap ke? Sedaplah juga sebab ada rasa rangup yang terhasil daripada puri dan muruku. Juga campuran rasa masam pedas kuah/sos. Boleh dimakan dan dinikmati, tapi bukan kategori makanan yang saya akan mengulang beli. Lagi pula terasa leceh, nak makan kena letak itu ini. Terserlah pemalasnya ya 🤭






Tuesday 8 November 2022

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur

Catatan peristiwa yang berlaku pada hari Ahad, 6 November 2022. Sambungan entri Menikmati Suasana Malam di Kampung Baru, Kuala Lumpur

Pintu gerbang Kampung Baru Kuala Lumpur
Inilah pintu gerbang Kampung Baru yang terletak di Jalan Raja Muda Musa. Jalan yang terkenal sebagai syurga makanan. Agak susah juga kami berjalan kaki di sini kerana kerja-kerja menambah baik laluan  pejalan kaki sedang dijalankan. Kami juga perlu berhati-hati dengan kereta dan motor yang banyak dan sesekali perlu berhenti memberi laluan kepada pejalan kaki yang lain. Suasana yang cukup sesak namun begitu meriah.

Oleh sebab perut kami sudah kenyang, kami hanya berjalan sambil memerhati suasana kemeriahan pengunjung dan penjual di sini. Juga melihat kesibukan orang-orang yang menjaga kawasan parkir di celahan lorong kecil memanggil kereta untuk masuk. Yang dah penuh akan diletakkan tanda ‘Full Parking’ di hadapan lorong kecil tersebut. 

Pani Puri Kampung Baru Kuala Lumpur
Rakaman foto pada pukul 8.21 malam.
Kami tiba di satu persimpangan jalan. Dari sini kami akan berpatah balik ke pintu gerbang dan pulang ke hotel penginapan. Eh, mata saya terpandang pula sebuah gerai menjual Pani Puri di seberang jalan. Nama makanan yang baru saya kenali di media sosial tapi belum pernah merasa. Inilah masanya untuk saya mencuba.

Sebelum melintas jalan untuk ke gerai Pani Puri, saya rakam foto gerai dari seberang jalan. Masa inilah saya terpandang beberapa orang lelaki berlari-lari di celahan orang ramai dan kenderaan yang sibuk di jalanan. Pendengaran saya menangkap kata-kata, “Habislah. Tak boleh masuk….tak boleh masuk!”. Saya panjangkan leher untuk melihat ke arah mereka berlari. Tak nampak apa-apa yang pelik. Orang-orang tersebut berlari dan menghilang di balik deretan kedai. Baiklah, abaikan saja. Kita fokus beli Pani Puri.

Pani Puri Kampung Baru Kuala Lumpur
Kami membeli Pani Puri Original. Disebabkan tak pernah makan, saya bertanya kepada adik penjual cara makan Pani Puri. Encik suami pula bertanya asal usul makanan. Haha! Adik penjual memberi penerangan yang cukup jelas.

Selesai urusan membeli, saya pusingkan badan untuk berpatah balik. Ketika inilah mata saya menangkap satu pemandangan yang mengejutkan. Kepulan asap merah dan api marak menjulang! Adik penjual tadi pun terkejut bila saya bagitau ada kebakaran. Dia yang sedari tadi berjualan di situ pun tak perasan bila bermulanya kebakaran.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Rakaman foto pada pukul 8.24 malam.
Api menjulang tinggi dan kepulan asap di sebalik deretan kedai. Foto ini saya rakam sebaik saja saya sedar kebakaran sedang berlaku. Waktu ni barulah saya faham keributan kecil yang berlaku tadi. Rupanya ada keributan besar sedang berlaku di balik bangunan yang tak disedari oleh orang ramai. Telefon Bomba? Saya yakin sudah ada yang menghubungi Bomba sebaik saja kebakaran bermula tadi.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Di sinilah kedudukan kami, di gerai jualan Pani Puri. Masa ni orang ramai masih belum perasan apa yang terjadi. Keadaan masih seperti biasa, sesak dengan kenderaan lalu lalang. Satu saja saya terfikir, ada tak pihak yang dah halang kenderaan dari memasuki pintu gerbang?

Sedikit rakaman video kebakaran yang dirakam pada pukul 8.29 malam. Inna lillah wa inna ilayhi roji’un. Berdebar saya menyaksikan julangan api! Tangan saya jadi menggigil. Terbit rasa risau kalau kebakaran lambat dikawal akan menjejaskan lebih banyak bangunan. La haula wala quwwata illa billah. Sesungguhnya tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah, saya hanya mampu memanjatkan doa.

Seperti yang saya risaukan, nampaknya tiada pihak yang menghalang lebih awal laluan masuk ke jalan ini. Akibatnya, pihak Bomba mengalami kesukaran untuk masuk ke kawasan kejadian. Dalam rakaman video di atas, itulah bunyi siren jentera Bomba yang pertama tiba di lokasi. Perjalanan masuk yang sukar kerana Jalan Raja Muda Musa ini sememangnya sesak dengan kenderaan dan ditambah lagi dengan kenderaan yang parkir di bahu jalan.

Suasana jadi kecoh. Masing-masing menjerit meminta kenderaan yang sedang bergerak dan menghalang laluan jentera Bomba supaya segera membelok ke lorong lain. Dengan keadaan jalan yang sempit dan sesak, memang terasa sukarnya situasi yang sedang berlaku.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Rakaman foto pada pukul 8.37 malam
Masa ni nampaknya kebakaran sudah hampir berjaya dikawal. Tiada lagi julangan api. Kalau tak silap kiraan saya, terdapat 4 atau 5 buah jentera Bomba yang masuk ke jalan ini. Selain jentera Bomba, kelihatan juga kenderaan EMRS (Emergency Medical Rescue Services) dan Pertahanan Awam.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Suasana sekitar selepas api berjaya dipadamkan. Kepulan asap putih memenuhi ruang udara.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Masa ni keadaan sudah agak kembali tenang. Barulah kami menyibukkan diri berjalan ke depan lagi untuk melihat situasi. Nampaknya hos pemadam api perlu melalui kedai-kedai untuk kerja-kerja memadam kebakaran. Mencabar sungguh bila berlakunya kebakaran di kawasan sesak dan tiada laluan sesuai untuk ke lokasi kebakaran.

Kebakaran di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Rakaman foto pada pukul 8.52 malam.
Alhamdulillah semuanya dalam keadaan terkawal. Kami bergerak meninggalkan Jalan Raja Muda Musa untuk kembali ke hotel penginapan. Satu pengalaman yang tak dilupakan. Kunjungan pertama saya ke sini pada waktu malam dan berhadapan situasi yang mendebarkan.

Sekadar perkongsian, saya perhatikan di Pulau Pinang ada pihak yang mewujudkan pasukan Bomba sukarela di kawasan tertentu. Juga wujudnya pasukan bertindak, contohnya jika ada kemalangan di kawasan tersebut maka pasukan bermotor dengan memakai jaket cerah akan segera datang mengawal situasi. Mungkin juga kawasan padat seperti Kampung Baru perlu mewujudkan pasukan sebegitu, sekiranya belum ada.

———————————————————————-
Info ringkas kejadian :
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur terima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 20:19hrs, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian. Kekuatan pasukan operasi dari BBP TITIWANGSA dibantu BBP SENTUL, BBP JALAN TUN RAZAK DAN BBP HANG TUAH bersama jentera FRT-4, ALP-1, W.TANKER-1, EMRS-1 dengan kekuatan 36 anggota.

Menurut Komander Operasi Kanan, PPgB RAHMAT BIN KAMARULZAMAN setibanya jentera bomba dilokasi kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah berkeluasan 80x40 kaki persegi melibatkan 5 pintu dan terbakar 90 peratus. Tindakan operasi pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive dengan membuat cooling di rumah berhampiran. Tiada mangsa yang terlibat. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

(Sumber Fb : Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P. Kuala Lumpur)




Monday 7 November 2022

Menikmati Suasana Malam di Kampung Baru, Kuala Lumpur

Lewat petang semalam - hari Ahad, 6 November 2022, saya dan encik suami selamat tiba di KL. Bukanlah acara jalan-jalan makan angin, tapi atas urusan kerja encik suami. Alhamdulillah perjalanan kami dari rumah di PP lancar, kecuali bila masuk KL tu sesak jugalah di beberapa kawasan. Cuaca di sepanjang perjalanan pula kadang kala panas terik dan kadang kala hujan gerimis.

Kali ini kami menginap di kawasan Kampung Baru. Selepas menunaikan solat Maghrib, kami keluar untuk melihat-lihat suasana malam di sekitar tempat ini dan mengisi perut yang sudah terasa lapar. Kami berjalan kaki, lebih santai untuk menikmati suasana dan pilihan tempat makan di sini pun semuanya dekat je.

Menikmati Suasana Malam di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Panorama Menara Berkembar PETRONAS (Menara KLCC) yang sentiasa mencuri perhatian. Lebih terlihat indah gemerlap cahaya lampunya dengan latar langit malam. Kehadiran sang rembulan pula menambah seri malam di kampung yang terletak di tengah ibu kota. Ya, masih kelihatan rumah-rumah kampung di celahan bangunan batu di sini.

Menikmati Suasana Malam di Kampung Baru, Kuala Lumpur
Memandangkan insyaAllah kami akan berada di sini untuk beberapa hari, jadinya untuk kali ni kami nak mencuba makan di kedai yang terdapat di sepanjang jalan besar. Nampak meriah juga kedai-kedai makan di sini, kami kemudiannya memilih untuk makan di Restoran Kak Yah.

Restoran Kak Yah Kampung Baru KL
Kami memesan set sate RM18, dapat sate ayam 10 cucuk, sate daging 5 cucuk dan nasi impit.

Restoran Kak Yah Kampung Baru KL
Nampak gerai jualan kerang bakar, macam sedap pulak. Ambil 1 set begini dengan harga RM13.

Itu sajalah yang kami makan, saya agak kurang berselera. Itu pun habis RM40 untuk dua orang makan termasuk dua gelas air. Kurang selera makan, tapi saya masih ‘berselera’ untuk jalan-jalan melihat sekitar. Jadinya selesai makan, kami menuju ke Jalan Raja Muda Musa yang terkenal sebagai syurga makanan. Jalan yang menempatkan deretan kedai makan dan juga pilihan gerai jualan, antaranya Nasi Lemak Wanjo. Beberapa tahun lepas saya pernah bersarapan pagi di Nasi Lemak Wanjo, boleh baca entrinya DI SINI.

Tetapi, sesuatu yang tak dijangka berlaku. Jalan-jalan santai kami pada malam tadi di Jalan Raja Muda Musa yang pada mulanya menyaksikan kemeriahan orang ramai ber’JJCM’ pada waktu malam, bertukar menjadi saksi satu kejadian yang mengejutkan dan mendebarkan!

InsyaAllah catatannya pada entri akan datang.




Thursday 3 November 2022

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar

Kali terakhir saya berkunjung ke Hutan Lipur Bukit Ayer sekitar 9 tahun lalu. Saya pun dah ingat-ingat lupa rupa tempat ini. Selepas bersarapan pagi di Lepak Ngopi de’ Kelulut, adik ipar mengajak kami semua ke sini - Hutan Lipur Bukit Ayer memandangkan ia berada di laluan yang sama. Bukan nak bermandi-manda pun, cukuplah sekadar melihat-lihat suasana sebab kami tak bawa persalinan. Maklumlah, tujuan asal cuma nak bersarapan di luar.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kami tiba di Hutan Lipur Bukit Ayer sekitar pukul 8.50 pagi. Masih awal. Suasana agak lengang memudahkan saya untuk memotret kawasan sekitar, terutamanya kawasan air terjun.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kawasan air terjun di bahagian bawah.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Ini pula air terjun di bahagian atas. Untuk ke sini, kita perlu mendaki anak tangga yang disediakan.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Air dari air terjun tadi dialirkan ke dua buah kolam mandi. Kolam mandi pertama ni mungkin untuk orang dewasa, saiz lebih luas. Kedalamannya saya tak pasti.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Kolam mandi kedua dengan saiz lebih kecil. Mungkin untuk kanak-kanak.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Di bahagian belakang sana cuma ada sebuah pondok. Nampaknya memang kena datang awal pagi kalau sesiapa yang mahu menggunakan pondok tersebut.

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Dah sampai sini takkan tengok je air tu kan? Tergoda juga untuk celup kaki. Tak peduli pada hal saya datang sini pakai kasut. Bila lagi nak rasa kedinginan air dari air terjun unik ni. Perasan tak apa yang unik di sini?

Hutan Lipur Bukit Ayer, Kangar
Keunikan air terjun di sini, punca air sungainya mengalir dari perbukitan batu kapur yang kemudiannya berlaku proses pemendakan di bahagian dasar. Sebab tu warna dasarnya kekuningan, tak macam warna dasar sungai yang biasa kita lihat tu kan?

Satu lagi yang unik, saya perhatikan terdapatnya batuan dengan bentuk seakan bergerigi atau berlapis (boleh lihat dalam gambar di atas). Batuan begini juga terdapat di bahagian tepi sungai.

Hutan Lipur Bukit Ayer merupakan geotapak kerana terdapat geologi struktur primer dan sekunder. Saya nak cakap lebih pun bukan arif pasal geologi ni. Menurut kefahaman saya, dua keunikan yang saya nyatakan di atas itulah geologi struktur yang dimaksudkan. Mohon betulkan jika ada pakar geologi yang membaca entri saya ni ya.

Ini pun menarik juga, puisi karya Rejab F.I.

Hutan Lipur Bukit Ayer yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Bintang ini sememangnya lokasi rekreasi yang sesuai untuk riadah hujung minggu bersama keluarga. Bunyi aliran air terjun dan kehijauan alam memberikan rasa tenang ketika berada di sini. Kawasan persekitaran pun nampaknya dijaga baik, tak kelihatan sampah bersepah.

Satu saja masalah di sini, tandas tidak boleh digunakan. Tertera tulisan ‘Rosak’. Tak pastilah baru saja rosak atau memang dah lama begitu. Manakala di pintu surau pula tertera tulisan yang melarang pengunjung masuk untuk salin baju basah. Yang ini mungkin sebab lokasi tandas yang agak jauh berbanding lokasi surau yang berhampiran pintu masuk. Mungkin pihak pengendali hutan lipur perlu segera bertindak bagi memudahkan pengunjung yang datang, terutamanya kemudahan tandas. Kemudahan tandas yang baik sangat penting, tak menjadi masalah sekali pun perlu bayar asalkan tandas boleh digunakan dengan selesa.

Jika kalian mahu datang ke sini, boleh buat carian ‘Taman Eko-Rimba Bukit Ayer’ di Google Maps. Berkenaan bayaran, semasa kami ke sini tiada sebarang bayaran dikenakan. Tetapi hasil carian saya sewaktu menghasilkan entri ini, ada pengunjung yang dikenakan bayaran masuk dan bayaran parkir. Saya tak pasti berkenaan bayaran kerana saya tak perasan pula sebarang notis bayaran. Notis hari Rabu tutup tu ada, jangan datang sini hari Rabu ya.