Monday 28 March 2022

Kabus Memutih di Jalan Ringlet - Sungai Koyan

SABTU | 19.03.2022


Kabus memutih di Jalan Ringlet - Sungai Koyan

Rezeki berpagian melalui Jalan Ringlet - Sungai Koyan, dapatlah peluang menyaksikan panorama indah hamparan kabus memutih di sebelah kiri jalan. MasyaAllah. SubhanAllah. Bibir tak putus memuji keindahan ciptaan Allah. Alhamdulillah syukur dipanjatkan kepada Allah atas nikmat penglihatan dapat menikmati keindahan warna alam yang memberi ketenangan.


Video berdurasi 1:12 minit.



Sunday 27 March 2022

Sarung Buku (Book Sleeve)

Saya baru tahu adanya benda yang dipanggil sarung buku (book sleeve) ini sekitar penghujung tahun lepas. Sebelum tu, memang saya tercari-cari cara bagaimana nak melindungi buku daripada rosak apabila disimpan di dalam beg.

Sarung buku book sleeve
Inilah rupa sarung buku saya. Sengaja saya pilih corak yang comel dan  ceria begini.

Sarung buku book sleeve
Saya pilih sarung buku siap dengan penutup flap begini. Ada butang, dapat mengelakkan buku terkeluar andai kata sarung buku ni terjatuh. Lebih selamat.

Sarung buku book sleeve
Muat ‘selesa’ untuk dua buah buku saya dengan ketebalan sekitar 250 muka surat dan 390 muka surat. Kiranya sarung buku ni sesuai untuk ketebalan buku sehingga 700 muka surat.

Sarung buku book sleeve
Rupa bahagian dalam sarung buku. Ada span di dalam sarung buku untuk melindungi buku.

Menjadi kebiasaan apabila saya menemani encik suami melakukan tugasan luar kawasan, saya akan membawa satu atau dua buah buku untuk dibaca sewaktu menunggu di dalam kereta atau di bilik hotel (kadang kala tak bersentuh pun buku yang dibawa 😅). Alhamdulillah masalah buku rosak (terutamanya di bucu kulit buku) selesai setelah saya memiliki sarung buku. 

Harga sarung buku bergantung kepada material kain, span yang digunakan dan rekaan. Sarung buku ni handmade dan biasanya dibuat mengikut tempahan, jadi harganya agak tinggi. Macam sarung buku saya ni berharga RM51 sebab saya pilih hardback with flap. Saya beli pada November tahun lepas dan sehingga hari ini menggunakannya, saya berpuas hati dengan kualiti sarung buku ni. Jahitannya juga sangat kemas. Nak beli lagi? Tak perlu, cukup satu (walau pun hati tergoda bila tengok corak lain yang cantik-cantik 😁).



 

Thursday 24 March 2022

Normalisasi dan Hilangnya Sensitiviti Beragama


Normalisasi dan Hilangnya Sensitiviti Beragama

Sedari kecil hasil didikan oleh ibu ayah juga guru di sekolah, kita tahu tentang apa itu malu, apa itu aurat, perbuatan apa yang salah dan perbuatan apa yang betul. Kita tahu membuka pakaian (baik lelaki atau perempuan) di khalayak awam adalah perkara memalukan, kita tahu pasangan berkelakuan secara intim di khalayak awam adalah salah dan memalukan, kita tahu apabila seorang wanita Muslimah berjoget di khalayak awam adalah salah dan begitulah seterusnya.

Tetapi hari ini dalam era kecanggihan teknologi, kita terdedah dan mampu melihat segala perbuatan yang salah, perbuatan yang berdosa dan perbuatan yang memalukan, hampir pada setiap masa. Semuanya menjadi tontonan umum. Mula-mula kita rasa, eh…tak senonohnya pakaian si polan ni ketat sana sini, eh…tak malunya berpeluk intim suami isteri pun nak tayang, atau, eh…iklan jual pakaian ‘muslimah’ tapi bukan main modelnya berjoget . Itu mula-mula.

Esok, lusa dan hari-hari seterusnya, mata kita mula terbiasa dengan perbuatan-perbuatan tersebut. Hati mula menerima itu semua sebagai kebiasaan zaman sekarang. Atau fikiran mula memproses, alah biarlah. Dosa masing-masing kot. Proses normalisasi telah berlaku!

Dan selepas itu yang lebih parah, tiada lagi penolakan di dalam hati kita pada perbuatan yang salah lagi berdosa. Kita sudah hilang sensitiviti dalam beragama! Kita tak lagi merasa apa yang salah adalah salah dan perbuatan yang salah harus ditegur. Biarpun selemah-lemah teguran hanya mampu bergumam sendiri atau terdetik di dalam hati, itu cukup menandakan kita masih ada sensitiviti beragama.

Solusinya? Marilah kita belajar mengawal diri (lebih tepatnya mengawal mata) daripada melihat perbuatan tersebut. Unfollow, unlike, scroll laju-laju atau apa sajalah yang membuatkan mata kita jangan dibiasakan dengan melihat perbuatan yang salah. Ingatkan diri dan ahli keluarga apa yang boleh dilihat dan apa yang perlu dihindari. Mari kita jaga mata, demi menjaga agama.


*Penulisan ini juga sebagai peringatan buat diri saya sendiri kerana setiap hari kita perlu cuba memperbaiki diri.




Tuesday 22 March 2022

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara

[ Catatan hari AHAD | 13.03.2022 ]

[Pengenalan] Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam merupakan sebuah hutan paya air tawar yang terletak di Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang yang mempunyai keluasan lebih kurang 10 hektar. Hutan Pelajaran ini dibahagikan kepada zon yang berdasarkan spesis dominannya iaitu nipah, putat, jejawi dan malabera.

Hutan Pelajaran ini menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara terutamanya penggemar burung kerana kawasan ini merupakan habitat pelbagai spesis burung dan juga tempat persinggahan burung hijrah. Terdapat lebih daripada 150 burung telah ditemui di hutan ini. Biasanya bulan Oktober hingga Jun merupakan musim memerhati burung hijrah di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam. (Sumber : laman web Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang)

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Ini merupakan kunjungan kali pertama saya dan encik suami ke Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam. Lokasinya di tepi jalan besar, tak susah mencari. Kawasan parkir tak begitu luas, iaitu sekitar kawasan di luar pagar ini (rujuk gambar di atas). Tetapi memadai, sebab nampaknya tak begitu ramai pengunjung. Sewaktu kami tiba sekitar pukul 9.25 pagi, cuma ada beberapa buah kereta di kawasan parkir.

Masuk je di bahagian dalam, terdapat dua laluan sama ada terus atau ke kanan. Kami memilih laluan ke kanan terlebih dahulu. Di Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam ni sudah disediakan pelantar laluan (boardwalk) dengan jarak melebihi 1 km, jadinya pengunjung boleh berjalan dengan mudah dan selamat.

Inilah pokok Nipah. Antara pokok yang banyak terdapat di sini. Gambar ni saya ambil dari atas pelantar laluan. Dengan menggunakan binokular, kami dapat melihat buah dan bunga pokok Nipah dengan lebih dekat dan nampak lebih menarik.

Laluan ke kanan tadi pendek saja, dah habis menjelajah kami pun bertukar ke laluan satu lagi. Tapi langkah kami terhenti di sini, terdapat sekumpulan monyet dengan beberapa ekor daripadanya yang agak agresif. Kami berjalan ke hadapan, monyet-monyet ni pun tetap berjalan ke arah kami. Ada seekor tu saiznya agak besar. Masa ni tak ada pengunjung lain kelihatan di sini. Tak berani pula nak terus melangkah, kami terpaksa ambil keputusan berpatah balik saja. Hmm…sedih juga saya, gagal misi nak meneroka kawasan ni.

Masa kami sedang berjalan untuk berpatah balik, muncul seorang lelaki datang membantu. Mula-mula dicapainya kayu, monyet-monyet tu tak takut kayu. Lepas tu diambilnya penyapu panjang dan buat aksi seakan melibas. Barulah lari kumpulan monyet tersebut. Syukur Alhamdulillah ada yang menolong. Rupanya lelaki tersebut bekerja di sini. Sempat dia menunjukkan kepada kami beberapa gambar burung (di galeri handphone) yang sangat cantik yang pernah dilihat di kawasan ini. Terus pasang angan-angan moga ada rezeki dapat kami melihat burung-burung cantik di sini.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Tiba di kawasan yang terdapat banyak pokok Putat (tak nampak dalam gambar) dan pokok Paku Pakis. Kalau ambil laluan ke kiri akan ada tandas dan menara jambatan gantung. Tapi jambatan gantung rosak dan tidak dibuka kepada pengunjung. Jomlah kita ambil laluan ke kanan…

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Tenang dapat berjalan-jalan di sini, mendengar bunyi nyanyian burung sambil mata menikmati hijau alam.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Pokok yang menarik perhatian saya.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Jambatan gantung sepanjang 210 meter. Boleh tengok dari bawah jelah ya.

Kalau penat berjalan, boleh berhenti rehat di gazebo.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Ada jalan biasa di hujung pelantar laluan. Sesuailah kalau nak berjoging. Nampak ada satu dua motor dan beberapa orang berbasikal di sini. Rupanya kawasan ni tidak berpagar dan bersambung dengan kawasan penempatan. Di seberang jalan tu terdapat aliran sungai, juga sebuah gazebo untuk kita duduk-duduk menikmati keindahan alam.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Jalan-jalan ambil vitamin D. Sebelah kiri tu sungai dan sebelah kanan tu jalan biasa.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Indah dan tenang.

Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Seberang Perai Utara
Antara tempat yang cantik untuk berfoto. Kalau tak kerana terik matahari, tentu saya berlama-lama di sini. Tenang sungguh.

Antara aktiviti kami - mencerap burung. Cantik bila dapat tengok menggunakan binokular. Sepanjang kami mencerap burung, cuma jumpa dua spesis burung yang menarik. Yang dalam gambar ni bersaiz besar, bolehlah saya memotret gambarnya dari jauh walaupun tak jelas.

Tak sedar masa berlalu, rupanya kami sudah menghabiskan masa hampir dua jam di sini. Tak terasa begitu penat, sebab jalan/laluan pelantar semuanya rata. Bagi pendapat saya dan encik suami, tempat ni ada tarikan tersendiri dan insyaAllah kami akan datang lagi. Tak dapat masuk ke hutan, dapat ke sini pun memadai. Cuma kewujudan monyet yang agak garang tu sedikit menakutkan sekiranya datang berdua dan tak ada pengunjung lain. Selain tu, kita perlu berhati-hati bila melangkah di jambatan gantung kecil (ada di beberapa tempat, bersambung dengan laluan pelantar) kerana kelihatan kurang diselenggara.

Video berdurasi 38 saat.

————————————————————————————-
HUTAN PELAJARAN AIR HITAM DALAM
Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara,
Pulau Pinang.

Carian Google Maps : Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam

Waktu lawatan :
Setiap hari
7 pagi - 6.30 petang

Masuk percuma.






.

Monday 21 March 2022

Untuk Hujan Dan Angin Yang Memeluk Tiap Malam Yang Panjang


Untuk Hujan dan Angin Yang Memeluk Tiap Malam Yang Panjang
Judul : UNTUK HUJAN DAN ANGIN YANG MEMELUK TIAP MALAM YANG PANJANG
Penulis : ZF Zamir
Penerbit : Jiwa
Tahun terbit : Cetakan pertama 2021
Jumlah halaman : 95

Buku bersaiz kecil dan cuma setebal 95 halaman, tetapi dengan judul yang begitu panjang. Ia sebuah naskhah yang memuatkan siri catatan perasaan yang ditulis untuk merawat diri sewaktu penulis berada di dalam fasa kedukaan dan sewaktu melakukan kembara ke beberapa buah negara.

“…Terdapat sebuah kemarahan yang berpunca daripada semua kekecewaan. Terdapat kesakitan yang dalam daripada semua tikaman yang tidak kelihatan itu…” - halaman 73.

Untuk Hujan dan Angin Yang Memeluk Tiap Malam Yang Panjang

Ada catatan penulis yang boleh saya fahami dan hayati, pun begitu ada catatan yang gagal saya fahami maksud tersirat yang cuba disampaikan. Tetapi saya menemukan satu hal penting dalam naskhah ini, iaitu penulisan mampu merawat jiwa. Seperti kata penulis :

“Saya mendedahkan sebahagian besar sisi diri saya kepada masyarakat melalui naskhah ini. Saya juga membaik pulih sebahagian besar daripada diri saya ketika proses kreatif ini berlangsung.” - halaman 92.

Untuk Hujan dan Angin yang Memeluk Tiap Malam Yang Panjang, bacaan sesuai bagi mereka yang sedang dalam kekecewaan, disakiti dan terbeban dengan perasaan yang berat supaya bangkit untuk terus mara ke hadapan. 



Sunday 20 March 2022

Kopi dan Pokok di Nuhayra

Sebelum ini saya pernah membeli pokok untuk emak secara dalam talian di Nuhayra Pretty Leaf. Dan baru-baru ni saya berkesempatan datang ke kedai fizikal mereka yang terletak di Kepala Batas, Pulau Pinang. Yang menariknya, kedai ni bukan saja menjual pokok tetapi turut menjual minuman kopi juga.

Nuhayra Brew Pretty Leaf
Bahagian luar kedai. Tempat untuk ‘ngopi’ - ada beberapa meja di luar dan satu atau dua meja lagi di dalam kedai.

Nuhayra Brew Pretty Leaf
Bahagian dalam kedai, satu kaunter bayaran dan satu kaunter buat kopi. Seronok saya tengok pokok-pokok banyak begini. Tengok pun dah jadi terapi, apa lagi kalau membelinya kan? Hehe.

Nuhayra Brew Pretty Leaf
Rak pameran dan jualan pokok-pokok dan pasu.

Tujuan utama datang sini nak ‘ngopi’, kami beli satu ice cappuccino.

Juga satu hot mocha

Seronok juga sambil minum kopi sambil mata memerhati pokok-pokok yang ada. Sudahnya, lepas minum kopi terus terasa nak membeli sepasu dua pokok. Tapi lepas berfikir-fikir, saya beli sepasu pokok Satin Exotica Pothos. Jenis pokok yang senang jaga dan boleh tinggal berhari-hari tanpa disiram.

Bagi peminat kopi dan peminat pokok-pokok, bolehlah datang ke kedai dengan konsep 2 in 1 ni. Kopi sedap, pokok cantik, layanan baik dan mesra. Nak ke sini boleh buat carian di Google Maps ‘Nuhayra Pretty Leaf & Nuhayra Brew’.

———————————————————————-

NUHAYRA PRETTY LEAF & NUHAYRA BREW
Lot 108, Pusat Perniagaan Seri Serdang,
Kepala Batas, Pulau Pinang.

Waktu operasi :
Selasa - Ahad
10.30 pagi - 6.30 petang
(Tutup : Isnin)


Thursday 17 March 2022

Siapakah Penerima Buku PERCUMA?

Alhamdulillah, tawaran buku percuma (entri DI SINI) telah pun disambut oleh 7 orang sahabat blogger. Seperti yang dijanjikan, hari ini saya umumkan siapakah yang bertuah tersebut.

Mula-mula kita letak nombor penyertaan mengikut turutan masa komen ditinggalkan :
1. Mama Sara Nur @ Cik Nor / Seperti Air Yang Mengalir
2. Ika.S / Seperti Air Yang Mengalir
3. NA / Tenang, Kita Ada Al-Quran
4. SalbiahM / Penulis Yang Disayangi Tuhan
5. Faiz Yusoff / Penulis Yang Disayangi Tuhan
6. Hanamiko Sakura / Minimalis
7. Puan Hazel / Kunang Pesisir Morten

Dah ada nombor, marilah kita cari siapa yang bertuah. Tekan-tekan di Random.org…


PENERIMA BERTUAH :
NO. 4
SALBIAHM

Tahniah buat blogger Sal 👏🏽
Blogger Sal akan menerima sebuah buku pilihan beliau sendiri - PENULIS YANG DISAYANGI TUHAN. Sila berikan maklumat pengeposan ke e-mail : halifa02@gmail.com

Terima kasih kepada semua sahabat blogger yang menyambut tawaran kali ini (dan juga satu cabaran sebenarnya sebab perlu baca dan kongsikan dalam tempoh 30 hari). InsyaAllah pada kesempatan lain mungkin saya akan buat tawaran begini lagi.



Tuesday 15 March 2022

Nak Buku PERCUMA?

 

Sebelum ni saya ada maklumkan nak memberi SEBUAH BUKU secara PERCUMA kepada SEORANG BLOGGER. Jadi di sini saya nak menawarkan peluang kepada semua sahabat blogger yang berminat dengan judul buku terpilih dan sanggup memenuhi sedikit syarat.

Tujuan saya beri buku percuma? Sebagai hadiah kepada sahabat blogger yang berminat dengan buku dan saya mahu hasil pembacaan buku tersebut dikongsikan di blog supaya dapat menyemarakkan lagi dunia perbukuan.

——————————————————————

CARA DAN SYARAT :
1. Pilih salah satu judul buku berikut :
  1. SEPERTI AIR YANG MENGALIR, Pahrol Mohamad Juoi (226 halaman / bukan fiksyen)
  2. TENANG, KITA ADA AL-QURAN, Hafizul Faiz (290 halaman / bukan fiksyen)
  3. MINIMALIS, Faridah Ghazali (232 halaman / bukan fiksyen)
  4. KUNANG PESISIR MORTEN, Raiha Bahaudin (233 halaman / fiksyen)
  5. PENULIS YANG DISAYANGI TUHAN, Bahruddin Bekri (388 halaman / fiksyen)
- nak tahu lebih lanjut berkenaan buku di atas sebelum membuat pilihan? Boleh buat carian di internet atau terus lihat ulasan buku di Goodreads.

2. Kemudian tinggalkan komen “Saya nak buku _______ (nyatakan judul pilihan).

3. Seorang penerima buku percuma akan dipilih secara rawak menggunakan Random.org.

4. Blogger yang terpilih perlu membaca buku yang diterima dan membuat perkongsian hasil pembacaan buku tersebut di blog dalam tempoh 30 hari selepas menerima buku.

- panduan untuk membuat perkongsian hasil pembacaan : semasa membaca, buat catatan ringkas berkenaan apa yang kita rasa sewaktu membaca, kata-kata yang mengesankan, bab menarik dan pengajaran yang kita perolehi daripada buku tersebut. Tiada yang salah atau betul dalam membuat catatan perkongsian buku, tujuannya hanya untuk berkongsi buku apa yang telah kita baca.

——————————————————————-

Tawaran ini saya buka hanya untuk sahabat blogger yang beralamat di Malaysia dan sehingga hari esok RABU 16 Mac 2022. InsyaAllah hari Khamis saya akan maklumkan siapa penerimanya. Tapi kalau tawaran ini tidak bersambut, pun tak mengapa. Sebab saya faham juga yang syarat dikenakan mungkin sedikit membebankan.



Saturday 12 March 2022

Catatan 11.03

Semalam hari Jumaat, saya dan encik suami bertolak dari rumah NS ke rumah PP. Sekarang ni memang kerap berulang-alik antara PP dan NS dek tuntutan kerja encik suami. Kalau cuaca mendung di sepanjang perjalanan, barulah agak lega dan kurang rasa letih.

Rain Lily

Semalam pagi sebelum meninggalkan rumah NS, mata saya terlihat sekuntum bunga yang baru nak berkembang. Cantik berwarna merah jambu terletak di dalam bekas berbentuk cengkerang di dinding bahagian luar rumah.


Walaupun dah hampir dua tahun terbiar tak dibela dan kadang nampak tinggal tanah je, bila tiba musim hujan lebat pokok Rain Lily ni akan tumbuh subur dan berbunga. Sesuai la dengan namanya kan. Pokok Rain Lily ni hidup menggunakan bawang (bulb). Selagi ada bawangnya di dalam tanah, selagi itu pokok ni boleh terus membiak. Saya pun tak sangka masih ada bawang di dalam tanah, sebab masa awal-awal berpindah tu jiran dah ambil pokok ni. Rupanya masih ada bawang yang tertinggal dan bertahan hidup.

Umai Cafe, Putrajaya

Tempat makan yang saya suka kunjungi suatu masa dulu, sebab pemandangan yang cantik dan pilihan makanan yang memenuhi selera. Tapi sejak dah berhijrah ke utara, memang dah lama saya tak ke sini. Lagi pulak dengan PKP yang berlarutan. Alhamdulillah semalam kami berkesempatan makan sarapan di sini sebelum meneruskan perjalanan ke utara.


Umai Cafe ni terletak berhampiran dengan Monumen Alaf Baru (menara berbentuk seperti pensil) dan berhadapan dengan tasik. Memang menghadap pemandangan yang cantik. Ada ruang parkir yang agak luas dan percuma. Tapi kalau datang pada hujung minggu, susah juga nak dapat parkir dan nak dapat meja makan.


Bihun Sup Utara. Sedap dan menyegarkan rasa supnya. Letak sikit je sambal merah tu sekadar untuk merasa. Dah terbiasa makan bihun sup dengan sambal kicap, susah sikit nak ubah tekak.

Set Roti Jala dan rendang ayam. Ni makanan kegemaran saya.

Alhamdulillah semuanya memuaskan selera, servis pun baik dan pantas. Dulu-dulu macam agak kurang baik servisnya, harap mereka dapat kekalkan servis baik dan pantas begini. Seterusnya, kami sambung perjalanan balik ke rumah PP.

Selepas 30 Hari…

Masih ingat kisah anak-anak burung Merpati di balkoni rumah PP saya? Kisahnya DI SINI. Sebelum tinggalkan rumah PP tempohari, memang saya dah nampak yang anak-anak burung Merpati mulai terbang dan selalu juga meninggalkan sarang pada waktu siang. Tapi bila petang kedua-duanya balik dan bermalam di balkoni.

Sepanjang ada anak-anak burung, memang kerja saya mengendap mereka di balik cermin sliding door. Memerhatikan tumbesaran mereka. Eh, tapi kalau tak mengendap pun memang senang nampak sebab ruang rumah kami kecil je. Dari meja makan pun dah boleh nampak apa ada di balkoni. Haha.

Apa jadi selepas 30 hari? Menurut info internet, anak burung Merpati akan meninggalkan sarangnya selepas 30 hari. Ya, semalam kami sampai di rumah dan mendapati anak-anak burung tak lagi bermalam di balkoni. Nampaknya mereka dah pun meninggalkan sarang. Kiranya kali terakhir saya nampak kedua-duanya bermalam di balkoni adalah pada malam sebelum kami bertolak ke NS, iaitu pada 7 Mac lalu.

Gambar pada 6 Mac 2022, baru pandai terbang. Burung dewasa kanan sekali tu entah mak atau paknya. Kadang-kadang datang jenguk anak sendirian dan kadang-kadang datang berdua. Berkumpul empat beranak…hehe.

Ralat - tarikh sebenar 5 Mac.

Video berdurasi 24 saat - masa ni kali pertama saya nampak anak-anak burung pandai terbang. Tak jauh pun, dari lantai balkoni terbang ke atas besi penghadang ni. Tapi tak sempatlah nak rakam masa terbang tadi. Kedua-duanya memang pantang nampak mak atau paknya, sibuk mengejar mematuk paruh (minta makanan la agaknya). Kadang-kadang sampai berkejaran keliling pasu, memang kelakar saya tengok.

Alhamdulillah, dapat menyaksikan satu kebesaran Allah - proses tumbesaran burung Merpati. Dalam masa yang sama saya rasa lega juga, lepas ni balkoni dah tak kotor teruk dengan najis burung. 


Thursday 10 March 2022

Seperti Air Yang Mengalir

 
Seperti Air Yang Mengalir
Judul : SEPERTI AIR YANG MENGALIR
Penulis : Pahrol Mohamad Juoi
Penerbit : JT Books
Tahun terbit : Cetakan pertama 2022
Jumlah halaman : 226

Seperti Air yang Mengalir, membaca judul buku ini saja sudah cukup menerbitkan rasa tenang di hati saya. Kulit buku berwarna biru dengan gambar sehelai daun seakan berbentuk hati yang sedang terapung di aliran air, saya kira ia cukup memberi gambaran berkenaan isi kandungan naskhah ini. Ia naskhah tentang mendidik hati, juga motivasi buat diri.

Seperti Air yang Mengalir membawa kisah-kisah masa lalu penulis yang mengandungi iktibar dan juga catatan-catatan bagi mendidik hati. Bagi yang sudah biasa mengikuti penulisan Ustaz Pahrol tentu tahu bagaimana susunan bahasa yang digunakan - lembut, indah dan sedap dibaca. Namun isinya tidaklah yang indah-indah, kerana banyak yang menyentap jiwa saya.

Antara kisah yang menarik - Ayah, Aku Rindu Marahmu! Satu kisah yang cukup menarik tentang ayah penulis. Indah sungguh takdir Allah! Apa yang menariknya? Kenalah baca buku ini. Memetik kata-kata penulis dalam kisah ini, “…modal mendidik dan memimpin itu bukan kerana banyak ilmu, tetapi limpahan kasih-sayang.” - halaman 10.

Juga secebis catatan pengalaman penulis sewaktu dalam tahanan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak yang dilihat daripada sudut tarbiah dan ibrahnya. Menurut penulis, “…hakikatnya “penjara hati” adalah lebih sempit daripada mana-mana penjara di dunia. Sudah berapa ramai orang bebas dan merdeka membunuh diri berbanding banduan yang meringkuk di penjara?” - halaman 59. Ia juga mengingatkan kepada kita bahawa dalam setiap masalah yang di hadapi, kembalikanlah jiwa kita kepada Tuhan dan kuatkan pergantungan kepada-Nya.


Seperti Air Yang Mengalir

Antara petikan/isi menarik buku sebagai panduan hidup kita :
  1. Manusia tidak dapat lari daripada ketentuan Tuhan. Kita hanya memiliki keupayaan tadbir untuk menerima takdir. Namun di sebalik setiap takdir, pasti ada hikmahnya. Apabila kita tekad mencari hikmah daripada sesuatu yang berlaku, kita tidak akan terlalu terseksa dalam menerima sesuatu yang buruk. - halaman 56
  2. Jangan bimbang jika engkau tidak dihargai, tetapi bimbanglah jika dirimu benar-benar tidak berharga. - halaman 75
  3. Ujian yang sama, tetapi menimpa dua orang yang berbeza akan memberi impak yang berbeza. Ini akan bergantung kepada keyakinan kepada Allah SWT dan hari akhirat dalam diri dua orang tersebut. Sebenarnya, apa yang berlaku di dalam diri seseorang lebih penting berbanding dengan apa yang berlaku di luar dirinya. - halaman 80
  4. Jika kita menunggu untuk menjadi baik sebelum menyeru kepada kebaikan, maka tidak akan ada kebaikan dan manusia yang baik di dunia ini. Selagi kita bernama manusia, selagi itulah kita akan terjebak dengan kemaksiatan dan dosa. - halaman 94
  5. Percayalah, memaafkan orang lain akan memberi banyak manfaat buat kita sendiri berbanding dengan orang yang kita maafkan. Sebaliknya, tanpa memberi maaf, mudaratnya akan lebih besar buat kita. - halaman 100
  6. Marilah kita mulakan solat dengan beranggapan bahawa itu ialah solat kita yang terakhir. Jika rasa itu dapat kita sematkan di dalam hati, insya-Allah solat itu akan kita laksanakan dengan sehabis baik. Kita akan berusaha untuk memahami makna bacaan dan menghayati pengajaran serta iktibar daripada ayat-ayat al-Quran, tasbih, takbir dan tahmid yang kita ucapkan. Kita nikmati rasa kebesaran dan keagungan Allah SWT ketika sujud dan rukuk. - halaman 106
  7. Tindakan kita untuk menghadapi ketakutan dalam hidup akan memutuskan rantai-rantai yang membelenggu kemajuan kita dalam penjara ketakutan itu. Putuskan rantai itu dengan bertindak supaya ketakutan yang sama tidak akan kita hadapi berulang-ulang dalam episod demi episod hidup yang terus mendatang. - halaman 226
Seperti Air yang Mengalir, bacaan yang sangat baik buat kita semua bagi mendidik hati juga sebagai satu panduan dan motivasi dalam meniti kehidupan. Naskhah ini juga sesuai buat para remaja. Terdapat beberapa bab khusus untuk mereka, antaranya Belajar dari Sekolah Kesilapan dan Carilah Teladan Bukan Idola.




* insya Allah buku ini akan menjadi salah satu judul buku pilihan yang akan saya berikan secara percuma kepada seorang sahabat blogger. Bagi yang berminat, nantikan entri berkenaannya insya Allah pada minggu hadapan.


Monday 7 March 2022

Janji Temu Kedua Dengan Pakar Periodontik | Rawatan ‘Root Surface Debridement’

Selepas janji temu pertama dengan doktor pakar Periodontik (catatannya DI SINI), Alhamdulillah…janji temu kedua untuk rawatan Deep Cleaning (Root Surface Debridement) gigi bahagian atas, selamat dilakukan pada hari Khamis, 3 Mac 2022.

Kali ni saya dapat slot akhir, iaitu pada pukul 5 petang. Di sini susah sikit kalau nak memilih slot mengikut masa sendiri, nanti makin lambat pulak janji temunya.

Klinik Freeda Woon - Periodontics & Dental Specialist Clinic
Prosedur rawatan sama saja seperti pada janji temu pertama (kecuali x-ray tak perlu dilakukan lagi). Doktor Freeda memberi suntikan bius pada bahagian dalam atas mulut saya, entah berapa suntikan semuanya saya tak pasti. Berbanding rawatan kali pertama (untuk gigi bahagian bawah), kali ni saya terasa sakit sewaktu suntikan dilakukan pada bahagian lelangit. Keluar air mata jugaklah saya dek menahan kesakitan. Kalau tak silap saya, ada dua suntikan dilakukan pada bahagian lelangit. Menurut doktor, suntikan pada lelangit terasa menyakitkan sebab berhampiran tulang.

Seterusnya bila bahagian atas mulut saya sudah merasa kebas, rawatan deep cleaning dilakukan. Sesekali saya cuba juga membuka mata (di sebalik safety glasses) untuk melihat peralatan apa yang digunakan. Tetapi dengan segala percikan halus air dan sinaran cahaya lampu yang terang, memang sebaiknya saya pejam mata sajalah sepanjang rawatan. 

Selesai deep cleaning, doktor mengambil bacaan ukuran gigi. Hasil bacaan ini nantinya akan digunakan untuk melihat sejauh mana kejayaan hasil rawatan deep cleaning yang telah dilakukan. Hasilnya akan dinilai selepas dua bulan rawatan.

Dan yang terakhir, doktor melakukan splinting (‘ikat gigi’) untuk 4 batang gigi. Lebih panjang dan saya terasa lebih tebal berbanding splinting gigi bahagian bawah. Memang ada rasa ketidakselesaan sebab ada sesuatu pada bahagian sebelah dalam gigi. Tetapi bila melihat gigi jadi lebih elok rapat dan tidak goyang, saya rasa gembira dan melupakan rasa tak selesa tersebut. 

Caj rawatan untuk janji temu kedua.
Proses rawatan kali ni mengambil masa 1 jam. Alhamdulillah selesai! Tempoh masa penyembuhan gusi adalah selama dua bulan, insyaAllah janji temu seterusnya pada bulan Mei. Apa rawatan selanjutnya? Itu bergantung kepada keadaan kesihatan gusi saya. Kalau semuanya baik-baik saja, saya cuma perlu buat rawatan susulan setiap 6 bulan. Semoga Allah beri kesembuhan kepada gusi saya dan tak perlulah saya menjalani rawatan lanjutan.

Perjalanan balik ke tanah besar (Seberang Perai) melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang. Masa ni sudah pun melepasi pukul 7 malam.
Kesan ubat bius tadi hilang sepenuhnya kira-kira 2 jam selepas rawatan. Barulah saya boleh kembali bercakap dan makan secara normal. Kali ni, saya terasa ada sedikit kesakitan (kesan rawatan deep cleaning tadi) selepas ubat bius hilang. Esok paginya juga masih kurang selesa, tetapi Alhamdulillah selepas itu semuanya kembali normal.

Saya catatkan semuanya di blog untuk rujukan sendiri pada masa akan datang dan sebagai perkongsian bagi mereka yang menghadapi masalah penyakit gusi seperti saya. Nak buat rawatan ni pun bukanlah mudah, saya perlukan semangat dan sumber kewangan. Memang banyak kosnya, tetapi kesihatan itu adalah kebahagiaan. Terima kasih Allah, dengan kehendak-Nya segala urusan berjalan lancar.






.

Sunday 6 March 2022

Giveaway Syazni Rahim Blog Nak Masuk Tingkatan 1!

 

Blog Syaz nak masuk tingkatan 1!
Tahniah Syaz kerana masih kekal berblog sehingga masuk tahun ke-13 👏🏽

Walaupun Syaz sibuk dengan keluarga, kerjaya dan penghasilan karya kreatif, Syaz sangat aktif menghasilkan entri blog. Semoga blog Syaz terus maju jaya!

——————————

Jom sertai giveaway blogger Syaz ni. Syarat penyertaan sangat mudah, boleh terus klik poster di atas ya. Tarikh akhir penyertaan adalah pada 20 Mac 2022.





Friday 4 March 2022

Giveaway Buku Kereta Lembu Dari Melaka oleh www.fairusmamat.com

 

🎶
Kereta lembu
Dari Melaka
Di tarik pula oleh
Lembu perkasa

Hah… kereta lembu
Rodanya dua
Jalannya tak laju
Sejam sebatu
🎶

Semasa nak buat entri giveaway ni, saya teringat pula lagu Kereta Lembu. Terus buat carian dan letak sebahagian lirik di sini. Lirik selanjutnya tak sesuai letak sebab ada unsur syirik - mandi safar di pantai. Apa pun, kereta lembu merupakan khazanah warisan yang harus dikekalkan. Salah satu caranya, dalam bentuk buku. Kiranya, bertuahlah siapa yang dapat buku Kereta Lembu dari Melaka ni.

Jom sahabat blogger kita sertai giveaway oleh blogger Fairus ni! Saya tak tahu nak tag siapa, mujur juga ia cuma syarat pilihan. Tapi nampaknya memang dah banyak penyertaan yang diterima tu. Bagi yang nak sertai, terus klik pada poster di atas ya. Tarikh akhir adalah pada 8 Mac 2022.




Tuesday 1 March 2022

Pasar Terapung JPS Perlis

AHAD | 30.01.2022

Sambung cerita di Perlis. Dari Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, kami ke View Point Wang Kelian, hajatnya nak mengulang makan Char Kuey Teow dan minum Cafe Latte yang sedap tu. Tapi tak ada rezeki, datang dah petang penjual pun dah habis jualan.

Tak tahu nak ke mana, nak balik ke PP masih awal lagi. Lepas tu saya teringat pasal Pasar Terapung di Perlis ni. Terus buka aplikasi Google Maps dan buat carian ‘Pasar Terapung Perlis’. Ok, masih buka. Jom kita pergi!

Kami tiba di Kompleks JPS Perlis sekitar pukul 3.40 petang. Cuaca panas terik.

Beginilah rupa dan suasana Pasar Terapung, Perlis. Terdapat sebuah tasik yang menempatkan bot-bot jualan. Pengunjung agak ramai, tapi tak sesak.

Sudut yang cantik untuk pengunjung berfoto.

Kami berjalan dari satu bot ke satu bot, melihat-lihat makanan yang dijual. Tak banyak bot jualan, tak sampai 10 buah bot pun. Dan nampaknya tak ada yang menarik untuk kami beli. Bot yang ramai pembeli, bot menjual aiskrim. Panas terik begini, memang sedap makan aiskrim.

Dah sampai sini, tak kan tak membeli pulak. Beli jugaklah Pulut Ayam Thai dan Somtam, dua jenis makanan yang belum pernah kami berdua makan.

Di bahagian hujung kawasan ni, terdapat sebuah khemah besar untuk kita duduk makan dan terdapat gerai jualan air di bahagian tepi khemah. Tapi penuh pulak, tak dapat nak duduk sambil makan makanan yang dibeli tadi.

Selain aktiviti jual beli di bot, pengunjung boleh juga berjalan-jalan ke bahagian tengah tasik. Terdapat semacam pulau kecil dan ada Mini Zoo di situ. Sesuailah untuk kanak-kanak. Bayaran RM2 dikenakan untuk ke pulau. Selain tu pengunjung juga boleh memancing, mendayung sampan dan berkayak dengan bayaran tertentu.

Pada pendapat saya, secara keseluruhannya Pasar Terapung JPS Perlis ni menarik kerana keunikan konsep jualan di atas bot. Cuma kalau boleh tambah bot jualan, itu akan lebih menarik. Tempat ini juga cantik untuk berfoto.

Kalau ada ke Perlis, cubalah ke Pasar Terapung ni. Ambil pengalaman, sambil tu kita bantu merancakkan sektor pelancongan domestik. Nak parkir pun mudah, ada ruang parkir yang luas disediakan di hadapan kompleks JPS.

———————————————————————————————-
PASAR TERAPUNG JPS PERLIS
Kompleks JPS Perlis,
Pengkalan Asam,
Kangar, Perlis.

Waktu operasi : 
Sabtu dan Ahad
9 pagi - 8 malam