Thursday, 30 January 2025

Catatan 8 Hari 7 Malam | 19 - 26 Januari 2025

Selama 8 hari 7 malam saya bersama Encik Suami ke sana ke sini. Bila dah balik rumah, banyak pulak urusan rumah tangga nak dikerjakan. Masa senggang yang ada saya gunakan untuk betul-betul berehat, sebab itu saya ambil masa lama untuk kembali mencatat di blog.

Ke mana saya selama 8 hari 7 malam yang lalu?
Rumah Perlis ⟶ Hotel di Shah Alam, Selangor (2 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak Mentua di Batu Pahat, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Perlis.

⏵ AHAD, 19 JANUARI 2025
Selepas menunaikan solat Subuh (sebelum kami bertolak ke Shah Alam), suasana awal pagi di rumah kami jadi sedikit huru-hara dengan kehadiran seekor ular berbisa - ular katam tebu!

Ular katam tebu. Foto hasil carian internet.
Ular berbelang warna hitam putih sedang melingkar di kawasan singki dalam bilik air yang jarang digunakan. Saiznya tidaklah besar dan panjang seperti dalam foto di atas, tapi itulah ular paling panjang pernah masuk ke rumah kami. Menakutkan! Syukurlah bukan saya yang membuka pintu bilik air ketika itu, tetapi Encik Suami. Entah apa reaksi saya kalau jadi orang pertama yang nampak si panjang berbelang ni.

Hasil bantuan jiran, ular katam tebu berjaya dibawa keluar. Alhamdulillah!

Set minum petang di kafe hotel.
Perjalanan dari rumah Perlis ke De Palma Hotel Shah Alam sejauh 497 km mengambil masa kira-kira 6 jam 20 minit. Kami menginap di sini selama dua malam atas urusan kerja Encik Suami.


⏵ SELASA, 21 JANUARI 2025
Kami bermalam di rumah NS pula - waktu siangnya Encik Suami ada urusan kerja di kawasan berhampiran. Waktu malamnya, kami berjalan kaki ke deretan kedai di hadapan kawasan perumahan untuk ke kedai dobi (mesin basuh rumah NS yang rosak masih belum dibaiki) dan makan malam.

Setelah kira-kira 10 tahun usia taman perumahan kami, akhirnya bangunan kedai siap dibina dan mula beroperasi pada tahun lepas.

Kami menyusuri deretan kedai di sini buat kali pertama. Saya perhatikan terdapat beberapa buah kedai runcit, beberapa buah kedai makan, kedai dobi, kedai cuci kereta dan farmasi. Di kawasan tapak parkir pula terdapat gerai tolak menjual burger dan sate. Wah, lengkap semuanya!


⏵ RABU, 22 JANUARI 2025
Awal pagi, kami bertolak balik kampung di Johor - balik rumah Mak saya di Pontian. Beberapa hari sebelumnya, saya sempat membuat tempahan kuih-muih dari seorang jiran - kaswi gedik dan apam mekar.

Bawa balik kuih-muih untuk dimakan bersama ahli keluarga yang ada di rumah Mak. Kebetulan kakak yang menetap di Merlimau, Melaka pun balik kampung.

Pokok pisang hiasan Musa Ornata
Cantik warna jantung pisang ni - pokok pisang hiasan (Musa Ornata) di laman rumah Mak.

Perkembangan kesihatan Mak saya | Mak masih tak mampu bergerak sendiri. Sekarang menggunakan katil hospital boleh laras yang dipinjam dari YB DUN Kukup. Mulai 12 Januari lalu, kami dapat seorang pembantu untuk Mak yang cekap melakukan tugasan. Alhamdulillah!

Disebabkan Mak tak boleh bergerak, kami dapatkan khidmat home visit doctor dari Poliklinik QMS Pontian. Hasil pemeriksaan, menurut doktor - ada kemungkinan saraf yang mengawal otot kaki terhimpit disebabkan masalah Scoliosis. Tiada rawatan khusus dapat dilakukan. Doktor mencadangkan Mak saya menjalani fisioterapi secara berterusan (untuk info - sebelum ini Mak pernah menjalani fisioterapi di Ifix Physio. Entrinya DI SINI).

Upah pembantu Mak - RM1,500 sebulan. Caj home visit doctor - RM325. Caj home visit physiotherapy - RM60 satu sesi. InsyaAllah sesi fisoterapi akan bermula esok - Jumaat, 31 Januari. Saya catatkan secara terperinci di blog sebagai rujukan akan datang.


⏵ KHAMIS, 23 JANUARI 2025
Waktu tengah hari, kami bergerak ke kampung Encik Suami di Batu Pahat

Cantik warna merah menyala cili bulat dilaman rumah mak mentua saya.

Mee Bandung Odeon
Mi bandung Odeon.
Hari Jumaat - kami bersama beberapa ahli keluarga lain makan mi bandung di Mee Bandung Odeon yang terletak di bandar Batu Pahat.

Mee Bandung Odeon merupakan medan selera yang menempatkan deretan gerai jualan. Nama Odeon pula diambil dari nama pawagam yang suatu masa dahulu beroperasi di bangunan sebelah meden selera ini.

Rupa dan rasa mi bandung di sini berbeza dengan mi bandung Muar. Mi bandung Odeon tidak kuat rasa juga aroma udang dan lebih rasa lemak kacang tanah. Sedap menurut cita rasa saya. Cuma tahap kebersihan medan selera dan gerai di sini perlu dipertingkatkan.


⏵ SABTU, 25 JANUARI 2025
Jumaat malam Sabtu, kami kembali bermalam di rumah Mak saya. Hari Sabtu ada majlis perkahwinan dua orang anak saudara saya di Pontian. 

Pada Disember 2024 dan Januari 2025, menyaksikan empat orang anak saudara saya mendirikan rumah tangga. Terasa diri semakin tua bila seorang demi seorang anak saudara berkahwin.

Semoga Allah memberkati rumah tangga anak-anak saudara saya - Izam, Hafiz, Najib dan Fahmi bersama pasangan masing-masing.


⏵ AHAD, 26 JANUARI 2025
Sabtu malam Ahad, kami bermalam di rumah NS.

Pagi Ahad yang sejuk dengan hujan mencurah bumi. Tunggu hujan reda tapi makin bertambah lebat, akhirnya kami bergerak jugalah dalam suasana hujan lebat.

Salomak Sampodeh Nilai
Pukul 9.30 pagi, kami singgah makan sarapan di kedai makan jiran - Salomak Sampodeh di Desa Cempaka, Nilai. Saya suka nasi lemak di sini - cukup lemak rasa nasinya. Kedainya juga bersih.

Perjalanan balik ke rumah Perlis tidak begitu lancar, aliran trafik agak sesak di beberapa tempat dan juga terdapat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah ketika jam menghampiri pukul 7.30 malam. Kepulangan kami disambut oleh Jojo si kucing jantan - mengiau dan terus menuju depan pintu bersedia untuk masuk rumah 😄






.

Tuesday, 21 January 2025

Naik Keisei Skyliner Airport Express ke Nippori Station

CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI PERTAMA - RABU, 4 DISEMBER 2024

Jemput baca catatan terdahulu —> Penerbangan Dari KLIA Ke Narita Airport.

Dari lapangan terbang, kami menuju ke hotel penginapan di Nippori yang terletak sejauh 72 km. Masih awal pagi, memang tak boleh mendaftar masuk hotel tapi boleh tinggalkan beg sementara kita berjalan-jalan.

Apa pilihan pengangkutan yang ada untuk ke hotel?
Dengan bantuan aplikasi Google Maps - terpapar senarai pengangkutan yang boleh kita pilih lengkap dengan kadar tambang dan tempoh perjalanan. Sangat mudah! Ini jauh berbeza dengan pengalaman kami semasa ke Guangzhou, China - tiada paparan pilihan pengangkutan.

Kami pilih untuk menaiki Keisei Skyliner Airport Express kerana ia menawarkan perjalanan lebih pantas iaitu kira-kira 45 minit perjalanan, lebih selesa dan lebih mudah kerana tak perlu bertukar tren. Naik satu tren dan lepas tu jalan kaki untuk sampai ke hotel.

Kalau nak lebih mudah terus sampai depan pintu hotel, boleh pilih naik e-hailing tapi kena bersedia membayar kadar tambang lebih tinggi berbanding naik tren.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Kaunter beli tiket di sebelah kiri.

Saya jaga beg, Encik Suami pula ke kaunter membeli tiket. Petugas di kaunter boleh berbahasa Inggeris, jadinya tiada masalah komunikasi. Selain pembelian di kaunter, tiket juga boleh dibeli secara online di skyliner.ec.keisei.co.jp atau beli awal melalui Klook - ada tawaran diskaun tapi perlu buat pengiraan sama ada berbaloi atau tidak dengan kadar tukaran wang semasa. 

Kos tambang dari Narita Airport ke Nippori Station - 2,580 yen seorang

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Di platform menunggu tren.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Tiket tren. Ada tulisan bahasa Inggeris, mudahlah nak faham maklumat perjalanan. Tertera nombor tempat duduk dan koc (car) yang perlu dinaiki. Masa berlepas pada pukul 9.11 pagi.

Keisei Skyliner Airport Express Narita Japan
Kami menunggu di sini - car 3 boarding point.

Keisei Skyliner Airport Express
Beginilah rupa dalam tren Keisei Skyliner Airport Express.

Keisei Skyliner Airport Express
Foto ni mungkin nampak sedikit pelik sebab hasil foto zoom-out.
Ada tempat khas letak bagasi berhampiran pintu masuk koc. Tapi kami letak je di tempat kami duduk sebab ruang kakinya luas. Beg galas kami letak di ruangan atas tempat duduk. 

Keisei Skyliner Airport Express
Kedudukan kami di koc ke-3 (warna biru pada gambar rajah). Kedudukan fire extinguisher, emergency intercom, AED - automated external defibrillator dan tandas juga dipaparkan pada gambar rajah. Mudah nak cari bila diperlukan. 

Mata mengantuk, tapi saya rasa rugi kalau melelapkan mata tak dapat lihat pemandangan di luar. Kenalah tahan mata demi menikmati pengalaman pertama menyaksikan rupa negara Jepun.

Dapat menyaksikan perubahan warna dedaun pada penghujung musim luruh.

Cantik dan bersih sungainya.

Ada ketikanya, tren berhenti untuk memberi laluan kepada tren lain. Sepanjang perjalanan saya menyaksikan beberapa jenis tren melalui landasan sebelah.

Bangunan rumah penduduk.

Tak terasa masa berlalu bila mata leka menikmati pemandangan di tempat yang asing. Macam sekejap je perjalanan, tren tiba di destinasi iaitu Nippori Station - stesen yang terletak di Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.

Keluar dari stesen, barulah terasa udara sejuk sungguh! Kami kemudiannya terpinga-pinga mencari arah mana satu nak dituju. Walaupun ada panduan pada Google Maps, tapi tidaklah terlalu mudah.

Pendek cerita, akhinya kami jumpa juga arah mana satu patut dituju. Dari pintu stesen, kami perlu menuruni anak tangga yang jauh ke bawah 😅

Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.
Cabaran tangga pertama buat kami yang baru tiba di Jepun. Ini cuma permulaan, selepas ni banyak lagi anak tangga perlu didaki/dituruni.

Kalau tadi saya perhatikan orang turun/naik tangga ni dengan membawa bagasi. Kali ini giliran kami pula bawa turun bagasi melalui tangga ini. Kami bawa dua buah bagasi - Encik Suami bawa turun satu persatu ke bawah.

Arakawa City, Tokyo Metropolis Prefecture.
Dari tangga tadi, kami berjalan menuju ke Art Hotel Lungwood dengan mengikut panduan Google Maps. Tak begitu jauh dan mudah sebab jalanan di sini tak sibuk dan laluan pejalan kakinya luas (rujuk foto di atas).

Encik Suami pula suka rela nak bawa semua beg kami - dua buah bagasi saiz 20” dan 24” serta sebuah beg galas, dapatlah saya berjalan santai memerhati suasana sekitar. Kalau ikutkan, tak perlu bawa banyak beg untuk isi keperluan kami berdua selama lima hari di Jepun. Tapi kami sengaja bawa lebih sebab ada niat nak shopping. Eh, bukan niat saya tapi niat Encik Suami sebab tu dia sanggup heret bagasi 😄

Awal-awal saya dah cakap pada Encik Suami - saya bukan orang yang suka shopping semasa travel dan saya tak ada apa nak beli di Jepun. Setakat beli satu dua barang sebagai kenangan, cukuplah! Betul ke tak? Kita tengoklah nanti 😆







Friday, 17 January 2025

Penerbangan Dari KLIA Ke Narita Airport

CATATAN TRIP KE JEPUN | 3 - 9 DISEMBER 2024

Entri pertama saya bagi siri catatan trip ke Jepun. Jemput baca entri pengenalan —> Kembara ke Negara Matahari Terbit.

Sebelum itu, mari kita panjatkan kesyukuran dengan perkembangan terkini gencatan senjata di Gaza yang akan mula berkuat kuasa pada hari Ahad ini, 19 Januari 2025. Alhamdulillah!

Walau tempohnya cuma 50 hari, tetapi ia cukup melegakan bagi mereka yang berada di medan peperangan. Bersama-sama kita terus mendoakan masa depan yang lebih baik bagi mereka di sana.


⏵ TERBANG KE JEPUN DENGAN MALAYSIA AIRLINES (MAS) | HARI SELASA, 3 DISEMBER 2024
Saya dan Encik Suami tiba di KLIA, Terminal 1 pada pukul 8 malam. Penerbangan kami menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) dijadualkan berlepas pada pukul 11.35 malam.

Pintu pelepasan di C37. Perlu naik shuttle bus dari terminal utama sebab aerotrain (APM - automated people mover system) masih belum beroperasi.

Pesawat Airbus A330-300 kelas ekonomi dengan susunan tempat duduk 2-4-2. Memang rasa lebih selesa bila dapat duduk berdua saja. Barisan sebelah kami - deretan empat buah kerusi, kosong tanpa penumpang.

Tersedia skrin untuk hiburan sepanjang penerbangan. In-flight Wi-Fi pun disediakan juga, tapi bila dah connect dan cuba guna macam tak boleh pulak. Saja mencuba, bukan nak layan telefon pun. Tadi dah puas menguap dan terlelap semasa menunggu masa untuk masuk pesawat, jadi masuk je pesawat memang nak cepat melelapkan mata.

Beberapa detik menghampiri pukul 12 tengah malam, barulah pesawat kami berlepas meninggalkan tanah air. Terlewat sedikit dari jadual, entah apa sebabnya.

Satu jam kemudian, pramugari datang menghulurkan dua helai borang - Disembarkation Card untuk urusan imigresen dan Customs Declaration untuk urusan kastam. Isi siap-siap dan simpan untuk kegunaan sewaktu tiba di Jepun nanti.

Tak lama kemudian, hidangan pertama diedarkan. Semuanya habis saya makan walau mata mengantuk. Sedap! Lepas makan, kita layan mata jelah. Nak tengok luar pun bukan nampak apa - gelap.

Hidangan kedua pula diedarkan pada pukul 4.30 pagi. Agak kecewa sebab saya tak dapat menu Pre-Order Meal, cuma dapat menu yang sama dengan penumpang lain.

Menurut pramugari, pada sistem cuma nama Encik Suami saja yang request Pre-Order Meal. Padahal masa buat tu memang kami dah pastikan untuk kami berdua. Entahlah. Encik Suami offer tukar dengan hidangannya, tapi saya tak minat pulak dengan pilihan makanan Encik Suami.

Nasi lemak yang saya makan ni pula terasa ada butiran nasi yang masih mentah. Saya makan jelah malas nak mengadu pada Encik Suami. Bila Encik Suami makan untuk merasa, dia tanya saya - nasinya masih ada yang mentah ya?

MasyaAllah indah sungguh pemandangan ketika cahaya siang mulai kelihatan. Masa ni pukul 5.18 pagi waktu Malaysia.

Saya menunaikan solat Subuh setelah berwuduk dengan menggunakan botol spray di tandas pesawat. Sebenarnya, ketika ini sudah pun di hujung waktu Subuh. Saya kurang teliti memahami dan menjaga waktu solat memandangkan ini pengalaman pertama kami perlu menunaikan solat ketika dalam penerbangan. Sepatutnya perlu tunaikan solat lebih awal, iaitu sebaik saja selepas menikmati hidangan nasi lemak tadi.

Macam mana kita nak tahu bila masuknya waktu solat ketika dalam penerbangan? Saya merujuk laman halaltrip.com. Buat carian lebih awal sebelum pesawat berlepas. InsyaAllah nanti saya buat entri khusus bab solat dalam penerbangan ni.

Selain merujuk laman halaltrip.com, saya turut bertanya kepada pramugari untuk kepastian. Agak lama barulah pramugari kembali dengan jawapan - kita akan mendarat tak lama lagi. Lebih kurang begitu ayatnya. Ketika itu saya dah pun selesai menunaikan solat. Apa pun, saya hargai usaha beliau yang cuba membantu saya.

Hari sudah terang, daratan jelas kelihatan di bawah. Saya rasa sangat teruja dan juga berdebar.


⏵ TIBA DI NARITA AIRPORT, CHIBA PREFECTURE | HARI RABU, 4 DISEMBER 2024

Alhamdulillah pesawat yang kami naiki selamat mendarat di bumi Jepun kira-kira pukul 7.19 pagi waktu tempatan (6.19 pagi waktu Malaysia) setelah terbang selama kira-kira 6 jam 20 minit.

Pesawat mendarat di Narita Airport yang terletak di bandar Narita, Chiba Prefecture (negeri).

Suhu di Narita ketika ini 7℃. Tapi saya tak rasa sejuk sangat sebab berada di dalam bangunan lapangan terbang. Tahap sejuk yang biasa je.

Urusan imigresen pula sedikit mengelirukan serta perlu beratur panjang, tetapi tidak berlaku sebarang masalah. Saya kemudiannya berurusan dengan seorang pegawai imigresen lelaki yang kelihatan begitu santai bertugas - gaya rambutnya seperti tidak terurus dan mulutnya sedang mengunyah sesuatu. Rasanya ini kali pertama saya berurusan dengan pegawai imigresen yang begitu santai. Tiada sebarang pertanyaan, sekejap saja selesai urusan pasport.

Alhamdulillah semua urusan selesai dalam tempoh kurang satu jam tanpa sebarang masalah. Cuma selepas ambil bagasi tu saya rasa sedikit cemas bila menyaksikan beberapa buah beg penumpang lain dihidu oleh anjing pengesan. Sebenarnya, tak perlu cemas pun sebab kami tak bawa sebarang makanan berbau atau apa-apa barang terlarang. Kami datang Jepun cuma bawa bekalan roti dan kekacang.

Tandas di Narita Airport. Selama ini saya cuma dengar cerita berkenaan kecanggihan tandas di Jepun. Akhirnya dapat juga saya menggunakan tandas canggih ni (sila klik foto untuk paparan lebih jelas).

Lega sungguh bila ke negara yang ada menyediakan kemudahan untuk bersuci menggunakan air. Pertama kali memanglah tak biasa, kena ambil sedikit masa untuk membaca tulisan dan memerhati simbol yang ada.

Boleh pilih untuk cuci bahagian depan atau belakang, juga boleh laras tahap tekanan air. Segan orang dengar bunyi yang tak sepatutnya? Tekan butang ‘privacy’, akan kedengaran bunyi aliran air yang juga boleh dilaras tahap kekuatan bunyi. Canggih kan? 😀

Dari lapangan terbang, seterusnya kami menaiki tren menuju ke hotel penginapan di Nippori. Bersambung pada catatan akan datang.







Tuesday, 14 January 2025

Keunikan Pasar Tradisional - Nat Pokok Getah, Arau, Perlis

Catatan hari Ahad, 12 Januari 2025.

Setelah lebih setahun menetap di Perlis, baru kali ini saya dan Encik Suami berkunjung ke pasar pagi yang terkenal di sini iaitu Nat Pokok Getah. Pasar pagi ini terletak di Pauh, Arau dengan jarak perjalanan sejauh 20 km dari rumah kami.

Nat dalam dialek tempatan merujuk kepada pasar pagi. Kenapa namanya Nat Pokok Getah? Ini kerana ia beroperasi dalam kebun getah. Tapi mungkin terlalu ramai peniaga, manakala ruang yang ada (dalam kebun getah) tak mencukupi, maka ramai juga peniaga yang berjualan di tepi jalan besar.

Kami tiba di sini kira-kira pukul 10 pagi, sudah agak lewat. Kebetulan masa ni cuaca sedikit mendung dan baru saja lepas hujan gerimis. Jadinya walaupun dah pukul 10 pagi tidaklah rasa panas dek terik matahari.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Beginilah suasana jalan raya di Nat Pokok Getah - sesak dengan kenderaan yang bergerak perlahan dan gerai jualan memenuhi bahu jalan. Di kanan dan kiri jalan nampaknya terdapat beberapa kawasan yang dijadikan tempat parkir. Saya tak pasti sama ada ia percuma atau berbayar.

Kami parkir di tempat yang terletak sebelum kawasan nat - kereta kami pusing ikut jalan lain untuk berpatah balik ke sini. Perlu berjalan kaki jauh sedikit tapi dapatlah ruangan parkir yang selesa dan selamat untuk kenderaan kita.

Bayaran RM3 sekali masuk. Servis di sini juga bagus - ada petugas jaga jalan setiap kali kita keluar/masuk dan tunjukkan ruang parkir kosong.

Dari tempat parkir, kami berjalan kaki menyeberangi jalan raya seterusnya melewati deretan gerai jualan di bahu jalan. Lepas tu barulah kami tiba di kawasan jualan dalam kebun getah.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Wah! Memang lain macam suasana pasar di sini. Khemah-khemah jualan berada di bawah pokok getah menjadikan suasana lebih redup. Tambahan pulak masa ni cuaca sedikit mendung, saya rasa selesa berjalan di sini.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Sebelum sampai sini, saya cakap dengan Encik Suami - saya tak ada apa nak dibeli, datang sini cuma nak tengok suasana 😝

Tapi, awal-awal lagi saya dah berkenan dengan pokok orkid berbunga 12 kuntum ni. Maka, duit RM55 bertukar tangan. Acara jalan-jalan di pasar baru saja bermula, kami tinggalkan pokok orkid ni untuk diambil sewaktu balik nanti.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Giliran Encik Suami pula membuat pembelian. Bila dah menetap di kawasan kampung, memang menjadi keperluan memiliki beberapa jenis pisau dan parang.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Kami masuk ke kawasan jualan barang terpakai dan barang antik. Rata-rata barang jualan di pamerkan atas tanah beralaskan kanvas.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Pelbagai jenis peralatan elektrik turut dijual.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Eh, buku terpakai pun ada!

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Belek punya belek, saya berkenan dengan sebuah buku berjudul Duri dan Api. Buku kumpulan sajak-sajak pilihan karya Sasterawan Negara - Usman Awang ini merupakan cetakan ketiga tahun 1972. Kondisi buku ini masih elok - tiada helaian yang koyak atau tertanggal.

Jika 53 tahun lalu harganya cuma RM2.70 (cetakan harga tertera di belakang kulit buku), hari ini saya bayar nilainya sebanyak RM20. Hasil carian saya selepas itu mendapati buku ini turut dijual dengan harga sekitar RM40 hingga RM45. Manakala bagi cetakan kedua, ia dijual pada harga RM80!

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Dari kawasan jualan barangan, kami melintas jalan raya untuk ke kawasan jualan makanan dan barang dapur (bahan kering dan basah) pula. Pengunjung lebih ramai bertumpu di sini.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Kami beli kuih apam, entah apa nama apam jenis ni.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Asam jawa kepal. Saya beli bawang di gerai ni sebab nampak elok cantik bawangnya, padahal bawang di dapur masih ada lagi 😄

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Pelbagai jenis pes masakan - CT Rempah Giling Kodiang. Penjualnya seorang lelaki dan seorang perempuan muda begitu ramah menerangkan pes jualan mereka. Saya beli beberapa jenis pes di sini. Bekas kecil RM6 dan bekas besar RM12.

Nat Pokok Getah Arau Perlis
Jomlah kita balik! Hampir satu jam kami jalan-jalan di sini dengan jarak 1.25 km pergi/balik dan 1,814 langkah - data dari smart watch. Itu pun kami tak pergi ke semua tempat.

Terasa rugi saya tak ke sini lebih awal - dah pindah lebih setahun, tapi sekarang baru sampai 😅. Nat Pokok Getah bukan saja unik kerana berada dalam kebun getah, tetapi menarik kerana menawarkan hampir segala-galanya! Pendek kata, pasti ada sesuatu untuk setiap pengunjung yang datang.

Nat Pokok Getah hanya beroperasi pada hari Jumaat dan Ahad, dari pukul 7.30 pagi sehingga 12 tengah hari. Sebaiknya datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan masalah mencari parkir, juga menghindari terik matahari.

Kalau boleh, pakai juga kasut yang sesuai sebab kita berjalan di tanah yang tidak rata - terutamanya bila berjalan di kawasan jualan barangan terpakai dan antik. Dan kalau tak mahu terlalu sesak, elakkan datang pada musim cuti sekolah atau cuti umum.

Berkunjung ke Perlis? Masukkan Nat Pokok Getah dalam itinerari kalian untuk merasai suasana pasar pagi yang unik! Carian Google Maps - Nat Pokok Getah.







Monday, 13 January 2025

Cerita Pagi Ahad

JOJO SUDAH SIHAT!
Sejak pagi Sabtu, Jojo sudah kembali aktif - tidak lagi terbaring lemah. Selera makan dan minum juga bertambah. Sekejap-sekejap mengiau minta makanan serta kerap minum.

Semasa ke klinik veterinar tempohari, doktor beri ubat/vitamin dalam bentuk cecair (syrup) - iaitu ubat demam, antibiotik dan multivitamin yang perlu diambil setiap hari (ubat demam untuk tiga hari pertama sahaja). Antara fungsi multivitamin adalah untuk meningkatkan selera makan. Jadi tak hairanlah kenapa Jojo tiba-tiba jadi kuat makan dan minum.

Senang hati saya tengok anak bulu dah sihat setelah empat hari terbaring lemah. Alhamdulillah syukur! Terima kasih juga buat sahabat blog yang telah mendoakan Jojo.

Foto hari Ahad, pukul 7.50 pagi. Muka tak puas hati sebab lepas dapat makan banyak, kena paksa telan antibiotik dan multivitamin pulak. Terus lari keluar rumah, duduk termenung atas kereta buat muka gini. Pandang kita pun tak mau dah 😄


SARAPAN PAGI DENGAN TEH TARIK VOLCANO DI ARAU KOPI
Kami tinggalkan Jojo melayan perasaannya. Kami menuju ke Arau Kopi untuk bersarapan. Tiap hari dah bersarapan di rumah, hari hujung minggu biasanya kami makan di luar.

Dalam kereta kami dah berbincang nak makan apa, senang nanti sampai terus je order. Saya nak minum air suam - sesuai dengan azam nak sihat. Encik Suami tetap dengan kopi Arau setiap kali makan di sini.

Tapi bila sampai di Arau Kopi…eh, ada menu istimewa untuk hari ini. Teh tarik volcano nampak sangat menggoda. Jomlah kita cuba!

Set nasi goreng, bihun goreng Singapura, teh ais volcano dan kopi Arau. Alhamdulillah semuanya sesuai dengan selera kami berdua.

Hilang segala azam nak sihat - air suam bertukar jadi teh ais volcano 😆. Mengenangkan hampir setiap hari bila bersarapan di rumah - saya cuma minum Ahmad Tea - Green Tea tanpa pemanis, jadi kuranglah sikit rasa bersalah pada diri sendiri.

Kalau nak tahu info lanjut berkenaan Arau Kopi, boleh baca entri saya DI SINI.

Hujung minggu kali ini nampaknya kurang pelancong luar datang ke Perlis, mungkin sebab hujung minggu berikutnya bermula cuti sekolah - jadi minggu ni orang kurang berjalan. Di mana-mana tempat makan terkenal - termasuk di Arau Kopi tidak sesak dengan pengunjung. Masa yang sesuai untuk kami pula berjalan ke sana sini 😀. Selepas bersarapan, kami menuju ke nat (pasar pagi) yang terkenal di Perlis.