Wednesday 29 July 2020

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang)

Ahad | 26.07.2020

Berpagian di hari Ahad kononnya nak JJCM sarapan pagi di pulau, tapi kedai dituju dah pun padat dengan pelanggan. Lepas makan (bukan di kedai tadi), baliknya saya dan suami memilih untuk melalui Jambatan Kedua Pulau Pinang. Pengalaman pertama buat kami.

[info ringkas]
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau dikenali juga sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang telah siap secara rasmi pada tahun 2014. Ia menghubungkan Batu Kawan di tanah besar Seberang Perai dan Batu Maung di pulau. Jambatan yang menelan kos sebanyak RM4.5 bilion ini merupakan jambatan terpanjang di Asia Tenggara, dengan keseluruhan panjang 24 km (16.9 km berada di atas air). Baca lebih info di sini.

Tersalah masuk jalan sebelum naik jambatan, terjumpa lokasi dengan pemandangan menarik begini. Pagi yang nyaman dan cuaca sedikit mendung.

Berada di bahagian tengah jambatan. 

Dari sudut ni pula jelas kelihatan lengkok jambatan.

Pemandangan pulau kecil dan bukit-bukau yang kelihatan berbalam, indah ciptaan Allah.

Pemanduan santai kami mengambil masa kira-kira 13 minit melalui jambatan ini. Jalan lengang, hanya sesekali ada kenderaan lain. Jambatan ni juga menyediakan laluan khas untuk motosikal.

Tuesday 28 July 2020

Galeri Jeruk Madu Pak Ali (Kilang)

Kilang Jeruk Madu Pak Ali ni rupanya tak jauh mana pun dari rumah saya di Pulau Pinang. Memandangkan insya Allah saya dan suami boleh balik kampung kami di Johor sempena Hari Raya Aidiladha, sesuai sangatlah jika kami beli jeruk Pak Ali sebagai oleh-oleh untuk keluarga di Johor.

Jadinya pada hari Sabtu lalu, kami ke sini...

Ikut je aplikasi Google Maps sampailah kat sini...Galeri Jeruk Madu Pak Ali.

Pelbagai pilihan jenis asam. Boleh rambang mata nak memilihnya ni.

Pelbagai pilihan produk keluaran syarikat Muslim lain juga turut dijual di sini. Kat hujung sekali tu tempat jualan jeruk Pak Ali. Boleh beli yang dah siap pek, atau nak beli dengan kuantiti lebih banyak.

Hasil memborong jeruk Pak Ali untuk keluarga kami, banyak sebab keluarga sebelah saya ramai. Beli jugak rempah kari cap O, sedap tau rempah kari ni. Lebih kurang macam kita guna rempah kari Babas.

Untuk peminat jeruk, bolehlah datang ke sini jika ada ke Pulau Pinang. Saya bukanlah peminat jeruk, bolehlah makan sekadar merasa. 

————————————————-

GALERI JERUK MADU PAK ALI (KILANG)

Lokasi :
Kawasan Perindustrian IKS Perda Tasek,
14120 Simpang Ampat,
Seberang Perai Selatan,
Pulau Pinang.
<<< Google Maps : Jeruk Madu Pak Ali (Kilang) >>>

Waktu operasi :
9 pagi - 6 petang
(Setiap hari)


Friday 24 July 2020

تروووڠ

.ماري بلاجر توليسن جاوي

تروووڠ

اد کاون٢ يڠ فوبيا ماسوق تروووڠ ؟


Wednesday 22 July 2020

Bila Ada Dua Rumah...

Walaupun saya dan suami dah berpindah ke Pulau Pinang, tapi kami tidaklah memindahkan semua isi rumah di Negeri Sembilan ke rumah di Pulau Pinang. Cuma membawa pakaian dan barang penting sahaja.

Ada beberapa sebab mengapa kami tak berpindah secara sepenuhnya. Antaranya, sebab kontrak suami untuk bekerja di sini cuma 2 tahun dan juga sebab rumah di Negeri Sembilan merupakan milik sendiri. Insya Allah selepas 2 tahun pastinya perlu kembali ke rumah sendiri. Jadinya tak berbaloi untuk menyewa lori angkut segala barang jauh-jauh. Sesekali bila suami ada urusan di kawasan tengah atau selatan, bolehlah singgah bermalam di rumah sendiri. Jadi rumah persinggahan.

Bila ada dua rumah, kos pun meningkat. Setiap rumah perlukan barangan asas sendiri. Tapi berbeza dengan rumah sendiri, untuk rumah sewa di sini kami beli barang yang betul-betul perlu dan dengan kapasiti/saiz kecil yang bersesuaian dengan saiz rumah 775 kaki persegi.

Peti ais dua pintu jenama Sharp model SJD210MD dengan kapasiti 200 liter, dapat harga promosi RM959 di Aeon Bukit Mertajam. Penghantaran ke rumah pun percuma. Kalau beli satu pintu lebih murah, tapi berdasarkan pengalaman memang leceh asyik nak kena defrost dan buangkan air. Penat juga kami keluar masuk kedai-kedai elektrik untuk mencari peti ais model di atas. Semua tempat dah habis, katanya sebelum raya ramai yang membeli. Akhirnya kami pilih beli di Aeon sebab dapat harga promo dan anggaran masa menunggu stok dalam 2 minggu. Alhamdulillah tak sampai 2 minggu dah dapat.

Mesin basuh jenama Sharp model ES718X dengan kapasiti 7 kg, berharga RM699. Beli sekali dengan peti ais di Aeon. Ruang menyidai pun terhad, tak boleh basuh sekali banyak. Sebelum dapat mesin basuh ni, beberapa kali juga kami terpaksa ke kedai dobi layan diri berhampiran.

Untuk memasak, kami pilih induction cooker jenama Tefal model IH720865 berharga RM198 di Harvey Norman IOI City Mall. Sebenarnya harga tertera lebih tinggi, tapi bila saya buat semakan di laman web jualan online Harvey Norman saya dapati harganya lebih rendah. Saya cuba mintak nak beli di kedai tapi dengan harga seperti di laman web, Alhamdulillah dapat! Ada induction cooker ni senang tak perlu angkut tong gas naik rumah tinggi, cuma pertambahan penggunaan elektrik dan perlu guna peralatan memasak yang sesuai.

Beli induction cooker ni dapat percuma periuk jenama Supor seperti di atas. Tapi...kualitinya sangatlah mengecewakan. Sangat nipis. Saya merebus air, ok lagi. Bila saya menumis, terus hangus bahagian tengah walaupun guna tahap kepanasan minima. Selepas tu saya beli kuali dan periuk lain yang lebih berkualiti dan dapatlah memasak tanpa masalah hangus. Cuma hangus duit pulak nak membelinya...haha!

Saya catatkan secara terperinci di blog untuk rujukan sendiri dan panduan bagi mereka yang sedang mencari barangan yang sama.

Ikut perancangan, barangan besar seperti peti ais dan mesin basuh ni kami akan jual semula selepas tamat tempoh bekerja di sini. Mungkin juga boleh jual kepada tuan rumah (rumah ni disewa dengan sebahagian perabot, tapi tiada mesin basuh/peti ais).






.

Tuesday 21 July 2020

SOP di R&R (Gerai Makan)

Gambar diambil pada 17 Julai 2020, Hentian R&R Bukit Gantang Arah Selatan.
Jumaat lalu, saya dan suami berpagi-pagian keluar dari rumah di Pulau Pinang menuju ke rumah di Negeri Sembilan. Ini merupakan kali ke-3 (sejak berpindah) kami berpeluang menjenguk rumah kami di Negeri Sembilan. Kali pertama sebab nak ambil kereta satu lagi, dan selebihnya atas urusan kerja suami.

Pagi Jumaat tu kami singgah bersarapan di R&R. Orang belum ramai mungkin sebab masih awal pagi. Kelihatan kon-kon keselamatan diletakkan disekeliling kawasan gerai makan untuk menghalang orang ramai masuk ke kawasan gerai makan secara sebarangan. Semua mesti masuk melalui satu laluan je. Ada petugas R&R yang menunggu untuk mengambil suhu badan kita. Buku disediakan untuk kita catat nama, nombor telefon dan suhu badan.

Untuk membeli makanan di gerai-gerai pun ada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan - hanya seorang pembeli dalam satu-satu masa boleh masuk ke dalam gerai (bagi gerai yang perlu masuk dalam) dan perlu beratur secara berjarak bagi gerai yang perlu membeli di luar gerai.

Ada juga orang yang mungkin tak perasan dengan SOP ni, terus je merapat dengan orang lain yang sedang membeli di gerai. Yang bagusnya, penjual gerai terus menegur untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP - menjaga jarak.

———————————————-

Sengaja saya catatkan di blog untuk memori pada masa hadapan. Sejarah bagaimana situasi negara kita menghadapi cabaran wabak COVID-19.

Satu lagi...saya suka nasi lemak kat R&R ni, gerai kedua dari kiri (dari arah kita masuk tu). Ada pilihan nasi lemak telur atau nasi lemak ikan masin. Dah siap berbungkus kecil dengan harga RM1.50 sebungkus. Sebelum ni pernah makan, rasa sedap dan kali ni mengulang lagi. Siap beli lagi 4 bungkus untuk kami makan tengahari kat rumah Negeri Sembilan nanti. Senang tak perlu singgah mana-mana..hehe. Makanan gerai lain pun mungkin sedap juga, cuma saya belum mencuba.

Wednesday 15 July 2020

Sukarkah Menjadi Pasangan Yang Berbeza Minat?

Ada yang berkata :
“Susahlah, suami aku tak minat masuk hutan gini”
“Untunglah sama minat, isteri aku tak berani nak tidur dalam khemah”
“Seronoknya boleh pergi sama-sama ke Pesta Buku, aku masuk sorang je, laki aku tak minat la...dia tunggu dalam kereta”
“Beruntunglah siapa dapat pasangan sama minat, seronok boleh buat aktiviti sama-sama!”

Minat bermaksud kecenderungan kepada sesuatu.
Ada yang minatnya membaca buku.
Ada yang minatnya mendaki bukit dan gunung.
Ada yang minatnya memancing.
Ada yang minatnya berbasikal.
Ada yang minatnya menyertai acara larian.
Ada yang minatnya bercucuk tanam.

Minat setiap manusia adalah berbeza.
Mungkin kita akan bertemu pasangan dengan minat yang sama.
Mungkin kita akan bertemu pasangan dengan minat yang berbeza.

Persoalannya...
Sukarkah menjadi pasangan yang berbeza minat?

Tidaklah sukar jika...
kita tahu menghormati minat pasangan,
kita tahu mengendalikan minat secara bersama,
kita tahu bahawa di saat kita bersetuju untuk hidup bersama pasangan, kita juga telah bersetuju untuk menerima minatnya.

Kita mungkin tak minat dengan lambakan buku,
Tapi kita boleh raikan minat pasangan dengan bersama-sama ke Pesta Buku.

Kita mungkin tak minat memancing,
Tapi kita boleh raikan minat pasangan dengan sesekali ikut pergi memancing.

Kita mungkin tak minat mendaki bukit atau gunung,
Tapi kita boleh raikan minat pasangan dengan sesekali ikut bersama mendaki bukit yang mudah.

Pasangan tentu gembira bila kita ada usaha untuk meraikan minatnya.
Usaha itu juga sebagai tanda cinta dan sayang kita kepada pasangan.
Melakukan aktiviti secara bersama juga mengeratkan hubungan.

Sukarkah menjadi pasangan yang berbeza minat?
Mungkin menjadi satu kesukaran,
bila minat tersekat dek tiada sokongan dari pasangan.
Mungkin juga hidup menjadi lebih seronok,
kerana kita belajar melakukan sesuatu yang baru, iaitu minat pasangan kita.

Komunikasi itu penting untuk mencari titik persefahaman.
Carilah bahagia walau berbeza minat!

————————————————————————————-
Minat saya dan suami memang berbeza, tapi kami cuba meraikan minat masing-masing.
Teringat satu kisah di zaman remaja, semasa saya mengikuti aktiviti pendakian ke Gunung Stong, Kelantan. Ada satu malam tu kami duduk berborak santai. Abang juru pandu arah yang membawa kami bertanya, siapa yang naik gunung kerana terpaksa? Seorang kawan lelaki mengakui dia naik kerana terpaksa - dia tak minat mendaki, tapi naik juga kerana nak menemani/menjaga teman wanitanya. Itulah kuasa cinta! Berdasarkan pemerhatian sepanjang melakukan pendakian bersama, saya yakin dia memang nak menjaga dan bukan sebab cemburu.


Apakah minat kawan-kawan?
📖 🚴🏼‍♂️ ✈️

Tuesday 14 July 2020

Tebus Mata Ganjaran Kad PLUSMiles Touch ‘N Go Di Dunkin’ Donuts

Sebelum ni jika nak tebus mata ganjaran kad PLUSMiles Touch ‘N Go di Dunkin’ Donuts cuma boleh tebus sebiji donut je. Walaupun boleh tebus tanpa had, agak leceh la jugak kalau nak buat satu persatu. Tapi baru-baru ni dah boleh tebus 6 biji terus!

6 biji donut pilihan hasil tebus 2,100 mata ganjaran.

Donut Onde-Onde! Tapi taklah rasa macam makan kuih Onde-Onde pun. Atas donut tu ditabur dengan kelapa kering (coconut flakes) dan gula melaka. Inti donut dan bahagian atas tu ada salted caramel.

Ada kad PLUSMiles Touch N Go? Muat turun aplikasi PlusMiles dan daftarkan kad kawan-kawan (tiru cakap Pavithra 😁) kat situ. Bolehlah semak mata ganjaran dan mula menebus ganjaran yang ditawarkan. Tiada had untuk kita tebus setiap ganjaran, tetapi kuantiti terhad, siapa cepat dia dapat!

Monday 13 July 2020

Catatan Perjalanan 07.07.2020 | Sekitar Pahang

Selasa | 07.07.2020

10.06 pagi - saya berada di Tanah Rata, Cameron Highlands. Tak berjalan ke mana-mana pun sebab keberadaan di CH sekadar laluan untuk ke Chegar Perah, Kuala Lipis. Malam tadi sampai pun dah menghampiri tengah malam melalui Simpang Pulai, suami habis kerja baru gerak dari rumah di Penang. Dapat la pengalaman naik CH pada waktu malam. Dah lama tak lalu ikut Simpang Pulai, jalan pun dah ada perubahan...ada binaan terowong.

Berbalik kepada CH, saya sangka orang tak ramai sebab hari bekerja. Rupanya sana sini penuh orang. Kebiasaan bila ke CH mesti nak sarapan di YZ Agro Farm. Kami masuk je melepasi pintu gerbang Kampung Taman Sedia, tengok deretan kereta dah bersusun di kiri dan kanan jalan. Sesak, sampai kereta nak bergerak pun susah. Nampak orang ramai menuju ke Abang Strawberry, dah macam pergi kenduri pulak. Seperti yang saya jangka, YZ Agro Farm tutup dan begitu juga kafe KHM di sebelahnya. Kami keluar dari kampung tersebut dan menuju ke kompleks medan selera Tanah Rata. Tapi hampa juga sebab tiada kedai makan yang buka. Haih! Akhirnya jumpa gerai makan berhampiran kompleks tadi, walaupun keadaan gerai tak memuaskan tapi terpaksalah jugak sebab perut dah lapar dan kami perlu segera bergerak turun.

11.28 pagi - melalui Jalan Ringlet-Sungai Koyan. Seperti pengalaman sebelum ini, laluan ni tak banyak kenderaan. Tapi semakin banyak cerun runtuh di bahagian kiri jalan raya. Bahaya jika memandu di waktu malam, takut tak perasan tanda cerun runtuh yang menyebabkan laluan jalan mengecil.

1.29 tengah hari - Alhamdulillah kami tiba di Chegar Perah, Kuala Lipis. Bukit-bukit batu kapur menjadi latar pemandangan di sini. Menarik di mata saya.

6.30 petang - Lemang To'ki, Bentong. Selesai urusan suami di Chegar Perah, kami meneruskan perjalanan untuk balik ke rumah Negeri Sembilan pula. Singgah di Lemang To'ki menikmati hidangan tengahari dan malam kami. Menu biasa bila ke sini - lemang, ayam bakar dan rendang. Setakat ni saya memang berpuashati makan kat sini, lemangnya masak lembut dan berlemak, ayam bakar dengan rasa perapan yang sedap dan isi ayam empuk.

7.03 petang - perjalanan di teruskan melalui bandar Bentong.

Tak terus balik rumah, sempat lagi singgah IOI City Mall untuk mengambil cermin mata suami yang ditempah minggu lalu.

Alhamdulillah...akhirnya selamat sampai ke rumah N. Sembilan sebelum tengah malam. Perjalanan yang meletihkan, tapi saya suka melihat pemandangan di sepanjang jalan.

Dan bermulalah hidup dengan masalah internet, sebab wi-fi kami dah tamatkan langganan aritu. Harapkan guna mobile data Celcom, tapi tak boleh harap. Nak send mesej WhatsApp pun tak lancar...adeh! Bersabarlah untuk beberapa hari di rumah N. Sembilan sementara suami selesaikan urusannya.

Sekarang? Dah selamat kembali ke rumah Penang, bolehlah mula berblog semula :)


--------------------------
Pesanan untuk Dana - Norhidana, Wak - Warisan Petani dan Ummi - Nur Asyiqin, nak minta tolong e-mail semula butiran untuk pengeposan ke e-mail : halifa02@gmail.com ya. Sebab borang 'contact form' pada blog nampaknya ada masalah, email tak masuk.

Wednesday 1 July 2020

Menjual Untuk Membeli

Balik rumah Negeri Sembilan hujung minggu lalu, saya sempat singgah membeli buku di galeri Jejak Tarbiah yang terletak di Bangi.



Lima buah buku yang menjadi pilihan saya kali ini - buku oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Shahriman Jamalullayl dan Hafizul Faiz. Semuanya dibeli menggunakan hasil komisen menjadi ejen jualan buku Jejak Tarbiah. Saya menjual buku untuk membeli buku 😊