Thursday 31 December 2015

GUANGZHOU, China : Warna-Warna Kehidupan

Catatan terakhir saya untuk tahun 2015, juga catatan penutup mengenai musafir saya dan suami di Guangzhou. Setiap tempat ada keunikan, ada sisi hitam dan putihnya. Inilah sebahagian warna-warna Guangzhou...


GUANGZHOU, China
1. Pemandangan waktu siang dari bilik penginapan saya. Bangunan di sini memang rapat-rapat. Di antara bangunan, biasanya ada lorong kecil ke rumah penduduk.

GUANGZHOU, China
2. Pabila malam...cahaya lampu dari rumah-rumah mereka menghasilkan pemandangan yang cantik!

GUANGZHOU, China
3. Waktu Maghrib ketika saya di sini adalah sekitar jam 5.30 petang. Sini cepat gelap, makanya bila kita berjalan-jalan sekitar pukul 8 malam pun dah terasa macam lewat malam. Sunyi je, jauh beza waktu siangnya yang sentiasa ramai orang berjalan ke sana sini.

GUANGZHOU, China
4. Bagusnya kat sini, mana-mana kita pergi pun ada CCTV. Walaupun kat kawasan luar pusat bandar, atau di celah-celah bangunan usang.

GUANGZHOU, China
5. Menarik bas ni kan? Rasanya bas menggunakan kuasa elektrik. Bas yang biasa pun ada jugak.

GUANGZHOU, China
6. Penduduk di sini memang rajin berjalan kaki. Kat mana-mana pun ramai orang berjalan kaki. Mungkin sebab sistem pengangkutan awamnya yang cekap dan murah - subway Metro Guangzhou. Kalau tak berjalan kaki, masing-masing naik basikal yang menggunakan kuasa motor. Laju je tau. Sebenarnya nak cerita, kat sini senang nak melintas jalan. Ada banyak lintasan begini dan tak perlu tekan butang apa-apa, memang akan hijau sendiri untuk setiap beberapa ketika. Cuma, kena hati-hati jangan berlanggar dengan basikal semasa melintas.

GUANGZHOU, China
7. Kat sini banyak pilihan kenderaan untuk kita naiki, selain subway dan teksi. Ada macam-macam rupa. Kalau pandai cakap bahasa Cina, bolehlah cuba naik.

GUANGZHOU, China
8. Kerja paling gila kami buat, naik kenderaan roda tiga ni. Bukan sengaja, tapi tak banyak pilihan masa tu. Lebih 10 minit perjalanan yang mendebarkan! Laju je (bukan kayuh tau, guna kuasa bateri), pakcik yang bawak ni langgar semua lampu trafik dan melawan arus. Kecut perut, zikir tak henti. Fuh! Tobat…syukur selamat!

TIPS : Pastikan korang ada kad bisnes hotel untuk tunjuk kepada pemandu teksi dll. Sebab kalau setakat sebut nama hotel, dia memang tak boleh faham. Sebutlah banyak kali pun (hotel X /airport/plaza Y), memang tak faham. Wajib tunjuk tulisan bahasa Cina.

--------------------------------------------------------------------

Kos perbelanjaan untuk kami berdua :
1. Tiket asas Air Asia pergi/balik KL- Guangzhou  - RM952.16
2. Caj pilih tempat duduk - RM24
3. Zuhai SEZ Hotel (4 malam) - RM572.51
4. Pengangkutan awam (5 hari ) - RM69.67 /¥102 (subway Metro) + RM66.93 / ¥98 (teksi ke airport) + RM20.49 /¥30 (beca).
TOTAL : RM1,705.76

Kos di atas tidak termasuk makan. Kadar tukaran wang masa saya pergi ni adalah RM68.30 untuk ¥100. Saya sertakan semua info di atas untuk rekod sendiri dan rujukan bagi yang memerlukan. 




Tuesday 29 December 2015

GUANGZHOU, China : Jom Ke Plaza Borong!

Catatan kali ni saya nak cerita pasal plaza borong yang ada kat Guangzhou ni. Untuk info, Guangzhou merupakan antara pusat perdagangan / pusat pemborong dunia. Inilah antara tujuan kembara saya dan suami ke Guangzhou, melihat sendiri plaza-plaza borong di sini. Makanya, selama 4 hari kaki saya bekerja keras kerana perlu berjalan kaki dari stesen-stesen Metro ke plaza-plaza borong yang terlalu banyak. Kalau korang ada bajet tinggi dan perlukan keselesaan, boleh saja memilih naik teksi.

Berikut adalah sebahagian tempat memborong / membeli-belah yang sempat kami jelajahi. Ada yang saya tak cerita kat sini sebab tak ambil sebarang gambar/info.

1. Plaza borong fabrik (renda, manik pun ada). Exit pintu D di stesen Metro : Sun Yat-sen. Sepanjang jalan semuanya plaza jual fabrik. Terlalu banyak! Yang agak baru dan ada lebih kurang 7 tingkat tu - Zhong Da.


2. Taikang Jewelry City - plaza jual jewellery & scarf. Exit di stesen Metro : Haizhu Square atau Beijing Road. Jangan terkejut, kat sini pun orang jual tudung tau! Tapi...kita jadikan tudung, dia jadikan hiasan lilit kat leher atau untuk menahan sejuk. Masa ni Guangzhou dah masuk musim sejuk, masing-masing sibuk pilih skaf. Saya belek-belek, ada yang berkenan tapi bidang kecik pulak.


3. Plaza alat tulis - Office Stationery & Art Supplies Trade Center. Dan ada banyak lagi disekitarnya. Maaf, yang ni lupa catat stesen Metro terdekat. Kena buat carian sendirilah kalau berminat nak ke sini.


4. Onelink International Toys & Gifts Wholesale Market (gambar pertama). Ada macam-macam barang hiasan / keperluan rumah (cadar patchwork, wallpaper), keychain & fridge magnet. Pendek kata, memang syurga untuk yang suka shopping!

Teruskan berjalan, kita akan jumpa Plaza Debao (gambar kedua). Ada jual runcit/borong alat tulis dan permainan. Pergi ke tingkat bawah sekali. Untuk ke dua-dua plaza ni, sila exit stesen Metro : Haizhu Square.


5. Kawasan plaza borong pakaian kanak-kanak/bayi. Exit pintu A di stesen Metro : Zhongshanba. Masa ni pintu A di tutup, kami exit ikut pintu B.


6. Cari barangan berkaitan komputer & barangan digital? Boleh ke kawasan ni, exit di stesen Metro : Gangding.


Murah ke barang kat sini?
Pendapat saya secara umum (yang baru pertama kali ke sini), kalau beli setakat satu dua memang tak murah. Paling mungkin pun, murah sikit dari kat Malaysia. Kadar tukaran wang masa kami pergi ni hampir RM7 untuk setiap ¥10. Kalau nak murah, kenalah membeli secara borong. 

Mudah ke nak memborong?
Bagi saya, tak begitu mudah disebabkan halangan komunikasi. Tak boleh nak tanya lebih-lebih. Untuk bincang harga dan kuantiti, semuanya guna kalkulator. Perkataan yang sebahagian penjual faham - one dan many many (borong). Kalau serius nak memborong, korang boleh join trip borong atau sekurang-kurangnya seminar borong untuk lebih tips dan memudahkan urusan borong. Tapi, tidaklah sampai tahap terlalu susah untuk memborong sendiri bagi yang sukakan cabaran dan nak berjimat (kos lebih tinggi jika join trip borong).






.

Wednesday 23 December 2015

GUANGZHOU, China : Masjid Huaisheng

Masjid Huaisheng, dikenali juga sebagai Masjid Guangta. Menurut sejarah, masjid yang terletak di Jalan Guangta ini telah dibina oleh Sa'ad Ibn Abi Waqqas pada awal-awal tahun Dinasti Tang (618-970). Info lanjut, sila klik DI SINI

Untuk ke sini, exit di stesen Metro - Ximenkou. Perlu berjalan kaki melewati deretan kedai / rumah. 

1. Inilah pandangan hadapan Masjid Huaisheng dari jalan.

2. Pintu masuk. Dari luar terdengar suara seorang lelaki mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran. Sejurus melangkah masuk, seorang pakcik memberi salam kepada kami. Dan bertanya, "Malaysia?". Terasa seronok pulak, bila disapa begini di bumi yang asing bagi kami. 

3. Kami melewati beberapa pintu gerbang / ruangan. Keadaan sangat tenang dan sepi.

4. Akhirnya, tersergam indah di hadapan mata kami. Kawasan ini sebenarnya luas, dengan bangunan di kanan dan kiri. Bersih sangat. 

5. Nampak rumah api cat putih tu? Makanya, masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Rumah Api. Ada sejarahnya...

6. Alhamdulillah...berpeluang menunaikan solat di sini. Menggigil jugak sewaktu berwudhuk, air paipnya sejuk sangat kerana Guangzhou sudah memasuki musim sejuk. Ruang solat wanita dipisahkan dengan tirai kain. Dindingnya batu, manakala lantai tempat solat adalah kayu.

7. Dalam ni pun kemas dan bersih. Yang macam kerusi tu saya tak pasti fungsinya. Mungkin kegunaan bagi yang ada keuzuran untuk berdiri atau duduk dilantai.

Alhamdulillah, dapat juga kami melawat salah satu tinggalan sejarah dan juga pusat umat Islam di bumi Guangzhou ni. Hajat nak ke sebuah lagi masjid tak kesampaian pulak.






Tuesday 22 December 2015

GUANGZHOU, China : Cerita Makan-Makan

Mudah ke mencari makanan halal di Guangzhou? Mudah...kalau kita dah buat persiapan awal dengan mencatat di mana lokasi makanan halal, melalui carian di internet (hasil catatan perjalanan rakan blogger lain). Sila jangan buat carian Google di sana ya, memang tak dapat sebab disekat. Semuanya cari dan siap print sebelum bertolak, lebih mudah. Kalau datang main redah cari kedai makan halal, memang agak susah.

1. Kedai makanan halal yang pertama kami singgah, exit di stesen Metro - Yuexiu Park. Disebabkan masalah komunikasi, kita main tunjuk jelah gambar makanan kat menu tu...hand-pulled (mee tarik). Terasa mahal, semangkuk mee paling murah ¥10 (hampir RM7). Tapi saiz makanannya memang banyak bagi saya. Untuk makanan bungkus, kena caj tambahan ¥1. Terus teringat kat Malaysia...tak pernah kena caj untuk makanan bungkus. Oh ya, kat sini takde order air macam kat Malaysia. Dia jual air minuman/mineral dan air-air dalam tin/botol je. 


2. Kedai ni pulak terletak tak jauh dari exit stesen Metro - Ximenkou, di kawasan hotel penginapan kami. Yang kanan tu makanan saya...semata-mata ada mee tarik+telur goreng+kuah yang kira sedap jugaklah. Kat sini tak sediakan garfu, saya ni pulak tak reti guna chopstick. Nak mintak, terasa leceh pulak nak mulakan perbualan 'ayam-itik'. Makan jelah dengan sedikit susah payah...makan mee tarik guna sudu! 


3. Nur Boston Uighur Restaurant...yang ni paling senang cari, kedudukan berhadapan dengan Masjid Huaisheng di Jalan Guangta. Exit stesen Metro - Ximenkou. Juga tak jauh dari hotel penginapan kami. Makanannya lebih banyak pilihan. Harga? Mutton Dimsum 6 biji tu ¥28, Mutton Soup ¥25. Yang lain-lain tu tak ingat sebab tak simpan rekod, tapi memang mahal semuanya. Rasa? Sedaplah jugak, boleh makan. Tapi lagi sedap makanan kat Malaysia! Hehee..


4. Masa jalan kaki nak pergi Tesco, ternampak kedai jual durian ni. Besar saiz duriannya. Tapi tak beli pun, sekadar curi-curi ambil gambar. 

Ada beberapa lagi kedai makan muslim yang kami jumpa, tapi tak singgah makanlah. Kalau nak makanan yang sedikit pedas dan dekat dengan tekak Malaysia, boleh cari kedai makan Pakistan. 

Sebagai langkah berjimat dan memudahkan kami untuk berjalan-jalan, kami makan kat kedai-kedai ni sehari sekali je (biasanya waktu petang). Selepas selesai menjelajah, baru cari makan dan balik hotel untuk solat. Untuk sarapan cuma makan bekalan di bawa - Maggi Cup dan Nasi Briyani Kambing Instant jenama Brahim. Bawa jugak biskut, kurma, coklat, pek minuman 3in1. Ajaibnya kat sini, perut saya tak selalu lapar macam kat Malaysia. Jadinya, memang cukuplah sekadar makan berat dua kali (maggi kira makan berat ke? bolehlah!).

Menurut blogger lain, kalau nak ada macam-macam makanan Muslim kenalah datang pada hari Jumaat kat kawasan masjid. Sayangnya, kami bertolak balik Khamis malam Jumaat. Tak sempat nak merasa kemeriahan makanan yang dikatakan tu. 






Friday 18 December 2015

GUANGZHOU, China : Guangzhou Metro

Sepanjang lima hari di Guangzhou, pengangkutan utama kami adalah keretapi bawah tanah Guangzhou Metro (biasa sebut METRO sahaja). Ia adalah pengangkutan yang paling murah dan mudah bagi kami yang tak tahu berbahasa Cina. Tambahan lagi, liputan laluan Metro ni meluas. Senang nak menjelajah Guangzhou.

1. Setiap kali kita memasuki stesen Metro, ada pemeriksaan keselamatan. Bagi yang membawa beg, akan kena scan. Kadang-kadang ada yang kena bukak beg untuk pemeriksaan lanjut. 

2. Pemandangan di salah satu stesen. Beli tiket di mesin. Kaunter Khidmat Pelanggan (kat tengah tu) untuk kita tukar duit (sebab bukan semua note duit boleh diterima kat mesin beli tiket) dan juga kalau ada sebarang masalah. 

Dan saya pernah mengalami masalah pada hari kedua di sini, hasil 'kepeningan' diri sendiri (tak sanggup nak cakap diri sendiri bodoh..hahahaa). Memang mendebarkan sebab 'ayam' nak bercakap dengan 'itik'! Kita cakap Inggeris, dia cakap Cina. Mujurlah boleh selesai dengan mudah. Lega!

3. Mesin tiket, biasanya ada banyak kat setiap stesen. Takde masalah. Kalau nak tukar note yang bersesuaian, hulur je duit kat kaunter Khidmat Pelanggan tadi...nanti dia bagilah note yang sesuai. Tiket adalah dalam bentuk Coin

4. Paparan pada skrin mesin tiket. Ada pilihan bahasa Inggeris, tu yang mudah. Pilih destinasi, pilih kuantiti tiket dan bayar. 

Kat sini ada banyak laluan yang disebut 'line', satu warna tu mewakili satu 'line'. Jadinya, kita mesti tau di stesen mana kita perlu bertukar line untuk ke destinasi. Contoh : dari lapangan terbang (Line 3) ke hotel di stesen Ximenkou (Line 1), saya perlu naik Metro Line 3 - Line 2 - Line 1. Jadinya saya perlu tahu dan pastikan di stesen mana nak bertukar ke Line seterusnya. 

5. Untuk memastikan tak terlepas stesen untuk pertukaran ke Line seterusnya dan stesen destinasi, mata kenalah mengawasi skrin dan paparan laluan tersedia tu. Juga kena dengar pengumuman (ada bahasa Inggeris).  

6. Sebenarnya, hampir setiap kali saya gunakan Metro ni isinya sangatlah padat. Cuma sesekali je jumpa longgar begini, barulah boleh saya ambil gambar. 

Sama macam di negara kita, kat sini pun masing-masing rajin 'menelaah' gajet. Yang bagusnya kat sini, setiap kali ada orang tua / ibu hamil / ibu dukung anak kecil, mesti ada yang bangun memberikan tempat duduk mereka. Yang tak bagus pun ada tau, setiap kali nak masuk berebut-rebut. Kita belum keluar, orang dah bertolak nak masuk. Sampai ada yang bergaduh.

7. Dah sampai stesen destinasi kita, nak keluar dari stesen pun kena baca info ni. 
Ada banyak pintu keluar. 

Sungguhpun murah (semurah ¥2 satu perjalanan, tak sampai RM2) dan mudah, tapi ia memang menguji kemampuan fizikal. Sebab bila kita guna Metro ni, maksudnya banyak berjalan kaki samada nak masuk/keluar stesen dan semasa pertukaran Metro Line lain. Kalau terjumpa yang tersangatlah jauh nak berjalan dalam terowong tu untuk ke Metro rasa nak menangis pun ada. Penat kaki! (kata nak mengembara sangat...hambek kau Ujie!)

Lagi satu, masalah gayat! Escalator kebanyakkannya tersangatlah tinggi/jauh ke bawah. Ada yang perlu turun/naik sampai beberapa escalator pulak. Tapi selepas beberapa hari, gayat saya dah berkurangan. Suami sukalah mengusik, sebab dia tak gayat tengok atas/bawah. Saya? Tunduk solehah gitu! 

Yang hebatnya, kat sini orang tua yang dah bongkok pun menggunakan Metro tau. Memang satu pemandangan biasa orang-orang tuanya menggunakan Metro. Lagi satu pemandangan yang tak asing, orang-orang muda ada yang membawa bersama basikal boleh lipat

Pemandangan paling asing? Tentulah wanita bertudung. Saya dan suami memang dari pagi ke petang selama lima hari kerjanya turun naik dari satu stesen ke stesen lain, memang tak pernah jumpa wanita bertudung dalam Metro. Memang biasa orang akan merenung pemakaian saya...atas bawah atas bawah, terasa kita ni pulak alien! Tapi bila kita senyum kat dia, bertuah la kalau ada yang membalas! Muka 'ketat' je semua tau.

....bersambung...

Nota : 
Maaf kalau korang bosan tengok tulisan panjang lebar, sekadar mengabadikan pengalaman untuk rujukan sendiri dan perkongsian bagi yang belum berpeluang ke sana.

Monday 14 December 2015

GUANGZHOU, China : Menerobos Sempadan Diri

29 November 2015
Alhamdulillah pesawat Air Asia yang saya dan suami naiki selamat mendarat tepat jam 1 pagi waktu tempatan (sama dengan waktu Malaysia) di Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun, Guangzhou, China. Penerbangan mengambil masa kira-kira 4 jam dari KLIA2.

Selesai urusan dengan pihak berkuasa, kami merayau sekitar lapangan terbang dengan tujuan mencari di mana letaknya stesen Metro Guangzhou (Guangzhou subway), cari tandas dan cari tempat tidur yang sedikit tersorok. Bermalam di sini, boleh jimat duit teksi yang pastinya mahal dan jimat duit hotel satu malam. 

Hampir jam 2.30 pagi, di sinilah kami merehatkan diri. Saya pakai selimut, pakai tutup mata...dapatlah jugak tidur walau tak lena mana pun. Tapi bukanlah berbaring macam 'jiran' sebelah kami, agak susah sebab ada tempat tangan kat kerusi.

Pukul 5 lebih, kami beredar ke tandas (siap gosok gigi tau!). Dan seterusnya menunaikan kewajiban di ruangan ini (dalam gambar). Alhamdulillah...antara perkara yang saya risaukan (solat di ruangan terbuka) dapat diselesaikan dengan mudah.

Seterusnya, kami menaiki Metro Guangzhou untuk menuju ke hotel (Zhuhai Special Economic Zone Hotel). Lama jugak merenung route map dan nota-nota yang kami bawa untuk memastikan kami tak tersalah laluan Metro. Untuk perjalanan dari lapangan terbang ke stesen Ximenkou, mengambil masa kira-kira 50 minit dengan tambang ¥7 sahaja! (hampir RM5).

....bersambung....

*********************************************

Saya anggap musafir kami kali ini sebagai 'menerobos sempadan diri', kerana buat pertama kali kami berdua sahaja ke tempat yang begitu asing tanpa pemandu pelancong / tak ikut mana-mana agen pelancongan. Berdebar dan sedikit cemas sebenarnya....ke negara yang rata-rata masyarakatnya hanya mampu bertutur bahasa mereka je, sedangkan kami cuma tau bahasa Melayu dan Inggeris semata. Terpaksa pulak bermalam di lapangan terbang, solat di tempat terbuka, menggunakan tandas tanpa air dan bermacam lagi sebenarnya! 

Untuk trip ke Guangzhou ni, suami yang buat segala persiapan (termasuk segala info siap print). Antara yang di print adalah catatan blogger JARI MANIS, sebab ada direction lengkap untuk ke mana-mana. Terima kasih ya JM! Memang sangat membantu.






.

Wednesday 9 December 2015

Melancong atau Mengembara?

Melancong dan mengembara memang berbeza, walaupun kadang-kadang orang anggap sama je. Asalkan berjalan-jalan ke tempat asing, orang akan kata.."Wah, melancong lagi!". Hakikatnya kita bukan pergi melancong, tapi kita pergi mengembara. Jadi, apa beza antara keduanya?

MELANCONG
  1. Menurut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, melancong bermaksud melawat sambil melihat-lihat (bersenang-senang). 
  2. Tujuan melancong untuk berehat, menenangkan fikiran, bergembira.
  3. Sanggup menyediakan bajet perbelanjaan yang besar.
  4. Biasanya bawa beg yang agak besar (bawa banyak keperluan untuk keselesaan diri).
  5. Mahukan keselesaan, dari segi penginapan - tinggal di hotel yang selesa, dari segi pengangkutan - naik pengangkutan yang paling selesa walau agak mahal, dari segi makan - makan di tempat makan yang selesa dengan kos tinggi.
  6. Menggunakan khidmat agensi pelancongan, untuk menjamin kemudahan sepanjang lawatan.
  7. Melawat tempat-tempat tumpuan pelancongan sahaja.
  8. Tidak mengambil masa yang lama.
  9. Membeli-belah.

MENGEMBARA
  1. Menurut tafsiran Kamus Dewan Edisi Keempat, mengembara bermaksud pergi ke mana-mana (dengan tidak tetap tempat kediaman dan tidak tentu pula tempat yang ditujui), bertualang, menjelajah.
  2. Tujuan mengembara untuk mencari pengalaman baru di tempat asing, memerhatikan kehidupan/budaya masyarakat tempat tersebut, merasai cabaran baru.
  3. Menyediakan bajet yang kecil.
  4. Membawa backpack / beg sandang belakang (bawa keperluan minima sahaja). 
  5. Keselesaan bukan keutamaan, dari segi penginapan -sanggup tinggal di asrama atau cukup sekadar hotel bajet, dari segi pengangkutan - naik penerbangan tambang murah dan menggunakan pengangkutan awam yang paling murah sepanjang pengembaraan atau berjalan kaki, dari segi makan - makan di tempat yang lebih murah dan/atau sanggup makan mee segera/ roti untuk menjimatkan perbelanjaan.
  6. Bergerak sendiri tanpa khidmat agensi pelancongan, sanggup bersusah payah untuk ke tempat yang ingin dituju.
  7. Tidak sekadar menuju tempat tumpuan pelancongan, seorang pengembara gemar menjelajah di luar lingkungan tumpuan pelancongan dengan tujuan membuat pemerhatian, bercampur gaul dengan masyarakat setempat.
  8. Mengambil masa yang lama dan kadang-kala 'bekerja sementara' untuk menampung perjalanan seterusnya.
  9. Tidak membeli-belah, atau sekadar membeli sedikit ole-ole ringkas.

Ada lagi? Boleh tambah kat ruangan komen ya. Sekarang dah boleh bezakan antara melancong dan mengembara kan? Korang suka yang mana satu? Tak kisah apa pun yang korang pilih, yang penting kita capai kepuasan dan tujuan dalam lawatan kita tu. 


Bermalam di lapangan terbang...salah satu cara untuk menjimatkan perbelanjaan bagi seorang pengembara.

Monday 7 December 2015

Ulu Dong, Raub : Khazanah Alam Nan Indah!

Tak ada idea nak ke mana-mana? Jom kita pergi ke Ulu Dong, Raub, Pahang. Sangat sesuai bagi pecinta alam, juga yang rindukan suasana kampung.

Ulu Dong, Raub
1. Nama je 'pulau', tapi sebenarnya bukanlah ada pulau pun. Aliran sungai (ke panggil jeram?) yang agak deras. Mungkin sebab semalamnya hujan lebat.

Ulu Dong, Raub
2. Saya sewa chalet tepi sungai, tidur malam bertemankan bunyi deruan air...sungguh nikmat! Alhamdulillah..alam semulajadi sebagai terapi diri.

Lata Jarum, Raub
3. Kurang 2km dari chalet penginapan kami, terbentang indah Lata Jarum. Terpukau saya dengan keindahan Lata Jarum. Ada jambatan disediakan untuk kita jelajahi tempat ni. Masa saya berdiri ambil gambar ni, percikan halus hasil hempasan air terjun menyapa diri...seronok!

Lata Jarum, Raub
4. Lata Jarum agak unik, pepohon hidup segar dicelahan batuan dan aliran air. Kat bahagian atas tu ada lagi mini air terjun, memang asyik memandangnya.

CARA NAK KE SANA?
Dari Raub, simpang untuk ke Ulu Dong terletak di sebelah kanan jalanraya. Ada papan tanda 'Lata Jarum'. Dari simpang tersebut untuk ke Ulu Dong adalah kira-kira 14km.

PENGINAPAN?
Ada agak banyak pilihan, ikutlah bajet dan keselesaan kita. Antaranya :
  • Tanah Aina Fahad. Ni paling selesa dan mahal rasanya, untuk info lanjut sila klik SINI.
  • River View Chalet. Kami mampu sewa kat sini je, kedudukan pun tak jauh sangat dari Tanah Aina Fahad. Best sebab betul-betul tepi sungai. Terletak diantara Pusat Rekreasi Pulau Chekas dan Lata Jarum, strategik. Info lanjut, sila hubungi Mak Tam di 019-576 2222.
  • Dusun Tok Chalet. Chalet ni terletak sebaris dengan River View Chalet. Info lanjut, sila hubungi 017-456 9037/013-211 1736.
  • MS Chemerkau Chekas Chalet. Yang ni agak terkenal untuk team building. Mulanya kami nak menginap di sini berdasarkan carian di internet. Sampai sana, chalet tak beroperasi (kami datang hari bekerja & di luar masa cuti sekolah, tuan chalet pun tak ada). Chalet kat sini nampak lebih elok dan terurus, tapi jauh sikit dari Pulau Chekas dan Lata Jarum. Info lanjut, hubungi 019-994 9095.
Ada beberapa pilihan lagi, tapi lupa ambil info. Kalau luar musim cuti dan hari bekerja, korang boleh je main redah datang macam kami. Pastu bolehlah pilih chalet mana berkenan di hati (kecuali chalet yang terkenal, haruslah tempah awal kan..).


MAKANAN?
Kalau di chalet yang kami duduk ni, boleh je nak main masak-masak kat tepi sungai. Disebabkan kami datang secara terjah, takdelah aktiviti main masak-masak. Kami beli je di sebuah kedai makan yang terletak berhampiran sebuah pintu gerbang. Tak jauh memandu dari kawasan chalet. Makanan pun boleh tahan sedap dan murah tau. Kedai ni tak buka untuk sarapan ya.


Nota : Bagi yang tak pernah merasa duduk rumah kampung, ada sungai tepi rumah, ada banjaran gunung di sekeliling, kehidupan kampung yang serba sederhana dan keramahan warga kampung...elok sangatlah kalau korang datang menginap kat Ulu Dong ni tau. Rasa sangat tenang dan damai!