Wednesday 29 January 2020

Kerana Cinta Aku Derhaka

Kerana Cinta Aku Derhaka - Travelog Menjejak Sejarah Johor Lama

Tajuk : Kerana Cinta Aku Derhaka - Travelog Menjejak Sejarah Johor Lama
Penulis : Syed Azharul Asriq
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2017
Jumlah muka surat : 266
Harga : RM25

Buku travelog berkenaan sejarah Johor Lama ini selesai dibaca sekitar minggu lepas. Saya membelinya pada kunjungan pertama ke sebuah galeri buku - Jejak Tarbiah yang terletak di Bangi. Ini juga merupakan buku pertama yang saya selesai baca untuk tahun 2020. Harapnya moga lebih banyak buku saya mampu baca untuk tahun ini.

SINOPSIS
Buku travelog ini mencatatkan pengembaraan penulis untuk mencari hikmah sejarah di Kota Tinggi,  Johor. Mengapa di Kota Tinggi? Kerana di situlah bermulanya Kesultanan Johor yang diasaskan oleh putera Sultan Melaka. Juga di situlah Tun Sri Lanang dilahirkan dan buku Sejarah Melayu mula ditulis.

Sambil kita mengikuti kisah pengembaraan penulis ke lokasi-lokasi bersejarah di Kota Tinggi, penulis turut menceritakan kisah sejarah berkaitan lokasi tersebut. Penceritaan begini memudahkan kita memahami peristiwa yang berlaku. Berbeza dengan membaca teks sejarah yang biasanya akan membuat minda terasa lebih berat untuk menghadam dan memahami faktanya.

PETIKAN BUKU
Secara tiba-tiba, Laksamana Bentan memekik tepat pada wajah Sultan Mahmud, "Patik derhaka, Tuanku!" Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) terus melibaskan parangnya pada Sultan! Sultan Mahmud terjatuh ke tanah dalam keadaan luka berdarah dilibas Laksamana. Darah raja yang berwarna merah tumpah ke bumi. Libasan Laksamana membuktikan warna darah raja sama saja dengan darah rakyat biasa. Darah akan dibalas dengan darah, darah Dang Anum akan dibalas dengan darah Sultan! (petikan dari bab - Jumaat Berdarah 1699)


Kerana Cinta Aku Derhaka - Travelog Menjejak Sejarah Johor Lama
Buku travelog ini tentu lebih menarik dibaca jika disertakan gambar berwarna. Atau mungkin sekurang-kurangnya beberapa gambar terpilih pun memadai supaya pembaca dapat gambaran penceritaan yang lebih jelas.

Selaku anak kelahiran Johor, rupanya masih terlalu banyak yang saya tak ketahui berkenaan sejarah negeri Johor. Antaranya, baru saya tahu kewujudan 8 buah kota lama di sepanjang Sungai Johor. Membaca buku travelog ini juga seolah-olah membawa saya bersama melawat lokasi-lokasi bersejarah di Kota Tinggi dan memahami serba sedikit sejarah silam Kesultanan Johor.





Wednesday 22 January 2020

Singgah Sebentar di Taman Negara Sungai Relau/Merapoh

Dalam entri INI, saya ada menyebut mengenai Taman Negara Sungai Relau/Merapoh. Saya ni memang suka ke taman-taman negara. Jadinya alang-alang dah lalu Merapoh untuk ke Dabong, haruslah saya ajak suami singgah di taman negara di Merapoh. Niat saya cuma nak melihat-lihat dan ambil info je, sebab memang belum pernah sampai dan tak banyak info hasil carian di internet.

Perjalanan melalui Lebuh Raya CSR (Central Spine Road) disajikan dengan pemandangan bukit batu kapur yang indah.

'Selamat Datang Ke Gua-Gua Merapoh' - nampak perkataan gua tu je dah buat saya excited! Kami tiba di sini jam 3.55 petang. Menurut info di situ, terdapat 100 buah gua yang terletak dalam pekan Merapoh dan 23 buah darinya dikenalpasti untuk aktiviti pelancongan. Memang patutlah banyak gua, sebab sepanjang jalan nampak bukit batu kapur je.

Perjalanan diteruskan. Kali ni jalannya sunyi tanpa kenderaan lain. Risau jugak kot salah jalan. Tapi lepas tu rasa okey bila nampak ada sebuah motorsikal yang melalui jalan yang sama.

Melalui ladang sawit di kiri kanan jalan. Pastu kena 'roadblock' oleh kumpulan lembu.

Alhamdulillah...jam 4.04 petang selamat tiba di Taman Negara Sungai Relau/Merapoh, Pahang. Memang berbeza dengan Taman Negara Kuala Tahan, Pahang yang nampak 'hidup' dan lebih menarik.

Saya kemudiannya masuk ke pejabat taman negara untuk bertanya info lanjut aktiviti di sini. Senanglah kan bila-bila kot berkesempatan datang sini lagi.

Senarai bayaran yang dikenakan. Saya bertanya pada staf bertugas mengenai info perubahan bayaran permit masuk (dari RM1 kepada RM30 untuk tahun 2020), menurutnya mereka belum terima sebarang arahan rasmi. Jadinya bayaran permit masuk masih kekal RM1. Sempat jugak saya bagi pendapat, RM30 terlalu tinggi untuk warganegara. Sepatutnya ada dua kadar berbeza - warganegara dan bukan warganegara. Memang la bukan staf tu yang buat keputusan,  tapi saya nak luah rasa jugak..haha!

Hasil bertanya dengan staf tadi, inilah info aktiviti yang boleh kita lakukan jika berkunjung ke sini :

✔mendaki Gunung Tahan.
✔eksplorasi ke gua-gua (perlu call awal untuk set masa dengan jurupandu).
✔bermain dengan ikan Kelah di santuari Kelah (boleh walk-in sebelum jam 3 petang dan menaiki pacuan empat roda untuk ke santuari).
✔trekking hutan (jarak 500 meter, tak perlu jurupandu).

Lepas dapat info dan melihat-lihat sekitar (takde apa nak lihat pun sebab tak nampak sungai atau trek hutan dari pejabat taman negara), kami bergerak untuk meneruskan perjalanan ke Dabong.

Insya Allah ada rezeki saya teringin nak masuk ke gua-gua di Merapoh ni. Selama ni tak tau bahawa Merapoh menyimpan khazanah alam yang tidak ternilai. Semoga ia kekal dipelihara untuk generasi akan datang.


*Merapoh...untuk anda pencinta eksplorasi gua*


Tuesday 21 January 2020

Hotel Bestari Prima, Kuala Lipis

Semasa ke Kuala Lipis pada hujung Disember lalu, saya dan suami menginap di sebuah hotel bajet - Hotel Bestari Prima. Walaupun bertaraf hotel bajet, tetapi servis yang diberikan sangat bagus.

Kami ambil bilik 'Double Room' - sebuah bilik dengan keluasan yang memuaskan, kemas dan bersih. Lengkap dengan ruangan gantung pakaian, senanglah saya gantung baju/tudung yang dah diseterika untuk pakai esok hari.

Bilik air yang bersih dan berkeadaan baik.

Hotel ni tak menyediakan kawasan parkir khas, perlu parkir di petak berbayar. Pihak hotel siap bagi sekeping kupon letak kereta untuk penggunaan 1 jam, oklah daripada langsung takde.

Sarapan pagi turut disediakan. Inilah ruangan kecil untuk tetamu hotel bersarapan pagi. Bersih, kemas, lengkap semuanya. Sarapan dengan pilihan bihun goreng/nasi lemak/roti dan 2 jenis minuman panas. Walaupun ringkas tapi cukup memuaskan untuk sebuah hotel bajet. Semuanya layan diri - ambil makanan minuman, lepas siap tu buang sampah dan basuh peralatan makan disinki. Memang takde notis arahan, tapi faham sendirilah bila tengok ada sinki yang lengkap gitu dan meja makan terhad (kita bersihkan untuk kemudahan orang seterusnya).

--------------------------------------------

Kadar harga bilik di sini. Melalui pembelian di Agoda, kami cuma bayar sekitar RM67 untuk bilik jenis 'Double Room'. Oh ya, kat hotel ni perlu deposit RM20 (dikembalikan masa check-out).

Satu lagi yang bagus kat sini, siap dapat suratkhabar. Awal pagi dah ada suratkhabar Berita Harian dimasukkan ikut bawah pintu bilik. Terkejut jugak saya, sebab tak pernah lagi duduk hotel bajet tapi dapat suratkhabar. Terus tekun membaca, maklum je dah lama tak beli/baca suratkhabar 😄.

Untuk sesiapa yang perlukan hotel bajet di Kuala Lipis, bolehlah cuba menginap di Hotel Bestari Prima ni. Hotel bajet dengan servis terbaik 👍


Friday 17 January 2020

Penulis Novel Kegemaran | Ramlee Awang Murshid

Bila sebut 'penulis novel kegemaran',  itu bermaksud kita gemar segala hasil karya penulis tersebut. Asal ada terbitan terkini je, kita sibuk nak beli. Kalau terbitan yang terdahulu pun kita sibuk cari. Kita rasa nak baca semua hasil karyanya. Sehingga akhirnya kita jadi pengumpul koleksi novel penulis tersebut.

RAMLEE AWANG MURSYID 
Saya minat membaca pelbagai jenis buku termasuk novel. Untuk kategori penulis novel Malaysia, buat masa sekarang saya masih meletakkan Ramlee Awang Mursyid (RAM) sebagai penulis novel kegemaran saya.

Koleksi novel karya RAM milik saya.

Saya mula mengenali novel RAM sekitar tahun 2006, sewaktu membelek deretan buku di Perpustakaan Awam Kuala Pilah. Saya dah lupa tajuknya, tapi itulah 'perkenalan' pertama yang seterusnya membuat saya jadi peminat karya RAM.

Bermula dengan membaca buku-buku RAM yang dipinjam dari perpustakaan, saya seterusnya mula membeli sendiri.

Siapakah RAM?
Ramlee Awang Murshid lahir pada 4 November 1967 merupakan seorang penulis novel berunsur thriller dan juga bekas wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar tahun 1986-2010. Ramlee Awang Murshid dilahirkan di Papar, Sabah. Novel pertama beliau - Igauan Maut telah diterbitkan pada tahun 1995.

Daripada lebih 30 buah novel RAM, saya memiliki 24 buah termasuk novel pertama beliau. Sehingga hari ini, ia menjadi sebahagian daripada koleksi buku kesayangan saya. Tersusun di rak dalam sebuah bilik, tak boleh orang pinjam (kecuali orang yang dipercayai je). Hehe...terpaksa kedekut untuk koleksi begini sebab kalau berlaku kerosakan, boleh kemurungan!

Untuk sebahagian buku lain, memang saya letak di rak buku ruang tamu. Tetamu datang boleh membaca atau pinjam bawa pulang. Kot rosak atau lupa pulang semula pun saya tak marah, bukanlah tak sayang tapi memang niat untuk bagi orang baca.

Siri Laksamana Sunan
RAM ada menghasilkan novel bersiri epik thriller iaitu Siri Laksamana Sunan. Ia menjadi antara novel bersiri kegemaran saya.

8 buah novel dalam siri Laksamana Sunan. Yang ke 9 saya baru order, dijangka dapat bulan depan. Sebenarnya dah jual dari tahun lepas, tapi saya terlepas keretapi..hehe.

Ok, siapa geng dengan saya (peminat karya RAM)? 😊


Wednesday 15 January 2020

Gred Tahap Kebersihan Masjid

Sewaktu menumpang solat di sebuah masjid di Raub, Pahang, pandangan mata saya tertarik kepada sesuatu di dinding luar berdekatan pintu masuk utama...

Buat pertama kalinya saya jumpa penggredan untuk tahap kebersihan masjid.

Satu usaha yang bagus oleh Jabatan Agama Islam Pahang. Ia satu galakkan kepada komuniti untuk memastikan masjid berada pada tahap kebersihan yang terbaik. Err...tapi sayang, tarikh pemeriksaan tercatat tahun 2010 😅

--------------------------------------------

Kebersihan masjid tanggungjawab bersama - bersihkan tandas lepas guna, jangan buang tisu sebarangan, pulang sejadah & telekung dengan kemas.

Monday 13 January 2020

'Something mysterious stopped Maps from searching this area'

Korang pernah tak guna Google Maps dan kemudian keluar paparan macam ni?


Keluar paparan gambar UFO dan ayat 'Couldn't get this info. Something mysterious stopped Maps from searching this area'.

Sedang elok pulak masa tu tengah lalu kat jalan yang lengang, kanan kiri kebun/hutan belukar. Mujur masih siang dan terang. Kalau dah gelap...mau terasa  sesuatu misteri jugak 😅.

Friday 10 January 2020

Singgah Sebentar di Gua Ikan, Dabong

01.01.2020 | Rabu

Dalam perjalanan pulang dari Stong Heritage Eco Resort, saya dan suami meluangkan masa untuk ke Gua Ikan. Ia terletak kira-kira 8 km dari lokasi resort.

Setibanya di Kompleks Gua Ikan, mula-mula sekali kita akan nampak kedai makan di sebelah kanan. Teruskan memandu ke kawasan parkir, selepas tu kita berjalan kaki menuju ke arah bukit batu kapur untuk ke Gua Ikan.

Maha Suci Allah yang menjadikan bukit batu kapur yang tersergam indah ini.

Jom kita masuk ke Gua Ikan! Walaupun keadaan persekitaran sunyi tanpa pengunjung lain, tapi tidaklah menyeramkan. Lagi pulak kedai makan tadi sedang beroperasi dan agak ramai pengunjungnya.

Terdapat aliran sebatang sungai di gua ini yang menambah ciri-ciri keindahan sebuah gua.

Teringin jugak saya nak menuju ke lubang gua yang terdapat nun di hujung sana. Tapi tentulah tak selamat tanpa kehadiran jurupandu.

Walaupun ini kunjungan kali kedua saya di sini, saya tetap asyik dan suka memerhati struktur dan persekitaran gua ini. Sebabnya, saya pun dah tak ingat dengan jelas bagaimana gua ini (kecuali ingat ada sungai). Maklum je masa pertama kali datang adalah pada tahun 1997, dah lebih 22 tahun 😄

Air sungainya cetek je. Saya cari-cari jugak kot ada hidupan air di sini, tapi nampaknya tak ada.

Perkara yang membuat saya sedih dan marah...vandalisme! Contengan di dinding gua begini menghilangkan keaslian gua dan mencacatkan pemandangan. Entah bagaimana M. Isham, Fauzi, M. Nor, Jusoh, Azhar dan yang lain-lain tu gigih menconteng pada kedudukan dinding gua yang agak tinggi.


-----------------------------------------------------


Di kawasan Kompleks Gua Ikan ni terdapat kemudahan tandas dan surau. Tapi malangnya ia tidak diselenggara. Tandasnya siap bermangga pada besi gril. Agak sayang tempat yang berpotensi untuk pelancongan alam semula jadi terbiar begini.

Selain Gua Ikan, disekitar kawasan ini juga terdapat beberapa gua lain yang lebih mencabar untuk diterokai. Insya Allah jika ada rezeki kami nak datang kembali ke sini untuk meneroka gua-gua tersebut dengan bantuan jurupandu. Kedatangan kami kali ni sangat singkat dengan niat sekadar nak melihat-lihat.

Untuk korang yang gemarkan alam semula jadi...datanglah ke Dabong, Kelantan. Tentu akan rasa seronok macam saya bila melihat hutan menghijau, bukit batu kapur dan gunung di sepanjang perjalanan. Juga adanya air terjun tertinggi di Asia Tenggara - air terjun Jelawang (juga dikenali sebagai air terjun Stong).






.

Wednesday 8 January 2020

Stong Heritage Eco Resort, Dabong

01.01.2020 | Rabu

Melalui carian internet, saya menemukan beberapa pilihan penginapan di sekitar Gunung Stong. Saya kemudiannya memilih untuk menginap di resort yang baru dibuka - Stong Heritage Eco Resort, Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai, Kelantan.

Disebabkan saya dan suami tiba di sini sudah pun waktu senja semalam, jadinya hari ini barulah kami dapat melihat kawasan sekitar dengan lebih jelas.

Belok kiri untuk ke Stong Heritage Eco Resort. Kalau terus lagi akan jumpa Stong Hill Resort yang merupakan pintu masuk untuk ke air terjun Jelawang. Untuk info, air terjun Jelawang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara (305 meter).


Chalet Madu 2
Inilah chalet penginapan kami - Madu 2, terletak betul-betul di tepi sungai. Harga untuk chalet ni RM130/malam. Selain chalet begini, terdapat juga penginapan jenis dorm untuk program berkumpulan.

Pandangan dari sisi lain - chalet ni juga mempunyai pintu jenis sliding. Jadinya boleh la buka pintu dan bersantai menikmati pemandangan sungai dari dalam chalet. Nak duduk kat luar belakang tu pun boleh, ada disediakan kerusi.

Rupa bahagian dalam chalet kami. Kemas, bersih, cantik dan lengkap dengan kemudahan. Pendek kata, memang puas hati. Pengalaman paling best bila tidur malam di sini - nak tidur macam kena dodoi dengan bunyi deruan air sungai dan terasa macam tidur atas air. Tidur sambil tersenyum bahagia tau

Bilik air pun cantik dan bersih.


Sarapan Pagi Yang Indah
Alhamdulillah harga chalet sudah termasuk sarapan pagi. Kalau tak, macam susah jugak kami nak keluar dari sini dan mencari sarapan. Kami ke ruang makan resort, atas meja dah tersedia begini. Nampak kan cuma ada dua bungkusan makanan...sebabnya memang kami berdua je tetamu resort pada masa ni 😃

Sarapan kami - nasi kerabu daging bakar, siap beralas dan bertutup dengan daun pisang. Makan pulak atas meja buloh, sambil layan deruan air sungai...memang sarapan pagi yang indah!

Beginilah rupa ruang makan resort. Sesuai untuk program kumpulan besar. Saya tertarik dengan bangku dan meja buloh, juga kemasan pada siling. Serasi sangat dengan resort yang berada di tengah keindahan alam semulajadi.


Aktiviti Santai Yang Menyeronokkan
Kalau ke Kampung Jelawang, Dabong ni biasanya orang akan melakukan aktiviti pendakian ke Gunung Stong / Gunung Ayam, atau ke kaki air terjun Jelawang, atau sekadar berkelah.

Tapi kami tak bercadang pun nak buat mana-mana aktiviti tu atas faktor kekangan masa. Lagi pun dah pernah merasa mendaki Gunung Stong dan Gunung Ayam zaman remaja dulu. Masih teringat susah payahnya, tapi tak dinafikan memang ia satu pengalaman yang paling menarik pernah saya lalui sepanjang melakukan aktiviti mendaki. Siap 'disapa' oleh haiwan liar...fuh!

Kami cuma menikmati alam semulajadi di sini dan melakukan aktiviti santai berikut...

Berbasikal - pihak resort menyediakan dua buah basikal untuk kami. Satu tinggi dan berpalang (untuk lelaki) dan satu lagi rendah tanpa palang (untuk perempuan). Seronoklah suami mencuba bawa basikal di sini, mencabar jugak sebab permukaan tak rata.

Tanah resort ni asalnya kebun getah dan masih ada pokok getah yang dikekalkan. Awal pagi tadi dah ada orang datang menoreh. Tapi bukanlah ada aktiviti menoreh getah untuk tetamu ya...hehe. Yang kita boleh buat adalah bersantai di hammock tu. Pertama kali saya mencuba berbaring di hammock. Seronok rupanya! Selama ni agak segan sebab terbuka pada pandangan awam, tapi kali ni takde orang...memang rugi tak cuba.

Berbaring di hammock rasa macam nak terlena. Tapi terpandang cantik pulak pemandangan gini, terus snap gambar beberapa kali...hehe.


Mandi Sungai
Aktiviti wajib di sini - mandi sungai. Bukan budak je suka main air tau, pakcik makcik macam kami pun pantang jumpa air sungai cantik terus rasa tak sabar nak masuk air. Haha..

Sungai di tepi chalet kami. Airnya mengalir dari pergunungan, sejuk dan bersih.

Jernih boleh nampak batuan di dasar sungai. Paras air paling dalam yang saya masuk pun tak sampai paras pinggang saya. Cuma batuan di sini licin dengan lumut, perlu hati-hati memijak.

Segar rasa badan dapat berendam dalam air sungai yang sejuk dan bersih ni. Dengan bunyi aliran air sungai dan kehijauan alam, memang satu terapi buat diri saya.
-----------------------------------

Walaupun masa berada di sini sangat singkat, tapi kami berpuashati dan insya Allah ada rezeki nak datang lagi untuk aktiviti yang lebih mencabar.

Untuk korang yang nak bercuti ke sini atau nak anjurkan kem-kem, bolehlah layari Facebook/Instagram : Stong Heritage Eco Resort atau WhatsApp : 013-838 3828 (En. Azman) untuk info lanjut.






.

Thursday 2 January 2020

Menyambut Tahun 2020 di Dabong

Catatan pertama untuk tahun 2020. Alhamdulillah...masih diberi kesempatan oleh Allah untuk terus mencoret di blog.

Walaupun tajuk entri ini 'Menyambut Tahun 2020 di Dabong', bukanlah bermakna saya ada satu rutin tahunan untuk menyambut tahun baru. Cuma kebetulan kali ini, saya berkesempatan berada di Dabong menjelang tahun 2020. Berbeza dari kebiasaan saya (duduk di rumah).

Dari Kuala Lipis ke Dabong
Alang-alang suami ada urusan di Kuala Lipis pada 31hb lalu, kami telah membuat rancangan untuk ke Dabong (mengisi cuti Tahun Baru).

Bertolak sekitar jam 3 petang dari Kuala Lipis, kemudiannya kami singgah sebentar di Taman Negara Sungai Relau/Merapoh (Insya Allah kisahnya pada catatan lain).

Malam Tahun Baru Yang Tenang
Alhamdulillah kami selamat tiba di Kg. Jelawang, Dabong, Kuala Krai, Kelantan sekitar jam 6.30 petang.

Air Terjun Jelawang bagai menyambut kedatangan kami di Dabong. Jika 22 tahun lalu, saya pernah ke sini untuk mendaki Gunung Stong bersama kawan-kawan. Tetapi kali ini saya kembali bersama suami, sekadar untuk melihat-lihat tempat orang.

Chalet penginapan kami untuk malam itu. Jauh dari keriuhan hidup di bandar, hanya ditemani irama alam.

Menikmati malam menjelang tahun 2020 dengan minuman panas di ruang makan resort. Tenang dan damai.

Malam itu kami tidur lena dengan dodoian deruan air sungai di tepi chalet dan nyanyian cengkerik. Hanya irama alam, tanpa bunyi letupan mercun dan percikan cahaya bunga api (seperti kebiasaan yang terjadi pada malam tahun baru).

*Catatan mengenai resort penginapan kami ini insya Allah pada entri seterusnya*