Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Wednesday, 11 June 2025

Ubi Kayu Goreng

Ada suatu petang, jiran datang ke rumah hantar ubi kayu hasil tanam sendiri. Gembira sungguh saya terima pemberian begini sebab saya suka makan ubi kayu yang direbus atau digoreng. Kalau kuih-muih berasaskan ubi kayu tu saya tak berapa suka makan.

Bila ada ubi kayu, terus saya rasa teringin nak makan ubi kayu goreng macam zaman dulu. Encik Suami tukang kerjakan ubi kayu - kupas kulit, basuh dan potong kecil. Dah siap, saya pula sambung kerja - gaul potongan ubi kayu dengan bahan perapan dan biar seketika sebelum di goreng.

Ubi Kayu Goreng
Ubi kayu yang dah digaul rata dengan bahan perapan.


UBI KAYU GORENG
Bahan :
  • Ubi kayu - di potong kecil bentuk baji (potongan wedges)
  • Bawang putih - ditumbuk kasar (saya gunakan chopper)
  • Serbuk kunyit
  • Garam

Cara-caranya :
  • Gaul rata potongan ubi kayu dengan bawang putih, serbuk kunyit dan garam secukupnya.
  • Perap seketika supaya mesra rasa bahan perapan dengan ubi kayu.
  • Kemudian goreng dalam minyak panas dengan api sederhana supaya gorengan tak cepat hangus dan ubi kayu masak empuk.

Resepi Ubi Kayu Goreng
Alhamdulillah…nikmat sungguh dapat makan ubi kayu goreng. Cukup empuk dan sedap dengan aroma bawang putih. Kami tak makan dengan pencicah (sambal tumis atau sambal kicap) kerana memang dari dulu kami makan begitu saja.

Sambil makan, saya dan Encik Suami bernostalgia kisah masa lalu kami dengan ubi kayu goreng ini. Kami sama-sama orang Johor, berketurunan Jawa tetapi menetap di dua daerah berbeza. Ubi kayu goreng begini menjadi makanan biasa kami semasa zaman budak. Resepinya sama.

Ubi kayu goreng ni ada banyak cara (resepi) - ada orang suka rebus dulu sebelum digoreng dan ada juga yang letak bahan-bahan lain sebagai perapan. Bagi kami, resepi yang biasa dibuat oleh keluarga kami tetap menjadi pilihan bila nak membuat ubi kayu goreng.

Setiap kali makan, pasti terkenang kehidupan saya sekeluarga pada masa lalu dan juga Allahyarham Bapak yang gemar makan ubi kayu goreng. Nampaknya - makanan bukan hanya nikmat pada rasa, tetapi sebuah kerinduan pada masa lalu.







Tuesday, 18 February 2025

Pucuk Ubi Goreng Belacan

Hari Ahad lepas, saya berbelanja bahan masakan di Nat Pokok Getah. Antara sayuran yang dibeli - seikat daun pucuk ubi berharga RM2. Awalnya saya bercadang nak buat masak lemak, jadi saya beli juga sebungkus kecil santan segar berharga RM2.

Bila balik rumah, duduk berbual dengan Encik Suami. Antara topiknya - pucuk ubi boleh buat masakan apa selain masak lemak? Hasil perbualan tersebut dan carian internet, maka semalam saya masak - pucuk ubi goreng belacan.

Pucuk Ubi Goreng Belacan
Pucuk ubi goreng belacan. Alhamdulillah sedap memuaskan selera kami suami isteri.

Pucuk Ubi Goreng Belacan
Seikat pucuk ubi dapat masak banyak gini, sesuai untuk 3-4 orang makan (bersama lauk lain).

Resepinya sama saja dengan resepi kangkung goreng belacan, cuma berbeza persediaan daun pucuk ubi untuk dimasak goreng belacan.

Siang daun ubi (ambil pucuk ubi dan daun yang lembut), selepas itu saya celurkan dalam air mendidih selama 5 minit (lepas ni kena tambah masa lagi beberapa minit sebab rasa tak cukup lembut pulak). Kemudian angkat, bilas dan toskan. Saya tos (keringkan air pada daun ubi) dengan menggunakan salad spinner. Mudah sungguh nak keringkan sayur dan buah sejak ada salad spinner, silalah beli ya. Lepas daun ubi dah tos airnya, saya gumpalkan dan potong kasar supaya mudah nak makan tak panjang sangat. Ni cara saya, terpulang ikut cara mana yang kalian suka.


PUCUK UBI GORENG BELACAN

Bahan-bahannya :
Seikat daun pucuk ubi
Garam
Air

Bahan tumbuk kasar (saya guna chopper) :
Sebiji bawang merah - saya guna bawang merah saiz besar, kalau kecil guna 2-3 biji.
2 ulas bawang putih 
Sedikit potongan belacan
Sedikit ikan bilis
5 biji cili padi
1 biji cili besar merah - saya buang biji dalamnya.

Cara memasak :
1. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk kasar hingga naik bau harum.
2. Masukkan daun pucuk ubi, kacau rata dengan bahan tumis.
3. Masukkan air dan sedikit garam secukupnya.
4. Kacau rata seketika, dah boleh angkat.

Saya suka kuah banyak, jadinya saya letak air lebih.

Alhamdulillah percubaan kali pertama yang dikira menjadi. Encik Suami kata - nanti nak beli pucuk ubi lagi, nak masak goreng belacan. Sebelum ni sangat jarang kami beli pucuk ubi. Berkenaan rasa masakan, kalau ikut pendapat saya - kena tambah masa celur sebab rasa ada bahagian yang kurang lembut. Ikut pendapat Encik Suami, katanya ok je dah cukup lembut.







Tuesday, 5 September 2023

Cili Jeruk Sedap Rangup

Baru-baru ini ada orang beri satu plastik cili hijau segar dari ladang dengan jumlah yang agak banyak. Saya pun buatlah carian internet berkenaan masakan menggunakan cili hijau. Hasilnya, saya berjaya memasak Rendang Ayam Cili Hijau, Ikan Jenahak Masak Berlada dan gunakan sedikit untuk buat Cili Jeruk.

Bagi menghasilkan Cili Jeruk, saya ikut panduan oleh blogger Amie. Kak Amie gunakan kapur makan bagi menghasilkan Cili Jeruk yang rangup. Sebelum ini saya pernah buat Cili Jeruk tapi tidak menggunakan kapur makan, buat versi paling ringkas je. Kebetulan di rumah memang ada kapur makan, bolehlah saya gunakan dalam pembuatan Cili Jeruk kali ini.

Saya catatkan di blog supaya mudah saya rujuk semula. Kalau nak panduan langkah demi langkah, boleh terus ke blog Kak Amie DI SINI ya. Terima kasih buat Kak Amie kerana rajin sediakan foto langkah demi langkah.


CILI JERUK RANGUP

Bahan :
Cili hijau segar
Kapur makan
Cuka makan
Gula pasir
Garam

Cara :
  1. Hiris cili hijau ikut suka, yang penting sama tebal.
  2. Buang biji cili dengan cara basuh beberapa kali menggunakan bekas penapis.
  3. Larutkan kapur makan dengan air, kemudian rendam cili kira-kira 1-2 jam.
  4. Kemudian toskan dan basuh cili beberapa kali bagi menghilangkan bau kapur.
  5. Didihkan air secukupnya, matikan api. Masukkan cili dalam air mendidih tadi dan biarkan sekejap kira-kira 20 - 30 saat.
  6. Toskan cili dan masukkan dalam bekas penyimpanan.
  7. Masak campuran cuka makan, gula dan garam sehingga larut, tak perlu sampai mendidih. Kemudian tuang dalam bekas penyimpanan cili tadi.
  8. Kacau rata campuran cuka dan cili. Biarkan sejuk sebelum tutup bekas cili.
  9. Cili Jeruk sedia dimakan setelah bertukar warna (rujuk foto kedua di bawah).

Cili Jeruk Sedap Rangup
Hirisan cili yang baru dicampur dengan cuka, garam dan gula.
Saya gunakan 5 biji cili hijau saiz besar yang dipotong serong. Saya tak suka nampak biji cili banyak, jadi saya buang bijinya hampir bersih.

Cili Jeruk Sedap Rangup
Cili sudah bertukar warna.
Rakaman foto selepas 3 jam cili dibiarkan dalam larutan cuka. Lupa pulak saya nak perhatikan warna cili selepas 1 jam.

Cili Jeruk Sedap Rangup
Sikit je saya buat Cili Jeruk, sesuai dengan ahli keluarga cuma dua orang. Saya simpan dalam peti sejuk supaya tahan lama sebab kami bukan nak makan setiap hari.

Bagaimana hasilnya?

Kali pertama saya dan Encik Suami makan Cili Jeruk buatan kali ini bersama Mi Celup yang dibeli. Alhamdulillah memang sedap rangup! Berkali-kali kami menambah Cili Jeruk dalam hidangan. Padahal biasanya Cili Jeruk ni kami suka makan dengan masakan mi jenis bergoreng, tapi rupanya sedap juga makan dengan mi berkuah. Agaknya sebab sedap rangup, itu yang makan dengan mi apa pun sedap 😄






.

Monday, 27 March 2023

Sambal Sardin Hancur

 
Sambal Sardin Hancur
Menu berbuka kami semalam, 4 Ramadan 1444H - roti paratha jenama Kawan makan dengan sambal sardin hancur. Sambal sardin saya masak ikut resepi di YouTube Sugu Pavithra. Masih ingat dengan mereka? Pasangan yang ‘meletup’ dengan video masakan di YouTube semasa PKP dulu. Tapi nampaknya sekarang mereka dah lama menyepi tanpa sebarang video masakan. Moga mereka baik-baik saja.

Dah beberapa kali saya memasak sambal sardin ikut resepi mereka, tapi belum pernah catat di blog. Eloklah saya catat di sini supaya senang nak rujuk. Walaupun masak sardin tidaklah susah mana, tapi kadang tu bosan jugak kan masak cara yang sama je. Bila sesekali tukar resepi, terasa lebih sedap.

Ikutkan resepi asal, namanya masak sardin. Tapi saya panggil sambal sardin hancur. Senang nak faham yang ni versi hancur sebab nak makan dengan roti canai dan seumpamanya. Kuantiti bahan di bawah ni saya letak ikut kesesuaian saiz pek sardin digunakan dan juga cita rasa saya.


SAMBAL SARDIN HANCUR

Bahan-bahan :
1 pek sardin - hancurkan ikan (saya guna pek sardin jenama D’heritage)
2 biji kentang saiz sederhana - di potong kecil
1 biji bawang besar saiz sederhana - dihiris
2 ulas bawang putih - dihiris
Sedikit halia - ditumbuk
2 tangkai cili kering (saya potong dua dan bersihkan biji cili)
3 biji cili api (jangan potong, biar sebiji-sebiji gitu)
Tomato - di potong kecil (saya guna beberapa biji tomato ceri dibelah)
Daun kari
2 sudu kecil serbuk kari ikan (saya guna serbuk kari ayam, ikut apa yang ada di rumah)
1 sudu kecil serbuk cili
Air asam jawa secukupnya
Air secukupnya (untuk empukkan kentang)
Garam secukupnya

Cara memasak :
  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih seketika. Kemudian masukkan cili kering dan cili api. Kacau seketika. Selepas itu masukkan halia dan daun kari. Tumis sehingga naik bau.
  2. Masukkan kentang, goreng bersama bahan tumis. Diikuti pula dengan tomato.
  3. Masukkan serbuk kari dan serbuk cili, tumis seketika.
  4. Masukkan air secukupnya, kacau rata kemudian biar sehingga mendidih dan kentang empuk.
  5. Kemudian letak air asam jawa, diikuti garam. Kacau seketika.
  6. Masukkan ikan sardin, gaul rata dan masak sehingga kuah memekat sesuai cita rasa kita.

Aroma sambal sardin resepi Sugu Pavithra ni memang lebih menggoda dan rasanya juga lebih sedap berbanding cara biasa saya masak. Yelah, bahannya juga lebih banyak.

Tak tahu nak masak apa untuk berbuka nanti? Boleh cuba masak sambal sardin hancur ni, makan dengan roti putih gitu je pun sedap! Ringkas dan mudah.








Sunday, 19 June 2022

Cekodok Pisang Tanpa Bahan Penaik - Rangup Di Luar, Lembut Di Dalam!

Selama ni kalau buat cekodok pisang, saya mesti tambahkan bahan penaik. Tapi tetap juga hasilnya tak sekata - hari ni buat boleh la dianggap naik, hari lain buat eh leper je. Pendek kata, memang tak pandai buat cekodok yang menepati citarasa sendiri. Bab bulat, memang jauh sekali sebab saya tak berani nak ‘jemput’ guna tangan untuk letak dalam minyak panas 🤭

Sehinggalah baru-baru ni saya tonton video masakan Che Nom, beliau tunjukkan cara membuat cekodok pisang yang rangup di luar, lembut di dalam dan bulat cantik tanpa menggunakan bahan penaik. Saya pun rasa teruja nak mencuba. Cuba sekali, wah…Alhamdulillah menjadi! 

Terus buat sekali lagi - dalam seminggu dah dua kali buat cekodok pisang. Punyalah seronok buat bila dah tahu cara 😁


Hasil tunjuk ajar Che Nom, akhirnya dah umur gini baru tahu cara buat cekodok yang sedap! Memang sedap sebab cekodok ni rangup di luar tapi lembut di dalamnya. Cuma nak buat bulat cantik jelah tak berjaya sebab saya ‘jemput’ guna sudu sup tu 😅

Lepas ni rajinlah saya buat cekodok pisang yang sememangnya antara makanan kegemaran kami suami isteri. Puas hati kalau dapat buat sendiri - lebih rasa pisang.

Bahan nak buat cekodok pisang ni memanglah ringkas - pisang, tepung gandum, garam, gula. Tapi cara yang digunakan akan menentukan bagaimana hasil cekodok pisang kita. Ada empat cara/teknik penting yang Che Nom tunjukkan dalam video beliau :
  • Kepekatan adunan - tak boleh cair, tak boleh pekat sangat.
  • Rehatkan adunan - sekurang-kurangnya selama 30 minit.
  • ‘Jemput’ atau bulatkan guna tangan.
  • Sentiasa ‘kacau’ cekodok yang sedang digoreng.

Macam mana nak tengok adunan cekodok sesuai atau tak dan lain-lain cara/teknik tu, bolehlah terus tonton video YouTube Che Nom di https://youtu.be/eCgpz5dbMz4

Alhamdulillah, sekarang saya dah boleh buat cekodok pisang tanpa rasa kecewa. Apa pun, bab masakan ni terpulanglah kepada citarasa masing-masing - nak letak bahan apa dan nak guna cara macam mana. Tak ada salah atau betul kerana cita rasa manusia berbeza.







Wednesday, 18 December 2019

Cheesekut

Dah terlalu lama saya tak buat Cheesekut. Dek kerana datang rasa teringin, saya pun mula buat carian di internet. Yang pernah saya buat dulu, tak catatkan resepi di blog. Jadinya tak dapat nak rujuk semula.

Dulu saya cuma guna biskut Cream Crackers, Cream Cheese, susu pekat manis dan susu segar sebagai bahan asas. Tapi kali ni saya mencuba resepi Cheesekut yang diambil dari Facebook Page : Azlina Ina Fans.

Selain bahan asas yang biasa digunakan untuk buat Cheesekut, resepi oleh Azlina Ina ada pertambahan bahan iaitu Whipping Cream dan Horlicks. Juga mesti guna biskut Deluxe Cracker Vegetable.

BAHAN-BAHAN :
• 1 pek biskut Hup Seng Deluxe Crackers Vegetable
• 500g Tatura Cream Cheese
• 1/2 tin susu pekat manis F&N
• 1 cawan Emborg Whipping Cream
• 1 cawan susu segar Dutch Lady
• 3 sudu besar Horlicks

• sedikit susu segar (untuk celup biskut)
• milo & nestum (untuk lapisan dan topping)

Nota :
-Terpulang korang nak guna jenama apa, saya terus tulis jenama yang saya guna untuk rujukan akan datang.
-Biskut tu cuma 258g, tak cukup untuk Cream Cheese sukatan di atas. Sila beli 2 pek, untuk kali ni saya tambah guna biskut Cream Cracker yang sedia ada di rumah.

CARA-CARA :
1. Sebatikan Cream Cheese,  susu pekat manis, Whipping Cream,  susu segar dan Horlicks dengan menggunakan blender atau mixer (saya guna mixer sebab dengan sukatan bahan di atas, tak muat kalau guna blender saya).
2. Celup biskut ke dalam susu segar.
3. Letak lapisan adunan Cream Cheese dalam bekas, kemudian susunkan biskut tadi. Lapiskan lagi dengan Cream Cheese. Kemudian saya lapiskan pula dengan Milo atau Nestum (saya buat selang-seli).
4. Ulang langkah di atas sehingga Cream Cheese boleh menutupi lapisan biskut paling atas.

Dah siap kerja melapis, atasnya (topping) saya letak Milo dan Nestum (saya guna nestum 3in1 sebab dah ada kat rumah).

Hasilnya...dapatlah 5 1/2 bekas saiz SQ450 ni. Maksudnya 5 bekas dan satu bekas lagi cuma dapat separuh bekas je 😅. Sejukkan semalaman untuk rasa yang memuaskan selera.

Buat hari Isnin, hari Selasa saya sorang je dah habis sebekas 😄. Topping tu kalau nak cantik, tambah la lagi sebelum dihidang.

Memang sedap rupanya bila kita guna biskut Deluxe Cracker Vegetable, ada rasa macam masin sikit. Sukatan kali ni pun tak terlalu manis sebab cuma guna 1/2 tin susu pekat manis untuk 500g Cream Cheese. Adunan Cream Cheese pula agak cair, mudah kita nak ratakan untuk buat lapisan.  

Kos memang agak tinggi, lagi pulak bila buat sikit macam saya ni. Menurut Azlina Ina, dengan bahan dan saiz bekas begini harga jual adalah sekitar RM10 - RM12 sebekas. Jika dikedainya beliau jual dengan harga RM15.


Thursday, 11 January 2018

Sambal Belacan Buah Kemang / Binjai

Entri pertama untuk tahun 2018, dengan azam nak hasilkan sekurang-kurangnya satu entri setiap minggu. Banyak perkara boleh ditulis, dan perlu ditulis untuk rujukan/kenangan di masa hadapan. Cuma rasa malas bukak blog dan konon-konon sibuk dengan perkara lain...yang menghalang. 

Untuk entri ni, sepatutnya di tulis tahun lepas. Bulan lepas lebih tepat. Dan entri seterusnya pun, mungkin cerita bulan-bulan lepas jugak. Hehee..

--------------------------------------------------------------

Suatu petang di penghujung Disember 2017, jiran mesej...'akak makan buah Kemang tak?'. Kalau tak silap Kemang sama dengan Binjai...terus terbayang zaman kanak-kanak, saya makan buah Binjai yang masam! Makan gitu je tanpa pencicah. Seorang kawan yang bawa, dan kami makan bersama di sekolah. Masa tu saya sekolah agama petang di Rambah, Pontian. 

Tak lama kemudian, jiran datang hantar 2 biji buah Kemang. Kata jiran, sama je Kemang atau Binjai. Panggilan berbeza ikut tempat. Buah yang susah nak jumpa. Kebetulan dia dapat lebih, dapatlah berkongsi rezeki dengan saya. Alhamdulillah!

Seingat saya, kali terakhir jumpa dan makan buah ni sekitar 27 tahun lalu! Saya pun dah ingat-ingat lupa rupa buah Binjai yang saya makan dulu. Yang pasti, isi putih dan masam! Bertemu semula buah ni, seakan menggamit memori zaman kanak-kanak.

Kulitnya nipis, lepas dibuang beginilah rupa buah Kemang. Panggil Kemang jelah kan, leceh nak sebut kemang @ binjai. Buah ni ada bau tersendiri. Bau yang agak kuat.

Disebabkan rasa buah ni yang masam-masam kelat, lebih sedap jika dibuat sambal belacan. Zaman budak dulu bolehlah makan gitu je kan...ni cuba makan, terkenyit-kenyit mata dibuatnya! 

SAMBAL BELACAN BUAH KEMANG

1 biji buah kemang
2 tangkai cili merah
15 tangkai cili padi
belacan
garam
gula

1. Cili merah, cili padi dan belacan - goreng seketika, tanpa minyak. 
2. Kemudian tumbuk atau kisar guna blender kering.
3. Gaulkan bersama isi buah Kemang, sedikit garam dan gula.
.
.
Inilah hasilnya....sambal belacan buah Kemang.
Pedas, masam...dan bau buah kemang yang membangkit selera! 😋


Yang sebiji lagi tu saya ambil isi dan simpan dalam peti sejuk. Masa entri ni ditulis, yang disimpan tu dah pun selamat dibuat sambal belacan sekali lagi! Lepas ni kalau teringin, entah kat mana nak mencari...


INFO : Klik DI SINI dan DI SINI untuk info lanjut mengenai buah Kemang @ Binjai. Hasil carian internet juga ada yang mengatakan buah Kemang dan Binjai adalah dua jenis buah yang berbeza, walaupun nampak macam sama. 


...maka, tak tahulah yang saya makan ni namanya KEMANG atau BINJAI?  😂






.