Sunday 30 May 2021

Setahun Berlalu...

Hari ini genap setahun saya dan suami berhijrah secara sementara dari Negeri Sembilan (NS) ke Pulau Pinang (PP). Setahun lalu, iaitu pada 30 Mei 2020 kami berpindah sewaktu negara sedang dalam tempoh PKP 1.0. Catatannya di sini.

Sekeping dua gambar kenangan sewaktu nak meninggalkan rumah di NS...

Bawa dua beg pakaian, barangan keperluan peribadi dan barang keperluan rumah yang asas. Di tempat duduk penumpang juga penuh barang.

Sekitar pukul 8 pagi, pagar rumah ditutup. Sayu hati masa ni nak meninggalkan rumah dan kejiranan yang menyenangkan.

Kini setahun berlalu, tak sangka situasi negara semakin memburuk. Kami pun dah 5 bulan tak dapat menjenguk rumah NS. Sebelumnya, kerap juga kami balik bila suami ada urusan kerja di kawasan sana.

Kadang-kala terdetik rasa rindu pada dapur sendiri, bilik sendiri yang dah lama dihuni. Juga terselit juga rasa risau entah apa jadi dalam rumah tu.

1 Jun, Selasa akan bermula sekali lagi ‘sekatan pergerakan penuh’ seperti PKP 1.0. Bersama-samalah kita menjalankan tanggungjawab untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19. Berhenti menuding jari, fokus kepada diri sendiri dan keluarga kita. Kita tak boleh mengubah orang lain, tapi kita boleh mengubah diri kita terlebih dahulu.


Saturday 29 May 2021

Terima Kasih Shida!

Senja tadi suami masuk ke rumah lalu menghulurkan kepada saya satu sampul surat berwarna putih. Suami saya tadinya turun untuk membuang sampah, sambil tu terus pergi tengok peti surat rumah kami la tu.

Wah! Sekeping kad raya daripada sahabat blogger kita Shida Radzuan. Seronok rasa, maklumlah zaman sekarang ni dah susah nak dapat kiriman kad raya.

Terima kasih Shida atas kiriman kad raya ni. Cantik! InsyaAllah akan simpan dan bolehlah buat belek-belek mengenang memori bila dah pencen berblog nanti. Hehe. Maaf jua tak dapat membalas kad raya ni, akak balas dengan catatan blog ni je ya.


Thursday 20 May 2021

Vaccine Dependent

Pada 1 April lalu saya daftarkan nama mak saya untuk vaksinasi sebagai tanggungan (dependent) di aplikasi MySejahtera. Pada 12 Mei saya buka MySejahtera, tengok dah ada janji temu vaksinasi untuk mak. Selepas tu barulah saya terima SMS dan panggilan telefon berkenaan janji temu tersebut.

Alhamdullillah, semalam 19 Mei mak saya dah selamat menerima dos pertama suntikan vaksin COVID-19 di Dewan Jubli Intan, Pontian, Johor. Kakak saya turut ada bersama sebagai peneman sepanjang proses vaksinasi. Rasa lega bila kakak hantar gambar mak sedang memegang kad tertera ‘SAYA TELAH DIVAKSIN’. Mak kata, sekejap je dan tak sakit pun kena suntikan tu. Hehe.

Mak belum pun sampai rumah, saya lihat maklumat vaksinasi mak dah dikemas kini di aplikasi MySejahtera. Terbaik KKM! Segalanya pantas dan lancar. Terima kasih!  
Alhamdulillah setakat pagi tadi mak baik-baik aje, cuma rasa lenguh di lengan. Semoga mak berterusan sihat dan baik-baik aje untuk suntikan dos kedua yang dijadualkan pada 9 Jun.

Vaksinasi memang bukan jaminan kita terselamat daripada COVID-19, tetapi sekurang-kurangnya kita dah melakukan satu usaha untuk melindungi diri. Usaha yang utama tentunya bermohon perlindungan Allah.

Semoga Allah membebaskan kita semua daripada musuh yang tak nampak dek mata kasar ini.


Wednesday 19 May 2021

Orang-orang Biasa (Edisi Malaysia)


Orang-orang Biasa (Edisi Malaysia)
Judul : ORANG-ORANG BIASA (edisi Malaysia)
Penulis : Andrea Hirata
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 298
Harga : RM28

Andrea Hirata merupakan penulis novel pertama dari Indonesia yang saya baca hasil karyanya. Bermula dengan novel Laskar Pelangi, saya terus tertarik dengan novel-novel tulisan beliau. Semuanya dalam bahasa asal - Indonesia.

Berbeza dengan naskhah Orang-orang Biasa (OOB) yang saya miliki ini, ia merupakan edisi terjemahan untuk pembaca di Malaysia.

Pada awalnya saya agak ragu-ragu tentang keseronokan membaca novel terjemahan begini. Tapi ternyata buku dengan kulit depan memaparkan manusia berwajah monyet ini masih seronok untuk dinikmati disebabkan ia masih mengekalkan gaya bahasa Indonesia. 


SINOPSIS
Novel ini mengisahkan kehidupan di Belantik, sebuah daerah yang aman tanpa jenayah berat. Namun kemudiannya dikejutkan dengan satu jenayah rompakan bersenjata di sebuah bank. Anehnya, para perompak tidak mengambil wang!

Tambah menarik, pihak polis gagal mengesan bahawa rompakan bank tersebut dilakukan oleh kumpulan 10 orang yang semasa di sekolah mereka merupakan murid-murid bangku paling belakang - Handai, Tohirin, Honorun, Sobri, Rusip, Salud, Nihe, Dinah, Junilah dan Debut Awaludin.

Apakah tujuan mereka merompak bank? Dan bagaimana para penghuni bangku belakang mampu merancang sebegitu licik untuk merompak bank? Nak tahu semua ni kenalah baca novel Orang-orang Biasa ni. 

Orang-orang Biasa (Edisi Malaysia)

Andrea Hirata bijak mengangkat isu pendidikan dan kritikan sosial lainnya menerusi gaya penceritaan yang menarik serta lucu. Ya, membaca Orang-orang Biasa membuat saya kerap tersenyum atau ketawa sendiri. Apa yang berlaku di Belantik sebenarnya mewakili apa yang berlaku disekitar kehidupan kita (walaupun tidak sama sepenuhnya kerana latar cerita ini di negara Indonesia).


7 ISI MENARIK DALAM NOVEL ORANG-ORANG BIASA :
1. Tentang belajar untuk menerima apa yang ditakdirkan untuk kita. Seperti kata-kata Inspektor Abdul Rojali, “Dalam hidup ini kita tidak selalu mengerjakan apa yang kita cintai, namun kita dapat belajar untuk mencintai apa yang kita kerjakan.”.

2. ‘Berjualan buku di negeri yang penduduknya tidak suka membaca adalah tindakan heroik’, saya tertarik dengan petikan ayat ini kerana sememangnya menyampaikan buku kepada masyarakat tidaklah begitu mudah. Ianya satu perjuangan.

3. Cita-cita akan membuatkan kita lebih bersemangat dan gigih berusaha untuk mencapai impian. Seperti watak Aini, seorang murid yang tidak pintar dan gagal naik kelas tetapi berusaha keras untuk berjaya setelah mempunyai cita-cita. Cita-cita Aini adalah mahu menjadi doktor pakar untuk mengubati penyakit ayahnya.

4. Menolak budaya ‘kabel’ atau orang dalam. Dalam novel ini, anak Inspektor Abdul Rojali telah gagal dalam ujian kemasukan ke sekolah jururawat. Lalu pengetua sekolah memberi keistimewaan untuk anaknya diterima masuk disebabkan pengetua mengenali Inspektor, tetapi tawaran tersebut ditolak oleh Inspektor.

5. Ketidakadilan hak mendapat pendidikan bagi orang miskin, walaupun layak tetapi tidak mampu untuk meneruskan pendidikan. Tiada bantuan dari kerajaan. Memetik kata-kata Debut Awaludin “Tengoklah jurusan tertentu hanya dapat dimasuki oleh orang-orang kaya! Tengoklah langkanya anak-anak orang miskin jadi doktor! Mendaftar ke fakulti itu saja mereka tak berani! Padahal, kecerdasan mereka telah diuji! Ilmu hendaklah hanya tunduk kepada kecerdasan, bukan kepada kekayaan! Para pemimpin, birokrat, ahli politik, sibuk dengan periuk belanga mereka sendiri!”. 

6. Menolak budaya korupsi. Sungguh pun Inspektor memerlukan wang untuk memenuhi keperluan hidup, tetapi Inspektor bertegas menolak wang rasuah yang cuba disogokkan kepadanya.

7. ‘Menjadi pemimpin dan menjadi pintar adalah hal berbeza’, petikan ayat ini membuatkan saya terfikir situasi politik di negara kita. Ada pemimpin yang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu yang sepertinya tak berfikir terlebih dahulu. Benarlah, menjadi pemimpin dan menjadi pintar adalah hal berbeza.


Orang-orang Biasa, naskhah yang cukup santai dalam menyampaikan banyak hal untuk kita fikirkan. Saya sangat menyarankan naskhah ini dibaca oleh para pelajar, pendidik dan pemimpin.


“Bermimpilah, kerana Tuhan akan memeluk mimpi-mimpi itu.
Tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati...” - Andrea Hirata






.

Saturday 15 May 2021

Catatan Kenangan 1 Syawal 1442H (Raya PKP 3.0)

Dah 3 Syawal baru rajin nak menulis di blog, padahal bukan sibuk apa pun. Raya paling ringkas dan mudah bagi saya - tak sibuk cari baju baru, tak sibuk memasak di malam raya, tiada berjenis makanan yang menggoda. Tahun lepas di rumah NS pun ringkas juga, tapi masih memasak lebih untuk bertukar juadah dengan adik dan jiran. Apa pun cara kita raikan raya, semuanya ada kemanisan tersendiri.

Solat Sunat Aidilfitri Berjemaah di Rumah
Ini tahun kedua saya dan suami melakukan solat sunat Aidilfitri berdua di rumah. Walaupun surau/masjid di PP ni buat 3 sesi untuk solat sunat Aidilfitri, tapi kami ambil keputusan untuk solat berjemaah di rumah je. Selesai solat berjemaah, suami sampaikan khutbah. Sebelumnya, pagi lepas sarapan suami dah berlatih baca khutbah. Yelah, tetap kena bersedia walaupun ahli jemaah cuma seorang...haha. Saya rekod video untuk kenangan.

Sesi Fotografi
Walaupun raya edisi PKP (tak boleh berjalan ke mana-mana) dan cuma berdua, kami tetap ambil gambar untuk kenangan. Masa ni la pentingnya ada tripod, barulah senang nak bergambar berdua. 

Raya jauh diperantauan la sangat...
Seronok main edit gambar, boleh berangan ada kat banyak tempat...hehe. Inilah antara aktiviti saya pada 1 Syawal, edit background gambar guna apps Canva.

Bab baju raya, kami pakai apa yang ada je. Tak sedondon pun, sebab ni jelah satu-satunya baju kurung yang saya bawa ke rumah PP ni. Nak membeli, rasa membazir sebab saya pakai baju kurung cuma masa raya atau kenduri.

Group Video Call - Mendekatkan Yang Jauh
Lepas bergambar, buat group video call dengan adik-beradik dan mak kami. Seronok dan teruja dapat juga melihat wajah mak dan ahli keluarga lain. Alhamdulillah ada teknologi, yang tinggal di seberang lautan pun jadi rasa dekat.

Itu jelah aktiviti 1 Syawal kami. Syukur Allah masih beri kesempatan begini. Semoga Allah beri kesempatan untuk kita berkumpul beramai-ramai di hari raya akan datang.

Kek raya - Basque Burnt Cheesecake versi air fryer. Kali pertama buat, puas hati 😋
Satu lagi catatan kenangan raya PKP 3,0, dapatlah saya dan suami mula berpuasa pada 2 Syawal. Kalau tak, mana tahan nak puasa asyik tengok juadah sedap semasa beraya kan. Tahun lepas pulak, tak buat sebab sedang sibuk berkemas untuk pindah ke PP ni.


Wednesday 12 May 2021

Persediaan Raya - Ulangkaji Amalan Sunat Aidilfitri, Kaedah Pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri dan Teks Khutbah Aidilfitri (di Rumah)

Tentu ramai yang sedang sibuk memasak untuk hari raya esok kan? Saya tak ada apa nak disibukkan, raya berdua je di rumah PP ni. Tak ada keluarga terdekat. Petang nanti nak cuba buat Burnt Cheesecake guna air fryer dan malam baru merebus ketupat segera guna pressure cooker. Esok pagi buat lodeh dan sambal kacang daging. Ringkas je menu raya kami.

Selain persediaan makan-makan, persediaan lain yang kita kena buat untuk hari raya esok adalah ulangkaji amalan yang dianjurkan dalam Islam. Tahun ni nampaknya sekali lagi kita perlu solat sunat hari raya di rumah. Hikmahnya, bolehlah kita berjemaah satu keluarga. Suatu hari nanti ia akan jadi kenangan indah.

10 AMALAN SUNNAH HARI RAYA AIDILFITRI
Panduan dah diberi, tinggal ikut saja. Malam ni kita dah boleh mula bertakbir.

KAEDAH PELAKSANAAN SOLAT SUNAT AIDILFITRI
Sila klik poster untuk paparan lebih jelas.

Sila klik poster untuk paparan lebih jelas.

Sila klik poster untuk paparan lebih jelas.

KHUTBAH AIDILFITRI (di rumah)
Untuk teks penuh, sila klik DI SINI.
Baca khutbah hukumnya sunat bagi yang solat secara berjemaah. Tak buat pun takpe, tapi kalau buat bolehlah ambil pengalaman kan. Tak perlu mimbar dan tongkat pun. Cuma sediakan tempat duduk bagi imam duduk sebentar di antara dua khutbah.

———————————————————

Selamat beramal semua! Biar pun tak dapat beraya secara biasa, raya tetap diraikan. Alhamdulillah kita masih boleh meraikan dalam keadaan aman, kerana musuh kita Covid-19 benda yang tak nampak. Sedangkan saudara-saudara seagama kita di Palestin sedang dalam keadaan sebaliknya.


SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA!
Mohon maaf jika ada kata-kata saya yang tak menyenangkan ya.


Saturday 8 May 2021

Sambal Kacang Ketupat & Satay Jamilah Mansor...Memang Sedap!

Semalam saya rasa teringin pulak nak berbuka dengan ketupat dan kuah sambal kacang. Kebetulan saya dah membeli satu pek segera sambal kacang sebagai persediaan Hari Raya. Ketupat segera pun ada stok.

Terus ambil pek ketupat segera jenama ADABI, masukkan dalam pressure cooker. Letak air, letak simpulan daun pandan, guna mode ‘rice’ dan dah boleh tinggal. Senang je. Boleh baca cara-caranya di entri saya DI SINI.

Gambar diambil dari laman web jamilahmansor.com
Untuk kuah sambal kacang, saya guna pek segera Sambal Kacang Ketupat & Satay jenama Jamilah Mansor. Saya beli pek 500 g / RM14.90 di kedai runcit berhampiran rumah. Boleh beli secara online juga.

Sambal Kacang Daging
Saya ikut panduan memasak pada belakang pek - mula-mula perlu tumis bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis dan hirisan bawang. Kemudian masukkan air (agak-agak sendiri, saya letak sikit je dulu nanti boleh tambah kalau perlu). Air dah mendidih, barulah masukkan sambal kacang segera (saya guna 1/3 je), kacau sebati dan masak hingga naik minyak. Siap.

Untuk sambal kacang kali ni, saya tambahkan daging. Saya guna Ramly Beef Burger Classic Oblong yang dipotong kecil sebagai ganti daging segar. Saya masukkan dalam masakan selepas sambal kacang agak sebati. Mungkin sebab tu minyak pada sambal kacang saya jadi agak banyak, terhasil daripada daging burger tadi. Sebenarnya, ni kali pertama saya buat sambal kacang daging. Baru tau kewujudannya, terus mencuba.

Kelam kabut ambil gambar dah nak berbuka semalam. Juadah berbuka dan membawa ke sahur keluarga kecil saya - ketupat dan kuah sambal kacang daging. Kuah banjir...hehe.

Ketupat segera tu belum cukup padat dan cantik untuk dipotong, maklumlah dah lepas tengahari baru memasak. Tapi tetap sedap dan sememangnya lembut je bila guna jenama ADABI ni. Rasa kuah sambal kacang? Sedap sungguh walaupun guna sambal kacang segera. Secukup rasa. Daging burger Ramly pun sedap lembut, tapi menambah rasa pedas kuah kacang sebab dagingnya ada rasa lada hitam. Pendek kata, saya puas hati dan senang hati dah jumpa pek segera yang sedap...hehe.

Haa...sempat lagi kot sesiapa yang nak cari sambal kacang segera untuk masak Hari Raya nanti. Ni untuk yang kurang rajin macam sayalah, nak guna yang segera tapi nak sedap macam masak sendiri (err...tapi saya masak sendiri pun belum tentu sedap. Haha).

 

Monday 3 May 2021

Rendang Maman - Makanan Tradisi Gemencheh

Memori Ghondang Maman dan Monceh
Sekitar tahun 2003 - 2005 saya menetap di Gemencheh, Negeri Sembilan. Gemencheh atau dalam loghat tempatan disebut Monceh. Suatu tempat yang belum pernah saya kunjungi sebelumnya. Takdir membawa saya dan suami ke Monceh atas sebab pekerjaan. Banyak pengalaman baru juga kenangan sepanjang saya menetap di sana. Emm...terus terasa nak menulis kisah lalu, sekadar untuk mengabadikan memori dalam bentuk penulisan. Tapi kena ‘korek’ gambar lama dululah untuk menyorot memori lalu tu.

Berbalik kisah Rendang Maman atau dalam loghat tempatan Ghondang Maman. Sebelum saya tinggal di Gemencheh, saya memang tak pernah tau kewujudan Rendang Maman. Walaupun sebelumnya saya pernah menetap selama 5 tahun di Negeri Sembilan (lebih tepat di asrama sekolah di Labu). Mungkin sebab saya tak pernah satu dorm dengan kawan-kawan yang berasal dari Gemencheh. Rendang Maman ni merupakan makanan tradisi Gemencheh, dihasilkan daripada daun maman.

Kali pertama saya merasa Rendang Maman ni apabila jiran depan rumah (sewaktu menetap di Gemencheh), seorang kakak yang baik hati datang ke rumah saya dan menghulurkan satu bekas Rendang Maman air tangannya. Pertama kali masuk ke mulut, err...saya rasa agak pelik dengan rasa daun maman. Dan ada la sikit rasa pahit. Tapi lepas cuba jugak makan dan habiskan, perasaan pelik tadi bertukar jadi suka. Hehe. Kakak jiran depan rumah tu pulak rajin beri Rendang Maman, memang suka sangatlah saya.

Pencarian Rendang Maman...
Selepas berpindah keluar dari Gemencheh, saya tak lagi dapat merasa Rendang Maman. Pernah beberapa kali jumpa dan beli di ekspo makanan atau pasar pagi di Negeri Sembilan, tapi kecewa sebab rasanya tak menepati selera. Tak sama seperti hasil air tangan kakak jiran depan rumah di Gemencheh.

Sehinggalah sebelum Ramadan baru-baru ini, seorang kawan sekolah saya (berasal dari Gemencheh) membuka jualan Rendang Maman hasil air tangan orang kampungnya. Memang pantas la saya buat pesanan bila dia kata boleh pos. Asalnya dia jual dalam bekas plastik je, tapi demi memenuhi permintaan orang jauh seperti saya maka dia buatlah juga dalam pek aluminium foil.

Alhamdulillah...diterima dalam keadaan baik. Teliti pembungkusannya, siap masuk dalam plastik, kemudian ‘bubble wrap’ dan bungkus pula dengan kertas surat khabar. Servis pihak kurier pun pantas - pos semalam, hari ni sampai.

Saya beli Rendang Maman ayam dan daging. Nak cuba tiap satu. Harga RM16 / pek, berat 230 gram setiap pek. Caj pos 2 pek ni RM10.

Satu pek Rendang Maman dapat banyak gini. Alhamdulillah...sedap! Memang inilah rasa yang saya cari. Rendang Maman dimakan bersama nasi panas ni dah cukup membuka selera. Seronok rasanya dapat jumpa rasa yang saya inginkan.

Sekarang ni dah habis pun 2 pek Rendang Maman, saya dah buat pembelian lagi beberapa pek. Beli lebih terus, jimat caj pos. Simpan dalam peti sejuk, bila-bila nak makan buka je satu pek dan panaskan.