Showing posts with label Memasak Dengan Philips Air Fryer. Show all posts
Showing posts with label Memasak Dengan Philips Air Fryer. Show all posts

Thursday, 9 June 2022

Puding Roti Menggunakan Air Fryer

Gara-gara ternampak video YouTube Che Nom buat Puding Roti Sos Kastard, saya pun jadi teringin nak membuatnya. Kalau diikutkan saya bukanlah peminat Puding Roti dan saya pun gagal mengingat sama ada pernah buat atau tidak. Memandangkan memang ada sebungkus roti yang dah pun tamat tempoh tersimpan dalam peti sejuk, bertambah semangatlah saya nak membuat Puding Roti Sos Kastard ni. Bahan-bahan yang tak ada di rumah, kita pergi belilah - tepung kastard, susu cair dan serbuk kulit kayu manis. Che Nom kata dengan tambahan serbuk kulit kayu manis, akan lebih naik aroma puding roti kita.

Ini sebelum dibakar. Satu bekas memuatkan potongan dua keping roti.
Disebabkan kat rumah cuma ada dua pilihan alat untuk membakar - air fryer atau pressure cooker, maka saya memilih untuk bakar guna air fryer. Lebih mudah digunakan. Saya bakar puding roti menggunakan baking pan bersaiz 4.5 inci, muatlah dua bekas gini sekali membakar. Saya alaskan dengan baking paper supaya tak melekat dan memang saya kena letak baking paper, kalau tak habis meleleh keluar adunan puding sebab baking pan ni jenis removable bottom. Ni pun ada yang meleleh keluar jugak sebab saya silap potong baking paper tu terkecik sikit. Kalau guna aluminium foil pan lebih mudah, tak payah kita letak baking paper tapi aluminium foil kurang mesra alam.

Selepas dibakar. Aromanya memang menggoda selera.
Saya guna Philips Air Fryer, bakar pada suhu 140℃ selama 10 minit dan kemudian naikkan suhu kepada 160℃ selama 10 minit. Tujuan saya bakar pada dua suhu berbeza adalah untuk mengelakkan bahagian atas puding roti cepat garing tetapi bahagian dalam/bawah belum cukup masak. Apa-apa pun, bab suhu dan masa ni bergantung kepada saiz masakan kita, bekas yang kita gunakan dan jenis air fryer kita. Kalau dah siap masa memasak tapi kita rasa tak cukup masak, kita tambah jelah masa dan ubah suhu. 

Menurut Che Nom, puding roti ni dimakan panas lebih sedap. Memang betul! Bahagian kulit roti berwarna gelap tu garing, roti pulak lembut siap boleh goyang-goyang dan serbuk kulit kayu manis tadi memang menambah aroma dan rasa pada puding roti ni. Sos kastard pun sesedap rasa.

Bagi tujuan fotografi, cantik siram kuah begini. Tapi menurut saya, puding roti panas-panas ni lebih sedap letak sos kastard pada bahagian yang kita nak makan segera je supaya bahagian lain yang rangup tu tak hilang rasa rangupnya. Makan gitu je tanpa sos kastard pun sedap jugak tau. Tambahan lagi bila tergigit kismis dan kuaci. Kalau nak lagi sedap, kita tambah pulak chocolate chip.

————————————————————————-

PUDING ROTI dan SOS KASTARD

Bahan untuk puding roti :
8 keping roti
4 sb mentega
1/4 cawan kismis
2 cawan susu full cream
1/2 cawan gula
1 sk esen vanila
1/4 sk serbuk kulit kayu manis
Secubit garam
3 biji telur
Gula perang secukupnya

Bahan untuk sos kastard :
1 tin susu cair
2 sb tepung kastard
1 cawan air
4 sb gula
Secubit garam


Ni gambar Che Nom buat puding roti.
Boleh tengok cara membuat Puding Roti dan Sos Kastard oleh Che Nom, klik link 👉 https://youtu.be/otQosTtgifw





Thursday, 10 December 2020

Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker Menggunakan Air Fryer

Tak pandai buat mufin? Tak rajin nak campur bahan itu ini ikut resepi? Tapi teringin nak membakar mufin sendiri? Senang je zaman sekarang ni, kita beli la tepung premix...hehe.

Tepung premix pilihan saya - Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker. Pertama kali cuba beli, sambil berdoa supaya ianya menjadik dan sedap di tekak sendiri.

Cara buat? Cuma perlu campur tepung dengan air, minyak sayuran (saya guna minyak masak) dan 2 biji telur. Lepas tu kacau biasa je menggunakan sudu, yang penting kita kasi adunan tu sebati. Senang je kan? Sesuailah untuk dapur rumah PP saya ni yang berkonsepkan minimalis (baca : cuma ada bahan masakan dan peralatan dapur yang sangat penting saja).

Lepas tu bolehlah masukkan adunan ke dalam cawan kertas kira-kira 3/4 penuh. Saya tak habiskan pun adunan tadi, cuma isi untuk 8 cawan je. Adunan selebihnya saya simpan dalam peti sejuk, bila-bila nak makan baru saya ambil sikit dan bakar. Sebenarnya saya tak pasti ok ke tak buat gitu, tapi saya buat jugak memandangkan yang tukang makan cuma dua orang.

Beginilah rupa adunan mufin dalam cawan kertas. Kat kedai saya pergi tu tak ada pulak cawan kertas yang besar, ambik jelah cawan kecik ni jadi mini mufin. Mufin ni saya bakar menggunakan air fryer sebab microwave oven tinggal di rumah NS.

Kiranya, saya buat dua percubaan - cuba buat mufin dengan tepung premix dan cuba bakar mufin menggunakan air fryer.

Untuk bakar mufin, saya set suhu 180° dan masa 10 minit. Ikut panduan pada air fryer saya, suhu 180° dan masa 12-14 minit. Saya kurangkan masa, kita tengok macam mana hasilnya.

Inilah rupa hasil pertama mufin menggunakan air fryer. Ermm...macam gelap sangat. Dan disebabkan tak letak cawan kertas ni dalam loyang khas, adunan mengembang dengan bentuk tak sekata dan tak meninggi.

Untuk bakar kali kedua dan seterusnya, saya kurangkan suhu kepada 160° dan masa kekal 10 minit. Saya juga taburkan walnut di atasnya, kasi meriah sikit rupa mufin tu.

Tekstur mufin. Lembut dan lembab di bahagian dalam, agak rangup di bahagian luar. Sedap! Cuma bagi tekak saya, mufin ni rasa terlebih manis.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan mufin menggunakan Muffin Mix Chocolate Chip Betty Crocker ni. Juga berpuas hati dengan hasil mufin yang dibakar menggunakan air fryer. Mudah sangat!