Wednesday 31 July 2019

Koleksi Khas Pos Malaysia Sempena Hari Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Ke-16

Ada peminat setem kat sini? Kalau ada, kita geng! Walaupun saya dah tak aktif mengumpul setem (disebabkan susah nak dapat koleksi setem terpakai), tapi hati ni tetap teruja bila nampak setem keluaran khas Pos Malaysia.

Sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI pada 30 Julai 2019, Pos Malaysia mengeluarkan koleksi khas berikut :

Setem 60sen

Setem 80sen

Setem RM1

Lembaran Mini - RM5

Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover) dengan Lembaran Mini - RM5.50

Sampul Surat Hari Pertama (First Day Cover) dengan setem - RM2.90


Koleksi khas ini mula dijual mulai hari ini 30 Julai 2019 di pejabat pos atau secara online di https://www.eziemall.com/. Saya sudah pun membuat belian secara online untuk Lembaran Mini, tapi tak beli setem sebab dijual dalam kuantiti yang banyak (lembaran setem 16 keping untuk setiap setem 60sen, 80sen dan RM1). Kalau di pejabat pos mungkin boleh beli kuantiti sedikit.

Kepada peminat setem kena dapatkan cepat koleksi khas ni sebab saya jangkakan ianya menjadi koleksi yang sangat laris. Lambat...habis!

Thursday 25 July 2019

Suatu Pagi Di Kota Kinabalu...

Gambar-gambar berikut saya ambil ketika kunjungan saya untuk trip keretapi ke Tenom, Sabah pada bulan April lalu. Pada hari terakhir sebelum penerbangan pulang (penerbangan lewat petang), saya dan suami menghabiskan masa di Kota Kinabalu dan Kinarut (rumah adik ipar).

Pagi hari tersebut, kami meronda-ronda di sekitar bandaraya Kota Kinabalu tanpa arah tujuan tertentu. Turun bilik hotel, cari kedai makan untuk bersarapan dan seterusnya mula berjalan kaki melihat-lihat sekitar bandar.

Pemandangan waktu pagi, aliran trafik belum sesak dan para pelancong belum bertebaran.

Antara pemandangan yang menarik perhatian saya sewaktu melalui jejantas Segama (jejantas yang menghubungkan Pasar Besar Kota Kinabalu dengan Kompleks Segama).

Lukisan mural bunga Rafflesia di tangga jejantas. Mengindahkan dan memberi keceriaan. Jejantas sepanjang 260 meter ini bersih dan nampak dijaga dengan baik.

Leka jadinya bila mata memandang keindahan begini...lautan membiru, kapal-kapal dan bot.

Lagi sisi indah Kota Kinabalu...SubhanAllah!

Sementara di suatu sudut...Kota Kinabalu menunjukkan sisi gelapnya. Gelandangan kanak-kanak. Anak ini masih belum bangun tidur, sedang kawan-kawan gelandangan lain sedang riuh bermain sesama mereka dan sesekali mendekati orang ramai untuk mengemis.

Ini bukan kanak-kanak pertama yang saya jumpa tidur begini, malam tadi saya temui seorang anak lelaki yang tidur di kaki lima depan bangunan yang sedang dalam pembinaan. Bunyi bising kerja-kerja pembinaan tak sedikit pun mengganggu tidurnya. Disampingnya terdapat bekas minuman pakai buang, mungkin untuk tujuan mengemis. Sebak hati bila melihat kanak-kanak hidup sebegitu. Dan saya masih sebak setiap kali melihat gambar ini 😢. Insaf!


...sekian catatan suatu pagi di Kota Kinabalu Bandaraya Peranginan Semulajadi...






.

Tuesday 23 July 2019

Restoran Kemangi (cawangan Teluk Kerang)

Hujung minggu lepas balik kampung saya di Pontian, Johor.
Untuk makan malam, saya dan suami mengajak Mak makan malam di luar.
Kali ni kami nak cuba makan di Restoran Kemangi (cawangan Teluk Kerang).

Restoran Kemangi Pontian ada dua cawangan lain - iaitu di kawasan bandar Pontian dan satu lagi berhampiran Econsave Pontian (jalan menghala JB). Kedua-dua cawangan ni memang agak biasa kami kunjungi bila balik kampung saya.

Manakala restoran Kemangi cawangan ketiga ni, agak baru saya sedar kewujudannya. Mungkin sebab lokasinya bukan di laluan menuju ke rumah Mak saya (kena ke depan lagi), jadinya tak perasanlah. Padahal yang ni paling hampir dengan rumah Mak...hahaa

Jika dari bandar Pontian menghala ke Kukup, restoran ini terletak di sebelah kiri jalan. Ada papan tanda tertera nama restoran - 'Restoran Kemangi'. Boleh parking di bahu jalan begini.

Atau masuk ke dalam sedikit untuk parking di bahagian dalam. Boleh pilih nak duduk makan di bahagian luar kedai (berpayung) atau di dalam kedai.

Kami pilih makan di bahagian dalam kedai. Beginilah rupa dekorasi restoran, gaya tradisional ala kampung. Sedap mata memandang.

Juga boleh pilih jika nak makan bersila di bahagian atas tu. Cantik dekorasinya, tak sangka ada kedai makan menarik kat kawasan kampung begini.

Makanan dah sampai...Mee Bandung (mee hoon) untuk suami. Suami makan habis, sedap la tu kan! Lupa saya nak merasa, dek sibuk layan berborak dengan Mak yang menunggu makanannya tak kunjung tiba.

Saya punya...Mee Goreng dan air Teh Tiga Layer. Alhamdulillah..dua-dua menepati citarasa saya. Tapi tetap juga tak boleh nak habis mee goreng tu sebab banyak sangat dan jadi muak bila dah banyak makan.

Fish n Chips untuk Mak. Paling akhir sampai, rupanya jadi lambat sebab pelayan kedai tertukar bagi kat pelanggan lain. Maka kenalah tunggu lagi untuk dia buat yang lain. Apapun Alhamdulillah...menu ni pun lulus di tekak Mak dan saya (join sekali makan, Mak ajak...hahaa).

------------------------------------------------------------

Ok, secara keseluruhannya memuaskan. Insya Allah lepas ni boleh datang makan di sini lagi sebab lebih hampir dengan rumah Mak saya berbanding dua lagi cawangan restoran Kemangi. Dan rasa lebih santai makan di kawasan kampung, nak parking pun mudah.


CARA KE SINI :
Dari bandar Pontian, ambil jalan menghala ke Kukup (Jalan Pontian - Kukup). Selepas melalui jambatan Sungai Rambah, boleh mula perhati Restoran Kemangi di sebelah kiri jalan.
<<< Klik Google Maps DI SINI >>>

WAKTU OPERASI :
7 pagi - 2 pagi (Selasa - Ahad)
Isnin (Tutup)


***update Ogos 2020 : Restoran Kemangi (cawangan Teluk Kerang) tidak lagi beroperasi.***

Thursday 18 July 2019

25 Tahun Lalu...

25 tahun sudah berlalu...

Ekspedisi Gunung Angsi 1 Ke Arah Tahun 2000 Sempena Pelancaran Gaya Hidup Mencintai Alam dan Cintailah Gunung Kita.


10 Julai 1994 - buat pertama kalinya saya melakukan aktiviti pendakian. Waktu tu saya berada dalam tingkatan 4 di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Aktiviti anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini memerlukan penyertaan dari sekolah-sekolah. Saya dan kawan-kawan hadir bagi mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sekolah kami.

Yang saya ingat, pagi hari tersebut semua peserta berkumpul di kawasan hadapan Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Taklimat diberikan dan diikuti sesi senaman untuk memanaskan badan. Kami kemudiannya berjalan ke satu tempat lain untuk memulakan pendakian.

Walaupun masih di usia muda, aktiviti pendakian tersebut tetap membuat saya rasa lelah. Tambahan pulak, saya bukan budak yang aktif bersukan. Sering kali bila langkah terhenti, pasti ada suara-suara yang memberi semangat...'dah dekat...sikit lagi!'.

Sampai di puncak, peserta boleh berehat sambil menikmati makanan yang disediakan oleh penganjur. Sayangnya....tiada gambar saya semasa di puncak. Zaman tu belum ramai yang ada kamera, handphone camera lagilah tak wujud! Hahaa. Maka, tiadalah gambar sebagai kenangan dan bukti dah sampai puncak Angsi. Mujur ada sijil, itu je kenangan dan bukti yang ada.

Semasa bergerak turun, ada satu ketika di mana saya terpisah daripada kawan dan peserta lain. Entah macam mana, sedar-sedar depan dan belakang takde orang. Mungkin kerana terlalu fokus pada laluan dan halangan sepanjang jalan, sampai tak perasan diri keseorangan. Mujur takde kejadian buruk berlaku masa berjalan seorang diri.

Alhamdulillah selamat turun di kawasan perkelahan Ulu Bendul. Saya tak ingat catatan masa yang tepat, yang pasti masa sampai bawah sudah pun masuk waktu Zohor.

-------------------------------------------------------------

Begitulah kisah pendakian pertama saya, bukan sebab minat tetapi sebab ikut program sekolah. Selepas itu, saya mula jatuh hati pada aktiviti ini dan meneruskannya semasa saya di universiti. Insya Allah saya akan catatkan dalam blog sebagai satu perkongsian pengalaman dan kenangan sendiri. Walaupun tak banyak, tapi saya cukup berpuas hati dengan pengalaman yang dilalui.

Selepas tamat universiti, aktiviti pendakian terhenti sama sekali. Masing-masing sibuk membina hidup. Cuma beberapa tahun terakhir ini, minat saya muncul kembali. Saya kembali mendaki pada Disember 2017 dalam usia 39 tahun, dan Bukit Batu Putih di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan menjadi puncak pertama.

Friday 12 July 2019

Adakah Melatah Membatalkan Solat?




Melatah - melakukan sesuatu atau mengeluarkan perkataan tanpa disedari kerana terperanjat dan sebagainya.

'Uruf - apa-apa yang menjadi adat kebiasaan di sisi masyarakat dan diamalkan di dalam kehidupan daripada perkataan atau perbuatan. 

-----------------------------------------------------------------------------

Siapa pernah melatah semasa solat?

Saya pernah, gara-gara terperanjat. Masa tu saya menumpang solat di rumah seseorang, menghadap tingkap yang terbuka (ada langsir). Tiba-tiba...melompat masuk seekor kucing, terkejutlah saya lalu terkeluar sedikit bunyi ala-ala menjerit. Bukanlah melatah sampai bercakap bukan-bukan atau bergerak-gerak. Jadinya, saya boleh teruskan solat macam biasa.

Wednesday 10 July 2019

Buah Tiga Rasa : Laici + Rambutan + Durian

Saya mula mengenali buah ini melalui perkongsian ahli grup Facebook Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri, terus rasa teringin nak makan. Tapi apakan daya...jika di negara kita, buah ni terdapat banyak di Sarawak. Dan ianya buah bermusim, bukan sentiasa ada. Boleh je kalau saya nak minta adik yang menetap di Sarawak untuk pos buah ni, tapi tak perlulah menyusahkan dia sebab belum tahap mengidam pun kan. Haha!

Allah itu Maha Mendengar dan Maha Tahu. Minggu lepas, suami balik kerja dengan membawa beberapa biji buah ni. Pemberian kawan yang baru balik dari Sarawak. Alhamdulillah...bolehlah buat saya merasa.

Inilah rupa buah MATOA / buah KRISTAL. Juga dikenali dengan nama lain - buah kasai, buah ketuk, longan kristal, pometia pinnata. Mungkin juga ada nama lain mengikut tempat masing-masing.

Menurut info, pokok buah Matoa berasal dari negara Papua New Guinea dan ianya tumbuh liar. Jika di Malaysia, ia terdapat banyak di Sarawak. Dan kini sudah ada yang mula menanamnya secara komersial di Semenanjung Malaysia, tapi belum meluas jadi kita pun tak jumpa buah ni dijual di sini.


Saiznya sederhana, tak besar dan tak kecil. Bentuk agak lonjong. Kulit berwarna gelap dan keras. Tapi bukanlah terlampau keras, saya cuma tekan sedikit buah ni di meja (atau di mana-mana permukaan kukuh) untuk membuat ia merekah dan mudah dibuka.


Inilah rupa buah Matoa / Kristal. Rupa macam buah laici. Bila saya makan, terasa macam makan buah laici dan rambutan. Dan ada sedikit macam rasa durian. Eh...sebiji buah dengan tiga rasa sekaligus! Tahap kemanisannya sederhana. Ok, sedap!


Gigih sangat kan...tengah-tengah ngap pun sempat ambik gambar nak tunjuk ketebalan isi buah. Haha! Maklumlah, pertama kali makan buah ni dan bukan senang nak dapat. Isinya agak tebal dan bijinya macam rupa biji durian.


Tak lengkap cerita kalau setakat tunjuk buah, kita tunjuk rupa pokok Matoa pulak. Pokok ni dah ditanam tak lebih dari 3 tahun, masih belum berbuah. Tentunya bukan pokok saya lah, lokasi tak dapat diberitahu. Cukuplah untuk kita tengok dan tahu beginilah rupa pokok Matoa. Ianya akan membesar dan tinggi lagi.


Close-up rupa daunnya.

Sekarang tengah musim buah Matoa / Kristal di Sarawak, kot yang ada yang ke sana bolehlah cari buah tiga rasa ni. Selain berbentuk lonjong seperti yang saya makan, ada juga yang berbentuk bulat. Tak pasti rasanya sama sahaja atau ada beza.