Showing posts with label Kedah. Show all posts
Showing posts with label Kedah. Show all posts

Tuesday, 27 January 2026

Catatan Hujung Minggu | 24 - 25 Januari 2026

Pagi hari Ahad Encik Suami ada urusan di Manong yang terletak di daerah Kuala Kangsar, Perak. Hari Sabtu kami dah bergerak dari rumah Perlis menuju ke Kuala Kangsar. Pergi awal sehari supaya boleh santai menempuh perjalanan dan dapatlah saya ambil kesempatan berjalan-jalan melihat tempat orang 😁


⏵ HARI SABTU, 24 JANUARI 2026

Pukul 10.55 pagi - Singgah makan di Dua Rasa Timur Utara yang terletak di jalan besar Changlun, Kedah. Selalu lalu je, buat kali pertama kami mencuba hidangan nasi campur di sini. Terdapat banyak pilihan lauk, saya jadi rambang mata terus ambil itu sikit ini sikit.

Pukul 3.40 petang - Keluar tol Kuala Kangsar. Perut dah mula rasa lapar, saya buat carian Google Maps kedai makan mana nak dituju.

Kami ke Rumah Makan Rendang Tok Yoep. Saya sangkakan pelanggan makan dalam rumah tradisional ni, rupa-rupanya makan bawah khemah besar yang terletak di tepi rumah πŸ˜…

Dalam keadaan cuaca panas terik, saya jadi kurang selesa menikmati makanan di sini. Terdapat beberapa buah meja makan yang terletak di bahagian bawah rumah, tapi tak sesuai duduk sebab kena cahaya matahari. Bahagian dalam rumah (atas) pula katanya hanya ada ruang solat dan sesuai kalau nak berfoto.

Perjalanan diteruskan menuju ke lokasi penginapan yang terletak di Karai. Baru saya tahu kewujudan nama tempat Karai. Pekan Karai nampak tenang, tak banyak kenderaan. Deretan bangunan lama menjadi latar pekan ini.
Info ringkas | Karai merupakan antara bandar tertua yang terletak dalam Mukim Kota Lama Kanan, daerah Kuala Kangsar, Perak. Ia juga dikenali sebagai Enggor. Pekan ini mula membangun dengan penemuan komoditi arang batu pada era penjajahan British. Pada tahun 1900, sebuah jambatan kereta api merentasi Sungai Perak siap dibina oleh British - ia dikenali sebagai Jambatan Victoria (Victoria Bridge).

Pukul 5 petang - Mendaftar masuk di D’Village Hotel & Villas. Kami tak buat tempahan awal sebab tadi belum pasti nak menginap di mana. Bila sampai sini, barulah buat tempahan dan bayaran bilik di laman web rasmi D’Village. Tak boleh tempah dan bayar terus di kaunter, juga tiada tempahan menerusi pihak ketiga seperti Agoda.

Menurut petugas di kaunter, hanya kami berdua sahaja yang mendaftar masuk pada hari ini. Terkejut jugalah πŸ˜„. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan penginapan kami di sini.

Penginapan kami terletak berhadapan dengan lokasi tarikan pelancongan iaitu Victoria Bridge. Sekitar pukul 6.30 petang, barulah kami keluar bagi menikmati suasana senja di sini. Insya Allah ada entri khusus berkenaan Victoria Bridge.

Makan malam di Mama Tomyam, kami keluar memandu ke arah bandar Kuala Kangsar bagi mencari kedai makan. Pekan Karai bertukar menjadi sepi menjelang malam, tiada kedai makan dibuka.


⏵ HARI AHAD, 25 JANUARI 2026

Pukul 8 pagi - Bersarapan di Kafe Dapur Tok Enda yang terletak di dalam kawasan Kampung Warisan Budaya - sama pengurusan dengan penginapan kami tetapi di lokasi berbeza. Sebelum tu, sekali lagi kami ke Victoria Bridge bagi menikmati suasana pagi di sini. Selepas itu, teruskan berjalan kaki ke kafe. InsyaAllah ada entri khusus berkenaan kafe ini.

Pukul 10.10 pagi - Mendaftar keluar penginapan dan menuju ke Manong untuk urusan Encik Suami.

Pengalaman pertama saya melalui Jalan A164 Sayong - Tanjung Belanja. Laluannya sedikit berbukit dan berliku, jalan raya dalam keadaan baik dan tak banyak kenderaan. Hampir sepanjang perjalanan hanya semak belukar dan kebun sawit/getah, sesekali saja kami melewati kawasan penempatan penduduk.

Kami melalui Kampung Menora, terus teringat mungkin juga nama Terowong Menora di lebuh raya PLUS diambil sempena nama kampung ini. Kami juga melewati belakang kawasan R&R Sungai Perak. 

Pemandangan Sungai Perak di Kampung Mandah, Manong. Seronok juga saya melayan mata menyaksikan panorama alam - aliran Sungai Perak dan Gunung Bubu sementara menunggu Encik Suami selesaikan urusannya.

Selesai urusan, kami bergerak ke pekan Parit yang terletak di dalam daerah Perak Tengah, Perak. Juga kali pertama saya berada di sini.

Mi hailam kering.
Kami berdua bersama beberapa orang rakan Encik Suami menikmati hidangan mi hailam di Kram’s Mee Hailam Royale. Pertama kali saya jumpa kedai makan khusus masakan mi hailam - ada pilihan mi hailam basah dan kering.

Saya makan mi hailam kering dengan tambahan telur mata. Mi yang digunakan bukan mi kuning biasa tu, tapi bentuk sedikit leper. Rasanya agak kenyal tapi lembut dimakan. Terdapat campuran isi daging lembu potongan kecil dalam mi, lembut dan mudah dimakan. Pendek kata, sedap! Kalau kalian ke Parit, silalah cuba makan di sini ya.

Lepas makan, kami bergerak balik ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat sampai sebelum waktu Maghrib.







Wednesday, 21 January 2026

Menara Alor Setar - Menikmati Suasana Malam Pada Ketinggian 105 Meter

Catatan hari Sabtu, 17 Januari 2026.

Buat kali pertama, saya dan Encik Suami naik Menara Alor Setar yang merupakan salah satu mercu tanda bagi ibu negeri Kedah. Selalunya lalu gitu je kan, kali ini ada kesempatan bolehlah kami menikmati suasana malam bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter.

Info ringkas Menara Alor Setar :
  • Menara telekomunikasi berketinggian 165.5 meter.
  • Turut berfungsi sebagai tarikan pelancongan.
  • Reka bentuk inspirasi serumpun padi yang diikat - bersesuaian dengan Kedah yang dikenali sebagai negeri jelapang padi.
  • Telah dirasmikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 14 Ogos 1997.

Menara Alor Setar
Rakaman foto pada pukul 8.25 malam. Menara Alor Setar berdiri megah dan indah dengan limpahan cahaya yang bertukar warna. Suasana di bahagian bawah menara ini meriah dengan pengunjung - terdapat sebuah taman rekreasi dan taman permainan kanak-kanak di sini.

Keratan rentas menegak yang menunjukkan struktur menara serta pembahagian antara tingkat menara. Sewaktu kunjungan kami - nampaknya tiada kedai cenderamata di TH01 Observation Deck, restoran di TH02 pula hanya untuk tempahan acara dan Open Deck di TH04 kini dikenali sebagai Star View.

Harga tiket kadar hujung minggu bagi warganegara :
Observation Deck | Dewasa - RM8, Kanak-kanak & Warga Emas - RM6
Star View | Dewasa - RM26, Kanak-kanak & Warga Emas - RM18
*kalau hari biasa, jimat RM1 daripada harga tertera di atas.

Kami beli tiket untuk naik ke bahagian atas sekali iaitu Star View - harga tiket termasuk untuk ke Observation Deck. Sebelum naik lif, terdapat photo booth dengan latar tulisan Menara Alor Setar. Ada petugas akan memotret foto pengunjung secara percuma, tapi kalau nak fotonya kena bayarlah ya. Kami menolak dengan baik dan terus saja masuk lif menuju ke TH03.

Terasa gayat juga naik lif dengan dinding kaca boleh nampak luar πŸ˜…. Sampai di TH03 Mega View yang berada pada ketinggian 100 meter, ada petugas periksa tiket. Dari situ kami perlu naik lif kecil untuk ke TH04 Star View.

Menara Alor Setar
Begini rupa lif kecil, tak boleh sandar di dinding sebab yang bergerak cuma lantai dan satu bahagian yang ada pemegang tangan dan butang lif. Ada sedikit rasa takut bila lif ini bergerak, mujurlah tak lama - setakat naik 5 meter.

Menara Alor Setar
Star View.

Sebaik kaki melangkah ke luar (bahagian terbuka), terasa angin sejuk bertiup agak kuat. Jadi berkibaran tudung saya. Suasana di atas ni tenang saja, tak ramai pengunjung jadi saya dapat lebih menikmati suasana.

Di suatu sudut, kelihatan pasangan muda sedang menikmati hidangan di meja yang dihias indah. Perlu buat tempahan awal kalau nak merasa pengalaman begini.

Menara Alor Setar
PELANTAR STAR VIEW | Pelantar pemandangan terbuka dengan lantai kaca yang dikenali sebagai Star View merupakan tarikan utama di sini. Ia dibuka kepada pengunjung bermula pada Julai 2020. Terdapat dua pelantar Star View - menghadap arah utara dan selatan bandar raya Alor Setar.

Mula-mula saya nampak keluarga dengan anak kecil, mereka hanya duduk berfoto di atas lantai kaca. Kemudian naik pula keluarga dengan beberapa orang anak remaja, mereka semua nampak santai berdiri di atas lantai kaca sehingga ke sudut hujung. Jadi saya fikir, oklah saya pun tentu tak ada masalah nak naik Star View ni. Yakin sungguh kan 🀭

Sementara menunggu giliran, saya memotret pemandangan bandar raya Alor Setar pada ketinggian 105 meter. Encik Suami pula sibuk menggunakan teropong yang dibawanya sendiri. Seronok juga dapat menyaksikan keindahan bangunan bercahaya dan jalan raya dari kedudukan tinggi begini.

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar

Menara Alor Setar

Tibalah giliran kami untuk naik pelantar Star View…

Menara Alor Setar
Beginilah rupa pelantar Star View. Menerusi lantai kaca, saya dapat melihat pemandangan 105 meter nun di bawah sana. Ya Allah…gayat!

Menara Alor Setar
Nampaknya, setakat ini saja tahap keberanian saya 🀭. Memandangkan tiada pengunjung lain menunggu, jadi kami ada lebih masa untuk terus mencuba. Tapi tetap jua kaki saya tak mampu melangkah sehingga ke sudut hujung pelantar. Perasaan gayat boleh dilawan, tapi pemikiran “Eh, kukuh ke tak lantai kaca ni ek..” sukar dibuang πŸ˜†

Menara Alor Setar
Encik Suami pula, cuma lebih berani sedikit saja berbanding saya - jejak jugalah lantai kaca bahagian hujung tu. Alasannya, angin kuat jadi rasa kurang berani nak berdiri di hujung sana πŸ˜„
Info lantai kaca Star View | Pengunjung tidak perlu bimbang kerana Star View dibina daripada tiga lapisan kaca kukuh dengan ketebalan 12.5 mililiter (ml) setiap satu serta mampu menampung berat sebanyak 1,200 kilogram (kg), malah ia mampu menahan kelajuan angin 140 kilometer per jam. - Sumber : hmetro.com.my

Menara Alor Setar
OBSERVATION DECK | Selesai menikmati suasana di Star View, kami turun ke Observation Deck yang terletak pada ketinggian 88 meter. Terdapat teropong (binocular) di sudut tertentu yang boleh digunakan secara percuma. Kami berdua mencuba beberapa buah teropong, tapi tak nampak apa pun. Entah agaknya kami yang tak pandai gunakan teropong tersebut. 

Aman Central, Menara Alor Setar
Kami turun dari Menara Alor Setar pada pukul 9.30 malam, iaitu 30 minit sebelum waktu operasi tamat. Dari menara, kami ke Aman Central yang terletak di seberang jalan - nak mengopi dulu sebelum balik hotel.

Video pendek sekitar kunjungan kami ke Menara Alor Setar.







Monday, 19 January 2026

Catatan Hujung Minggu | 17 - 18 Januari 2026

Catatan hari Sabtu - Ahad, 17 - 18 Januari 2026.

Cuti hujung minggu yang baru berlalu, kami menginap satu malam di Alor Setar, Kedah - sebabnya petang Sabtu ada urusan di Kedah dan pagi Ahad pula ada urusan di Pulau Pinang. Penat pula kalau nak ulang-alik dua hari berturutan dari Perlis.

Sambil tu bolehlah saya dan Encik Suami berjalan-jalan di Alor Setar pada waktu malam - kami naik Menara Alor Setar.

Newz Collect Point.
Sabtu tengah hari sebelum ke Alor Setar, saya ke bandar Kangar untuk pos hadiah buat sahabat blogger. Kalau dulu semasa menetap di rumah PP, kedai kurier terletak di depan rumah - jalan kaki je. Sekarang dah menetap di kawasan luar bandar, tiada kedai kurier berhampiran rumah.

Biasanya kalau nak pos barang saya akan ke kedai kurier Newz Collect Point di Kangar Jaya, jaraknya 30 km dari rumah. Saya suka ke kedai kurier ni sebab petugasnya mesra dan sangat membantu - urusan jadi mudah dan pantas. Bawa je barang kita, nanti dia tolong pilih saiz kotak yang sesuai. Harga kotak pun murah je, kalau tak silap kotak di atas ni cuma RM1.30.

Masjid Sultanah Bahiyah.
Pukul 2 petang sehingga menjelang waktu Asar, kami berada di Masjid Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi menghadiri kursus umrah oleh Rayhar Travel. Agak mencabar bagi saya sebab petang biasanya waktu mengantuk - asyik menguap tahan mata dengar ustaz beri penerangan πŸ˜…

Kawasan parkir Hotel Samila.
Pukul 6.40 petang kami tiba di hotel penginapan yang terletak di pusat bandar Alor Setar. Hotel Samila merupakan sebuah hotel lama yang telah menjalani proses ubah suai. Lokasinya sangat strategik, kita boleh berjalan kaki ke tempat menarik seperti Aman Central, Menara Alor Setar dan Masjid Zahir.

Hotel Samila, Alor Setar, Kedah
Hotel Samila.
Kami menginap satu malam di bilik 302 yang terletak di aras tiga (hotel ni cuma setinggi empat tingkat). Kadar harga RM144.29 bilik jenis Premier King. Keluasan bilik yang memuaskan, keadaan keseluruhan bersih dan selesa, juga lengkap dengan kemudahan penggosok pakaian. Cuma tilamnya agak keras pada saya dan bilik air kurang pencahayaan.

Menara Alor Setar
Menara Alor Setar.
Waktu malam selepas solat Maghrib kami berjalan kaki ke Menara Alor Setar. InsyaAllah saya akan buat entri khusus berkenaan pengalaman kami naik menara ini.

Pagi Ahad, kami bergerak ke Perai, Pulau Pinang untuk urusan Encik Suami. Nampaknya dalam bulan Januari ini, setiap hujung minggu kami ke Pulau Pinang. Ada saja urusan nak diselesaikan.

Dalam perjalanan balik rumah Perlis, singgah nurseri pokok di Sungai Petani, Kedah. Buat kali pertama, saya membeli pokok bunga ros. Sebenarnya tak ada niat nak beli pokok, saja tengok-tengok cuci mata. Nampak pokok bunga ros terus teringat blogger Dana, eh…rasa nak cuba membela pokok bunga ros jugalah! Saya pilih yang sedang mekar berbunga, harganya RM28.

Gitu gini singgah sana sini untuk makan, solat dan beli barang, Alhamdulillah akhirnya selamat sampai rumah menjelang Maghrib. Jojo si anak bulu menyambut kami - mengiau mengekori langkah kami dan terus laju masuk rumah bila pintu dibuka πŸ˜„







Tuesday, 13 January 2026

Ke Pulau Tikus, Georgetown Memenuhi Rutin Enam Bulan Sekali

Catatan hari Sabtu, 10 Januari 2026.

Setiap enam bulan sekali saya akan ke Pulau Pinang bertemu dengan doktor pakar periodontik untuk pemeriksaan dan rawatan gigi/gusi di Tria Dental Specialist Centre yang terletak di Pulau Tikus, Georgetown. Jauh ya dari Perlis, tapi sebab enam bulan sekali taklah rasa terbeban sangat.

Pukul 7.20 pagi - singgah sarapan di Dapoq Tok Su Lijah di Changlun, Kedah. Kami pelanggan pertama πŸ˜€

Kami selalu singgah makan sarapan di sini. Saya suka nasi lemaknya sedap cukup rasa lemak santan. Dah cuba beberapa menu lain tapi kurang menepati selera saya. Servis di sini pantas dan mesra, walaupun ramai pelanggan tapi tak perlu menunggu lama. Cuma sesekali kita akan terganggu dengan bau tak menyenangkan dari longkang berhampiran πŸ˜…

Pukul 9.30 pagi - di atas Jambatan Pulau Pinang menuju ke bahagian pulau. Landskap di sini sedikit berubah dengan kewujudan pembinaan tiang di sepanjang tepi jambatan (dalam foto - sebelah kiri). Carian saya mendapati ia merupakan projek pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kami tinggalkan kenderaan di kawasan parkir berhadapan dengan Queensbay Mall, Bayan Lepas dengan kadar caj RM1/jam. Dari situ kami naik kenderaan e-hailing menuju ke klinik. Cara begini lebih mudah sebab kami tak perlu memandu dalam kesesakan jalan di Georgetown (dinobatkan sebagai bandar paling sesak di Malaysia pada tahun 2024) dan tak perlu susah payah mencari parkir berhampiran klinik.

Mula-mula dulu je kami memandu terus sampai ke klinik, lepas beberapa kali terus ubah strategi. Saya ni dahlah seriau gigi nak ‘dikerjakan’, tapi belum jumpa doktor dah letih mental jadi pembantu driver nak tengok jalan mana nak masuk dan hadap ragam sesetengah pemandu, belum lagi penat melilau mata cari parkir πŸ˜…

X-ray Gigi | Rawatan kali ini dengan Dr. Ying. Saya maklumkan ada sedikit rasa sakit pada gusi bawah kanan, lepas diperiksa tak nampak apa-apa terus kena buat x-ray. Mula-mula x-ray fokus ke bahagian yang sakit, tapi tak jelas jadi buat pula x-ray untuk seluruh mulut. Masih juga tak jelas apa punca masalah. Jadinya rawatan kali ini - x-ray dan scaling sahaja. Kos rawatan sebanyak RM475. Janji temu seterusnya pada 4 Julai 2026.

Pukul 12.45 tengah hari - makan di The Chicken Rice Shop, Queensbay Mall. Saya order Crispy Wanton. Sekali bila dapat, terkejut tengok rupanya jauh berbeza dengan gambar menu. Pembelian yang tak berbaloi dengan rasa dan rupa persembahan hidangan πŸ˜…

Masjid Nagore Alor Setar
Masjid Nagore Alor Setar - masjid yang dibina pada tahun 1881 oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India.
Pukul 6.30 petang - singgah makan sizzling yee mi di Sizzle Eatery, Alor SetarKunjungan kali kedua ke sini. Kali ini saya sempat memotret foto Masjid Nagore yang terletak berhadapan dengan restoran.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah kira-kira pukul 8.45 malam. 







Sunday, 11 January 2026

Sizzle Eatery, Alor Setar

Catatan hari Sabtu, 3 Januari 2026.

Sejak menetap di negeri paling kecil di Malaysia, setiap kali nak servis kenderaan kami perlu ke negeri lain - sama ada ke Kedah atau Pulau Pinang. Sebabnya, tiada pusat servis di Perlis bagi jenama kenderaan yang kami pakai.

Sabtu minggu lepas, kami ke sebuah pusat servis kenderaan yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Dalam perjalanan balik ke Perlis, kami singgah cari makan di Alor Setar, Kedah. Tekak teringin makan mi sizzling, jadinya saya buat carian di Google Maps - ‘sizzling sedap Alor Setar’. Muncul nama kedai ‘Sizzle Eatery Enterprise’, baca ulasan dan jomlah kita!

Sizzle Eatery terletak di tepi sebuah jalan besar, berhadapan dengan Masjid Nagore Alor Setar - sebuah masjid lama yang dibina oleh komuniti India Muslim dari Nagore, India. Dengan berpandukan aplikasi GPS, mudah je nak cari kedai ni.

Tiada ruang parkir di hadapan kedai, tetapi kita boleh parkir di lorong tepi kedai yang dikenali sebagai Laman Seni. Lorong ini merupakan jalan sehala, kita tak boleh masuk dari laluan depan kedai. Kita kena pusing bangunan dan masuk ikut laluan belakang. 

Sizzle Eatery, Alor Setar
Kenderaan kami parkir di sini. Sebelah kiri merupakan bangunan kedai dan sebelah kanan pula bangunan penjara lama. Lorong ini dikenali sebagai Laman Seni kerana terdapat seni lukisan mural di dinding bangunan kedai dan tembok penjara lama. Cantik dan menarik! Ketika kami tiba di sini, saya nampak beberapa orang sedang berfoto dengan latar mural.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sizzle Eatery terletak di bangunan berhadapan jalan utama, kedai yang pertama. Tepi bangunan kedai terdapat lukisan mural Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya tak ambil foto penuh mural sebab ada orang sedang berfoto di sini.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Papan tanda restoran Sizzle Eatery.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Meja makan di bahagian depan sudah dipenuhi pelanggan, kami duduk di sudut belakang. Tempat memasak dan kaunter bayaran di ruang paling belakang. Ruang makannya tidak begitu luas, tapi saya nampak di bahagian tepi ada anak tangga ke atas. Tak pasti jika ada ruang makan di bahagian atas.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Imbas kod QR di atas meja untuk melihat menu, kemudian tulis sendiri kod menu pada kertas order. Lepas tu pergi ke kaunter untuk serah kertas order dan buat bayaran.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Minuman saya - apple asam boi kurang manis dan minuman Encik Suami kopi O ais tanpa gula.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Kami berdua pilih menu sama - sizzling yee mi biasa.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sedap rasanya, tak terlalu masin kuahnya. Tambah sedap bila dimakan bersama cili kicap.

Sizzle Eatery, Alor Setar
Sebelum beredar, saya beli dadih susu dan puding karamel untuk makan di rumah.

Kalau kalian berkunjung ke Alor Setar dan teringin nak menikmati hidangan sizzling, bolehlah cuba makan di Sizzle Eatery - restoran milik Melayu Muslim. Tempat makannya bersih selesa, layanan mesra dan rasa mi sizzling yang memuaskan selera. 


*******************************************

SIZZLE EATERY
34, Jalan Penjara Lama,
Pesisiran Tanjung Chali,
Alor Setar, Kedah.

Google Maps | Sizzle Eatery Enterprise

Waktu operasi :
Setiap hari | 12 tengah hari - 11 malam
Jumaat & Sabtu | 4 petang - 11 malam
Tutup hari Isnin







Tuesday, 14 October 2025

Sudut Kopi, Sik

Hujung minggu lalu, saya dan Encik Suami ke Gerik, Perak. Dalam perjalanan, kami singgah makan tengah hari di sebuah kafe yang terletak di Sik, Kedah. 

Saya terpandang kafe Sudut Kopi ini semasa kami sedang mencari kedai makan. Lokasinya tak jauh dari jalan besar, memang mudah dilihat.

Sudut Kopi, Sik
Ruang dalam kafe. Saya suka suasana santai di sini.

Sudut Kopi, Sik
Sudut Kopi - Coffee & Eatery. Bukan hanya ada kopi dan hidangan ringan, kita juga boleh menikmati pilihan hidangan mi, nasi dan pasta.

Sudut Kopi, Sik
Klik foto untuk paparan lebih jelas.
Antara menu yang terdapat di Sudut Kopi.

Sudut Kopi, Sik
Konsep layan diri - pesan dan bayar makanan di kaunter. Makanan akan dihantar ke meja, minuman pula kita perlu ambil sendiri di kaunter bila pager berbunyi.

Sudut Kopi, Sik
Aneka kek dan pastri yang membuat saya keliru nak memilih. Semua nampak sedap πŸ˜‹

Sudut Kopi, Sik
Yang ini pun menggoda juga.

Sudut Kopi, Sik
Peringatan mesra dengan cara kreatif πŸ˜€

Tak menunggu lama, satu demi satu hidangan kami tiba. Minuman kami turut dihantar ke meja, tak perlu bangun ambil di kaunter. Agaknya sebab masa ni tak ramai pelanggan, sempatlah mereka melayan hantar minuman.

Sudut Kopi, Sik
Mini pavlova / RM3.

Sudut Kopi, Sik
Nasi daging blackpepper / RM14.

Sudut Kopi, Sik
Mi kari / RM8.

Sudut Kopi, Sik
Minuman pilihan saya - Enggang Kopi Ais / RM11. Menurut petugas di kaunter, Enggang Kopi adalah Spanish Latte. Minuman pilihan Encik Suami - Americano Ais / RM9.

Alhamdulillah…semua makanan dan minuman kami sedap sesuai dengan cita rasa. Sebelum beredar, kami beli dua potong kek untuk makan bila sampai di Gerik. Encik Suami tak gemar makan manisan, jadinya kek yang dibeli saya makan sendiri. 

*

Esok harinya semasa dalam perjalanan balik dari Gerik, sekali lagi kami singgah makan di Sudut Kopi. Dah kata sedap kan, haruslah kita ulang datang πŸ˜€

Sudut Kopi, Sik
Kali ini saya mencuba spaghetti salted egg chicken crispy / RM16. Satu lagi hidangan - mi kari, sama seperti semalam.

Sudut Kopi, Sik
Hot Pecan Praline Latte / RM12 pilihan saya. Encik Suami masih setia dengan Americano.

Alhamdulillah sedap! Seronok rasanya bila jumpa tempat makan yang memenuhi cita rasa. Dari segi layanan pula, sangat mesra dan pantas. Tapi sayang, kafe ini terletak jauh di Sik. Entah bila saya akan kembali menikmati hidangan di Sudut Kopi ini.


***************************

SUDUT KOPI
No. 1, Lot 11418, Kg. Batu Lima,
08200 Sik,
Kedah.

Waktu operasi :
Setiap hari | 11 pagi - 9 malam
Jumaat | 3 petang - 11 malam