Showing posts with label Fauna. Show all posts
Showing posts with label Fauna. Show all posts

Wednesday, 6 May 2026

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Catatan hari Sabtu, 2 Mei 2026.

Saya suka bila Encik Suami ada urusan di sekitar KL dan kami menginap di The Everly, Putrajaya. Penginapan yang selesa, lokasi berhampiran kompleks beli-belah Alamanda dan taman rekreasi Jejak Sisiran 1 - juga dikenali sebagai Putrajaya City Trail.

Pagi hari Sabtu, Encik Suami keluar selesaikan urusannya dan saya pula keluar beriadah di laluan Jejak Sisiran 1. Kali ini saya dah bersedia dengan pakaian bersesuaian termasuk kasut joging. Saya berazam nak brisk walk (berjalan dengan cepat), bukan berjalan santai (sekejap berhenti belek tumbuhan, sekejap lagi berhenti memotret itu ini πŸ˜„) seperti kali pertama ke sini dulu - entrinya DI SINI.

Tiap kali nampak sesuatu yang menarik, saya ingatkan diri sendiri jangan berhenti untuk memotret. Sehinggalah tiba di kawasan santuari spesis burung air, ada seekor burung bangau bersaiz besar dengan warna yang menarik berada tak jauh dari kedudukan saya.

Seperti sengaja mahu dirinya menjadi sasaran lensa kamera saya, burung ini tak segera terbang. Burung daripada keluarga Burung Bangau (Heron) ini berjalan ke sana ke sini memberi peluang kepada saya memotretnya dari beberapa sudut.

Inilah hasilnya…

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Masya Allah…cantik sangat!

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)

Painted Stork di Jejak Sisiran 1 (Putrajaya City Trail)
Burung ini dikenali sebagai Painted Stork.

Nama Inggeris : Painted Stork
Nama saintifik : Mycteria leucocephala
Nama Melayu : Upih Sawah / Botak Padi

Ciri-ciri Painted Stork :
  • Kaki panjang berwarna merah jambu.
  • Bulu badan warna putih dengan corak hitam di bahagian sayap.
  • Paruh panjang warna kuning terang.
  • Bulu berwarna merah jambu di bahagian belakang.

Puas memotret, langkah kaki diteruskan. Saya berjalan melewati bawah Jambatan Seri Bakti dan seterusnya menghampiri Masjid Putra - masjid dengan kubah berwarna pink.

Nampak kubah cantik warna merah jambu di atas sana? Saya tak naik atas pun, melangkah lebih kurang suku anak tangga je lepas tu berpatah balik. Semangat sangat naik atas, nanti sendiri yang tanggung penat nak patah balik ke hotel πŸ˜…

Alhamdulillah…dapatlah saya beriadah sejauh 5.19 km. Jarang-jarang ya saya dapat pergi jauh begini. Seronok betul dapat beriadah di taman yang dijaga rapi dan lengkap kemudahan. Pakai pula kasut yang bersesuaian, kaki rasa selesa walau dah berjalan jauh. Bukanlah tak rasa penat kaki, tapi tidaklah teruk sangat rasanya.

Ada rezeki menginap di The Everly, bolehlah saya brisk walk lagi di sini.







Monday, 30 March 2026

Burung Takur Kukup - Ular Terbang - Kemarau Berakhir

RABU, 25 MAC 2026 | BURUNG TAKUR KUKUP (LINEATED BARBET)

Morning walk pertama selepas berakhirnya Ramadan - saya berjalan santai menikmati alam di sekitar kawasan rumah. Memerhati langit biru bersih tanpa awan, rumput kering kekuningan dek kemarau panjang dan burung-burung berterbangan mencari makan.

Tiba-tiba mata saya terpandang seekor burung berwarna hijau bertenggek di kabel letrik. Bukan burung hijau yang pernah saya lihat, rupanya berbeza. Segera saya halakan lensa kamera telefon, dapatlah beberapa keping foto sebelum ia terbang menghilang.

Burung Takur Kukup - Lineated Barbet
Satu-satunya foto paling jelas yang berjaya saya rakam.

Hasil carian saya mendapati si cantik dengan bulu badan berwarna hijau dan paruh besar ini merupakan burung takur kukup.
Nama burung : Takur Kukup
Nama Inggeris : Lineated Barbet
Nama saintifik : Psilopogon Lineatus
Burung Takur Kukup - Lineated Barbet
Foto oleh Kow Hao Rui.
Saya sertakan foto lebih jelas burung takur kukup sebagai rujukan.


JUMAAT, 27 MAC 2026 | ULAR TERBANG (CHRYSOPELEA ORNATA)

Ketika itu waktu pagi, saya sedang melakukan kerja mengemas dan membersihkan ruang tamu. Tergerak hati nak menjenguk ke luar rumah. Saya selak sedikit bidai tingkap, nampak Jojo si anak bulu sedang berada di dalam longkang kecil tepi rumah. Oklah, tiada apa yang pelik - Jojo dalam longkang kecil yang kering.

Tapi, eh…Jojo nampaknya sedang tunduk fokus memerhati sesuatu. Segera saya selak kembali bidai tingkap. Ya Allah, rupa-rupanya Jojo sedang memerhatikan seekor ular!

Ilustrasi janaan ChatGPT. Sebetulnya, longkang kecil tersebut kering sebab masa ni musim kemarau dan Jojo turut berada bersama ular di dalam longkang. Paling mengejutkan, bukan setakat memerhati tetapi Jojo berlawan dengan ular!

Segera saya hubungi Encik Suami - minta cepat balik rumah. Saya juga segera keluar rumah. Saya terpaksa beranikan diri menghampiri ular dan angkat Jojo. Jojo meronta dan terlepas dari pegangan saya. Apa lagi, sambung berlawan! Sekali lagi saya angkat Jojo, saya peluk lebih kuat.

Tengah berdebar, lalu pula seekor lipan berhampiran saya. Ya Allah! Mujurlah saiznya sederhana besar. Saya abaikan lipan tersebut sebab perlu fokus pada pergerakan ular dan memegang Jojo.

Ular terbang Golden Tree Snake (Chrysopelea ornata)
Hasil foto zoom-in ular terbang.
Jojo nampak lebih tenang, dapatlah saya merakam beberapa keping foto ular tersebut yang sedang menjalar di dinding. Fuh! Pertama kali saya menyaksikan ular memanjat dinding. Saya rasa takut, juga rasa kagum memerhati corak dan warna ular - cantik kombinasi warna hitam kuning.

Tak lama kemudian Encik Suami tiba - ambil ular guna pengepit panjang dan bawa ke sudut yang jauh dari rumah. Ular cantik biasanya berbisa, jadi Encik Suami nak bunuh je tapi ular tersebut berjaya melepaskan diri.

Carian saya mendapati, ini merupakan sejenis ular terbang. Uish…kalau tahu ular ni boleh terbang, bertambah takut saya tadi πŸ˜…
Nama ular : Ular terbang / ular pokok emas
Nama Inggeris : Golden tree snake
Nama saintifik : Chrysopelea ornata

Sebenarnya, ia bukanlah boleh terbang tetapi berkemampuan meluncurkan badan seperti terbang. Ular ini kategori berbisa ringan - tidak berbahaya kepada manusia tetapi mungkin berbahaya kepada kucing. Ia aktif di waktu siang dan memburu haiwan kecil (contoh - cicak, katak) sebagai sumber makanan.

Kalau nak tengok lebih jelas rupa ular terbang yang saya temui ini, boleh saksikan video perkongsian oleh Azamuddeen Nasir di Facebook Astronomi & Sains - klik DI SINI.


AHAD, 29 MAC 2026 | KEMARAU BERAKHIR

Alhamdulillah setelah lebih 100 hari kemarau melanda, petang hari Ahad menyaksikan hujan lebat membasahi bumi. Ia selari dengan ramalan cuaca (yang menjangkakan mulai petang semalam dan hari seterusnya hujan akan turun) dan pengalaman tahun lepas (hujan lebat pada penghujung April mengakhiri musim kemarau).

Teruja saya mendengar bunyi hujan juga bunyi guruh. Ianya nikmat yang dikembalikan. Saya berdiri di luar rumah memerhati titisan hujan yang jatuh, longkang kecil tepi rumah yang sekejap saja dipenuhi air hujan dan menikmati tempias hujan.

Tak lama lagi hamparan rumput kering kuning akan bertukar menjadi hijau. Selamat tinggal musim panas kering, selamat datang musim panas lembab. Setiap musim ada cerita dan ada keunikan tersendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah πŸ’™







Sunday, 7 December 2025

Sinaran Krepuskular dan Burung Pucung Cina

Catatan hari Jumaat, 5 Disember 2025.


SINARAN KREPUSKULAR (CREPUSCULAR RAY)
Rezeki di pagi Jumaat, saya berpeluang menyaksikan fenomena indah sinaran krepuscular (crepuscular ray) ketika matahari terbit. 

Sinaran krepuskular (crepuscular ray)
Foto dirakam pada pukul 6.54 pagi dari pekarangan rumah.

Sinaran krepuskular (crepuscular ray)
Masya Allah indah alam ciptaan-Nya.



 BURUNG PUCUNG CINA (CHINESE POND HERON)
Dalam entri terdahulu, saya pernah berkongsi foto dan catatan berkenaan burung ini tanpa mengetahui namanya. Kali ini saya berjaya memotret foto burung tersebut dengan lebih jelas, seterusnya memudahkan carian maklumat berkenaannya.

Nama Melayu - Pucung Cina / Pucung Keladi
Nama Inggeris - Chinese Pond Heron
Nama saintifik - Ardeola bacchus

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Hasil foto zoom-in yang diambil sekitar pukul 2.45 petang dari jendela bilik tidur saya. Hasil foto tidak begitu jelas kerana dirakam menerusi lapisan jendela kaca dan jaring nyamuk. 

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Zoom-in lebih dekat bagi memerhatikan rupa bentuknya.

Burung Pucung Cina (Chinese Pond Heron)
Foto paling dekat dan paling jelas yang berjaya dirakam. Antara ciri-ciri burung Pucung Cina - mata kuning terang, paruh hitam kekuningan, bulu dada dan leher berjalur coklat putih dan badan coklat keperangan.

Carian saya mendapati, burung Pucung Cina merupakan burung hijrah (migrasi) yang berkemungkinan datang dari negara China ke Malaysia semasa musim sejuk. Ia berpadanan dengan catatan saya pada entri terdahulu - di mana burung ini muncul di kawasan rumah saya hanya dalam tempoh tertentu iaitu sekitar Oktober sehingga Mac.

Kehadiran burung yang muncul pada tempoh tertentu ini saya sedari pada pengujung bulan Oktober lalu. Uokk…uokk…uokk…bunyinya kedengaran pada suatu pagi. Saya tersenyum sendiri, ia bunyi yang saya kenali! Kehadirannya juga seakan petanda bahawa Perlis akan memasuki musim angin timur. Ini kerana tempoh keberadaannya di sini hampir sama dengan musim angin timur yang biasanya berlaku sekitar November - Mac.

Perbezaan Chinese Pond Heron dengan dua jenis burung yang hampir serupa.

Setelah dua tahun saya menetap di sini serta menyaksikan datang pergi burung berwarna coklat dengan jalur putih ini, akhirnya baru sekarang saya tahu namanya πŸ˜„

Sebenarnya, terdapat pelbagai jenis burung hijrah yang memenuhi kawasan sawah padi di sekitar Perlis. Saya suka memerhatikan burung-burung ini dari jendela kenderaan. Kawasan rumah saya jauh dari sawah padi jadinya saya tak berpeluang memotret burung-burung tersebut dengan lebih dekat.







Thursday, 24 July 2025

Petai Belalang, Mengkarung dan Timun Tikus

Dah agak lama saya tak melakukan aktiviti morning walk disebabkan beberapa hal - matahari terbit awal (pukul 7.10 matahari cerah memancar), rumput tinggi sangat (bimbang ular) dan ada hari saya rasa kurang sihat. Elehh…banyak betul alasannya ya, cakap jelah malas πŸ˜†

Alhamdulillah pagi ini saya kembali menikmati alam walau dalam keadaan matahari memancar garang. Hasil rakaman foto alam pagi tadi :

⏵ PETAI BELALANG

Petai Belalang
Terdapat banyak pokok petai belalang tumbuh liar di sekitar kawasan kediaman saya. Pokok ni jenis mudah membiak (melalui biji), jadinya sana sini tumbuh pokok petai belalang.

Petai Belalang
Rupa petai belalang seakan petai biasa, cuma isinya lebih kecil dan nipis.

Bagi mereka yang membesar di kampung, pasti kenal dan suka makan petai belalang. Mak dan kakak-kakak saya biasa makan petai belalang, makan begitu saja. Berbeza dengan saya yang lahir dan membesar di bandar, saya tiada pengalaman begitu.


⏵ MENGKARUNG
Mengkarung merupakan antara haiwan yang kerap saya jumpa. Mula-mula dulu terselit juga rasa takut, tapi selepas itu mengkarung selalu menjadi model fotografi saya πŸ˜€. Sekali tengok macam sama je rupa mengkarung, tapi bila diperhatikan ada perbezaan corak pada badan mengkarung.

Mengkarung ni ekornya nampak macam terputus di hujung.

Hasil foto mod portrait. Rupa mengkarung dapat dilihat dengan lebih jelas.


⏵ TIMUN TIKUS
Pokok timun tikus ni pun antara tumbuhan liar jenis menjalar yang banyak terdapat di sekitar rumah saya. Kalau ada yang tahu, kenapa namanya ada perkataan tikus? Sama seperti petai belalang, kenapa dikaitkan dengan belalang? πŸ€”

Timun Tikus
Buah timun tikus yang masih muda, berwarna hijau dengan corak berjalur putus-putus warna putih. Kalau dah masak warnanya bertukar merah. Boleh lihat foto buah berwarna merah di entri INI.

Timun Tikus
Saiznya kecil begini.

Buah timun tikus ini juga antara tumbuhan yang biasa dijumpai dan dimakan oleh mereka yang membesar di kampung. Cumanya, timun tikus ni ada beberapa spesis. Timun tikus yang terdapat di tempat tinggal saya ni berbeza spesis dengan timun tikus yang biasa dimakan oleh keluarga saya dan mak mentua di Johor. Rupanya juga sedikit berbeza - saiz lebih besar dan tiada jalur warna putih.

Awal bulan baru-baru ni sewaktu mak mentua bermalam di rumah kami, mak mentua cuba makan sebiji. Baru kunyah sedikit, terus mak mentua luahkan balik. Pahit! Memang berbeza dengan timun tikus yang biasa mak makan di kampung suatu masa dulu - rasanya tak pahit, sama seperti timun biasa.


⏵ JOJO SI ANAK BULU
Selesai morning walk, saya sambung buat kerja di luar rumah. Gemburkan tanah di pasu, buang daun yang dah kering dan buang rumput di sekeliling tanaman. Tapi itulah, ada anak bulu yang suka mengacau.

Saya nak bersihkan rumput keliling pokok kunyit yang di tanam dalam bekas tayar ni, Jojo datang terus melompat masuk dalam tayar. Siap duduk santai, lepas tu mengunyah rumput. Tak mampu nak marah budak dengan macam-macam gelagat yang mencuit hati ni πŸ˜„







Thursday, 6 March 2025

Kehadiran Si Panjang Berbelang

Amaran :
Entri ini mengandungi foto ular yang mungkin mengganggu emosi. Jangan scroll ke bawah jika kalian fobia atau trauma dengan ular.


Kejadian hari Selasa, 4 Mac 2025 lalu.

Kira-kira pukul 3 petang saya keluar rumah untuk angkat baju di ampaian. Sambil berjalan menuju ke ampaian, saya memerhati sekitar dan terpandang sesuatu di dalam longkang kecil tepi rumah.

Eh, apa benda tu?
Alamak...ular! Tapi ularnya tak bergerak. Dah mati ke?

Saya masuk rumah semula, bawa keluar telefon untuk rakam foto. Lepas tu saya terus mesej Encik Suami di tempat kerja untuk bantuan segera. Encik Suami segera membalas. Kalau tak ada balasan, barulah saya call terus. 

Hasil foto zoom-in 10x.

Awalnya saya terkejut, kemudian rasa cantik juga warna serta corak ular ni. Lepas tu terus rasa seram, biasanya ular cantik ni jenis berbisa.

Terus saya panggil si anak bulu - Jojo. Panggil beberapa kali masih tak muncul, saya risau kalau tadi Jojo ada 'bermain' dengan ular. Maklumlah, budak ni semua benda di buat main. Dah banyak kali jumpa bangkai tikus, tupai dan burung depan rumah. Syukurlah tak lama kemudian Jojo muncul dan datang menghampiri saya - mengiau dan menggesel kepalanya di kaki saya. Nampak macam baik-baik aje si Jojo.

Tak lama kemudian Encik Suami sampai. Ular yang saya sangka mati, rupa-rupanya masih hidup! Terpaksalah dibunuh demi memastikan keselamatan kami. Si Jojo pula memerhati dari jarak jauh. Biasanya dia sibuk datang dekat pada sesuatu yang bergerak.

Hasil carian internet - ular berwarna hitam, berbelang kuning dan warna putih di bahagian bawah badan ini berkemungkinan adalah jenis ular katam. Sejenis ular berbisa dan patukannya boleh membawa maut. Kalau ada yang tahu ini sebenarnya ular apa, bolehlah nyatakan di ruangan komen ya. 

Untuk rekod, ini merupakan ular ke-5 yang hadir di depan mata saya sejak menetap di sini. Kali terakhir adalah pada bulan Januari lalu (entrinya DI SINI) dan bulan Disember lalu (tiada entri - seekor ular kecil berwarna coklat kategori tidak berbisa berada di dalam kabinet dapur bersebelahan tong beras).


Semoga Allah melindungi kami dari segala kemudaratan dan bahaya makhluk-Nya.







Thursday, 30 January 2025

Catatan 8 Hari 7 Malam | 19 - 26 Januari 2025

Selama 8 hari 7 malam saya bersama Encik Suami ke sana ke sini. Bila dah balik rumah, banyak pulak urusan rumah tangga nak dikerjakan. Masa senggang yang ada saya gunakan untuk betul-betul berehat, sebab itu saya ambil masa lama untuk kembali mencatat di blog.

Ke mana saya selama 8 hari 7 malam yang lalu?
Rumah Perlis ⟶ Hotel di Shah Alam, Selangor (2 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak Mentua di Batu Pahat, Johor (1 malam) ⟶ Rumah Mak di Pontian, Johor (1 malam) ⟶ Rumah NS (1 malam) ⟶ Rumah Perlis.

⏵ AHAD, 19 JANUARI 2025
Selepas menunaikan solat Subuh (sebelum kami bertolak ke Shah Alam), suasana awal pagi di rumah kami jadi sedikit huru-hara dengan kehadiran seekor ular berbisa - ular katam tebu!

Ular katam tebu. Foto hasil carian internet.
Ular berbelang warna hitam putih sedang melingkar di kawasan singki dalam bilik air yang jarang digunakan. Saiznya tidaklah besar dan panjang seperti dalam foto di atas, tapi itulah ular paling panjang pernah masuk ke rumah kami. Menakutkan! Syukurlah bukan saya yang membuka pintu bilik air ketika itu, tetapi Encik Suami. Entah apa reaksi saya kalau jadi orang pertama yang nampak si panjang berbelang ni.

Hasil bantuan jiran, ular katam tebu berjaya dibawa keluar. Alhamdulillah!

Set minum petang di kafe hotel.
Perjalanan dari rumah Perlis ke De Palma Hotel Shah Alam sejauh 497 km mengambil masa kira-kira 6 jam 20 minit. Kami menginap di sini selama dua malam atas urusan kerja Encik Suami.


⏵ SELASA, 21 JANUARI 2025
Kami bermalam di rumah NS pula - waktu siangnya Encik Suami ada urusan kerja di kawasan berhampiran. Waktu malamnya, kami berjalan kaki ke deretan kedai di hadapan kawasan perumahan untuk ke kedai dobi (mesin basuh rumah NS yang rosak masih belum dibaiki) dan makan malam.

Setelah kira-kira 10 tahun usia taman perumahan kami, akhirnya bangunan kedai siap dibina dan mula beroperasi pada tahun lepas.

Kami menyusuri deretan kedai di sini buat kali pertama. Saya perhatikan terdapat beberapa buah kedai runcit, beberapa buah kedai makan, kedai dobi, kedai cuci kereta dan farmasi. Di kawasan tapak parkir pula terdapat gerai tolak menjual burger dan sate. Wah, lengkap semuanya!


⏵ RABU, 22 JANUARI 2025
Awal pagi, kami bertolak balik kampung di Johor - balik rumah Mak saya di Pontian. Beberapa hari sebelumnya, saya sempat membuat tempahan kuih-muih dari seorang jiran - kaswi gedik dan apam mekar.

Bawa balik kuih-muih untuk dimakan bersama ahli keluarga yang ada di rumah Mak. Kebetulan kakak yang menetap di Merlimau, Melaka pun balik kampung.

Pokok pisang hiasan Musa Ornata
Cantik warna jantung pisang ni - pokok pisang hiasan (Musa Ornata) di laman rumah Mak.

Perkembangan kesihatan Mak saya | Mak masih tak mampu bergerak sendiri. Sekarang menggunakan katil hospital boleh laras yang dipinjam dari YB DUN Kukup. Mulai 12 Januari lalu, kami dapat seorang pembantu untuk Mak yang cekap melakukan tugasan. Alhamdulillah!

Disebabkan Mak tak boleh bergerak, kami dapatkan khidmat home visit doctor dari Poliklinik QMS Pontian. Hasil pemeriksaan, menurut doktor - ada kemungkinan saraf yang mengawal otot kaki terhimpit disebabkan masalah Scoliosis. Tiada rawatan khusus dapat dilakukan. Doktor mencadangkan Mak saya menjalani fisioterapi secara berterusan (untuk info - sebelum ini Mak pernah menjalani fisioterapi di Ifix Physio. Entrinya DI SINI).

Upah pembantu Mak - RM1,500 sebulan. Caj home visit doctor - RM325. Caj home visit physiotherapy - RM60 satu sesi. InsyaAllah sesi fisoterapi akan bermula esok - Jumaat, 31 Januari. Saya catatkan secara terperinci di blog sebagai rujukan akan datang.


⏵ KHAMIS, 23 JANUARI 2025
Waktu tengah hari, kami bergerak ke kampung Encik Suami di Batu Pahat

Cantik warna merah menyala cili bulat dilaman rumah mak mentua saya.

Mee Bandung Odeon
Mi bandung Odeon.
Hari Jumaat - kami bersama beberapa ahli keluarga lain makan mi bandung di Mee Bandung Odeon yang terletak di bandar Batu Pahat.

Mee Bandung Odeon merupakan medan selera yang menempatkan deretan gerai jualan. Nama Odeon pula diambil dari nama pawagam yang suatu masa dahulu beroperasi di bangunan sebelah meden selera ini.

Rupa dan rasa mi bandung di sini berbeza dengan mi bandung Muar. Mi bandung Odeon tidak kuat rasa juga aroma udang dan lebih rasa lemak kacang tanah. Sedap menurut cita rasa saya. Cuma tahap kebersihan medan selera dan gerai di sini perlu dipertingkatkan.


⏵ SABTU, 25 JANUARI 2025
Jumaat malam Sabtu, kami kembali bermalam di rumah Mak saya. Hari Sabtu ada majlis perkahwinan dua orang anak saudara saya di Pontian. 

Pada Disember 2024 dan Januari 2025, menyaksikan empat orang anak saudara saya mendirikan rumah tangga. Terasa diri semakin tua bila seorang demi seorang anak saudara berkahwin.

Semoga Allah memberkati rumah tangga anak-anak saudara saya - Izam, Hafiz, Najib dan Fahmi bersama pasangan masing-masing.


⏵ AHAD, 26 JANUARI 2025
Sabtu malam Ahad, kami bermalam di rumah NS.

Pagi Ahad yang sejuk dengan hujan mencurah bumi. Tunggu hujan reda tapi makin bertambah lebat, akhirnya kami bergerak jugalah dalam suasana hujan lebat.

Salomak Sampodeh Nilai
Pukul 9.30 pagi, kami singgah makan sarapan di kedai makan jiran - Salomak Sampodeh di Desa Cempaka, Nilai. Saya suka nasi lemak di sini - cukup lemak rasa nasinya. Kedainya juga bersih.

Perjalanan balik ke rumah Perlis tidak begitu lancar, aliran trafik agak sesak di beberapa tempat dan juga terdapat kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah ketika jam menghampiri pukul 7.30 malam. Kepulangan kami disambut oleh Jojo si kucing jantan - mengiau dan terus menuju depan pintu bersedia untuk masuk rumah πŸ˜„






.

Sunday, 11 August 2024

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Ketiga | Ahad, 19 Mei 2024]

Hari kedua kami berada di Taman Negara Bako, pagi ini kami akan melakukan aktiviti jungle trekking ke Teluk Delima. Sebelum masuk hutan, kami bersarapan di Kafe Kerangas.

8.34 pagi
Di sini tak disediakan nasi lemak (sarapan kegemaran saya), jadinya saya cuma makan telur dadar dan gorengan macam cucur udang. Cukuplah buat alas perut dan pemberi tenaga pagi ini.


Monyet Belanda (Proboscis Monkey)
Sedang kami bersarapan, seorang lelaki (melihat kepada pakaiannya, mungkin renjer taman negara) datang menghampiri kami dan memaklumkan kehadiran seekor monyet belanda di kawasan berhampiran kafe. Menurutnya lagi, kami boleh tinggalkan sekejap makanan dan barang di kafe untuk pergi melihat monyet belanda.

Kami menurut saranannya - tinggalkan makanan dan barang, terus menuju ke suatu arah. Dari jauh kelihatan beberapa orang pengunjung mat salih sedang berkumpul di bawah sebatang pokok sambil memerhati ke atas.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Nun di atas sana kelihatan seekor monyet belanda sedang mencari makan. Kami semua memerhati dalam keadaan senyap supaya monyet belanda tak merasa terganggu dengan kehadiran manusia. Masing-masing tak melepaskan peluang untuk merakam foto dan video gelagat monyet yang memiliki hidung besar dan mancung ini.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Panjang sungguh ekornya.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Monyet belanda mempunyai perut besar.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Pemakanan monyet belanda - tumbuh-tumbuhan seperti pucuk daun muda.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Perhatikan mata dan hidungnya.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Monyet belanda merupakan spesis endemik di Kepulauan Borneo - hanya ditemui di Borneo dan tidak ditemui di tempat lain. 

Nama tempatan : Monyet belanda, monyet probosis, monyet bangkatan
Nama inggeris : Proboscis monkey, long-nosed monkey
Nama saintifik : Nasalis larvatus


Video berdurasi 0:35 minit.

Alhamdulillah kami berpeluang melihat sendiri rupa monyet belanda. Rasa macam tak lengkap kunjungan ke sini kalau tak dapat melihat dengan jelas monyet yang unik ini. 

Selepas itu kami kembali ke ruangan kafe untuk sambung makan sarapan. Sebaik kami tiba, sekumpulan monyet yang agak agresif berada di luar bangunan. Pekerja kafe bergegas menutup pintu kaca di bahagian hadapan dan sisi kafe. Kalau tak tutup, habislah makanan dalam kafe diambil monyet. Kami juga ada pengalaman buruk dengan kumpulan monyet agresif, nanti saya ceritakan dalam catatan akhir trip ke Taman Negara Bako ini.



Bersambung catatan seterusnya - eksplorasi hutan di laluan Teluk Delima.






.

Thursday, 8 August 2024

Aktiviti Memerhati Hidupan Liar Pada Waktu Malam

Sambungan catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching. Entri sebelum ini - Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching.


Aktiviti kami pada waktu malam di Taman Negara Bako - berjalan malam (night walk). Tak perlu buat tempahan awal, peserta hanya perlu hadirkan diri di kaunter pendaftaran pada pukul 7.45 malam. Tulis butiran diri di buku pendaftaran aktiviti night walk dan buat bayaran sebanyak RM15 seorang.

7.38 malam
Sebelum menyertai aktiviti night walk, saya makan malam di Kafe Kerangas. Encik Suami masih kenyang sebab petang tadi dah makan mi goreng yang dibeli sewaktu sarapan pagi di Satok. Saya pulak sebenarnya tak ada selera nak makan - mungkin sebab keletihan, tapi terpaksa makan juga sebab perut rasa lapar. Hidangan makan malam disediakan secara bufet, bayar apa yang diambil sahaja. Satu senduk mi goreng (dalam foto) berharga RM3. Bagi menambah selera, saya order telur mata.


Aktiviti Berjalan Malam (Night Walk)
Aktiviti ini bertujuan memerhati hidupan liar pada waktu malam. Sebelum aktiviti bermula, semua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat berkenaan keselamatan dan pengenalan haiwan yang ada di sekitar taman negara.

Ada lebih kurang 25 orang peserta termasuk saya dan Encik Suami. Semuanya warga asing, kecuali kami orang Malaysia. Berdebar jugalah sebab dah sekian lama tak pernah ikut night walk dan sekumpulan dengan orang asing pula. Tapi sebab masih di bumi Malaysia dan guide orang tempatan, tidaklah rasa terasing sangat.

Night walk Taman Negara Bako
Aktiviti bermula kira-kira pukul 8.05 malam. Kami dibahagi kepada tiga kumpulan, setiap kumpulan ada seorang guide. Masing-masing bawa lampu suluh sendiri dan juga peralatan lain seperti binokular dan kamera.

Untuk trip ke taman negara ni saya bawa dua jenis lampu - headlamp dan lampu suluh mini (saiz besar jari). Lampu suluh Encik Suami dah dicuri (baca kisahnya DI SINI), jadinya saya beri guna headlamp saya. Saya pula gunakan lampu suluh mini, lebih mudah nak on/off sebab saya juga pegang handphone untuk merakam foto.

Berikut merupakan foto-foto hidupan liar yang kami temui. Ada yang tak berjaya dirakam kerana kedudukan terlalu tinggi atau hasilnya kabur. Sila klik pada foto untuk paparan lebih jelas ya.

Night walk Taman Negara Bako
Ular kapak (pit viper). Foto waktu siang boleh lihat DI SINI.

Night walk Taman Negara Bako
Kubung (flying lemur). Saiz lebih kecil berbanding yang kami temui siang tadi.

Night walk Taman Negara Bako
Kalau tak silap, ini ular lidi. Tak berbisa tapi tetap rasa seram bila terjumpa.

Night walk Taman Negara Bako
Tinggi biawak ni memanjat πŸ˜„

Night walk Taman Negara Bako
Entah apa nama. Besar jugak saiznya.

Night walk Taman Negara Bako
Pepatung.

Night walk Taman Negara Bako
Katak kecil.

Night walk Taman Negara Bako
Rupa macam ketam kecil.

Night walk Taman Negara Bako
Labah-labah cantik warna hitam kuning.

Night walk Taman Negara Bako
Tiba di suatu kawasan berair. Terdapat aliran mini air terjun dari celahan batu besar. Ada banyak ikan keli, ikan kecil (entah spesis apa) dan kura-kura. 

Night walk Taman Negara Bako
Belalang ranting.

Night walk Taman Negara Bako
Unik rupa serangga ni, berbintik putih dan ada banyak ‘kaki’.

Night walk Taman Negara Bako
Penemuan paling rare - burung hantu! Menurut guide, agak susah nak jumpa burung hantu pada kedudukan rendah begini.

Night walk Taman Negara Bako
Sejenis lagi serangga yang tak pernah saya temui. Entah apa namanya. Guide memang ada beritahu nama, tapi kadang tak berapa dengar kalau berada pada kedudukan belakang kumpulan.


Alhamdulillah selesai aktiviti memerhati hidupan liar yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Tak terasa lama dan saya begitu seronok dapat ikut serta aktiviti begini.

Ikut aktiviti begini juga mengajar saya satu hal - saling membantu dan bertolak ansur walau tak saling mengenali. Kalau ada bahaya seperti lubang, orang depan saya akan suluh pada lubang tersebut dan pandang saya (maksudnya suruh hati-hati lubang). Setiap kali jumpa hidupan liar, masing-masing bergilir memerhati dan merakam foto. Juga ada yang tolong suluhkan dan kadang ada juga yang rajin tolong sampaikan maklumat berkenaan hidupan tersebut dari guide di hadapan.


Berborak Dengan Penghuni Bilik Sebelah
Penghuni bilik sebelah kami, iaitu dua orang perempuan warga United Kingdom (UK) ikut sama dalam aktiviti night walk tadi. Sebaik kami tiba di penginapan, mereka berdua pun baru tiba dan duduk berehat di bangku beranda.

Kami sama-sama berehat di luar sambil berborak. Rupa-rupanya mereka berdua merupakan anak dan emak. Si anak bekerja di Singapura, emaknya datang dari UK bercuti tiga bulan untuk melawat anak sambil berjalan-jalan di Sabah dan Sarawak. Emaknya pertama kali berkunjung ke Malaysia dan kagum dengan keindahan bumi Borneo.

Saya juga ditanya, datang sini sebab minat alam semula jadi atau saja jalan-jalan? Kalau tak kerana minat, mana mungkin saya sanggup bermalam di kawasan taman negara 😁

Sebelum beredar masuk bilik masing-masing, si anak sempat ucap ‘selamat malam’. Tersenyum lebar saya mendengar orang putih cakap Melayu.


Rekod steps saya pada hari ini, paling tinggi sepanjang trip di Kuching. Terima kasih Allah yang memberi kudrat dan kesempatan buat kami πŸ’™

Aktiviti eksplorasi hutan masih belum tamat, esok paginya kami jungle trekking ke Teluk Delima pula. InsyaAllah bersambung pada catatan seterusnya.