Friday 30 April 2021

Ramadan Yang Berbeza


Rembulan 14 Ramadan 1442, pukul 5.12 pagi.
“Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirehat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk dijadikan perhitungan waktu. Itulah ketentuan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” [Surah Al-An’am, ayat 96]

——————————————————

Ramadan kali ini terasa berbeza bagi saya. Kadang-kala terasa sedikit sayu. Kali pertama melalui Ramadan di utara tanah air, jauh meninggalkan rumah sendiri di Negeri Sembilan. Jauh dari jiran-jiran yang dah lama kenal mesra, jauh dari keluarga dan semakin jauh dari kampung di Johor.

Jauh dari suasana kejiranan yang mesra - meriah menulis senarai nama di grup WhatsApp untuk membeli juadah berbuka atau persediaan hidangan hari raya, menerima sedekah berbuka dari jiran yang tak mahu diketahui (dihantar oleh penghantar makanan) dan saling memberi juadah berbuka dengan jiran berdekatan. Alhamdulillah...kejiranan yang menyenangkan itu satu nikmat dari Allah.

Jauh dari keluarga - di rumah NS saya ada seorang adik yang tinggal berdekatan dan seorang kakak yang juga tinggal tak terlalu jauh dari rumah saya. Teringat kakak saya yang rajin menghidupkan budaya ‘munjung’. Di hujung Ramadan rajin dia masak-masak dan menghantar ke rumah kami adik-adiknya. Tapi itu semua sebelum wabak melanda. Tahun lepas semuanya berubah, dah tak boleh merentas daerah/negeri. Mujur saya dan adik berada di kawasan sama, masih boleh bertemu pada 1 Syawal.

Biasanya setiap kali Ramadan, kami suami isteri akan balik kampung kami di Johor untuk berbuka serta solat tarawih bersama mak kami. Dapat 1 malam di kampung saya dan 1 malam di kampung suami, jadiklah. Nampaknya sejak tahun lepas, semua itu tinggal kenangan disebabkan wabak. Tambahan lagi sekarang kami dah makin jauh ke utara, kalau pun tiada wabak memang agak susah jugak nak atur masa untuk balik berbuka dan tarawih bersama.

Ramadan yang berbeza. Membuat saya lebih insaf bahawa masa yang berlalu tak akan berulang, maka gunakanlah setiap detik dengan sebaiknya. Buat sebanyak mungkin perkara baik dan cipta sebanyak mungkin memori indah bersama keluarga dan orang sekeliling kita.

Apa pun, saya bersyukur kepada Allah yang masih memberi peluang sehingga detik ini 18 Ramadan 1442 untuk bernafas dan menikmati hidup. Semoga saya dan kita semua berpeluang lakukan sebanyak mungkin perkara baik dan mencipta sebanyak mungkin memori indah.

Bagaimana dengan Ramadan sahabat semua? Mesti ada cerita tersendiri jugak kan.



Tuesday 27 April 2021

Secangkir Teh Pengubat Letih


Judul : SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2020
Jumlah muka surat : 337
Harga : RM30

Naskhah Secangkir Teh Pengubat Letih yang saya miliki ini adalah edisi terbitan semula oleh Jejak Tarbiah. Ia merupakan buku kedua dalam siri travelog tarbiah, sebelumnya saya dah membaca catatan kembara penulis di Jordan dalam buku Rindu Bau Pohon Tin.

Kandungan buku.
Secangkir Teh Pengubat Letih adalah naskhah catatan pengembaraan penulis di Turki sekitar tahun 90-an yang telah lebih 20 kali berulang dan bermastautin di sana. Naskhah ini bukan saja membawa pembaca ke merata tempat di Turki, malah turut sama menyelami pelbagai isu yang berlaku di Turki dan menyoroti sejarah Khilafah Othmaniyyah. Semuanya membuat perasaan saya bercampur baur sewaktu membacanya - ada gembira, kesal, sedih, marah dan terbit rasa insaf. 

Kisah bermulanya persahabatan penulis dan Fatih.
Apa yang menarik bagi saya ialah kisah indah persahabatan penulis dengan Fatih, dari zaman belajar (bujang) sehinggalah masing-masing berumahtangga. Bak kata penulis, ‘Jika hati bersedia untuk bersahabat, tanpa bahasa sekalipun, kemesraan boleh berlaku’. Persahabatan yang berlandaskan persaudaraan sesama Islam.


Antara petikan kata-kata menarik daripada buku ini :

1. Kembara itu tidak terikat kepada idea merentas sempadan negara. Mengembara itu ialah perjalanan seorang manusia yang keluar dari zon selesa kepada zon cabaran, keluar daripada kebiasaan kepada dunia baru, keluar daripada rutin seharian kepada mencari mutiara hikmah daripada sebuah kehidupan, dan semua itu sangat sinonim dengan penuntut ilmu zaman berzaman. (halaman iii)

2. “Carilah satu dunia asing...untuk kamu keluar daripada diri kamu yang sudah rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah; sama ada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah...”. (halaman 12)

3. ...Turki ialah medan tempur antara Barat dan Timur, antara Islam dan jahiliah, antara sekularisme dan ajaran Nabi SAW, antara tudung dan parlimen, antara segala-galanya. (halaman 23)

4. Sama ada kita mengambil tahu tentang politik atau tidak, kehidupan kita banyak terkesan oleh keputusan-keputusan politik. Oleh itu, sama ada kita memilih untuk menjadi mangsa politik, atau belajar untuk faham tentang politik. (halaman 150)

5. Maka orang yang mengaitkan setiap kesenangan dan kesusahan hidup dengan Allah, akan mendapat mesej Allah daripada kejadian itu. Dapat baik, dekat dengan Allah dengan syukur. Dapat musibah, dekat kepada Allah dengan istighfar dan tawakal. (halaman 264)

6. Keghairahan terhadap pengetahuan, dan kemahuan yang tinggi untuk mencari jawapan tentang sesuatu perkara hingga ke akar umbi, semakin pudar daripada ummah yang pernah hebat dan bijak pandai ini. Masing-masing cepat berpuas hati dengan khabar angin, hearsay yang tiada nilai pengetahuan. Semuanya superficial. (halaman 288)

7. Tatkala tudung semakin menjadi kebiasaan tanpa makna di Malaysia, ia terus menjadi simbol pilihan antara IMAN dan IMPIAN di Turki. (halaman 302)

8. “Kalau mahu kenal manusia secara individu, kita belajar psikologi. Kalau mahu kenal manusia secara berkelompok, kita baca sejarah.” (halaman 317)

Biarpun naskhah ini ditulis sekitar lebih 20 tahun lalu, namun isinya masih sesuai dan memberi manfaat kepada pembaca. Bacaan yang baik untuk semua terutamanya golongan pelajar.


Güneşte yanmayan gölgenin kıymetini bilmez
Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari,
mustahil menghargai rimbun berteduh.



Sunday 25 April 2021

Bubur Jagung ADABI Lemak Berkrim

Antara menu untuk berbuka puasa tahun ni, saya buat bubur jagung menggunakan jagung dalam tin. Memang mudah sangat membuatnya! 

Saya gunakan 2 jenis jagung dalam tin jenama ADABI - jagung manis ala krim (sweet corn cream style) dan kernel jagung manis. Jagung manis ala krim tu pemberian daripada ADABI (kisahnya DI SINI). Dah ada kan, saya gunalah untuk buat bubur jagung. Kemudian tambah juga kernel jagung manis supaya bila kita makan bubur jagung tu terasa la mengunyah biji jagungnya.

Isi dalam tin jagung manis ala krim dan kernel jagung manis.

—————————————————

RESEPI BUBUR JAGUNG ADABI LEMAK BERKRIM

Bahan :
1 tin jagung manis ala krim ADABI
1 tin kernal jagung manis ADABI
1 kotak santan
1/2 potongan gula melaka bulat - dihiris
1 sudu besar gula pasir
1 helai daun pandan - disimpul
Secubit garam

Cara :
1. Masukkan semua bahan (kecuali garam) ke dalam periuk. Kacau dan didihkan dengan api perlahan.
2. Perasakan garam sebelum matikan api. Siap.


Bubur jagung yang lemak berkrim, cepat dan mudah dimasak.
Inilah cara paling mudah dan ringkas memasak bubur jagung. Masak satu lagi menu utama - jenis mee, cukuplah hidangan berbuka untuk saya dan suami. Bubur jagung banyak ni pun tak habis sekali makan, bawa ke hari esok pulak. 



Thursday 22 April 2021

‘Ruang Muslimah Disediakan’

Semalam saya ke Permatang Pauh, ya...sekali lagi ada temujanji dengan doktor gigi. Sepatutnya nak cabut gigi geraham yang bermasalah. Tapi saya rasa gigi tu semakin membaik, tak sakit. Lepas doktor buat pemeriksaan, katanya tak perlu cabut. Alhamdulillah...selamat sebatang gigiku!

Disebabkan tak jadi cabut gigi, saya cadang nak gunting rambut. Saya menuju ke satu kedai gunting rambut tertera ‘Sakinah Hair Salon’ (bukan nama kedai sebenar). Tengok nama, saya yakin ni untuk muslimah. Tapi pelik sikit bila ada dinyatakan ‘ruang muslimah disediakan’.

Dari luar kedai memang tak boleh nampak dalam, bercermin gelap. Saya pun tolak cermin pintu untuk masuk ke dalam kedai. Terkejut saya bila lihat seorang pelanggan lelaki sedang digunting rambutnya oleh tukang gunting perempuan bertudung!

Langkah saya terhenti. Tak jadi masuk. Berundur dan balik ke kereta. Saya tak mau sokong perniagaan begini. Kalau kedai gunting bukan Muslim, itu saya tak ambil kisah. Mereka hidup tak terikat dengan hukum Islam. Yang salah ialah lelaki Muslim yang datang. Yang ni, jelas kedai gunting perempuan Muslim tapi masih menawarkan servis untuk lelaki. Barulah saya faham kenapa tertera ‘ruang muslimah disediakan’ sebab kedai gunting rambut ni bukan untuk perempuan je.

Sedih. Masih ada Muslim yang tak faham larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan secara bebas dan tanpa keperluan mendesak. Semoga Allah memberi saya dan dia hidayah.


Lepas tak jadi gunting rambut, pergi beli barang dapur. Nampak kuih karipap sejuk beku dengan inti istimewa ni - black pepper dan bolognese. Saya beli kedua-dua jenis untuk merasa.

 

Monday 19 April 2021

Mangga Harumanis Perlis

Beberapa hari lalu suami saya ada urusan di Perlis, baliknya membawa sekotak buah mangga Harumanis. Sebelum tu suami dah hubungi adiknya yang menetap di sana berkenaan stok Harumanis. Alhamdulillah dapatlah Harumanis secara terus dari ladang kepunyaan kawan adik.

[info] Buah mangga Harumanis atau nama saintifiknya ‘Mangifera indica Linn’ adalah sejenis buah bermusim yang sangat sinonim dengan Perlis. Musim buah Harumanis adalah sekitar bulan April hingga Jun. Faktor yang menyebabkan Harumanis sesuai ditanam di Perlis kerana kesuburan tanahnya dan faktor cuaca panas yang sangat baik bagi proses pertumbuhan serta penghasilan buah berkualiti.

Satu kotak begini diisi dengan 3 kg buah mangga Harumanis. Harga dari ladang untuk 3 kg ni RM75. Jadinya RM25/kg. Tapi suami tak keluar duit pun, adiknya nak belanja. Hehe. Alhamdulillah...moga murah rezeki adik belanja kami makan mangga istimewa ni.

Untuk 3 kg ni kami dapat 8 biji buah mangga Harumanis. Dalam gambar ni ada 6 biji je, lagi 2 biji tak sempat join bergambar dah makan masa bersahur.

Rupa buah mangga Harumanis Perlis. Ciri-ciri Harumanis - bahagian bawahnya lekuk berbanding buah mangga lain yang berbentuk bujur. Harumanis yang dah masak berwarna kekuningan dan berbau harum.

Sesuai dengan namanya - Harumanis, buah mangga jenis ni berbau harum dan rasanya lemak manis. Isinya tak berair, tebal dan berserat halus.

Saya tengok di Facebook dah ramai penjual letak iklan menjual Harumanis ni secara pos. Harga pelbagai. Kalau nak membeli, carilah penjual yang boleh dipercayai dan menawarkan harga yang bersesuaian ya. 


Thursday 15 April 2021

Tetamu Tuhan 50 Hari

 
Judul : TETAMU TUHAN 50 HARI
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Hilal Asyraf Resources
Tahun terbit : 2019 (cetakan keempat, 2021)
Jumlah muka surat : 402
Harga : RM30

Sebelum ini saya hanya ‘mengenali’ penulis menerusi novel bersiri Hikayat Satria-Satria Sejati - novel berlatarkan fantasi dan aksi. Memang menarik! Kali ini saya dapatkan pula novel beliau yang berjudul Tetamu Tuhan 50 Hari. Baca judul dan tengok kulit buku pun kita dah boleh agak ni novel berkenaan apa. Tapi lepas saya membacanya, ternyata isi novel ni bukan sekadar penceritaan biasa. Banyak ilmu, pengajaran dan pencerahan yang saya dapat.

Beli semasa sesi jualan khas di Shopee - ‘hilalasyrafresources’, dapat diskaun hebat dan dapat tanda tangan penulis. Pos percuma. Pembelian yang berbaloi!
Novel ini membawa kisah seorang lelaki bernama Wasim yang mendapat jemputan dari Allah untuk menjadi tetamu-Nya (panggilan menunaikan haji). Dengan keadaan dirinya yang anti-sosial, ketagihan rokok dan tidak menjaga solat, Wasim merasa tidak layak menjadi tetamu Tuhan.

Pelbagai konflik berlaku sepanjang Wasim menjadi tetamu Tuhan. Namun Allah hadirkan seorang sahabat bernama Hilman yang sentiasa membimbing dan menasihati Wasim. Tanpa mengetahui yang sebenarnya Hilman juga sedang bergelut dengan masalah sendiri. Dengan membantu Wasim, Hilman sedang membantu dirinya sendiri.

Bagaimanakah kesudahan kisah Wasim dan apa masalah sebenar Hilman? Kenalah baca novel ni ya.


Antara poin menarik buku ini :
1. Pemacu perubahan seseorang ialah ‘biah solehah’ yang bermaksud suasana yang baik. Apabila seseorang itu berada dalam suasana yang baik, Insya Allah dia akan terpengaruh dan cenderung untuk melakukan hal-hal kebaikan.

2. Tanah Suci memang tempat suci, tetapi ia bukan tempat magis dan tidak menyucikan sesiapa. Sesiapa yang memanfaatkan peluang berada di Tanah Suci ke arah kebaikan, dapatlah ia kebaikan. Sesiapa yang melakukan hal-hal yang merosakkan diri, dapatlah dia kerosakan.

3. Batu yang tidak bergerak akan diselaputi lumut bermaksud seseorang yang tidak berbuat apa-apa, akan mendapat banyak masalah. Masa yang diisi dengan sesuatu, ia akan hilang dan tidak akan kembali. Isi masa dengan kebaikan, maka keburukan tidak akan dapat mengisi masa kita.

4. Tujuan penciptaan manusia ialah untuk mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Islam telah menggariskan wawasan akhirat untuk penganutnya - wawasan hidup kita manusia ialah mahu pulang kepada Allah dalam keadaan berjaya. Maksud berjaya ialah memanfaatkan kehidupan dengan kebaikan, ketaatan dan menjauhi perkara yang merosakkan.

5. Solat fardhu 5 waktu sehari merupakan antara siri ibadah yang melatih disiplin bagi manusia mencapai wawasan tersebut. Membina disiplin diri untuk menepati masa, mengatur kehidupan dengan baik, dan tidak memutuskan hubungan dengan Allah walaupun dalam kesibukan seharian.

6. Tujuan utama pensyariatan ibadah haji ialah untuk menguji keimanan. Kepercayaan kita bahawa Allah itu wujud dan arahan-Nya wajib kita patuhi. Maka kita melaksanakan ibadah haji sebagai bukti kita percaya kepada Allah. Tanpa keimanan, ibadah haji tidak lebih sekadar ‘ibadah batu’ - Kaabah terbina daripada batu, Hajarul Aswad itu batu, Safa dan Marwah juga merupakan bukit batu, wukuf di Arafah dikelilingi batu, bermalam di Muzdalifah juga penuh dengan batu, ketiga-tiga jamrah di Mina itu pun batu dan melontarnya juga dengan batu.

7. Raudhah memang tempat yang istimewa, tetapi beribadah di dalamnya hanyalah sunat. Sebagaimana mencium Hajarul Aswad hanyalah sunat. Jangan utamakan emosi dan sentimen, sehingga mengabaikan keselamatan diri dan orang lain semata-mata untuk pahala peribadi. Juga sikap mementingkan diri dengan memanjang-manjangkan solat dan sujud, sedangkan ramai jemaah lain berhajat untuk beribadah di ruang tersebut.

8. Haji mabrur atau tidak, ialah urusan dan rahsia Allah. Yang dikehendaki ialah implementasi pengajaran ibadah dan kembara haji di dalam kehidupan masing-masing. Persoalan utama, apakah kita berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik daripada sebelum menunaikan ibadah haji?


Antara petikan menarik buku ini :
1. “Dengan rasa takut, kita berpeluang menjadi berani. Dengan rasa risau, kita berpeluang untuk berharap. Banyak-banyakkan beristighfar, minta kekuatan daripada Allah SWT, dan usahakan yang terbaik untuk terus sabar dan cekal.” (halaman 205)

2. “Hidup ialah ujian. Kita semua teruji. Ujian tidak bermakna Allah SWT benci. Tetapi ujian boleh jadi sebagai cabaran untuk kita meningkatkan diri.” (halaman 375)


Sungguh, saya rasa sangat puas hati membaca novel Tetamu Tuhan 50 Hari ni. Bacaan santai yang penuh ilmu, pengajaran dan pencerahan terhadap beberapa persoalan yang bermain di minda saya. Membaca novel ini juga ibarat membaca travelog pergi haji. Kita akan mengikuti perjalanan ibadah haji, gambaran suasana yang diceritakan dengan terperinci dan konflik diri (yang mungkin kita juga bakal hadapi semasa di sana). Ia melonjakkan keinginan saya untuk menjadi tetamu di Tanah Suci dan berazam untuk melakukan yang terbaik. 

Tetamu Tuhan 50 Hari - sebuah novel travelog jiwa.


Monday 12 April 2021

ڤواسا

 



Selamat menyambut bulan Ramadhan kepada semua sahabat blogger.

Jom buat perancangan pengisian Ramadhan - senaraikan apa dan bila nak buat, juga buat senarai semak. Semoga pengisian Ramadhan kita semua kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.



Sunday 11 April 2021

Rantan Istimewa

Khabar gembira pada 1 April lalu...

Alhamdulillah saya tersenarai dalam ‘Top 10 Ejen Buku JT’ untuk jualan bulan Mac 2021. Walaupun menjadi ‘Top Ejen’ bukanlah matlamat saya menjual buku, tapi bila ada insentif begini sedikit sebanyak menaikkan semangat menjual. Komisyen dapat, hadiah pun dapat! Hehe...

Hadiah untuk no. 6 - 10, dapat mangkuk tingkat istimewa bertulis nama begini. Hadiah ni saya terima beberapa hari yang lalu. Memang rasa sangat seronok! Cantik.

Hadiah ini menjadi lebih istimewa sebab diterima menjelang Ramadhan dan Syawal. Ia menggamit nostalgia pada suatu masa dulu, keluarga saya menggunakan mangkuk tingkat (kami orang Jawa panggil RANTAN) untuk beri juadah raya kepada nenek dan makcik-makcik. 

———————————————

mangkuk tingkat
Definisi : mangkuk drpd aluminium dll yg bertingkat-tingkat (utk bekas kuih, lauk-pauk, nasi, dll), rantang, mangkuk tepen, siya. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Bila semak di laman PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu), rupanya perkataan tepen pun diterima sebagai bahasa Melayu. Rantang tu pulak, sesetengah orang Jawa panggil begitu. Siya tu saya baru tau yang orang belah utara panggil mangkuk siya. Tempat korang panggil apa? Kot ada yang berbeza.



Saturday 10 April 2021

Seketika di Bandar Tapak Warisan Dunia George Town

SABTU | 03.04.2021

Hampir setahun berpindah ke PP, baru kali ini saya dan suami berkesempatan menjejakkan kaki ke George Town. Kalau buat carian internet, kita akan dapati banyak tempat-tempat menarik untuk dikunjungi di George Town ni. 

Selain ia merupakan ibu negeri Pulau Pinang, George Town bersama dengan bandar Melaka juga telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan oleh UNESCO pada 7 Julai 2008.

Walaupun banyak tempat menarik di sini, tapi saya dan suami ambil keputusan untuk melihat-lihat bandar ini dengan cara berjalan kaki tanpa ada arah tujuan tertentu. Kami parkir kereta dan buat bayaran untuk 2 jam melalui aplikasi Penang Smart Parking. Mudah sungguh ada aplikasi begini, bayar dihujung jari dan kita boleh tambah bayaran jika tak cukup 2 jam tu. Caj untuk parkir di sini adalah sebanyak 80 sen / jam.

Jom layan gambar-gambar pilihan sepanjang kami berjalan-jalan di George Town...

1. Mula-mula sekali kami makan di Kedai Kopi Kassim (gerai tepi jalan) yang terletak di Lorong Pasar. Gerai ni terletak bersebelahan dengan gerai Nasi Kandar Imigresen. Dua keping roti canai telur dan dua cawan minuman panas dengan harga RM6 lebih. Lembut sedap roti canai tu.

2. Kedai buku Gerak Budaya, Jalan Masjid Kapitan Keling. Menjual buku baru, nadir (rare) dan terpakai. Kedai buku yang menarik. Buku-buku yang dijual juga menarik. Kebanyakkan buku di sini berbahasa inggeris, sesuailah dengan kedudukannya di lokasi tumpuan pelancong asing. Kedai buku Gerak Budaya ini dibuka dari pukul 11 pagi - 8 malam.

3. Kami kemudiannya memasuki lorong di belakang kedai buku tadi. Bersih.

4. Jalan Pintal Tali. Di George Town ni memang saya jumpa banyak tokong. Masjid Pintal Tali tu saya tak jumpa pulak, mungkin memang tak lalu.

5. Lebuh Campbell. Terasa seperti berada di zaman kolonial.

6. Berada di satu lokasi yang agak sibuk. Ada MYDIN dan rumah ibadah ‘Sri Kunj Bihari Temple’. Tapi yang lebih menarik perhatian saya adalah berkenaan nasib penarik beca ni.

7. ‘LinkBike’ - ambil basikal di sini dan boleh pulangkan di mana-mana 25 stesen ‘LinkBike’. Menarik!

8. Antara laluan kami. Eksplorasi kami cukup sampai di sini dan kami berpatah balik menuju ke parkir kereta dengan panduan Google Maps. Berkenaan laluan kaki lima begini, bukan semuanya bersih. Ada juga laluan kaki lima yang menjadi tempat gelandangan. Berbau tidak menyenangkan. Masalah biasa di kawasan bandar.

9. Menarik pulak tengok awan tu.

10. Grand Swiss Hotel, Lebuh Chulia. Bolehlah bergambar bersama Mr Bean dan lain-lain tu di sini.

11. Lorong Seck Chuan. Kalau berdiri dekat-dekat boleh baca penerangan di dinding tu.

12. Beca lagi. Hampir serupa seperti di bandar Melaka, ada banyak beca. Cuma beca di sini tidak sarat dengan hiasan.

13. Anjuman Himayatul Islam. Satu-satunya rumah ibadat orang Islam yang kami temui.

Walaupun terasa sedikit penat berjalan kaki (rekod menunjukkan lebih 5,000 langkah), tapi saya rasa puas hati dapat melihat-lihat lebih dekat apa yang ada di sini. Kami juga melalui lorong rumah-rumah penduduk di sini yang kelihatan unik di mata saya. Tapi saya tidaklah mengambil sebarang gambar sebagai menghormati privasi tuan rumah. Jumpa juga Restoran Hameediyah yang terkenal tu. Teringin nak mencuba makanan di situ, tapi kami batalkan hasrat bila tengok punyalah panjang orang beratur di luar kedai.

Ok, sekian saja catatan jalan-jalan saya dan suami di George Town pada hari Sabtu lalu. Insya Allah lain kali akan pilih untuk ke lokasi tertentu pulak.


Monday 5 April 2021

Tuaian Pertama Bayam Merah

Semasa di rumah NS dulu pernah la saya tanam bayam hijau, tapi hasilnya tak berapa menjadi. Kali ni di rumah PP, saya cuba menanam bayam merah pulak. Saya tanam guna pasu self watering yang dibawa dari rumah NS.

Biasanya orang akan semai biji benih dulu, lepas tu alih ke bekas tanaman yang lebih besar. Tapi disebabkan saya tak berapa rajin, saya terus je tabur sedikit biji benih secara berjarak. Kemudian tutup dengan medium tanaman. Saya guna medium tanaman cocopeat (sabut kelapa halus). Pasu tu saya letak di tempat yang terlindung dari cahaya matahari untuk pertumbuhan anak pokok.

Saya tanam biji benih bayam pada 25.01.2021, selepas 3 hari anak pokok bayam muncul dengan dua helai daun (lihat gambar atas kiri). Selepas beberapa hari, saya mula letak di tempat yang kena cahaya matahari. Tapi entah apa silapnya, anak pokok bayam macam terbantut tak mau membesar. Walaupun beberapa hari sekali saya tambah air dan sesekali campurkan baja. Mungkin masa tu cuaca terlampau panas dan tak sesuai letak situ.

Alhamdulillah satu hari tu saya tengok anak pokok bayam ada perubahan, membesar. Sejak tu memang setiap hari saya membelek pokok bayam ni. Seronok tengok perubahan setiap hari. Ada juga yang saya cabut dan alih ke tempat lain sebab rapat sangat, kena kurangkan persaingan. Tapi yang dialih mati pulak.

30.03.2021 - pokok bayam dah membesar. Senang hati tengok dan sayang nak tuai...hehe. Ikut kat peket biji benih tu kata, sekitar 50 hari tanam dah boleh tuai. Saya tanam ni dah lebih 60 hari. Tak kisahlah lambat membesar pun, syukur juga dapat merasa. Satu lagi pasu gini saya tanam sawi, tapi tak menjadik pun...haha.

Tapi kena tuai jugaklah kan. Saya tuai cara kerat batang pokok bayam. Dengan harapan nanti tumbuh lagi. Bab cara potong ni saya belajar dari grup Kebun Bandar di Facebook. Katanya jangan potong bawah sangat, agak-agak beberapa inci dari medium tanaman.

Inilah hasil tuaian pertama bayam merah saya. Alhamdulillah...seronok rasa menuai tanaman sendiri. Walaupun tak banyak, tapi cukuplah untuk dua orang ahli rumah ni.


BENING BAYAM MERAH
Dari balkoni, terus bawa ke dapur untuk dimasak. Sayur bayam ni saya buat masak bening je. Saya memang suka makan sayur bayam hijau atau merah dimasak begini.


Cara saya masak bening bayam :

-Siang sayur bayam dengan mengasingkan daun dan batangnya.
-Hiris bawang putih dan bawang merah.
-Bilis.

✔️Didihkan air dalam periuk ikut anggaran yang kita mahu.
✔️Dah mendidih, masukkan bawang putih, bawang merah, bilis dan bahagian batang bayam.
✔️Biar mendidih sekejap, kemudian masukkan daun bayam.
✔️Gaul dan perasakan dengan garam. Masak sekejap lagi dan bolehlah matikan api.

Masakan yang sangat ringkas dan sihat.
Semoga ada rezeki saya lagi makan bayam tuai sendiri.


Thursday 1 April 2021

Surat-Surat Dari Maninjau


Judul : SURAT-SURAT DARI MANINJAU
Penulis : Hafizul Faiz
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2018 (cetakan pertama edisi kemaskini)
Jumlah muka surat : 178
Harga : RM25

Surat-surat Dari Maninjau merupakan sebuah novel yang ditulis dalam bentuk surat-surat yang diutus oleh Qhuzeil kepada Asyfa dan Natrah. Asyfa, gadis pencinta sejarah yang telah menambat cinta Qhuzeil. Manakala Natrah, juga gadis pencinta sejarah yang ditemuinya sewaktu berada di Padang, Indonesia.


Surat-surat yang diutus Qhuzeil bukanlah surat biasa. Tetapi surat yang sarat dengan fakta sejarah dan perasaan. Saya kagum dengan penulis kerana mampu menghasilkan novel begini. Pembaca dibentangkan dengan bahan ilmiah dan dalam masa sama terbuai dengan susunan kata-kata indah Qhuzeil dalam menggambarkan rasa hatinya.

Bagi diri saya, ada sedikit kesukaran untuk menghadam fakta sejarah dalam bentuk sebegini. Maka, seringkali saya perlu membaca berulang kali satu-satu ayat bagi memahami kisah Qhuzeil dan menghadam fakta sejarah.

Sewaktu membaca naskhah ini juga, saya menyedari yang selama ini saya cuma berminat dengan sejarah dan bukanlah pencinta sejarah. Ada beza di situ. Seorang pencinta sejarah akan terus-terusan mengkaji sejarah dari pelbagai sumber, seperti yang dilakukan oleh Qhuzeil, Asyfa dan Natrah. Mereka orang-orang yang ghairah terhadap ilmu sejarah. Saya kagum dengan ketiga-tiga watak ini.


Seperti yang saya nyatakan tadi, novel ini menggunakan susunan kata-kata yang indah. Bahasa sastera. Banyak perkataan yang saya tak pernah tahu apa lagi memahaminya. Contohnya : sitir, rimpuh, jihat. Saya perlu buat carian di laman PRPM (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) untuk lebih menikmati buku ini. Nampaknya novel ni bukan saja sesuai untuk peminat sejarah, tetapi sesuai juga untuk peminat sastera. Tarian bahasa yang indah, menjadikan pembacaan terasa nyaman.

Seperkara lagi, penulis turut menyebut banyak judul buku di dalam penceritaannya. Antaranya - Dari Perbendaharaan Lama, Cinta Hari-hari Rusuhan, Sukma Angin dan Bahr al-Lahut. Nampaknya penulis memang seorang yang menguasai pembacaan bahan sejarah dan sastera.


Sedikit petikan novel :
1. Dia memberikan saya jarum, meminta saya menjahit kata dengan lerai luhur dan menyimpul kata dengan pintal jujur. Dia menyuruh saya menjalin cerita dalam lembar bahagia, lalu menghamparnya pada sejarah dan memulangkannya kepada manusia.

2. Saya temui kisah cinta yang diidami. Cinta yang tidak berpaksi cincin dan anting, tetapi ikatan sejarah dan pertunangan tamadun. Cinta yang saya temui bukan ketika saya lihat wajahnya hari ini, tetapi saya temuinya beberapa kurun yang lalu ketika dia sedang sarat merakam detik cemas peredaran waktu. Saya mahu bercinta di tingkat tiga bangunan Arkib Negara, bersama sehelai peta lama berbahasa sanskrit dan beberapa surat daripada Kartini dan Sultan Johor. Saya ingin meminanginya dengan sekotak kesimpulan daripada babak teori yang ditempuhi selama ini. Dan mengahwininya dengan hantaran sebuah tesis membenarkan Melayu sebagai tamadun yang dilupakan.


Surat-surat Dari Maninjau - kisah keghairahan orang muda menggali ilmu, juga kisah cinta yang tidak berbalas. Naskhah yang sesuai untuk mereka yang cintakan sejarah dan cintakan keindahan berbahasa.