Tuesday 31 May 2022

Dua Tahun Berlalu…

Tarikh 30 Mei 2020, merupakan tarikh saya dan encik suami berpindah ke Pulau Pinang atas urusan kerja encik suami. Ikut perancangan, kami cuma berpindah secara sementara untuk dua tahun je. Semalam sudah pun cukup tempoh dua tahun.

Takdir Allah, kami masih direzekikan untuk terus menetap di PP untuk tahun-tahun mendatang. Alhamdulllah atas segalanya, Allah Maha Tahu apa yang terbaik. Walaupun terselit juga rasa sedih sebab masih belum dapat kembali menetap di rumah sendiri di NS.


Gambar pada hari pertama masuk ke rumah sewa. Rumah bersaiz 775 kaki persegi dilengkapi dengan sofa, langsir, meja makan dan kabinet dapur.

Insya Allah untuk tempoh dua tahun berikutnya kami masih menyewa di rumah yang sama. Malas pulak nak berpindah keluar. Kontrak perjanjian sewaan yang baru dah pun disiapkan. Ada kenaikan sewa rumah. 

Bila nak kena duduk lama (bukan lagi ‘berpindah sementara’), nampaknya ada barang keperluan yang akan bertambah. Tapi tetap juga semuanya kena beli saiz kecil dan mudah alih, sesuai dengan saiz rumah dan keperluan berpindah pada masa akan datang. 




Friday 27 May 2022

Eh, Dapat Kad Raya!

 
Kad Raya dari blogger

Petang semalam saya turun ke bawah blok rumah - pergi buang sampah ke tempat pembuangan sampah, pergi ambil bungkusan di rak penerimaan bungkusan dan lepas tu terus menjenguk peti surat rumah kami. Ada bil air dan sekeping sampul surat berwarna putih yang ditujukan buat saya. Eh!

Rupa-rupanya…sekeping kad ucapan Selamat Hari Raya daripada blogger Shida 😍. Cantik kadnya berwarna biru dan ada gambar Shida bersama suami.

Kalau tengok pada cop pos di sampul tu, bertarikh 26.04.2022. Kali terakhir saya menjenguk peti surat pada beberapa hari lepas. Tu diaa…bukan main jauh perjalanan dari Perak nak sampai ke Pulau Pinang. Hampir sebulan! Alhamdulillah sampailah jugak kan 😀


Kepada Shida,
Terima kasih banyak atas tanda ingatan.
Moga Allah membalas kebaikan Shida.




Thursday 26 May 2022

Vista Point / Ipoh Rest Stop

Sejak menetap di utara tanah air hampir 2 tahun, agak kerap saya dan encik suami berulang-alik ke arah KL atas tuntutan kerja. Setiap kali balik melalui Lebuhraya PLUS arah utara sebelum masuk terowong, nampaklah papan tanda ada gambar orang tunjuk pemandangan dari atas bukit (bayangkanlah sendiri gambar pada papan tanda tu ya..hehe). Tapi tak pernah berkesempatan nak berhenti melihat-lihat.

Sehinggalah pada awal bulan April lalu, kenderaan tak banyak di laluan kami jadinya mudahlah kereta encik suami nak berhenti ke tepi dan masuk ke kawasan tersebut. Lupa pulak nak ambil gambar kawasan parkir. Tak begitu luas, tapi muatlah kalau ada beberapa kereta dan kenderaan berat nak parkir di situ. Tertera papan tanda ‘Vista Point’ di kawasan parkir.

Terdapat satu laluan bersimen yang sedikit mendaki untuk kita berjalan ke bahagian atas. Jomlah kita tengok apa yang menarik.

Vista Point / Ipoh Rest Stop
Kawasan atas ni di kelilingi pagar hijau. Masa ni waktu petang, mendung dan hujan renyai baru mulai turun. Maka bergegaslah kami berjalan ikut laluan disediakan, sambil melihat pemandangan hijau dan kabus di perbukitan.

Vista Point / Ipoh Rest Stop
Menurut saya, inilah sudut pemandangan yang paling menarik dari atas Vista Point ni. Pemandangan jalan raya berlengkok membelah perbukitan dan kabus memutih di celahannya.

Vista Point / Ipoh Rest Stop
Peta menunjukkan kedudukan Vista Point atau Ipoh Rest Stop - iaitu selepas Ipoh dan tak jauh dari terowong Menora.

Sesuailah kalau kita ada keperluan untuk berhenti sekejap, boleh berhenti di sini. Cuma ada kemudahan kawasan parkir dan tong sampah, lain-lain tak ada ya. Pernah juga saya nampak ada tandas bergerak (portable toilet) diletakkan di sini, tapi semasa saya ke sini tak ada tandas bergerak tu.



Wednesday 25 May 2022

Sahaja Aku Menjadi Imam


Sahaja Aku Menjadi Imam
Judul : SAHAJA AKU MENJADI IMAM
Penulis : Andi Muhamad
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2019
Jumlah halaman : 136


Sahaja Aku Menjadi Imam merupakan sebuah naskhah catatan pengalaman penulis, seorang anak muda yang bangkit dari satu kesedihan sehinggalah bagaimana beliau diangkat menjadi imam besar Masjid Putra Nilai, Negeri Sembilan. 

Di samping itu, penulis turut berkongsi panduan dan juga nasihat berdasarkan pengalaman hidup yang telah dilalui beliau. Antaranya, cara untuk menghadapi kesedihan dan kecewa, nasihat buat pasangan yang bercinta dan panduan bagaimana untuk menjadi seorang imam yang baik.

Mengembaralah Bagi Mengubati Sedih dan Kecewa

Saya tertarik dengan bab Nasihat Imam #2 - berkenaan keluarlah mengembara bagi mengubati sedih dan kecewa. Penulis membawa kita berfikir tentang nilai pengembaraan dalam peristiwa Israk Mikraj. Ketika Rasulullah SAW diuji dengan pemergian Sayidatina Khadijah dan Abu Talib, juga diuji dengan penolakan dakwah baginda oleh majoriti masyarakat Quraisy Mekah, Allah telah memperjalankan baginda bagi mengubati kekecewaan yang bersarang dalam jiwa.

Saat hati remuk memikirkan kesedihan, keluarlah berkelana mencari makna. Nescaya kita temukan jalan keluar daripada kesedihan tersebut.


Tuntutan agama kita bukan sekadar pergi mengembara tetapi mencari hikmah di sebalik perjalanan tersebut. -petikan halaman 24.



Sahaja Aku Menjadi Imam
Buku ini bukan saja kisah perjalanan penulis menjadi imam kepada masyarakat, tetapi juga kisah penulis dalam usaha menjadi imam dalam sebuah rumah tangga.

Solat Bersama Keluarga

Satu lagi perkongsian yang menarik - bab Solat Bersama Keluarga. Sungguh pun seorang lelaki dituntut menunaikan solat berjemaah di rumah Allah, tetapi sebagai seorang ketua keluarga lelaki juga perlu mencari masa untuk solat berjemaah bersama isteri dan anak.

Kalau pun bukan pada solat fardu, bolehlah melakukan solat sunat secara berjemaah. Juga kalau pun tak mampu berjemaah bersama keluarga pada setiap hari, carilah masa seminggu sekali atau semampunya. Yang penting - ada waktu beribadah bersama keluarga.

Hampir semua saya tengok pasangan yang bercerai, apabila ditanya, mereka tidak punya masa beribadah bersama, tiada waktu untuk mereka solat bersama. -petikan halaman 109.


—————————————————————————-

Sahaja Aku Menjadi Imam - sebuah naskhah santai yang mengandungi pengajaran dan panduan buat para pembaca. Juga sedikit sebanyak dapatlah kita sebagai orang awam memahami kehidupan seorang imam, di mana tugasnya bukan sekadar menjadi imam solat fardu malah menjadi pusat rujukan segala permasalahan masyarakat setempat.

Menurut saya, buku ini merupakan bacaan yang tepat untuk anak muda yang berhasrat mahu menjadi imam - sama ada imam dalam masyarakat mahu pun imam dalam sebuah rumah tangga.



Ada yang nak dapatkan naskhah ini? Klik DI SINI.


Monday 23 May 2022

Laksa Thai di Bayan Lepas

Rasanya ramai yang sibuk menghadiri jamuan rumah terbuka raya dan majlis perkahwinan pada hujung minggu lepas kan? Terutamanya mereka yang tinggal di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, jalan-jalan sesak dengan kenderaan di sana sini. Hari Sabtu (kelmarin), saya dan encik suami bergerak dari rumah NS ke rumah PP. Keluar je ke jalan besar Pajam, kenderaan bergerak perlahan. Di tambah dengan kemasukan kenderaan dari Lebuhraya LEKAS, memang bertambah padat! Hinggalah ke Rawang, jalan sesak dan kenderaan bergerak perlahan kecuali di beberapa tempat kenderaan bergerak lancar.

Setelah 7 jam perjalanan - termasuklah berhenti untuk ke tandas/solat/makan sebanyak dua kali, Alhamdulillah kami sampai ke rumah PP.

Berbalik kepada tajuk entri, petang Ahad (semalam) ada urusan di Bayan Lepas. Jadinya selesai urusan, terus pergi makan di Pondok Style

Laksa Thai
Saya dan encik suami masing-masing memesan Laksa Thai. Dah 2 kali saya makan Laksa Thai di sini, kali ni baru ambil gambar bolehlah buat catatan di blog. Berbanding Laksa Penang, nampaknya saya lebih gemar makan Laksa Thai. Antara sebabnya - jenis mi yang digunakan. Saya tak tau jenis mi, tapi mi yang digunakan untuk Laksa Thai ni lebih halus dan kurang pejal. Harga semangkuk Laksa Thai ni RM5.

Minuman kami pesan satu je, kali ni cuba air jagung cincau. Sedap! Setiap kali datang memang cuba air berbeza. Dan setiap kali datang mesti beli bungkus jugak untuk makan malam. Kali ni beli sebungkus je Nasi Kerabu, konon supaya tak makan banyak bila berkongsi makanan.

Sekali ternampak pulak gerai menjual cucur udang berhampiran kedai makan ni. Dah menambah cucur udang pulak. Bukan cucur udang je, tambah tauhu goreng, kentang goreng dan telur rebus goreng. Tu diaaa…banyak jadinya. Sudahnya bila di rumah waktu makan malam, tak larat pun nak makan Nasi Kerabu dek dah kenyang makan gorengan-gorengan tadi bersama kuah kacang yang sedap. Nasi Kerabu simpan di peti sejuk jelah jawabnya.



Wednesday 18 May 2022

Pengalaman Menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) Pada Gigi Geraham (Molar)

Dalam entri terdahulu, saya ada catatkan pengalaman menjalani rawatan gusi bagi masalah gusi susut - entrinya DI SINI dan DI SINI. Jadinya semasa doktor gigi melakukan rawatan deep cleaning (Root Surface Debridement), doktor dapati ada sebatang gigi geraham di sebelah kiri yang berlubang. Hasil x-ray yang dibuat sebelumnya juga menunjukkan gigi geraham tersebut bermasalah.

Dan sebenarnya, memang gigi tersebutlah yang kerap sakit secara ‘datang pergi’ sejak lebih setahun lalu. Dah dua buah klinik gigi yang berbeza saya pergi untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tapi kedua-dua orang doktor gigi yang memeriksa saya gagal mengesan adanya lubang pada gigi - sebab kedudukan lubang tersorok dan tak dapat dikesan melalui pemeriksaan biasa. Kedua-dua doktor gigi bagitau kesakitan tersebut disebabkan masalah gusi susut. Saya diberi dua pilihan - cabut atau biarkan kekal (tapi akan terus mengalami rasa sakit secara ‘datang pergi’). Saya memilih bertahan, biarkan ia kekal selagi saya mampu menanggung kesakitan.

Sebabnya, jika kita cabut sebatang gigi di tengah tanpa ganti dengan gigi palsu/bridge/tanam gigi, kesannya gigi yang masih ada di sebelah kanan dan kiri mungkin akan terjejas sebab dah tak kukuh.

Berbalik kisah gigi geraham berlubang - setelah pemeriksaan dilakukan dan berdasarkan hasil x-ray gigi, Dr. Freeda (doktor gigi yang merawat saya) bagitau bahawa gigi geraham saya masih boleh diselamatkan kerana lubangnya tidak begitu besar dan struktur gigi masih kukuh. Tapi disebabkan lubang tersebut dah kena pada akar gigi, maka saya perlu menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) jika mahu mengekalkan gigi geraham tersebut.

Saya akur saja kepada saranan puan doktor walaupun terasa seram membayangkan proses rawatannya dan kos yang perlu dikeluarkan. Alang-alang dah buat rawatan gusi susut dengan Dr. Freeda, saya teruskan sajalah rawatan lain di sini.

Insya Allah selagi mampu dari segi kewangan, keberanian diri dan komitmen masa, segala rawatan yang perlu akan dibuat.

Apa Itu Rawatan Salur Akar?


Nak lebih mudah faham? Tonton je video ni.

Rawatan Salur Akar / Root Canal Treatment (RCT) merupakan rawatan alternatif bagi gigi yang telah rosak teruk di mana tisu pulpa telah dijangkiti atau telah mati, agar gigi tersebut tidak dicabut dan boleh terus kekal berfungsi di dalam mulut.

Apakah ciri-ciri gigi yang memerlukan rawatan akar?
  • Gigi yang rosak teruk atau mempunyai tampalan yang besar hingga melibatkan lapisan pulpa.
  • Gigi yang telah mati (non-vital).
  • Gigi yang mempunyai tampalan besar dan diindikasikan untuk pembuatan korona kadang-kadang perlu rawatan salur akar dilakukan terlebih dahulu untuk peletakan tiang dan teras.
Kenapa rawatan salur akar perlu dilakukan?
Rawatan salur akar dilakukan supaya gigi yang rosak dapat dibersihkan dan tidak perlu dicabut supaya gigitan dan fungsi gigi di dalam rahang dapat dikekalkan.

Apakah akibatnya jika rawatan salur akar tidak dilakukan?
  • Ketidakselesaan atau kesakitan akan bertambah teruk.
  • Jangkitan atau nanah akan terjadi pada gigi tersebut.
  • Gigi mungkin terpaksa dicabut dan kebiasaannya kehilangan gigi memerlukan penggantian.

Prosedur Rawatan Salur Akar



Sebanyak 3 kali janji temu diperlukan untuk saya menjalani rawatan salur akar pada gigi geraham pertama sebelah kiri (kedudukannya berada pada gigi kedua dari belakang, gigi geraham ketiga/bungsu dah dicabut). Saya catatkan secara ringkas menurut pemahaman saya berkenaan prosedur yang saya jalani :

1. Janji temu pertama | 25 Mac 2022 | Tempoh rawatan 1 jam 30 minit
  • Pembedahan kecil dilakukan pada gusi di antara dua gigi geraham, kerana bahagian yang berlubang berada pada kedudukan yang tersorok - di bawah gusi.
  • Gigi digerudi pada bahagian tengah gigi untuk proses pembersihan salur akar.
  • Tampalan sementara untuk menutup bahagian gigi yang telah digerudi.
  • Jahitan pada gusi selepas pembedahan kecil.
2. Janji temu kedua | 9 April 2022
  • Buka jahitan.
  • X-ray gigi.
  • Tampalan pada gigi dibuka dan proses pembersihan salur akar dilakukan.
  • Tampalan sementara dibuat.
3. Janji temu ketiga | 25 April 2022
  • Tampalan dibuka.
  • Proses pembersihan terakhir dilakukan.
  • Tampalan kekal dibuat pada gigi.
* tempoh rawatan janji temu kedua & ketiga lupa pulak saya nak catat, tapi seingatnya sekitar 1 jam je. Tak begitu lama macam rawatan pada janji temu pertama.

Alhamdulillah selesai satu hal. Secara keseluruhannya, Rawatan Salur Akar ni tidaklah menyakitkan sebab dah diberi suntikan bius setempat. Malah beberapa kali suntikan bius diberi sewaktu rawatan yang pertama - doktor akan bertanya tahap kesakitan, jika terasa sakit maka suntikan bius akan diberi lagi. Tetapi tetaplah ada pada keadaan tertentu di mana saya rasa sedikit sakit atau rasa tak selesa sewaktu rawatan dilakukan. Yelah…gigi yang nak dirawat tu berada pada kedudukan yang tersorok di belakang, doktor pun susah payah nak buat. Yang paling susah bagi saya - kena bukak mulut dan perlu berbaring dalam jangka masa yang lama. Lenguh!

Kos Rawatan Salur Akar

Berapa kosnya? Kos Rawatan Salur Akar adalah berbeza mengikut tahap kesukaran gigi yang perlu dirawat dan di klinik mana kita buat rawatan tersebut.

Hasil carian saya mendapati jika rawatan dilakukan di klinik pergigian kerajaan, caj paling mahal dikenakan adalah RM150 bagi sebatang gigi. Nak tahu lebih lanjut caj rawatan pergigian di klinik kerajaan? Klik DI SINI.

Manakala jika rawatan dilakukan di klinik swasta, caj dikenakan lebih tinggi iaitu sekitar RM600 - RM800 (bagi gigi hadapan) dan sekitar RM800 - RM1,800 (bagi gigi belakang).

Jadinya terpulang pada kita nak buat rawatan di klinik mana ya. Pun begitu, bukan semua klinik gigi boleh buat Rawatan Salur Akar bagi gigi geraham kerana tahap kesukarannya dan mungkin tiada kepakaran juga peralatan yang bersesuaian.

Pengalaman Menjalani Rawatan Salur Akar (Root Canal Treatment) Pada Gigi Geraham (Molar)
Ini pula kos Rawatan Salur Akar bagi gigi geraham saya. Ubatan diberi sebab buat pembedahan kecil semasa janji temu pertama.

Kos keseluruhan rawatan saya - RM2,355. Telan air liur tiap kali menyebut harga rawatan ni. Tapi inilah pilihan saya - buat rawatan salur akar berbanding cabut je dan ganti dengan gigi palsu atau tanam gigi (implant). Manakala pilihan buat bridge pulak tak sesuai untuk kes gigi saya. Kalau ganti gigi palsu memang akan tak selesa, kena bukak pasang setiap hari dan mengunyah pun tak selesa seperti gigi asal. Tanam gigi? Kosnya lebih tinggi dan lebih banyak komitmen janji temu.

Apa pulak selepas ini? Demi melindungi gigi tadi, doktor sarankan saya pasang crown gigi. Kalau tak mahu pasang crown gigi? Ada kemungkinan gigi tadi mudah rosak/pecah sebab bahagian tengah dah pun digerudi, sekadar tampalan tidak memadai untuk jangka masa panjang.

Bila masa yang sesuai untuk pasang crown gigi? Iaitu selepas 2 minggu kita selesai menjalani Rawatan Salur Akar. Tak boleh awal sangat sebab kita perlu pastikan Rawatan Salur Akar yang dah dibuat sebelumnya tidak ada sebarang masalah. Kalau kita rasa sakit gigi selepas buat Rawatan Salur Akar, itu kemungkinan masih ada salur akar yang belum dibersihkan dengan baik.

Ok, selesai satu karangan panjang pasal gigi 😅. Saya perlu tulis selengkap mungkin untuk rujukan saya sendiri pada masa akan datang dan juga rujukan kepada yang memerlukan. Fakta dan info yang saya nyatakan adalah menurut kefahaman saya dan hasil carian sewaktu menulis. Mungkin ada yang tak tepat, tak betul atau tak sama dengan pengalaman orang lain.

Bagi yang belum ada masalah gigi, silalah amalkan penjagaan gigi yang baik dan jangan takut untuk buat rutin pemeriksaan gigi dengan doktor gigi. Jika gigi dah bermasalah, selagi boleh usahakanlah untuk menjalani rawatan berbanding terus cabut. Cabut memang lebih cepat dan kos rendah, tapi lepas tu kuranglah nikmat mengunyah makanan.




Saturday 14 May 2022

Kombo Merdeka 65 Tahun | A. Samad Said


Kombo Merdeka 65 Tahun | A. Samad Said
KOMBO MERDEKA 65 TAHUN adalah gabungan tiga karya besar dan penting seorang Sasterawan Negara dalam sebuah koleksi, yang julung-julung kalinya diterbitkan. 

Salina, Hujan Pagi dan Langit Petang karya Sasterawan Negara A. Samad Said dipilih sebagai penghormatan kepada seorang sasterawan besar tanah air kita.

Kombo Merdeka 65 Tahun | A. Samad Said

Nikmatilah tiga novel istimewa hasil buah tangan SN A. Samad Said dalam sebuah edisi khas - Kombo Merdeka 65 Tahun!

SALINA: 
Anak yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua, perang yang memusnahkan segala yang dimilikinya. Novel ini diakui oleh para pengkaji dan pengkritik sastera sebagai novel yang memiliki mutu pengkaryaan novel bertaraf dunia.

LANGIT PETANG: 
Elemen falsafah yang didakap dalam aspek penceritaan akan mendorong keghairahan pembaca untuk menghirup karya ini sehingga ke akhir. Digerakkan oleh 3 watak utama yang bertukar pandangan dan falsafah mengenai apa yang dicari manusia dalam hidup mereka.

HUJAN PAGI: 
Menerima hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1986/1987. Antara novel SN A. Samad Said yang dikatakan sukar dihadam. Keresahan penulisnya terhadap kebebasan akhbar ditonjolkan secara bawah sedar oleh watak dalam karya ini. Persoalan kebenaran yang tersekat dan disembunyikan menjadi pola yang menggerakkan ceritanya sehingga menampakkan kebobrokan masyarakat.


Promosi Istimewa Pra Tempah Set Kombo Merdeka 65 Tahun A. Samad Said



Istimewanya set kombo Pak Samad ini, kita akan dapat semua di bawah:
1. Buku (3 Dalam 1) | Salina + Hujan Pagi + Langit Petang
2. T-Shirt
3. Non-Woven Bag
4. Kotak Eksklusif
5. Sijil Pemilikan (1 - 500 naskhah sahaja) 

Harga sebenar set kombo ini adalah RM188. Istimewa sempena promosi pra tempah cuma RM128 saja. Ada lagi yang lebih menarik - untuk 100 pembeli terawal cuma perlu bayar RM110 saja! Fuh, memang untung siapa yang bertindak segera kan?

📆 Pra tempah tamat : 22 Mei 2022
🚚 Penghantaran dibuat bermula: 23 Mei 2022

Selepas tamat promosi pra tempah, harga RM128 adalah untuk pembelian buku saja tanpa kotak eksklusif, t-shirt & non-woven bag.

Saya dah pun buat tempahan, tak sabar nak terima 🤩. Ada yang berminat? Jomlah tempah segera, kot masih boleh dapat harga RM110. Caj pos? Percuma.


Nak tempah? Klik DI SINI




Thursday 12 May 2022

Filem dan Novel Pendidikan dari Negara Seberang



Masih ada sebuah buku separa ilmiah yang sedang saya baca dan belum berjaya khatam. Gitulah selalunya, memang ambil masa lama untuk menghabiskan bacaan yang agak ilmiah 😅. Tapi ni saya dah mula membaca buku lain pula, sebuah novel. Biasanya kalau saya rasa susah nak hadam satu-satu bahan bacaan, saya akan berhenti dan baca bahan bacaan lain yang lebih ringan dan lebih seronok untuk dinikmati. Nanti lepas tu baru sambung semula bacaan yang terhenti tadi.

Novel Guru Aini - sebuah karya Indonesia yang mengangkat kisah perjuangan pendidikan (diterjemahkan ke bahasa Melayu tetapi masih mengekalkan gaya bahasa Indonesia) ni saya baru je mula baca. Di sela waktu yang lain pula, saya menonton filem Sang Pencerah - sebuah filem keagamaan dari Indonesia yang turut membawa kisah perjuangan memandaikan anak bangsa.

Insya Allah kalau dah habis membaca novel dan menonton filem ni saya akan buat perkongsian di blog. Kisah-kisah dengan tema pendidikan begini memang menarik minat saya. Cuma di Malaysia mungkin kurang, kalau ada pun mungkin dalam bentuk drama untuk Hari Guru. Kalau ada yang tahu novel atau filem Malaysia dengan kisah sebegini, bolehlah kongsikannya di ruangan komen ya.


Tuesday 10 May 2022

Pondok Style, Bayan Lepas

Ada yang masih bercuti raya di kampung halaman ke tu? Saya dah selamat kembali ke rumah PP pada tengah malam, hari Jumaat malam Sabtu yang lalu. Dapatlah sekali lagi merasa tol percuma, penjimatan sekitar RM62 (Johor - PP). Alhamdulillah!

Hari Sabtu berehat di rumah, saya agak kurang sihat sedikit mungkin sebab keletihan menempuh perjalanan jauh dari selatan ke utara. Hari Ahad dah sihat, encik suami ajak jalan-jalan cari makan (JJCM) di bahagian pulau PP.

Kami ke Bayan Lepas, mulanya nak makan Nasi Dalca tapi gerainya masih belum beroperasi. Saya pun buka aplikasi Google Maps dan mula buat carian ‘makan sedap near me’. Daripada senarai diberi, saya semak satu persatu - lihat waktu operasi, menu dan baca ulasan. Saya kemudiannya memilih kedai makan dengan nama Pondok Style sebagai destinasi JJCM kami.

Berpandukan aplikasi Google Maps, kami dibawa melalui jalan di taman perumahan dan kemudiannya menuju ke hujung jalan mati. Eh?? Rupa-rupanya kami dibawa ke bahagian belakang kedai (ada pintu pagar kecil untuk masuk ke kedai). Tak selesa pulak nak parkir, takut mengganggu rumah penduduk. Kami keluar dari jalan tersebut dan pusing ikut laluan lain untuk ke bahagian depan kedai.

Inilah kedai makan Pondok Style yang terletak bersebelahan Balairaya Sungai Ara. Lokasinya di tepi jalan besar, mudah dilihat. Kami parkir di bahu jalan, berhadapan balairaya. Sebab tu dapat ambil gambar dari sudut sisi begini. Bolehlah kan…sekadar buat panduan bagi yang nak ke sini.

Kedai makan yang nampaknya bersih dan teratur. Kat sini konsep layan diri. Kita perlu beratur untuk membuat pesanan dan ambil nombor.

Lepas ambil nombor, duduklah menunggu nombor kita dipanggil bila minuman/makanan siap. Jangan leka berborak atau membelek gajet, nanti tak dengar pulak nombor kita dipanggil. Nombor ni kita pulangkan semula selepas kita dapat semua minuman/makanan yang dipesan.

Minuman kami - cendol 3 layer dan air limau ais. Cendol 3 layer tu harganya RM4, ada ais krim dan potongan buah mangga. Sedap, menepati selera saya.

Nasi Pandan Ayam Thai / RM6. Nasi berwarna hijau dihidangkan bersama ayam goreng, sup kosong dan sos sambal. Ayamnya sedap, masih panas. Set hidangan ni biasa saja bagi pendapat saya, tapi tetaplah habis licin dimakan.

Nasi Kerabu Daging Danok / RM9. Alhamdulillah sedap dan lembut dagingnya. Dalam bekas kecil tu budu dan sos masam (cuka?). Serundingnya pun ada dua jenis (serunding kelapa dan serunding ikan agaknya). Bila dicampur gaul semua, memang sedap! Disebabkan sedap, kami terus memesan lagi dua set nasi kerabu (ayam dan daging) untuk makan malam. Haa…senang gitu.

Insya Allah kami akan ke sini lagi, ada banyak lagi makanan yang belum dicuba. Harganya pun berpatutan. Pondok Style ni juga ceria dengan lukisan mural. Juga ada pilihan tempat duduk - meja biasa, buaian dan makan duduk di lantai. Paling penting, kedai ni nampaknya bersih. Singki bersih, paip di singki berfungsi dengan baik, siap ada sabun tangan dalam botol.

———————————————————————
PONDOK STYLE
Lot 45 Lintang Bayan 7,
Persiaran Bayan,
Taman Tunas Muda,
11900 Bayan Lepas,
Pulau Pinang.

Waktu operasi :
Sabtu - Khamis
10 pagi - 6 petang


Sunday 1 May 2022

Catatan Akhir Ramadan dan Eh, Esok Raya!

SABTU | 28 RAMADAN 1443 H

Orang sibuk balik raya, saya masih sibuk memenuhi janji temu dengan doktor gigi dan juga beberapa urusan lain yang perlu dilakukan sebelum bergerak balik kampung.

Gambar bilik x-ray di klinik gigi. Tapi semalam untuk buat crown gigi tak perlu buat x-ray pun.
Seawal pukul 10 pagi saya ada janji temu dengan doktor gigi untuk buat crown gigi. Sepanjang Ramadan ni saja, dah tiga kali saya ke klinik gigi. Sebelum ni untuk buat Root Canal Treatment (RCT) pada gigi geraham, Alhamdulillah dah selesai. Insya Allah akan saya catatkan di blog mengenai RCT ni.

Selesai hal gigi, terus pergi ke Kompleks Bukit Jambul. Encik suami nak buat alteration pada seluarnya. Meriah sungguh dalam kompleks ni. Memandangkan kami pun tak pernah lagi sampai ke sini, sementara menunggu tukang jahit siapkan seluar kami pun naik dari satu tingkat ke satu tingkat untuk melihat-lihat.

Antara tempat jualan yang menjadi tumpuan - emas Korea. Saya sebenarnya tak tahu pun emas apa, bila datang dekat baru nampak tulisan ‘emas Korea’. Murah rupanya, saya ternampak harga cincin RM10 je. Patutlah jadi tumpuan ramai. Saya pulak memang tak minat pakai barang kemas, jadinya taklah tertarik nak membelek emas di sini.



Satu lagi catatan memori - 30 April merupakan hari terakhir penguatkuasaan check-in di aplikasi MySejahtera. Check-in saya yang terakhir di klinik gigi. Sepatutnya di Kompleks Bukit Jambul, tapi aplikasi saya bermasalah pulak - tak boleh nak scan.

Semalam juga buat pertama kali saya bertemu empat mata dengan blogger Diana Rashid. Rumahnya taklah begitu jauh dari rumah saya, tapi itulah - dah dekat dua tahun berpindah ke PP ni barulah dapat bersua muka. Teruja dan segan juga bila pertama kali nak berjumpa dengan sahabat maya ni. Kami jumpa sekejap je di depan rumahnya, saya hulurkan sedikit pemberian sempena Hari Raya dan sebagai salam perkenalan di alam nyata. Yelah, sebelum ni kan cuma kenal di alam maya…hehe.


AHAD | 29 RAMADAN 1443 H

Seperti yang telah dirancang, hari ini kami mula bergerak untuk balik kampung kami di Johor dan akan singgah bermalam di rumah kami di NS terlebih dahulu. Jadinya taklah terasa penat sangat berbanding melakukan perjalanan tanpa henti dari utara ke selatan.

Seperti yang dijangka, perjalanan dari PP lancar dengan sesekali kenderaan bergerak perlahan bila hujan turun di beberapa tempat. Manakala di laluan bertentangan (arah ke utara), kenderaan bergerak perlahan.

Kami keluar di tol Putra Mahkota. Tertera bayaran 0 sewaktu kenderaan kami melalui plaza tol. Alhamdulillah, dapatlah merasa tol percuma sebelum ianya berakhir 11.59 malam nanti.

Seterusnya, misi mencari makanan untuk berbuka dan bersahur. Kami menuju ke bazar Ramadan di BSP. Nampaknya banyak gerai dah pun kosong. Jadinya mana gerai yang ada, memang menjadi tumpuan ramai sampai terpaksa berbaris untuk membeli. Dapatlah kami membeli kuih Tepung Pelita dan Samosa di bazar Ramadan.

Kemudian kami ke restoran Wong Solo di bangunan berhampiran. Beli dua bungkus set nasi dengan ayam/ikan. Eh, belum cukup lagi tu. Pergi pula ke Mc Donalds untuk membeli burger bagi bersahur esok pagi. Selesai semua barulah menuju ke rumah NS melalui jalan ke Nilai 3.


EH, ESOK RAYA!

Sedang saya berehat melepas lelah sambil melayan perbualan bersama kawan-kawan di grup WhatsApp, tiba-tiba kawan maklumkan yang esok adalah hari raya. Eh??

Tidaklah begitu mengejutkan kerana kita pun dah terima khabar yang viral di grup WhatsApp dan medium media sosial lainnya sebelum ini. Tetapi tetap jualah ada sedikit rasa terkejut kerana jangkaan hari raya jatuh pada hari Selasa.

Nampaknya esok pagi, juadah raya kami adalah burger Mc Donalds 😂. Takpe, yang penting kita raya dengan menghidupkan amalan sunnah di Aidilfitri - seperti bertakbir, mandi sunat, memakai pakaian terbaik dan menunaikan solat sunat hari raya. Insya Allah selepas solat raya di sini barulah kami bergerak ke Johor. Segala perancangan raya bersama adik-beradik adalah tetap sama, kiranya esok kami sampai dan masak-masak raya.

Seperti raya dua tahun lalu, nampaknya raya kali ini juga ada kisah dan cabarannya tersendiri. Semuanya adalah ketentuan dari Allah Yang Maha Berkuasa dan ianya akan menjadi warna-warni hidup kita. Kisah hari ini akan menjadi satu sejarah dan memori indah pada masa akan datang.


SELAMAT HARI RAYA BUAT SEMUA SAHABAT BLOGGER!

Mohon maaf jika ada penulisan atau komen saya yang tidak disenangi.