Thursday 31 October 2019

Hamka | TERUSIR


Tajuk : Terusir
Penulis : Hamka
Penerbit : Jejak Tarbiah
Tahun terbit : 2019
Jumlah muka surat : 130
Harga : RM25

Sejujurnya, ini merupakan kali pertama saya membaca buku karya Hamka. Karya Terusir terbit pada tahun 1940. Tetapi, buku yang saya baca ini merupakan terbitan semula di Malaysia oleh Jejak Tarbiah dengan izin hak cipta waris Hamka. Pun begitu, ia masih mengekalkan gaya penulisan Hamka dengan panduan pihak DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Sebuah karya lama dengan nafas baru!

Karya ini antaranya memaparkan realiti masyarakat yang hidup dengan rasa dengki, kehancuran rumah tangga oleh suami yang tidak bertanggung jawab dan derita ibu yang terpisah daripada anaknya. Cerita disampaikan dengan gaya bahasa yang mudah dan jelas untuk kita ambil pengajaran.

SINOPSIS
Buku ini menceritakan kisah hidup seorang perempuan bernama Mariah yang penuh derita. Kisah bermula dengan kehancuran rumahtangga yang dibina bersama Azhar, lalu memisahkan Mariah dengan anaknya bernama Sofyan. Mariah difitnah dan tanpa usul periksa Azhar mengusir Mariah dari rumah mereka. Bermula dari situlah kehidupan Mariah mulai hancur - hidup seorang perempuan tanpa sokongan dan perlindungan.

PETIKAN BUKU
"Betul perempuan ini jahat menurut pandangan kita, tetapi kita tidak boleh segera mengutuk semua perempuan yang telah jadi jahat. Tiap hari kita mendengar perempuan yang dipaksa oleh kesulitan penghidupan sehingga kemiskinan itu menghilangkan rasa malu, dan ada kalanya seorang perempuan tersesat, terjerumus ke lembah kehinaan bukan kerana salahnya sendiri, sebab ia seorang perempuan yang lemah tetapi dari salah kita laki-laki juga!"
(halaman 116)



Friday 25 October 2019

Nasi Dagang Atas Tol 3 (Cawangan Losong)

Bila dah sampai di Terengganu, agak rugi kalau tak merasa makanan tempatan. Nasi Kerabu kami dah makan di Fauzi Nasi Kerabu, keropok lekor awal perjalanan dah makan di Keropok Lekor 008 Kelulut. Tinggal Nasi Dagang je masih belum merasa.

Hari terakhir di Kuala Terengganu, kami keluar awal pagi untuk mencari kedai menjual Nasi Dagang. Sebenarnya kena keluar awal sebab suami nak mula berkursus jam 9 pagi. Singgah di satu gerai tepi jalan, tapi katanya tak jual Nasi Dagang. Akhirnya saya buat carian di internet untuk cari kedai Nasi Dagang yang berhampiran lokasi kami. Hasil carian membawa kami ke kedai Nasi Dagang Atas Tol 3 (Cawangan Losong).

Konsep layan diri. Makanan ambil di sini, minuman order di kaunter minuman. Masa kami sampai tadi - tempat parkir masih lapang, kedai belum ramai orang dan tak perlu beratur pun. Terus je ambil makanan.

Gambar di atas saya ambil semasa kami sudah mula makan, kiranya sekejap je kedai dah penuh dan perlu beratur panjang. Yang datang pun pelbagai bangsa, mesti sedap sampai semua orang pun suka makan di sini.

Rupa hidangan Nasi Dagang yang menyelerakan! Nasinya cukup lembut, potongan ikan yang cukup puas makan dan sedap, serta kuah yang sedap. Pendek kata...Nasi Dagang di sini memenuhi selera kami dan mungkin ni paling sedap pernah saya makan. Tetiba terus jadi peminat Nasi Dagang pulak aihh! Haha..

Tea Peng Ombak Rindu pun sedap! Tapi ambil masa lama sikit untuk buatnya. Memang siap notis bagitau pasal ni, tidaklah kita rasa geram kenapa lama order tak sampai sampai jugak.

Harga makanan di sini pun sangat berpatutan. Cuma kali ni saya lupa nak rekodkan harga secara tepat, jadinya tak dapat tulis di sini. Untuk info, kedai Nasi Dagang Atas Tol ni ada 4 cawangan :
  • cawangan 1 - Kg Atas Tol
  • cawangan 2 - Padang Negara
  • cawangan 3 - Losong
  • cawangan 4 - Gong Badak
Nampaknya lepas ni kalau ada lagi rezeki datang ke Kuala Terengganu, Nasi Dagang Atas Tol wajib masuk dalam senarai JJCM kami. Cawangan pun banyak, mudahlah pilih ikut lokasi penginapan kita. Ok, sampai sini je catatan ke Kuala Terengganu.
-------------------------------------------------------------------------

NASI DAGANG ATAS TOL 3 (CAWANGAN LOSONG)

Lokasi : Jalan Hiliran, Kuala Terengganu (di bawah jambatan Kg Hiliran)
<<< Klik Google Maps DI SINI >>>

Waktu Operasi : 6.30 pagi - 10.30 pagi
(Tutup : Isnin & Selasa)

Thursday 24 October 2019

Pok Rashid Ikan Bakar, Kampung Bukit Tunggal

Selepas percubaan hari kedua (Selasa) ke Warung Pok Nong menghampakan, saya terus buat carian tempat makan yang sedap di Kuala Terengganu. Saya dan suami memilih untuk mencuba makan di Pok Rashid Ikan Bakar. Dari Warung Pok Nong kami terus ke sini...

Pok Rashid Ikan Bakar, Kampung Bukit Tunggal
Kedai makan ni terletak berhampiran Pasar Bukit Tunggal. Dari tepi jalan agak tersorok. Tapi kalau nak mudah, cari je Pasar Bukit Tunggal. Nampak bangunan pasar, sebelah tu ada deretan lot kedai. Kedai Pok Rashid Ikan Bakar berada di hujung.

Pok Rashid Ikan Bakar, Kampung Bukit Tunggal
Orang kedai bagitau, kat belakang kedai pun ada tempat makan. Selepas memilih ikan dan sotong untuk dibakar, kami pergi ke bahagian belakang kedai. Duduk makan di sini terasa lebih santai. Kedai masih lengang, sebab kami datang masa kedai baru je buka. Sebenarnya risau jugak kot tak sedap makan di sini, sebab lengang begini. Tapi takpelah, tak cuba tak tau pulak kan.

Pok Rashid Ikan Bakar, Kampung Bukit Tunggal
Hidangan kami dah sampai - ikan Kerapu Bara dan sotong. Kat sini semuanya memang bakar-bakar semata. Takde pilihan nak buat masak 3 rasa atau nak goreng tepung. Nasi kami mintak sepinggan je dan satu pinggan kosong, nak elak terlebih kenyang. 

Pok Rashid Ikan Bakar, Kampung Bukit Tunggal
Rupa nampak sangat menarik. Alhamdulillah...rasanya juga sedap dan puas hati makan! Harga pun sangat berpatutan. Untuk sotong tu harganya cuma RM20 (RM5/100g) dan ikan Kerapu Bara tu harganya RM52.

Untuk korang yang nak ke Kuala Terengganu bolehlah masukkan kedai ni dalam senarai JJCM. Tapi kalau datang masa orang ramai tu mungkin akan menunggu lama, sebab semua bakar-bakar.

-------------------------------------------

POK RASHID IKAN BAKAR

Lokasi : Kampung Bukit Tunggal, Kuala Terengganu
<<< Klik Google Maps DI SINI >>>

Waktu Operasi : 5 petang - 11 malam
(Tutup : Rabu)

Tuesday 22 October 2019

Mercu Tanda Terkini Terengganu | Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Drawbridge)

Mercu tanda dan tarikan terkini di Terengganu tentulah Jambatan Angkat. Semasa saya berjalan di Pasar Payang 2 pun dah nampak ramai penjual menjual t-shirt dengan gambar jambatan ini.

Pemandangan Jambatan Angkat dari kawasan parkir Pasar Payang 2. Kiranya dari Pasar Payang 2 kita boleh terus ke depan sedikit untuk berfoto dengan latar Jambatan Angkat. Dalam gambar ni, ada dua benda yang menarik - Jambatan Angkat dan bas dengan rekaan tradisional Terengganu.

Inilah rupa Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Drawbridge). Kelihatan megah dan cantik. Jambatan bernilai RM248 juta ini menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Ia mula dibina pada Ogos 2014.

Tadi tengok dari jauh je kan...sekarang jom kita lalu atas jambatan. Jambatan Angkat sepanjang 638 meter ini mula dibuka pada 1 Ogos 2019 yang lalu. Tak dibenarkan berhenti di atas jambatan, menurut info ada parkir disediakan di bawah jambatan dan pengunjung nanti boleh naik ke ruang komersil dengan menaiki lif. Tapi buat masa sekarang ruang komersil tersebut masih belum dibuka untuk orang awam.

Sambil lalu saya meneliti 'daun jambatan' (bascule) di bahagian tengah jambatan. Daun jambatan membolehkan jambatan diangkat untuk laluan kapal. Hmm...teringin jugak nak tengok masa daun jambatan ni diangkat.

Seronok ke Kuala Terengganu ni, macam-macam tarikan ada! Makanan, membeli-belah, alam semulajadi, budaya tradisi dan terkini ada Jambatan Angkat.

Monday 21 October 2019

Tiada Rezeki Di Pok Nong, Rezekinya Di Cik Su

...sambungan catatan ke Kuala Terengganu...

Hari Isnin petang, saya dan suami dah plan nak makan di Warung Pok Nong. Siap datang awal supaya tak perlu beratur panjang.

Kecewanya...bila sampai sana warung tutup pulak. Sedangkan ikut waktu operasi memang sepatutnya buka. Selain kami, ada beberapa kenderaan lain dah sedia menunggu di kawasan parking. Menunggu warung di buka. Selepas menyedari memang warung tak beroperasi, masing-masing pun beredar.

Selain Warung Pok Nong, terdapat beberapa warung lain dengan menu celup tepung di jalan yang sama. Kami teruskan pemanduan dan mencari warung lain.

Kami pilih untuk makan di sini - Warung Cik Su. Warung yang terletak betul-betul hampir dengan pantai.

Konsep yang sama...layan diri. Beratur untuk ambil makanan.

Boleh pilih duduk bahagian dalam, atau bahagian luar yang lebih hampir dengan pantai. Tapi dah penuh la pulak, kalau tak mesti lagi syok.

Kami ambil sepiring mee goreng campur mee hoon, seekor sotong celup tepung (harga berbeza ikut saiz, yang ni RM15) dan seekor ikan celup tepung. Ni konon-konon kecewa tak dapat makan kat Pok Nong, tu ambil sikit. Kalau tak...harus lagi banyak makan ni. Hahaa!

Masa balik dari Warung Cik Su memang akan melalui Warung Pok Nong, nampak masih banyak kenderaan masuk di kawasan parking. Masing-masing mesti kecewa...ada la hal penting sampai Pok Nong tutup pada hari yang sepatutnya beroperasi.

Oh ya, pantai depan warung ni pun dah berubah rupa. Dah tak nampak pantai landai dan dah tiada pokok-pokok. Berganti dengan buaian kayu (di Warung Cik Su tadi pun ada buaian yang serupa).

Keesokan harinya selepas suami habis kursus, bergegas dia balik dan ambil saya di hotel. Percubaan hari kedua nak makan di Warung Pok Nong. Sampai je di warung, terpampang besar-besar papan bertulis 'TUTUP' ðŸ˜¢. Kalau memang bukan rezeki...begitulah.

Friday 18 October 2019

Pasar Kedai Payang @ Pasar Payang 2

Isnin | 07.10.2019

Saya bukanlah kaki shopping, tapi kalau dah sampai Kuala Terengganu wajiblah kita jenguk Pasar Payang dan membeli ole-ole Terengganu. Lagi pulak sekarang Pasar Payang berada di lokasi baru.

Pasar Kedai Payang atau Pasar Payang 2 terletak tidak jauh dari lokasi Pasar Payang yang lama (tapak lama saya lihat sedang dalam proses pembersihan, tiada lagi bangunan dan cuma kelihatan longgokan besi bahan binaan). Untuk info, ini hanyalah lokasi sementara sebab bangunan Pasar Payang yang baru akan dibina di atas tapak asal Pasar Payang. Bangunan baru dijangka siap dalam tempoh 2 tahun.

Inilah rupa Pasar Payang 2. Terletak di pinggir Sungai Terengganu. Mula beroperasi pada 1 Ogos 2019 yang lalu. Kawasan parking kereta adalah di sepanjang pesisir sungai. Kami sampai dah tengahari, dapat parking yang agak jauh. Takpelah...bagus berjalan kaki untuk membakar kalori sebab pagi tadi dah sarapan Nasi Kerabu ðŸ˜„

Kawasan parking motor di hadapan bangunan. Terus jumpa kawasan makan-makan. Ramai jugak orang sedang makan walaupun harini Isnin. Baguslah...ada rezeki peniaga.

Ruangan yang lebih luas, lebih tersusun dan lebih pengudaraan. Terus rasa seronok nak melihat-lihat.

Lebih mudah kita nak cari barang sebab setiap blok ada dinyatakan jenis barang jualan. Kalau tak cukup masa, mudah la kita nak menuju ke blok yang tertentu je.

Ruang antara kedai kanan dan kiri pun cukup keluasannya, memudahkan pergerakan pengunjung yang datang. Bahagian alatan dapur/keperluan rumah ni adalah bahagian yang saya suka tengok. 

Di bahagian pakaian, saya beli kain batik Terengganu warna pastel sebagai ole-ole untuk diri sendiri dan mak/mak mertua. Menurut penjual, ia adalah rekaan terkini untuk kain batik Terengganu. Harga RM15/satu. Saya beli juga kain batik labuh untuk solat berharga RM25/satu.

Ternampak mee segera dari Thailand - Serda. Tak pernah merasa tapi tau dari cerita-cerita orang, biasanya orang buat kerabu meggi guna mee ni. Saya belilah satu pek besar perasa Tomyam berharga RM5 (ada 5 pek kecil).

Bila balik rumah try buat kerabu maggi...mak aihh pedas rasa kat bibir 🔥. Hahaa...lain kali kena buat lebih lagi bahan campuran untuk kerabu meggi atau kurangkan perencahnya supaya tak terlampau pedas. Opss...dah tercampur cerita buat kerabu meggi la pulak!😄

Saja letak sini harga serunding untuk rujukan akan datang. Kot nak kirim atau nak ambil kiriman dah boleh tau anggaran harga. Kat sini saya beli keropok kering dan keropok segera cap Pinggan berharga RM33/pek besar (mengandungi 30 pek kecil). Cap Pinggan ni paling mahal, tapi rasanya sedap dan rangup. Kalau makan susah nak berenti.

Oh ya, tuan kedai ni mintak tolong bagitau kawan-kawan. Kedai dia Warisan Anita Serunding ada buat pengeposan serunding. Harga serunding korang tengok je kat gambar atas ni, tak termasuk caj pos tau. Lepas tu boleh hubungi Ita di 019 335 3902 untuk pembelian. Kalau di Pasar Payang kedainya bernombor BMR 3. Nak tanya apa-apa pasal pembelian, sila hubungi nombor tu ya, jangan tanya saya pulak ðŸ˜…

Ok, jom tengok sisi bangunan Pasar Payang ni pulak. Bangunan direka dengan konsep terbuka dan bumbung tinggi, baik untuk pengudaraan. 

Pasar basah dan buah-buahan terletak di bangunan berasingan, sebelah je. Saya tak masuk sebab takde keperluan dan tak cukup masa.

Secara keseluruhannya, Pasar Payang 2 memang lebih baik berbanding Pasar Payang lama. Nanti kalau dah siap yang baru mesti lebih menarik! 

Wednesday 16 October 2019

Fauzi Nasi Kerabu, Gong Badak, Kuala Terengganu

Isnin | 07.10.2019

Cerita minggu lalu...saya berkesempatan ke Kuala Terengganu selama 3 malam. Memang dah lama sangat tak berkunjung ke Terengganu. Kunjungan kali ni pun disebabkan suami ada kursus, bolehlah saya ikut berjalan sekali.

Alang-alang dah sampai, saya pun buat carian Internet tempat makan sedap di sini. Kali ni nak cuba makan Nasi Kerabu di Fauzi Nasi Kerabu. Betul ke sedap? Tapi...sedap tu subjektif, ikut la citarasa tekak masing-masing kan.


FAUZI NASI KERABU
Dengan berpandukan aplikasi Google Maps, mudah je kami nak sampai ke sini. Masa ni dah mula hujan renyai, Alhamdulillah masih ada ruangan parking dan cepat-cepat lari masuk dalam kedai.

Bahagian hadapan kedai. Orang ramai sedang makan, tapi tak penuh. Kalau datang hujung minggu mesti sesak dengan pengunjung masa ni.

Konsep di sini 'layan diri'. Beratur di sini untuk pilih hidangan kita.

Menu makanan.

Menu minuman. Special di sini Tehpeng Jebok dan Greentea Jebok. Tapi tadi saya tak perasan menu ni, dah order air lain. Takpe, simpan untuk datang lain kali. Hehe..

Nasi Kerabu Ayam Bakar pilihan saya. Ayamnya sedap berjus.

Nasi Kerabu Daging Bakar pilihan suami. Dagingnya lembut dikunyah.

Ok, memang betul Nasi Kerabu di sini sedap! Dah lama rasanya saya tak jumpa Nasi Kerabu sedap. Alhamdulillah...puas hati makan. Harga pun sangat berpatutan, tak mahal. Untuk kami berdua cuma RM15.50 termasuk dua gelas minuman panas.

Insya Allah boleh ke sini lagi jika berkunjung ke Kuala Terengganu. Mujur jugak jauh, kalau tak memang susah nak kawal keinginan makan bila jumpa Nasi Kerabu sedap gini. Haha..

------------------------------------------------------------------------

FAUZI NASI KERABU
Lokasi :
Gong Badak, Kuala Terengganu
<<< Klik Google Maps DI SINI >>>

Waktu Operasi :
6.30 pagi - 1 petang

*satu lagi kedai (cawangan bandar) terletak di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.

Saturday 5 October 2019

Why Did I Become A Muslim | Daud Kim

Jay Kim ➡ Daud Kim
Alhamdulillah....Youtuber dari Korea Selatan - Jay Kim kini telah pun kembali kepada fitrah (mengEsakan Allah) dengan nama Islamnya Daud Kim.

Ya, ini bukanlah satu berita yang luar biasa (orang belum Islam kembali kepada Islam). Tetapi, kisah-kisah disebalik bagaimana seseorang itu kembali kepada Islam itulah yang menarik dan perlu kita ambil pelajaran.


Kita Belajar Daripada Dia Yang Sedang Belajar
Sebelum kembali kepada Islam, Jay Kim menerusi video Youtube ada memaparkan perbincangan dan hasil carian beliau mengenai pelbagai topik asas di dalam Islam. Bila kita tonton, ia seakan kita pulak menghadiri kelas agama (dalam bentuk santai).

Beliau membuat kita berfikir sama dan mencari jawapan. Kadang-kadang, kita sendiri tak terfikir asas hukum kepada satu-satu perkara. Cuma terima atau buat sekadar ikut-ikutan sebab itu yang diajar atau dibiasakan kepada kita sejak kecil. Bila kita tahu dan faham asas kepada sesuatu hukum, ia memudahkan kita membuat pertimbangan dalam apa jua keadaan.

Antara topik yang dipaparkan :
  • kenapa diwajibkan berhijab
  • poligami
  • batas pergaulan lelaki dan perempuan
  • tujuan hidup
Bukanlah kata bagus sangat-sangat (yang terbaik tentulah tonton video ceramah agama dari mereka yang bertauliah), cuma sambil-sambil bersantai tengok Youtube tu dapatlah juga mengingatkan kita semula mengenai hukum-hakam dan membuat kita lebih berfikir. Apa yang lebih menjentik hati, orang yang belum Islam sibuk cari tahu mengenai Islam sedangkan kita yang dah lama Islam selalu terlupa (terleka lebih tepat).


Why Did I Become A Muslim


Banyak yang kita boleh ambil pelajaran daripada paparan video ini. Antara pelajaran yang kita dapat, orang belum Islam melihat kita orang Islam sebagai gambaran 'apa itu Islam'. Mereka melihat diri kita, akhlak kita sebagai cerminan Islam. Dari situlah permulaan mereka kenal Islam, bukan melalui pembacaan al-Quran atau kitab agama.

*Segala percakapan kita, perbuatan kita, penampilan diri kita adalah dakwah*

-------------------------------------------------------------------------------------------

Saya bukanlah peminat artis Korea atau drama Korea, saya mula mengikuti Jay Kim di Youtube secara kebetulan ternampak video beliau. Walaupun ada yang kata Jay Kim buat video mengenai Islam cuma untuk dapatkan penonton yang ramai, bagi saya mana yang baik kita ambil je lah. Selagi tak nampak jelas ia berniat buruk, kenalah kita bersangka yang baik-baik je.

Semoga Daud Kim (dan kita semua) mampu menjadi hamba Allah yang baik dan semoga paparan video-video beliau terus memberi kebaikan kepada ramai orang (yang belum Islam dan orang Islam).