Saturday 4 May 2019

Perjalanan Menaiki Bas Tenom - KK & Makan Seafood di KK

(Catatan terdahulu : Pagi di Tenom, Kopi Yit Foh & Muzium Antanom)

ISNIN | 08.04.2019

PERJALANAN MENAIKI BAS EKSPRES TENOM - KOTA KINABALU (KK)
Jika sewaktu datang ke Tenom kami menaiki keretapi, untuk kembali semula ke KK kami memilih untuk naik bas ekspres. Ia bertujuan untuk penjimatan masa, merasa pengalaman jenis pengangkutan berbeza dan tentunya dapat melihat pemandangan baru.

kaunter tiket bas ekspress tenom
Beli tiket bas di sini - Tung Ma Nui Luk Express. Ini satu-satunya kaunter tiket bas ekspres yang ada di Tenom. Tiket tak boleh beli terlalu awal. Contohnya macam tiket kami untuk trip pukul 12 tengahari, hanya boleh dibeli pada sebelah pagi sehingga sebelum masa bas bergerak. Kami beli tiket kira-kira 20 minit sebelum pukul 12. Semalam kami sudah mendapat jaminan dari kerani kaunter - bahawa tak akan ada masalah kami tak dapat tiket sebab hari Isnin tak ramai orang nak naik.

Masa berjalan kaki dari hotel menuju ke kaunter tiket inilah kami sepakat menukar plan asal - cancel ke Keningau dan terus sahaja ke KK. Alasan...nak merasa makan seafood di KK malam nanti. Walaupun saya bukan penggemar seafood, tapi rugi jugak tak mencuba alang-alang dah sampai KK kan..

harga tiket bas dari tenom ke kota kinabalu
Tiket bas kami. Bas yang kami naik ni dua tingkat. Mulanya kerani jual tiket tu nak bagi kami duduk tingkat atas. Cepat-cepat saya minta tingkat bawah je. Setelah berbelas tahun tak pernah naik bas, rasa tak yakin pulak nak naik bas duduk tingkat atas untuk satu perjalanan jauh. Lagi pulak bakal melalui jalan berbukit. Huhu..

Tenom - KK
Harga tiket : RM20

bas ekspress dari tenom ke kota kinabalu
Dari Tenom, bas akan berhenti di Keningau (turun/ambil penumpang). Dan ada beberapa kali bas berhenti di tepi jalan untuk ambil penumpang. Tak pasti mereka dah beli tiket awal tapi tak naik di stesen, atau macam mana. Bas ni jugak nampaknya boleh bawa barang besar. Penumpang ni naik di tepi jalan dan bawa sekali drawer plastik bertingkat ni.

jalan kimanis sabah
Perjalanan kami melalui Jalan Kimanis yang terletak di kawasan perbukitan Banjaran Crocker menyajikan pemandangan indah! Kehijauan di kanan kiri jalan dan nampak ada rumah-rumah di lereng bukit. Saya yang merasa pening kepala sejak masuk bas (sebab bau diesel kuat), terus jadi sihat bila lalu jalan ni..haha! Siap berkabus tebal lagi kat satu kawasan ni, masa ni pukul 1.40 petang tau. Kalau naik kereta sendiri bolehlah berhenti macam mereka tu...syoknya!

hentian rehat jalan kimanis sabah
Sekitar pukul 2 petang, bas berhenti di sini (ni kira RnR la kot). Tanpa sepatah kata, driver bas turun. Mujur la saya dah baca pengalaman orang lain - bas akan berhenti sekejap untuk kita ke tandas dan beli makanan. Cepat-cepat ajak suami turun. Sempat ke tandas dan beli makanan, terus naik bas. Untuk makanan Muslim, kami beli dari penjual bertudung yang membuka meja jualan di luar bangunan ini. Tak lama lepas kami naik bas, terus hon dibunyikan (panggil penumpang kembali ke dalam bas). Huh...memang ngam-ngam je dia bagi masa!

pemandangan jalan kimanis sabah
Sempat lagi ambil gambar ni sebelum bas meneruskan perjalanan ke KK. Pemandangan yang cantik bagi saya. 

makan makan dalam bas ekspress ke kota kinabalu
Ok, masa untuk makan-makan! Nanti sebelum sampai di stesen bas KK, pembantu driver akan bawa plastik sampah dan berjalan dari belakang ke depan untuk kutip sampah kita. Ehee...macam dalam kapal terbang pulak!

Alhamdulillah...setelah melalui perjalanan selama 3 jam 30 minit, kami tiba di stesen bas KK. Sepatutnya boleh sampai lebih awal, tapi sebenarnya semasa di Keningau bas ada berhenti di sebuah bengkel (bunyi macam baiki tayar). Takpelah, janji selamat sampai. Seterusnya...kami buat carian servis Grab untuk ke hotel. Tak sabar nak berehat!

-------------------------------------------------

MAKAN SEAFOOD DI KK
Kami menginap di Classic Kinabalu Hotel, sebuah hotel bajet (bilik kami berharga RM99) yang bersih dan selesa untuk berehat. Boleh berjalan kaki ke Pasar Filipina dan sekitarnya. 

Lepas berehat, sekitar pukul 5 lebih kami mula berjalan kaki ke arah Pasar Filipina. Suasana sekitar sangat meriah - ada pasar malam. Kami terus je berjalan untuk mencari tempat makan seafood. Sampai la jumpa satu kawasan yang meriah ni, terletak di tepi laut dan tak jauh dari Pasar Besar Kota Kinabalu. Saya tak pasti nama tempat ini secara tepat.

seafood kota kinabalu
Banyak sangat kedai nak dipilih. Nak bandingkan harga pun susah sebab udang je ada macam-macam jenis/saiz. Akhirnya kami pilih ke kedai ni. Sebab boleh duduk makan betul-betul tepi laut. Konon seronoklah kan makan tepi laut di waktu senja.

lobster kota kinabalu
Lobster ni harganya RM180/kg. Yang ni sekitar RM300. Harga di sini termasuk siap masak. Bergambar percuma, kita bergambar jelah yek..haha!

makan seafood di tepi laut kota kinabalu
Inilah rupa kedai makan di sini. Khemah tetap, lantai berjubin, sebelah kiri tu laut. Ramai juga pelancong asing yang makan di sini.

seafood kota kinabalu
Hidangan kami...ermm, macam banyak sangat pulak bila dah siap masak. Saya tak minat makan udang, jadinya saya makan ikan dan sotong tu je. Yang sedap kat tekak kami cuma sotong goreng tepung dan sayur kailan ikan masin, ikan dan udang rasa pelik masakannya. Ikan tu masak tiga rasa, tapi macam curah sos je. Dan ikan tak goreng garing. Agak susah payah juga nak habiskan benda yang tak kena tekak ni kan. Ni bukan tak bersyukur dengan rezeki, tapi sekadar cerita pengalaman kami makan di sini.

Lebih membuat rasa sebal, air buah gelas biasa di caj RM7 dan sayur kailan tu RM10. Kesilapan kami di sini adalah tak bertanya harga sebelum order. Anggap ni macam kedai makan biasa, harga tak melambung. Kecuali seafood memang kita tau harga masa pilih. Total makan-makan kami - RM102.

Lagi kurang selera saya, bila sekumpulan pelancong asing di meja sebelah (meja bercantum dengan meja kami) minum air arak tin. Siap cheers bagai. Meja depan pun sama. Masa mereka datang tak nampak pulak bawak air tin ke apa, tapi lepas tu tengok dah ada air arak tin atas meja masing-masing. Hmmm....🤔

Ok, pengalaman pertama kali makan seafood di KK tapi tak menyenangkan. Bagus jugak, tidaklah teringat-ingat dan nak pergi sini lagi. Haha!

----------------------------------------------------

Sampai di sini jelah catatan mengenai trip ke Sabah (trip keretapi ke Tenom lebih tepat). Yang penting, misi naik keretapi lama ke Tenom dah tercapai. Alhamdulillah!

Penerbangan balik adalah pada pukul 7 petang esok. Esok siangnya kami cuma berjalan sekitar bandar KK dan menghabiskan masa di rumah adik ipar di Kinarut.

Kos keseluruhan trip kami untuk 2 orang selama 4 hari 3 malam :
Tiket kapal terbang AA (basic) - RM680.24
Tiket ERL - RM19.60
Parking kereta Salak Tinggi - RM27
Hotel - RM219
Tiket keretapi/teksi/bas Sabah - RM138.40
Makan-makan - RM263.75
Ole-ole - RM67.20
Tiket Taman Pertanian Sabah - RM20
TOTAL : RM1,435.19

Saya sertakan di sini untuk rujukan sendiri. Setakat tulis di kertas / komputer, susah nak cari balik.



*SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN*
Mohon maaf jika ada penulisan dan komen saya yang tak berkenan di hati ya.





.

Wednesday 1 May 2019

Tenom | Pagi di Tenom, Kopi Yit Foh & Muzium Antanom

(Catatan terdahulu : Hotel Tenom, Taman Pertanian Sabah & Pasar Malam Tenom)

Isnin | 08.04.2019

PAGI DI TENOM
Hari ketiga di Sabah, kami menikmati pagi di Tenom. Kami hanya berjalan kaki dari Hotel Tenom untuk melihat-lihat sekitar pekan ini. Boleh guna apps Google Maps untuk lebih mudah.

bulatan kopi tenom
Bulatan Kopi Tenom - mercu tanda pekan Tenom. Tenom terkenal dengan pengeluaran kopi. Lihat sejarah kopi Tenom di SINI.

pekan tenom
Pekan Tenom dengan latar perbukitan diselimuti awan...menjadikan pagi di sini terasa indah! Nampak bangunan tinggi atas bukit tu? Itulah Hotel Perkasa - hotel yang menyajikan pemandangan indah dari atas bukit.

pasar baru tenom
Pasar Baru Tenom. Tak berkesempatan nak merasa Apam Balik Pakcik Halim yang terkenal di sini sebab Isnin tutup.

tamu tenom
Tamu Tenom. Buka hari Rabu dan Ahad (berakhir jam 1 petang).

Cukuplah setakat itu, kami cuma meronda sekitar kawasan berhampiran penginapan kami di Hotel Tenom. Kami bersarapan pagi di kedai makan Asiarasa 3, balik bilik dan keluar semula untuk ke Kopi Yit Foh.

--------------------------------------------------------

KOPI YIT FOH @ KOPI TENOM
Kilang Kopi Yit Foh terletak sekitar 3.2 km dari pekan Tenom. Kami naik kereta sapu yang sama (untuk ke Taman Pertanian Sabah semalam) dengan caj RM7 satu perjalanan.

Waktu Operasi
Isnin - Sabtu : 8 pagi - 5 petang
Ahad / Cuti Umum : 9 pagi - 3 petang

kilang kopi yit foh
Kami tiba di sini sekitar pukul 9 pagi. Walaupun tak boleh masuk ke kilang kopi, tapi aroma kopi dari bangunan kilang kopi (bangunan warna biru di sebelah) sudah cukup menyegarkan! Yang kami masuk ni kedai jualan produk mereka, tertera tulisan Kilang Kopi Yit Foh.

Ada macam-macam pilihan produk, dan harga memang jauh lebih murah berbanding beli di tempat lain. Contohnya Cafe Latte 2in1 kami beli di sini dengan harga RM6.90, tapi bila ke Kota Kinabalu kami jumpa ia dijual dengan harga sekitar RM15. Haha...bukan sikit beza tu tau! Tapi...kami tidaklah membeli banyak, cukup sekadar ole-ole buat kami dan keluarga merasa kopi Tenom.

kopi yit foh tenom
Selain kedai jualan tadi, di sini juga ada kafe dan bilik penginapan. Jom kita tengok...

menarik di kopi yit foh tenom
Deko payung berwarna-warni menceriakan suasana. Tempat ni dijaga baik, bersih dan menarik!

penginapan di yit foh tenom
Penginapan yang cantik dan suasana mendamaikan! Setiap bilik dinamakan mengikut nama kopi, antaranya Kopi Susu, Americano dan Mocha. Kalau korang bermalam di Tenom dengan bajet lebih tinggi, bolehlah menginap di sini.

kafe robusta yit foh tenom
Kafe Robusta - menawarkan pelbagai menu seperti Bakso, Nasi Lemak dan Mee Kari. Tapi kami minum kopi je sebab tadi pagi dah pun bersarapan sebelum ke sini. Ruangan kafe ni luas, boleh pilih nak duduk bahagian dalam atau luar. Kami pilih duduk luar, rasa seronok 'mengopi' sambil menikmati suasana di sini.

Untuk baliknya, kami call pemandu kereta sapu tadi untuk datang ambil dan hantar kami ke destinasi seterusnya...

-----------------------------------------------------------------

MUZIUM ANTANOM
Muzium Antanom merupakan tempat terakhir kami kunjungi sebelum meninggalkan Tenom untuk kembali ke Kota Kinabalu. Sebenarnya tak jauh pun dari tempat-tempat yang kami pergi pagi tadi, cuma masa tu muzium belum dibuka.
Buka Setiap Hari
Masa : 9 pagi - 5 petang
Masuk Percuma

muzium antanom tenom
Inilah Muzium Antanom, sebuah bangunan kecil. Luas bahagian dalamnya seperti sebuah bilik besar - dengan berdiri di muka pintu, kita dah boleh lihat keseluruhan isi muzium.

pameran di muzium antanom tenom
Tak banyak bahan pameran di sini, bahagian ini yang paling banyak info. Kami berada agak lama di bahagian ini. Menekuni catatan sejarah Tenom.

sejarah landasan keretapi tenom
Antara catatan sejarah mengenai landasan keretapi Tenom.

sejarah pahlawan murut antanom
Suku kaum Murut merupakan suku kaum terbesar di Tenom. Ontoros Antanom pula merupakan pahlawan Murut yang telah menentang British. Nampaknya nama Muzium Antanom ini adalah bersempena nama beliau.

buku murut
Lupa pulak ni buku apa...buku belajar bahasa Murut kalau tak silap.

pelamin tradisional murut
Pengantin keturunan Jawa di pelaminan tradisional kaum Murut...hehee. Inilah pelaminan tradisional kaum Murut. Menurut staf bertugas (seorang wanita berwajah manis yang sentiasa tersenyum menerima kunjungan kami), pelaminan ini masih belum lengkap. Mulanya saya sangka pengunjung tak boleh naik, tapi beliau pelawa kami naik dan duduk di atas. Saya pun ambil kesempatan minta beliau ambilkan gambar. Hehe...

Walaupun saiz muzium kecil, tapi ia masih mampu memberi informasi kepada pengunjung. Tapi jika lebih banyak bahan dimuatkan, itu lebih menarik. Bagi peminat Sejarah, tak rugi datang ke Muzium Antanom jika berkunjung ke Tenom.

Selesai melawat muzium, kami balik ke bilik penginapan dan bersiap-siap untuk naik bas ekspress ke Kota Kinabalu pada pukul 12 tengahari. Kalau ikut itinerari, kami sepatutnya akan ke Keningau dan bermalam di sana. Tapi kami menukar plan pada saat akhir sewaktu nak beli tiket bas. Begitulah jika trip berdua, suka-suka boleh ubah ikut persetujuan dua orang.








.