Friday 25 February 2022

Gempa Bumi Lemah di Pagi Jumaat

Sarapan Pagi Menu Johor
Pagi tadi sebelum pergi bekerja, encik suami keluar membeli sarapan pagi kami di sebuah kedai yang menghidangkan menu Johor. Selain nasi lemak, mereka jual sate, lontong, kacang pool dan mi bandung.

Pilihan saya - lontong biasa. Dah ada telur rebus separuh biji, encik suami tambahkan pula telur mata. Sedap rasanya, kena dengan selera saya. Saiz hidangan sederhana, tak sikit sangat dan tak terlampau banyak.

Pilihan encik suami - mi bandung daging. Pun sedap dan kena selera kami. Ikutkan, dua-dua menu ni saya suka. Tapi biasanya kami ambil menu berbeza, boleh kongsi dan merasa dua masakan berbeza.


Gempa Bumi Lemah
Selepas sarapan bersama di rumah, encik suami keluar bekerja. Selesai kemas itu ini di bawah, saya naik ke bilik di tingkat atas. Duduk di hujung katil yang sudah pun dikemas, pegang handphone dan melayan media sosial.

Tingkap bilik yang dibuka.
Sejak dari awal pagi saya buka kedua-dua tingkap yang ada di bilik untuk aliran masuk udara segar. Tiada tiupan angin, tenang saja. Tetapi semasa saya sedang duduk di katil tadi, tiba-tiba saya terasa hembusan angin masuk menerusi kedua-dua tingkap. Bidai tertolak sedikit dek hembusan angin.

Sejurus selepas itu, saya rasa katil yang saya duduki bergoyang. Hairan. Biasanya kalau ada lori besar lalu depan rumah, memang terasa rumah seperti bergegar. Tapi bukan katil yang bergegar atau bergoyang. Kejadian ni berlaku cuma beberapa detik. Selepas itu kepala saya terasa pening. Saya mula rasa keliru, eh tadi betul ke katil bergoyang atau kepala saya yang pening jadi rasa bergoyang?

Saya tunggu beberapa ketika kot kejadian tadi berulang (untuk memastikan bahawa saya tidak berkhayal). Tiada apa yang jadi. Keadaan tenang-tenang saja. Saya pun letak handphone, bangun bertukar tempat duduk di kerusi dan mula menyelak lembaran buku pula. Saya pun tak faham kenapa saya buat tindakan begitu 😅

Selesai membaca beberapa bab pendek, saya ambil semula handphone dan buka WhatsApp. Oh, rupa-rupanya kejadian yang saya alami tadi adalah gempa bumi lemah! Ya Allah, tak terfikir langsung. Ada jiran yang turut sama merasa gegaran lemah tersebut, tetapi ramai juga yang tak perasan bila ia berlaku. Adik saya yang bekerja di Bangi pun turut sama terkesan, bangunan pejabatnya segera dikosongkan. Kakak saya yang berada di Pontian pun dapat merasa gegaran tersebut, tapi dia fikir sebab tak cukup tidur menjaga anak kecil yang tak sihat.

Gempa bumi
Info dari page Fb Malaysian Meteorological Department.

Peta menunjukkan kadar kekuatan gegaran yang dirasai di Indonesia dan Malaysia.

Sekitar pukul 12 tengah hari tadi, berlaku gempa bumi kedua dengan ukuran 4.9 pada skala Richter. Tidak sekuat yang pertama pada pagi tadi. Katanya cuma dirasai di Lembah Klang.

Satu pengalaman buat saya, balik rumah NS dapat ‘merasa’ gempa bumi. Walaupun cuma gegaran lemah, tetapi yang sedikit dan sekejap begitu pun dah menjejaskan diri (rasa pening kepala). Entah bagaimana mereka yang berada di pusat gempa. Sesungguhnya pada setiap kejadian ada sesuatu untuk kita fikir dan ambil pelajaran.




Thursday 24 February 2022

Naik Pangkat Jadi Nenek Saudara dan Bertukar Syarikat Telco

Naik Pangkat Jadi Nenek Saudara

Alhamdulillah malam semalam (23.02.2022), anak saudara saya yang melangsungkan perkahwinan pada penghujung tahun 2020 telah selamat menimang cahaya mata sulung. Seorang bayi perempuan. Maka secara rasminya, saya kini sudah ada cucu saudara. Nek Ujie…hehe. Cucu sendiri? Memang tak nampak bayanglah sebab anak pun tak ada lagi 😬. InsyaAllah selepas ini akan bertambah lagi cucu saudara saya memandangkan saya ada seramai 29 orang anak saudara.

Bertukar Syarikat Telco (Maxis ➡️ Celcom)

Sekitar pukul 7 malam tadi, saya mula menggunakan perkhidmatan rangkaian oleh Celcom. Ini bukan kali pertama saya bertukar syarikat telekomunikasi (dengan mengekalkan nombor sedia ada 012). Daripada Maxis ke Celcom, kembali ke Maxis dan kini ke Celcom semula. Pertukaran di buat mengikut keperluan semasa. Kalau saya dapati syarikat sedia ada asyik memberi masalah liputan, saya tukar.

Sebelum pertukaran diluluskan (selepas buat permohonan port out), dah beberapa kali juga orang Maxis telefon ‘memujuk’. Kali terakhir pada pagi tadi, macam-macam ditanya. Kebetulan pulak masa tu memang talian tak elok, terputus-putus. Saya bercakap, dia tak dengar. Maka dia pun fahamlah kenapa saya perlu bertukar 😅



Sekarang saya bersiaran dari rumah NS. Di sini Celcom pulak yang tak berapa lancar. Tapi takpelah, saya balik rumah NS sekejap je. Tadi petang sampai, hari Sabtu atau Ahad nanti kembali ke rumah PP. Sekarang ni agak kerap dapat balik rumah NS (atas sebab urusan kerja encik suami), bulan Februari ni saja dah dua kali balik.


Tuesday 22 February 2022

Novel Siri Kisah Bujang | Pulang-Pergi


Novel Pulang-Pergi, Tere Liye
Judul : PULANG-PERGI
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Sabakgrip
Jumlah halaman : 414

Novel Pulang-Pergi dengan kulit buku yang menarik ini adalah lanjutan novel Pergi dan merupakan novel kelima dalam siri kisah hidup Agam a.k.a. Bujang a.k.a. Si Babi Hutan.

Berbanding novel terdahulu dalam siri ini, novel Pulang-Pergi ini paling sarat dengan aksi. Hampir keseluruhan dari bab awal sehingga hujung cerita penuh dengan aksi serangan, pertarungan dan kejar mengejar yang membuat saya turut sama lelah, berdebar dan terus fokus menyelak lembaran demi lembaran novel.

Sinopsis

Dalam kisah kali ini, Bujang bukan lagi Tauke Besar Keluarga Tong. Namun disebabkan satu perjanjian yang telah dibuat semasa Bujang menjadi Tauke Besar, dia kini perlu memenuhi janji untuk dijodohkan dengan Maria, iaitu anak kepada Otets (salah seorang ketua keluarga penguasa shadow economy).

Pada malam pernikahan Bujang dan Maria, mereka diserang oleh Natascha iaitu orang kepercayaan Otets yang berkhianat kerana mahu membalas dendam masa silam. Bujang dan Maria kemudiannya menjadi buruan bersama orang-orang yang membantu mereka - Salonga, Junior, Thomas, White, si kembar Yuki dan Kiko. Berjayakah pasukan mereka mengalahkan pasukan Natascha? Juga siapakah rakan subahat Natascha? Ada kejutan di sini.


Novel Pulang-Pergi, Tere Liye

Petikan Novel

“Gunakan kemampuan kalian sebaik mungkin. Aku percaya dengan kalian. Di mobil ini, kalian bukan hanya pembunuh bayaran, mantan marinir, putri keluarga penguasa shadow economy, konsultan keuangan, atau remaja pendiam. Kalian temanku. Bahkan lebih dari itu, kalian adalah keluargaku selama 48 jam terakhir. Kita melewati lima negara bersama-sama, maka kita akan menuntaskan masalah ini juga bersama-sama. Saling percaya.” - halaman 301.

Selain watak Bujang, watak lain yang menyerlah dalam novel ini adalah Thomas dan Junior yang bijak dan tangkas beraksi. Saya juga suka ciri humor yang ada pada watak Salonga, kata-katanya selalu membuat saya tersenyum sendiri. 

Nampaknya siri kisah Bujang tidak terhenti di sini, tertera di akhir novel judul lanjutannya ‘Bedebah Di Ujung Tanduk’.


“Ada jodoh yang ditemukan lewat tatapan pertama.
Ada persahabatan yang diawali lewat sapa hangat.
Bagaimana jika takdir bersama ternyata,
diawali dengan pertarungan mematikan?
Lantas semua cerita berkelindan dengan,
pengejaran demi pengejaran mencari jawaban?
Pulang-Pergi.”



Monday 21 February 2022

Apa Ada di Galeri 3D Gua Kelam dan Rumah Cermin?

Semasa saya dan encik suami di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Galeri 3D Gua Kelam dan Rumah Cermin sebenarnya tidak dibuka kepada pengunjung. Galeri 3D Gua Kelam ditutup kerana sedang dalam penyelenggaraan/penambahbaikan, manakala Rumah Cermin merupakan produk yang baru saja dilancarkan dan belum dibuka kepada pengunjung. Tetapi bak kata juru pandu kami, alang-alang dah mai sini bolehlah masuk. Nak tunggu kami datang sini lagi, tak taulah bila kan.


GALERI 3D GUA KELAM
Galeri 3D Gua Kelam atau lebih dikenali sebagai Galeri Gua Kelam merupakan pameran berbentuk pengalaman penjelajahan dalam gua yang diterjemahkan melalui gabungan pameran bahan grafik 3 dimensi (3D) - bunyi-bunyian alam, pameran spesimen, artifak, replika gua dan informasi dalam bentuk kod QR.

Ruang galeri ni tidaklah begitu luas, tetapi cukup menarik dan berinformasi. Lagi bagus kalau kita dapat masuk galeri ni sebelum memulakan penjelajahan ke Gua Kelam. Menurut juru pandu, biasanya kalau ambil pakej Gua Kelam 2 pengunjung memang akan dibawa ke sini terlebih dahulu. Tapi kami tadinya terus je dibawa masuk ke Gua Kelam 2 sebab galeri ni memang tak dibuka.

Ruang depan galeri. Masuk je sini kita dapat dengar bunyi-bunyian alam.

Ada beberapa sudut gambar/lukisan 3D yang menarik untuk pengunjung berfoto. Tetapi kalau kita sendiri memang tak pandai nak bergaya (seperti gambar di atas), memang tak menariklah fotonya 😆

Antara bahan pameran - barang tinggalan para pelombong.

Selesai lawatan di galeri, jom kita tengok apa yang ada di Rumah Cermin pula…


RUMAH CERMIN
Kami dibawa oleh seorang pekerja pembersihan menuruni anak tangga menuju ke Rumah Cermin yang terletak di tingkat bawah. Menurutnya, kami adalah pengunjung yang pertama masuk ke sini. Pertamalah kan, sebab tempat ni memang belum dibuka kepada pengunjung. Hehe.

Buka je pintu masuk ke Rumah Cermin, kita hanya akan nampak cermin di mana-mana. Kena berhati-hati berjalan bimbang diri bertembung dengan cermin pulak.

Yang mana satu orang betul?

Kami masuk bertiga, kemudiannya bersama-sama sesat bertiga 😂. Tempat tak besar pun, tapi pusing punya pusing tak jumpa jalan keluar. Jadinya menurut saya, ini adalah Rumah Sesat!

Sekarang (sewaktu entri ini ditulis) Rumah Cermin sudah pun dibuka kepada pengunjung. Saya tak pasti berkenaan bayaran yang dikenakan untuk masuk ke sini. Kalau ada bayaran pun rasanya dengan kadar minima saja. Ok juga masuk ke sini untuk kita menguji kecekapan mata.

Terima kasih kepada pihak berkenaan yang bagi kami masuk ke dua-dua tempat ni walau pun tidak dibuka pada hari tersebut. Alhamdulillah selesai lawatan kami ke semua tarikan yang ada di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam ni.

Sebelum meneruskan perjalanan balik ke Pulau Pinang, kami sempat singgah ke satu lagi tarikan di Perlis - Pasar Terapung. InsyaAllah akan saya catatkan di blog.




Saturday 19 February 2022

Gua Kelam 1, Perlis

Sambung kisah di Perlis. Lebih tepat, di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis. Dari Gua Kelam 2, kita perlu melalui Gua Kelam 1 untuk kembali ke bahagian hadapan (kawasan parkir). 

Gua Kelam 1, Perlis
Untuk masuk ke Gua Kelam 1, tiada bayaran tambahan dikenakan. Kiranya dengan bayaran masuk sebanyak RM2 ke pusat eko pelancongan ini, pengunjung boleh main air sungai, berkelah dan masuk ke Gua Kelam 1.

Berbeza dengan Gua Kelam 2 yang lebih mencabar, masuk ke Gua Kelam 1 ni santai saja tanpa perlu berpakaian sukan atau bawa lampu suluh. Pengunjung akan berjalan di atas platform jambatan dengan jarak 370 meter. Tak begitu jauh, namun cukup memberi pengalaman menarik terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali merasai pengalaman masuk gua. Sambil berjalan di atas jambatan, kita dapat memerhatikan formasi batuan di dalam gua dan mendengar deruan aliran sungai yang mengalir di bawahnya.

Hanya gambar formasi batuan ini yang sempat saya rakam sambil berjalan. Pengunjung agak ramai dan jambatan agak sesak. Rasa leceh pulak nak berhenti.

Video berdurasi 5 saat je, sebagai sedikit gambaran keadaan di dalam Gua Kelam 1.

Kalau ada ke Perlis, singgahlah ke Gua Kelam 1 ni kerana ia gua yang mudah dikunjungi dan sesuai bagi semua peringkat umur. Kalau nak elakkan sesak, mungkin perlu datang awal pagi atau pada hari bekerja. Tempat ni dibuka pada setiap hari dari pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang.

Selepas keluar dari Gua Kelam 1, kami berehat seketika sebelum meneruskan acara lawatan ke Galeri 3D Gua Kelam dan Rumah Cermin pula.







Thursday 17 February 2022

Janji Temu Pertama Dengan Pakar Periodontik | Rawatan ‘Root Surface Debridement’

Cerita di Perlis masih belum habis, saya selit dulu cerita berkenaan rawatan gusi sebelum terlupa dan terus tak catat di blog. Catatan panjang ini penting sebagai rujukan saya sendiri pada masa akan datang memandangkan rawatan gusi mengambil masa yang agak lama, perlu berulang kali datang ke klinik dan kosnya yang tinggi.

Apa itu periodontik? Periodontologi merupakan satu cabang kepakaran pergigian yang tertumpu secara khusus dalam pencegahan, diagnosis dan rawatan penyakit yang berkaitan dengan tisu penyokong gigi (periodontium) iaitu gusi (gingiva), tulang alveolus (alveolus), ligamen periodontium (periodontal ligament) dan simentum (cementum). Perkhidmatan kepakaran ini disediakan di klinik-klinik pergigian primer kerajaan dengan kepakaran Periodontik dan semua pesakit adalah pesakit rujukan. (Sumber : ohd.moh.gov.my)

Kata mudahnya, pakar Periodontik adalah pakar gusi (Gum Specialist). Biasanya kalau kita pergi ke klinik pergigian tu jumpa doktor gigi untuk rawatan biasa, tapi jika kita ada masalah gusi yang serius perlulah berjumpa dengan pakar Periondontik. 

Macam mana saya tahu saya perlu jumpa pakar Periodontik? Beberapa tahun terakhir ini (atau mungkin lebih awal cuma saya tak perasan), saya menghadapi masalah gusi sensitif - rasa ngilu atau sakit disebabkan gusi yang menyusut. Bacaan lanjut berkenaan gusi sensitif di siniYa, saya sudah menggunakan ubat gigi Sensodyne dan memang sangat membantu mengurangkan rasa sensitif yang saya alami. Saya jumpa beberapa orang doktor gigi yang berbeza, semua mengatakan saya ada masalah gusi susut dan tiada rawatan boleh dilakukan selain melakukan rutin rawatan cuci gigi (scaling) seperti biasa.

Masa pertama kali dengar dulu memang saya rasa agak sedih dan kecewa, juga geram pada diri sendiri sebab masa muda dulu penakut jumpa doktor gigi akibat trauma dengan pengalaman zaman sekolah. Saya mula berani berjumpa doktor gigi semula bila umur sudah pun 30-an. Itu pun tidaklah mengikuti rutin scaling 6 bulan sekali. Begitulah kisah kesilapan lalu saya yang memberi kesan kepada kualiti kesihatan gigi saya pada hari ini. Sila ambil pengajaran ya! Amalkan jumpa doktor gigi secara rutin dan bagi yang ada anak, bawalah anak berjumpa doktor gigi seawal gigi pertama tumbuh. 

Jadinya selepas itu gigihlah saya buat carian di internet berkenaan masalah gusi susut. Memang betul, hampir tak ada apa boleh kita buat bila gusi dah susut. Tetapi rupanya masih ada rawatan lanjutan yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan masalah menjadi lebih serius. Tetapi rawatan tersebut perlu dilakukan oleh pakar Periodontik. Masa inilah baru saya tahu adanya pakar Periodontik. 

Disebabkan adanya kekangan untuk saya mengikuti janji temu rawatan di klinik pergigian kerajaan, saya pun buatlah carian klinik pergigian swasta yang ada doktor pakar Periodontik. Alhamdulillah saya jumpa satu klinik di PP ni yang ada pakar Periodontik (selepas itu baru saya tahu cuma ada dua orang doktor pakar Periodontik swasta di PP).


KLINIK PAKAR PERIODONTIK & PERGIGIAN FREEDA WOON
Saya telefon klinik untuk membuat janji temu pertama pada awal Januari lalu. Agak susah juga nak cari slot kosong. Saya dapat pada penghujung Januari dan kemudian saya tukar (atas sebab tak dapat dielakkan) kepada hari Khamis, 10 Februari lalu.

Temu janji saya pada pukul 11 pagi. Saya sampai klinik sekitar pukul 10.45 pagi. Lepas buat pendaftaran, terus je dipanggil masuk ke bilik rawatan. Setelah duduk di kerusi rawatan, seorang doktor perempuan muncul serta memberi salam kepada saya. Oh, Alhamdulillah…doktor Muslim. Sebolehnya memang saya nak buat rawatan dengan doktor perempuan Muslim.


Setelah menerangkan masalah dan keadaan gigi saya, Dr. Freeda buat pemeriksaan awal terhadap gigi saya. Seperti yang saya sedia maklum, kata beliau saya mengalami penyakit gusi - Periodontitis. Saya juga ditanya kalau-kalau ianya faktor keturunan, memandangkan gusi saya susut awal (umur 40-an) dan tiada faktor lain (merokok, stres, diabetes). Ya, karang gigi antara faktor penyebab penyakit gusi. Tetapi bagi mereka yang ada kecenderungan genetik, akan lebih mudah terkena penyakit gusi apabila adanya faktor lain (karang gigi, merokok, stress). Lebih kurang begitulah yang saya faham.

Sebelum memulakan rawatan, saya diberi penerangan (siap tunjuk gambar-gambar) berkenaan apa itu penyakit gusi dan apa rawatan yang boleh dibuat. Kata beliau lagi, rawatan gusi akan mengambil masa yang lama dan tujuan rawatan adalah supaya gusi mampu memegang gigi semula. 



Untuk rawatan kali pertama :
  1. X-ray
  2. Ukur gigi
  3. Deep cleaning (Root Surface Debridement) untuk gigi bahagian bawah.
Untuk x-ray, saya berpindah ke bilik sebelah. Pengalaman pertama saya melakukan x-ray gigi. Perlu senyum lebar sambil gigi menggigit satu alat. Selepas x-ray, saya kembali ke bilik rawatan untuk proses ukur gigi dan rawatan deep cleaning.

Apa itu deep cleaning (Root Surface Debridement)? Root surface debridement involves the careful removal of deposits of calculus and plaque from the root surface. When healthy, the gum surrounding the tooth will fit tightly with a small space between measuring 1-3mm.

Secara mudahnya, ia sama seperti scaling tetapi dibuat lebih jauh ke dalam lagi dan memerlukan pesakit dibius. Rawatan ini perlu dilakukan kerana rawatan scaling biasa tak memadai bagi kes seperti saya. Oleh kerana proses rawatan akan mengambil masa yang lama, deep cleaning akan dilakukan dua kali. Saya pilih buat rawatan untuk gigi bahagian bawah terlebih dahulu.

Sebelum tu, gusi saya (bahagian bawah dalam mulut) disuntik ubat bius supaya kebas dan tak rasa sakit sepanjang rawatan. Sakit tak kena suntikan bius? Sakit sikit je sebab sebelum tu doktor dah sapu ubat bius di tempat suntikan. Selepas itu, seluruh bahagian bawah mulut saya jadi kebas. Memang tak rasa apa-apa dan selesa sepanjang doktor buat rawatan. Sesekali mungkin ada rasa kurang selesa di beberapa tempat, tapi masih ok. Cuma bila doktor suruh berkumur, memang susahlah sebab bibir bawah dah kebas.

Berapa lama proses rawatan deep cleaning saya? Saya agak mungkin menghampiri 1 jam 30 minit. Masa keseluruhan dari masuk jumpa doktor sehingga keluar adalah 2 jam. Fuh, lama sungguh! Walau pun lama, tapi tak rasa terseksa cuma lenguh juga badan berbaring. Sepanjang rawatan saya amalkan zikir Rabbi Yassir Wala Tu’assir (Ya Allah, permudahkanlah dan jangan dipersulitkan). Dr. Freeda sesekali akan bertanya saya, “Puan ok?”. Saya jawab pertanyaan beliau dengan buat isyarat jari 👌🏽. 

Root Surface Debridement
Caj rawatan untuk janji temu pertama. Pergi jumpa doktor pakar di klinik swasta kan, beginilah harganya. Splinting tu ‘ikat gigi’. Ada 4 batang gigi saya yang ‘diikat’ sementara untuk mengukuhkan gigi.

Alhamdulillah selesai rawatan pertama sekitar pukul 12.45 tengah hari. Semuanya berjalan lancar. Klinik yang cantik dan selesa. Staf yang mesra melayan. Paling penting, saya sangat berpuashati dengan layanan dan rawatan yang diberikan oleh Dr. Freeda. Orangnya lembut dan sangat sopan berkata-kata.

Temu janji berikutnya pada awal bulan Mac (tiada slot kosong yang lebih awal) untuk rawatan deep cleaning gigi bahagian atas pula. Selepas tu tunggu dua bulan untuk proses penyembuhan gusi.

Kesan ubat bius tadi hilang sepenuhnya kira-kira 2 jam selepas saya meninggalkan klinik. Alhamdulillah lepas habis ubat bius, saya tak mengalami apa-apa kesakitan. Cuma ada beberapa tempat rasa sedikit tak selesa. Tak terlalu mengganggu.

Semoga Allah memberi kesembuhan kepada gusi saya. Walau pun tak mungkin kembali seperti asal, tapi sekurang-kurangnya rawatan ini dapat mengawal masalah menjadi lebih serius dan mengelakkan kehilangan semua gigi sebelum waktunya. Sejak ada masalah gusi ni, banyak yang saya belajar dan ambil tahu mengenai kesihatan gigi dan gusi. Antaranya, jangan senang-senang setuju cabut gigi kalau sakit. Kenal pasti masalah sebenar dan usahakan buat rawatan (jika ada) sebelum buat keputusan cabut gigi.






.

Tuesday 15 February 2022

Seketika di Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan, Gua Kelam, Perlis

Keluar dari Gua Kelam 2, saya bertanya kepada juru pandu berkenaan lokasi Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan (saya tahu kewujudannya melalui perkongsian di Facebook). Terus juru pandu bawa kami ke lokasi tapak perkhemahan tersebut yang terletak tak begitu jauh dari pintu gua.

Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan (Hujan-Hujan Campsite) di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Nama tapak perkhemahan ini diambil sempena nama pokok Hujan-hujan atau Pukul Lima yang terdapat di sini. Tapak perkhemahan ini dilengkapi dengan kemudahan tandas dan surau. Tempat ini lebih sesuai untuk aktiviti perkhemahan kumpulan besar, kalau setakat satu dua khemah mungkin agak seram dan bahaya dek ancaman binatang. Masa kami ke sini memang tiada sesiapa yang berkhemah.

Kalau nak datang berfoto-foto je pun sesuai sangat di sini. Cantik tempat ni dengan landskap pokok Hujan-hujan. Tapi sebab kami datang bertiga dengan juru pandu, segan pulak saya. Gambar tegak satu dua, cukuplah sekadar buat kenangan pernah hadir di sini.

Indah ciptaan Allah ❤️

Kalau ada ke Gua Kelam, bolehlah cari lokasi Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan ni untuk menikmati keindahannya. Kiranya kalau nak ke sini kita perlu melalui Gua Kelam 1 atau Gua Kelam 2. Kalau nak berkhemah dan membawa kenderaan berhampiran tapak perkhemahan, ada jalan lain untuk kita masuk dari belakang.


Monday 14 February 2022

Eksplorasi Gua Kelam 2, Perlis

AHAD | 30.01.2022

Aktiviti pertama saya dan encik suami di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam - eksplorasi ke Gua Kelam 2. Untuk masuk ke Gua Kelam 2 ni kita wajib mendapatkan khidmat juru pandu arah dengan bayaran sebanyak RM80 untuk kumpulan maksima 10 orang. Boleh terus datang sebelah pagi atau sebaiknya buat tempahan slot lebih awal dengan menghubungi pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atau terus hubungi Pengawas Hutan Gua Kelam - 013 332 4224 (En. Muhamad Saili).

Kumpulan kami? Cuma berdua. Pejam mata jelah masa bayar ya. Encik suami kata takpelah, kita sokong industri eko pelancongan Perlis. Jadinya kalau ada yang nak ke sini, cukupkanlah 10 orang ya. Lebih jimat…hehe.
[Pengenalan] Gua Kelam 2 merupakan salah satu daripada gua-gua di Hutan Simpan Wang Mu. Ia terletak di Banjaran Nakawan yang merupakan banjaran batu kapur terpanjang di Malaysia dan merentasi sehingga ke Thailand. Suatu masa dahulu, aktiviti perlombongan bijih timah giat dijalankan di dalam gua ini. Pengunjung akan dapat melihat kesan tinggalan aktivit perlombongan tersebut di dalam gua selain menyaksikan keunikan dan keindahan gua batu kapur. 

Ok, jom kita masuk ke Gua Kelam 2…

Untuk ke Gua Kelam 2, masuk ikut bangunan ni.

Sebelah kiri itulah laluan ke pintu masuk Gua Kelam 2. Sebelum tu, kita perlu pakai topi keselamatan.

Gua Kelam 2, Perlis
Pintu masuk Gua Kelam 2 terletak di aras tinggi. Kita perlu melalui jambatan besi ini untuk ke pintu gua.

Gua Kelam 2, Perlis
Sebelum masuk gua, jom kita baca peta Gua Kelam 2 ni. Jarak keseluruhan gua adalah sepanjang 3,389.6 meter, tetapi buat masa sekarang pakej yang ada hanya dibuka untuk laluan sepanjang sekitar 1,011.4 meter sahaja. Untuk sekitar 400 m pertama, kita akan melalui laluan rata.

Di sinilah pintu masuk ke Gua Kelam 2. Ada pagar berkunci untuk mengelakkan pencerobohan. Nampak laluan bersimen dan ada semacam besi rel tu? Rupa-rupanya semasa di awal pembukaan Gua Kelam 2, pengunjung akan di bawa masuk ke sini menggunakan trem. Tetapi atas sebab keselamatan, perkhidmatan tersebut ditamatkan pada tahun 2013 setelah 3 tahun beroperasi.

Gua Kelam 2, Perlis
Bumbung gua yang rendah, sebab tu kita kena pakai topi keselematan. Menurut juru pandu kami, sebelum ini bumbung gua ni lebih rendah (sesuai untuk pengunjung naik trem). Selepas tiada servis trem, bumbung gua di tinggikan lagi sesuai untuk pengunjung berjalan. Saya yang berketinggian 160 cm pun dah terasa risau kot kepala terkena bumbung gua, kalau yang jauh lebih tinggi nampaknya kenalah jalan sambil menunduk kepala atau membongkok badan sedikit. Penat juga tu 😅

Kami tiba di ruang utama gua, di mana terdapatnya Kolam Biru (The Blue Pool). Airnya jernih dan berwarna biru kehijauan. Air di sini merupakan air beralkali dengan tahap pH 8.5. Menurut juru pandu kami, walau pun air di sini nampak cetek tetapi sebenarnya agak dalam juga kerana paras selut yang tinggi.

Tamat sudah perjalanan yang agak santai, selepas ini kita akan berjalan di permukaan yang tidak rata dan mendaki anak-anak tangga. Udara juga terasa berbeza, panas. Paras oksigen juga terasa semakin rendah kerana tiada celah udara masuk.

Gua Kelam 2, Perlis
Biasanya kita masuk gua cuma tau stalaktit dan stalagmit, kali ni saya belajar satu lagi formasi gua yang dipanggil sebagai Tirai Gua (Cave Curtains). Ia terbentuk apabila air yang mengandungi mineral yang turun dari siling atau dinding gua pada laluan yang sama, hasilnya struktur ini kelihatan seperti lembaran nipis yang tergantung.

Gua Kelam 2, Perlis
Antara tinggalan aktiviti perlombongan yang dapat kita saksikan. Sebelah kiri tu adalah tempat cuci bijih timah.

Tin susu yang dipercayai tinggalan para pelombong.

Tumbuhan yang terdapat di dalam gua ini - Kulat Bulu Arnab. Tapi yang ni dah hampir mati. Yang masih baru dan cantik memutih boleh tengok dalam video di hujung entri ni ya.

Gua Kelam 2, Perlis
Kami bergambar berlatarkan formasi Tirai Gua yang cantik.

Gua Kelam 2, Perlis
Ini pula merupakan stalaktit yang telah dipotong oleh penceroboh gua untuk mendapatkan bahagian batu bernilai tinggi yang dikenali sebagai batu kristal atau batu bunga. Kami dapat melihat dengan jelas kesan pemotongan tersebut di beberapa tempat lain lagi. Akibatnya, batu ini ‘mati’ dan kita tak dapat lagi melihat keindahan batu yang bersinar bagai kristal di dalam gua ini.

Gua Kelam 2, Perlis
Kami di bawa naik ke tempat yang tinggi di dalam gua, dipercayai tempat rehat para pelombong suatu masa dulu. Dari kedudukan ini, kami dapat menyaksikan ruangan gua dengan pandangan yang lebih luas. Nampak kayu tu? Terdapat banyak kayu-kayu seumpamanya di siling gua yang dipercayai digunakan sebagai titi/jambatan semasa aktiviti perlombongan.

Gua Kelam 2, Perlis
Antara penghuni di Gua Kelam 2 - Katak Gergasi. Mujur juru pandu dah bagitau kami, ada katak besar di sini. Kalau tak, mau terkejut saya. Katanya ada dua ekor, tapi nampaknya kami cuma jumpa seekor saja. Juru pandu kata boleh ambil gambar dekat-dekat dengan katak ni, tapi saya tak berani la pulak. Haha. Selain katak, sepatutnya ada kelawar. Tapi akhir-akhir ini kelawar dah tak kelihatan lagi di sini. 

Gua Kelam 2, Perlis
Alhamdulillah, dah sampai di pintu keluar Gua Kelam 2. Terasa sekejap dan tak puas pulak. Yelah, cuma sekitar 1 km je jaraknya dan tempoh masa eksplorasi cuma sekitar 40 minit.

Apa pun, ini merupakan satu pengalaman yang menarik kerana setiap gua ada keunikan tersendiri. Ini merupakan pengalaman pertama saya memasuki gua ada pintu masuk dan pintu keluar berbeza, biasanya kita perlu berpatah balik di laluan yang sama untuk keluar dari gua. Sebab tu jugak masa eksplorasi jadi lebih singkat.

Gua Kelam 2 juga merupakan gua tanpa lubang/celah angin, menjadikan udara di bahagian tengah gua lebih panas dan paras oksigen terasa semakin rendah. Manakala di awal dan hujung gua terasa sejuk berangin.


Pengalaman Bergelap di Dalam Gua
Disebabkan tiada lubang/celah, gua ini juga sebenarnya sangat gelap tanpa kemasukan sebarang cahaya. Tapi jangan takut gelap, sebab gua ini dilengkapi lampu di beberapa tempat. Satu lagi pengalaman menarik, kami diberi peluang merasai kegelapan di dalam gua ini seperti mana yang dilalui oleh para pelombong dahulu (mereka cuma menggunakan lampu kabait sebagai sumber cahaya). Juru pandu mematikan suis utama elektrik dan kami matikan lampu suluh. Suasana berubah menjadi gelap gelita! Tiada apa yang dapat saya lihat dalam kegelapan. Suasana sunyi, saya hanya mendengar bunyi titisan air yang berjatuhan di dalam gua. Awalnya mungkin sedikit seram, tapi kemudiannya saya rasa satu ketenangan kerana pendengaran fokus pada bunyi titisan air.

Dan…eh, sempat pulak saya berimaginasi babak dalam novel Pergi yang baru saya baca - watak Diego tinggal bertahun dalam gua gelap bersama kelawar untuk latihan keupayaan bertarung di dalam gelap. Begini agaknya, apabila deria penglihatan tertutup maka deria pendengaran kita akan menjadi lebih fokus.

Video berdurasi 1:20 minit sekitar eksplorasi di Gua Kelam 2. Ringkas je, sekadar perkongsian buat yang tak berkesempatan ke sini dan buat kenangan saya sendiri tentang bagaimana rupa di dalam Gua Kelam 2.

Tamat eksplorasi di Gua Kelam 2, juru pandu membawa kami melihat-lihat Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan dan seterusnya ke Gua Kelam 1 (biasa disebut sebagai Gua Kelam). Kiranya, kalau ke Gua Kelam 2 kita memang perlu masuk laluan Gua Kelam 1 untuk kembali ke kawasan parkir.

Bersambung cerita di entri seterusnya, InsyaAllah.






.

Wednesday 9 February 2022

Jom ke Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis

AHAD | 30.01.2022

Sebelum ini saya dan encik suami cuma sempat ke View Point Wang Kelian dan Dataran Empangan Timah Tasoh. Eksplorasi di negeri Perlis kami teruskan lagi, kali ini kami ke Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam. Perjalanan bermula dari rumah PP selepas solat Subuh.

Panorama yang dapat dilihat sewaktu kami menuju ke Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam. Pokok-pokok kekeringan, seakan pemandangan pada musim luruh. Di beberapa tempat juga kelihatan kesan rumput terbakar. Perlis ketika ini (sewaktu kunjungan kami) sedang mengalami cuaca panas dan kemarau. Sama situasinya di Kedah dan Pulau Pinang.


PUSAT EKO PELANCONGAN GUA KELAM
Kami sampai di sini sekitar pukul 10 pagi. Beberapa hari sebelumnya, encik suami dah membuat tempahan slot dengan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk kami meneroka Gua Kelam 2. 

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis
Maklumat kadar bayaran yang dikenakan di sini.

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis
Masuk dan berhenti di pondok sebelah kanan untuk pembelian tiket secara pandu lalu. 

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis
Tiket masuk ke sini, RM2 seorang dewasa dan RM1 bayaran parkir. 

Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam, Perlis

Apa yang menarik di Pusat Eko Pelancongan Gua Kelam? Selain daripada boleh berkelah dan bermain air sungai, kita boleh melakukan aktiviti di tempat-tempat berikut :
  • Eksplorasi Gua Kelam 1
  • Eksplorasi Gua Kelam 2
  • Galeri 3D Gua Kelam
  • Rumah Cermin
  • Berkhemah di Tapak Perkhemahan Hujan-Hujan
Berkenaan kadar bayaran, boleh rujuk gambar maklumat bayaran. Kecuali untuk Rumah Cermin, tiada maklumat bayaran yang saya perolehi kerana ia merupakan produk baru di sini. Dan semasa saya ke sini ianya masih belum di buka untuk pengunjung.

Aktiviti pertama kami di sini, eksplorasi Gua Kelam 2. InsyaAllah catatannya pada entri akan datang.


Tuesday 8 February 2022

Pergi


Novel Pergi Tere Liye
Judul : PERGI
Penulis : Tere Liye
Penerbit : Sabakgrip
Jumlah halaman : 439

Buku ini merupakan buku kedua yang telah saya baca bagi tahun 2022. Ia selesai dibaca pada bulan Januari lalu, tapi baru sekarang saya berkesempatan membuat catatan di blog.

Novel Pergi karya penulis dari Indonesia ini merupakan lanjutan novel Pulang yang telah saya baca beberapa tahun lalu (saya tak buat catatan bacaannya di blog). Watak utama novel ini ialah Agam a.k.a. Bujang a.k.a. Si Babi Hutan. Sebuah novel aksi, genre kegemaran saya.

Sinopsis
Dalam novel Pergi, Bujang sudah menjadi Tauke Besar iaitu ketua Keluarga Tong yang merupakan salah satu keluarga penguasa shadow economy di Asia Pasifik. Selain menyelesaikan konflik yang terjadi di antara keluarga penguasa shadow economy, Bujang dikejutkan dengan kenyataan bahawa dia mempunyai saudara sebapa. Bujang berusaha menyusuri masa lalu bapanya untuk menjejaki saudaranya.

Ada beberapa kejutan di akhir kisah novel ini, yang mana salah satunya merupakan jawapan kepada judul novel ini. Pergi. Ke manakah Bujang akan ‘pergi’?

Novel Pergi Tere Liye

Petikan novel
“Kehidupanmu ada dipersimpangan berikutnya, Agam. Dulu kau bertanya tentang definisi pulang, dan kau berhasil menemukannya, bahwa siapapun pasti akan pulang ke hakikat kehidupan. Kau akhirnya pulang menjenguk pusara Bapak dan Mamakmu, berdamai dengan masa lalu menyakitkan. Tapi lebih dari itu, ada pertanyaan penting berikutnya yang menunggu dijawab. Pergi. Sejatinya ke mana kita akan pergi setelah tahu definisi pulang tersebut. Apa yang harus dilakukan? Berangkat ke mana? Bersama siapa? Apa ‘kendaraannya’? Dan ke mana tujuannya? Apa sebenarnya tujuan hidup kita? Itulah persimpangan hidupmu sekarang, Bujang. Menemukan jawaban tersebut. Kau akan pergi ke mana, Nak.”

Seperti selalunya, saya sentiasa teruja dan fokus bila membaca hasil karya Tere Liye. Apalagi bila sedang membaca babab-babak situasi pertarungan, terasa debarannya. Pada ayat tertentu, saya mengulang-ulang baca sama ada kerana terpesona dengan keindahan bahasa atau kerana ayat tersebut membuat saya berfikir tentang kehidupan.

Novel Pergi ada lanjutannya, iaitu Pulang-Pergi yang telah selesai saya baca pada bulan lalu juga. Saya berhutang satu catatan bacaan. Dan sekarang saya sedang menikmati hasil penulisan terbaru oleh ustaz Pahrol Mohamad Juoi, Seperti Air Yang Mengalir.


“…dalam banyak hal kita tidak bisa memilih waktu terbaik. Saat sesuatu itu datang, kita hanya bisa bersiap menghadapinya.” - Pergi, Tere Liye



Monday 7 February 2022

Bila Burung Merpati Bersarang di Balkoni Rumah

Pada bulan Januari lalu, kami tinggalkan rumah PP selama 10 hari sebab balik kampung di Johor dan seterusnya bersambung urusan kerja encik suami di beberapa negeri.

Bila balik semula ke rumah PP pada 16 Januari, kami sampai dah lewat petang. Perkara biasa bila masuk rumah, saya akan segera buka sliding door untuk aliran pengudaraan. Maklumlah, ruangan tu tak ada tingkap. Semasa buka sliding door, saya dikejutkan dengan burung yang terbang keluar dari satu sudut balkoni rumah. Malamnya masa nak tutup sliding door, pun sama. Ada burung terbang keluar dari balkoni. Saya terasa pelik.

MENGERAM
Esok paginya, barulah saya perasan akan sesuatu. Rupa-rupanya ada seekor burung Merpati sedang mengeram. Terkejut saya masa mula-mula nampak. Saya ambil gambar burung Merpati ni di sebalik cermin sliding door. Gambar ni sebenarnya bertarikh 17 Januari. Saya rekod sebagai 16 Januari ikut tarikh semalam masa mula-mula dapat tau ada burung ‘menetap’ di sini.

Itulah…banyak pasu terbiar kosong, burung Merpati ambil satu untuk dijadikan sarangnya. Hahaha! Kemain tinggi burung ni buat sarang ya, naik ke tingkat 16 terus! Mesti burung ni ingat tempat tak ada orang, tu dia pun terkejut masa kami balik.

20 Januari - dapat ambil foto telur burung Merpati. Sesekali burung Merpati akan terbang (cari makan agaknya) atau terbang kerana terkejut setiap kali saya buka sliding door. Tapi tu awal-awal je, tak lama tu dia dah buat tak kisah. Dah biasa dengan kehadiran saya agaknya. 

Awal Februari, kami tinggalkan rumah PP selama 5 hari untuk balik ke rumah NS atas urusan kerja encik suami. Masa ni dah terfikir mungkin saya akan terlepas nak tengok proses telur menetas. Teringin juga nak tengok depan mata.

MENETAS
Semalam petang 6 Februari, sampai je di rumah terus tengok burung Merpati di balkoni. Dah menetas! Hehe…tumpang seronok tengok anak-anak burung Merpati ni dah menetas. Ada cengkerang di pasu sebelah, entah macam mana boleh sampai situ. Kami tengok di balik cermin sliding door je ni supaya ibu burung tak terkejut.

Pagi tadi nampak ibunya menghilang dari sarang, cepat-cepat saya keluar ke balkoni untuk ambil foto anak-anak burung. Comel! Entah dah berapa hari menetas. Rasanya baru lagi, mungkin semalam atau kelmarin berdasarkan kiraan tempoh pengeraman sekitar 18 - 21 hari.

Ada satu perkara lagi yang saya perasan, nampaknya ada dua ekor merpati yang bergilir menjaga anak-anak burung. Perhatikan perbezaan warna pada badan burung dewasa. Hasil carian saya mendapati burung Merpati jantan dan betina akan bergilir menjaga anak-anak burung. Fakta yang menarik! Entah mana satu burung jantan dan mana satu burung betina ni.

Video berdurasi 37 saat - burung Merpati dewasa memberikan makanan kepada anak-anak burung. Fakta menarik - burung Merpati tidak menyuapkan makanan seperti serangga kepada anak burung, tetapi memberikan rembesan hasil kelenjar yang dikenali sebagai ‘susu merpati’.

Banyak yang saya belajar dan juga ilmu baru apabila memerhatikan proses bagaimana burung Merpati ini bersarang, mengeram dan menjaga anak-anaknya. Untuk membuat sarang je, burung Merpati ni berulang-alik terbang membawa ranting kering (atau seumpamanya) satu demi satu. Gigih. Untuk menjaga anak-anak, burung Merpati jantan dan betina melakukannya secara kerjasama. Allahu Akbar! Hebat kuasa Allah dalam setiap penciptaan-Nya. 


*kalau nak mengetahui lebih lanjut berkenaan burung Merpati, boleh baca DI SINI.