Showing posts with label Jawa. Show all posts
Showing posts with label Jawa. Show all posts

Friday, 5 May 2023

Lepat Pulut Daun Kelapa

Selain ketupat, lepat merupakan antara hidangan wajib ada pada hari raya bagi masyarakat Jawa di kampung saya dan encik suami. Tetapi tahun demi tahun, bila orang-orang tua semakin uzur/tak larat dan orang muda tak menguasai kemahiran membuat lepat, akhirnya tiada lagi hidangan lepat pada hari raya di rumah keluarga kami.

Saya sendiri gagal mengingat bila kali terakhir keluarga saya bergotong-royong membuat lepat menjelang hari raya. Dah terlalu lama. Manakala di sebelah keluarga encik suami, seingat saya tiada lagi lepat sejak beberapa tahun terakhir ini.

Apa itu lepat? Ia sejenis makanan tradisi Jawa yang dibuat daripada beras pulut, dicampur kelapa parut dan garam. Tambah kacang merah jika nak buat lepat kacang merah. Semua bahan tadi digaul dan diletakkan dalam daun kelapa yang dibentukkan. Kemudian diikat dan direbus sama cara merebus ketupat, iaitu selama 3-4 jam.
 
Lepat atau ‘lepet’ dalam bahasa Jawa, biasanya dimakan bersama serunding kelapa. Nak tengok rupa serunding kelapa, ada dalam entri raya blogger Dana. Sama seperti lepat, serunding kelapa pun dah lama keluarga kami tak buat sendiri.

Lepat pulut dan ketupat nasi
Lepat dan ketupat di rumah mentua pada 1 Syawal lalu. Dibeli dari makcik yang masih meneruskan tradisi membuat lepat dan ketupat. Sebenarnya beli lepat saja, tapi diberi sekali ketupat. Dapatlah merasa ketupat berbungkus daun kelapa, kalau harapkan saya memang cuma makan ketupat berbungkus plastik jelah đŸ˜…

Lepat pulut daun kelapa
Lepat biasa diikat tali putih, manakala lepat kacang merah diikat tali kuning. Guna ikatan berbeza warna supaya senang nak beza mana satu lepat biasa dan lepat kacang merah. Saya suka lepat biasa, encik suami pula suka lepat kacang merah.

Lepat pulut daun kelapa
Begini rupa setelah dipotong. Ni lepat kacang merah, ada kacang merah di dalamnya. Lepat ni biasanya dipotong dua serong begini untuk mudah makan. Kemudian barulah dibuka ikatan dan bungkusan daun kelapa.

Saya pernah mencatatkan berkenaan lepat dan pembuatannya dalam entri terdahulu, boleh baca DI SINI dan DI SINI. Sayang sekali masa tu saya tak merakam banyak foto dan tak rekod video, sekadar coretan pendek berkenaan lepat. 






Wednesday, 27 November 2019

Idek-Idek



Teringat zaman dulu-dulu, arwah Bapak selalu minta idek-idek. Dengan menahan tangan di dinding (untuk stabilkan badan), saya akan memijak Bapak bermula dari kaki sampailah ke badan. Macam dalam gambar di atas. Sungguh...gambar ini menggamit memori masa lalu saya bersama Bapak.

Idek-idek - bahasa Jawa yang merujuk kepada mengurut badan dengan cara memijak belakang badan.

Tuesday, 11 June 2019

Inilah Raya!

Salam Syawal ^_^

Tanda-tanda hari raya semakin hampir - bila orang datang 'munjung'. Ini juadah munjung oleh kakak saya, dihantar ke rumah beberapa hari menjelang Syawal. Rajin sangat kakak saya ni siap buat ketupat tradisional yang dianyam sendiri. Memang lain macam perasaannya bila makan! Munjung ni biasanya berbalas, tapi saya balas dengan kuih raya je sebab saya tak buat masak-masak untuk munjung.

[info] Munjung adalah tradisi Jawa yang bermaksud bertukar juadah sesama saudara-mara (terutamanya yang muda memberi kepada yang lebih tua) dan sesama jiran tetangga menjelang hari raya atau pada pagi hari raya. Juadah yang diberi biasanya adalah menu raya (ketupat, rendang, lodeh, sambal kacang, sambal goreng).

Semasa zaman saya kanak-kanak dulu, munjung biasa dilakukan pada pagi hari raya dan diberi dalam mangkuk tingkat aluminium (jika jarak rumah jauh) atau diletak dalam satu dulang (jika rumah berhampiran). Kini untuk lebih praktikal, orang munjung guna bekas pakai buang je dan dilakukan sebelum hari raya.


Bila hari raya - kedai dobi sesak sana sini. Yelah..bila semua berkumpul di kampung, memang leceh nak membasuh dan tak cukup ampaian nak menyidai. Kenalah plan nak pergi waktu bila untuk elak menunggu terlalu lama.


Selain kedai dobi, kedai/gerai menjual sarapan pagi juga antara tempat yang sibuk. Sebab tak banyak orang meniaga di hari raya, maka yang sedikit itulah menjadi tumpuan. Kena datang awal pagi untuk pastikan makanan masih banyak pilihan dan tak menunggu lama. Masa ni dah 4 Syawal, malas nak masak-masak sebab ahli rumah dah tak ramai. Beli kat sini dapatlah merasa nasi lemak dan nasi ambeng.


Dan yang paling rasa terseksa - sesak di jalan raya! Terutamanya masa nak kembali dari kampung. Tak rayalah kalau jalan raya tak sesak kan...ehee!


Inilah Raya! Ada kegembiraan dan ada yang menuntut kesabaran.
Semuanya bakal menjadi kenang-kenangan. Entah bagaimana cara kita melalui hari raya pada masa hadapan. Segalanya mungkin berubah seiring peredaran zaman.

Wednesday, 11 May 2016

Hari Keluarga PHN 2016

Keluarga sebelah Allahyarham Bapak saya, ada permuafakatan sendiri.
Dikenali sebagai Permuafakatan Hj Nawawi (PHN).
Antara aktiviti tahunan...Hari Keluarga.
Cara penganjuran...mengikut sistem giliran.
Dan tahun 2016 ni...giliran keluarga kami!
Diadakan di rumah mak saya pada 30 April 2016 lalu.

Ini detik-detik akhir persiapan menyambut kehadiran saudara-mara kami. 
Antara tugas saya - menyewa khemah dan tempahan makanan tengahari. Set khemah begini di sewa pada kadar RM200/set.  


Antara hadiah yang disediakan untuk cabutan bertuah, pertandingan mewarna, cenderahati untuk  semua Wak (makcik) dan pek jajan untuk kanak-kanak. Memang tak mahal mana, tapi cukuplah untuk memeriahkan majlis.


Meja buffet ni tak muat, dek kerana banyak sangat makanan yang dibawa oleh saudara mara. Macam-macam kuih, semua nampak sedap-sedap! Tapi saya tak sempat menjamah dek kerana sibuk melayan tetamu dan dah hilang selera sebenarnya. Habis majlis, terbayang-bayang pulak kuih muih tadi..aduhai!


Antara pengisian Hari Keluarga - mesyuarat. Sebelum tu kami adakan bacaan Yasin & Tahlil, diikuti dengan sesi tazkirah.


Sementara orang dewasa bermesyuarat, kanak-kanak pulak sibuk mewarna. Bersepah-sepahlah diorang ni mewarna kat dalam rumah, seronok tengok! ^__^


Acara untuk remaja/dewasa pulak....tiup belon sampai pecah! Tahun ni tak buat sukaneka dewasa, sebab cuaca panas lain macam kan. Kita buat yang ringkas gini jelah, tapi tetap meriah.


Button batch yang dipakai oleh keluarga kami. Sebelum ni guna tag nama macam pelajar orientasi tu, tahun ni kita upgrade bagi cantik. Saya buat di Button Badge Store (Instagram). Semurah 90 sen satu.

Alhamdulillah...majlis selesai dan berjalan lancar. Lega.
Kehadiran pun sangat menggalakkan, kalau ikut rekod hadir seramai 167 orang.


Monday, 2 September 2013

Telur Pindang Gaya Dulu-Dulu

Hujung minggu lalu menghabiskan masa di kampung.
Ada kenduri kahwin saudara di Batu Pahat.
Masih berkonsepkan rewang.
Dan tugas saya...




...membungkus TELUR PINDANG jadi macam dalam gambar ni. Ambil kertas tisu, bungkus telur, pintal hujung tisu dan ikatkan. Mudah, cuma leceh kena hati-hati sebab kertas tisu mudah koyak. Kalau tak betul-betul pintal pulak, memang susah nak buat ikatannya.

Rasa seronok buat kerja ni sebab dah terlalu lama tak tengok telur pindang dibungkus begini. Zaman dulu (masa saya kecik), kalau pergi kenduri kahwin memang inilah cederahati dari keluarga pengantin. Sebiji telur pindang dibungkus kertas tisu, disamping bungkusan BERKAT (nasi & lauk).

Saya paling suka makan telur pindang yang retak, rasanya lebih sedap. Sebab aroma dan rasa bahan-bahannya (daun-daun kayu, ketumbar, kicap dll) dah masuk ikut retakan tadi. Sempat jugaklah makan sebiji yang retak sambil-sambil membungkus ni.


Thursday, 22 August 2013

Azhar Food

Kalau disekitar Batu Pahat & Pontian, AZHAR FOOD ni memang terkenal.
Terkenal sebagai pembekal/penjual pelbagai jenis kerepek sejak sekian lama.
Juga menawarkan pelbagai jenis kuih raya bila tiba Aidilfitri.
Bagi sesiapa yang nak bisnes kerepek pun boleh beli borong kat sini.
Lokasinya di Rengit, Batu Pahat, Johor.


Kalau dari Pontian ke Batu Pahat, premis ni terletak di sebelah kiri jalan besar.


Saya pergi lepas raya masa nak balik Bangi, orang tak ramai. 
Dulu pernah pergi masa bulan Ramadhan, punyalah sesak sampai susah bergerak.


Masuk je ke dalam premis, jadi rambang mata tengok pelbagai jenis kerepek. 
Coklat dan kek pun ada. Ni baru bahagian pertama premis.
Masuk ke dalam lagi, lebih luas dan lebih rambang mata dengan segala jenis biskut raya dan jeruk. Gambar takde, segan sebab orang ramai kat situ.


Papan tanda harga pun ada untuk rujukan.
Tapi bila dah kat sini, bukan tengok harga lagi. Asal berkenan ambik.
Janji cukup bajet.

Orang Jawa dan kerepek memang tak dapat dipisahkan. Saya sendiri tak gemar makan biskut raya, lebih suka makan kerepek. Tapi kalau beraya ke rumah orang tu makan jugaklah, ambil hati tuan rumah. 

Monday, 19 August 2013

Lepat



Selain ketupat, lepat antara menu wajib di rumah mertua.
Buat dua versi - lepat biasa & lepat kacang merah (kegemaran suami).
Untuk raya kali ni, tiada hasil tangan saya sebab buat tugasan lain.

Kalau nak tahu cara buat lepat, saya ada catatan lalu di SINI.

*Update : Lepat ni isinya beras pulut, kelapa parut & garam.Tambah kacang merah kalau nak buat lepat kacang merah. Pastu masak macam rebus ketupat. Ianya merupakan makanan tradisi orang Jawa. 


p/s: letih masih berbaki...kerja mendobi tak siap lagi, terima tamu, jadi tetamu, stok jualan baru masuk...

Monday, 21 January 2013

Iwak Lele

IWAK = IKAN
LELE = KELI

Iwak Lele ni bahasa Jawa, bahasa Melayunya Ikan Keli. Cara sebut Lele macam sebut makanan 'Lempeng', bukan macam sebut 'Lempang' ya. 

Saya asalnya tak lalu nak makan Lele ni, sebab rupa parasnya. Terutamanya bahagian kepala Lele yang besar tu. Tambahan lagi sepanjang zaman kanak-kanak dulu tak pernah pulak mak masak ikan ni. Bila nampak kawan-kawan makan, terfikir jugak..apalah yang sedap dengan ikan ni. Lepas kawin, ada jugak hidangan ni kat rumah mertua. Memang tak makanlah, tengok je dah rasa semacam. 

Tapi sejak setahun dua ni, selera dah berubah. Dah boleh makan Lele dan memang suka! Asal ceritanya masa kat rumah mertua, ada nenek sedara yang suka Lele ni. Dia beli banyak dan buang bahagian kepalanya tu. Siap potong dua lagi. Lepas masak (buat Lele goreng), dia bagi saya bahagian ekor dan suruh makan. Saya cuba makan sikit, tanpa membayangkan rupa asalnya. Fuh..sedap rupanya! Lembut dan lemak.

Sejak tu, jadilah saya penggemar ikan Lele ni. Demi isinya yang lembut dan lemak, saya buat-buat tak nampak rupa kepala ikan ni. Tapi belum pernah masak sendiri, pandai membeli je. Lagi pulak suami memang langsung tak lalu ikan air tawar ni. Korang pulak macamana? 


p/s: Tak mau letak gambar masakan Lele, nanti teringin susah pulak nak kena mencari. 

Friday, 7 September 2012

Lidas dan Nanas

Dalam entri mengenai nenas MD2, ada beberapa orang yang bertanya mengenai maksud LIDAS. Sebab saya sebut yang nenas MD2 ni tak lidas bila dimakan. Berdasarkan carian di internet, LIDAS wujud dalam bahasa Jawa dan bahasa Melayu rasmi.

LIDAS = Rasa pedih atau gatal pada lidah (ketika makan buah yang masam seperti nanas dsb).

------------------------------------------------------------------------

Dalam mencari maksud LIDAS, terjumpa pulak mengenai ejaan yang betul bagi NENAS adalah NANAS. Patutlah kadang-kala jumpa orang tulis Nanas...


*Kalau korang nak semak ejaan atau cari maksud apa-apa perkataan dalam bahasa Melayu, boleh buat rujukan di laman web DBP DI SINI. Untuk carian bahasa Jawa boleh rujuk DI SINI.

Thursday, 16 August 2012

Njalok Ngapuro

Buat kawan-kawan semua...



*********************************************************

NJALOK NGAPURO = MINTA MAAF

Ni bahasa Jawa. Biasa disebut dan didengari pada hari raya sebab masa raya ni lah biasa orang mintak maaf. Dan yang mendahului minta maaf ni mestilah orang yang lebih muda pangkatnya. Dialog biasanya macam ni;

Eita: Njalok ngapuro seng akeh-akeh yo. (maksudnya: Minta maaf banyak-banyak ya)
Tihara: Podo-podo waie.. (maksudnya: Sama-sama je..)

Tapi ni versi ringkas. Biasa saya dengar orang-orang lama punya versi mintak maaf ni memang agak panjang dan sampai saya pun tak faham apa yang dituturkan. Memang tak boleh nak faham sebab mereka akan cakap secara perlahan berdua sambil tangan masih bersalaman. Bersungguh dan khusyuk, takde gelak ketawa.

Itulah adat Jawa yang asal, tapi sekarang dah kian luput sebab generasi muda pun tak tau berbahasa Jawa. Apatah lagi adatnya..termasuklah saya yang tau sikit-sikit je ni. Kepada anak Jawa yang tak reti/ tak mahir bahasa Jawa, balik raya nanti jangan lupa guna dialog kat atas. Pasti tersenyum gembira orang-orang lama kita mendengarnya!



p/s: Saya balik Johor Insya allah hari Sabtu (selepas Subuh). Beraya di sana selama 7 hari. Nampaknya aktiviti blog ni akan terhenti seketika. Insya allah sampai bertemu kembali...senyum selalu!



Thursday, 24 May 2012

Bapak

Kalau korang dengar orang panggil bapa dia 'Bapak', 
biasanya akan dianggap kasar bukan? 
Tapi sebenarnya bagi orang Jawa panggilan tu biasa. 
Sebab memang dalam bahasa Jawa 'Bapak' bermaksud bapa/ayah/abah. 
Tapi bagi sesetengah keluarga Jawa dah mula tinggalkan penggunaan 'Bapak'.
Terutamanya generasi baru.

Jadinya lepas ni kalau korang dengar orang Jawa panggil 'Bapak',
Jangan anggap ia kasar tau. Dah memang itu bahasanya.


p/s: Terkenang pulak arwah bapak saya yang dah pergi 3 tahun lalu...

Monday, 19 March 2012

Felda Ulu Tebrau

Kelmarin (Sabtu) saya bersama ahli keluarga yang lain menghadiri majlis perkahwinan di rumah saudara di Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor. Perjalanan mengambil masa hampir 1 1/2 jam dari rumah mak saya di Pontian. 

Kumpulan kompang yang memeriahkan majlis.

Kat sini masih mengamalkan adat memberi BERKAT (nasi minyak & 1-2 jenis lauk) untuk setiap keluarga yang hadir. Selain tu setiap orang turut mendapat 'buah tangan'  TELUR PINDANG dan jajan. Bagusnya pemberian 'berkat' ni, bolehlah ahli keluarga yang tak dapat menghadiri majlis turut merasa nasi minyak. Dalam kes saya, 'berkat' ni jadi makanan petang sebaik je pulang ke rumah mak. Lagi pulak makan ramai-ramai dengan adik-beradik dan anak-anak saudara...berselera dan meriah!


*untuk entri Telur Pindang, sila KLIK SINI.
*untuk entri Jajan, sila KLIK SINI.

Tuesday, 21 February 2012

Kabare?

Kali ni saya nak ajar bahasa Jawa. Iaitu bahasa keturunan saya. 
Yang ni paling asas dan mudah. Mungkin ramai dah tahu...


KABARE = APA KHABAR
WARAS = SIHAT / BAIK


Digunakan untuk bertanya kabar sewaktu memulakan perbualan atau baru berjumpa.
Contoh penggunaan:

Azlan : Kabare?
Achie : Waras..


p/s: Senang je kan? Praktikkan.
 Ni Azlan & Achie versi yang pandai cakap Jawa..^__^

Friday, 9 December 2011

Weton dan Ramalan Karektor

Apa itu WETON?
Weton adalah hari kelahiran mengikut kalendar Jawa. Ya, memang ada kalendar Jawa! Dalam kalendar Jawa akan ada 5 hari pasaran Jawa iaitu LEGI, PAHING, PON, WAGE & KLIWON. Maaf, saya tak dapat menerangkan lebih lanjut mengenai 5 perkataan ini sebab saya sendiri tak memahaminya.

Weton merupakan gabungan 7 hari dalam seminggu iaitu Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu & Ahad dengan 5 hari pasaran Jawa seperti di atas.

Weton dan Ramalan Karektor Individu
Menurut kepercayaan Jawa, karektor seseorang itu dapat diramalkan mengikut hari kelahirannya. Sebab tu orang Jawa dulu-dulu akan segera merekod weton bagi setiap kelahiran baru. Bagaimanapun ia masih boleh diketahui dengan cara menghitung nama dan tarikh kelahiran seseorang. Setelah tahu weton seseorang, kita dapat meramalkan karektornya! Sekali lagi, saya tak tahu cara mengiranya ya. Tu kerja orang-orang lama.

Contohnya: setelah dibuat pengiraan, weton saya jatuh pada hari Sabtu Pon. Kemudian ada ramalan karektor bagi individu yang lahir pada Sabtu Pon tersebut.

Hukum Mempercayai Ramalan
Sebarang perbuatan meramal dan mempercayai ramalan adalah HARAM. Ramalan cuaca tak haram ya, sebab ia guna satelit untuk tengok awan. Setakat mengetahui weton (tarikh lahir Jawa) memang tiada masalah, asal jangan mempercayai ramalan untuk tarikh lahir tersebut. Lebih memburukkan keadaan apabila weton ini digunakan dalam meramalkan kebahagiaan rumahtangga bakal pasangan suami/isteri.

Untuk penerangan yang lebih meyakinkan mengenai hukum meramal ni, sila rujuk link berikut:

*Adat budaya dan kepercayaan masih boleh kita ikuti, selama mana ia tidak bercanggah dengan agama Islam.*


p/s: Kepada orang-orang Jawa yang membaca entri ni, sila betulkan jika ada mana-mana bahagian yang saya tersilap tulis. Sumber entri ini berdasarkan temubual dengan mak saya dan carian di internet.

Monday, 5 December 2011

Rewang...Budaya Penuh Makna

Terasa lama menyepi diri dari dunia blog. Semuanya kerana tuntutan masa dan komitmen untuk kenduri kahwin adik ipar yang berlangsung semalam (Ahad) di Batu Pahat, Johor. Maaf tak menjemput korang, sebab ni majlis keluarga mertua.

Seawal hari Jumaat saya dan suami dah pun pulang ke Johor untuk membantu membuat persiapan kenduri kahwin. Hari Sabtu pula orang kampung sudah mula memenuhi luar dan dalam rumah untuk rewang. REWANG merupakan aktiviti bergotong-royong masyarakat Jawa dalam membuat persiapan untuk sesuatu kenduri. Yang perempuan di dalam rumah membuat kuih, mengupas bawang, membuat bunga manggar, menyediakan bunga telur dan lain-lain kerja lagi. Yang lelaki pula berada di luar rumah membuat persiapan di khemah khusus yang dipasang untuk memasak hidangan kenduri.

Sambil tangan buat kerja, mulut masing-masing rancak berbual sambil diselangi gurau senda dan ketawa. Memang meriah! Walaupun agak penat, tapi seronok dapat berjumpa saudara-mara yang biasanya cuma boleh berjumpa pada Hari Raya Aidilfitri je. Memang tak kering gusi kalau berborak dengan makcik-makcik sebelah suami saya ni...ada je usik-mengusik! Sambil tu bolehlah berkenalan dengan jiran sekampung yang datang. Di sinilah menguji kemahiran komunikasi seseorang...sekaligus mendedahkan ciri-ciri peribadi individu!

Melalui rewang juga, dapat meningkatkan kemahiran seni hias dan masak-memasak. Lebih-lebih lagi untuk saya yang tiada bakat dan kurang berminat untuk hal begitu! Asalkan kita sudi, ramai yang sedia memberi tunjuk ajar.

Rewang...ada seronok, ada kebaikan, walau ada penat!

p/s: Entri ni ditaip walau masih dalam mood penat dan terasa sakit badan mengemas selepas majlis habis. Dan saya sekarang masih lagi kat Johor...


Thursday, 1 September 2011

Lepat Kacang Merah

(sila klik untuk lebih jelas)

Selain ketupat, lepat kacang merah ni merupakan antara menu wajib pada hari raya di rumah keluarga mertua saya. Ia diperbuat daripada beras pulut yang digaul bersama kelapa parut, kacang merah dan garam. Kemudian bolehlah direbus bersama ketupat seperti biasa.


p/s: Saya rekodkan cara membuat lepat ni sebab saya pun masih belajar membuatnya.





Monday, 22 August 2011

Yok Ngomong Jowo!

***YOK NGOMONG JOWO!  =  MARI CAKAP JAWA!***

Sudah lama terasa nak buat entri mengenai bahasa Jawa.
Baru kini menjadi nyata.

Kenapa bahasa Jawa?
Sebab saya berketurunan Jawa dari Pontian, Johor...
Yang tak mahir berbahasa Jawa sebab jarang mempraktikkannya.
Maklum saja, seawal usia 13thn. sudah dihantar bersekolah di Negeri Sembilan.
Kemudian mengikut arus hidup..hingga akhirnya kini di Selangor.

Bila saya berpeluang mengasah kemahiran bahasa Jawa ni?
Bila tiba Hari Raya...
Sebab masa tu jumpa orang-orang tua.
Mereka bercakap bahasa Jawa,
Saya menjawab dalam dwi bahasa..
Jawa + Melayu!

Jika ada yang berminat mempelajari bahasa Jawa, sila layari laman web Famili Azam ni.
Tahniah atas usaha mereka dalam memastikan kelangsungan bahasa Jawa!

p/s: rugilah bagi orang Jawa, jika tidak tahu langsung berbahasa Jawa. Biasanya orang begini kita panggil "Jawa Murtad!"..hehehe. Eneng wong Jowo nang kene?