Thursday, 27 August 2026

Bukan Rezeki Saya, Tapi Rezeki…

Petang semalam, saya terdengar sedikit kekecohan di luar rumah. Tak begitu kuat, tetapi ada bunyi yang asing. Saya tak ambil peduli sebab petang sebelumnya pun ada bunyi benda diketuk di luar rumah, bila diperiksa rupa-rupanya si burung raja udang sedang menghempas sesuatu di paruhnya. Kedudukannya di tepi kolam ikan puyu, entah anak ikan puyu yang dimakannya atau hidupan lain yang menjadi penghuni kolam poly tank.

Agak lama selepas itu, menerusi tingkap dapur saya ternampak seekor monyet sedang duduk bersandar di tiang lampu solar - sedang menikmati sesuatu di tangannya. Terus terfikir…terung aku! Saya pandang pokok terung yang terletak berhampiran. Sah!

Beberapa ekor monyet yang lain pula sedang sibuk makan buah nona yang masih muda berwarna hijau. Teringat pula beberapa pasang kasut yang sedang dijemur di luar. Alamak! Apa lagi, terjerit-jeritlah saya dari dalam rumah menghalau kumpulan monyet. Bila nampak monyet-monyet dah mula beredar, barulah saya berani keluar halau supaya lebih jauh lagi. Kalau dikira-kira, ada lebih 10 ekor monyet semuanya.

Beginilah rupa dua biji terung yang menjadi rezeki monyet…

Nampak macam kesan dipatahkan.

Tak cukup sebiji, makan lagi sebiji terung.

Pandai monyet ni makan, ambil isi je. 

Buah terung ni masih kecil, belum cukup sesuai dituai. Hampir setiap hari saya belek, menunggu masa untuk menuai. Nampaknya hasil pokok terung kali ini bukan rezeki saya, tapi rezeki monyet.

Sepanjang menanam pokok terung, ini merupakan pengalaman pertama terung saya dimakan monyet. Syukurlah kumpulan monyet tadi hanya makan hasil tanaman, tak buat kerosakan lain atau ambil kasut saya.







Tuesday, 25 August 2026

Azizi Haji Abdullah | Memoir Seorang Guru


Novel Memoir Seorang Guru
Judul : MEMOIR SEORANG GURU
Penulis : Azizi Haji Abdullah
Penerbit : JIWA - JT Publishing House
Jumlah halaman : 368


Memoir Seorang Guru telah diterbitkan buat kali pertama oleh Alaf 21 pada tahun 2008. Naskhah yang saya baca ini pula merupakan terbitan semula oleh JIWA - cetakan kedua pada Ogos 2025.

Pada mulanya saya tertarik dengan naskhah ini kerana ilustrasi kulit bukunya yang nampak hidup dan ia hasil karya penulis yang menerima Anugerah S.E.A. Write pada tahun 1988. Penulisnya, Almarhum Azizi Haji Abdullah juga merupakan seorang guru agama.

Selesai menghadamnya, ternyata ia sebuah karya yang benar-benar menarik!


BIMBANG SEORANG BAPA, ILUSI SEORANG GURU
Pengalaman selama lebih 28 tahun sebagai guru membuatkan dirinya bimbang jika Kamariah, anak perempuannya akan menjadi sepertinya - guru yang tidak mampu mendidik dengan baik sehingga tiada keberkatan hidup.

Hasrat Kamariah menjadi seorang guru ditentang keras oleh bapanya.
‘Kamariah, bapa sangat takut kalau bapa memikirkan diari hidup bapa, apalagi sepanjang hidup bapa ini, profesion bapa ialah guru! Sekian lama bapa dihantui yang bapa tidak berjaya menjadi murabbi, mendidik anak-anak murid bapa. Bapa sangat takut di akhirat nanti mereka akan datang menuntut hak mereka.’ - Petikan halaman 212, Memoir Seorang Guru.

MEMBENCI MEREKA YANG TIDAK SEPATUTNYA DIBENCI
Penceritaan novel ini membawa pembaca mengimbas kembali pengalaman seorang guru menghadapi keperitan bertugas di daerah pedalaman. Cabaran mengajar murid-murid dalam kalangan masyarakat miskin menjadikan dia seorang guru yang membenci anak-anak muridnya.

Pelbagai kisah pilu dan menyentuh hati diceritakan dengan terperinci membuatkan saya rasa sebak. Ada juga babak yang saya rasa tak sanggup meneruskan pembacaan kerana terasa ngeri.

Kisah Mat yang tersula batang pokok pinang.
Kisah Alias yang terpaksa membunuh beruk kesayangan demi menyelamatkan gurunya.
Kisah Midun dengan sebiji buah limau mandarin, buah tangan buat guru yang sakit.
Kisah Sakinah, anak murid bermata juling.
Kisah Mihad yang hilang di kolam lombong ketika mencari ikan haruan buat gurunya.
Kisah Mohd Dhuha yang menemui ajal dalam keadaan yang menyayat hati.

Bukan sekadar kisah perjuangan jiwa seorang guru berhadapan dengan anak-anak muridnya, kisah yang diceritakan membawa banyak pengajaran buat para pembaca. Ia kisah tentang nilai kasih sayang, membalas budi dan penyesalan masa lalu. 
‘Kamariah, kadang-kadang seronok juga apabila melihat kehidupan di daerah pedalaman ni. Terasa tak sia-sia kementerian hantar bapa ke sini. Tapi, itulah. Keadaan kehidupan yang begitu, meluat bapa lebih banyak dari seronok. Anak murid bapa ni pun cukup membosankan. Ketegar dan lembam menjadi-jadi. Bapa memang meluat.’ - Petikan halaman 35, Memoir Seorang Guru. 

DARI NOVEL KE LAYAR PERAK
Selesai membaca naskhah ini, barulah saya tahu bahawa ia telah diadaptasi menjadi filem dan ditayangkan pada Mei 2024 bersempena Hari Guru.

Carian saya mendapati, filem Memoir Seorang Guru masih boleh ditonton di Netflix. Saya tak melanggan Netflix, maka tak dapatlah saya menonton filem yang tentunya menarik ini.


Official trailer filem Memoir Seorang Guru.


“Yang membanggakan seorang guru apabila guru tak kenal murid-muridnya, tetapi murid-muridnya menegur guru. Guru lupa pengajarannya tetapi murid mengingati dan mengamalkannya. Guru tidak pernah meminta balasan, tetapi murid-muridnya tetap mengenang”. - Petikan halaman 355, Memoir Seorang Guru.





 

Friday, 21 August 2026

Menginap Satu Malam di Yanies Rest House, Arau

Dalam entri 2 Hari 1 Malam Mencipta Memori Bersama Kawan-Kawan, kami menginap di Yanies Rest House yang terletak di Arau, Perlis. Lokasi ini dipilih oleh kawan-kawan Encik Suami yang menguruskan percutian singkat kumpulan kami.

Yanies Rest House, Arau
Bangunan yang menempatkan kaunter pendaftaran dan beberapa buah bilik penginapan.

Yanies Rest House, Arau
Tarikan utama tempat ini - sebuah kolam renang yang cukup luas untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Kolamnya juga nampak dijaga dengan baik dan sangat bersih.

Yanies Rest House, Arau
Terdapat 15 buah bilik penginapan di sini. 10 daripadanya terletak berhadapan dengan kolam renang. Kumpulan kami ambil 11 buah bilik. Saya dan Encik Suami menginap di bilik Sakura, buka pintu je terus nampak kolam renang ni.

Yanies Rest House, Arau
Bilik penginapan kami berdua. Ada sebuah katil Queen dan sebuah katil Single dengan pull-out bed, sesuailah untuk tiga hingga empat orang.

Yanies Rest House, Arau
Awalnya saya rasa janggal tengok susun atur sofa di hujung katil begini. Selepas itu saya dapati bagus juga kedudukan begini kerana dapat melindungi pandangan terus dari luar apabila pintu bilik dibuka.

Yanies Rest House, Arau
Katil Single dengan pull-out bed.

Yanies Rest House, Arau
Bilik air luas, bersih dan semua berfungsi baik.

Yanies Rest House, Arau
Ada peti sejuk mini.

Yanies Rest House, Arau
Air minuman perlu ambil sendiri di mesin air yang tersedia di lobi.

Yanies Rest House, Arau
Seterika dan papan seterika saiz kecil turut disediakan. Sangat memudahkan!

Yanies Rest House, Arau
Kemudahan kolam renang hanya untuk kegunaan tetamu yang menginap di sini. Lebih selesa dan tidak sesak.

Yanies Rest House, Arau
Kadar harga bilik di sini. Klik foto untuk paparan lebih jelas.

Kalau tengok harga bilik kami (Sakura), terasa agak mahal. Tapi bila dah menginap di sini, menurut saya harga tersebut berpatutan dengan kemudahan yang disediakan dan tahap kebersihan bilik yang sangat memuaskan. Sepanjang pengalaman saya, tak mudah ya nak jumpa penginapan bajet rendah/sederhana yang sangat bersih di negara kita ni.

Kalau kalian bercuti di Perlis dan tak mahu menginap di hotel, bolehlah cuba menginap di Yanies Rest House. Seronok dapat menikmati suasana damai di sini sambil main air di kolam renang yang luas dan bersih. Cuma ada sedikit gangguan bunyi pada waktu siang dari rumah burung walit yang terletak berhampiran, tak terlalu mengganggu.

Carian Google Maps : Yanies Rest House







Monday, 17 August 2026

2 Hari 1 Malam Mencipta Memori Bersama Kawan-Kawan

Hujung minggu yang baru berlalu, saya dan Encik Suami mengisi masa bersama kawan-kawan kerja Encik Suami. Bagi yang dah berkeluarga, masing-masing bawa pasangan dan anak-anak - jadi lebih seronok dan dapat kenal lebih rapat ahli keluarga masing-masing.

Lokasi percutian singkat kami ini di Yanies Rest House, Arau, Perlis.

Terdapat kemudahan kolam renang dengan keluasan memuaskan. Bilik-bilik penginapan pula terletak berderet di sisi kolam, buka pintu je terus nampak kolam. Ruang berkumpul dan dapur juga disediakan. Foto di atas dirakam dari ruang berkumpul yang juga menempatkan dapur. Pendek kata, lokasi yang dipilih ini memang sesuai untuk aktiviti berkumpulan.

Insya Allah catatan lanjut berkenaan bilik penginapan dalam entri khusus.

Lewat petang hari Sabtu, geng lelaki mulai sibuk bakar potongan ayam dan kambing perap.

Selepas solat Maghrib, barulah kami mula makan. Ada juga kek, kuih dan pulut durian di meja lain. Cukup banyaklah untuk kami yang hanya seramai 21 orang dewasa dan 8 orang kanak-kanak.

Ada acara tukar hadiah - setiap orang/keluarga bawa satu hadiah. Sekadar suka-suka, hadiah tak perlu mahal. Keseronokan acara begini bukan terletak pada nilai hadiah yang diterima, tetapi seronok usik-mengusik ketika acara berlangsung.

Ini hadiah yang kami dapat. Balik rumah, terus saya cuba guna. Seronok juga dengar Spotify menerusi speaker kecil ni, ada bezalah berbanding dengar terus di telefon.

Hari Sabtu malam Ahad tu saya tidur lewat - melepasi waktu tengah malam. Saya bersama beberapa orang geng perempuan duduk di tepi kolam renang, berborak sambil menikmati suasana malam yang tenang. Geng lelaki pula ada yang berkumpul main kad dan ada yang berborak santai. Manakala geng mak anak kecil semua dah masuk bilik berehat.

Sarapan pagi kami masak nasi goreng makan dengan telur mata dan ayam bakar. Panaskan juga baki hidangan malam tadi. Sambil makan, sambil berborak.

Pinggan makan saya.

Lepas sarapan, geng lelaki masuk kolam main air. Geng mak anak kecil temankan anak mandi kolam. Saya serta beberapa orang yang lain sambung berborak dan mengemas tempat makan. Lepas tu kami naik tingkat atas bagi menikmati pemandangan sekitar.

Ketika ini Perlis sedang mengalami musim panas lembab - panas yang tak terlalu terik, langit berawan, kerap juga mendung dan hujan. Cuaca redup yang sesuai untuk aktiviti luar. Hasil foto juga jadi menarik bila cuaca sederhana begini.

Seronok sungguh geng lelaki bermain air walaupun ketika hujan turun. Sekejap saya nampak mereka berlumba renang, lepas tu berlumba jalan kaki pula. Semua ini akan menjadi memori indah mereka bersama.

Pukul 12 tengah hari kami semua mendaftar keluar. Alhamdulillah selesai percutian singkat yang cukup santai tetapi meninggalkan kenangan manis.

Terima kasih Allah atas ukhuwah ini 🩵







Thursday, 13 August 2026

Ukhuwah di Mekah : Buah Tangan Pemberian Rizwana dari Karachi, Pakistan

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026

Sambungan entri terdahulu —> Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah


Petang terakhir di Tanah Suci Mekah, saya mula rasa tak sedap badan - macam nak demam. Kalau sebelum ini saya rasa letih dan mengantuk mungkin disebabkan perbezaan waktu dan perubahan rutin harian, tetapi kali ini rasa panas badan, berat kepala dan mulai batuk. Syukurlah bawa selengkapnya ubatan dari tanah air, rasa tak sihat je saya segera makan ubat.

Petang tersebut saya tunaikan solat Asar di surau hotel penginapan kami. Bangunan Safwah Tower ini bersambung dengan dataran Masjidil Haram, jadinya solat di surau hotel mengikut imam masjid. Mungkin ada pendapat yang berbeza berkenaan solat di surau hotel mengikut imam Masjidil Haram, bolehlah merujuk terus kepada mereka yang luas kefahaman agamanya. Antara rujukan yang saya dipercayai —> zulkiflialbakri.com dan Dr Abu Anas Madani

Apa pun, yang terbaik tentunya solat di dalam Masjidil Haram. Tetapi ketika ada halangan tertentu adalah lebih baik jika kita dapat ikut berjemaah di surau hotel berbanding solat sendiri di bilik.

Surau muslimat, Safwah Tower, Mekah
Pandangan hadapan pintu masuk surau perempuan - diletak penghadang kayu warna putih kerana kedudukannya bersetentang dengan pintu masuk surau lelaki.

Surau muslimat, Safwah Tower, Mekah
Ruang surau luas memanjang ke belakang. Selain al-Quran, turut disediakan deretan bangku kecil bagi yang memerlukan. Tiada tempat wuduk di sini, tapi tak tahulah jika ada di bahagian yang saya tak perasan.

Berbeza dengan surau lelaki yang terletak pada kedudukan hujung bangunan dengan sebahagiannya berdindingkan kaca, mereka boleh nampak terus kawasan dataran Masjidil Haram.

Berbalik kepada tajuk entri. Ketika berada di surau inilah saya bertemu dengan Rizwana, jemaah dari Karachi, Pakistan yang duduk di sebelah kanan saya. Bermula dengan bertukar senyuman, kemudian kami berbual ringkas.

Dia kemudian mengeluarkan dua kotak bahan masakan segera dari beg, dihulur kepada saya supaya memilih salah satu. Saya pilih kotak warna pink ‘Doodh Dulari Dessert Mix’ sebab nampak lebih menarik. Saya ambil, simpan dalam beg dan tak lama kemudian kami memulakan solat Asar.

Oleh-oleh dari Pakistan
Selesai solat (ketika jemaah mula bersurai), tiba-tiba Rizwana menghulurkan satu lagi kotak masakan segera ‘Kheer Mix Rice Pudding’. Katanya dua-dua untuk saya. Saya cuba menolak, segan nak terima sebab tak ada apa yang boleh saya berikan padanya. Dia mendesak saya ambil dan meminta saya mendoakannya. Katanya, dia juga akan mendoakan saya - sambil menyebut semula nama saya. Kami bertukar salam dan senyuman sebelum berpisah.

Ya Allah…saya rasa terharu terima kebaikan Rizwana. Ianya jadi kenangan manis pada petang hari terakhir saya di bumi Mekah. Terima kasih Allah 🩵

Semoga Allah mengurniakan kebaikan di dunia dan akhirat buat Rizwana. Sehingga detik ini, setiap kali saya teringat pertemuan tersebut atau memandang kotak bahan masakan segera (yang masih belum diolah menjadi hidangan 😄) pasti ada doa saya kirimkan buat Rizwana di Pakistan.







Sunday, 9 August 2026

30 Hari Sudah Berlalu

 

Semalam 8 Ogos 2026 merupakan Hari Kucing Sedunia.
Hari ini 9 Ogos 2026 genap sebulan pemergian Jojo.

Bayangan Jojo masih ada di mana-mana - di setiap sudut rumah.
Dia memenuhi rutin harian saya di rumah ini - selalu ada di mana saya berada.
Dia dengan telatahnya yang manja dan lucu, cukup menghiburkan.

Jojo bukan sekadar kucing yang kami beri makan, minum dan tempat tinggal.
Tapi dia berada dekat di hati kami suami isteri, si bulu yang pandai berkomunikasi.
Jojo adalah sebahagian daripada kehidupan kami.


***

Kalau sebelum ini, saya kurang memahami mengapa ada orang terlalu sedih atas kehilangan atau pemergian si anak bulu. Seekor kucing pergi, ada banyak lagi kucing menanti. Tetapi rupa-rupanya, setiap kucing itu unik dengan karektor tersendiri. Itulah yang membuat perasaan sebak dan dada rasa sesak setiap kali terkenangkan si anak bulu kesayangan.

30 hari sudah berlalu, saya masih dalam fasa menyesuaikan diri. Nak berblog pun terasa malas, hilang semangat walau pun banyak perkara nak saya catatkan. Setiap kali saya berada di tingkap dapur, sebak terasa memandang kuburan Jojo di tepi rumah.

Semoga tiba suatu hari di mana saya mampu tersenyum bahagia bila terkenangkan Jojo, bukan lagi dengan titisan air mata.

اَلْلَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada rasa sedih dan duka.



SELAMAT HARI KUCING SEDUNIA 🐈
Kalian ada anak bulu kesayangan? Kongsikan namanya di ruangan komen 🩵








Monday, 3 August 2026

Mencari Al-Quran Per Juzuk di Mekah

CATATAN KEMBARA 8 HARI 7 MALAM DI BUMI HARAMAIN
HARI KEEMPAT | JUMAAT, 10 APRIL 2026



Awal pagi esok kumpulan kami akan bergerak ke Madinah, jadinya hari ini merupakan hari terakhir aktiviti kami di Tanah Suci Mekah. 

Masjidil Haram, Mekah
Subuh di ‘Rooftop’ | Saya dan Encik Suami solat Subuh di rooftop Masjidil Haram. Kubah kecil di rooftop menjadi lokasi kami bertemu selepas solat Subuh dan solat jenazah. Foto dirakam sekitar pukul 5.30 pagi.

Masjidil Haram, Mekah
Dalam perjalanan turun, kami singgah di aras 1. Foto di atas memaparkan suasana ruang solat aras bawah.


Mekah, Arab Saudi
Sarapan | Pukul 6.55 pagi, kami makan sarapan di dewan makan hotel. Bagi rakan jemaah yang melakukan umrah tambahan, mereka sarapan lebih awal kerana pada pukul 7 pagi bas akan bergerak menuju ke tempat miqat di Taneem (juga dikenali sebagai Tanaim).


Mencari Al-Quran Per Juzuk Sebagai Oleh-oleh | Kami berhasrat mencari al-Quran per juzuk (satu naskhah satu juz atau beberapa juz) sebagai oleh-oleh dari Mekah buat diri kami sendiri. Boleh saja jika nak mencari di Madinah tetapi kami mahu beli di Mekah sebagai kenangan umrah pertama.

Idea membeli al-Quran tercetus setelah saya membaca naskhah travelog dan refleksi umrah karya Nisah Haron yang berjudul Sehelai Sejadah di Lantai Kaabah.

Jika kita mahu beli al-Quran biasa tu mudah saja, terdapat banyak gerai atau kedai yang menjualnya untuk tujuan wakaf atau untuk diri sendiri. Tetapi kami mahu al-Quran per juzuk, jadinya perlu cari di kedai buku.

Hasil carian Google Maps ‘bookstore near me’ membawa pencarian kami ke sebuah kedai buku di Makkah Commercial Centre.

Mekah, Arab Saudi
Tersesat masuk ke The Clock Towers Shopping Center. Oleh kerana ini kali pertama kami berjalan-jalan di bangunan sekitar Masjidil Haram, jadinya kami tak tahu nama-nama bangunan di sini (kecuali bangunan Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami).

Saya agak terkejut sebab baru tahu ada pusat beli-belah moden dan besar begini berhampiran Masjidil Haram. Tapi kami tak sempat dan tak larat nak meronda, bila sedar tersilap bangunan terus je keluar untuk mencari di manakah Makkah Commercial Centre.

Pintu gerbang The Clock Towers Shopping Center yang gah.

Masjidl Haram, Mekah
Pintu masuk Masjidil Haram di hadapan pintu gerbang tadi. Dekat je.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami berjalan ke bangunan seterusnya, barulah jumpa MCDC Mall yang juga dikenali sebagai Makkah Commercial Centre.

MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Berbeza dengan bangunan Clock Towers, keadaan di sini lengang tak ramai pengunjung.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Alhamdulillah…akhirnya jumpa kedai buku yang dicari iaitu Dawah Corner Bookstore. Lokasinya di Aras 1, berhampiran eskalator.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Saya bayangkan kedai buku besar, rupa-rupanya kecil je. Mulanya kami masuk ke dalam kedai, kemudian baru perasan jualan al-Quran diletakkan di bahagian luar.

Dawah Corner Bookstore, MCDC Mall (Makkah Commercial Centre)
Kami beli dua set al-Quran per juzuk - set mushaf warna biru putih (satu naskhah satu juz) menjadi pilihan Encik Suami berharga 250 riyal, manakala set mushaf warna coklat putih (satu naskhah lima juz) pilihan saya berharga 220 riyal.

Beli juga tiga buah buku himpunan surah pilihan sebagai oleh-oleh buat mak saya, mak Encik Suami dan kami sendiri. Harganya 25 riyal sebuah.

Alhamdulillah rasa gembira dapat memiliki al-Quran per juzuk pilihan saya ini sebab lebih ringan mudah dipegang semasa membaca, mushaf Madinah dengan kertas berkualiti dan cetakan yang jelas.

Membeli al-Quran sebagai oleh-oleh tidaklah mudah kerana kita perlu menjaga adab bagi memuliakan al-Quran  :
  • Perlu ada wuduk ketika memegang al-Quran.
  • Pegang beg yang membawa al-Quran di paras dada.
  • Semasa dalam kenderaan, letak beg yang membawa al-Quran di tempat tinggi.

Begitu juga kalau kita nak bawa al-Quran sendiri ke Tanah Suci, perlu jaga adabnya. Saya pernah nampak jemaah bawa al-Quran sendiri masuk ke masjid untuk dibaca sementara menunggu waktu solat. Masalahnya, al-Quran tersebut disimpan dalam beg dan hanya letak di hadapan tempat sujud. Kemudian datang jemaah lain lalu di depan dan langkah beg tersebut.


Beli Kopiah di Safwah Tower | Terdapat banyak kedai jualan di Safwah Tower - lokasi hotel penginapan kami. Kami pergi ke beberapa buah kedai melihat barangan dijual. Tak ada yang berkenan di hati, saya tak beli apa-apa.

Safwah Tower
Begini rupa deretan kedai di Safwah Tower tingkat atas. Encik Suami singgah beli kopiah untuk kawan-kawan tempat kerja. 

Safwah Tower
Sebelum naik ke bilik, kami ke food court beli makanan. Kali ini kami mencuba hidangan piza saiz sederhana berharga 35 riyal.