Wednesday 25 September 2019

Nasi Lemak Wanjo, Kampung Baru, Kuala Lumpur

Alhamdulillah...setelah lebih dua minggu tengok langit putih dek jerebu, pagi ni langit di tempat saya kembali biru. Tiada lagi jerebu menyelubungi. 😍

Berbalik kepada tajuk entri, ni cerita sekitar dua minggu lalu. Sebelum ke Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur, saya dan suami ke Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk menikmati sarapan pagi di Nasi Lemak Wanjo.

Ini merupakan kali pertama saya datang ke Kampung Baru. Kalau suami, dia dah biasa makan di kedai sekitar sini semasa bekerja di KL dulu.

Pandangan hadapan kedai. Kedai Nasi Lemak Wanjo ni sederet dengan kedai Nasi Lemak Antarabangsa. Dua-dua pun nampak ramai pelanggan. Jalan agak sesak, kami letak kereta di kedudukan yang sedikit jauh dan berjalan kaki untuk ke sini.

Beratur untuk ambil makanan kat sini. Bila saya toleh belakang...ehh kejap je dah panjang barisan sampai luar kedai. Tapi jangan risau, servis di sini pantas.

Sarapan kami...semuanya RM17. Harga yang berpatutan. Semuanya sedap dan menepati citarasa kami berdua. Alhamdulillah, tak kecewa datang dari jauh.

Pekerjanya ramai, sebab tu servis di sini pantas.

Lepas makan, saya ajak suami berjalan kaki melihat-lihat sekitar kawasan Kampung Baru. Ambik gambar sana sini...dah macam pelancong asing gayanya. Hahaa!

Pintu gerbang Kampung Baru. Bila berjalan kaki gini lebih senang nak ambil gambar.

-----------------------------------------------------------

Dengan perkembangan terkini mengenai pembangunan yang bakal dilaksanakan di Kampung Baru, berkemungkinan pada masa akan datang gambar-gambar di atas hanya tinggal kenangan. 

Kampung Baru memang perlu dinaik taraf supaya menjadi kampung moden sesuai dengan kedudukannya di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Tetapi biarlah pembangunan yang bakal dilaksanakan itu tidak melenyapkan identiti asal. Biar ia kekal sebagai satu warisan sejarah negara. Pelancong asing pun ramai suka datang ke tempat yang mengekalkan warisan sejarah dan budaya tempatan.

Semoga penduduk Kampung Baru dan pihak yang terlibat mendapat kata sepakat yang terbaik demi kelangsungan Kampung Baru di tengah hutan konkrit Kuala Lumpur.

Sunday 22 September 2019

Kabut Asap

Musim jerebu ni eloklah berkurung dalam rumah...ni degil jugak nak berjalan. Tak cukup hadap jerebu di Nilai, semalam saya 'menikmati' jerebu di Shah Alam pulak. Tapi bukanlah buat aktiviti luar, kita berjalan-jalan di Decathlon Shah Alam (tempat yang membuat saya leka membelek dari satu rak ke satu rak...hehee).

Pemandangan dari kejauhan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang diselubungi jerebu. Masa ni menghampiri jam 2 petang.

Bacaan IPU untuk Shah Alam setakat jam 2 petang - 126. Tapi kalau tengok situasi semasa, tak rasa macam rendah segitu bacaannya. Sama seperti di tempat saya (Nilai), bacaan menurun dari hari-hari sebelumnya (>200). Tapi mata kita yang tengok ni macam sama je keadaan jerebu, malah rasa lebih teruk sebab dah mula berbau asap.

Sudah dua minggu jerebu melanda...paling lama rasanya untuk setakat ini. Hati sangat merindui langit biru, gumpalan awan putih dan sinaran matahari, nikmat Allah yang telah ditarik daripada kita 😢.


"Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami dan turunkanlah hujan yang mencurah-curah."






.

Wednesday 18 September 2019

Tanam Pokok Kesum Menggunakan 'Self-Watering Pot'

'Self-watering pot' sangat sesuai bagi mengatasi masalah tak sempat siram pokok atau sering terlupa siram. Juga sangat sesuai untuk tanaman yang mudah kering seperti pokok kesum. Walaupun saya dah guna pasu tanpa lubang, pokok kesum masih perlu disiram setiap hari dengan air yang banyak.

'Self-watering pot' boleh dibuat sendiri dengan menggunakan botol minyak/botol air minuman. Cuma perlu potong kepada dua bahagian, gunakan tali mop/span untuk menyerap air. Lebih jimat sebab tak payah keluar duit lebih, guna bahan yang ada di rumah je.

Disebabkan rumah saya tak ada ruang belakang untuk menanam, maka semuanya perlu letak di bahagian hadapan rumah. Situlah nak letak kereta, nak letak ampaian baju dan letak pasu tanaman. Maka, saya lebih suka dan sedap mata memandang kalau guna pasu yang elok di mata saya. Termasuklah 'self-watering pot', saya pilih untuk beli. Ada juga saya buat sendiri, tapi saiz kecil dan boleh sorok kat celah pasu besar.


Beli di Shopee, saya beli dua pasu je. Harga satu pasu untuk saiz ni RM7.92. Ada promo percuma pos, jadi saya cuma perlu bayar harga pasu. Satu set pasu ada 'outer pot' yang putih tu, 'inner pot' yang hitam lubang-lubang tu dan satu tali.

Isi air dalam pasu putih tu, tapi jangan sampai air mencecah kat pasu hitam pulak. Tali tu kita masukkan di dua lubang yang paling besar - hujung ke hujung. Kalau nak lebih senang, masa ni boleh guna 'marker pen' siap-siap tanda paras air maksima kat bahagian dalam pasu putih (supaya lepas ni bila isi air tak terlebih sampai cecah pasu hitam).

Dalam pasu hitam, kita isi tanah macam biasa. Saya letak tanah dan 'cocopeat'. Bab pilihan dan campuran tanah ni saya tak arif tau, cuma logiknya guna tanah (ada nutrien) dan guna 'cocopeat' (menyimpan kelembapan dan tak padat, mudah untuk pertumbuhan akar).

Dah siap isi tanah, saya siram rata air untuk bantu percepatkan tanah jadi lembab. Lepas tu dah boleh terus cucuk keratan pokok kesum. Ambil keratan dari pucuk pokok kesum tu panjang sikit, buang daun yang bawah-bawah dan cucuk ke dalam sampai tinggal bahagian pucuk.

Setelah 14 hari...Alhamdulillah pokok kesum hidup segar dan meninggi. Tak perlu siram, tapi sesekali jenguklah air bawah tu kot habis. Sepanjang 14 hari, baru sekali je saya buat isian semula air di bawah tu. Selain tu, saya kerap juga buat semburan air untuk segarkan daun kesum. Untuk pembajaan, saya tak beli baja cecair jadinya guna jelah baja biji yang dah ada kat rumah. Masukkan dalam air, kalau nak cepat larut mungkin boleh kacau-kacau baja biji tu dalam air.

Satu lagi pasu, saya gunakan untuk tanam pokok 'Snake Plant' di dalam rumah. Pokok yang dikenali juga sebagai Lidah Jin / Lidah Mak Mertua ni sebenarnya tak perlu disiram selalu sebab ciri-ciri pokoknya yang menyimpan air. Jadinya tak berapa perlu guna 'self-watering pot'.

Tapi...bila guna pasu biasa saya selalu lupa siram sampai tanah jadi sangat kering (letak di sudut, satu pasu je...jadi terlepas pandang). Dan bila siram pulak...air ada yang terpercik di luar dari pasu. Bila guna 'self-watering pot' masalah pun selesai! Tadi saya tengok dah mula terkeluar akar baru di celah-celah lubang sisi pasu hitam, kiranya pertumbuhan yang baik.

----------------------------------------------------------------

Situasi jerebu semakin memburuk, di tempat saya setakat jam 11 pagi tadi rekod bacaan IPU - 207. Keluar sekejap untuk siram pokok dan menyapu je pun boleh buat mata rasa pedih dan kepala mula pening. Sama-samalah kita terus berdoa moga keadaan pulih seperti biasa. Kita nak marah-marah dan menuduh mana-mana pihak pun bukan mampu mengubah apa yang dah berlaku. Kita cuma orang biasa tanpa kuasa, tapi kita masih ada kuasa melalui DOA.

Saturday 14 September 2019

Pameran Hutan Kita, Menara Kuala Lumpur

08.09.2019 | Ahad

Jalan-jalan hujung minggu lalu...ke Kuala Lumpur (KL). Dah lama rasanya tak ke KL semenjak saya berhenti menjual tudung yang di borong di Jalan TAR/ Jalan Masjid India.

Awal pagi lagi saya bersama suami dah bergerak dari rumah di Pajam untuk ke lokasi tujuan pertama - Nasi Lemak Wanjo, Kampung Baru, KL. Tak pernah pergi pun, itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di Kampung Baru.

Lepas bersarapan di Nasi Lemak Wanjo (catatan mengenainya pada entri lain), kami menuju ke Menara Kuala Lumpur untuk ke Pameran Hutan Kita.


PAMERAN HUTAN KITA

Menara Kuala Lumpur. Suram je cuaca, bukan mendung tapi masa ni dah mula jerebu. Gambar pun jadi kurang menarik.

Pameran Hutan Kita diadakan di bahagian luar menara. Yang ada banyak pokok itulah pamerannya. Di ruangan terbuka, cuma ada sebahagian kecil di ruangan bertutup/berbumbung.

Pintu masuk ke Pameran Hutan Kita. Tak ramai pengunjung, mungkin sebab masih awal. Masa ni menghampiri jam 10.15 pagi.

Antara sudut info yang dipamerkan. Tanjung Piai dan Pulau Kukup kedua-duanya saya dah pergi, yelah kan...di kampung sendiri! Heheh..

Replika 'Mulu Pinnacles', batu kapur berbentuk tajam di Taman Negara Mulu, Sarawak. Tempat yang saya teringin nak jejak, tapi sedar tahap kemampuan diri...kita tumpang bergambar kat sini ajelah ya.

Masuk pulak ke ruangan macam bilik. Disambut oleh pak belang dan kawan-kawannya. Ni sudut pameran haiwan. Nampak macam 'hidup' tau.

Ni pulak ruangan audio visual yang memaparkan kepelbagaian rupa hutan Malaysia. Siap ada gajah keluar dari celah hutan tu tau. Menyeronokkan terutamanya bagi anak-anak. Bangku disediakan, boleh la duduk-duduk sambil menyaksikan audio visual bertukar-tukar paparan.

Paparan bertukar suasana malam, lengkap dengan kelip-kelip dan bunyi cengkerik. Leka jugak duduk kat sini...sekejap siang sekejap malam, kadang dalam hutan, kadang dalam gua, kadang di hutan paya bakau. Saya rasa ruangan audio visual nilah yang paling seronok untuk pengunjung. Ok...untuk saya sebenarnya, sebab saya suka hutan! hehee..

-----------------------------------------------------
Bagi yang berkesempatan atau tak tau nak ke mana, bolehlah berkunjung ke Pameran Hutan Kita ni :

Tarikh : 24.08.2019 - 22.09.2019
Masa : 9 pagi - 6 petang
Lokasi : Menara Kuala Lumpur
Bayaran : PERCUMA

Selain ke Pameran Hutan Kita, boleh juga masuk ke Mini Zoo dan Upside Down House yang terdapat di Menara Kuala Lumpur ni. Bayaran dikenakan.

Thursday 5 September 2019

PHILIPS Pressure Cooker | Asam Pedas Ayam

Antara menu kegemaran saya...masakan Asam Pedas. Lagi pulak sekarang saya dah ada pokok kesum merimbun (pemberian daripada kakak saya), memang jadi lebih bersemangat memasak Asam Pedas. Daun kesum berfungsi untuk menghasilkan rasa masam dan aroma yang menambah kelazatan Asam Pedas.

Untuk kali ini, saya masak Asam Pedas Ayam menggunakan periuk tekanan. Benda dah ada, kenalah kita guna. Tambahan lagi, dapur kurang berkecah dan jimat masa.

Ok, berikut adalah resepi Asam Pedas Ayam dan cara-cara memasaknya menggunakan Philips Pressure Cooker (PPC) :

ASAM PEDAS AYAM
Bahan-bahan :
Ayam (untuk 2-3 orang)
Cili Kering (saya guna cili siap kisar 3 sudu besar)
Bawang Besar - 1/2 biji (tumbuk)
Bawang Putih - 1 ulas (tumbuk)
Kunyit - sepotong kecil (tumbuk)
Halia - sepotong kecil (tumbuk)
Belacan - sepotong kecil (tumbuk)
Serai - 1 batang di ketuk
Halba - secubit
Daun Kesum
Asam Jawa (saya guna 1 sudu kecil pes asam jawa dibancuh air)
Garam
Gula

1. Untuk proses menumis, guna fungsi BAKE-CHICKEN-Start. Panaskan minyak secukupnya.

2. Tumis serai, halba dan bahan tumbuk (kecuali cili kisar) sehingga naik bau. Lepas tu baru saya masukkan cili kisar, tumis sehingga pecah minyak.

3. Masukkan potongan ayam dan daun kesum. Gaul rata dan masak sehingga ayam sedikit kecut. Rasa ayam yang dimasak sebentar begini lebih sedap berbanding dimasukkan selepas letak air (ini pendapat menurut citarasa saya lah ya...).

4. Bila ayam dah sedikit kecut, masukkan air asam jawa. Tak perlu banyak, sebab air tak berkurangan bila kita masak guna periuk tekanan. Tekan Off untuk proses memasak ayam pulak.

5. Tutup periuk. Tombol SEAL. Tekan fungsi STEAM/STEW. Set KPT kepada 10 minit sahaja (tujuannya supaya ayam tak terlebih masak dan mudah lerai). Tekan Start. Ok, boleh tinggal dan datang semula selepas bunyi beep.

6. Selepas sekitar 14 minit, PPC berbunyi beep. Saya terus lepaskan tekanan secara manual untuk buka penutup. Seterusnya, gunakan fungsi BAKE-CHICKEN-Start (macam menumis awal tadi) untuk sesuaikan rasa garam, gula dan pekatkan kuah Asam Pedas mengikut citarasa. Kalau suka letak sayuran seperti bendi, tomato bolehlah masukkan masa ni. Dah siap, Off PPC.

----------------------------------------------------

Asam Pedas Ayam versi PPC siap!

Cukup rasa masam, pedas. Kuahnya tak cair, tapi tak terlalu pekat. Ayam masak sedang elok, tak terlalu lembut. Alhamdulillah...