Catatan trip ke Pantai Timur pada bulan September lalu.
Memandangkan saya dan Encik Suami tiba di Kuala Terengganu sudah pun agak lewat petang, maka tiada aktiviti khusus yang dapat kami lakukan. Sempatlah kami berehat sebentar di bilik hotel sebelum keluar berjalan-jalan melihat suasana ibu negeri Terengganu.
Kali terakhir kami ke sini pada Oktober 2019, ketika itu Jambatan Angkat Kuala Terengganu baru saja dibuka secara rasmi pada bulan Ogos 2019 - boleh rujuk entri Mercu Tanda Terkini Terengganu | Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Kuala Terengganu Drawbridge)
Terengganu merupakan antara negeri yang memartabatkan tulisan Jawi - semua papan tanda perniagaan dan papan iklan wajib menggunakan tulisan Jawi. Ianya satu usaha yang baik dalam mengangkat tulisan Jawi sebagai warisan budaya.
Selepas berpusing sana sini menambah kesesakan jalan raya dan singgah di beberapa buah kedai menjual batik di tepi jalan (tak membeli, tiada yang berkenan), kami akhirnya menuju ke Mayang Mall. Sajalah nak jalan-jalan tengok pusat beli-belah di sini.
Mayang Mall dibuka secara rasmi pada Disember 2024, masih baru.
Pusat beli-belah 6 tingkat yang besar dan moden.
Kami jalan-jalan cuci mata keluar masuk di beberapa buah kedai. Bila perut dah rasa lapar, cari pula restoran. Ternampak Cafe Chef Wan, jomlah masuk.
Laksa Johor pilihan Encik Suami. Selalunya memang inilah menu yang dipesan kalau kami makan di Petit Cafe Chef Wan @ KLIA Terminal 1.
Saya mencuba pasembur.
Turut dihidangkan, sepiring cucur udang. Katanya complimentary. Alhamdulillah rezeki. Rasanya memang sedap, tapi sayang kami tak mampu habiskan makan. Rasa sendat perut nak makan tiga jenis hidangan ini.
Keindahan Jambatan Angkat pada waktu malam. Foto saya rakam dari luar Mayang Mall.
Bila perut dah kenyang, mata pun bertambah berat. Jomlah kita balik hotel untuk berehat. Esok ada sehari penuh di Kuala Terengganu, ada beberapa aktiviti yang nak dilakukan. Aktiviti biasa je pun - makan dan shopping 😅







Wak pernah tinggal di KT pada tahun 80an
ReplyDeleteDah sangat jauh berubah sekarang.