Terdapat banyak pilihan penginapan di Kuala Dungun, kriteria utama - saya mencari penginapan yang berada dalam keadaan baik dan bersih. Saya teliti ulasan di Google Maps sebelum membuat pilihan. Faktor lokasi juga diambil kira - saya mahu penginapan berhampiran pantai dan ada kemudahan kedai makan berhampiran. Caranya, lihat pada Google Maps.
Pilihan pertama saya Permata Resort, tapi semua bilik sudah pun penuh. Maklum saja, saya buat tempahan 3 hari sebelum menginap 😅. Sebenarnya, trip ke Pantai Timur ni tak dirancang awal. Semua tempahan penginapan dibuat pada saat akhir.
Pilihan kedua, Ombak Beach Inn masih ada bilik kosong. Alhamdulillah.
Saya dan Encik Suami tiba di penginapan kami ketika hari sudah pun gelap. Petugas di kaunter pendaftaran, seorang lelaki yang bertutur dialek Terengganu ramah menyambut kedatangan kami.
Langit malam di sini gelap kurang pencemaran cahaya, menyerlahkan keindahan bulan.
Bulan sabit muda (waxing crescent).
Tadi semasa di kaunter pendaftaran, kami diberi sekeping kertas kecil bertulisan tangan - tertera nombor bilik dan angka passcode bagi membuka tempat simpan kunci yang terletak di pintu masuk bilik.
Tekan passcode - buka ruang kecil tersebut - ambil kunci - buka pintu bilik menggunakan kunci tersebut. Pertama kali saya jumpa sistem penginapan begini. Menurut apa yang saya faham, tempat ini juga beroperasi secara layan diri. Petugas kaunter pendaftaran hanya ada mulai pukul 2 petang sehingga 9 malam. Jika kita datang di luar waktu tersebut, urusan boleh dibuat melalui WhatsApp. Ikut saja panduan yang tertera pada papan notis di kaunter pendaftaran.
Bilik penginapan kami bernombor B4, terletak di aras bawah.
Alhamdulillah biliknya luas selesa. Bilik kami ada sebuah katil single dan sebuah katil queen.
Antara kemudahan yang disediakan - set menggosok pakaian dan sejadah. Kalau tak ada pun tak jadi masalah, saya bawa sendiri travel iron dan kelengkapan solat.
Dalam bilik ni turut disediakan rak kasut, mudahlah kita simpan kasut dalam bilik. Bahaya juga kalau tinggal di luar. Saya pernah ada pengalaman kasut dilarikan monyet di sebuah penginapan berhampiran pantai di Perak.
Bilik air dalam keadaan baik, selesa digunakan.
*****
Foto siang esoknya. Hari dah terang, barulah jelas suasana di sekitar penginapan kami ni.
Sudut pandang dari pintu bilik kami. Boleh terus nampak pantai di seberang jalan sana. Teruja sungguh saya nak berjalan-jalan menikmati suasana pagi di tepi pantai.
Rupa bahagian hadapan bilik kami. Ada set meja kerusi di luar, tapi kami tak sempat nak duduk lepak menikmati suasana di sini.
Rak jualan minuman dan makanan ringan dengan konsep layan diri. Masukkan duit bayaran dalam tabung atau bayar guna QR.
Nak keluar penginapan mudah je, masukkan kunci bilik dalam kotak ini kemudian maklumkan menerusi WhatsApp.
Selain bilik-bilik penginapan, Ombak Beach Inn juga menawarkan ruang acara yang terletak di bangunan setingkat.
Peringatan penting! Tempahan penginapan hanya diterima melalui WhatsApp atau panggilan telefon ke nombor tertera di atas. Jangan terpedaya dengan membuat tempahan di platform online.
Bilik penginapan kami harganya RM130. Semasa buat tempahan perlu bayar RM50, manakala bakinya bayar ketika kami tiba di sini.
Menurut saya, harga yang kami bayar ni sangat berbaloi dengan kemudahan yang disediakan. Bilik penginapan yang luas, berkeadaan baik dan bersih. Cukup selesa bagi kami melepaskan lelah setelah menempuh perjalanan jauh. Juga ada ruang letak kereta yang selamat. Saya sangat puas hati 👍🏽
Lokasinya juga menarik - berhadapan dengan Pantai Sura yang cantik. Nak cari makan pun mudah - berderet kedai makan di sepanjang jalan. Boleh jalan kaki je. Kafe estetik pun ada juga tau, tapi kalau setakat menginap 1 malam macam kami ni memang tak sempatlah nak mencuba makan di beberapa tempat.














Oh Murah jga tu
ReplyDeleteTg pntig kedai makan senang cari
Berdekatan