Thursday, 23 June 2022

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands

Jalan Gua Musang - Cameron Highlands (CH) merupakan laluan yang belum pernah saya dan encik suami lalui. Sebelum ini jika ada urusan kerja di Chegar Perah, Pahang kami biasanya akan menggunakan Jalan Ringlet - Sungai Koyan kerana sudah terbiasa dengan laluan tersebut. Tak terfikir nak mencuba Jalan Gua Musang - CH walaupun jika diikutkan kiraan jarak memang itulah laluan terbaik yang patut kami lalui.

Tetapi akhirnya kami terpaksa jua melalui Jalan Gua Musang - CH kerana Jalan Ringlet - Sungai Koyan ditutup sejak bulan Mei lalu untuk kerja-kerja penyelenggaraan. Khabarnya berlaku mendapan tanah di laluan Pos Betau - Lembah Bertam (berhampiran Empangan Susu) dan penutupan jalan dijangkakan sehingga bulan Julai.


JALAN GUA MUSANG - CAMERON HIGHLANDS

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Jalan Gua Musang - Cameron Highlands terletak di antara dua tempat yang saya bulatkan warna merah. Kalau datang dari Simpang Pulai, sampai je di simpang tiga - teruskan perjalanan untuk ke Gua Musang. Kalau belok kanan tu ke Tanah Rata. Masjid Long Tan yang saya ceritakan dalam entri terdahulu, letaknya di Lojing Highlands.

Kali pertama kami melalui jalan ini adalah pada 8 Jun 2022 dari arah Gua Musang. Dah agak lewat iaitu sekitar pukul 6 petang dan hujan dipertengahan jalan. Waktu tu perjalanan terasa sukar - dalam hujan lebat perlu melalui jalan berliku dan berlubang/rosak. Kenderaan lain pulak sangat jarang kelihatan. Tambah berdebar bila nampak papan tanda amaran haiwan liar - gajah.

Empat hari selepas itu, kami melalui jalan ini buat kali kedua. Kali ni kami dari arah Cameron Highlands. Saya kongsikan foto-foto dan video yang diambil sepanjang perjalanan, di mana menurut saya cukuplah untuk mendapat sedikit gambaran berkenaan laluan ini. Laluan yang dipesan oleh orang-orang supaya jangan melaluinya pada waktu malam.

Semua foto dan video di bawah adalah hasil rakaman sewaktu perjalanan kali kedua iaitu pada petang Ahad, 12 Jun 2022

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
ANDA SEDANG MELALUI JAMBATAN KEDUA TERTINGGI DI MALAYSIA (52m TINGGI) - FT185 Jalan Lojing - Pos Blau, Kelantan Darul Naim. Pada tahun 2012 saya pernah buat entri berkenaan jambatan kedua tertinggi di Malaysia yang terletak di Bukit Putus, Negeri Sembilan. Nampaknya sekarang dah bertukar kedudukan.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Di Lojing Highlands - pemandangan yang tidak cantik di mata saya.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Laluan yang berliku. Dari bawah boleh nampak jalan di atas sana yang bakal kita lalui. Laluan di celah dua bukit yang hampir hilang bukitnya.

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
ANDA SEDANG MELALUI KAWASAN CENTRAL FOREST SPINE (CFS) - HUTAN SIMPAN SG. BETIS, HUTAN SIMPAN SG. BROK. Sepanjang melalui jalan ini kita akan nampak beberapa papan tanda hutan simpan, lengkap dengan slogan ‘ANOK KLATE SAYE HUTE’ (bermaksud ‘Anak Kelantan Sayang Hutan’). Tapi benarkah bagai dikata? Ada satu ketika (sewaktu dalam perjalanan balik dari arah Gua Musang), saya nampak sebuah lori dengan muatan kayu balak berada betul-betul di satu jalan dengan papan tanda Hutan Simpan Kekal Sg. Betis.

Macam mana pulak boleh ada aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal? Ini rupanya definisi Hutan Simpan Kekal :
“Hutan Simpanan Kekal adalah bermaksud mana-mana tanah (tanah berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai HSK untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984. Kawasan tersebut ditadbir sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri (JPN) dan semua hasil hutan dalam kawasan ini adalah milik Kerajaan Negeri. Di bawah seksyen 10 (1) Akta yang sama,HSK dikelaskan kepada dua (2) kategori yang utama iaitu (i) hutan pengeluaran dan (ii) hutan perlindungan.”
Oh, pembalakan memang dibenarkan di bawah kategori hutan pengeluaran. Ini termasuk kuari, perlombongan dan pembukaan ladang. Persoalannya, mana yang lebih luas kawasannya - hutan pengeluaran atau hutan perlindungan? Bukan bidang saya untuk meneruskan ulasan. Cukuplah saya catatkan di sini sebagai satu penceritaan pengalaman kerana terkejut melihat banyaknya bukit yang tiada pokok-pokok tinggi dan giatnya aktiviti pembalakan (sila tonton video, sekejap saja dah beberapa buah lori balak lalu).

Laluan Gua Musang - Cameron Highlands, Kelantan, Malaysia.
Sesekali perjalanan kami menjadi perlahan kerana mengikuti belakang lori balak. Lori balak ada di kedua-dua laluan - arah ke Gua Musang dan arah ke Cameron Highlands. Mujur di sini banyak juga disediakan dua lorong untuk kita memotong kenderaan berat. Kehadiran banyaknya lori balak ini juga menjawab persoalan kenapa jalan di sini banyak yang rosak. 

Perjalanan kami melalui Jalan Gua Musang - CH ini mengambil masa sekitar 1 jam 15 minit. Setelah melalui sendiri jalan ini, fahamlah saya kenapa kita perlu mengelak untuk melaluinya pada waktu malam - faktor kerosakan jalan dan risiko kemunculan haiwan liar. Juga ada kawasan yang tak ada liputan talian telefon dan internet. Susahlah kalau terjadi apa-apa hal buruk.

Seperkara lagi, kalau merancang nak melalui jalan ini (atau jalan-jalan lain ke CH) jangan lupa buat semakan terlebih dahulu sama ada selamat atau tidak untuk dilalui. Boleh buat carian situasi semasa di Facebook Jabatan Kerja Raya tempat berkenaan.


JALAN GUA MUSANG

Tiba di penghujung Jalan Gua Musang - CH, kita akan jumpa simpang tiga. Jika ke kiri arah ke Kuala Betis, kami ke arah kanan iaitu ke Gua Musang. Kami tiba di simpang tiga ni pada pukul 5.45 petang. Alhamdulillah. 

Jalan Gua Musang, Kelantan, Malaysia
Pemandangan yang indah. Dari kejauhan kelihatan perbukitan batu kapur berbalam.

Jalan Gua Musang, Kelantan, Malaysia
Perjalanan melalui Jalan Gua Musang ini juga agak sukar kerana jalannya kecil, tidak rata/lurus, banyak kerosakan jalan dan paling seksa bila perlu berada di belakang kenderaan berat. Ada yang berbaik hati memberikan lampu isyarat kiri supaya kenderaan kami memotong. Encik suami memotong dan membunyikan hon tanda terima kasih, kemudian dibalas kembali dengan bunyi hon. Ini antara hal-hal yang menimbulkan rasa harmoni sesama pengguna jalan.

Eh, sebenarnya gambar atas ni saya ambil sebab terpesona dengan pemandangan awan di puncak gunung tu. Tapi bila buat entri jadi lain ceritanya. 


Video berdurasi 01:10 minit - sedikit gambaran laluan Gua Musang - Cameron Highlands.



20 comments:

  1. tingginya jalan antara 2 bukit tu...seriau kan ikut belakang lori balak ni..sib baik ada pemandu lori yg baik hati..

    ReplyDelete
  2. tengok promo buku Arsene Lupin tu, baru nak layan drama Lupin di netflix...ada 10 episod..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pernah tonton beberapa episod..memang best Lupin.

      Delete
  3. seriau kalau kena lalu blkg lori camtu... Jalan berliku simpang siur, adoii betul la kena sentiasa berhati-hati lalu ikut jalan tu ye.

    ReplyDelete
  4. Jalan macam ni, kira ok, Ujie. Kalau lalu jalan Gerik ke Jeli, lagi rasa nak naik angin, lubang sana sini. Hehe.. lori balak memang banyak, lagi-lagi hari bekerja. Tapi memang cantik, tengok pemandangan gunung dan awan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Pernah lalu Lebuhraya Timur Barat tu, ada lalu Bukit Bunga. Tapi berbelas tahun lalu. Dah tak ingat sangat. Cuma ingat ada banyak lori balak masa kat Gerik rasanya.

      Delete
  5. Sedih sangat melihat bukit ditarah-tarah begitu. Kenapalah tidak ada kesedaran dan mesra alam ye.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita je rasa sedih, mereka yang ada kuasa tak sedih.

      Delete
  6. Kena berhemah bawa kereta melalui Hutan Simpan Sg. Beris.
    Belum pernah lalu jalan ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hutan simpan tu salah satu hutan yang akan kita lalui kat Jalan Gua Musang - CH ni.

      Ada kesempatan, boleh NA cuba lalu...jalan2 Gua Musang.

      Delete
  7. Sedih tengok bukit-bukitnya botak :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan...jadi tak seronok perjalanan tengok bukit botak.

      Delete
  8. dah lama tak lalu. seram jalan ni, tapi kalau menjelang Hari Raya meriah jugak. pembalakan di Kelantan memang menyedihkan. kalau dari dalam flight, nampak sungainya warna teh tarik.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hari Raya..semua jalan2 sunyi jadi meriah 😁

      Entah bila dan siapa mampu selesaikan isu pembalakan di Kelantan...

      Delete
  9. now aida sedang dlm dilemma, nak ke tak camping di lojing. di masjid tu, di atasnya ada campsite kecil. dahaga kan suasana yg segar di tanah tinggi. di samping nak berjalan2 di CH.
    tapi looking at the pictures above, terasa sedih plak. adakah view itu yg aida cari? bukit ditarah dgn begitu serakah sgt :(

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ok juga nak camping di Masjid Lojing tu, dapat nikmati suasana tanah tinggi. Abaikan sekejap bab view bukit ditarah. Cuma masalah lain di situ yang saya nampak - masalah lalat dan keadaan tandas kurang sempurna. Tak pastilah jika sekarang keadaan dah ok.

      Delete
  10. Kali pertama saya melaluinya asbab dengar cakap kawan jalan ni dekat jika saya ingin buat perjalanan ke ipoh Dari kota bharu pada tahun 2006 dengan memandu kereta proton iswara..bergerak Dari gua musang sebelum maghrib..sampai pertengahan perjalanan saya Dan isteri hanya mampu diam Dan berdoa serta zikir moga tiada apa apa yang tidak dingini berlaku.. alhamdulillah kami sampai ipoh pada jam lebih kurang pukul 9.30 malam..satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang satu pengalaman perjalanan yang tak dapat dilupakan tu. Pertama kali, terus lalu waktu malam. Syukur tak ada kejadian buruk.

      Delete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****