Saturday, 4 June 2022

Menikmati Keindahan Alam di Taman Sakura, Tebing Tinggi, Perlis

AHAD | 29.05.2022

Sambung catatan di Perlis - pagi hari Ahad tu adik ipar ajak ikut mereka sekeluarga beriadah di Taman Sakura Sungai Perlis. Rancangan asalnya nak ke View Point Wang Kelian untuk menyaksikan keindahan hamparan awan (malamnya hujan lebat, dijangka ada la hamparan awan pada sebelah pagi), tapi rancangan berubah di saat akhir memandangkan encik suami ada hal kerja yang perlu disiapkan segera. Jadinya encik suami tinggal di rumah menyiapkan kerjanya, saya jelah yang ikut adik ipar sekeluarga ke Taman Sakura.

Jomlah kita tengok apa yang menarik di Taman Sakura ni…

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Sesuai dengan namanya Taman Sakura, taman ini diwujudkan untuk pengunjung menikmati keindahan bunga ‘sakura Malaysia’ iaitu bunga pokok Tecoma atau nama sainstifiknya tabebuia pentaphylla. Tapi disebabkan saya ke sini di luar musim bunga Tecoma berbunga, tak dapatlah saya menyaksikan keindahan bunga ‘sakura Malaysia’ ni.

Taman Sakura ni juga sesuai untuk aktiviti riadah - kita boleh joging di laluan yang disediakan, anak-anak kecil boleh main di taman permainan dan terdapat wakaf untuk kita berehat melepas lelah. Jadinya walaupun tak ada bunga Tekoma, tempat ini masih sesuai dikunjungi untuk aktiviti riadah seisi keluarga.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Orang datang sini untuk joging, saya datang sini sibuk memerhati alam. Bunga Tecoma tak ada, tapi pemandangan hijau alam begini sudah cukup menarik perhatian saya. Lagi pulak masa ni hujan baru saja berhenti, terasa segar mata memandang dedaun dan rumput dibasahi hujan.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Pelantar kayu berwarna-warni untuk pengunjung berfoto dengan berlatarkan pemandangan Sungai Perlis dan bukit batu kapur Banjaran Nakawan.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Hasil memerhati sekeliling di sepanjang laluan pejalan kaki, saya terpandang sarang burung Tempua yang bergantungan di sebatang pokok. Tak begitu tinggi, bolehlah saya zoom in kamera untuk mendapatkan gambar di atas. Sarang burung yang masih berwarna hijau dengan burung-burung kecil berwarna kuning kelihatan riuh keluar masuk rumah mereka. Seronok dan leka saya memerhati. Nak tau macam mana riuhnya burung-burung ni? Boleh tengok dalam video di hujung catatan ini.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Satu lagi pemandangan yang membuat saya teruja - pokok kelapa ini pun dipenuhi dengan gantungan sarang burung Tempua. Banyak sangat! Riuh burung-burung keluar masuk sarang dan tambah menarik bila angin bertiup. Meliang-liuk daun kelapa dan gantungan sarang burung disapa angin. 

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Yang ni apa pulak yang menarik? Nampak tak si comel kat atas nun? Anak sedara saya cakap ni monyet pakai spec sebab warna putih di sekeliling mata macam pakai cermin mata. Hehe.

Inilah Lotong Cengkong (π˜‹π˜Άπ˜΄π˜¬π˜Ί π˜“π˜¦π˜’π˜§ π˜”π˜°π˜―π˜¬π˜¦π˜Ί) atau nama saintifiknya π˜›π˜³π˜’π˜€π˜©π˜Ίπ˜±π˜ͺ𝘡𝘩𝘦𝘀𝘢𝘴 𝘰𝘣𝘴𝘀𝘢𝘳𝘢𝘴 dari famili Cercopithecidae dikategorikan oleh π˜π˜œπ˜Šπ˜• π˜™π˜¦π˜₯ π˜“π˜ͺ𝘴𝘡 𝘰𝘧 π˜›π˜©π˜³π˜¦π˜’π˜΅π˜¦π˜―π˜¦π˜₯ 𝘚𝘱𝘦𝘀π˜ͺ𝘦𝘴 sebagai 𝘌𝘯π˜₯𝘒𝘯𝘨𝘦𝘳𝘦π˜₯ (π˜Œπ˜•). Di Semenanjung Malaysia, spesis ini adalah dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [𝘈𝘬𝘡𝘒 716]. Nama lain bagi spesies ini adalah π·π‘’π‘ π‘˜π‘¦ πΏπ‘Žπ‘›π‘”π‘’π‘Ÿ, π‘†π‘π‘’π‘π‘‘π‘Žπ‘π‘™π‘’π‘‘ πΏπ‘Žπ‘›π‘”π‘’π‘Ÿ Lotong Bercelak dan π‘†π‘π‘’π‘π‘‘π‘Žπ‘π‘™π‘’π‘‘ πΏπ‘’π‘Žπ‘“ π‘€π‘œπ‘›π‘˜π‘’π‘¦. (Sumber : Jabatan PERHILITAN)

Saya panggil lotong Langur. Pertama kali saya jumpa semasa di Taman Negara Pulau Pinang. Rupanya kat sini pun ada spesis yang sama. Lotong jenis ni lebih tenang, tak buat bising, pemalu dan akan segera menghilang di balik dahan pokok.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Saya memerhati dari jauh seekor burung kecil. Tenang rasa dapat melihat pemandangan begini. Saya zoom in kamera untuk memotret si cantik ni. Boleh klik pada gambar untuk paparan lebih jelas.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Aliran Sungai Perlis yang menambah keindahan lanskap di Taman Sakura. Tempat ni berhampiran dengan rumah penduduk. Jadinya ini mungkin sampan milik penduduk berhampiran.

Taman Sakura Sungai Perlis, Tebing Tinggi, Perlis
Papan tanda Taman Sakura.

Walaupun nampak macam tak ada apa-apa sebab tak ada bunga Tecoma merimbun, taman ini tetap ada keunikan dan keindahan tersendiri pada pandangan saya. Banyak yang cantik di mata saya. Bak kata anak sedara saya, “Mak Long ni semuanya cantik...cantik…”. Iyalah, saya nampak itu cakap cantiknya dan nampak ini pula pun cakap cantiknya. Haha! Entahlah, saya memang mudah terpesona pada hijau alam, rimbunan pokok, juntaian akar, bentuk dedaun, burung-burung dan segala bunyi-bunyi alam bagai nyanyian indah pada pendengaran saya. Alhamdulillah atas segala nikmat dari-Nya.

Ok, bagi sesiapa yang ada ke Perlis bolehlah jalan-jalan ke Taman Sakura ni. Kalau memang nak cari ‘sakura Malaysia’ kenalah bertanya kepada penduduk tempatan bila musimnya tiba. Kalau tak pun, tempat ni masih sesuai untuk para pencinta alam semulajadi atau mereka yang gemar melakukan aktiviti joging.  Juga sesuai untuk mereka yang mencari ketenangan. Terpulanglah kepada minat masing-masing ya.


Video berdurasi kurang 1 minit.


—————————————————————

TAMAN SAKURA SUNGAI PERLIS
Tebing Tinggi, Kangar,
Perlis.




10 comments:

  1. biasalah tu kak, golongan muda selalu tak 'melihat' macam kita. saya pun selalu kena kutuk dengan anak sedara. angsa pun nak ambil gambar, diorang cakap. haha. teringat nak tahu macaman keadaan tempat ni di musim Tecoma

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe...kita menghargai setiap yang ada, gituu.

      Itulah, harap lain kali akak dapat datang sini lagi masa musim bunga pulak.

      Delete
  2. Replies
    1. Haa...orang Perlis mesti dah pernah sampai kan..

      Delete
  3. Cantik gambar-gambar yang Ujie ambil. Saya pun suka pergi ke taman-taman macam ni, tengok pokok. Bagusnya, ada laluan untuk beriadah.

    ReplyDelete
  4. Selamat beriadah menikmati keindahan alam semula jadi

    ReplyDelete
  5. Tidak jatuh pula sarang tempua apabila ditiup angin.

    ReplyDelete
  6. indahnya alam semesta disini, ada sungai...cantiknya sarang burung tempua warna hijau...sib baik Lotong Cengkong tu pemalu...hihi..kalau tak, seram juga, takut diterkam..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****