Friday 17 June 2022

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands

SABTU-AHAD | 11-12 JUN 2022


Nak kata pergi bercuti di Cameron Highlands (CH) pun tak jugak, sebab cuma menyinggah sekejap tapi sempatlah bermalam. Tujuan asalnya nak ke Chegar Perah, Pahang sebab encik suami ada kerja di sana pada hari Isnin. Perjalanan dari PP perlu melalui Simpang Pulai - Lojing - Gua Musang - Chegar Perah. Alang-alang kena lalu Simpang Pulai, encik suami ajak menginap di Tanah Rata untuk satu malam.


HILLSIDE COTTAGE - Penginapan Berkonsepkan Rumah Kampung Di Lereng Bukit


Penginapan pilihan kami kali ini - Hillside Cottage. Lokasinya di belakang The Cool Point Hotel. Nak masuk sini memang kena parkir dan ambil kunci di kaunter hotel, tapi pengurusan keduanya adalah berbeza. Kami tahu tempat ni pun sebab pernah menginap di The Cool Point Hotel dan ternampak Hillside Cottage ni. Saya buat tempahan dua hari sebelumnya, Alhamdulillah masih ada satu kekosongan untuk Studio Room.

Disebabkan hal-hal yang tak dapat dielakkan, kami bertolak lewat dari PP. Tambahan pulak hujan di sepanjang perjalanan dan beberapa laluan di Simpang Pulai berkabus tebal yang menyukarkan pemanduan. Alhamdulillah kami selamat sampai ke Hillside Cottage sekitar pukul 9 malam.

Esok harinya barulah saya berpeluang melihat-lihat sekitar dan berfoto-foto. 

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas ambil kunci di kaunter hotel, kita terus menuju ke bahagian belakang hotel. Akan nampak tangga begini. Naik atas untuk ke bilik-bilik penginapan Hillside Cottage. Kat sini cuma ada empat buah bilik penginapan je - dua buah jenis Studio Room dan dua buah jenis Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Lepas naik tangga, ada satu laluan ke kanan. Sebelah kanan ni ada gazebo, tempat BBQ dan sebuah penginapan Family Room di hujung sekali. Memang seronok dan tenang kalau dapat berbuai santai kat sini. Tapi tak dapatlah nak berbuai sebab buaian basah dek hujan malam tadi.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Penginapan kami terletak di laluan kiri - dinding kayu berwarna hijau. Bilik jenis Studio Room. Ada sebuah lagi bilik Studio Room tak kelihatan dalam gambar - terletak bersebelahan bilik penginapan kami.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Di hujung sekali tu ada sebuah lagi bilik Family Room.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Inilah rupa bahagian dalam bilik penginapan kami - nama bilik ni Dandelion. Foto ni saya ambil sebaik saja tiba di bilik malam tadi. Keluasan bilik yang memuaskan. Ada tv tapi tak nampak dalam gambar sebab kedudukan di sebelah pintu masuk. Secara keseluruhannya, bilik ni ok cuma saya terganggu dengan bau cat. Juga ada beberapa hal yang perlu diperbaiki, tapi tak perlulah saya nyatakan sebab ianya hal-hal kecil yang jika diatasi akan memberi lebih nilai kepada pengalaman penginapan di sini.

Hillside Cottage, Tanah Rata, Cameron Highlands
Rupa bilik air. Luas dan semuanya berfungsi baik.

Eh, lepas gambar tandas terus gambar makanan pulak ya. Ceritanya, pagi Ahad tu kami rasa malas nak keluar cari makan. Walaupun pada kebiasaanya kalau naik CH mesti akan bersarapan di YZ Agro Farm. Tapi mengenangkan ni hujung minggu dan masih dalam cuti sekolah, mesti sesak jalan nak masuk ke Kg. Taman Sedia. Kebetulan pulak pihak The Cool Point Hotel ada sediakan sarapan dengan bayaran RM12 / dewasa. Menunya ringkas - nasi lemak, mi goreng, roti dan dua jenis minuman. Jadinya kami bersarapan di ruang makan hotel sajalah. Walaupun mungkin agak mahal, tapi kami dapat makan tanpa perlu keluar dari kawasan penginapan dan boleh makan dengan selesa di sini. Satu lagi, nasi lemak dan mi goreng tu memang sedap!

Lepas sarapan, saya memotret bunga cantik ni di perkarangan hotel.

Video sekitar Hillside Cottage berdurasi 00:56 minit. Pertama kali guna aplikasi KineMaster, macam lebih menarik berbanding aplikasi video editor lain yang saya guna sebelum ini.

Bagi yang nak mencari kelainan sewaktu menginap di CH, bolehlah cuba menginap di Hillside Cottage ni - penginapan ala rumah kampung di lereng bukit. Hiasan tamannya menarik dan sesuai untuk yang gemar berfoto. Tapi bersedialah untuk menggigil bila tidur di sini. Yelah kan…tidur di bilik dengan dinding kayu dan terletak pulak di lereng bukit, betul-betul hampir dengan pokok-pokok. Saya sendiri tak lena tidur kerana kesejukkan walaupun dah pakai berlapis, berstokin bagai. Tapi seronok, sebab pengalaman yang jarang dirasai. Catatan suhu pada pukul 8 pagi Ahad adalah 17℃. Memang sejuk!

Berkenaan harga - harga bilik adalah berbeza pada hari biasa, hari hujung minggu dan cuti umum. Macam kami ni dikira harga cuti umum sebab masih dalam cuti sekolah iaitu RM150. Kalau datang hari biasa cuma RM110. Kalau ada yang berminat boleh lihat Fb : Hillside Cottage Cameron Highlands. Ada link WhatsApp untuk tempahan.

————————————————————————-

Sekitar pukul 12.30 tengah hari kami bergerak dari Hillside Cottage untuk meneruskan perjalanan ke Gua Musang. Seperti dijangka, jalan sesak teruk. Perjalanan ke Kampung Raja saja dah mengambil masa selama 3 jam! Tak jadi nak singgah membeli scone di Medan Agro Kea Farm dan memang tak singgah ke mana pun. 




18 comments:

  1. menarik cottage nya...tak banyak unit, tak sesak...pernah tinggal di rumah kampung (rumah papan) di Kpg Taman Sedia, memang sejuk giler waktu pagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, lebih privacy kat sini.
      Kan…kalau duduk bilik hotel pun dah cukup sejuk. Ni pulak dinding papan.

      Delete
  2. Jenuh kena panjat tangga.
    Deko bilik hijau pucuk pisang! Terang nampak. Dinding tandas pun unik ada coretan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..nak naik lereng bukit kan. Kena melangkah berhati-hati.

      Delete
  3. cantiknya kak, sebab hiasannya tu sesuai untuk bergambar lah, dengan bunga-bungaan memang menarik cumanya kalau yang ada masalah kesihatan mcm dana ni memang idok la nak mendaki tangga tu hehehhe...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haa iya Dana. Tapi sebenarnya taklah tinggi sangat tangga tu.

      Delete
  4. Cantik & berbaloi nampaknya dengan rate yg dikenakan.
    Kalau sy pun pilih sarapan di tempat berhampiran dah, malas nak keluar kalau jalan sesak :)
    Sambil-sambil tu boleh pusing-pusing sekeliling cottage ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah...kawasan sekeliling pun dah cukup cantik untuk kita bersantai dan berfoto2.

      Delete
  5. Blik warna hijau! Cantiklah.
    Samalah Ujie... bunga yang cantik itu saya pun sempat memotret di Kundasang War Memorial waktu bercuti minggu lepas.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bunga kat tanah tinggi ni cantik2. Mampu memotret jelah.

      Delete
  6. Cantik juga. Tapi kalau bawa warga emas tak sesuai kot, nak panjat tangga. Sejuk tu macam di oversea

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya, walaupun tak tinggi sangat tangga tu tapi tak sesuai bagi warga emas yang ada masalah kesihatan.

      Nak pergi negara sejuk belum mampu, kita bersejuk2 di CH aje lah Sal..hehe

      Delete
    2. Negara sendiri pun banyak cantik. Pendapat saya pergi oversea ni nak tengok budaya orang je. Nak kata cantik, Malaysia pun banyak yang setanding

      Delete
  7. Bestnya, rumah kampung kat cameron highland. Hujan pulak tu, sejuk macam oversea la ye. Saya pernah balik kelantan ikut Lojing. Cantik jalan dan pemandangan.
    Pandai Ujie edit video.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang cantik kan pemandangan kat jalan tanah tinggi.

      Terima kasih Nur, edit yang mudah dengan rakaman video yang bergegar 😄

      Delete
  8. kami ambil yang hujung sekali bertangga tu sebab bawak parents in law kan..apa2 pun tempat tu memang cantik..tak tau pulak boleh breakfast kat the cool point tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selisih sehari je kita rupanya, Leeya check out Jumaat, hari Sabtu malam tu akak check in 😀

      Breakfast tu akak tau sebab nampak whiteboard display kat reception hotel. Mungkin jugak cuma ada pada hari hujung minggu.

      Delete
  9. wow. menarik ni, ujie. aida bookmark ye. sgt terpikat. maybe aida akan ambil family room la kan. anak ramai :)

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****