Selepas bersarapan di Nasi Dagang Atas Tol (Cawangan Bandar), kami menuju ke Pasar Kedai Payang yang juga dikenali dengan nama Pasar Payang.
Ketika kali terakhir kami ke Kuala Terengganu, bangunan Pasar Payang yang ada pada hari ini masih belum dibina. Waktu itu, kerja meroboh bangunan lama dan pembersihan tapak sedang berjalan. Sempatlah kami ke Pasar Payang yang terletak di lokasi sementara.
Bangunan Pasar Kedai Payang yang mula beroperasi sejak Julai 2024 ini lebih moden dan menarik dengan sentuhan seni bina tradisional. Ia memberikan nafas baru kepada imej Pasar Payang di bangunan lama yang sempit, sesak dan panas.
Pasar Payang beroperasi di dua buah bangunan berbeza yang terletak berhampiran - Pasar Kedai Payang 1 dan Pasar Kedai Payang 2. Dalam foto di atas dan di bawah merupakan bangunan Pasar Kedai Payang 1, manakala foto di hujung entri merupakan bangunan Pasar Kedai Payang 2.
Kami masuk ke Pasar Payang 1 yang menempatkan kedai emas, batik, barangan kraf dan produk pelbagai. Kami tiba di sini kira-kira pukul 9.40 pagi, sudah agak ramai pengunjung.
Kawasan terbuka di tengah bangunan Pasar Payang, reka bentuk yang membantu aliran pengudaraan yang baik - bangunan tidak rasa bahang. Keadaan ini memang jauh lebih selesa berbanding di bangunan lama.
Deretan kedai emas di tingkat bawah.
Deretan kedai kraf dan cenderamata yang juga terletak di tingkat bawah. Saya suka tengok produk kraf yang dijual.
Rasa teringin pulak nak ada tikar mengkuang di rumah. Walaupun terkejut dengan harga jualan tikar mengkuang, tapi akhirnya sehelai tikar mengkuang berukuran 7x6 kaki dengan harga RM280 ikut kami balik ๐
Beg dan tikar mengkuang yang dijual.
Terdapat kemudahan eskalator untuk ke tingkat atas. Sangat memudahkan pengunjung.
Deretan kedai batik di tingkat atas. Laluan tengah di antara deretan kedai cukup luas, pengunjung tak perlu bersesak seperti di bangunan lama. Rasa lebih selesa nak berjalan dan membelek produk yang dijual.
Encik Suami beli baju batik lengan pendek di kedai ini.
Saya pula beli kain pasang di kedai ini. Penjualnya seorang perempuan muda, mesra melayan dan bukan jenis memujuk/mendesak kita memilih. Harga yang ditawarkan juga sedikit rendah berbanding kedai lain tanpa perlu tawar-menawar. Saya tak pandai nak tawar-menawar ๐
Deretan kain pasang corak batik yang membuat saya rambang mata. Tak tahu nak pilih, yang itu cantik yang ini pun cantik.
Terdapat dua pilihan material kain pasang - cotton viscose dan sutera crepe. Kain pasang sutera crepe semuanya dah diletak perincian manik/batu, saya pula suka sesuatu yang ringkas. Tak jadi nak beli sutera crepe, saya ambil cotton viscose jelah. Dah beberapa kedai saya masuk, memang sama je - sutera crepe dijual dengan perincian manik/batu.
Kain pasang material cotton viscose dengan corak marble.
Baju batik, kain pasang dan tikar mengkuang - ini sajalah barang yang kami beli di Pasar Payang 1. Menjelang tengah hari, kami beredar dari sini. Saya perhatikan masih banyak kedai yang belum dibuka. Selepas itu barulah saya tahu bahawa rata-rata peniaga di sini tidak menjalankan operasi perniagaan pada hari Jumaat.
Dari Pasar Payang 1 kami menuju ke bangunan Pasar Payang 2.
Pasar Payang 2 berfungsi sebagai pasar harian - jualan makanan dan barang basah.
Mulanya kami nak masuk ke Pasar Payang 2 ni, tapi lepas tu kami ubah fikiran - rasa letih badan dan perlu balik ke penginapan untuk persediaan solat Jumaat. Maka, kita simpan untuk kunjungan akan datang jelah ๐















No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita ๐
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****