Friday 10 February 2023

Jalanan Macet di Kota Medan

Selepas membeli tiket penerbangan menuju ke kota Medan, saya mula mengatur itinerari dengan mengambil kira jarak kilometer dan masa perjalanan dari satu lokasi ke lokasi berikutnya berpandukan aplikasi Google Maps. Ada lokasi yang cuma berjarak sekitar 1 km saja jika kita memilih mod berjalan kaki. Selain boleh menjimatkan kos, lebih banyak perkara yang dapat kita lihat dengan berjalan kaki. Maka di dalam cadangan itinerari banyak jugalah saya letakkkan mod berjalan kaki bagi pergerakkan antara lokasi.

Jalanan Macet di Kota Medan

Kota Medan Indonesia
Kami perlu melintasi jalanan macet ini untuk ke hotel.
Tetapi sebaik saja kami melangkah keluar dari bangunan stasiun, sedarlah kami bahawa pilihan mod berjalan kaki bukanlah sesuatu yang praktikal buat kami. Jalanan di sini sangat sesak (macet) dengan pelbagai jenis kenderaan yang bersimpang-siur dan meriah dengan bunyi hon. Jejantas yang ada pula rupanya masih dalam pembinaan, tak boleh digunakan. Tak berani kami nak melintas jalan πŸ˜…

Kami mundar-mandir di hadapan Stasiun Kereta Api Medan melihat sekitar sambil berfikir dan berbincang, kerana ikut perancangannya kami akan berjalan kaki menuju ke hotel yang cuma berjarak 1.1 km. Tak boleh buat Plan A, kita tukar Plan B - naik GrabCar jelah.

Kami masuk semula ke dalam bangunan dan menuju ke bahagian hadapan Stasiun Medan (stasiun bagi tren KAI Bandara). Dari situ bolehlah kita ambil servis GrabCar. Nak ambil di tempat dengan jalanan macet tadi boleh juga, tapi mungkin susahlah GrabCar nak sampai. Tapi kami tak terus ambil GrabCar, kami menuju ke Center Point Mall yang terletak di seberang jalan. Kami nak makan dulu mengisi perut yang kelaparan dan menghilangkan rasa panas badan dek panahan terik mentari di luar. Selepas itu barulah kami naik GrabCar dari mall.

[video 1] Sedang kami memerhati jalanan, tiba-tiba terdengar nyanyian oleh sekumpulan anak-anak. Segera saya merakam video di atas. Suasana di jalanan yang sudah cukup meriah jadi bertambah meriah! Terhibur juga saya menyaksikan gelagat mereka 😁

Kota Medan Indonesia
Kami sangkakan, jalanan macet hanya pada waktu siang. Eh, malam pun sama jugak! Ya…udah, kita ‘nikmati’ saja pengalaman berada di jalanan kota Medan ini. Lagi pula bukan kita yang memandu, hanya duduk di belakang sambil sesekali saya memejamkan mata kerana merasa ngeri - macam nak berlanggar!

[video 2] Saya tak ada rakaman pemanduan di jalanan macet pada waktu siang. Cuma ada video ini yang dirakam pada waktu malam. Biasa juga kami dibawa melalui lorong kecil yang kadang-kala menurut saya cuma muat satu kenderaan. Tapi eh…boleh pulak lalu dua kenderaan secara berselisih. Hebat skil pemanduan mereka!

Manakala dalam video di atas, GrabCar yang kami naiki membelok masuk ke lorong dengan orang ramai sedang duduk makan di meja-meja tepi jalan dan deretan gerai kecil. Kedudukan kereta dengan meja makan sangatlah dekat. Tapi sayangnya saya tak merakam video lebih lama, jadinya tak dapat nak tunjuk jaraknya macam mana.

Kota Medan Indonesia
Masa ni kenderaan tak boleh lalu, kami dapat berjalan dengan rasa selamat.
Kali pertama kami berjalan kaki menuju lokasi tujuan adalah sewaktu melalui Jl. Jend. Ahmad Yani. Itu pun disebabkan simpang masuk ke jalan ini ditutup bagi laluan kenderaan. Pemandu GrabCar menurunkan kami di simpang jalan. Kami berjalan melewati deretan bangunan lama dengan kebanyakkan kaki lima bangunan berada dalam keadaan yang tak sesuai untuk kita lalu. Laluan pejalan kaki juga banyak yang terhalang dek kerja-kerja (nampak seperti kerja memasang kabel bawah tanah) yang sedang dijalankan. Dan tak lama kemudian, jalanan ini mula dibuka. Kenderaan menderu masuk, menjadikan keadaan agak sukar bagi kami untuk berjalan kaki. Boleh, tapi perlu sangat berhati-hati sebab bukan sentiasa ada ruang yang selamat untuk pejalan kaki.

Kota Medan Indonesia
Laluan pejalan kaki di sekitar hotel penginapan kami.
Pagi hari terakhir di kota Medan, kami mengambil peluang berjalan kaki di sekitar hotel penginapan - Hotel Santika. Ikut je laluan pejalan kaki yang tersedia sambil memerhatikan persekitaran. Kami melalui Komando Distrik Militer, Pengadilan Negeri Medan dan Rumah Sakit Islam Malahayati. Pergi balik cuma sekitar 1 km dengan tempoh masa sekitar 20 minit, kami berpatah balik apabila tiada lagi ruang pejalan kaki tersedia.

[video 3] Rakaman video suasana jalanan berhampiran hotel penginapan kami. Hari Isnin, waktu orang sedang bekerja. Jalanan di sini tidak sesibuk semalam dan kelmarin (cuti hujung minggu).


10 Kali Naik GrabCar

Sepanjang 3 hari 2 malam kami di kota Medan, kami sudah menggunakan servis GrabCar sebanyak 10 kali. Daripada 10 kali, hanya 1 kali saja kami tidak melalui kesesakan lalu lintas iaitu pada hari Isnin dari hotel menuju ke Center Point Mall (selepas itu melintas jalan ke Stasiun Medan untuk ke Bandara Internasional Kualanamu).

Lagi 9 kali tu sudah cukup buat kami merasa bersyukur dengan keadaan jalanan di negara sendiri. Kalaupun ada kesesakan, tetapi tidaklah kenderaan silang-menyilang di jalanan. Dengan kemeriahan bunyi hon (sebagai amaran kepada yang lain), sudah cukup membuat saya rasa agak stres. Tetapi harus kita fahami bahawa kota Medan merupakan kota ketiga terbesar di Indonesia dengan jumlah penduduk mencapai 2.44 juta orang.

“Orang-orang di sini enggak tau aturan. Saya sendiri orang Medan kadang tekanan (stres)”, jawab bapak pemandu GrabCar sewaktu encik suami berkata tentang tahap toleransi yang tinggi di antara pengguna jalan raya di kota Medan. Sedang berada di tengah jalan, ada kenderaan lain hon, maka kita berhenti bagi laluan. Masing-masing bebas bergerak ke arah manapun asalkan memberi hon pemberitahuan.

Sejak berpindah ke Pulau Pinang (PP), kami sebenarnya terasa pemanduan orang-orang di PP agak kurang aturan. Suka-suka keluar dari simpang jalan padahal kereta kita dah dekat, atau tiba-tiba membelok tanpa sebarang signal dan lain-lain situasi yang menjengkelkan. Maaf ya kepada orang PP, bukanlah saya maksudkan semua pemandu begitu. Tapi setelah apa yang kami lalui di kota Medan, kami merasakan apa yang berlaku di PP cuma ‘bahagian kecil’ daripada situasi di Medan.

Kami juga sempat berborak dengan seorang bapak pemandu GrabCar yang anaknya sedang belajar di UNISEL. Bapak ini mahu anaknya menghabiskan pengajian di Malaysia dan beliau sanggup kerja lembur (kerja lebih masa). Sebelum keluar dari kereta, sempat saya ucapkan “Moga sukses anaknya ya pak..”. Beliau tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Saya benar-benar maksudkannya - saya sangat berharap anak beliau berjaya dunia akhirat dan dapat membahagiakan orang tuanya.







19 comments:

  1. Patutla biasa dengar konten pasal rakyat Indonesia yg duduk atau datang ke Malaysia rasa pelik kat Malaysia jarang dgr bunyi klakson atau hon.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sana memang manjang bunyi πŸ˜„. Hon motor pun boleh tahan kuat.

      Delete
  2. Ngerinya hendak memandu jalan sebegitu. Kena cekal dan mahir mengemudi stereng.
    Syukurlah di sini boleh pandu tenang-tenang tapi bandar KL boleh tahanlah sesak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena biasa dengan gaya pemanduan sana, baru boleh memandu.

      Delete
  3. Uncle pun extra hati2 bawak kereta kat PP

    ReplyDelete
  4. Ramainya anak-anak di belakang kenderaan tu, penuh sesak! Tapi pemandangan begitu barangkali biasa kalau di sana kan Ujie.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iya πŸ˜„
      Ada saya nampak kenderaan motor roda tiga (bersambung tempat barang di sisi motor), yang naik hampir 10 orang. Satu keluarga agaknya, mak ayah & anak-anak pelbagai usia.

      Delete
  5. Pernah merasa pengalaman macet di ibu kota Jakarta...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pernah juga, tapi rasanya macam lebih teruk jika macet di kota Medan. Mungkin sebab jalan di Jakarta kebanyakkannya luas.

      Delete
  6. Pemandu2 kat sana sangat cekap
    Jarang eksiden

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada betulnya Wak. Sepanjang berulang kali berada di atas jalan sana, belum pernah nampak accident walaupun kenderaan silang-menyilang. Hebat skil mereka.

      Delete
  7. Seronoknya Ujie walau macet namun bikin gue penasaran..hihihi

    Medan mengingatkan saya seorang youtuber "Ucok Baba Official".Orangnya kerdil tapi jiwanya gede...
    Termotivasi dengan perjalanan hidupnya yg berhijrah dari Medan ke Jakarta demi mengubah nasib hingga bergar jutawan

    ReplyDelete
  8. Kak ujie, welcome to Medan Yaa πŸ˜„πŸ˜„.

    Pernah ada yabg ngomong gini ke saya kak, 'kalo kalian pernah merasakan bawa mobil di Medan selama seminggu aja, dan selamat tanpa ada kecelakaan, itu artinya kalian akan sukses bawa mobil di negara manapun' 🀣🀣🀣

    Itu semacam sindiran, yg berarti traffic di Medan memang luar biasa mengerikan πŸ˜„.

    Suami saya terbiasa bawa mobil dalam kemacetan Jakarta, tapi bagi dia, kemacetan di Medan jauuuh lebih parah 🀣🀣

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Fanny 😁

      Lucu sekali..tapi memang iya, menurut saya yang baru satu kali ke Jakarta dan Medan, macet Medan lebih mengerikan πŸ˜†

      Delete
  9. cantik lampu jalan kt Jl Jend. Ahmad Yani...nmpk klasik..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****