Sunday, 19 February 2023

Mendaki Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’

Catatan perjalanan ke Medan, Indonesia masih belum tamat. Entri kali ini saya nak mencatat kisah aktiviti pada pagi semalam - hari Sabtu, 18 Februari 2023. Aktiviti yang menjadi minat saya, iaitu menikmati suasana alam semula jadi di hutan. Lama tak masuk hutan, terasa rindu!

Pendakian saya kali ini ke Bukit Juru yang terletak di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang. Jaraknya dari rumah sekitar 15 km sahaja. Seperti selalunya, saya cuma berdua dengan encik suami.


Cara Ke Bukit Juru
Terdapat dua trailhead (tempat permulaan laluan pendakian) untuk ke Bukit Juru. Kami memilih masuk ikut trailhead dengan carian ‘1800 Steps Bukit Juru’ di Google Maps. 

Sampai di lokasi, kita boleh parkir kenderaan di kawasan lapang yang terletak di seberang jalan. Terdapat rumah-rumah, Jeti Pertubuhan Kew Ong Yeah dan aliran Sungai Juru di situ. Tiada bayaran dikenakan. Parkir elok-elok asalkan tak mengganggu penduduk.


Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
Rekod pendakian bermula di sini.
1. Dari jalan besar, beginilah rupa laluan permulaan pendakian. Tak perlu berjalan jauh untuk kita tiba di  kaki bukit. Terdapat papan tanda dengan anak panah tertera ‘Bukit Juru’. Ikut saja pandu arah diberi. 

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
2. Laluan di sini jelas, kita cuma perlu mendaki ‘anak tangga’ yang tersedia. Tanah diteres membentuk anak tangga untuk kemudahan para pengunjung. Selain dapat mencapai matlamat memudahkan pendakian, dalam pada masa yang sama ia mengekalkan suasana alam semula jadi (binaan tangga daripada tanah). Kagum sungguh saya dengan usaha mereka yang menjaga laluan pendakian di sini 👍🏽

Sesuai dengan nama trek ‘1800 steps’, tag penanda diletak pada tempat tertentu. Jadinya kita boleh buat anggaran berapa jauh lagi kita perlu melangkah untuk tiba di puncak. 

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
3. Tiba di sini, ada persimpangan. Papan tanda arah ke kanan tertera ‘TO SEAVIEW’ dan papan tanda arah ke kiri pula tertera ‘LOOP TO IOI/SEAVIEW’.

Kami ikut arah ke kanan, naik ke atas mendaki anak-anak tangga.

Bukit Juru Melalui Trek ‘1800 Steps Bukit Juru’
Pukul 9.09 pagi tiba di puncak Bukit Juru - city view.
4. Alhamdulillah…kami tiba di puncak yang menghidangkan panorama indah kawasan bandar dan dua buah bukit iaitu Bukit Mertajam dan Bukit Seraya. Kami mengambil masa sekitar 35 minit untuk tiba di sini. Pendakian kami perlahan je, saya perlu menjaga kadar degupan jantung jangan terlampau tinggi dan banyak berhenti memotret apa-apa yang menarik di sepanjang laluan.

Rakaman video pemandangan di sini. Suasana nyaman dengan tiupan angin. Cukup mendamaikan. Di sini ada disediakan bangku-bangku untuk kita duduk berehat. Kawasannya bersih dan ada tanaman pokok bunga, seperti taman mini. Kami bersantai di sini sekitar 15 minit. Sempat juga berbual dengan seorang pendaki yang menunjukkan kepada kami pokok tongkat ali yang banyak terdapat di sini. Juga mendengar pengalaman beliau yang bertuah kerana pernah bertemu dengan sepasang pelanduk sewaktu mendaki di sini.

Selepas itu kami meneruskan langkah ke kawasan puncak satu lagi…

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
5. Di sinilah terletaknya tanda ‘1800 steps’. Sejauh mana kebenarannya? Tak tahulah. Tapi yang pasti selepas selesai pendakian, Samsung Watch saya merekodkan lebih 5,000 langkah (data diambil sejak bangun Subuh).

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
6. Di sini juga disediakan bangku-bangku kayu dan hammock. Menariknya, First Aid Box turut disediakan di sini. Bagus sungguh pihak yang menguruskan kawasan pendakian ini.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
Bukit Juru - sea view.
7. Kalau sebelum ni kita dapat lihat ‘city view’, di sini pula kita disajikan dengan panorama lautan menghadap bahagian pulau Pulau Pinang dan Jambatan Pulau Pinang. Pemandangan tak begitu luas dan tak begitu jelas.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
8. Pemandangan di sudut lain - kawasan perumahan, kawasan kilang, aliran sebatang sungai dan perbukitan.

Dah puas memerhati sekitar dan memotret sana sini, marilah kita turun. Ada pilihan nak berpatah balik atau teruskan perjalanan untuk membuat satu pusingan. Kami teruskan perjalanan…

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
9. Tiba di persimpangan. Kami dari arah ‘SEAVIEW’. Untuk kembali ke kaki bukit di mana kami bermula, perlu ikut tanda arah ‘DOWNHILL LOOP’. Pilihan lain kalau nak teruskan penjelajahan, boleh ke depan lagi ikut tanda arah ‘IOI’.

Menurut info pendaki lain, laluan ‘IOI’ akan membawa kita ke kaki bukit berhampiran kedai makan Mi Ketam. Mungkin itulah trailhead satu lagi. InsyaAllah lain masa kami akan cuba laluan ‘IOI’ pula.

Pendakian ke Bukit Juru di Bukit Mertajam
10. Berbeza dengan laluan semasa naik tadi (tersedia laluan lapang dan bertangga), laluan di sini sedikit mencabar. Awalnya kami ragu-ragu juga nak meneruskan langkah, bimbang silap jalan. Sedang elok masa tu muncul 3 orang pendaki dari arah laluan ‘IOI’, mereka mengesahkan memang inilah laluannya. Mereka berjalan di hadapan dan diikuti oleh kami berdua.

Tak lama kemudian, kami bertemu semula dengan persimpangan pertama (foto no. 3). Dari situ bermulalah perjalanan menuruni anak tangga menuju ke kaki bukit. Perjalanan turun sememangnya lebih mudah, tetapi perlu mengatur langkah jangan terlalu laju menuruni tangga.


Rekod Pendakian

Data dari Samsung Watch.

Mula : 8.34 pagi
Tamat : 10.07 pagi
Highest elevation : 121 m

Alhamdulillah. Menurut saya, tahap pendakian Bukit Juru boleh dikategorikan sebagai agak mudah kerana bukitnya tidak begitu tinggi, trailhead berada berhampiran jalan besar dan tersedia laluan bertangga. Kawasannya juga dijaga baik, tiada sampah bersepah. Kita yang datang ni kenalah turut sama menjaga ya. Seperkara lagi, bukit ini terletak di dalam Hutan Simpanan Kekal Juru. Jadinya jangan cuba-cuba merayau di luar laluan pendakian atau mengambil sebarang hasil hutan.

Walaupun trek Bukit Juru yang saya lalui ini tidaklah memberikan suasana hutan yang saya mahu (hutan dengan pokok besar dan bunyi orkestra hutan), tetapi ia tetap memberikan rasa bahagia dan tenang buat diri saya. Saya masih dapat memotret cendawan pelbagai bentuk/warna. Paling penting, saya dapat melakukan senaman yang menggerakkan seluruh badan untuk jangka masa lama. Kalau bersenam di rumah, skipping cuma mampu beberapa minit je. Nak capai 5 minit pun seksa 😅






.

12 comments:

  1. Baguslah terjaga dan ada sedia tangga semulajadi. Paling saya kagum ada peti kecemasan segera. Boleh ulang lagi sebab rasa selamat.
    Hehe itulah seronok berjalan dan mendaki tengok hutan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehe..iya, saya pun rasa nak ulang datang lagi.

      Delete
  2. Terbaiklah puan 👍
    Sy hanya tahu Bukit Mertajam sbg nama tempat... Ini baru tahu ada bukit namanya BM juga...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih PH.

      Bukit Mertajam atau dikenali juga sebagai Cherok Tokun. Saya pun baru perasan di sini nama tempat sama nama bukit. Macam bukit Juru ni ada nama tempat Juru.

      Delete
  3. Tahniah dapat selesaikan pendakian!

    ReplyDelete
  4. Puas hati kan kak dah sampai atas puncak bukit tu... walaupun akak ckp trail agak easy tp x semua mampu buat dan sampai tu... sy ni pun dh lama x mendaki.. tahniah kak

    ReplyDelete
  5. tahniah kak ujie! klu saya agaknya dah tersidai di step ke-500 :D berbaloi mendaki bila dpt tgk pemandangan indah atas bukit.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah terima kasih Carneyz.
      Belum cuba belum tau, InsyaAllah boleh jalan santai2 je.

      Delete
  6. bukit juru ni mcm tak fames je tempat daki. tak mcm cherok to kun, penang hill

    ReplyDelete
  7. aktiviti mendaki ni motivasinya 'nak tengok view dari atas'...walaupun rasa mcm nak surrender, tapi motivasi tu yg menguatkan semangat...#based on experience...hihi..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****