Friday, 20 November 2026

Menikmati Keindahan Pantai di Bachok, Kelantan

Catatan hari Sabtu, 19 September 2026.

Sepanjang berkunjung ke Kelantan, saya belum pernah ke kawasan pantai negeri Kelantan. Rasa teringin pulak nak menyaksikan sendiri keindahan pantai di Bachok, Kelantan setelah melihat perkongsian di media sosial.

Dari Muzium Negeri Terengganu, saya dan Encik Suami meneruskan pemanduan menuju ke Bachok. Perjalanan mengambil masa lebih 3 jam, termasuk singgah makan di sebuah kedai makan tepi jalan.

Bachok mempunyai jajaran pantai yang panjang dengan beberapa pantai utama seperti Pantai Irama dan Pantai Senok.

Saya memilih untuk ke Pantai Kuala Rekang yang terletak bersebelahan dengan Pantai Kuala Gel. Untuk ke sini, kami berpandukan aplikasi Google Maps - Pantai Kuala Rekang. Dari jalan utama kita akan memasuki jalan kecil satu lorong (muat sebuah kenderaan) melalui rumah-rumah kampung.

Pantai di Bachok, Kelantan
Dari jauh begini pun dah terserlah keindahan pantai di sini.

Pantai di Bachok, Kelantan
Kubu Kuala Gel - tinggalan sejarah yang terdapat di pantai ini. Kubu pertahanan (pillbox) ini dibina oleh pihak British semasa Perang Dunia Kedua bagi menyekat kemaraan tentera Jepun ke Tanah Melayu. Oleh kerana kami mengejar masa, tak sempatlah saya nak membelek keadaan di dalam kubu ini. 

Pantai di Bachok, Kelantan
MasyaAllah cantik pantai di sini dengan pasir halus memutih.

Ketika ini sekitar pukul 5.15 petang, sinaran matahari tidak lagi terik dan angin pula bertiup sangat kencang. Seronok dapat menikmati suasana petang di sini.

Pantai di Bachok, Kelantan
Ramai pengunjung sedang bermain di gigi air dan ramai juga yang sekadar duduk di tepi menikmati suasana.

Pantai di Bachok, Kelantan
Pohon-pohon kelapa tumbuh tinggi menjadi penyeri pantai.

Kawasan chalet penginapan di Pantai Kuala Rekang. Nampak meriah.

Pantai di Bachok, Kelantan
Melihat suasana indah dan tenang begini, terasa rugi tak bermalam di sini. InsyaAllah mungkin pada kunjungan akan datang.

Pantai di Bachok, Kelantan
Tak jemu mata memandang pohon-pohon kelapa yang tinggi menjulang.

Pantai di Bachok, Kelantan
Daunnya melambai-lambai ditiup angin kencang.
Eh…macam karya sastera pulak ya 🤭

Pantai di Bachok, Kelantan
Di sini juga terdapat penginapan Glamping Pantai Kuala Gel.

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, kedudukan Pantai Kuala Rekang dan Pantai Kuala Gel terletak bersebelahan. Kubu pertahanan terletak di bahagian Pantai Kuala Gel. Di sini juga terdapat sebuah tandas awam berbayar (ada tabung untuk masukkan duit) tetapi keadaannya sangat teruk, tak sanggup saya nak guna.

Kami tak dapat berlama di sini, perjalanan diteruskan ke hotel penginapan di Kota Bharu dengan jarak kira-kira 31 km.

Kota Bharu, Kelantan
Pukul 6.30 petang kami tiba di Kota Bharu (KB). Alhamdulillah sampai jua di KB setelah kunjungan terakhir kami 14 tahun lalu, iaitu pada tahun 2012.







No comments:

Post a Comment

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****