Saturday 25 February 2023

Hutan Melintang dan Zura Nasi Lemak Hijau

Petang semalam, saya dan encik suami bertolak dari rumah di PP ke Hutan Melintang, Perak atas urusan kerja encik suami. Kami memulakan perjalanan agak lewat, waktu sudah menghampiri pukul 4.30 petang. 

Kami berhenti menunaikan solat Asar di Hentian Sebelah Taiping sebelum keluar di Exit 146 - Changkat Jering/Taiping/Beruas. Di Changkat Jering ni ada Kuey Teow Theng, encik suami tanya kalau saya nak singgah makan di situ. Malas pula saya nak singgah sebab hari dah lewat, kalau boleh nak cepat sampai ke destinasi.

Perjalanan kami diteruskan melalui jalan yang agak sempit dan berliku-liku melewati pekan Terong dan pekan Beruas. Memasuki Beruas, terpapar papan tanda ‘Selamat datang ke Beruas. Warisan Gangga Negara’. Gangga Negara dipercayai merupakan sebuah kerajaan Melayu-Hindu lama yang berpusat di Beruas.

Perjalanan seterusnya melalui laluan E32 - Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). Laluan yang tenang saja, tak banyak kenderaan di sini.

Keindahan panorama mentari senja di WCE. Pukul 7.17 malam tetapi belum pun masuk waktu Maghrib. Sekarang ni waktu Subuh pun lewat, iaitu sekitar pukul 6.20 pagi. Pukul 7 pagi jenguk luar masih gelap.

Alhamdulillah kami selamat tiba di Hutan Melintang sekitar pukul 8 malam. Pusing-pusing cari tempat makan, akhirnya pergi KFC je sebab mudah nampak dan mudah parkir. Tiga ketul ayam goreng dihidang atas pinggan makan, diberi juga satu pinggan kosong. Eh, rasa macam dah lama tak dapat pinggan kan? Biasanya dihidang atas kotak kertas tu je.

Selesai makan sambil menahan mata mengantuk dan penat badan, kami menuju ke hotel penginapan. Kali ni cuba hotel lain pula, kunjungan lepas kami menginap di Hotel Lagenda. Di Hutan Melintang ni cuma ada beberapa hotel je, tak banyak pilihan.

Bilik penginapan kami - Deluxe King Room di VVIP Hotel. Keluasan sederhana, dilengkapi dengan sofa 2 tempat duduk, peti sejuk mini dan tempat gantung baju. Sebuah bilik yang memuaskan. Bilik airnya juga bersih dan selesa digunakan. Rasa puas hati walaupun pada awalnya terasa mahal perlu membayar RM145.

Hotel ni juga ada sediakan lif, mudahlah nak angkat beg. Cuma satu masalah di sini, waktu daftar masuknya pukul 3 petang dan perlu daftar keluar pukul 11 pagi. Encik suami minta sehingga pukul 12 tengah hari, sebab saya akan menunggu di bilik sementara encik suami pergi selesaikan urusan kerjanya. Jadinya dapatlah mengurangkan masa saya perlu melepak di lobi hotel jika urusan encik suami berlanjutan.

Pemandangan dari jendela bilik penginapan kami. Foto diambil pada waktu pagi tadi.

Ini pula foto hidangan sarapan pagi kami - nasi lemak hijau. Dah dua kali ke Hutan Melintang, dua kali juga bersarapan di tempat yang sama. Dalam entri terdahulu, saya ada menyebut berkenaan kedai makan ini tak ada sebarang papan tanda nama. Kali ini dah ada papan tanda nama di jalan masuk ke kawasan kedai - Zura Nasi Lemak Hijau.

Selesai urusan kerja encik suami nanti, kami belum pasti lagi sama ada nak terus balik ke PP atau nak berjalan-jalan ke tempat lain. Kadang tu rasa malas nak berjalan-jalan, tapi alang-alang dah lalu tu rugi pula tak ambil kesempatan melihat tempat orang.





9 comments:

  1. dah alang-alang sampai tu kak jalan2 dulu nanti boleh cerita pada kami...hehe

    ReplyDelete
  2. menarik..kaler hijau...hihi..

    ReplyDelete
  3. OK la harga bilik hotel tu, bersih selesa dan ada lif. Nasi lemak hijau tu perasa pandan ke?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Macam tak rasa pandan pulak, rasa nasi lemak biasa tapi warna je hijau.

      Delete
  4. Awalnya kena daftar keluar.
    Pergi manalah selepas itu? Jeng-jeng.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Singgah makan je, terus balik rumah. Malas pulak nak sambung berjalan-jalan kali ni ๐Ÿ˜„

      Delete
  5. Menarik la nasi lemak hijau tu..
    Dulu pernah viral jugak kan nasi lemak hijau ni..
    Seronoknya Ujie selalu dapat jenjalan merata๐Ÿฅฐ

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita ๐Ÿ˜Š

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****