Petang semalam, saya terdengar sedikit kekecohan di luar rumah. Tak begitu kuat, tetapi ada bunyi yang asing. Saya tak ambil peduli sebab petang sebelumnya pun ada bunyi benda diketuk di luar rumah, bila diperiksa rupa-rupanya si burung raja udang sedang menghempas sesuatu di paruhnya. Kedudukannya di tepi kolam ikan puyu, entah anak ikan puyu yang dimakannya atau hidupan lain yang menjadi penghuni kolam poly tank.
Agak lama selepas itu, menerusi tingkap dapur saya ternampak seekor monyet sedang duduk bersandar di tiang lampu solar - sedang menikmati sesuatu di tangannya. Terus terfikir…terung aku! Saya pandang pokok terung yang terletak berhampiran. Sah!
Beberapa ekor monyet yang lain pula sedang sibuk makan buah nona yang masih muda berwarna hijau. Teringat pula beberapa pasang kasut yang sedang dijemur di luar. Alamak! Apa lagi, terjerit-jeritlah saya dari dalam rumah menghalau kumpulan monyet. Bila nampak monyet-monyet dah mula beredar, barulah saya berani keluar halau supaya lebih jauh lagi. Kalau dikira-kira, ada lebih 10 ekor monyet semuanya.
Beginilah rupa dua biji terung yang menjadi rezeki monyet…
Nampak macam kesan dipatahkan.
Tak cukup sebiji, makan lagi sebiji terung.
Pandai monyet ni makan, ambil isi je.
Buah terung ni masih kecil, belum cukup sesuai dituai. Hampir setiap hari saya belek, menunggu masa untuk menuai. Nampaknya hasil pokok terung kali ini bukan rezeki saya, tapi rezeki monyet.
Sepanjang menanam pokok terung, ini merupakan pengalaman pertama terung saya dimakan monyet. Syukurlah kumpulan monyet tadi hanya makan hasil tanaman, tak buat kerosakan lain atau ambil kasut saya.



Alahai, sayang sungguh terung tu. Tapi tak apa lah Ujie, sekurang-kurangnya monyet-monyet tu cuma ambil buah terung dengan nona je, kasut dan barangan lain kat luar rumah selamat..pandai dia pilih makan isi aje ye...
ReplyDeletesedap manis gayanya terung tu licin dimakan monyet..pandai dia makan
ReplyDeletesekali dua mungkin boleh berlapang dada kan kak,kalau kerap sangat datang menyirap juga dengan monyet ni..mula la kita pula yang rasa tak selamat