Showing posts with label Medan-Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Medan-Indonesia. Show all posts

Thursday, 9 March 2023

Medan, Indonesia | Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli

Istana Maimun - antara tempat bersejarah yang sempat kami lawati sewaktu berkunjung ke Medan, Indonesia. Suatu masa dahulu, bangunan istana yang terletak di Jalan Brigjend Katamso ini merupakan pusat pemerintahan Kesultanan Deli.

Fakta Ringkas Kesultanan Deli :
  • Kesultanan Deli merupakan sebuah kerajaan Islam yang bertapak di Tanah Deli (sekarang kota Medan dan Kabupaten Deli Serdang, Sumatera Utara).
  • Diasaskan oleh Tuanku Panglima Gocah Pahlawan pada tahun 1632.
  • Kesultanan Deli masih tetap ada sehingga hari ini, tetapi tidak lagi memiliki kuasa politik setelah Proklamasi Kemerdekaan Indonesia.
  • Sehingga hari ini, Kesultanan Deli mempunyai 14 orang sultan.
  • Sultan Deli ke-11, Sultan Osman Al Sani Perkasa Alamsyah merupakan cucu Sultan Perak ke-26. Bonda beliau iaitu Tengku Maheran merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Abdullah II (Sultan Perak ke-26) bersama isteri kedua baginda. 
  • Seripeduka Sultan Deli XIV, Tuanku Mahmud Lamantjiji Perkasa Alam atau singkatannya Tuanku Aji merupakan Sultan Deli ke-14. Beliau naik takhta pada Julai 2005 pada usia 8 tahun. Ini menjadikan beliau sebagai Sultan Deli paling muda dalam sejarah.
[Sumber rujukan : orangperak.com, kompas.com, pancabudi.ac.id]

Istana Maimun
Kami tiba di perkarangan Istana Maimun menghampiri pukul 12 tengah hari waktu tempatan. Pengunjung agak ramai, nampaknya suasana di sini lebih meriah berbanding di Tjong A Fie Mansion.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bangunan Istana Maimun berdiri gah, sesuai dengan kedudukannya sebagai pusat pentadbiran Kesultanan Deli. Terdetik di hati saya, bangunan besar begini tentu ambil masa lama nak menjelajah. Saya agak teruja nak melihat bagaimana rupa dalam Istana Maimun.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto Istana Maimun dari sisi. Bila membelek foto yang ada, baru saya sedar yang saya terlupa merakam foto dari sudut hadapan istana. Maka tiadalah foto keseluruhan bangunan Istana Maimun.

Bagusnya jika ada foto (selain sebagai satu kenangan), mudah saya nak membelek dengan lebih teliti hal-hal yang kadang saya tak perasan pun semasa berada di lokasi.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Eh…ada tulisan bahasa Belanda di tiang depan tangga untuk masuk ke istana. Hasil Google Translate, dapatlah difahami tulisan ini menyatakan bahawa batu asas bangunan ini telah diletakkan pada 26 Ogos 1888 oleh Sultan Deli, Mahmud Al Rashid Perkasa Alamsyah. Kot ada yang faham bahasa Belanda bolehlah beri terjemahan yang lebih tepat ya. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Inilah ruang utama Istana Maimun yang turut menempatkan singgahsana. Rupa-rupanya, pengunjung hanya boleh melawat ruangan utama ini sahaja termasuk ruang kecil di sebelah belakang. Saya agak kecewa. Tapi yelah, mungkin itu yang sesuai dengan kadar bayaran masuk Rp. 10k.

Saya dapati tak banyak info & bahan pameran berkenaan Kesultanan Deli yang dipamerkan di sini. Cuma banyak orang-orang berjualan di dalamnya. Agak terganggu juga, kita nak melihat-lihat sekitar dan berfoto tapi kerap disapa oleh para penjual. Tambah pula yang menjual lato-lato, sibuk memainkan lato-lato ditangannya. Tak tenang sungguh!

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Singgahsana yang menjadi tumpuan ramai untuk berfoto. Saya perlu menunggu untuk memotret foto singgahsana ini. Tapi tetap juga kena crop supaya tak masuk objek manusia yang berada berhampiran.

Di sini juga ada disediakan servis berfoto dengan pakaian khas Kesultanan Deli. Dalam foto di atas (belakang singgahsana) kelihatan deretan baju untuk dipilih. Ada banyak lagi pilihan pakaian di bilik kecil sebelah singgahsana ini. 

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Antara potret Sultan Deli yang dipamerkan di sini.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto di suatu sudut belakang bangunan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Foto beranda di bahagian depan istana.

Istana Maimun - Warisan Kesultanan Deli
Bahagian luar istana (sebelah kiri). Terdapat deretan gerai menjual makanan di laluan tepi bangunan istana.

Fakta ringkas Istana Maimun :
  • Didirikan atas perintah Sultan Deli, Sultan Ma’moen Al-Rasyid. Pembinaan bermula pada tahun 1888 dan siap pada tahun 1891.
  • Nama ‘Maimun’ bersempena nama permaisuri sultan, Siti Maimunah.
  • Istana Maimun terdiri daripada bangunan dua lantai dan terdapat tiga bahagian (ruang utama, sayap kanan dan sayap kiri).
  • Ketika ini, Istana Maimun tidak lagi berfungsi sebagai tempat tinggal Sultan Deli. Ia hanya digunakan untuk acara adat.
  • Hanya ruang utama sahaja yang dibuka kepada pengunjung.

Meriam Puntung
Terletak berhampiran bangunan istana, terdapat sebuah bangunan kecil yang menempatkan ‘meriam puntung’. Masih di kawasan yang sama dengan istana.

Sebelum ke Istana Maimun, saya dah mencari info berkenaan Meriam Puntung. Menurut info, ia merupakan sebahagian daripada meriam yang terpecah dua. Cerita lagendanya, meriam tersebut merupakan jelmaan seorang puteri dari Kerajaan Deli Tua. Maka ada yang menganggap meriam ini keramat. Itu kepercayaan orang, kita hormat jelah.

Saya tak tertarik nak melihat meriam puntung. Tapi encik suami ajak menjenguk, alang-alang dah sampai kita tengoklah dengan mata sendiri.

Meriam Puntung Istana Maimun
Saya hanya berdiri di muka pintu ruangan ini untuk merakam foto di atas. Saya malas nak masuk, cukuplah sekadar tengok dari jauh. Berkenaan rupa meriam puntung, saya dah tengok foto di internet.

Seorang wanita yang berada di pintu berulang kali mengajak saya masuk ke dalam. Saya akhirnya membuka kasut dan mahu masuk sendirian. Encik suami pula pada masa ini sedang sibuk ‘dikejar’ oleh seorang lelaki penjual cenderamata. Sebenarnya sudah dikejar oleh orang yang sama sejak sebelum kami masuk ke bangunan istana. Berulang kali menolak secara baik, tetap juga tak mahu berganjak.

Sebaik saja saya melangkah sebelah kaki masuk ke dalam ruangan kecil ini, wanita tadi meminta Rp. 2k. Saya agak terkejut sebab tak nampak apa-apa notis bayaran. Langkah kaki saya terhenti, tak jadi masuk. Saya ajak encik suami beredar dari sini. Walaupun cuma Rp. 2k, tapi cara wanita itu membuatkan saya rasa seperti ditipu. Lagi pula dari awalnya memang saya tak berminat nak ke sini.

Pada masa yang sama, lelaki penjual cenderamata tadi berterusan mengekori encik suami. Menjengkelkan! Akhirnya encik suami terpaksa tinggikan suara, barulah kami bebas berjalan. Bukanlah kami tak memahami perjuangan hidup orang mencari rezeki, tapi kalau asyik diekori dan didesak itu menimbulkan rasa tidak senang. Apa pun, inilah pengalaman.

Entri ini mengakhiri catatan perjalanan kami ke kota Medan, Sumatera Utara, Indonesia. Walaupun tak pergi jauh cuma seberang lautan, kota ini tetap memberikan saya satu pengalaman berbeza dan membuka fikiran saya. Kota Medan bukanlah lokasi percutian dengan pemandangan indah, tetapi ia sesuai bagi yang mahu wisata kuliner - jalan-jalan cari makan dan melihat sisi lain kehidupan. Setiap destinasi adalah unik.






.

Thursday, 2 March 2023

Medan, Indonesia | Menikmati Nasi Padang di Restoran Garuda

Catatan terakhir berkenaan makan-makan di kota Medan. Kami ke Restoran Garuda yang terletak tidak jauh dari Tjong A Fie Mansion untuk menikmati hidangan Nasi Padang.

Garuda Restaurant, Kota Medan, Indonesia
Ada pilihan untuk makan di ruang terbuka atau ruang tertutup yang lebih selesa dengan alat pendingin hawa. Kami memilih makan di ruang tertutup.

Nasi Padang Garuda Restaurant
Tak lama kemudian, satu persatu lauk dihidangkan di tengah meja.

Nasi Padang Garuda Restaurant
Siap dihidang, ada 15 jenis lauk pauk semuanya 😄

Nasi Padang Garuda Restaurant
Semuanya nampak menyelerakan. Rambang mata nak memilih lauk mana satu nak dimakan.

Nasi Padang Garuda Restaurant
Antara lauk yang kami makan - sambal hijau dan lauk pucuk ubi masak lemak. Lauk pucuk ubi tu ada dua jenis, satu pucuk ubi biasa dan satu lagi pucuk ubi ditumbuk.

Nasi Padang Garuda Restaurant
Lauk kegemaran encik suami - kikil/tunjang. Harganya Rp. 55k.

Nasi Padang Garuda Restaurant
Selesai makan nasi, dihidangkan pula dengan agar-agar santan dan juga potongan buah-buahan. Kami cuma makan satu bekas agar-agar santan dikongsi berdua, buah pula tak makan langsung. Dah kekenyangan, tak mampu nak menambah muatan perut.

Dah siap makan, barulah pelayan kedai kira harga makanan yang kita makan. Makanan yang tak disentuh, tak dikira. Kalau ayam goreng tu, dikira ikut berapa ketul yang kita ambil. Kos makan-makan kami termasuk cukai PPN 10% adalah sebanyak Rp. 345.510

Secara keseluruhannya, kami puas hati sebab semua lauk pauk yang dimakan memang sedap! Ayam goreng berempah masih panas, daging dendeng (kering) yang rangup, juga lauk sotongnya yang sangat lembut tak liat. Makan pula di ruangan yang cukup selesa dan diberi layanan mesra. Alhamdulillah.






Tuesday, 28 February 2023

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan

Saya pernah makan sate padang yang sangat sedap di Restoran Sate Bundo Kanduang di Pekanbaru, Riau. Jadinya bila ke Medan, saya tak melepaskan peluang mencuba sate padang yang dijual di sini. Ada banyak pilihan tempat makan yang menjual sate padang. Setelah meneliti ulasan di internet, saya memilih untuk mencuba Sate Padang Afrizal Amir.

Tapi saya dan encik suami tak pergi ke kedainya pun, kami beli menerusi GrabFood. Dah penat berulang kali keluar, jadinya malam tu malas nak keluar lagi. Kami makan sate padang di bilik hotel je.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Screenshot pilihan sate di aplikasi GrabFood. Kami mencuba sate padang ayam dan sate padang daging sapi (lembu). Ada juga pilihan beberapa jenis keropok/kerepek untuk dimakan bersama sate padang. Kami pilih kerepek ubi pedas.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Tak lama menunggu, sate padang selamat kami terima. Unik cara bungkusnya.

Sate Padang Afrizal Amir, Kota Medan
Beginilah rupa sate padang dalam bungkusan tadi. 6 cucuk sate dan potongan ketupat siap diletak kuah sate padang dengan beralaskan daun pisang. Atasnya ditabur dengan bawang goreng. Sebelum nak makan, saya taburkan pula dengan kerepek ubi pedas.

Sedap pedas rasa kuahnya, tetapi saya lebih suka sate padang di Pekanbaru yang lebih sedap rasa kuahnya menurut selera saya.






Thursday, 23 February 2023

Medan, Indonesia | Tjong A Fie Mansion

Pada pagi hari kedua di kota Medan, kami ke Tjong A Fie Mansion. Sebuah rumah agam berusia lebih 120 tahun milik seorang tokoh filantropi bernama Tjong Fung Nam yang juga lebih dikenali sebagai Tjong A Fie.

Sejarah Ringkas Tjong A Fie
Tjong A Fie berasal dari tanah besar China. Pada tahun 1880 ketika berusia 18 tahun, beliau telah berlayar dan tiba di Labuhan Deli, Sumatera Utara, Indonesia. Beliau memulakan hidup sebagai pekerja bawahan sehingga akhirnya berjaya memiliki perkebunan dan pelbagai bisnes. Ini menjadikan beliau seorang tokoh penting di Medan.

Tjong A Fie meninggal dunia pada tahun 1921. Beliau dikenang sebagai individu yang banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

Rumah agam milik Tjong A Fie mula dibina pada tahun 1895 dan siap pada tahun 1900. Rumah dua tingkat yang memiliki banyak ruang/bilik ini merupakan kediaman beliau bersama isteri ketiga dan anak-anak mereka.

Rumah tersebut kini dijadikan sebuah muzium bagi orang ramai menyaksikan sendiri sejarah dan pengaruh Tjong A Fie. Sewaktu kunjungan kami ke sini, kami dimaklumkan bahawa sebahagian rumah ini masih didiami oleh salah seorang cucu beliau.


Jom kita lihat foto-foto sekitar rumah agam Tjong A Fie :

Tjong A Fie Mansion
Tjong A Fie Mansion terletak di Jalan Jenderal Ahmad Yani, Kesawan, Kota Medan.

Tjong A Fie Mansion
Setelah melewati sebuah pintu gerbang berwarna hijau, kami tiba di perkarangan rumah Tjong A Fie. Melihat seni binanya, saya terasa bagai berada di zaman lalu (berdasarkan tontonan drama seperti ‘The Little Nyonya’).

Tjong A Fie Mansion
Pintu masuk rumah. Sebelum masuk, kami membayar tiket di kaunter yang terletak di sebelah kanan.

Tjong A Fie Mansion
Tiket lawatan. Selepas mendapatkan tiket masuk, staf berkenaan bertanya sama ada kami mahu melawat sendiri atau perlukan tour guide. Kami memilih lawatan bersama tour guide. Lebih mudah dan lebih seronok mendengar penerangan dari tour guide. Lagi pula bukan setiap ruang/barang ada disediakan info bertulis.

Kami dibawa melawat setiap ruang oleh tour guide - seorang perempuan muda (mungkin berbangsa Cina).  Penerangan diberi dalam bahasa Indonesia.

Tjong A Fie Mansion
Ruang tengah rumah tanpa bumbung untuk menerima kemasukan cahaya sebagai simbol rezeki masuk, ciri-ciri rumah mengikut kepercayaan feng shui. Lebih kurang begitulah yang saya faham. Selesai bercerita berkenaan ruang ini, tour guide menawarkan diri untuk mengambil foto kami di sini. Encik suami tak mahu, maka saya seorang jelah berfoto di ruang yang menarik ni. 

Tjong A Fie Mansion
Hiasan gantungan pelbagai saiz, corak dan warna memberi suntikan elemen ceria di rumah lama ini.

Tjong A Fie Mansion
Ruangan luas di lantai atas untuk majlis tarian. Langit-langit rumah daripada papan dengan motif pepatung. Tentu ada simbolik disebalik pemilihan serangga tersebut.

Tjong A Fie Mansion
Berkenaan perabot yang ada, sebahagiannya merupakan tinggalan sejak zaman dahulu.

Tjong A Fie Mansion
Ruang dapur masak.

Tjong A Fie Mansion
Potret Tjong A Fie.

Tjong A Fie Mansion
Entah berapa bilik/ruangan ada di rumah agam ni. Lupa saya nak bertanya. Di bahagian ini juga terdapat sebuah telaga yang masih berfungsi sehingga ke hari ini.

Tjong A Fie Mansion
Lawatan berakhir apabila kita tiba di pintu ini.

Foto-foto di atas hanyalah sedikit daripada apa yang kami lihat. Tour guide membawa kami ke bilik-bilik tidur, ruang kerja, ruang menyambut tetamu, galeri sejarah, ruang makan dan ruangan lain yang terletak di lantai bawah dan lantai atas rumah dua tingkat ini. Tetapi bukan semua ruangan dibuka untuk lawatan, mana-mana yang bertutup pintu tu tak boleh masuklah ya. Juga tak semua ruangan kita boleh ambil foto.

Lawatan bersama tour guide tamat sekitar 30 minit saja, maklumlah yang di bawa melawat cuma kami berdua. Selepas itu kami sambung melihat-lihat sendiri rumah ini. Kami ambil masa agak lama di ruang galeri, meneliti deretan foto & info tertera berkenaan bisnes-bisnes yang dijalankan, hubungan baik Tjong A Fie bersama Sultan Deli dan pelbagai sumbangan beliau kepada masyarakat.

Setelah melihat sendiri sejarah Tjong A Fie, ada beberapa perkara yang dapat kami simpulkan tetapi tak perlulah dinyatakan di sini. Benarlah, sejarah adalah jendela masa lalu untuk kita memahami situasi semasa.

Berbaloi atau tidak kunjungan ke sini? Dengan harga tiket Rp. 35k saya terasa agak mahal dan kurang berbaloi. Tetapi tak banyak tempat menarik yang boleh kita kunjungi di kota Medan ini, lawatan ke Tjong A Fie Mansion menjadi sesuatu yang menarik bagi memenuhi itinerari. Selain dapat melihat tinggalan sejarah seorang tokoh di Medan, dapat juga saya merasai suasana berbeza berada di dalam rumah agam berusia lebih 120 tahun dengan seni bina klasik.






.

Tuesday, 21 February 2023

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia

Bersambung catatan perjalanan di Medan, Indonesia…

Bika Ambon merupakan antara makanan khas Medan yang harus kita cuba jika berkunjung ke Medan. Terdapat banyak pilihan jenama/pembuat kuih istimewa Medan ini, tetapi yang terkenal adalah Bika Ambon Zulaikha.

Kalau ikut perancangan awal, kami nak pergi sendiri ke kedai Bika Ambon Zulaikha untuk membeli Bika Ambon dan dapatlah melihat/membeli sendiri pelbagai pilihan kuih lain yang ada dijual di sana. Tetapi kami tukar fikiran, kami beli saja melalui GrabFood.

Bika Ambon dihantar terus ke depan pintu hotel. Mudah juga begini kan.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Bika Ambon Zulaikha saiz besar dengan perisa Original. Saya pilih perisa asli disebabkan ini kali pertama mencuba makan Bika Ambon. Pilihan perisa lain - pandan dan keju. Kalau ada jual perisa campuran dalam satu pek pun menarik juga. Boleh mencuba pelbagai rasa. Nak ambil pek kecil tak ada pula pilihan tersebut di GrabFood, kalau ada bolehlah ambil pek kecil dua perisa.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Di bahagian sisi kotak tertera pelbagai maklumat produk dan juga pesanan. Selain maklumat produk (nama & alamat pengusaha dan bahan-bahan digunakan), dipesan juga cara melembutkan Bika Ambon  yang mengeras dengan kaedah mengukus/memanggang. Juga ada pesanan agar membeli terus daripada mereka untuk mendapatkan mutu produk yang terbaik. Kuih ini tiada bahan pengawet, jadinya ia tak boleh bertahan lama.

Kotak Bika Ambon yang kami terima tadinya berbungkus plastik, dikemaskan lagi dengan balutan pelekat. Sesuailah untuk kita bawa naik kapal terbang. Walaupun sudah berbungkus rapi begitu, tetap tak dapat menyembunyikan bau harum kuih ini. Bagai memanggil untuk dibuka kotaknya dan dicuba makan segera 😃

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah rupa kuih Bika Ambon. Sedap sungguh baunya, mungkin juga kerana ia baru dibuat. Dengan menggunakan sudu yang ada di bilik hotel, saya ‘potong’ kuih Bika Ambon supaya dapat kami nikmati.

Bika Ambon - Makanan Khas Medan, Indonesia
Beginilah tekstur kuih Bika Ambon, seakan tekstur Kek Gula Hangus. Ia kenyal tetapi lembut. Rasanya juga tidak terlalu manis. Banyak juga saya makan, apa lagi sambil menatap titisan hujan menerusi jendela bilik hotel. Memang layan…cuma tak ada kopi je 😁

Bika Ambon Zulaikha
Foto tekstur kuih Bika Ambon yang lebih jelas. Foto diambil sewaktu di rumah, kuih dah pun disimpan dalam peti sejuk. Saya biarkan seketika potongan kuih yang nak dimakan di luar peti sejuk, kemudian saya panaskan menggunakan microwave. Rasanya masih kenyal dan lembut seperti baru dibeli, cuma aroma harum sudah berkurangan.

Menurut info di sisi kotak, kuih Bika Ambon dihasilkan daripada bahan-bahan berikut - tepung tapioka (tepung ubi), gula pasir, telur, santan, nira, daun limau purut dan daun pandan. Patutlah sedap baunya, ada limau purut dan daun pandan. Saya buat carian resepi Bika Ambon, nampak leceh juga proses nak menghasilkannya.

Bika Ambon Zulaikha yang saya beli ni harganya Rp. 93,501 termasuk caj pembelian melalui GrabFood. Kalau nak beli di lapangan terbang pun ada, harganya lebih tinggi sesuai dengan lokasinya. Selain Bika Ambon, Medan juga terkenal dengan kuih Bolu Meranti dan beberapa nama kuih lain. Semuanya boleh didapati di kedai oleh-oleh yang terdapat banyak di dalam lapangan terbang.







Friday, 17 February 2023

Medan, Indonesia | Menikmati Durian di Ucok Durian Medan

Tahun 2023 ni saya belum merasa makan durian di Malaysia, tetapi rezekinya dapat merasa makan durian di Ucok Durian Medan. Bukanlah sengaja nak berjalan jauh semata-mata nak makan durian, tetapi alang-alang dah ke Medan, haruslah kita mencuba makan durian di kedai menjual durian yang terkenal ini.

Bukan sekali saya dan encik suami ke Ucok Durian Medan ni tau, tetapi dua kali 🤭

Foto dirakam pada kunjungan kedua. Semasa kunjungan pertama, ruangan gerbang ini sibuk dengan kenderaan pikap sedang menurunkan durian.
Ucok Durian - bukan setakat menjual durian untuk di bawa pulang, tetapi ia merupakan kedai makan durian yang agak luas. Sesuai sangatlah bagi kami yang menginap di hotel ni, durian merupakan sesuatu yang dilarang bawa masuk ke hotel. Memang kena makan di kedai je kalau nak makan durian.

Semasa kali pertama datang, kami tiba di sini menghampiri pukul 8 malam. Kelihatan kenderaan pikap sedang menurunkan buah durian. Juga longgokan buah durian di suatu sudut. Suasana terasa begitu meriah. Boleh tonton video di akhir entri ini.

Banyak meja makan disediakan. Pelanggan boleh terus duduk, kemudian pelayan kedai akan datang bertanyakan saiz durian pilihan kita. Durian akan di bawa ke meja kita, dikopekkan dan bolehlah kita nikmati. Kita tak perlu pilih durian dan kalau dapat durian yang tak elok, mereka akan ganti lain.

Di atas meja ada disediakan sarung tangan plastik jernih kalau kita tak mahu kotorkan tangan makan durian. Ada air minuman saiz kecil disediakan secara percuma. Juga disediakan bekas untuk buang biji durian. Di bawah meja pula disediakan bekas (warna hitam dalam gambar) untuk buang kulit durian.

Terdapat 4 pilihan harga durian berdasarkan saiz buah :
  • Rp. 50k
  • Rp. 75k
  • Rp. 100k
  • Rp. 150k

Durian, pulut dan sate kerang.
Sebaik kami duduk di meja, ada yang datang menghantar sepiring pulut dan sepiring sate kerang. Yang ni bukan Ucok Durian Medan yang menjual. Kalau kita makan, nanti bayar terus kepada penjual berkenaan.

Semasa kunjungan kedua, barulah kami cuba merasa pulut dan sate kerang yang dihidang. Pulut tu semata-mata pulut tanpa sebarang isi, cuma terasa sedikit manis. Sate kerangnya pula macam kita makan rendang kerang. Bolehlah sekadar merasa, tetapi bukan makanan yang kena dengan selera kami.

Encik suami pilih durian berharga Rp. 100k. Awalnya saya ragu-ragu sebab baru pertama kali mencuba, encik suami pula yakin sungguh terus pilih saiz agak besar. Kami pernah ada pengalaman makan durian di Pekanbaru, Riau yang rasanya mengecewakan, akhirnya terbazir begitu saja.

Sewaktu pelayan kedai menghidangkan durian di atas meja, saya lihat biasa saja warna isi durian tidaklah begitu kuning menggoda. Tetapi bila dimakan, terasa isinya lemak manis dan ada sedikit pahit. Alhamdulillah sedap! Mungkin rasanya macam kita makan durian D24 di tempat kita.

Sebiji durian yang kami makan ni ada 11 ulas. Siap mengira tu 😄

Minuman pilihan kami - teh botol Sosro. Air teh dengan sedikit rasa kelat, tapi sedap.
.
.
Disebabkan rasa durian yang sedap, esoknya encik suami ajak makan durian lagi 😂
Jomlah kita…
.
.

Kunjungan kali kedua pada waktu petang, kami tiba di sini sekitar pukul 5.30 petang. Keadaan agak lengang. Tiada longgokan buah seperti semalam. Cuma ada durian bersaiz besar.

Buah durian saiz besar berharga Rp. 150k.

Sama seperti semalam, isinya lemak manis dan sedikit pahit.

Kami berbual dengan pelayan kedai berkenaan varieti durian yang dijual, menurutnya semua dikenali sebagai durian tempatan. Tiada nama macam di tempat kita - Musang King, D24 dan sebagainya. Walaupun tiada nama yang gah, tetapi rasa durian yang dijual di sini memang terbaik 👍🏽

Saya tertarik dengan kata-kata yang dipaparkan di kedai ini.

Video berdurasi 0:15 minit - kemeriahan di Ucok Durian Medan.

Bagi kalian yang mahu makan durian di sini, sebaiknya datanglah sekitar pukul 8 malam atau waktu pagi/tengah hari. Kerana stok durian tiba setiap hari sekitar pukul 7 - 8 malam. Kalau datang lewat petang (seperti kunjungan kali kedua kami), tak banyak pilihan saiz durian.

Ada musim ke tak durian di sini? Menurut apa yang kami faham, durian ada sepanjang tahun kerana stok durian datang dari serata tempat. Waktu operasi di sini juga panjang iaitu bermula 8 pagi sehingga 12 tengah malam, mudahlah untuk kita datang makan durian.


Jangan bilang pernah ke Medan, kalau belum mampir ke Ucok Durian.
- tagline Ucok Durian Medan -




Wednesday, 15 February 2023

Medan, Indonesia | Menambah Koleksi Karya Tere Liye di Toko Buku Gramedia

Antara tempat yang termasuk dalam itinerari kami ke Medan - kunjungan ke toko buku Gramedia. Saya memilih Gramedia di Sun Plaza kerana ia terletak paling hampir dengan hotel penginapan kami.

Ini merupakan kunjungan kali kedua kami ke toko buku Gramedia. Sebelumnya kami pernah ke Gramedia yang lebih besar di Pekanbaru, Riau. Toko bukunya terletak di dalam sebuah bangunan 3 tingkat. Memang terasa lebih puas menjelajah.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
10 judul buku paling laris dipamerkan di rak toko buku Gramedia, Sun Plaza. Saya memiliki dan sudah membaca buku yang terletak di kedudukan ke-5, iaitu Rich Dad Poor Dad. Saya membacanya pada tahun 2015. Sememangnya ia bahan bacaan yang sangat menarik. Rupanya sehingga ke hari ini, buku tersebut masih mendapat tempat di kalangan para pembaca buku. Begitulah, buku-buku yang bagus akan kekal dicari dan dibaca orang.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Memerhati susunan buku di rak dan membelek buku dengan judul menarik, menerbitkan perasaan gembira buat diri saya. Itulah sebabnya mengapa saya suka berkunjung ke kedai-kedai buku besar. Banyak judul buku yang menarik. Walaupun tidak memilikinya, tetapi membeleknya saja sudah memadai.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Tersenyum lebar saya apabila melihat tompokan buku yang saya cari. Inilah sebab utama saya berkunjung ke Gramedia, saya mahu menambah koleksi buku karya Tere Liye. Mengapa saya gemar hasil penulisan beliau? Boleh baca DI SINI.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Bedebah di Ujung Tanduk, sambungan kisah Bujang dalam novel terdahulu iaitu Pulang-Pergi. Bulan Februari ini juga bakal terbit satu lagi judul dalam siri Bujang, iaitu Tanah Para Bandit.

Toko Buku Gramedia Sun Plaza Medan Indonesia
Saya sudah memiliki senaskhah kumpulan sajak Tere Liye, kali ini saya menambah judul yang tiada dalam koleksi. Buku kumpulan sajak dengan kulit keras, menjadikan harganya juga lebih tinggi walaupun bukunya nipis.

Koleksi buku karya Tere Liye
Inilah hasilnya - 8 buah buku pilihan saya. Alhamdulillah! Terima kasih buat encik suami yang memaksa saya menambah pembelian 😂. Saya ni ingat nak berjimat, ambil 3 buah buku saja cukuplah. Buat rasa-rasa beli buku pilih sendiri di kedai buku Gramedia. Tapi kalau dapat lebih begini, memang puas hati sangatlah!

Sebenarnya sekarang kita sudah boleh mendapatkan karya Tere Liye secara langsung dari toko buku beliau di Shopee. Boleh buat carian di Shopee : tokobukutereliye.my. Pengeposan dari Indonesia.

Begitu juga kalau nak mendapatkan buku-buku penulis Indonesia yang lainnya di Gramedia, juga sudah ada di Shopee. Boleh buat carian di Shopee : Gramedia Official Malaysia Store. Pengeposan juga dari Indonesia.

Kalau nak membeli dari kedai buku di Malaysia, boleh ke kedai Shopee : Jejak Tarbiah. Nak membelek bagi puas hati sebelum membeli, boleh terus ke kedai fizikal mereka yang terletak di Bangi, Selangor. Harganya tentulah berbeza ya, ada tambahan kos untuk bawa masuk buku-buku luar ke Malaysia.