Tuesday, 10 January 2023

Kenangan Lalu | Permainan di Waktu Rehat

Awal pagi tadi sambil bersarapan nasi goreng cendawan bunashimeji bersama encik suami, kami berbual tentang kenangan permainan di zaman sekolah rendah kami iaitu sekitar tahun 80-an. Saya dan encik suami beza umur setahun saja dan masing-masing bersekolah di Johor.

Sememangnya keseronokan pergi ke sekolah bagi saya adalah kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan dan bermain macam-macam permainan. Sudah tentu waktu rehat adalah waktu yang menyeronokkan sebab lepas siap makan di kantin atau di bilik darjah, kami bebas bermain. Biasanya ada beberapa kumpulan yang bermain beberapa jenis permainan, terpulanglah kita nak ikut serta permainan yang mana satu.

Berikut merupakan permainan yang selalu saya main pada waktu rehat di sekolah rendah :

Permainan tingting (saya sebut : teng-teng). Biasanya kami lukis petak permainan tingting di kaki lima bahagian belakang kelas. Lukis menggunakan kapur putih yang diambil dari bilik darjah. Permainan ni biasanya dimainkan oleh murid perempuan. Cara bermainnya saya kurang ingat secara tepat, tapi kalau nak tau bolehlah buat carian di internet.

Permainan cuit tiang. Yang ni paling senang. Guna je tiang yang ada di laluan yang dikenali sebagai ‘gajah menyusu’. Secara asasnya, konsep permainan cuit tiang ni macam kita berebut tiang. Biasanya saya bermain bersama kawan perempuan dan kadang-kadang bercampur murid lelaki dan perempuan. Permainan ni pun saya gagal mengingat secara tepat bagaimana cara ia dimainkan.

Permainan kad kenderaan. Saya dulu main guna kad gambar kereta. Kad akan diagihkan kepada setiap pemain secara terbalik (tak nampak depan kad). Selepas tu setiap pemain bolehlah ambil dan lihat kad yang diagihkan. Sebelum bermain, kami akan capai kata sepakat nak berlawan ikut ciri-ciri kenderaan mana satu. Biasanya main ikut ‘cc’ kenderaan. Masa tu bukan faham pun maksud ‘cc’ bagi kenderaan πŸ˜„. Cuma faham lagi tinggi angka ‘cc’ maka lebih power kenderaan tersebut. Secara asasnya, konsep bermain kad kenderaan ni siapa ada kad dengan ‘cc’ lebih tinggi, maka dia jadi pemenang. Permainan kad ni biasanya kami main bersama-sama murid lelaki dan perempuan. Juga tak terhad semasa waktu rehat, ia biasa dimainkan bila ada sela waktu pertukaran subjek.

Permainan lawan ‘king’. Permainan paling tak bagus sebab melaga binatang. Tapi masa kecil dulu tak ambil berat berkenaan hukum melaga binatang. Cara main - lagakan dua ekor labah-labah ‘king’ kepunyaan dua orang pemain, labah-labah siapa yang berundur maka pemain tersebut dikira kalah. Labah-labah ‘king’ merujuk kepada labah-labah hitam dengan jaluran putih di badan. Permainan ni biasanya dimainkan oleh murid lelaki, tetapi ada juga murid perempuan yang main iaitu saya πŸ˜…. Boleh baca entri khas saya berkenaan memori lawan ‘king’ DI SINI.

Permainan lain yang biasa dimain sewaktu rehat - permainan kad ‘happy family’, batu seremban, main ceper (penutup botol air gas), permainan galah panjang dan baling bola (saya tak pasti nak panggil apa, maka sebut saja ‘baling bola’).

Baling bola ni dimainkan dalam kumpulan besar bersama murid lelaki dan perempuan. Konsep mainnya mudah je, siapa terkena balingan bola kecil (kalau tak silap ingatan, bola tenis warna kuning tu) maka dia dikira kalah dan terkeluar permainan. Permainan yang paling meriah sebab melibatkan ramai pemain dan jeritan bila bola berjaya mengena seseorang. Tetapi ia juga agak menyakitkan badan bila terkena balingan bola kecil tersebut. Alhamdulillah belum pernah ada yang cedera sewaktu bermain permainan ini.

Begitulah secebis catatan kenangan semasa saya bersekolah rendah pada tahun 1985-1990 di Sekolah Tunku Mahmood Iskandar (1), Pontian. Suatu tempoh yang seronok kerana berkawan-kawan dan bermain dengan gembira. Kecuali pada tahun terakhir persekolahan, seingatnya dah tak bermain di waktu rehat mahu pun bermain di dalam kelas kerana ia tahun di mana kami perlu fokus untuk peperiksaan UPSR.


* nota - semua foto di atas hasil carian internet. Saiz foto kecil, agak kurang jelas.







16 comments:

  1. main lompat getah tu, penuh poket sbb getah tu...fav MA sungguh..
    galah panjang, teng teng..pun yes jugak.. budak2 sekarang ni x rasa semua ni kan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ehhh…yelah, tertinggal pulak tulis main getah. Banyak sangat permainan masa tu πŸ˜†

      Delete
  2. Main lawan 'King' tidak pernah nampak atau main.
    Ingat lagi satu main biji saga.

    ReplyDelete
  3. Main tiang tu sampai nangis2.. hahaha... 1 lg permainan ms sekolah rendah dlu... main bola kertas... player semua dpd kertas yg dilipat dan jersi siap dikaler... siap ada pengulas sekali.. tp sy x mainlah cuma tgk geng lelaki je main

    ReplyDelete
  4. rindunya zaman kanak2..sekarang ni ada juga saya ajar Pia main teng teng lompat getah dekat rumah tapi tu lah main berdua tak seronok..dekat sekolah diaorang dah merasa main semua ni

    ReplyDelete
  5. seronok kan zaman sekolah tahun 80-90an dulu. waktu rehat je memang ditunggu2 sbb boleh bermain teng-teng, bermain di tiang kaki lima atau main tok harimau tak pun polis sentri. lepas waktu rehat habis basah lencun baju sekolah hehe.

    ReplyDelete
  6. Hehe.. seronok teringat zaman sekolah rendah. Takde masalah, happy je main. Saya suka main cop-cop tiang tu. Batu seremban pun main juga. Kad Snap pun main jugak. Lompat getah (zero point) pun main jugak. Masa rehat main, masa habis sekolah tunggu bapak amik pun main jugak. Hehe...

    ReplyDelete
  7. budak-budak sekarang ni kena dedahkan ttg thrill permainan dulu-dulu. takdelah tengok phone je haha

    ReplyDelete
  8. Sama, seronok menikmati zaman kecil kita kan.. main je kerjanya haha..

    ReplyDelete
  9. main ting ting tu wajib la ptg2 kan he he
    kalau ciknur sb halaman umah tanah memang pot sesuai la. lukis je petak
    rinduuu pula semua kenaagan

    ReplyDelete
  10. auh...nostalgia..
    Teng-teng tu kami panggil main "jengket"
    Rebut tiang tu kami ada pantunnya
    "tiang empat telaga besi,koyak ketupat makan isi" lepas habis baca pantun bersama baru rebut tiang🀣
    laga king tu kami guna semut hitam..tapo saya pernah tangkap labah2 kena sengat bengkak jari..
    ish...rasa kembali ke zaman kanak-kanak la Ujie

    ReplyDelete
  11. macam2 kan permainan dulu-dulu, semuanya tak byk guna duit...suka main lompat getah, sambung getah bulat sampai panjang..hihi..

    ReplyDelete
  12. Kenangan lalu menggamit nostalgia

    ReplyDelete
  13. Saya paling suka main cuit tiang tu.. hehehe..
    Semua permainan diatas Sha main.. Zaman tak ada smart phone memang meriah..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****