Thursday 12 January 2023

Rawatan Fisioterapi di Ifix Physio, Johor Bahru

[Catatan kisah pada hari Khamis, 29.12.2022]

Semasa pulang ke kampung pada penghujung Disember lalu, saya dan encik suami bawa Mak saya menjalani rawatan fisioterapi di Ifix Physio yang terletak di Taman Setia Tropika, Johor Bahru, Johor. Jarak pusat fisioterapi & rehabilitasi ini sekitar 48 km dari rumah Mak.

Mak saya yang berusia 74 tahun menghadapi masalah bongkok senget. Sebelum ini tak begitu ketara, jadi kami anak-anak belikan Mak tongkat supaya boleh berjalan tegak dengan bantuan tongkat. Tetapi makin lama makin nampak agak teruk bongkoknya, kami pun jadi risau. Bongkok senget ni juga mungkin menjejaskan fungsi organ dalaman, menyebabkan Mak selalu rasa ‘sempit nafas’. Pernah bertanya pendapat doktor, Mak disarankan ambil pil kalsium.

Saya buat carian di internet berkenaan hal ini dengan ciri-ciri bongkok yang terdapat pada Mak. Hasilnya, Mak mungkin ada masalah Scoliosis.
Scoliosis bukanlah sejenis penyakit tetapi satu kondisi perubatan di mana tulang belakang yang membengkok ke kiri atau ke kanan malahan ia boleh berputar pada paksi vertikalnya.
Fisioterapi (physical therapy) merupakan antara rawatan yang sesuai, terutamanya bagi individu berusia seperti Mak saya. Seterusnya, gigihlah saya buat carian di mana ada pusat fisioterapi paling hampir dengan rumah Mak dan yang boleh datang ke rumah untuk melakukan rawatan. Paling penting, saya nak cari terapis (juru terapi) yang berkelayakan.

Hasil carian menemukan saya dengan Ifix Physio. Saya hubungi mereka menerusi aplikasi WhatsApp, bertanya beberapa hal dan selepas berpuas hati barulah saya mengatur janji temu pertama untuk hadir ke pusat fisioterapi mereka. Mereka perlu lihat dan periksa kondisi Mak sebelum memberi sebarang pendapat dan rawatan. Caj rawatan harga promosi bagi warga emas 65 tahun ke atas adalah sebanyak RM120/sesi.

Rawatan Fisioterapi di Ifix Physio, Johor Bahru
Tempat rawatan di Ifix Physio. Bersih dan selesa. Foto diambil dari sudut belakang, masa ni kami baru tiba dan saya hantar Mak ke tandas.

Seorang terapis perempuan memperkenalkan dirinya kepada saya dan Mak. Puteri namanya. Beliau akan melakukan pemeriksaan dan ujian bagi mengetahui kondisi Mak. Kami bertiga masuk di salah satu ruangan bertutup kain.

Hasilnya, terapis memaklumkan bahawa Mak menghadapi masalah Scoliosis bentuk ‘C’ yang menyebabkan badan jadi senget sebelah. Mak juga ada sedikit masalah bongkok. Terapis turut meminta saya merakam foto bahagian belakang Mak sebagai rujukan. Beliau turut menjelaskan bagaimana tulang belakang Mak membengkok dengan bentuk C disebabkan masalah Scoliosis. Untuk mengetahui lebih terperinci, beliau cadangkan Mak melakukan imbasan MRI.

Menurut terapis lagi, rawatan fisioterapi boleh dilakukan bagi membetulkan setakat yang boleh dan menghalang tulang semakin membengkok dan bongkok. Selepas itu, terapis memulakan sesi rawatan terhadap Mak - urutan & senaman. Mana-mana urutan & senaman yang Mak tak mampu buat, akan diubah kepada yang lebih sesuai.

Rawatan Fisioterapi di Ifix Physio, Johor Bahru
Alhamdulillah Mak rasa selesa dengan sesi rawatan bersama terapis Puteri. Tidak menyakitkan dan mesra orang tua. Saya bertanya pendapat Mak berkenaan rawatan seterusnya, Alhamdulillah Mak bersetuju bagi meneruskan rawatan. Walaupun hasilnya mungkin tak ketara (badan tak mungkin kembali tegak lurus), tetapi sekurang-kurangnya inilah usaha yang boleh dibuat bagi mengatasi masalah tulang belakang Mak.

Pihak Ifix Physio kemudiannya mencadangkan pakej rawatan 15 sesi (rujuk foto) dengan bayaran sebanyak RM1,617 (harga diskaun bayar dalam tempoh 24 jam). Kami bersetuju ambil pakej tersebut. Sesi yang telah berjalan tadi dikira sebagai sesi pertama, bayaran termasuk dalam pakej. Berkenaan kos, ada seorang kakak saya berbaik hati mahu membiayai keseluruhan kos rawatan ini.

Kos tambahan dikenakan jika mahu terapis datang merawat di rumah, iaitu caj perjalanan sebanyak RM96/sesi (caj dikira mengikut jarak pusat fisio dengan rumah). Menurut saya, cajnya munasabah dan tak membebankan berbanding kesukaran kami dan adik-beradik lain mencari masa untuk menghantar Mak. Tambahan pula kondisi Mak yang tak begitu kuat untuk kerap melalui perjalanan jauh, iaitu sekitar 1 jam atau lebih bergantung kepada keadaan trafik.

Rawatan Fisioterapi di Ifix Physio, Johor Bahru
Kad janji temu rawatan Mak. Sehingga detik entri ini ditulis, Mak sudah menjalani 3 sesi rawatan. Dua daripadanya dijalankan di rumah. Setakat ni Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, hari ni pun ada 1 sesi di rumah.

Semoga Allah permudahkan rawatan fisioterapi Mak saya dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti kehidupan Mak. Kasihan Mak saya susah nak berjalan ke mana-mana sebab rasa tak larat.

Kalau kalian mencari tempat untuk rawatan fisioterapi, bolehlah mencuba rawatan di Ifix Physio. Info lanjut DI SINI. Ada pilihan lokasi di Nilai, Negeri Sembilan atau Johor Bahru, Johor. Ada terapis lelaki dan perempuan juga.





22 comments:

  1. Semoga ringan kesusahan emak Puan Ujie. Tidak dapat bayang kesusahan dialami.
    Alhamdulillah jumpa yang sesuai. Bagus ada terapis lelaki dan perempuan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin...terima kasih doanya.
      Alhamdulillah memang saya rasa lega sangat dapat jumpa yang sesuai dengan Mak.

      Delete
  2. Semoga mak kak Ujie dapat manfaat dari sesi fisio ni. Kita ni pulak patutnya start minum susu anmum atau ambik suplemen kalsium dari skrg. Kesannya tak nampak sekarang tapi bila kita pun dah tua nanti.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin..
      Betul, akak baru mula makan botol pertama pil kalsium.

      Delete
  3. Saya dulu ada ikut suami buat fisioterapi, masa dia lepas operate lutut. Memang membantu.
    Semoga urusan mak Ujie juga dipermudahkan, dan dapat hidup sehari-hari tanpa masalah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin...harap gitu jugaklah, moga fisio ni dapat bantu mak saya jugak.

      Delete
  4. Alhamdulillah masih dapat berbakti dgn org tua... semoga mak akak sihat sentiasa

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah Mim, sekadar termampu sebab kami pun dah menetap jauh di utara.
      Aamin doanya.

      Delete
  5. semoga mak Ujie bertambah baik keadaannya...bagus ada servis di rumah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamin..
      Ya, syukur sangat-sangat. Kalau tak, mungkin tak dapatlah nak teruskan rawatan.

      Delete
  6. Perkongsian menarik. Saya pun ada scoliosis dari remaja tapi doktor kata tak perlu betulkan sebab tak sakit dan tak mengganggu. tapi dah tua nanti tak taulah. apa pun semoga mak kak Ujie diberi kesihatan yang baik agar boleh beribadah dengan sempurna

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak teringat juga kat Sal, sebab pernah baca Sal tulis pasal Scoliosis. Mak akak ni pun tak rasa sakit, cuma bila dah jadi bongkok senget ni ganggu pergerakan yang dah mula lemah, menekan organ dalaman. Kalau tau dari awal mungkin ada cara untuk atasi dari jadi lebih teruk.

      Delete
    2. Biasalah kan, maybe masa muda tak terasa sakit, dah tua, tulang pun mulai rapuh so macam-macam masalah. Kena makan kalsium la nampaknya saya ni

      Delete
  7. Selamat berhujung minggu 😊

    ReplyDelete
  8. Nampak selesa tempat ni.... Yang paling penting buat ikut jadual. InsyaAllah ada perubahan

    ReplyDelete
  9. Semoga emaknya dapat pulih dan kembali berjalan seperti biasa

    ReplyDelete
  10. ada aritu makcik bawa atok ke sini jugak sebab ada masalah lututnya., masih dalam rawatan juga beberapa kali ke sini

    ReplyDelete
  11. mak mentua saya pun masalah bongkok ke tepi... oohh..ada terapi rupanya..

    ReplyDelete
  12. Alhamdulilla.. Semoga dipermudahkan urusan rawatan mak sis.. Aamiin..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****