Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts

Wednesday, 13 August 2025

Buli - Kenangan Silam Yang Kekal Dalam Ingatan

[bu.li] | ุจูˆู„ูŠ
Definisi : 1. perbuatan mendera, mempermainkan seseorang supaya dapat menyesuaikan diri dgn suasana yg baru; 2. = membuli mempermain-mainkan orang, biasanya orang yg lemah, dgn tujuan utk menggertak, mencederakan, menakutkan dsb orang yg berkenaan;pembuli orang yg membuli orang lain: mahkamah telah menjatuhkan hukuman tiga bulan penjara ke atas seorang kontraktor yg menjadi ~ di jalan raya. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Bila bercakap tentang isu buli, saya pasti terkenangkan kisah silam menjadi mangsa buli. Mungkin bukanlah kes buli yang melampau, tetapi pengalaman tersebut menjadi antara kisah hidup yang saya ingati sehingga detik ini.

Saya catatkan kisahnya di sini sebagai sebahagian pahit manis kehidupan saya. Mungkin juga ada pengajaran yang boleh kalian ambil dalam mendidik generasi akan datang.

Semua kisah berlaku di Pontian, Johor - tempat kelahiran saya.


TAHUN 1984 | SEKOLAH TADIKA
Saya bersekolah di tadika milik Cikgu Mi’at (saya lupa ejaan yang betul). Setiap hari saya dapat duit belanja sebanyak 30 sen serta bekalan minuman. Makanan tak disediakan pada waktu rehat, murid perlu bawa bekal atau beli makanan di warung sebelah sekolah (jual beli menerusi pagar yang memisahkan antara sekolah dengan warung). Di sekolah pula cuma menjual air balang dan jajan. Kebiasaannya, duit 30 sen tersebut saya gunakan untuk membeli nasi lemak berharga 20 sen sepiring dan jajan ‘baby’ berharga 10 sen.

Imej janaan AI. Uniform sekolah tadika saya - kemeja lengan pendek warna putih dan skirt warna oren.

Kejadian buli berlaku ketika mula-mula saya masuk sekolah. Suatu hari di waktu rehat, saya dihampiri oleh tiga orang budak perempuan yang juga rakan sekelas saya. Mereka secara paksa meminta duit belanja saya. Duit belanja harian saya sebanyak 30 sen terpaksa diserahkan dek kerana takut.

Habis waktu rehat, saya terus mengadukan hal yang berlaku pada guru kelas kami - seorang cikgu perempuan. Cikgu panggil mereka bertiga di hadapan kelas, di situ juga duit 30 sen dikembalikan. Itulah kali pertama dan terakhir mereka membuli saya.


SEKITAR TAHUN 1985 - 1987 | SEKOLAH RENDAH TAHAP 1
Saya ke sekolah dengan menaiki bas sekolah Pak Akob sejak dari tadika sehingga tamat sekolah rendah. Semasa bersekolah rendah, bas yang saya naiki selalunya bercampur dengan murid sekolah lain. Pak Akob akan berhenti ambil/hantar dari satu sekolah ke satu sekolah lain.

Kisahnya, ada seorang budak lelaki bangsa India (bukan  rasis, sekadar bercerita secara terperinci) dari sekolah lain yang menghalang saya pegang besi kerusi bas. Bayangkan - saya berdiri dalam bas yang penuh muatan, kemudian tak dibenarkan pegang besi pada kerusi berhampiran. Mungkin sebab bas tersebut kecil, jadinya beberapa kali saya terjumpa dan terkena dengan budak lelaki ni.

Saya adukan kepada mak. Esoknya waktu balik sekolah, mak tunggu bas sekolah di depan rumah kami. Sebelum saya turun bas, mak naik bas dan berjumpa dengan budak lelaki tersebut. Masalah selesai.


TAHUN 1996 | KILANG MITSUMI
Sebaik tamat SPM 1995, saya terus bekerja di kilang elektronik tak jauh dari rumah - kilang Mitsumi. Awalnya seronok sebab production line saya semuanya merupakan lepasan SPM dan STPM. Tapi lepas keluar keputusan peperiksaan (sebelum masuk IPT), ramai yang berhenti. Jadi mana yang tinggal dihantar ke production line yang ada kekosongan.

Saya masuk production line bersama pekerja lama. Di sinilah masalah bermula - saya dibuli secara mental.  Dua orang pekerja perempuan Melayu di situ bersikap garang dengan kata-kata yang tak menyenangkan dan riak wajah benci. Saya bertahan kerana memikirkan kehadiran saya di situ cuma seketika - niat saya kumpul duit sebagai belanja persiapan masuk universiti. Cukup masa, saya berhenti kerja.

Dan, saya sempat adukan hal mereka berdua kepada pihak atasan sebelum saya melangkah pergi.

*

BULI DI ASRAMA SEKOLAH?
Usia 13 tahun, saya mula merantau dan tinggal di asrama sebuah sekolah menengah agama di Labu, Negeri Sembilan. Sepanjang lima tahun tersebut, belum pernah saya dibuli mahu pun membuli.

Malah saya menyimpan kenangan indah bersama senior yang baik hati - Kak J yang gigih mengajar saya Matematik, menyuapkan makanan dikala saya demam tak larat dan turut membasuhkan pakaian kotor saya. Hari ini, Kak J sudah pun bergelar Profesor Madya di sebuah universiti tempatan.


HENTIKAN BULI!
Pembulian melampau bermula dengan buli ringan. Jadi, jangan anggap remeh pada kes buli ringan. Sekali dibuli, kita perlu bangkit melawan. Tiada siapa pun yang patut dibuli atas apa jua alasan. Setiap orang berhak hidup aman tanpa tekanan pihak lain.


DOA BUAT SEMUA MANGSA BULI
Semoga keadilan tertegak buat semua mangsa buli yang telah kehilangan nyawa - Zara Qairina, Syamsul Haris dan lain-lain. Kepada Allah tempat kita berserah memohon pertolongan dan petunjuk-Nya.



Ingatlah, pembuli mungkin lupa perbuatannya tetapi kejadian buli akan kekal dalam ingatan mangsa buli. Jangan jadi pembuli dan berhenti jadi mangsa buli!








Tuesday, 10 January 2023

Kenangan Lalu | Permainan di Waktu Rehat

Awal pagi tadi sambil bersarapan nasi goreng cendawan bunashimeji bersama encik suami, kami berbual tentang kenangan permainan di zaman sekolah rendah kami iaitu sekitar tahun 80-an. Saya dan encik suami beza umur setahun saja dan masing-masing bersekolah di Johor.

Sememangnya keseronokan pergi ke sekolah bagi saya adalah kerana dapat bertemu dengan kawan-kawan dan bermain macam-macam permainan. Sudah tentu waktu rehat adalah waktu yang menyeronokkan sebab lepas siap makan di kantin atau di bilik darjah, kami bebas bermain. Biasanya ada beberapa kumpulan yang bermain beberapa jenis permainan, terpulanglah kita nak ikut serta permainan yang mana satu.

Berikut merupakan permainan yang selalu saya main pada waktu rehat di sekolah rendah :

Permainan tingting (saya sebut : teng-teng). Biasanya kami lukis petak permainan tingting di kaki lima bahagian belakang kelas. Lukis menggunakan kapur putih yang diambil dari bilik darjah. Permainan ni biasanya dimainkan oleh murid perempuan. Cara bermainnya saya kurang ingat secara tepat, tapi kalau nak tau bolehlah buat carian di internet.

Permainan cuit tiang. Yang ni paling senang. Guna je tiang yang ada di laluan yang dikenali sebagai ‘gajah menyusu’. Secara asasnya, konsep permainan cuit tiang ni macam kita berebut tiang. Biasanya saya bermain bersama kawan perempuan dan kadang-kadang bercampur murid lelaki dan perempuan. Permainan ni pun saya gagal mengingat secara tepat bagaimana cara ia dimainkan.

Permainan kad kenderaan. Saya dulu main guna kad gambar kereta. Kad akan diagihkan kepada setiap pemain secara terbalik (tak nampak depan kad). Selepas tu setiap pemain bolehlah ambil dan lihat kad yang diagihkan. Sebelum bermain, kami akan capai kata sepakat nak berlawan ikut ciri-ciri kenderaan mana satu. Biasanya main ikut ‘cc’ kenderaan. Masa tu bukan faham pun maksud ‘cc’ bagi kenderaan ๐Ÿ˜„. Cuma faham lagi tinggi angka ‘cc’ maka lebih power kenderaan tersebut. Secara asasnya, konsep bermain kad kenderaan ni siapa ada kad dengan ‘cc’ lebih tinggi, maka dia jadi pemenang. Permainan kad ni biasanya kami main bersama-sama murid lelaki dan perempuan. Juga tak terhad semasa waktu rehat, ia biasa dimainkan bila ada sela waktu pertukaran subjek.

Permainan lawan ‘king’. Permainan paling tak bagus sebab melaga binatang. Tapi masa kecil dulu tak ambil berat berkenaan hukum melaga binatang. Cara main - lagakan dua ekor labah-labah ‘king’ kepunyaan dua orang pemain, labah-labah siapa yang berundur maka pemain tersebut dikira kalah. Labah-labah ‘king’ merujuk kepada labah-labah hitam dengan jaluran putih di badan. Permainan ni biasanya dimainkan oleh murid lelaki, tetapi ada juga murid perempuan yang main iaitu saya ๐Ÿ˜…. Boleh baca entri khas saya berkenaan memori lawan ‘king’ DI SINI.

Permainan lain yang biasa dimain sewaktu rehat - permainan kad ‘happy family’, batu seremban, main ceper (penutup botol air gas), permainan galah panjang dan baling bola (saya tak pasti nak panggil apa, maka sebut saja ‘baling bola’).

Baling bola ni dimainkan dalam kumpulan besar bersama murid lelaki dan perempuan. Konsep mainnya mudah je, siapa terkena balingan bola kecil (kalau tak silap ingatan, bola tenis warna kuning tu) maka dia dikira kalah dan terkeluar permainan. Permainan yang paling meriah sebab melibatkan ramai pemain dan jeritan bila bola berjaya mengena seseorang. Tetapi ia juga agak menyakitkan badan bila terkena balingan bola kecil tersebut. Alhamdulillah belum pernah ada yang cedera sewaktu bermain permainan ini.

Begitulah secebis catatan kenangan semasa saya bersekolah rendah pada tahun 1985-1990 di Sekolah Tunku Mahmood Iskandar (1), Pontian. Suatu tempoh yang seronok kerana berkawan-kawan dan bermain dengan gembira. Kecuali pada tahun terakhir persekolahan, seingatnya dah tak bermain di waktu rehat mahu pun bermain di dalam kelas kerana ia tahun di mana kami perlu fokus untuk peperiksaan UPSR.


* nota - semua foto di atas hasil carian internet. Saiz foto kecil, agak kurang jelas.







Tuesday, 18 October 2022

Konica POP EF-80 | Kamera Pertama Saya

Kenangan Kamera Filem Gulung

Semasa berada di sekolah menengah berasrama di Negeri Sembilan, saya sudah menyimpan keinginan untuk memiliki sebuah kamera. Seronok tengok beberapa orang kawan yang mempunyai kamera (tak pasti kepunyaan sendiri atau milik keluarga), mudahlah mereka nak merakam gambar di kelas, di asrama dan sewaktu beraktiviti di luar sekolah. Siapa yang memiliki kamera, maka banyaklah gambar kenangan yang dapat dirakam.

Ketika itu juga, kita tak boleh merakam gambar sesuka hati kerana kamera menggunakan filem gulung. Kita perlu membeli filem gulung tersebut dengan pilihan untuk 12 kali, 24 kali atau 36 kali rakam. Kemudian, selepas habis merakam perlu pula membayar kos mencuci filem di kedai gambar.

Selepas beberapa hari, barulah kita boleh datang kembali ke kedai gambar untuk mengambil gambar yang telah dicuci. Dengan gambar yang terhasil, barulah boleh menjual gambar kepada kawan-kawan yang berminat. Mula-mula, susun gambar (ikut nombor di filem) di dalam album gambar yang diberi oleh kedai gambar. Kemudian, sertakan nombor pada gambar dan kawan-kawan bolehlah buat senarai pesanan gambar nombor mana yang dikehendaki. Selepas tu kembali ke kedai gambar untuk proses mencuci filem sekali lagi. Kosnya bergantung kepada jumlah kepingan gambar yang kita nak cuci. Lebih banyak, lebih murah harganya.


Berjaya Memiliki Sebuah Kamera Kompak

Selepas tamat peperiksaan SPM pada penghujung tahun 1995, saya terus cari kerja. Tak berlengah, semalam baru je sampai rumah di Johor dan hari ini terus pergi memohon kerja di sebuah kilang elektronik yang terletak tak begitu jauh dari rumah. Esoknya saya terus memulakan kerja.

Dapat je gaji pertama, saya membeli sebentuk cincin emas sebagai tanda gaji pertama. Manakala gaji kedua, saya membeli sebuah kamera yang telah lama diidamkan. Macam banyak je gajinya kan? Ya, memang agak banyak untuk seorang remaja yang tiada tanggungan. Maklumlah, kerja syif malam selama 12 jam. Kerja keras, hasil pun lebih. Insya Allah bab kerja tu saya akan cerita di lain entri. Nanti terlampau panjang meleret pulak entri mengenai kamera pertama saya ni.

Konica POP EF-80
Inilah kamera pertama saya. Alhamdulillah! Kamera kompak point & shoot jenama Konica model POP EF-80. Sejujurnya, saya tak tahu langsung pasal ciri-ciri kamera. Bagaimana saya membeli? Saya minta tolong abang saya belikan di kedai. Saya beri wang sebanyak RM200 dan minta belilah apa-apa kamera dengan bajet diberi. Saya sendiri tak berkesempatan nak ke kedai. 

Konica POP EF-80
Saya suka kamera ni sebab ada tetapan tarikh. Jadinya gambar yang terhasil nanti ada cetakan tarikh bila gambar dirakam. Cara nak tetapkan tarikh, kita tekan pada butang-butang kecil di belakang badan kamera ni. Kamera ni menggunakan kuasa bateri, seingat saya setiap kali menukar bateri kita perlu betulkan tetapan tarikh.

Konica POP EF-80
Beginilah rupa ruangan untuk kita pasang kemera gulung. Kena pandai pasang dan berhati-hati, tersilap langkah boleh rosak filem.

Konica POP EF-80
Saiz kamera sedang-sedang saja, tak besar dan tak kecil. Ringan. Mudah dipegang dan dibawa ke mana-mana.

Konica POP EF-80
Dengan kamera ini dapatlah saya merakam detik kenangan bersama kawan-kawan kerja kilang, seterusnya semasa zaman universiti dan sehingga berkahwin. Kamera ini juga memberi khidmat kepada kawan dan ahli keluarga lain yang meminjamnya daripada saya. Kamera yang sangat berjasa!

Kamera Konica POP EF-80 ini menjadi kamera pertama dan terakhir milik saya yang menggunakan filem gulung. Ia ‘bersara’ setelah saya memiliki sebuah kamera digital. Hari ini, kamera digital tersebut juga sudah lama tidak saya gunakan. Dengan adanya teknologi telefon pintar dengan kemampuan kamera yang cukup baik dan memang dibawa ke mana-mana, membuatkan saya memilih untuk tidak menggunakan kamera digital tersebut. Ia mungkin berguna jika saya melalui satu perjalanan yang panjang dan perlu menjimatkan bateri telefon.

Hari ini, kamera Konica POP EF-80 milik saya ini sudah pun dikategorikan sebagai kamera vintage. Kamera terpakai ini dijual pada harga sehingga RM300 bagi pasaran Malaysia.


Kenangan kamera Konica POP EF-80 dalam bentuk video. Saya ambil dari YouTube. Bagi yang tak pernah tahu cara pasang filem gulung, bolehlah tonton video ni.





Monday, 3 May 2021

Rendang Maman - Makanan Tradisi Gemencheh

Memori Ghondang Maman dan Monceh
Sekitar tahun 2003 - 2005 saya menetap di Gemencheh, Negeri Sembilan. Gemencheh atau dalam loghat tempatan disebut Monceh. Suatu tempat yang belum pernah saya kunjungi sebelumnya. Takdir membawa saya dan suami ke Monceh atas sebab pekerjaan. Banyak pengalaman baru juga kenangan sepanjang saya menetap di sana. Emm...terus terasa nak menulis kisah lalu, sekadar untuk mengabadikan memori dalam bentuk penulisan. Tapi kena ‘korek’ gambar lama dululah untuk menyorot memori lalu tu.

Berbalik kisah Rendang Maman atau dalam loghat tempatan Ghondang Maman. Sebelum saya tinggal di Gemencheh, saya memang tak pernah tau kewujudan Rendang Maman. Walaupun sebelumnya saya pernah menetap selama 5 tahun di Negeri Sembilan (lebih tepat di asrama sekolah di Labu). Mungkin sebab saya tak pernah satu dorm dengan kawan-kawan yang berasal dari Gemencheh. Rendang Maman ni merupakan makanan tradisi Gemencheh, dihasilkan daripada daun maman.

Kali pertama saya merasa Rendang Maman ni apabila jiran depan rumah (sewaktu menetap di Gemencheh), seorang kakak yang baik hati datang ke rumah saya dan menghulurkan satu bekas Rendang Maman air tangannya. Pertama kali masuk ke mulut, err...saya rasa agak pelik dengan rasa daun maman. Dan ada la sikit rasa pahit. Tapi lepas cuba jugak makan dan habiskan, perasaan pelik tadi bertukar jadi suka. Hehe. Kakak jiran depan rumah tu pulak rajin beri Rendang Maman, memang suka sangatlah saya.

Pencarian Rendang Maman...
Selepas berpindah keluar dari Gemencheh, saya tak lagi dapat merasa Rendang Maman. Pernah beberapa kali jumpa dan beli di ekspo makanan atau pasar pagi di Negeri Sembilan, tapi kecewa sebab rasanya tak menepati selera. Tak sama seperti hasil air tangan kakak jiran depan rumah di Gemencheh.

Sehinggalah sebelum Ramadan baru-baru ini, seorang kawan sekolah saya (berasal dari Gemencheh) membuka jualan Rendang Maman hasil air tangan orang kampungnya. Memang pantas la saya buat pesanan bila dia kata boleh pos. Asalnya dia jual dalam bekas plastik je, tapi demi memenuhi permintaan orang jauh seperti saya maka dia buatlah juga dalam pek aluminium foil.

Alhamdulillah...diterima dalam keadaan baik. Teliti pembungkusannya, siap masuk dalam plastik, kemudian ‘bubble wrap’ dan bungkus pula dengan kertas surat khabar. Servis pihak kurier pun pantas - pos semalam, hari ni sampai.

Saya beli Rendang Maman ayam dan daging. Nak cuba tiap satu. Harga RM16 / pek, berat 230 gram setiap pek. Caj pos 2 pek ni RM10.

Satu pek Rendang Maman dapat banyak gini. Alhamdulillah...sedap! Memang inilah rasa yang saya cari. Rendang Maman dimakan bersama nasi panas ni dah cukup membuka selera. Seronok rasanya dapat jumpa rasa yang saya inginkan.

Sekarang ni dah habis pun 2 pek Rendang Maman, saya dah buat pembelian lagi beberapa pek. Beli lebih terus, jimat caj pos. Simpan dalam peti sejuk, bila-bila nak makan buka je satu pek dan panaskan.



Thursday, 7 January 2021

Bila Mengemas Gerobok Lama...

Penghujung bulan Disember lalu, Alhamdulillah saya dan suami berkesempatan balik ke kampung kami di Johor setelah berbulan lama tak menjenguk orang tua kami.

Antara kerja yang kami berjaya selesaikan kali ini - menggantikan gerobok buku yang dah dimakan anai-anai dengan gerobok baru. Gerobok lama ni bahagian kakinya pun dah dimakan anai-anai. Bahagian para di dalam gerobok pun hampir runtuh. Kalau sekali pandang memang nampak elok je gerobok tu.

Tugas pertama, pergi beli gerobok baru. Kami beli di sebuah kedai perabot yang terletak berhampiran simpang jalan ke Parit Semerah, Pontian. Jika dari bandar Pontian, ia terletak di sebelah kiri jalan sebelum lampu isyarat ke Parit Semerah. Ada jalan kecil je untuk masuk ke kedai ni. Berbanding beberapa kedai perabot lain yang kami dah pergi, kedai ni lebih banyak pilihan dan menawarkan harga yang lebih rendah. Cuma tak dapat hantar hari yang sama sebab jadual penghantaran dah penuh untuk hari tersebut.

Tugas kedua, proses keluarkan isi gerobok lama. Pilih mana yang layak dibuang dan mana yang kekal disimpan. Suami tukang keluarkan isi gerobok, saya pulak tukang pilih-pilih dan asingkan buku ikut kategori. Lepas keluarkan isi gerobok, suami bawa keluar gerobok lama tu ke luar rumah.

Proses yang lama - memilih buku. Jadi lama sebab hampir tiap buku saya belek, ambil gambar jika ada yang mencuit hati dan share di grup WhatsApp adik-beradik. Adik-beradik 9 orang, jadinya ada macam-macam buku dengan macam-macam contengan yang boleh jadi bahan ketawa. Yang tu tak boleh letak di blog, marah pulak kakak/adik saya...haha! Kat sini saya letak sikit sebagai kenangan dari masa lalu.

Tersenyum sendiri bila jumpa buku kamus ni, hadiah dari sekolah rendah saya. Masa dulu memang agak selalu naik pentas pada hujung tahun untuk terima hadiah. Tapi itulah...sama ada sebab cemerlang subjek Bahasa Malaysia (sekarang sebut Bahasa Melayu) atau sebab jadi antara peminjam buku terbanyak di perpustakaan sekolah. Lain-lain memang tak ada, seingat saya la.

Inilah antara kitab sekolah agama kami. Kitab begini sama ada kena beli sendiri atau kadang-kala ada juga disediakan di sekolah. Tapi leceh la sebab nak kena berebut dengan budak lain tiap kali nak guna, lebih mudah ada sendiri.

Antara isi kitab. Tulisan jawi sepenuhnya, kecik-kecik pulak. Entah macam mana dulu boleh pulak belajar. Sekarang kalau cuba baca mau merangkak membaca sambil menguap ngantuk...haha! Kitab dengan rupa begini kami guna dari darjah 1. Nak tak nak dari kecik kena pandai baca jawi, sebab sistem sekolah agama Johor dulu kalau tak lulus darjah maka tak boleh naik darjah seterusnya. Kadang ada yang dah bertahun duduk di darjah yang sama sebab tak lulus, kesian juga.

Disebabkan keunikan sistem ni, maka dalam satu-satu kelas tu akan ada pelbagai peringkat umur. Satu lagi keunikan sistem ni, tak kisah umur berapa untuk kita mula masuk sekolah agama. Macam saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa saya masuk darjah 3 sekolah rendah. Kebanyakkan kawan-kawan saya mula masuk darjah 1 sekolah agama semasa mereka masuk darjah 2 sekolah rendah.

Jadinya saya cuma sempat sampai darjah 4 sekolah agama (iaitu masa saya darjah 6 sekolah rendah), tak sempat sambung sampai Darjah Khas (peringkat paling tinggi sekolah agama Johor) sebab sekolah menengah saya dah masuk asrama. Jadinya sempatlah saya menghadap kitab Mutaal Badrin masa di darjah 4 tusebuah kitab yang lebih besar dan tebal! Yang ni memang saya sentiasa mengantuk tiap kali buka. Gitulah cabaran belajar agama.

Majalah tahunan sekolah pun banyak. Ni saya ambil satu majalah setiap sekolah dan ambil gambar sebagai kenangan.

Selain buku, ada juga pingat, piala dan plak di dalam gerobok lama ni.  Yang ni plak kemenangan hadiah ketiga sempena Gerai Makan Paling Bersih peringkat Majlis Daerah Pontian kepunyaan Allahyarham Bapak. Bapak saya dulu berniaga kedai makan di bandar Pontian. Merasalah saya hidup sebagai anak peniaga makanan - ke warung membasuh pinggan, melayan pelanggan, mengemas kedai. Warung Bapak lah sumber kewangan membesarkan kami 9 beradik.

Akhirnya...inilah saja yang saya pilih untuk disimpan dalam gerobok baru nanti. Yang lain perlu dibuang sama ada sebab dimakan anai-anai (seram tengok lubang sekata je dari muka depan kulit buku sehingga ke isi dalam buku), atau sebab dah terlalu lusuh bercerai isi buku. Untuk tugas menyusun di gerobok baru nanti akan dilakukan oleh seorang kakak saya sebab gerobok sampai lagi 2 hari, saya dah takde di kampung.

Ginilah kalau mengemas gerobok lama, memang betul-betul lama membelek buku. Haha. Apa pun syukur selesai satu misi di kampung, mak pun senang hati dapat tukar gerobok baru.




.

Thursday, 30 April 2020

Kenangan Kesibukan Berniaga Online di Bulan Ramadhan

Hari ini hari ke-7 kita menjalani ibadah puasa. Juga hari ke-2 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 yang dijadualkan sehingga 12 Mei 2020.

Tidak seperti Ramadhan tahun-tahun sebelumnya, di mana saya sibuk dengan urusan jualan tudung secara online (kadang-kala ada juga tambahan jualan baju dan anak tudung berdagu). Ramadhan tahun ini saya bebas dari rutin buat iklan di Facebook dan Instagram, kemaskini stok di blog jualan, melayan juga menerima pesanan pelanggan di WhatsApp, Facebook dan Instagram, membeli stok jualan, memeriksa stok tudung yang diterima, melakukan kerja pembungkusan untuk di pos, menulis borang pengeposan dan memastikan tudung selamat sampai ke tangan pelanggan. Fuh!

Saya hadkan masa melayan pelanggan sehingga jam 11 malam sahaja (sama ada pada bulan puasa atau hari-hari biasa), tetapi mula melayan pelanggan seawal waktu sahur (pada bulan puasa). Biasanya pada bulan puasa, pelanggan lebih aktif membuat pembelian pada waktu lewat malam dan waktu sahur membawa ke selepas Subuh.

Setiap tahun, memang saya alami kesibukan luar biasa pada bulan puasa berbanding bulan-bulan lain. Lebih tepat, kesibukan bermula sebelum puasa dan semakin berkurang pada pengujung puasa. Pada masa ini sahajalah peluang untuk menjana pendapatan lebih tinggi dari biasa. Rekod jualan bulanan tertinggi adalah pada tahun 2017 iaitu melebihi RM10,000. Tahun tersebut juga mencatatkan rekod paling cemerlang sepanjang saya menjual secara online, dengan jualan menghampiri RM72,000. Tapi jangan salah faham pulak ya, itu adalah nilai jualan dan bukan nilai keuntungan yang diraih.

Biarpun taklah begitu banyak, tetapi untuk saya yang bekerja sendiri dari rumah ia sudah cukup memuaskan hati. Memang sangat penat, kadang sampai lenguh jari-jemari melayan pelanggan tak henti-henti.

Sehinggalah pada tahun lepas (2019), saya memutuskan untuk berhenti dari menjadi reseller tudung setelah melakukannya selama 6 tahun. Saya ada dua alasan - hilang minat dan permintaan yang semakin kurang (mungkin atas faktor kelembapan ekonomi semasa, persaingan pengeluar tudung yang makin banyak dan perubahan minat pelanggan). Maka, tahun 2019 menjadi tahun terakhir saya berniaga di bulan puasa.

Dan mulai tahun 2020, saya meneruskan jualan sebagai ejen dropship (tak pegang stok, cuma ambil pesanan dan urusan pos di buat oleh pembekal) sekadar untuk membantu regular customer mendapatkan tudung. Pada awalnya saya nak berhenti sepenuhnya, tapi bila dah lama berniaga tudung ni kita ada pelanggan biasa yang tetap cari kita untuk membeli. Maka, saya masih kekalkan medium jualan saya di Instagram. Manakala di Facebook dan blog semuanya saya tutup. Saya juga tak lagi aktif membuat iklan, sekadar meletakkan gambar produk di Instagram untuk pelanggan pilih.

Kat bawah ni gambar-gambar aktiviti jualan tudung saya sekitar tahun 2016 - 2018. Saya letak sini sebagai kenangan.

Bungkusan stok tudung yang baru diterima. Biasanya menggunakan kurier servis City Link. Kalau terlampau banyak, saya akan pergi ambil sendiri di Gombak.

Sebelum beli stok, saya ambil pesanan pelanggan terlebih dahulu. Saya ada wujudkan broadcast di WhatsApp untuk para pelanggan yang pernah membeli daripada saya (saya masukkan mereka dengan izin dan kerelaan mereka). Mudah saya broadcast sebarang promosi/tudung terkini. Jadinya kita taklah beli kurang atau lebih berbanding permintaan. Macam tudung dalam gambar ni, 67 helai daripada 101 helai sudah pun ada tuan punya. Bakinya untuk jualan terbuka di blog/Facebook/Instagram.

Selepas setiap helai tudung diperiksa, barulah boleh bungkus mengikut pesanan pelanggan. Sekali lagi letih jari dek menulis maklumat pelanggan pada borang pos. Mujur juga untuk bahagian maklumat penghantar sudah sedia dicetak oleh pihak Pos Laju (saya buka akaun dengan Pos Laju).

Dah siap bungkus, letak dalam bakul di luar rumah. Tunggu posmen datang ambil. Tapi kan datang tak tentu masa, jadinya susah untuk saya sentiasa menunggu. Saya tinggalkan pesanan begini. Lama-lama saya dah tak perlu tunggu, posmen dah tau buka pagar sendiri, ambil bungkusan dan tinggalkan borang salinan untuk saya. Sangat mudah! Sebagai tanda penghargaan, pernah beberapa kali saya berikan biskut raya kepada mereka.

Inilah rak putih menempatkan stok jualan saya. Tak jumpa pulak gambar berwarna, jadiklah yang ni sekadar untuk kenangan. Sekarang rak ni dah kosong, tinggal beberapa helai tudung yang belum terjual.

Ok, selesai sudah catatan kenangan menjual tudung. Tiada lagi kesibukan serupa pada tahun ini. Barulah saya boleh kembali aktif menulis blog, dah tak sibuk kerja. Rutin Ramadhan kali ni pun turut berubah, saya dah boleh tidur seawal pukul 10 malam dan lebih masa untuk aktiviti sendiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas segala rezeki dan pengalaman ini.





Wednesday, 27 November 2019

Idek-Idek



Teringat zaman dulu-dulu, arwah Bapak selalu minta idek-idek. Dengan menahan tangan di dinding (untuk stabilkan badan), saya akan memijak Bapak bermula dari kaki sampailah ke badan. Macam dalam gambar di atas. Sungguh...gambar ini menggamit memori masa lalu saya bersama Bapak.

Idek-idek - bahasa Jawa yang merujuk kepada mengurut badan dengan cara memijak belakang badan.

Thursday, 18 July 2019

25 Tahun Lalu...

25 tahun sudah berlalu...

Ekspedisi Gunung Angsi 1 Ke Arah Tahun 2000 Sempena Pelancaran Gaya Hidup Mencintai Alam dan Cintailah Gunung Kita.


10 Julai 1994 - buat pertama kalinya saya melakukan aktiviti pendakian. Waktu tu saya berada dalam tingkatan 4 di sebuah sekolah di Negeri Sembilan. Aktiviti anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini memerlukan penyertaan dari sekolah-sekolah. Saya dan kawan-kawan hadir bagi mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sekolah kami.

Yang saya ingat, pagi hari tersebut semua peserta berkumpul di kawasan hadapan Hutan Rekreasi Ulu Bendul. Taklimat diberikan dan diikuti sesi senaman untuk memanaskan badan. Kami kemudiannya berjalan ke satu tempat lain untuk memulakan pendakian.

Walaupun masih di usia muda, aktiviti pendakian tersebut tetap membuat saya rasa lelah. Tambahan pulak, saya bukan budak yang aktif bersukan. Sering kali bila langkah terhenti, pasti ada suara-suara yang memberi semangat...'dah dekat...sikit lagi!'.

Sampai di puncak, peserta boleh berehat sambil menikmati makanan yang disediakan oleh penganjur. Sayangnya....tiada gambar saya semasa di puncak. Zaman tu belum ramai yang ada kamera, handphone camera lagilah tak wujud! Hahaa. Maka, tiadalah gambar sebagai kenangan dan bukti dah sampai puncak Angsi. Mujur ada sijil, itu je kenangan dan bukti yang ada.

Semasa bergerak turun, ada satu ketika di mana saya terpisah daripada kawan dan peserta lain. Entah macam mana, sedar-sedar depan dan belakang takde orang. Mungkin kerana terlalu fokus pada laluan dan halangan sepanjang jalan, sampai tak perasan diri keseorangan. Mujur takde kejadian buruk berlaku masa berjalan seorang diri.

Alhamdulillah selamat turun di kawasan perkelahan Ulu Bendul. Saya tak ingat catatan masa yang tepat, yang pasti masa sampai bawah sudah pun masuk waktu Zohor.

-------------------------------------------------------------

Begitulah kisah pendakian pertama saya, bukan sebab minat tetapi sebab ikut program sekolah. Selepas itu, saya mula jatuh hati pada aktiviti ini dan meneruskannya semasa saya di universiti. Insya Allah saya akan catatkan dalam blog sebagai satu perkongsian pengalaman dan kenangan sendiri. Walaupun tak banyak, tapi saya cukup berpuas hati dengan pengalaman yang dilalui.

Selepas tamat universiti, aktiviti pendakian terhenti sama sekali. Masing-masing sibuk membina hidup. Cuma beberapa tahun terakhir ini, minat saya muncul kembali. Saya kembali mendaki pada Disember 2017 dalam usia 39 tahun, dan Bukit Batu Putih di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan menjadi puncak pertama.

Tuesday, 23 October 2018

Pasar Tani Kuala Pilah & Ulangtahun Ke-70


Sabtu 06/10/2018 : Pasar Tani Kuala Pilah
Kuala Pilah...antara tempat yang banyak menyimpan memori buat saya dan suami. Memori jatuh bangun dalam perjuangan kelangsungan hidup banyak tersimpan di sini. Juga memori rutin pagi Sabtu, membeli di Pasar Tani ini. ๐Ÿ˜

Hari ini...kami kembali menggamit ingatan masa lalu dengan mengunjungi Pasar Tani Kuala Pilah, setelah lebih kurang 10 tahun berlalu. Lokasi masih sama, bertambah meriah rasanya. Semua nampak segar, nampak menarik! Antara yang saya beli mestilah daging salai & keli salai. Buat masak lemak cili padi...memang sedap sangat! ๐Ÿ˜‹

Insya Allah akan berkunjung lagi. Mungkin rutin bulanan pulak - sekali dalam sebulan. Hehe..


Sabtu 13/10/2018 : Ulangtahun ke-70
Alhamdulillah...tahun ni dapat buat sedikit surprise untuk Mak sempena hari lahir ke-70. Hari lahir Mak sebenarnya pada hari Jumaat, 12 Oktober. Tapi kami balik rumah Mak pada keesokkan harinya, cuti hujung minggu. Mak tengah menyidai pakaian, saya dan kakak datang bawa kek dan bakul buah/bunga sambil menyanyikan 'happy birthday' dengan suara lemak merdu (ni tipu ๐Ÿ˜). Suami saya pulak tukang rekod video/ambil gambar. Seronok tengok Mak happy! ๐Ÿ˜

Fruit Pastry Cake order dari jiran saya, dan bakul buah/bunga digubah sendiri oleh kakak saya (anak ke-6).

Kalau ada rezeki nak buat lebih meriah, semua anak cucu balik. Untuk kali ni cuma 3 orang daripada 9 orang anak je yang ada. Kalau bukan Hari Raya, memang susah nak kumpul semua.

Sejak dulu, menyambut hari lahir bukanlah budaya dalam keluarga kami. Biasanya cuma beri ucapan selamat. Kadang-kadang sambut juga bila kebetulan tarikh lahir tu kena pada hari kami sedang berkumpul ramai-ramai di rumah Mak (buat pertama kali juga saya sambut hari lahir dengan meriah di rumah Mak pada 3 Syawal yang lalu...hehe).

Semoga Allah mengurniakan Mak dengan kebahagiaan di dunia dan akhirat. ❤️

Thursday, 11 January 2018

Sambal Belacan Buah Kemang / Binjai

Entri pertama untuk tahun 2018, dengan azam nak hasilkan sekurang-kurangnya satu entri setiap minggu. Banyak perkara boleh ditulis, dan perlu ditulis untuk rujukan/kenangan di masa hadapan. Cuma rasa malas bukak blog dan konon-konon sibuk dengan perkara lain...yang menghalang. 

Untuk entri ni, sepatutnya di tulis tahun lepas. Bulan lepas lebih tepat. Dan entri seterusnya pun, mungkin cerita bulan-bulan lepas jugak. Hehee..

--------------------------------------------------------------

Suatu petang di penghujung Disember 2017, jiran mesej...'akak makan buah Kemang tak?'. Kalau tak silap Kemang sama dengan Binjai...terus terbayang zaman kanak-kanak, saya makan buah Binjai yang masam! Makan gitu je tanpa pencicah. Seorang kawan yang bawa, dan kami makan bersama di sekolah. Masa tu saya sekolah agama petang di Rambah, Pontian. 

Tak lama kemudian, jiran datang hantar 2 biji buah Kemang. Kata jiran, sama je Kemang atau Binjai. Panggilan berbeza ikut tempat. Buah yang susah nak jumpa. Kebetulan dia dapat lebih, dapatlah berkongsi rezeki dengan saya. Alhamdulillah!

Seingat saya, kali terakhir jumpa dan makan buah ni sekitar 27 tahun lalu! Saya pun dah ingat-ingat lupa rupa buah Binjai yang saya makan dulu. Yang pasti, isi putih dan masam! Bertemu semula buah ni, seakan menggamit memori zaman kanak-kanak.

Kulitnya nipis, lepas dibuang beginilah rupa buah Kemang. Panggil Kemang jelah kan, leceh nak sebut kemang @ binjai. Buah ni ada bau tersendiri. Bau yang agak kuat.

Disebabkan rasa buah ni yang masam-masam kelat, lebih sedap jika dibuat sambal belacan. Zaman budak dulu bolehlah makan gitu je kan...ni cuba makan, terkenyit-kenyit mata dibuatnya! 

SAMBAL BELACAN BUAH KEMANG

1 biji buah kemang
2 tangkai cili merah
15 tangkai cili padi
belacan
garam
gula

1. Cili merah, cili padi dan belacan - goreng seketika, tanpa minyak. 
2. Kemudian tumbuk atau kisar guna blender kering.
3. Gaulkan bersama isi buah Kemang, sedikit garam dan gula.
.
.
Inilah hasilnya....sambal belacan buah Kemang.
Pedas, masam...dan bau buah kemang yang membangkit selera! ๐Ÿ˜‹


Yang sebiji lagi tu saya ambil isi dan simpan dalam peti sejuk. Masa entri ni ditulis, yang disimpan tu dah pun selamat dibuat sambal belacan sekali lagi! Lepas ni kalau teringin, entah kat mana nak mencari...


INFO : Klik DI SINI dan DI SINI untuk info lanjut mengenai buah Kemang @ Binjai. Hasil carian internet juga ada yang mengatakan buah Kemang dan Binjai adalah dua jenis buah yang berbeza, walaupun nampak macam sama. 


...maka, tak tahulah yang saya makan ni namanya KEMANG atau BINJAI?  ๐Ÿ˜‚






.

Thursday, 29 September 2016

Yang Sebenarnya...


Kawan : Jom makan!
Aku : Takpelah, kenyang lagi.
Kawan : Alaa...jomlah!
Aku : Takpe...kenyang...

Yang sebenarnya...lepas kawan serumah aku melangkah keluar menuju ke kedai makan, 
aku terus capai bungkusan mee segera di dapur ringkas rumah sewa kami. 

Yang sebenarnya...bukan aku masih kenyang! 
Yang sebenarnya...aku 'kekeringan' duit!

....secebis kisah zaman bergelar pelajar IPTA sekitar 16 tahun lalu...


* Ada masanya, kita tidak mampu atau/dan tidak perlu berterus terang. *


Tuesday, 2 August 2016

Cerita TANDAS...Kenangan Masa Lalu

Tandas Lama

Inilah tandas lama yang masih berdiri teguh di rumah Nyai (nenek) suami saya. Terletak di bahagian belakang rumah, dengan kedudukan terasing sedikit jauh (dah masuk kawasan kebun sawit). Tiada bekalan elektrik, tiada bekalan paip air. Sebelum nak gunakan tandas ni, kenalah angkut air barang sebaldi dua ya. 

Sebenarnya, saya tiada kenangan peribadi dengan tandas ni. Biarpun dah menjadi cucu menantu sekian lama, dan tentunya pernah tidur di rumah Nyai. Saya main ngelat, bila ada keperluan maka saya akan ke stesen Petronas berhampiran. Hehee...

Tapi itu dulu, sejak beberapa tahun lepas rumah Nyai dah dibuat yang baru. Lengkap tandas di dalam rumah. Tandas lama ni pulak masih dikekalkan, untuk kegunaan di masa sesak bila ramai anak cucu cicit balik.

Korek Lubang
Sebelum wujudnya tandas seperti di atas, cara yang mungkin terawal digunakan adalah mengorek lubang pada tanah sebelum menunaikan hajat. Yang ni saya pernah alami, masa zaman kanak-kanak sewaktu berkunjung ke rumah nenek di kampung. Masa tu sekitar awal tahun 80-an. Jangan kata tandas, nak mandi pun masih perlu ke 'parit' (seakan aliran sebatang sungai di hadapan rumah). 

Setiap kali berhajat, kenalah menuju ke semak-semak di belakang rumah nenek. Korek dulu, dan timbus setelah selesai hajat. Paling saya ingat, kalau terkena waktu malam. Malam di kampung nenek saya masa tu gelap dan sepi. Masih tiada bekalan elektrik. Memang serammm...

Dinding Plastik Guni 
Selepas tu, ada sedikit kemajuan. Dah disiapkan tempat khas, lengkap berdindingkan plastik guni warna putih tu. 'Dinding' yang cuma boleh melindungi kita sewaktu cangkung je tau! Kali ni dah tak perlu menggali tanah, dah ada mangkuk tandas yang sekadarnya. Tempayan disediakan untuk sumber air.

Begitulah cebisan kenangan masa lalu, hasil imbasan memori bersama adik dan kakak-kakak saya. Maaf kalau catatan hari ini mengganggu selera korang. Sengaja saya abadikan di blog untuk kenangan sendiri dan rujukan generasi yang tak pernah merasa tandas tanpa bekalan elektrik/air atau tandas tanpa dinding! 


...terasa sukarnya sewaktu melalui detik itu, 
namun terasa manisnya untuk dikenang selepas ia berlalu...


Monday, 9 February 2015

Jual Barang Terpakai di MUDAH.MY....Lagi!

Hujung minggu saya kali ni agak sibuk dan memenatkan dengan pelbagai aktiviti. Tapi yang paling melegakan saya, Sabtu lalu (kelmarin) dah selamat menjual peti ais lama kami. 


Peti ais Samsung berusia lebih 10 tahun ni saya iklankan di MUDAH.MY pada petang 22 Januari 2015 dengan harga RM250. Terus ramai yang bertanya dan ada yang nak datang malam tu untuk tengok dan beli. Cuma malam tu suami ada urusan lain, urusniaga pun batal. Dan selepas tu memang bertalu-talu pertanyaan sampai tak terlayan suami nak menjawab, lagi-lagi bila waktu bekerja. Alhamdulillah, akhirnya lewat petang kelmarin ada yang datang tengok. Lepas tengok dia terus setuju membeli. Maka, bertukar tuanlah peti ais kesayangan saya ni. 

Memang saya sayang, sebab inilah antara 'harta' yang kami miliki selepas kahwin dulu. Siap kumpul dua bulan duit gaji (setelah tolak komitmen lain), barulah boleh membeli peti ais ni. Masa tu gaji suami pun kecik je. Bagusnya peti ais ni, langsung tak pernah buat ragam. Memang takde masalah. 

Kami tukar pun sebab perlukan peti ais berkapasiti lebih besar (walaupun ahli rumah masih lagi dua orang!). Sebabnya sejak berpindah ke Pajam ni, ada kekangan untuk mendapatkan bahan mentah/makanan dengan mudah. Kenalah beli banyak dan simpan buat stok. Berbanding masa tinggal di Bangi, segala macam kedai ada berdekatan rumah dan banyak pilihan. Pasaraya Family Store pun boleh nampak dari depan rumah, punyalah dekat. Saya yang tak berani drive pun boleh je jalan kaki bila-bila kurang barang.

Jadinya, kalau korang pun ada barang terpakai untuk di jual bolehlah iklankan kat MUDAH.MY ni. Takde bayaran pun, tapi hasilnya memuaskan sangat. Dan ini bukanlah kali pertama saya menjual barang terpakai di situ. Sebelum ni saya dah berjaya jual 'Portable Air-Conditioner', ceritanya DI SINI. Jangan lupa, lepas berjaya menjual korang delete iklan tu ya. Takdelah orang asyik bertanya benda yang dah takde. 

Thursday, 5 February 2015

Siapa Pernah Guna Ni?


Errr...saya tak pernah guna.
Macam jakun jugak bila dapat tengok dan pegang sendiri.
Selepas ni, ia jadi sebahagian daripada koleksi di rumah kami!
^__^

Monday, 26 January 2015

Mak Tak Pernah ROTAN Saya...

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta baharu itu kini dalam peringkat akhir untuk diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, hukuman terhadap kesalahan merotan anak perlu dilaksanakan kerana negara telah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
“Walaupun merotan anak me­ru­­pakan sebahagian budaya ma­­syarakat kita, tetapi kita perlu akur dengan perjanjian CRC yang memandang serius perkara tersebut.
(berita penuh di SINI)

----------------------------------------------------------------------------

Memang mak atau bapak tak pernah rotan saya, mahupun 8 orang adik beradik yang lain. Rotan pun takde. TAPI... saya selalu kena kejar dengan hanger dawai besi tu. Kesalahan biasanya sebab malas solat. Dah kena nasihat pun tak ambil peduli. Akhirnya, habis satu rumah mak kejar saya. Yang kelakarnya bila dah dapat 'tangkap' saya, mak bukan pukul betul-betul guna hanger tu pun. Cuma acah-acah dengan gaya memukul di kiri dan kanan badan, tapi tak kena pun! Cuma sesekali terkena memang lebih perit dari rotan kot. 

Kalaulah...mak tak buat begitu pada saya, tentu saya membesar jadi manusia yang tak menjaga kepentingan menunaikan solat. Kerana solat itu tuntutan utama dalam agama, maka mak bersungguh 'memaksa' saya melakukannya. Biarpun berkemungkinan besar pada masa tu saya solat bukan kerana Allah, tapi kerana takut pada hanger dawai besi!


~ Memukul anak...bukanlah satu keperluan dalam mendidik, tapi perlu dimulai dengan tunjuk ajar/nasihat/pujukan. Memukul anak...juga bukanlah satu kesalahan, jika dilakukan dengan bersebab dan secara munasabah. ~


Friday, 16 January 2015

Pelancong Miskin

...kisah lebih 14 tahun lalu...

Istilah 'pelancong miskin' ni digunakan masa saya kat universiti dulu. Selama 4 tahun belajar, saya dan sekumpulan kawan-kawan memang rajin berjalan/bercuti. Sama ada ke pulau, hutan lipur atau mendaki gunung. Agak-agak dah nak cuti semester je, mulalah kami buat perjumpaan dan berbincang. Eh, masa tu penggunaan telefon bimbit tak popular tau sebab mahal sangat. Cara nak buat temujanji tu, kena bagitau melalui telefon rumah (bagi yang duduk rumah sewa) atau pergi cari kat bilik asrama. Lepas tu kita duduk berbincang nak ke mana, pengangkutan, penginapan, kos dan bahagi-bahagi tugas. Biasanya ada beberapa kali perjumpaan sebelum bertolak.

Disebabkan kami pelajar cuma bergantung duit pinjaman pelajaran/biasiswa/ehsan ibu bapa/hasil bekerja 'part-time', maka segala aspek perancangan dibuat mestilah dengan bajet rendah. Pengangkutan nak murah, tentulah bas/komuter menjadi pilihan. Guna teksi jika terpaksa je, contohnya di tempat-tempat yang tiada pengangkutan bas barulah cari teksi. Itu pun puas tawar-menawar. 

Tempat tidur pulak kami cuma gunakan khemah, walaupun kami pergi ke pulau. Contohnya, masa ke Pulau Perhentian, Terengganu kami cuma berkhemah dan dikenakan sedikit bayaran untuk setiap tapak khemah. Untuk mandi kena bergilir menggunakan bilik air yang tak sempurna mana pun, tapi sebab nak murah kenalah terima. 

Bab makan, masing-masing dah ada tugasan bawa keperluan memasak tertentu atau bawa makanan tertentu. Kerja memasak biasanya dibuat secara bersama. Masa nilah saya belajar masak nasi dengan periuk biasa! Memasak dalam keadaan tak sempurna ni, membuatkan kita belajar cara hiris bawang tanpa papan pemotong, buka tin sardin menggunakan pisau (bukan alat buka tin) dan macam-macam lagi. 

Tiada ole-ole. Dengan bajet rendah, kebanyakkan kami tak beli sebarang ole-ole bila ke mana-mana. Sekadar tengok-tengok dan berlalu. Masa nilah terkeluar kata-kata 'pelancong miskin'!

Baju kenangan...kali pertama digunakan semasa mendaki Gunung Stong, Kelantan.

Begitulah serba ringkas bagaimana saya dan kawan-kawan boleh berjalan-jalan masa muda remaja dulu. Walau macam leceh masak sendiri, tidur dalam khemah tapi semua tu dilalui dengan seronok sebab adanya kawan-kawan. Lepas tamat belajar, masing-masing bawa haluan dan sibuk dengan kerjaya serta komitmen membina kehidupan berkeluarga. Bila dah kerja...duit ada, tapi masa tiada. Masa belajar dulu, masa ada tapi duit takde. Begitulah hidup!

---------------------------------------------------------------------------

Sekarang ni dah lebih senang untuk merancang percutian bajet rendah. Semua boleh dibuat menerusi carian internet. Penginapan bajet pun dah banyak, ada serendah RM10 untuk dorm. Pengangkutan awam pun lebih selesa dan mudah. Banyak jugak tempat menarik yang tak perlu bayaran atau bayaran minima. Bercutilah ikut bajet sendiri, dekat pun takpe kalau itu je bajet yang kita ada. Pilihlah tempat yang kita boleh minimakan kos dan mengikut bajet kita.


~ catatan ni terhasil disebabkan pertanyaan dari cik adik Hanamiko Sakura mengenai cuti-cuti bajet. Mungkin boleh bagi sikit idea dengan catatan ni. ~

Thursday, 28 August 2014

Singgah Petang di Sup Power

Kelmarin ada urusan di Kuantan. Dalam perjalanan pulang, petang tu singgah makan di sebuah kedai makan di Felda Palong 16. 'Sup Power' namanya. Sebuah kedai yang kelihatan usang, tapi kemas dan bersih. Layanan pun baik dan mesra.
 
 
Istimewanya kat sini, ada SUP KAMBING. Memang kegemaran saya dan suami. Boleh pilih nak makan dengan nasi atau mee. Rasanya? Ok, sedap. Harganya RM5 semangkuk ni. 

Apa yang menarik perhatian saya pada minuman ni? Tu...alas dia, PINGGAN AYAN! Lama dah tak nampak pinggan ayan tau. Kalau dulang ayan tu masih banyaklah kat kampung. Tapi pinggan ayan yang sebijik macam ni wujud masa zaman saya kecik dulu. Memang menggamit memori.
 
Kalau korang ada melalui jalan Bahau-Muadzam, bolehlah singgah kedai ni di Felda Palong 16. Kalau dari arah Muadzam, kedai ni terletak di sebelah kiri jalan (tapi bukanlah betul-betul tepi jalan besar, kena masuk sikit). Dan ia berhampiran dengan stesen minyak PETRONAS. Kedai tu senang cari sebab ada tulis besar-besar 'Sup Power'.
 
 



Monday, 21 April 2014

Susu Segar Jabatan Veterinar


Korang pernah minum susu segar yang macam ni? Susu segar keluaran Jabatan Veterinar. Dulu, masa zaman kanak-kanak (pertengahan tahun 80-an)  memang selalu sangat minum. Ada van datang menjual kat kawasan rumah kami. Biasa mak beli banyak, sebab adik-beradik ramai. Ada botol kecik dan ada botol besar. Dan ada beberapa perasa. Harga dah tak ingatlah.

Bila masuk asrama, saya masih kerap membelinya. Kalau 'outing' hujung minggu memang cari susu segar ni. Ada dijual tak jauh dari Stesen Bas Seremban. Lepas penat jalan-jalan, sebelum naik bas singgah beli dulu. 

Kelmarin, jalan-jalan ke pasar malam terjumpa pulak orang jual susu ni. Dah lama tak nampak orang jual (atau saya yang tak perasan??). Harga? RM2.20 untuk sebotol yang kecik ni. Saya rasa mahal...botol ni cuma berisi sekitar 200ml susu segar. Tapi sebab teringin nak minum susu segar perasa jagung macam zaman lalu, saya belilah jugak sebotol. Bolehla minum sorang, sebab suami memang tak 'lalu' minum susu. Rasanya? Emmm..sedap!