Wednesday 11 January 2023

Pengalaman Perbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA)

Walaupun ramai yang dah tahu dan kongsikan cara perbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), tetapi saya catat juga di blog sebagai kenangan dan rujukan sendiri.

24.12.2022 - Encik suami jadi jurufoto merakam foto saya di rumah dengan menggunakan aplikasi Passport Photo Editor. Sebelum merakam foto, rujuk spesifikasi foto pasport di laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

26.12.2022 - Berjaya buat permohonan secara dalam talian di DI SINI setelah laman web JIM gagal dibuka sejak semalam & kelmarin. Mungkin sebab cuti umum Hari Krismas, jadi mereka ‘tutup operasi’ seketika. Untuk buat permohonan, kita perlu memuatnaik foto ukuran pasport berserta bayaran sebanyak RM200 bagi permohonan biasa usia 13-59 tahun. Bayaran boleh dibuat menggunakan kad kredit/debit terus (FPX). Selesai urusan, kita akan dapat resit rasmi.

27.12.2022 - Pukul 12.51 tengah hari dalam perjalanan dari rumah PP ke rumah NS, saya terima e-mel memaklumkan bahawa permohonan saya LULUS. Memang dalam e-mel tu tulis huruf besar tau. Alhamdulillah! Kami berhenti di hentian Lebuhraya PLUS berhampiran, ambil laptop untuk mengisi borang permohonan temujanji secara atas talian bagi pungutan pasport. Saya pilih slot hari esoknya, pukul 10-11 pagi.

28.12.2022 - Saya pergi ke Bahagian Keselamatan dan Pasport, Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya. Saya masuk sendirian. Encik suami tunggu di dalam kereta di seberang jalan sebab memikirkan proses pungutan pasport saya mungkin tak begitu lama, jadi tak perlu cari parkir. Selepas mengikut arahan diberi dan menunggu (rujuk foto-foto di bawah), saya berjaya dapat pasport. Proses keseluruhannya mengambil masa sekitar 40 minit.


Masuk je dalam bangunan, ada barisan lorong. Saya ke lorong untuk pungutan pasport. Tapi kemudiannya diarahkan buat satu barisan je. Kemudian dari pintu lif, muncul seorang pegawai lelaki JIM datang untuk memberikan nombor giliran. Beliau bertanya tujuan hadir dan melihat dokumen berkaitan. Saya diberi nombor giliran dan diarah untuk terus ke kaunter 18.

Suasana sesak di aras atas (saya lupa ni aras 2 atau 3). Saya terus menuju ke kaunter 18. Tunjuk slip temujanji, kad pengenalan, pasport lama, resit bayaran dan kertas nombor giliran. Kertas tersebut kemudiannya di potong dua (ada dua cetakan nombor yang sama) pada kertas. Saya fikir boleh terus dapat pasport, rupanya diarahkan menunggu lagi.

Nombor giliran saya. Tak ada tempat duduk kosong, terpaksalah berdiri menunggu nombor dipanggil. Penat jugak kaki saya berdiri. Patutlah ada yang duduk di lantai, tentu dah menunggu lebih lama. Ada seorang ibu siap bawa bakul kecil berisi mainan, leka si anak bermain kereta kecil di lantai. Bila kena menunggu di tempat begini, jadi mak-mak memang kena kreatif.

Terasa sangat lega bila nombor giliran saya dipanggil dan terpapar di skrin. Segera saya menuju ke kaunter serahan. Pegawai bertugas meminta saya semak butiran pasport sebelum menurunkan tanda tangan di pasport. Kemudian beliau gunting bahagian depan pasport lama dan diserahkan kembali kepada saya.

Alhamdulillah. Dah ada pasport barulah seronok sikit nak fikir destinasi. Tak dapat jauh, dekat pun jadilah. Pasport lama pun berapa kali je saya guna. Dah itu je kesempatan yang ada.

Berkenaan lokasi pungutan pasport, awalnya memang nak ambil di Pulau Pinang atau Kedah memandangkan kami kini menetap di utara. Tetapi sebab pengalaman yang kurang seronok semasa proses pembaharuan pasport encik suami di Kedah pada awal Disember, maka encik suami cadangkan supaya saya ambil pasport di Putrajaya yang jaraknya sekitar 42 km dari rumah NS kami. Jadinya sambil menjenguk rumah (bermalam dan memeriksa itu ini), bolehlah buat urusan pungutan pasport. Masa ni kami juga dalam perjalanan balik kampung di selatan. Sekali jalanlah buat beberapa urusan.




18 comments:

  1. Ramai yek, kat imigresen. Baru tahu, boleh ambil di mana-mana cawangan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya boleh, masa isi borang permohonan online tu dah kena pilih lokasi.

      Delete
  2. Saya buat online jugak & ambik di UTC dekat rumah saya, jadi lepas serahkan dokumen2 saya pegi minum dulu di gerai2 kat luar sebab dah tau lama betul menunggu nak ambik passport baru.

    ReplyDelete
  3. passport pun dh expired ni. haha boleh lah survey2 destinasi nak terjah.

    ReplyDelete
  4. wah..bagus infonya..
    Ehem..ehem...nak travel ke mana tu Ujie?🤭

    ReplyDelete
  5. Kalau uncle pun dah lepak kat lantai..... penat berdiri!

    ReplyDelete
  6. hehehe dah plan nak kemana plak kali ni ujie?

    ReplyDelete
  7. buku merah jangan lupa bawa...nak ke mana tu kak?jauh gayanya tu

    ReplyDelete
  8. Rupanya boleh buat kutipan di mana-mana JIM.
    Dapat pasport, ke mana akan pergi ya?

    ReplyDelete
  9. baca berita ramai yg komplen keadaan sesak di pejabat2 imigresen..bagus JIM buat online...mudah utk pengguna..

    ReplyDelete
  10. wah nak jalan ke mana tu? saya lagi suka sistem lama tapi itulah, follow aje the flow

    ReplyDelete
  11. Saya upah kedai gambar buatkan secara dalam talian. Sampai masa saya collect di UTC Melaka.

    ReplyDelete
  12. ingatkan bila dia suruh buat secara online nak ambil tu kejap je tapi rupanya lama. Teringat bulan 8 aritu boss dana pun buat passport online, pastu masa nak ambil tu ingatkan sekejap rupanya 2 jam jugak lah kene tunggu, boss dana kata lebih baik tak payah suruh buat online kalau menunggu nya lama hhahahha

    ReplyDelete
  13. Pergh!! Ramainya orang.. Kalau Shadah pening dah nie.. huhuhu..

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****