Thursday 15 August 2024

Serangan Monyet Agresif dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba



Sebaik keluar dari bilik penginapan, kelihatan sekumpulan babi berjanggut (bearded pig) sedang berkeliaran mencari makan di kawasan sekitar. Ada yang bersaiz besar dan ada yang bersaiz kecil. Pemandangan biasa di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Masa ni kami sedang berjalan menuju ke bangunan warna hijau untuk urusan daftar keluar. Terpaksa lalu dekat beberapa ekor babi yang sedang mencari makan berhampiran laluan pejalan kaki. Hapak sungguh baunya.

Selesai urusan daftar keluar, kami berjalan ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako. Semalam Encik Suami dah maklumkan kepada pengendali bot untuk ambil kami pada pukul 11 pagi. Bila tiba di jeti, pengendali bot maklumkan akan tiba lewat sedikit. Oklah.

Sementara menunggu, saya jalan-jalan memotret itu ini. Masa kami tiba semalam dalam keadaan hujan dan mendung, foto-foto jadi gelap dan tak menarik. Kali ini cuaca agak cerah, memang elok untuk merakam keindahan suasana di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Foto di atas merupakan sudut pandang dari jeti menghadap sungai (tempat laluan bot keluar/masuk) dan sebuah jambatan konkrit menuju ke laluan hutan.

Perhatikan paras air sungai yang tidak begitu tinggi, tetapi masih sesuai untuk laluan bot membawa pengunjung keluar/masuk. Jika paras air surut, pengunjung perlu naik/turun bot di kawasan pantai berhadapan dengan bangunan Park HQ. Tiada jeti, jadinya kita kena melangkah masuk dalam air. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
MasyaAllah 😍 Panorama indah lautan dan Gunung Santubong. Foto dirakam dari atas jambatan.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Sebelah kiri tu jeti tempat kami menunggu bot. Masa ni cuma kami berdua sahaja yang sedang menunggu bot.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Deretan bot tanpa pengendali bersusun di sudut sungai.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Detik masa terus berlalu dan bot yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Tetapi yang tak ditunggu pula muncul di jeti - sekumpulan monyet. Mulanya cuma beberapa ekor monyet, datang memanjat pokok dan berjalan di jambatan. Tak ganggu kami.

Tiba-tiba, datang seekor monyet menghampiri tempat duduk kami. Saya bangun dari tempat duduk sebab dah mula rasa agak takut. Monyet tersebut semakin berani, duduk di tepi backpack besar kami. Encik Suami cuba menghalau tapi nampaknya monyet yang satu ni jenis melawan - berbunyi sambil membuka luas mulutnya dan menampakkan taring gigi. Ahh…sudah!

Si monyet bertindak lebih agresif, tangannya membuka zip bahagian utama backpack. Tapi gagal, mungkin sebab beg kami padat jadi sukar nak dibuka zipnya. Tak putus asa, si monyet cuba buka zip bahagian depan beg pula. Berjaya! Segera ditarik keluar isi beg - pek bungkusan kacang tanah yang kami beli sewaktu menaiki pesawat Firefly. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Terus dibawa lari ke atas.

Inilah si monyet yang agresif tu. Mujur kami dah makan sebahagian, cuma tinggal sebahagian saja lagi pek kecil kacang tanah yang menjadi rezeki si monyet. Satu persatu pek bungkusan kosong dicampak ke bawah.

Tak lama kemudian, datang pasangan mat salih. Lega sikit perasaan saya sebab ada orang lain di jeti. Kami berbual ringkas berkenaan hal si monyet.

Si monyet belum habis makan, datang pula sekumpulan monyet lain. Keadaan jadi ribut, masing-masing berebut baki bungkusan kacang tersebut. Mulanya berkejaran di atas, kemudian turun bergaduh sampai masuk kawasan berair - masa ni terselit jugak rasa lucu melihat monyet dalam keadaan basah.

Saya fikir, lepas habis makanan tersebut tidaklah kami diganggu lagi. Rupa-rupanya keadaan jadi bertambah menakutkan - kumpulan monyet tadi menghampiri dan berada di sekeliling kami berdua dan pasangan mat salih tadi. Nampaknya monyet-monyet ini cuba nak dapatkan makanan dari beg-beg kami. Suasana agak tegang, tapi tak mampu nak berbuat apa cuma berdoa segalanya segera berakhir. 

Mujurlah ada sebuah bot tiba. Saya sangkakan pengendali bot kami, tapi nampaknya ia bot yang akan membawa pasangan mat salih. Kecewa dan rasa geram dengan pengendali bot kami yang tidak kunjung tiba. Dalam keadaan terdesak kerana takut dengan ancaman monyet yang masih tak berganjak, saya minta dengan pakcik pengendali bot untuk naik bot sekali. Tapi katanya dia tak boleh izinkan sebab bot sudah dibayar khas untuk pasangan mat salih ni. Iyalah, sama macam kami dah bayar bot untuk berdua tapi botnya tak muncul. Pakcik pengendali bot kata, lelaki muda pengendali bot kami tadinya dilihat ada sedang minum di terminal. Jadinya tak pasti kenapa dia tak bergerak ambil kami seperti dijanjikan.

Memahami situasi kami, pasangan mat salih tadi ajak kami naik sekali. Sebaik saja saya naik bot, lelaki mat salih kata kepada saya “YOU’RE SAFE!”. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Terima kasih Allah yang telah membantu kami. Fuh lega!

Sampai saja di jeti Terminal Bako dan keluar dari bot, Encik Suami hulurkan wang nilai tambang bot kami kepada mereka. Kadar tambang RM100 satu bot sehala, kami naik empat orang jadinya RM25 seorang. Selepas itu Encik Suami terus ke kaunter syarikat bot untuk minta refund kerana bot tidak muncul selepas 45 minit dari masa dijanjikan, juga kami terpaksa naik bot lain bagi menyelamatkan diri dari serangan monyet.

Kami diminta menunggu seketika, staf kaunter sedang cuba menghubungi pengendali bot bagi mendapatkan kepastian. Sementara itu, kami duduk makan di sebuah gerai di terminal. Alhamdulillah sedap mi goreng ni, bagai mengubat perasaan saya yang baru terlepas dari dua hal yang tidak menyenangkan tadi.

Alhamdulillah, staf kaunter kembalikan wang kami sebanyak RM100. Tadi dah bayar RM50 kepada pasangan mat salih, jadinya kami jimat RM50 bagi tambang bot balik.

Antara hikmah yang diperolehi disebabkan dua hal tadi - kami dapat penjimatan RM50 tambang bot balik dan kami dapat pengalaman berhadapan dengan monyet agresif (menjadikan kami akan lebih berhati-hati selepas ini). Menerima kebaikan orang (pasangan mat salih) juga membuatkan saya sedar bahawa hidup perlu saling berbuat baik tak mengira bangsa dan agama. Bukanlah selama ini tak sedar, tapi berbeza rasa sedar apabila kita sendiri mengalami sesuatu peristiwa.

Catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak berakhir di sini. Serik? Oh tidak! Setiap yang berlaku menjadi pengalaman hidup buat mematangkan diri dan menjadikan kita manusia yang lebih baik insyaAllah. Keindahan alam dan kepelbagaian flora fauna di Taman Negara Bako begitu mengujakan! InsyaAllah ada rezeki saya akan kembali lagi, masih banyak laluan hutan yang belum sempat kami teroka dan nikmati suasananya.



Ke mana kami selepas ini? Kereta sewa kami dipandu menuju ke daerah Bau. Eksplorasi alam semula jadi Sarawak diteruskan.







25 comments:

  1. Tengk gambar pertama saya dah seram

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tapi kalau ke sini memang kena biasakan diri, sebab dia ada kat mana-mana 😄

      Delete
  2. macam mana depa jaga babi janggut tuh ye, menarik jugak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak bela pun, babi liar. Siang berkeliaran, malam entah menyorok kat mana.

      Delete
  3. laa, knp x selfie dgn couple mat salleh tu erk., hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak sempat laa nak fikir selfie, fikir selamatkan diri dan tenangkan diri je 😅

      Delete
  4. Jangan buat main dengan monyet! Ganas tu!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak pernah ada pengalaman, kali ni dah taulah betapa ganasnya monyet.

      Delete
  5. Monyet ni dah biasa dengan manusia sbb tu tak takut bila kena sergah. Saya pernah hampir diserang monyet masa di Langkawi (di tasik Dayang Bunting masa tu), nasib baik beg sandang saya pakai terbalik di depan kononnya nak sorok beg dari monyet masa nak turun tangga ke tasik. Monyet tu tiba-tiba naik ke kepala dan cuba buka zip beg. Saya jerit sebab panik, dia pun jerit balik kat saya 😜 agaknya dia terkejut terus lompat lari ke tempat lain.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Erkk…memang panik dan takut, boleh pulak dia naik kepala kita! Syukurlah Carneyz baik-baik aje. Boleh trauma dengan pengalaman gini.

      Delete
  6. dah macam Jumanji lak Ujie dari cerita serangan haiwan nih hehe :)

    ReplyDelete
  7. kak kalau saya dah menangis dah ni...geram plk dgn pakcik bot tu blh lepak minum air buat macam terlupa ke apa tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boatman yang sepatutnya ambil kami tu - orang muda. Entah apa sebabnya, lepas tu langsung tak hubungi minta maaf atau bagi penjelasan.

      Delete
  8. Alhamdulillah selamat wpun Sy dapat bayangkan keadaan cemas tu. Muka money tu pun Sy boleh bayang 😂 Bukan apa, anak kampung kan dulu2 pun selalu bertembung dgn monyet² liar di kebun getah hehe ..
    Alhamdulillah dapat refund dan penjimatan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Iyaa..Alhamdulillah selamat lari dari situasi mencemaskan kena kepung dengan monyet. Seram betul tengok taring gigi dia. Pengalaman yang tak dapat dilupakan 😅

      Delete
  9. Ish saya pulak yg geram dengan monyet2 tu.. kalau tak ada cctv kat situ mmg dah kena pukul dgn kayu la monyet tu hahaha... buka2 beg org ni kan hahahah :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang tak ada CCTV, tapi tak berani nak bertindak lebih. Kita berdua, monyet tu nanti ada geng dia. Tapi memang rasa geram dan berdendam jugaklah kat monyet tu 😂

      Delete
  10. Cantik gambar pemandangan laut tu..
    Syukur tidak diapa-apakan oleh monyet-monyet tu semua..
    Terima pada couple mat salih tu sudi share bot untuk balik..
    Lelaki muda pengendali bot tu sepatutnya lebih amanah dengan masa..
    Tapi apa-apapun itu satu pengalaman yang menarik dikongsi kepada kami..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah…mula-mula indah je tengok pemandangan. Tenang hati.
      Lepas tu…hmmm dengan bot tak sampai, kena serang dengan monyet.
      Pengalaman dengan rasa bercampur baur 😄

      Delete
  11. Babi hutan selalu keluar waktu malam. Babi janggut ni siang dia dah keluar. Monyet pula kalau bawa gang memang agak menakutkan. Dia suka kalau nampak plastik sebab selalu dalam plastik ada makanan.

    ReplyDelete
  12. Saya pun tak berani kalo hrs melawan monyet liar. Takut. Mereka suka agresif dan kuatirnya rabies kalo tergigit.

    Beruntunglah si bule tadi baik ya kak.

    Akhirnya saya liat babi berjanggut. Memang unik ada janggutnya begitu 😅.

    Oengakamn2 tak baik semasa traveling memang tak seharusnya bikin Serik. Justru kita bisa ambil pelajaran dari sana agar tak terulang lagi.

    ReplyDelete
  13. Syukurnya ketemu orang baik, gak kebayang nunggu lebih lama di sana, tau saja pan monyet liar, kalau sekedar ambil makanan sih gak apa,tapi kalau melukai orang kan takut juga,bahaya banget kalau sampai menyerang.

    ReplyDelete
  14. Alhamdulillah Puan Ujie dan yang lain-lain selamat daripada serangan monyet. Kalau saya serik atau ambil masa untuk pulih semula.

    ReplyDelete
  15. Pertama kali tengok dan tahu bab1 jenis macam tu. Kalau saya tak berani nak lalu pun. huhu...Monyet jenis agresif ni memang seram. Pandai pula dia buka zip. Macam dah biasa buat mengacau pengunjung je gayanya tu. Syukur ada orang baik hati. Ada hikmahnya tu.

    Cantik sungguh permandangan laut dengan langit membiru dari jeti dan jambatan tu.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****