Showing posts with label Taman Negara Bako. Show all posts
Showing posts with label Taman Negara Bako. Show all posts

Thursday, 15 August 2024

Serangan Monyet Agresif dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba



Sebaik keluar dari bilik penginapan, kelihatan sekumpulan babi berjanggut (bearded pig) sedang berkeliaran mencari makan di kawasan sekitar. Ada yang bersaiz besar dan ada yang bersaiz kecil. Pemandangan biasa di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Masa ni kami sedang berjalan menuju ke bangunan warna hijau untuk urusan daftar keluar. Terpaksa lalu dekat beberapa ekor babi yang sedang mencari makan berhampiran laluan pejalan kaki. Hapak sungguh baunya.

Selesai urusan daftar keluar, kami berjalan ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako. Semalam Encik Suami dah maklumkan kepada pengendali bot untuk ambil kami pada pukul 11 pagi. Bila tiba di jeti, pengendali bot maklumkan akan tiba lewat sedikit. Oklah.

Sementara menunggu, saya jalan-jalan memotret itu ini. Masa kami tiba semalam dalam keadaan hujan dan mendung, foto-foto jadi gelap dan tak menarik. Kali ini cuaca agak cerah, memang elok untuk merakam keindahan suasana di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Foto di atas merupakan sudut pandang dari jeti menghadap sungai (tempat laluan bot keluar/masuk) dan sebuah jambatan konkrit menuju ke laluan hutan.

Perhatikan paras air sungai yang tidak begitu tinggi, tetapi masih sesuai untuk laluan bot membawa pengunjung keluar/masuk. Jika paras air surut, pengunjung perlu naik/turun bot di kawasan pantai berhadapan dengan bangunan Park HQ. Tiada jeti, jadinya kita kena melangkah masuk dalam air. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
MasyaAllah 😍 Panorama indah lautan dan Gunung Santubong. Foto dirakam dari atas jambatan.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Sebelah kiri tu jeti tempat kami menunggu bot. Masa ni cuma kami berdua sahaja yang sedang menunggu bot.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Deretan bot tanpa pengendali bersusun di sudut sungai.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Detik masa terus berlalu dan bot yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Tetapi yang tak ditunggu pula muncul di jeti - sekumpulan monyet. Mulanya cuma beberapa ekor monyet, datang memanjat pokok dan berjalan di jambatan. Tak ganggu kami.

Tiba-tiba, datang seekor monyet menghampiri tempat duduk kami. Saya bangun dari tempat duduk sebab dah mula rasa agak takut. Monyet tersebut semakin berani, duduk di tepi backpack besar kami. Encik Suami cuba menghalau tapi nampaknya monyet yang satu ni jenis melawan - berbunyi sambil membuka luas mulutnya dan menampakkan taring gigi. Ahh…sudah!

Si monyet bertindak lebih agresif, tangannya membuka zip bahagian utama backpack. Tapi gagal, mungkin sebab beg kami padat jadi sukar nak dibuka zipnya. Tak putus asa, si monyet cuba buka zip bahagian depan beg pula. Berjaya! Segera ditarik keluar isi beg - pek bungkusan kacang tanah yang kami beli sewaktu menaiki pesawat Firefly. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Terus dibawa lari ke atas.

Inilah si monyet yang agresif tu. Mujur kami dah makan sebahagian, cuma tinggal sebahagian saja lagi pek kecil kacang tanah yang menjadi rezeki si monyet. Satu persatu pek bungkusan kosong dicampak ke bawah.

Tak lama kemudian, datang pasangan mat salih. Lega sikit perasaan saya sebab ada orang lain di jeti. Kami berbual ringkas berkenaan hal si monyet.

Si monyet belum habis makan, datang pula sekumpulan monyet lain. Keadaan jadi ribut, masing-masing berebut baki bungkusan kacang tersebut. Mulanya berkejaran di atas, kemudian turun bergaduh sampai masuk kawasan berair - masa ni terselit jugak rasa lucu melihat monyet dalam keadaan basah.

Saya fikir, lepas habis makanan tersebut tidaklah kami diganggu lagi. Rupa-rupanya keadaan jadi bertambah menakutkan - kumpulan monyet tadi menghampiri dan berada di sekeliling kami berdua dan pasangan mat salih tadi. Nampaknya monyet-monyet ini cuba nak dapatkan makanan dari beg-beg kami. Suasana agak tegang, tapi tak mampu nak berbuat apa cuma berdoa segalanya segera berakhir. 

Mujurlah ada sebuah bot tiba. Saya sangkakan pengendali bot kami, tapi nampaknya ia bot yang akan membawa pasangan mat salih. Kecewa dan rasa geram dengan pengendali bot kami yang tidak kunjung tiba. Dalam keadaan terdesak kerana takut dengan ancaman monyet yang masih tak berganjak, saya minta dengan pakcik pengendali bot untuk naik bot sekali. Tapi katanya dia tak boleh izinkan sebab bot sudah dibayar khas untuk pasangan mat salih ni. Iyalah, sama macam kami dah bayar bot untuk berdua tapi botnya tak muncul. Pakcik pengendali bot kata, lelaki muda pengendali bot kami tadinya dilihat ada sedang minum di terminal. Jadinya tak pasti kenapa dia tak bergerak ambil kami seperti dijanjikan.

Memahami situasi kami, pasangan mat salih tadi ajak kami naik sekali. Sebaik saja saya naik bot, lelaki mat salih kata kepada saya “YOU’RE SAFE!”. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Terima kasih Allah yang telah membantu kami. Fuh lega!

Sampai saja di jeti Terminal Bako dan keluar dari bot, Encik Suami hulurkan wang nilai tambang bot kami kepada mereka. Kadar tambang RM100 satu bot sehala, kami naik empat orang jadinya RM25 seorang. Selepas itu Encik Suami terus ke kaunter syarikat bot untuk minta refund kerana bot tidak muncul selepas 45 minit dari masa dijanjikan, juga kami terpaksa naik bot lain bagi menyelamatkan diri dari serangan monyet.

Kami diminta menunggu seketika, staf kaunter sedang cuba menghubungi pengendali bot bagi mendapatkan kepastian. Sementara itu, kami duduk makan di sebuah gerai di terminal. Alhamdulillah sedap mi goreng ni, bagai mengubat perasaan saya yang baru terlepas dari dua hal yang tidak menyenangkan tadi.

Alhamdulillah, staf kaunter kembalikan wang kami sebanyak RM100. Tadi dah bayar RM50 kepada pasangan mat salih, jadinya kami jimat RM50 bagi tambang bot balik.

Antara hikmah yang diperolehi disebabkan dua hal tadi - kami dapat penjimatan RM50 tambang bot balik dan kami dapat pengalaman berhadapan dengan monyet agresif (menjadikan kami akan lebih berhati-hati selepas ini). Menerima kebaikan orang (pasangan mat salih) juga membuatkan saya sedar bahawa hidup perlu saling berbuat baik tak mengira bangsa dan agama. Bukanlah selama ini tak sedar, tapi berbeza rasa sedar apabila kita sendiri mengalami sesuatu peristiwa.

Catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak berakhir di sini. Serik? Oh tidak! Setiap yang berlaku menjadi pengalaman hidup buat mematangkan diri dan menjadikan kita manusia yang lebih baik insyaAllah. Keindahan alam dan kepelbagaian flora fauna di Taman Negara Bako begitu mengujakan! InsyaAllah ada rezeki saya akan kembali lagi, masih banyak laluan hutan yang belum sempat kami teroka dan nikmati suasananya.



Ke mana kami selepas ini? Kereta sewa kami dipandu menuju ke daerah Bau. Eksplorasi alam semula jadi Sarawak diteruskan.







Wednesday, 14 August 2024

Eksplorasi Hutan TNB | Laluan Teluk Delima



Sewaktu kunjungan kami ke Taman Negara Bako, terdapat tujuh laluan hutan (trail) yang dibuka kepada pengunjung (rujuk foto peta laluan hutan DI SINI) . Semalam petang kami sudah pun melakukan eksplorasi hutan laluan Teluk Pandan Besar, pagi ini kami memilih untuk ke Teluk Delima pula. Kami memilih laluan Teluk Delima disebabkan tempoh perjalanannya paling singkat. Kami tak boleh ambil masa lama sebab perlu daftar keluar penginapan selewat-lewatnya pukul 11 pagi dan sudah berjanji dengan orang bot untuk datang ambil kami.

Teluk Delima trail
Berbeza dengan laluan semalam (Teluk Pandan Besar) yang mana kami perlu menyeberangi sungai di jeti taman negara, laluan Teluk Delima terletak di bahagian belakang kawasan penginapan. Kami hanya perlu berjalan di atas platform kayu melewati kawasan penginapan sehingga masuk ke kawasan hutan.

Durian hantu Taman Negara Bako
Buah durian hantu.
Antara tumbuhan yang kami temui di kawasan hutan - pokok durian hantu. Bukan ‘hantu durian’ tau, itu lain. Ini memang namanya pokok durian hantu (nama saintifik : Coelostegia borneensis). Saya dimaklumkan, durian jenis ini tak boleh dimakan kerana tak ada isi. Maka sebab itu ia dipanggil durian hantu.

Tiba di suatu tempat, perjalanan kami terhenti. Bukan kami sahaja, tetapi para pengunjung lain semuanya berhenti. Rupa-rupanya ada sekumpulan monyet sedang menghalang laluan. Saya berbual ringkas dengan seorang pengunjung tempatan yang berada di hadapan saya. Menurutnya, guide mereka minta berhenti sebab kumpulan monyet tersebut agak agresif - bimbang menggigit dan berpotensi menyebarkan virus rabies yang boleh membawa maut.


LALUAN TELUK DELIMA
Permulaan laluan Teluk Delima terletak di sebelah kanan. Terdapat papan tanda arah tertera Teluk Delima dan Lintang, maksudnya bagi sesiapa yang nak ke Teluk Delima dan Lintang akan melalui laluan permulaan yang sama.

Teluk Delima trail
Permulaan laluan yang agak mencabar kerana perlu mendaki dengan memijak akar pokok yang berselirat di tanah. Cantik pula saya tengok rupa akar berselirat begini.

Teluk Delima trail
Warna dedaun di lantai hutan yang menarik perhatian saya.

Teluk Delima trail
Matahari pagi memancar lembut menerusi celahan pokok.

Teluk Delima trail
Kami tiba di satu persimpangan - ke kanan menuju laluan Teluk Delima, ke kiri menuju laluan Lintang. Perhatikan juga warna penanda arah, satu warna merah dan satu lagi warna biru putih. Sebelum tiba di simpang ini, pengunjung hanya nampak tanda warna merah (trail Lintang). Selepas ini barulah fokus melihat warna tanda arah biru putih (trail Teluk Delima).

Teluk Delima trail
Pantang jumpa batang pokok tumbang melintang di laluan, mesti rasa nak berhenti duduk 😄

Teluk Delima trail
Batu besar menambah keunikan laluan hutan di sini.

Kami tiba di penghujung laluan. Hati-hati, ada buaya! Terus mata saya melilau perhati sekeliling.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Pemandangan unik pokok-pokok di Teluk Delima.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Memikirkan amaran buaya, tak berani saya nak berjalan ke hujung sana. Cukuplah memerhati dari jauh.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Batu besar dengan bentuk unik.

Kami berada di sini cuma seketika. Kami segera berpatah balik sebab mengejar masa. Berdasarkan info, laluan Teluk Delima merupakan kawasan pemerhatian monyet belanda. Tapi kami gagal mengesan kelibat monyet belanda sepanjang berada di laluan Teluk Delima. Mujurlah tadi pagi dah berpeluang tengok dengan jelas, taklah rasa kecewa.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Rekod aktiviti jungle trekking ke Teluk Delima.

Alhamdulillah dapat juga kami melakukan aktiviti eksplorasi hutan sebelum beredar dari Taman Negara Bako. Laluan Teluk Delima tak begitu sukar seperti laluan Teluk Pandan Besar atas faktor bentuk muka bumi dan jarak, tetapi ada cabarannya tersendiri.

Keluar dari hutan, kami balik ke bilik penginapan - bersihkan diri dan kemas barang untuk mendaftar keluar. Kemudian kami berjalan menuju ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako.

Masa nak balik ni, terjadi dua hal yang tak menyenangkan. InsyaAllah catatannya di entri akan datang.







Sunday, 11 August 2024

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Ketiga | Ahad, 19 Mei 2024]

Hari kedua kami berada di Taman Negara Bako, pagi ini kami akan melakukan aktiviti jungle trekking ke Teluk Delima. Sebelum masuk hutan, kami bersarapan di Kafe Kerangas.

8.34 pagi
Di sini tak disediakan nasi lemak (sarapan kegemaran saya), jadinya saya cuma makan telur dadar dan gorengan macam cucur udang. Cukuplah buat alas perut dan pemberi tenaga pagi ini.


Monyet Belanda (Proboscis Monkey)
Sedang kami bersarapan, seorang lelaki (melihat kepada pakaiannya, mungkin renjer taman negara) datang menghampiri kami dan memaklumkan kehadiran seekor monyet belanda di kawasan berhampiran kafe. Menurutnya lagi, kami boleh tinggalkan sekejap makanan dan barang di kafe untuk pergi melihat monyet belanda.

Kami menurut saranannya - tinggalkan makanan dan barang, terus menuju ke suatu arah. Dari jauh kelihatan beberapa orang pengunjung mat salih sedang berkumpul di bawah sebatang pokok sambil memerhati ke atas.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Sila klik foto untuk paparan lebih jelas.
Nun di atas sana kelihatan seekor monyet belanda sedang mencari makan. Kami semua memerhati dalam keadaan senyap supaya monyet belanda tak merasa terganggu dengan kehadiran manusia. Masing-masing tak melepaskan peluang untuk merakam foto dan video gelagat monyet yang memiliki hidung besar dan mancung ini.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Panjang sungguh ekornya.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Monyet belanda mempunyai perut besar.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Pemakanan monyet belanda - tumbuh-tumbuhan seperti pucuk daun muda.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Perhatikan mata dan hidungnya.

Monyet Belanda (Proboscis Monkey) di Taman Negara Bako
Monyet belanda merupakan spesis endemik di Kepulauan Borneo - hanya ditemui di Borneo dan tidak ditemui di tempat lain. 

Nama tempatan : Monyet belanda, monyet probosis, monyet bangkatan
Nama inggeris : Proboscis monkey, long-nosed monkey
Nama saintifik : Nasalis larvatus


Video berdurasi 0:35 minit.

Alhamdulillah kami berpeluang melihat sendiri rupa monyet belanda. Rasa macam tak lengkap kunjungan ke sini kalau tak dapat melihat dengan jelas monyet yang unik ini. 

Selepas itu kami kembali ke ruangan kafe untuk sambung makan sarapan. Sebaik kami tiba, sekumpulan monyet yang agak agresif berada di luar bangunan. Pekerja kafe bergegas menutup pintu kaca di bahagian hadapan dan sisi kafe. Kalau tak tutup, habislah makanan dalam kafe diambil monyet. Kami juga ada pengalaman buruk dengan kumpulan monyet agresif, nanti saya ceritakan dalam catatan akhir trip ke Taman Negara Bako ini.



Bersambung catatan seterusnya - eksplorasi hutan di laluan Teluk Delima.






.

Thursday, 8 August 2024

Aktiviti Memerhati Hidupan Liar Pada Waktu Malam

Sambungan catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching. Entri sebelum ini - Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching.


Aktiviti kami pada waktu malam di Taman Negara Bako - berjalan malam (night walk). Tak perlu buat tempahan awal, peserta hanya perlu hadirkan diri di kaunter pendaftaran pada pukul 7.45 malam. Tulis butiran diri di buku pendaftaran aktiviti night walk dan buat bayaran sebanyak RM15 seorang.

7.38 malam
Sebelum menyertai aktiviti night walk, saya makan malam di Kafe Kerangas. Encik Suami masih kenyang sebab petang tadi dah makan mi goreng yang dibeli sewaktu sarapan pagi di Satok. Saya pulak sebenarnya tak ada selera nak makan - mungkin sebab keletihan, tapi terpaksa makan juga sebab perut rasa lapar. Hidangan makan malam disediakan secara bufet, bayar apa yang diambil sahaja. Satu senduk mi goreng (dalam foto) berharga RM3. Bagi menambah selera, saya order telur mata.


Aktiviti Berjalan Malam (Night Walk)
Aktiviti ini bertujuan memerhati hidupan liar pada waktu malam. Sebelum aktiviti bermula, semua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat berkenaan keselamatan dan pengenalan haiwan yang ada di sekitar taman negara.

Ada lebih kurang 25 orang peserta termasuk saya dan Encik Suami. Semuanya warga asing, kecuali kami orang Malaysia. Berdebar jugalah sebab dah sekian lama tak pernah ikut night walk dan sekumpulan dengan orang asing pula. Tapi sebab masih di bumi Malaysia dan guide orang tempatan, tidaklah rasa terasing sangat.

Night walk Taman Negara Bako
Aktiviti bermula kira-kira pukul 8.05 malam. Kami dibahagi kepada tiga kumpulan, setiap kumpulan ada seorang guide. Masing-masing bawa lampu suluh sendiri dan juga peralatan lain seperti binokular dan kamera.

Untuk trip ke taman negara ni saya bawa dua jenis lampu - headlamp dan lampu suluh mini (saiz besar jari). Lampu suluh Encik Suami dah dicuri (baca kisahnya DI SINI), jadinya saya beri guna headlamp saya. Saya pula gunakan lampu suluh mini, lebih mudah nak on/off sebab saya juga pegang handphone untuk merakam foto.

Berikut merupakan foto-foto hidupan liar yang kami temui. Ada yang tak berjaya dirakam kerana kedudukan terlalu tinggi atau hasilnya kabur. Sila klik pada foto untuk paparan lebih jelas ya.

Night walk Taman Negara Bako
Ular kapak (pit viper). Foto waktu siang boleh lihat DI SINI.

Night walk Taman Negara Bako
Kubung (flying lemur). Saiz lebih kecil berbanding yang kami temui siang tadi.

Night walk Taman Negara Bako
Kalau tak silap, ini ular lidi. Tak berbisa tapi tetap rasa seram bila terjumpa.

Night walk Taman Negara Bako
Tinggi biawak ni memanjat 😄

Night walk Taman Negara Bako
Entah apa nama. Besar jugak saiznya.

Night walk Taman Negara Bako
Pepatung.

Night walk Taman Negara Bako
Katak kecil.

Night walk Taman Negara Bako
Rupa macam ketam kecil.

Night walk Taman Negara Bako
Labah-labah cantik warna hitam kuning.

Night walk Taman Negara Bako
Tiba di suatu kawasan berair. Terdapat aliran mini air terjun dari celahan batu besar. Ada banyak ikan keli, ikan kecil (entah spesis apa) dan kura-kura. 

Night walk Taman Negara Bako
Belalang ranting.

Night walk Taman Negara Bako
Unik rupa serangga ni, berbintik putih dan ada banyak ‘kaki’.

Night walk Taman Negara Bako
Penemuan paling rare - burung hantu! Menurut guide, agak susah nak jumpa burung hantu pada kedudukan rendah begini.

Night walk Taman Negara Bako
Sejenis lagi serangga yang tak pernah saya temui. Entah apa namanya. Guide memang ada beritahu nama, tapi kadang tak berapa dengar kalau berada pada kedudukan belakang kumpulan.


Alhamdulillah selesai aktiviti memerhati hidupan liar yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit. Tak terasa lama dan saya begitu seronok dapat ikut serta aktiviti begini.

Ikut aktiviti begini juga mengajar saya satu hal - saling membantu dan bertolak ansur walau tak saling mengenali. Kalau ada bahaya seperti lubang, orang depan saya akan suluh pada lubang tersebut dan pandang saya (maksudnya suruh hati-hati lubang). Setiap kali jumpa hidupan liar, masing-masing bergilir memerhati dan merakam foto. Juga ada yang tolong suluhkan dan kadang ada juga yang rajin tolong sampaikan maklumat berkenaan hidupan tersebut dari guide di hadapan.


Berborak Dengan Penghuni Bilik Sebelah
Penghuni bilik sebelah kami, iaitu dua orang perempuan warga United Kingdom (UK) ikut sama dalam aktiviti night walk tadi. Sebaik kami tiba di penginapan, mereka berdua pun baru tiba dan duduk berehat di bangku beranda.

Kami sama-sama berehat di luar sambil berborak. Rupa-rupanya mereka berdua merupakan anak dan emak. Si anak bekerja di Singapura, emaknya datang dari UK bercuti tiga bulan untuk melawat anak sambil berjalan-jalan di Sabah dan Sarawak. Emaknya pertama kali berkunjung ke Malaysia dan kagum dengan keindahan bumi Borneo.

Saya juga ditanya, datang sini sebab minat alam semula jadi atau saja jalan-jalan? Kalau tak kerana minat, mana mungkin saya sanggup bermalam di kawasan taman negara 😁

Sebelum beredar masuk bilik masing-masing, si anak sempat ucap ‘selamat malam’. Tersenyum lebar saya mendengar orang putih cakap Melayu.


Rekod steps saya pada hari ini, paling tinggi sepanjang trip di Kuching. Terima kasih Allah yang memberi kudrat dan kesempatan buat kami 💙

Aktiviti eksplorasi hutan masih belum tamat, esok paginya kami jungle trekking ke Teluk Delima pula. InsyaAllah bersambung pada catatan seterusnya.







Tuesday, 6 August 2024

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching

Sambungan catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak pada bulan Mei lalu. Entri sebelum ini - Eksplorasi Hutan TNB | Laluan Teluk Pandan Besar (Bahagian Akhir).

__

Selesai urusan daftar masuk dan ambil backpack besar di bilik simpanan beg, kami berjalan menuju ke kawasan penginapan yang terletak di bahagian belakang bangunan Park HQ.

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Deretan penginapan yang dihubungkan dengan platform kayu. 

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Penginapan kami - Forest Lodge Type 6 House 2. Rupa-rupanya bilik sebelah dihuni oleh pengunjung yang naik bot bersama kami pagi tadi - dua orang perempuan warga UK (United Kingdom). Mereka sedang duduk berehat di beranda sewaktu kami baru tiba. Kami bertegur sapa ringkas dan segera masuk bilik untuk berehat selepas penat jungle trekking. Hajat nak jalan-jalan di pantai depan bangunan Park HQ pada waktu petang juga terpaksa dibatalkan. Kami perlu berehat sebab waktu malam akan ikut serta aktiviti night walk.

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Beginilah rupa bilik penginapan kami. Sebuah bilik yang luas tetapi tidak begitu kemas dan tidak bersih. Mujur juga saya dah baca ulasan di internet, jadinya tidaklah saya terkejut dapat bilik begini 😅

Nak pijak lantai pun rasa tak selesa, melekit dan rasa berpasir. Syukurlah cadar nampak bersih, bolehlah buat tidur walaupun tilamnya tak selesa sebab lembik. Bila duduk atau baring jadi tenggelam dan susah nak bangun semula. Mujurlah cuma menginap satu malam.

Penginapan di sini tak sediakan tuala mandi dan keperluan asas mandian, tapi tak jadi masalah sebab dah dimaklumkan lebih awal dan kami memang sentiasa bawa barang keperluan sendiri.

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Bilik air luas tetapi tidak bersih, nampak macam dah lama tak diberus lantai dan dindingnya. Juga perkara-perkara lain yang tak menyenangkan, tapi tak payahlah tulis panjang-panjang.

Seperti dimaklumkan oleh petugas kaunter pendaftaran, air paip di sini berwarna kemerahan (coklat kemerahan) kerana punca air dari hutan sekitar. Hutan kerangas dengan air kemerahan merupakan hutan paling luas di Taman Negara Bako, jadi tak hairanlah mengapa air paip juga berwarna kemerahan. Nak tengok warnanya bagaimana? Boleh lihat di entri INI.

Walaupun dah tahu warna air begitu, tapi kerap kali juga saya terkejut bila melihat air warna kemerahan keluar dari kepala paip dan sewaktu flush tandas 😄. Rasa air kemerahan ini sedikit kelat dan terasa sedikit melekit di kulit.

Bilik penginapan kami - Room 1.

Pemandangan dari tingkap bilik kami. Boleh nampak bangunan Park HQ.

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Suasana di luar pada waktu malam.

Lupa nak ambil foto penginapan kami pada waktu siang, cuma foto ini yang ada. Hasil foto oleh Encik Suami - kaki saya ‘hilang’ dan bangunan penginapan tak nampak penuh. Tak boleh nak marah, kena sabar je 😆

Penginapan di Taman Negara Bako, Kuching
Foto pada pagi hari kedua - saya sedang duduk bersantai di bangku beranda, terkejut tengok di luar beberapa ekor babi berjanggut (bearded pig) sedang berkeliaran mencari makan. Tapi tak perlu takut sebab babi jenis ni tak ganggu orang dan cuma berkeliaran di kawasan tanah.

__

Secara keseluruhan, menurut pendapat saya - penginapan di Taman Negara Bako memang tidak menawarkan keselesaan tetapi menawarkan peluang penginapan di dalam kawasan taman negara dengan harga rendah. Setakat pengetahuan saya, tiada taman negara di Semenanjung Malaysia yang mampu menawarkan peluang penginapan di dalam kawasan taman negara dengan harga rendah. Boleh maklumkan saya jika ada ya.

Harga bilik penginapan kami cuma RM50/malam. Kalau perlu naikkan sedikit harganya untuk tambah baik bab kebersihan, itu lebih bagus.

__

Cara tempahan penginapan | Bagi yang berminat, boleh buat tempahan secara online di laman ebooking.sarawak.gov.my. Buat tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan. Saya buat tempahan kira-kira tiga minggu sebelum tarikh menginap.



…bersambung catatan seterusnya - aktiviti night walk.