Friday 23 August 2024

JJCM Satun, Thailand | Krua Tangke, Cafe Amazon & 7-Eleven


Seperti selalunya apabila berjalan ke tempat orang, saya suka melihat ke luar kenderaan memerhatikan suasana kehidupan masyarakat setempat. Majoriti penduduk di Satun merupakan Melayu Muslim, maka tak hairanlah jika kita dapat melihat masjid di kanan dan kiri jalan, juga orang-orang perempuan bertudung.

Sedikit perkongsian sejarah Satun :
Sehingga tahun 1813, Satun atau Setui masih merupakan sebuah mukim dalam negeri Kedah. Akibat perjanjian British dengan Siam pada tahun 1909, British menyerahkan Setui kepada Siam. Bertitik tolak daripada peristiwa bersejarah itu, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di Thailand Selatan dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Setui yang berasal daripada nama sejenis buah, ditukar kepada Satun. Sama seperti Singgora yang ditukar menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala, dan Menara menjadi Narathiwat. (Sumber dan bacaan lanjut di thepatriots.asia)


⏵ KRUA TANGKE, TANYONG PO (TANJUNG PAUH)
Memandangkan ini kali pertama kami jalan-jalan cari makan (JJCM) di wilayah Satun, kami ikut saja cadangan mereka yang dah biasa ke sini untuk memilih lokasi makan-makan.

Kami ke Krua Tangke untuk menikmati hidangan tengah hari. Lokasi restoran makanan laut ini terletak kira-kira 56 km dari pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan. Kami mengambil masa hampir satu jam untuk tiba di sini.

Krua Tangke terletak di tepi pantai.

Restoran ini menghadap Laut Andaman. Jika tengok peta, kedudukannya tidak begitu jauh dari Pulau Langkawi. 

Cantik pemandangan pantai dan lautan di sini. Masa ni air laut semakin surut, dapatlah kami berjalan-jalan dan berfoto di pantai.

Pilih dan sauk sendiri hasil laut segar untuk dimasak, kemudian timbang dan pilih jenis masakan. Antara yang diambil - udang kara (lobster) dengan harga 2,200 Baht/kg (nilai tukaran semasa RM286/kg).

Ahli konvoi kami - 12 orang dewasa dan dua orang kanak-kanak/bayi. Selesa makan ramai-ramai di sini, ruang terbuka yang luas dan kedudukan meja yang agak privasi (berjarak jauh dengan meja lain).

Sementara menunggu hidangan dimasak, kami nikmati homemade ice cream dalam bekas cawan kecil. Saya kongsi makan dengan Encik Suami. Dalam setiap bekas tersedia peket kecil perasa untuk ais krim. Encik Suami main tuang semua, suapan pertama saja dah membuat saya terkejut. Ais krim rasa masam pedas! Rasa masam tu memang sedaplah, tapi rasa pedas tu memang terkejut jugaklah. Orang lain dah tau, tuang sikit-sikit. Kami tak tau, main tuang je 🤣

Tak lama menunggu, satu demi satu hidangan tiba.

Macam-macam ada - ikan kerapu, ikan siakap, udang lipan, udang kara, ketam, sotong dan beberapa jenis lauk sayuran. Semuanya nampak menarik dihidang dengan hiasan dedaun dan bunga telang. Masing-masing berselera makan dan menambah, saya cuma mampu makan sedikit saja. Bukan tak kena selera, tapi saya rasa kenyang pulak lepas tengok makanan terlampau banyak atas meja 😄

Antara produk jualan sampingan di sini - air nira dan belacan. Air jernih dalam botol tu ditulis sebagai coconut flower, rupa-rupanya air nira. Biasa kita tengok air nira tidaklah jernih begini kan? Belacan tu pulak ada dua jenis, satu berwarna gelap dan satu lagi agak cerah. Tak pasti apa bezanya, kami tak tanya lanjut sebab tak membeli. Saya tertarik dengan cara pembungkusan belacan begini - kemas dan menarik untuk dijadikan oleh-oleh.

Krua Tangke - restoran makanan laut yang cukup bersih selesa, hidangan memuaskan selera dan servisnya pantas. Paling seronok, dapat makan sambil disapa hembusan angin laut. Kalau kalian nak ke sini, buat carian Google Maps ‘Krua Tangke Halal Food’.


⏵  MASJID NURUL IHSAN
Selesai acara utama iaitu makan tengah hari di Krua Tangke, konvoi kami berpatah balik menuju ke pintu sempadan negara. Dalam perjalanan, ada beberapa tempat lagi kami singgah.

Kami singgah menunaikan solat jamak Zohor dan Asar di Masjid Nurul Ihsan. Nak baca tulisan Thai tak pandai, syukurlah pandai baca tulisan Jawi bolehlah tahu nama masjid ni.


⏵ CAFE AMAZON
Kami berhenti di sebuah stesen minyak, saya tak ambil pulak info nama stesen minyak. Tapi di sini terdapat pelbagai kemudahan - tandas, surau, Cafe Amazon dan 7-Eleven.

Kami singgah mengopi di sini. Minuman saya white chocolate macchiato, harganya 60 Baht. Masa ni hujan turun membasahi bumi Satun, memang sesuailah menghirup minuman panas sambil berborak.


⏵ 7-ELEVEN
Sesudah mengopi, kami bergerak ke bangunan sebelah yang menempatkan kedai 7-Eleven. Walaupun cuma masuk 7-Eleven, tapi meriah jugaklah acara membeli-belah kami. Nak beli bedak berbincang dulu, nak beli burger pun pakat berbincang jugak 😄

Saya menambah koleksi bedak kecil jenama POND’S. Sebelum ini dah beli satu jenis semasa ke Bangkok, kali ni tambah lagi dua jenis. Senang nak letak satu di rumah, satu dalam beg tangan dan satu lagi dalam beg telekung travel. Saya lebih selesa pakai translucent powder berbanding compact powder.

Beli jugak beberapa jenis burger CP untuk merasa walaupun saya kurang suka makan burger. Saya makan sewaktu di rumah, panaskan guna microwave dalam 20 saat kemudian masukkan sekejap dalam air fryer suhu 160 darjah untuk rasa garing sedikit. Memang sedap, cuma rasa agak masin pada deria saya. Bolehlah sesekali nak merasa.


Alhamdulillah konvoi kami selamat kembali di pintu sempadan Wang Kelian-Wang Prachan pada pukul 5.39 petang waktu Malaysia.







21 comments:

  1. bestnya kak pergi overseas balik hari,teringat dulu saya pernah tinggal di Rantau Panjang sempadan Thailand,time tu ramai yang ulang alik Malaysia-Thailand naik perahu je
    terkejut tengok tulisan pada bekas bedak tu kak...hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wow...tu lagi best, naik perahu je 😁

      Hahaha...saja letak gambar tu, sebab akak pun terkejut masa mula² nampak kat sana.

      Delete
  2. Menarik trip JJCM ni. Berapa anggaran keseluruhan harga makanan tu Kak Ujie? Mesti lebih murah berbanding di Malaysia kan. Dapat makan tepi laut lagi la syok. Satu pengalaman yang manis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kami makan style mewah. Total 9,200 baht / RM1,180 😅. Hampir habis semua makanan dihidang, berbaki sikit je bungkus bawa balik.

      Alhamdulillah memang pengalaman manis, pertama kali berkonvoi di luar Malaysia dan dengan orang-orang yang agak baru dikenali 😀

      Delete
  3. Perjalanan yang melelahkan tapi sangat menyenangkan, berkumpul dan menikmati kebersamaan di tambah makan" nikmat luar biasa...bedak Pond's dimana"ada ya..saya suka wanginya, untuk jalan jauh lebiih suka yg bedak Compact.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sebenarnya untuk jalan jauh memang lebih mudah dan praktikal guna bedak compact. Cuma saya kurang suka rasa seperti tebal/berat di kulit wajah, mungkin belum jumpa yang selesa di wajah.

      Delete
    2. Mungkin maksudnya yg two way cake ya sis yg agak berat karna ada foundy nya..saya cuman yg Compact biasa..gak pake foundy..berat sih..gak suka 😁

      Delete
  4. pergghhhh sedapnyaaaaaa lauk paukkkkk
    ni yang buat sy rasa nak repeat pergi thailand lagi ni
    waaaaa
    7E sana sangat bahaya tkt msk tak jumpa pintu keluar hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. 7E sana tempat kegemaran orang Malaysia shopping 😁

      Delete
  5. Terkejut tengok botol powder. Tapi dah nama dia kan.
    Seronoknya day trip ke seberang sana.
    Makanan semua tu aihhh kecur air liur.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ha'ah, nama jenama 😅
      Dekat je, bolehlah buat day trip setakat nak makan.

      Delete
  6. meriah nya gee makanan2 tu.... ok kita berkenan kat lobster tu hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dah boleh tukar haluan makan-makan di Satun pulak 😁

      Delete
  7. Ramai betul makanan yang dihidangkan

    ReplyDelete
  8. Kalau dah ramai2 memang kena meriahlah makanannya tu. Nampak macam beberapa hidangan dihias bunga telang, berseri2.

    ReplyDelete
  9. Mewahnya makanan laut ni....oh kedai seafood ni berdekatan dengan langkawi ya?. Ya pernah naik boat dan bersiar di laut andaman Langkawi ni. Tiba satu tempat...phone detect kami berada di Thailand. Padehal tak masuk pun cuma sempadan je. Dan dari situ nampak tanah Thailand.

    ReplyDelete
  10. Meriah dan berbaloi bila makanan tu sedap. Tempat makan pun selesa.

    Pemandangan ditepian laut pun nampak cantik..

    ReplyDelete
  11. Aisssh terliur liat aneka seafood itu 🤤🤤🤤❤️. Apalagi masih hidup saat dipesan. Segar sangaaat.

    Ini yg saya suka kalo ke destinasi tepi laut. Banyak tempat makan seafood yg segar dan sedap.

    ReplyDelete
  12. Bestnya makan-makan di restoran dekat dengan pantai. Selain dapat makan seafood fresh, dapat jamu mata dengan permandangan yang cantik. Macam-macam menu ada. Mana tak berseleranya makan. Rezeki dapat turun ke pantai bila air surut. Beza air nira dia kan, jernih tak macam di Malaysia berwarna coklat perang biasanya. 7E tempat wajib singgah kalau ke Thailand. Banyak benda menarik.

    ReplyDelete

*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊

Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****