Showing posts with label Trip Ke Kuching Sarawak Mei 2024. Show all posts
Showing posts with label Trip Ke Kuching Sarawak Mei 2024. Show all posts

Monday, 23 December 2024

Catatan Hari Terakhir Trip ke Kuching

[Catatan Trip ke Kuching - Hari Keempat | Isnin, 20 Mei 2024]

Hari terakhir kami di Kuching, Sarawak. Keadaan kaki Encik Suami semakin teruk, kaki kirinya bertambah sakit sehingga sukar nak melangkah. Makanya, aktiviti yang dirancang pada pagi ini dibatalkan.


SUNTIKAN HYALGAN
Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, saya buat carian lokasi klinik terdekat. Syukurlah terdapat sebuah klinik berhampiran hotel.

Kami tiba di Klinik Perdana kira-kira pukul 9.10 pagi. Tiada pesakit lain menanti, dapatlah Encik Suami berjumpa doktor dengan segera. Setelah pemeriksaan dilakukan, doktor mencadangkan agar Encik Suami mendapatkan suntikan bagi merawat buku lali yang sakit.

Info berkenaan suntikan.
Doktor beri dua suntikan - satu di bahagian berhampiran pelipat siku kiri dan satu lagi suntikan di bahagian pergelangan kaki kiri. Caj rawatan dan suntikan sebanyak RM399.

Terkejut mendengar cajnya πŸ˜…, maklumlah kami tak pernah ada pengalaman mendapatkan suntikan begini. Kami perlu bayar sendiri terlebih dahulu sebab bukan klinik panel - bayar dahulu kemudian claim. Alhamdulillah selepas itu, claim lulus penuh tanpa masalah.


LAKSA SARAWAK DAN NASI GORENG DABAI
Dari klinik, kami ke King Laksa Sarawak untuk menikmati hidangan pagi. Semalam dah ke sini, dah tahu tempatnya senang terus pergi tak payah mencari mana nak makan.

Laksa Sarawak. Semalam ambil pilihan sotong, kali ini ambil yang biasa je.

Pertama kali mencuba nasi goreng dabai. Warna purple gelap itulah buah dabai. Mungkin ini buah dabai yang dah dibuat jeruk sebab rasanya masin. Tak habis kami makan nasi goreng ni sebab rasa sangat masin.


KEK LAPIS WARISAN
Rugi pula kalau dah sampai Kuching tapi tak membeli kek lapis Sarawak. Saya buat carian kedai kek lapis berhampiran lokasi kami dan kemudiannya memilih untuk ke Kek Lapis Warisan.

Tak susah mencari sebab kedainya terletak di tepi jalan besar. Sebuah bangunan dengan ruang parkir yang sederhana luas. Rupa-rupanya, bukan saja ada kedai jualan tetapi ada ruang demo pembuatan kek lapis. Menarik!

Kami masuk ke kedai terlebih dahulu, selesaikan hal utama iaitu nak membeli kek lapis Sarawak. Masa ni keadaan kaki Encik Suami semakin membaik, rasa sakit semakin berkurangan. Jadinya bolehlah kami bersama-sama memilih dan membeli kek lapis.

Tester pelbagai perisa kek lapis Sarawak. Banyak sungguh sampai tak tau mana satu nak dicuba πŸ˜€

Dah merasa, barulah kami membeli. Terdapat dua pilihan, iaitu kek lapis biasa dan kek lapis premium. Harga bermula dari RM10 sehingga RM30.

Keropok kering buah dabai pun ada dijual.

Siap membeli di dalam kedai, kami ke ruang sebelah pula.

Selain menyaksikan pembuatan kek lapis Sarawak, pengunjung juga boleh ikut mencuba. Tapi saya lebih suka merakam foto, tak rajin nak mencuba buat πŸ˜„

Seronok tengok, macam senang je tengok orang buat selapis demi selapis. Tapi sebenarnya tidaklah mudah, lagi pula kena tahan bahang panas oven.

Info Kek Lapis Warisan.


MASJID JAMEK NEGERI SARAWAK
Dari Kek Lapis Warisan, kami menuju ke Masjid Jamek Negeri Sarawak bagi menunaikan solat jamak Zohor-Asar dan menziarahi masjid yang menjadi mercu tanda di Petra Jaya, Kuching.

Dari jauh kelihatan kubah masjid tersegam indah bagai menyambut kehadiran kami.

Binaan menara berdiri megah menambah keunikan masjid ini.

MasyaAllah cantik sungguh reka bentuk dalaman masjid ini.

Sudut telekung ni pun nampak menarik dan telekung digantung kemas.

Masjid dengan binaan dua tingkat ini bukan sekadar menjadi tempat ibadah solat, tetapi ia juga menjadi tempat bagi pendidikan awal kanak-kanak. Sewaktu saya nak berwuduk di tingkat bawah, saya menyaksikan kumpulan kanan-kanak kecil berpakaian seragam sedang menggosok gigi beramai-ramai. Bagus sungguh!


MOMS LAKSA KAFE
Lokasi JJCM (jalan-jalan cari makan) kami yang terakhir di bandar raya Kuching - Moms Laksa Kafe yang terletak di Jalan Hj. Taha.

Selagi ada di Kuching, selagi tu tak jemu menikmati laksa Sarawak πŸ˜€. Walaupun nama menu sama, tapi terdapat perbezaan rasa di tempat makan yang berbeza.


TERBANG PULANG MENAIKI PESAWAT FIREFLY
Pukul 4 petang, kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Kereta sewa kami pulangkan di lokasi sama sewaktu kami ambil. Sewaktu serahan semula, kereta sewa akan diperiksa oleh staf syarikat Ikram Transport. Semuanya dalam keadaan baik, deposit dikembalikan secara online.

Pesawat yang kami naiki berlepas ke Pulau Pinang pada pukul 6.40 petang. 

Sampai di Pulau Pinang, perjalanan diteruskan menuju ke Perlis. Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah sebelum pukul 12 tengah malam.


Catatan trip ke Kuching berakhir di sini. Trip yang saya rasa sangat puas sebab dapat menikmati alam semulajadi - hutan dan gua. Ada beberapa tempat yang tak sempat kami pergi kerana masalah kaki Encik Suami, antaranya Semenggoh Wildlife Centre dan Borneo Cultural Museum. InsyaAllah ada kesempatan kami pasti akan berkunjung lagi ke negeri Bumi Kenyalang ini.

Berkenaan kaki Encik Suami pula, nampaknya suntikan yang diambil sangat berkesan. Selepas beberapa jam suntikan, kaki Encik Suami kembali pulih. Esok harinya selepas balik dari Kuching, Encik Suami dapat meneruskan trip kerja ke Bangkok selama lima hari tanpa sebarang masalah kaki. Alhamdulillah.







Tuesday, 17 December 2024

King Laksa Sarawak dan Amamas Boutique Hotel, Kuching

Dari Fairy Cave Nature Reserve di Bau, kami kembali ke bandar raya Kuching. Kereta sewa dipandu menuju ke lokasi restoran King Laksa Sarawak yang terletak di Metrocity Matang, Kuching. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam dengan jarak kira-kira 45 km.


KING LAKSA SARAWAK, METROCITY MATANG
Restoran ini terletak di deretan bangunan kedai di sebuah kawasan yang nampaknya baru dibangunkan. Tak susah mencari lokasinya dengan berpandukan aplikasi Google Maps. Ruang parkir juga banyak.

Terdapat pilihan untuk makan di bahagian dalam atau di luar restoran. Kami memilih duduk di bahagian luar sebab saya rasa kurang selesa nak masuk dengan keadaan seluar yang kotor selepas aktiviti eksplorasi gua tadi.

King Laksa Sarawak
Terdapat banyak pilihan variasi laksa Sarawak, siap boleh pilih jenis mi.

King Laksa Sarawak
Pilihan mi kolok. Sup udang pun ada juga di sini.

King Laksa Sarawak
Minuman pilihan kami - yang sejuk berais tu teh 3-layer, dalam buku menu ditulis sebagai ‘Teh C’. Selepas itu barulah saya tahu di Sarawak minuman ini dikenali sebagai ‘Teh C’ - ramuannya teh ais, susu sejat dan gula apong. Berbeza dengan minuman 3-layer yang biasa saya minum iaitu tanpa gula apong, rasa teh C lebih sedap berlemak.

King Laksa Sarawak
Laksa Sarawak dengan pilihan sotong.

King Laksa Sarawak
Mi kolok.

Alhamdulillah semuanya memuaskan selera.

Kalau kalian ke Kuching, bolehlah mencuba sendiri hidangan di sini. Terdapat tiga buah cawangan restoran King Laksa Sarawak - Kota Samarahan, ICOM Square dan Metrocity. Restoran yang kami pergi ni merupakan cawangan di Metrocity Matang, beroperasi setiap hari pukul 10 pagi - 9 malam kecuali hari Ahad beroperasi seawal pukul 9 pagi.


AMAMAS BOUTIQUE HOTEL
Malam terakhir di Kuching, kami menginap di Amamas Boutique Hotel. Hotel ini tiada bangunan sendiri, ia terletak di deretan bangunan kedai/pejabat. Agak sukar bagi kami nak mendapatkan ruang parkir berhampiran hotel.

Caj parkir dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Kami tiba di perkarangan hotel sudah pun lewat senja, jadinya tak perlu pamerkan kupon parkir di dashboard kereta. Tapi esok awal pagi kenalah bersegera membeli kupon untuk mengelakkan di saman.

Amamas Boutique Hotel Kuching
Alhamdulillah kami dapat bilik penginapan yang sangat selesa.

Siap ada alat penimbang! Bolehlah bermuhasabah diri πŸ˜†

Kadar harga bilik ini cuma RM113 - dapat katil saiz besar, bilik dengan keluasan memuaskan, bersih dan sangat selesa. Tak ada sebarang masalah.

Lega sungguh rasanya dapat berehat di bilik yang selesa begini setelah melalui hari yang memenatkan dan juga dengan keadaan kaki Encik Suami yang semakin bertambah sakit. Rawatan awal - sapu Counterpain cool gel, makan Panadol Extend for muscle & joint pain.

Malamnya kami tak keluar bilik, kaki Encik Suami perlu direhatkan. Esoknya hari terakhir kami di Kuching, segala aktiviti yang diatur bergantung kepada keadaan kesihatan kaki Encik Suami.







Sunday, 15 December 2024

Eksplorasi Gua | Fairy Cave Nature Reserve, Bau, Kuching

Menyambung kembali catatan trip ke Kuching, Sarawak pada bulan Mei lalu. Catatan terdahulu - Serangan Agresif Monyet dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba.

Selesai aktiviti eksplorasi hutan di Taman Negara Bako, saya dan Encik Suami bergerak menuju ke Bau untuk melakukan aktiviti eksplorasi gua di Gua Pari-Pari atau lebih dikenali sebagai Fairy Cave.

Antara tarikan lain yang terdapat di Bau - Gua Angin (Wind Cave), Tasik Biru dan Paku Rock Maze Garden. Dari jalan besar kita boleh nampak papan tanda untuk ke tempat-tempat tersebut. Tetapi dengan masa yang terhad, saya cuma boleh memilih satu tempat sahaja iaitu Fairy Cave.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Kami tiba di Fairy Cave Nature Reserve kira-kira pukul 2.30 petang. Risau juga jika kami terlewat sampai kerana waktu terakhir untuk masuk adalah pada pukul 3 petang dan waktu lawatan berakhir pada pukul 4 petang. Kalau tak dapat masuk kali ini, entah bila lagi kami akan datang ke sini.

Untuk masuk, cuma perlu bayar RM1 sahaja. Sebagai langkah keselamatan, pengunjung diwajibkan memakai kasut bersesuaian dan bawa lampu suluh sendiri. Bagi yang datang tak memakai kasut bersesuaian, boleh menyewa kasut di sini dengan caj sebanyak RM3. 

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Pengunjung perlu mendaki anak tangga setinggi empat tingkat sebelum tiba di pintu gua. Anggaplah ini latihan stamina sebab nanti dalam gua ada banyak lagi anak tangga perlu didaki πŸ˜„

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Tangga terakhir sebelum memasuki pintu gua.

Encik Suami sebenarnya sedang mengalami sakit kaki kiri dek terpelecok sewaktu menuruni laluan berbatu di hutan taman negara, tapi berdegil nak ikut sama masuk ke gua. Mungkin risaukan saya yang bersungguh nak masuk berseorangan.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Sebaik memasuki pintu gua, kita perlu mendaki anak tangga konkrit. Kemudian mendaki pula anak tangga besi untuk naik ke atas. Ruangan tangga ni gelap, memang sangat perlu cahaya lampu suluh. Masa inilah para pengunjung saling membantu - yang ada lampu suluh tolong suluhkan tangga besi untuk mereka yang tak bawa lampu. 

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Naik satu lagi tangga besi yang agak tinggi, barulah kita sampai di ruang gua. Fuh! Mencabar juga tau. Patutlah ada pengunjung yang tak meneruskan perjalanan, berpatah balik.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Teruja sungguh saya menyaksikan keunikan gua ini - ruang gua yang luas, dipenuhi dengan tumbuhan hijau dan pelbagai bentuk batu gua yang menarik di mata saya. Walaupun cukup teruja, tapi saya harus berhati-hati melangkah anak tangga tersedia - sebahagiannya licin berlumut dan licin kerana najis haiwan (mungkin kelawar dan burung).

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Terdapat lubang-lubang gua yang membolehkan cahaya matahari, udara dan air hujan masuk ke ruang gua. Jadinya gua ini tidaklah terlampau gelap secara keseluruhannya, tetapi ada tempat tertentu saja yang gelap dan perlu lampu suluh.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Sudut pandang dari tempat yang paling tinggi di dalam gua.

Masa ni ada seorang lelaki mat salih yang nampaknya lebih berusia daripada saya, sedang duduk di bangku dan memegang buku nota. Mungkin sedang membuat pemerhatian atau kajian berkenaan Fairy Cave - matanya memerhati sekitar dan tangannya mencatat sesuatu di buku nota. Eh, saya pun sedang buat pemerhatian juga. Bezanya, saya memerhati kemudian merekodkan dalam bentuk foto πŸ˜€

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Pandang bawah, nampak semua orang jadi kecil. Sila klik foto untuk paparan lebih jelas ya.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Perhatikan bentuk batuan yang bergerigi dan ada belahan di sisi. Unik sungguh kejadian alam ciptaan Allah.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Antara tumbuhan yang hidup subur di dalam gua. Sepanjang pengalaman saya melakukan aktiviti eksplorasi gua, ini pertama kali saya menyaksikan sebuah ruang gua luas yang dipenuhi tumbuhan - bagaikan sebuah taman yang tersembunyi. Cukup indah pada pandangan saya.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Terdapat tiga laluan dalam Fairy Cave - twilight trail, dark trail dan summit trail (perlu permit).

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Lubang gua yang menjadi sumber pencahayaan dan aliran udara dalam gua.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Keunikan pembentukan batuan di lantai gua.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Laluan ‘dark trail’ menuju ke ‘summit trail’. Laluan kecil ini sebenarnya sangat gelap. Saya tak meneruskan perjalanan sebab masa ni saya bersendirian, Encik Suami kena kurangkan berjalan jadi dia menunggu di bahagian bawah. Keadaan dalam gua juga semakin sepi, bila saya memandang sekitar barulah perasan bahawa tiada lagi pengunjung lain.

Fairy Cave Nature Reserve Kuching Sarawak
Perjalanan turun ke bawah. Ruangan yang ada tangga besi paling tinggi ini merupakan ruangan paling sejuk - seperti ada penyaman udara.

Video berdurasi 41 saat memaparkan suasana di dalam gua.

Sebaik kami sampai di bawah iaitu di kaunter tiket, barulah perasan jam sudah pun menghampiri pukul 4 petang. Petugas terus menutup pintu pagar menuju ke tangga dan menunjukkan kami paip untuk membasuh kotoran - tangan rasa melekit dan seluar terkena kotoran tanah. Punyalah asyik menikmati keindahan gua sampai saya terlupa tengok jam πŸ˜…

Alhamdulillah sempat juga masuk ke Fairy Cave walaupun tak dapat habiskan ‘dark trail’. InsyaAllah ada kesempatan saya akan kembali lagi. Menurut saya, kunjungan ke Fairy Cave sangat berbaloi dan menyeronokkan. Saya suka dengan suasana gua yang asli begini.







Thursday, 15 August 2024

Serangan Monyet Agresif dan Menunggu Bot Yang Tidak Kunjung Tiba



Sebaik keluar dari bilik penginapan, kelihatan sekumpulan babi berjanggut (bearded pig) sedang berkeliaran mencari makan di kawasan sekitar. Ada yang bersaiz besar dan ada yang bersaiz kecil. Pemandangan biasa di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Masa ni kami sedang berjalan menuju ke bangunan warna hijau untuk urusan daftar keluar. Terpaksa lalu dekat beberapa ekor babi yang sedang mencari makan berhampiran laluan pejalan kaki. Hapak sungguh baunya.

Selesai urusan daftar keluar, kami berjalan ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako. Semalam Encik Suami dah maklumkan kepada pengendali bot untuk ambil kami pada pukul 11 pagi. Bila tiba di jeti, pengendali bot maklumkan akan tiba lewat sedikit. Oklah.

Sementara menunggu, saya jalan-jalan memotret itu ini. Masa kami tiba semalam dalam keadaan hujan dan mendung, foto-foto jadi gelap dan tak menarik. Kali ini cuaca agak cerah, memang elok untuk merakam keindahan suasana di sini.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Foto di atas merupakan sudut pandang dari jeti menghadap sungai (tempat laluan bot keluar/masuk) dan sebuah jambatan konkrit menuju ke laluan hutan.

Perhatikan paras air sungai yang tidak begitu tinggi, tetapi masih sesuai untuk laluan bot membawa pengunjung keluar/masuk. Jika paras air surut, pengunjung perlu naik/turun bot di kawasan pantai berhadapan dengan bangunan Park HQ. Tiada jeti, jadinya kita kena melangkah masuk dalam air. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
MasyaAllah 😍 Panorama indah lautan dan Gunung Santubong. Foto dirakam dari atas jambatan.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Sebelah kiri tu jeti tempat kami menunggu bot. Masa ni cuma kami berdua sahaja yang sedang menunggu bot.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Deretan bot tanpa pengendali bersusun di sudut sungai.

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Detik masa terus berlalu dan bot yang ditunggu masih tak kunjung tiba. Tetapi yang tak ditunggu pula muncul di jeti - sekumpulan monyet. Mulanya cuma beberapa ekor monyet, datang memanjat pokok dan berjalan di jambatan. Tak ganggu kami.

Tiba-tiba, datang seekor monyet menghampiri tempat duduk kami. Saya bangun dari tempat duduk sebab dah mula rasa agak takut. Monyet tersebut semakin berani, duduk di tepi backpack besar kami. Encik Suami cuba menghalau tapi nampaknya monyet yang satu ni jenis melawan - berbunyi sambil membuka luas mulutnya dan menampakkan taring gigi. Ahh…sudah!

Si monyet bertindak lebih agresif, tangannya membuka zip bahagian utama backpack. Tapi gagal, mungkin sebab beg kami padat jadi sukar nak dibuka zipnya. Tak putus asa, si monyet cuba buka zip bahagian depan beg pula. Berjaya! Segera ditarik keluar isi beg - pek bungkusan kacang tanah yang kami beli sewaktu menaiki pesawat Firefly. 

Taman Negara Bako Kuching Sarawak
Terus dibawa lari ke atas.

Inilah si monyet yang agresif tu. Mujur kami dah makan sebahagian, cuma tinggal sebahagian saja lagi pek kecil kacang tanah yang menjadi rezeki si monyet. Satu persatu pek bungkusan kosong dicampak ke bawah.

Tak lama kemudian, datang pasangan mat salih. Lega sikit perasaan saya sebab ada orang lain di jeti. Kami berbual ringkas berkenaan hal si monyet.

Si monyet belum habis makan, datang pula sekumpulan monyet lain. Keadaan jadi ribut, masing-masing berebut baki bungkusan kacang tersebut. Mulanya berkejaran di atas, kemudian turun bergaduh sampai masuk kawasan berair - masa ni terselit jugak rasa lucu melihat monyet dalam keadaan basah.

Saya fikir, lepas habis makanan tersebut tidaklah kami diganggu lagi. Rupa-rupanya keadaan jadi bertambah menakutkan - kumpulan monyet tadi menghampiri dan berada di sekeliling kami berdua dan pasangan mat salih tadi. Nampaknya monyet-monyet ini cuba nak dapatkan makanan dari beg-beg kami. Suasana agak tegang, tapi tak mampu nak berbuat apa cuma berdoa segalanya segera berakhir. 

Mujurlah ada sebuah bot tiba. Saya sangkakan pengendali bot kami, tapi nampaknya ia bot yang akan membawa pasangan mat salih. Kecewa dan rasa geram dengan pengendali bot kami yang tidak kunjung tiba. Dalam keadaan terdesak kerana takut dengan ancaman monyet yang masih tak berganjak, saya minta dengan pakcik pengendali bot untuk naik bot sekali. Tapi katanya dia tak boleh izinkan sebab bot sudah dibayar khas untuk pasangan mat salih ni. Iyalah, sama macam kami dah bayar bot untuk berdua tapi botnya tak muncul. Pakcik pengendali bot kata, lelaki muda pengendali bot kami tadinya dilihat ada sedang minum di terminal. Jadinya tak pasti kenapa dia tak bergerak ambil kami seperti dijanjikan.

Memahami situasi kami, pasangan mat salih tadi ajak kami naik sekali. Sebaik saja saya naik bot, lelaki mat salih kata kepada saya “YOU’RE SAFE!”. Berkali-kali saya ucapkan terima kasih kepada mereka berdua. Terima kasih Allah yang telah membantu kami. Fuh lega!

Sampai saja di jeti Terminal Bako dan keluar dari bot, Encik Suami hulurkan wang nilai tambang bot kami kepada mereka. Kadar tambang RM100 satu bot sehala, kami naik empat orang jadinya RM25 seorang. Selepas itu Encik Suami terus ke kaunter syarikat bot untuk minta refund kerana bot tidak muncul selepas 45 minit dari masa dijanjikan, juga kami terpaksa naik bot lain bagi menyelamatkan diri dari serangan monyet.

Kami diminta menunggu seketika, staf kaunter sedang cuba menghubungi pengendali bot bagi mendapatkan kepastian. Sementara itu, kami duduk makan di sebuah gerai di terminal. Alhamdulillah sedap mi goreng ni, bagai mengubat perasaan saya yang baru terlepas dari dua hal yang tidak menyenangkan tadi.

Alhamdulillah, staf kaunter kembalikan wang kami sebanyak RM100. Tadi dah bayar RM50 kepada pasangan mat salih, jadinya kami jimat RM50 bagi tambang bot balik.

Antara hikmah yang diperolehi disebabkan dua hal tadi - kami dapat penjimatan RM50 tambang bot balik dan kami dapat pengalaman berhadapan dengan monyet agresif (menjadikan kami akan lebih berhati-hati selepas ini). Menerima kebaikan orang (pasangan mat salih) juga membuatkan saya sedar bahawa hidup perlu saling berbuat baik tak mengira bangsa dan agama. Bukanlah selama ini tak sedar, tapi berbeza rasa sedar apabila kita sendiri mengalami sesuatu peristiwa.

Catatan trip ke Taman Negara Bako, Kuching, Sarawak berakhir di sini. Serik? Oh tidak! Setiap yang berlaku menjadi pengalaman hidup buat mematangkan diri dan menjadikan kita manusia yang lebih baik insyaAllah. Keindahan alam dan kepelbagaian flora fauna di Taman Negara Bako begitu mengujakan! InsyaAllah ada rezeki saya akan kembali lagi, masih banyak laluan hutan yang belum sempat kami teroka dan nikmati suasananya.



Ke mana kami selepas ini? Kereta sewa kami dipandu menuju ke daerah Bau. Eksplorasi alam semula jadi Sarawak diteruskan.







Wednesday, 14 August 2024

Eksplorasi Hutan TNB | Laluan Teluk Delima



Sewaktu kunjungan kami ke Taman Negara Bako, terdapat tujuh laluan hutan (trail) yang dibuka kepada pengunjung (rujuk foto peta laluan hutan DI SINI) . Semalam petang kami sudah pun melakukan eksplorasi hutan laluan Teluk Pandan Besar, pagi ini kami memilih untuk ke Teluk Delima pula. Kami memilih laluan Teluk Delima disebabkan tempoh perjalanannya paling singkat. Kami tak boleh ambil masa lama sebab perlu daftar keluar penginapan selewat-lewatnya pukul 11 pagi dan sudah berjanji dengan orang bot untuk datang ambil kami.

Teluk Delima trail
Berbeza dengan laluan semalam (Teluk Pandan Besar) yang mana kami perlu menyeberangi sungai di jeti taman negara, laluan Teluk Delima terletak di bahagian belakang kawasan penginapan. Kami hanya perlu berjalan di atas platform kayu melewati kawasan penginapan sehingga masuk ke kawasan hutan.

Durian hantu Taman Negara Bako
Buah durian hantu.
Antara tumbuhan yang kami temui di kawasan hutan - pokok durian hantu. Bukan ‘hantu durian’ tau, itu lain. Ini memang namanya pokok durian hantu (nama saintifik : Coelostegia borneensis). Saya dimaklumkan, durian jenis ini tak boleh dimakan kerana tak ada isi. Maka sebab itu ia dipanggil durian hantu.

Tiba di suatu tempat, perjalanan kami terhenti. Bukan kami sahaja, tetapi para pengunjung lain semuanya berhenti. Rupa-rupanya ada sekumpulan monyet sedang menghalang laluan. Saya berbual ringkas dengan seorang pengunjung tempatan yang berada di hadapan saya. Menurutnya, guide mereka minta berhenti sebab kumpulan monyet tersebut agak agresif - bimbang menggigit dan berpotensi menyebarkan virus rabies yang boleh membawa maut.


LALUAN TELUK DELIMA
Permulaan laluan Teluk Delima terletak di sebelah kanan. Terdapat papan tanda arah tertera Teluk Delima dan Lintang, maksudnya bagi sesiapa yang nak ke Teluk Delima dan Lintang akan melalui laluan permulaan yang sama.

Teluk Delima trail
Permulaan laluan yang agak mencabar kerana perlu mendaki dengan memijak akar pokok yang berselirat di tanah. Cantik pula saya tengok rupa akar berselirat begini.

Teluk Delima trail
Warna dedaun di lantai hutan yang menarik perhatian saya.

Teluk Delima trail
Matahari pagi memancar lembut menerusi celahan pokok.

Teluk Delima trail
Kami tiba di satu persimpangan - ke kanan menuju laluan Teluk Delima, ke kiri menuju laluan Lintang. Perhatikan juga warna penanda arah, satu warna merah dan satu lagi warna biru putih. Sebelum tiba di simpang ini, pengunjung hanya nampak tanda warna merah (trail Lintang). Selepas ini barulah fokus melihat warna tanda arah biru putih (trail Teluk Delima).

Teluk Delima trail
Pantang jumpa batang pokok tumbang melintang di laluan, mesti rasa nak berhenti duduk πŸ˜„

Teluk Delima trail
Batu besar menambah keunikan laluan hutan di sini.

Kami tiba di penghujung laluan. Hati-hati, ada buaya! Terus mata saya melilau perhati sekeliling.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Pemandangan unik pokok-pokok di Teluk Delima.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Memikirkan amaran buaya, tak berani saya nak berjalan ke hujung sana. Cukuplah memerhati dari jauh.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Batu besar dengan bentuk unik.

Kami berada di sini cuma seketika. Kami segera berpatah balik sebab mengejar masa. Berdasarkan info, laluan Teluk Delima merupakan kawasan pemerhatian monyet belanda. Tapi kami gagal mengesan kelibat monyet belanda sepanjang berada di laluan Teluk Delima. Mujurlah tadi pagi dah berpeluang tengok dengan jelas, taklah rasa kecewa.

Teluk Delima Taman Negara Bako
Rekod aktiviti jungle trekking ke Teluk Delima.

Alhamdulillah dapat juga kami melakukan aktiviti eksplorasi hutan sebelum beredar dari Taman Negara Bako. Laluan Teluk Delima tak begitu sukar seperti laluan Teluk Pandan Besar atas faktor bentuk muka bumi dan jarak, tetapi ada cabarannya tersendiri.

Keluar dari hutan, kami balik ke bilik penginapan - bersihkan diri dan kemas barang untuk mendaftar keluar. Kemudian kami berjalan menuju ke jeti untuk menaiki bot kembali ke Terminal Bako.

Masa nak balik ni, terjadi dua hal yang tak menyenangkan. InsyaAllah catatannya di entri akan datang.