Catatan Hujung Minggu | Sabtu - Ahad, 17 - 18 Oktober 2026
Hujung minggu kali ini agak memenatkan kerana saya dan Encik Suami perlu bermusafir dari Perlis ke Kuala Lumpur (KL) dalam waktu yang singkat - pergi hari Sabtu dan balik hari Ahad.
Sempat saya memotret keindahan sang mentari pagi sebelum bergerak meninggalkan rumah Perlis. Matahari berwarna oren dan kelihatan besar. MasyaAllah indah alam ciptaan Tuhan.
Kami singgah di Sungai Petani, Kedah - ada urusan perlu diselesaikan di sini. Lama juga kami di sini dari pagi membawa ke petang. Sempatlah makan dua kali - sarapan di Hussain Nasi Kandar dan makan tengah hari di Secangkir Kopi.
Pukul 2 petang barulah kami menyambung perjalanan ke KL.
Keadaan hujan hampir di sepanjang perjalanan, kadang hujan biasa dan kadang sangat lebat sehingga menyukarkan pemanduan. Bila hujan begini, saya suka menikmati pemandangan bukit dan gunung yang dilitupi kabus.
Alhamdulillah kami selamat tiba di KL dan mendaftar masuk di STEG Hotel (nama baru - Boutech Hotels) kira-kira pukul 8.10 malam. Catatan lanjut berkenaan hotel ini di entri bulan lepas DI SINI.
Bilik penginapan kami kali ini terletak di aras 9 dengan pemandangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Cahaya lampu KLCC masih mampu menyerlahkan keindahannya di balik jerebu yang menyelubungi suasana.
Esok paginya kami sarapan di hotel. Kali ini tak perlu beratur panjang di bahagian telur kerana kami jadi antara orang terawal turun bersarapan.
Walaupun makanan di sini kurang sesuai dengan selera, tapi memudahkan kami yang perlu makan awal. Bolehlah buat perut rasa kenyang sebab saya jenis buka mata je terus nak cepat makan. Saya tak menambah makanan pun, hanya makan apa dalam pinggan saya tu jelah. Minuman teh tarik tu saya tambah sebab sedap dan tak manis sangat.
Pukul 7.30 pagi Encik Suami keluar ke tempat kerja. Saya duduk jelah dalam bilik berehat, tak minat nak berjalan-jalan. Kalau menginap di The Everly Putrajaya tu saya sukalah sebab boleh berjalan-jalan di taman rekreasi berhampiran.
Kira-kira pukul 1.40 petang, kami memulakan perjalanan untuk kembali ke utara tanah air. Singgah di Bangsar selesaikan sedikit urusan, kemudian menyambung perjalanan kira-kira pukul 3.30 petang.
Semasa di Bangsar, saya mula rasa tak sedap badan - kepala rasa berat dan dahi rasa panas. Terus telan sebiji paracetamol yang ada dalam beg tangan saya. Dalam perjalanan menuju ke utara, Encik Suami pula mula rasa tak sedap badan. Entah disebabkan jerebu atau badan kami keletihan dek permusafiran jauh dalam masa yang singkat.
Perjalanan menuju ke utara juga kurang lancar, hujan hampir di sepanjang perjalanan. Langit cepat gelap, kenderaan bergerak perlahan. Kami akhirnya buat keputusan singgah bermalam di Ipoh.
Alhamdulillah kami tiba di Hotel Casuarina, Meru pada waktu Maghrib. Dapatlah berehat satu malam sebelum meneruskan perjalanan esok pagi.








No comments:
Post a Comment
*****
Komen kalian, bicara antara kita 😊
Saya juga boleh dihubungi menerusi e-mel | halifa02@gmail.com
*****