Showing posts with label Taman Negara Pahang. Show all posts
Showing posts with label Taman Negara Pahang. Show all posts

Saturday, 4 April 2020

Flora di Taman Negara Pahang, Kuala Tahan

Hari ke-18 kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini bermaksud sudah 19 hari saya berkurung di rumah. Kali terakhir saya keluar adalah pada hari Isnin 16 Mac 2020, menemani suami ke Mersing atas urusan kerja.

Saya tak menghadapi masalah berkurung di rumah, sebab dah terbiasa. Cuma sesekali ada kerinduan pada suasana di hutan. Mujur sekali saya sempat menikmati hijau alam di Dabong, Kelantan dan kemudiannya di Taman Negara Pahang pada penghujung Februari. Terima kasih Allah atas segala kesempatan ini.

Bila tak dapat masuk hutan, membelek gambar pun sudah cukup memberi rasa gembira dan penawar seketika sementara PKP. Inilah gambar-gambar flora di Taman Negara Pahang yang menarik perhatian saya dan yang sempat saya ambil gambarnya...

1.

2.

3.

4.

5.

6.

7. Dedaun yang macam pokok semalu ni agak unik, mempunyai warna yang menarik - hijau kebiruan. Juga unik sebab daunnya mempunyai warna berbeza pada satu tangkai yang sama.


Alam semulajadi kelihatan seperti bisu dan kaku, tetapi tidak bagi sang pencintanya. Yang melihat setiap sudut alam itu sebagai satu keindahan dan kebahagiaan.


Thursday, 12 March 2020

Tebing Guest House, Kuala Tahan

Jika berkunjung ke Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, kita mempunyai banyak pilihan penginapan bergantung kepada bajet dan ciri-ciri keutamaan.

Kesemua penginapan ni berada di Kampung Kuala Tahan, kecuali Mutiara Resort (satu-satunya penginapan di dalam kawasan Taman Negara dan paling mahal).

Bagi saya dan suami, kami memilih untuk menginap di Tebing Guest House setelah membaca review baik mengenai tempat ini.

Pandangan hadapan Tebing Guest House, kemas dan menarik.

Penginapan ini dibuka pada Oktober 2016, kiranya masih agak baru. Tengok bahagian luar ni pun saya dah suka, nampak bersih dan landskap yang sedap mata memandang.

Bilik penginapan kami - Standard King Room berharga RM140/malam (buat tempahan di Agoda dan bayar masa sampai)Ruang bilik yang sederhana luas (muat untuk kami solat berjemaah) dan dengan dekorasi ringkas tapi menarik. Saya suka padanan warna yang digunakan. Paling utama bagi saya - kemas dan bersih!

Kemudahan membuat minuman panas disediakan. Malamnya kami berehat dalam bilik je sambil minum teh dan nescafe panas. Kalau nak lepak minum kat depan bilik (ada set kerusi meja) pun boleh.

Bilik airnya pun cukup memuaskan. Cuma satu masalah di sini - tekanan air di sinki dan salah satu paip di dinding yang sangat perlahan. Tapi ini bukanlah masalah besar bagi saya berbanding dengan rasa selesa sepanjang menginap di sini.


Subuh Yang Indah

Sewaktu bangun nak menunaikan solat Subuh, sambil menunggu giliran nak masuk bilik air...tergerak hati nak menjenguk langit di luar. Saya selak langsir dan membuka tingkap kaca bilik. Tepi bilik, ada tembok batu memang tak nampak sekitar. Saya dongak ke atas...Masya Allah, cantik sungguh langit gelap ditaburi bintang! Dengan pantas saya capai handphone...

Lepas solat Subuh, saya dan suami berjalan-jalan di luar kawasan penginapan. Menikmati suasana Subuh di kampung yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara. Masa ni langit dah bertukar kebiruan, cantik pulak pokok Kekabu ni berlatarkan langit kebiruan. 

----------------------------------------------------------

Walaupun harga bilik di sini saya dapati lebih tinggi berbanding penginapan lain di Kampung Kuala Tahan, saya rasa ianya sangat berbaloi dengan keselesaan menginap di sini. Sangat bersih dan lokasinya yang tak jauh dari jeti untuk ke Taman Negara (cuma perlu berjalan kaki beberapa minit melalui tepi sekolah). Staf pun baik melayan.


TEBING GUEST HOUSE
Jalan Sungai Deli, Kampung Kuala Tahan,
Jerantut, Pahang.
013-584 3476

Facebook : Tebing Guest House

Tuesday, 10 March 2020

Eksplorasi Hutan Taman Negara (Bahagian 2) | Bumbun Tahan

...sambungan dari catatan DI SINI.

Kami akhirnya memilih untuk kembali ke Kuala Tahan. Jam menghampiri pukul 3.50 petang, bimbang lewat sangat keluar hutan kalau kami memilih untuk meneruskan niat mendaki Bukit Teresek. Lagi pulak, macam dah tak larat je...haha!

Kuala Tahan 1.5 km. Bunyi macam dekat je kan? Tapi berjalan dalam hutan tak sama macam berjalan atas jalan rata. Lagi pulak macam saya ni sibuk memerhati sekeliling, ambil gambar itu ini. Ambil masa.

Laluan yang disediakan sangat memudahkan kita untuk melakukan aktiviti eksplorasi hutan. Kalau takde laluan ni, perjalanan tentu lebih sukar.

Sambil berjalan, kita belajar nama pokok. Memang tak boleh nak ingat, tapi sekurang-kurang taklah terasa asing bila dengar nama pokok Hujan Panas...eh, teringat nasi hujan panas sedapnya! Saya juga tertarik kat pokok sebelah tu, berselirat dengan akar (saya rasa tu akar).


BUMBUN TAHAN (TAHAN HIDE)

Cahaya mentari pukul 4.30 petang yang menembusi hingga ke lantai hutan, menghasilkan satu pemandangan yang indah di mata saya. Dari sini, kami menuju laluan ke Bumbun Tahan (Tahan Hide).

Laluan simen menuju ke Bumbun Tahan.

Inilah Bumbun Tahan, iaitu sebuah menara pemerhati untuk kita memerhati hidupan liar di hutan ini. Terdapat beberapa lagi bumbun di sini, tetapi Bumbun Tahan merupakan yang paling dekat dari Park Centre (HQ) dan mudah kita kunjungi.

Tingkat 1 Bumbun Tahan. Boleh bermalam di sini dengan bayaran RM5/malam, sebab waktu malam lebih sesuai untuk memerhati haiwan liar yang aktif berkeliaran di hutan.

Do's and Don'ts bagi pengunjung di Bumbun Tahan. Senyap tu penting! Kami berdua cakap berbisik-bisik je tau, dengan harapan muncul haiwan kat bawah tu..hehe.

Info mengenai Bumbun Tahan dan apa itu jenut (salt lick).

Di tingkat 2 bumbun, ada disediakan bangku panjang untuk kita memerhati bawah ke arah padang ragut dan jenut. Kami duduk di sini sambil memerhati ke bawah...

Padang ragut.

Jenut jenis tanah di bahagian tengah padang ragut. Jenut jenis tanah adalah tanah yang mengandungi garam galian yang berfaedah untuk kesihatan hidupan liar. Hidupan liar akan datang sini untuk menjilat tanah tersebut.

Sedang kami asyik perhati kawasan padang dan jenut ni, kami mendengar bunyi yang asing dari bahagian belakang bumbun (kawasan hutan). Perlahan-lahan kami bergerak ke bahagian belakang dan menukar fokus pemerhatian kami.

Kami nampak si cantik manis Merak Pongsu ni di lantai hutan! Seekor burung saiz sederhana besar dengan rupa yang menawan. Burung Merak ni kelihatan sedang mencari makan dengan mematuk-matuk tanah. Alhamdulillah...ada la jugak hasil kami duduk memerhati di bumbun ni.

Setelah agak lama memerhati, burung Merak ni pun akhirnya menghilang dibalik rimbunan pokok hutan, kami pun bergerak meninggalkan bumbun.

Eksplorasi diteruskan...

Pokok dengan tag nama Pupoi ( Sarcotheca griffithii ) , unik batang pokoknya berkeluk. 

Simpulan-simpulan (entah batang atau akar pokok) yang menarik perhatian saya. Semacam satu seni yang indah!

------------------------------------------------------------
Alhamdulillah....

Kami akhirnya selamat keluar dari kawasan hutan sekitar pukul 5.10 petang. Masuk melalui laluan berhampiran Mutiara Resort, dan keluar melalui laluan berhampiran Park Centre (HQ). Total masa eksplorasi adalah sekitar 3 jam untuk jarak sekitar 4 km.

Sepanjang eksplorasi hutan, cuma sesekali kami berselisih dengan pengunjung lain. Hampir kesemuanya pengunjung luar negara, samada solo atau berdua. Mungkin sebab kami masuk waktu petang, bukan waktu pilihan ramai. Ini menjadikan keadaan lebih seronok bagi saya untuk menikmati suasana hutan, takde gangguan suara manusia berborak dan lebih peluang untuk melihat hidupan hutan berkeliaran.

Ada satu ketika, kumpulan burung (saiz sederhana besar seperti burung Merak yang kami temui di Bumbun Tahan) sekitar 5-6 ekor melintas di hadapan kami. Badannya berwarna hitam dan terdapat tompokan warna putih di kepala. Laju je kesemuanya berlari dan terbang rendah, lalu menghilang di balik hutan. Tak sempat saya nak ambil gambar.

Ada rezeki, teringin jugak nak melakukan eksplorasi hutan ke kawasan lain di Taman Negara ni. Kawasan Taman Negara sangat luas, dan ada pelbagai pilihan rintis untuk kita cuba. Kos pun masih murah dan lengkap dengan kemudahan yang baik.

Video berdurasi 47 saat.

Untuk anda yang gemarkan suasana kehijauan hutan dan ingin menikmati bunyi orkestra hutan, berkunjunglah ke Taman Negara Pahang, Kuala Tahan. Nikmatilah keindahan hutan khazanah negara kita!

Tuesday, 3 March 2020

Berhujung Minggu Di Taman Negara, Kuala Tahan

Sabtu | 29.02.2020

(mencipta memori pada tarikh 29 Februari yang muncul 4 tahun sekali...hehee)

Kunjungan kali kedua saya ke Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Kali pertama pada tahun 2013, juga pada bulan Februari. Jika 7 tahun lalu saya gagal menaiki Canopy Walkway (Titian Silara) di Taman Negara, Alhamdulillah untuk kunjungan kali ini ada rezeki buat saya.

Saya dan suami bergerak ke Taman Negara bukan dari rumah kami di Negeri Sembilan, tetapi dari Temerloh (suami ada kerja di situ). Dengan yakinnya kami tak gunakan GPS, atas alasan tahu jalan (pada Februari 2019 kami ke Red Forest yang terletak di jalan yang sama menuju ke Taman Negara). 

Tapi...bila dah asyik berborak laki bini, sampai tak perasan dah terlepas simpang ke Kuala Tahan. Tersedar bila perasan nama tempat dan jalan yang dilalui terasa asing. Bila on Google Maps, memang sah dah terlajak jauh! Kenalah berpatah balik dan dah terbuang masa kat situ.

Ok, ni dah berada di jalan yang betul. Kami masuk simpang menuju ke Kuala Tahan tadi sekitar pukul 11.45 pagi. Beginilah rupa laluan ke Taman Negara, berkelok-kelok dan turun naik.

Alhamdulillah kami sampai di Kuala Tahan sekitar pukul 12.50 tengah hari. Dah lapar sangat...terus menuju ke kedai makan di hadapan sekolah.

Kami ambil nasi yang siap dibungkus bersama lauk ayam. Ada pilihan ayam goreng, ayam masak lemak, ayam kicap. Walaupun ringkas, tapi terasa sedap dan menyelerakan. Harga makan tengahari kami ni RM10. Masa tengah makan ni nak tergelak dengar mat salih meja sebelah sebut order 'nasi ayam kick up' (merujuk kepada nasi ayam kicap).

Selesai makan, kami terus ke penginapan di Tebing Guesthouse yang dah ditempah awal. Masa ni saya dah mula risau takut tak sempat naik Canopy Walkway yang beroperasi sampai pukul 3 petang je. Disebabkan dah masuk waktu Zohor, kami masuk bilik terus solat dan kemudian keluar dan bergegas jalan kaki ke jeti. Jalan kaki lebih cepat, dekat dan mudah sebab ada jalan potong.

Sebelum turun ke bawah untuk menyeberangi sungai, kami mencari tempat beli permit di lokasi seperti 7 tahun lalu. Tapi dah takde. Bila tanya orang, rupanya permit perlu dibeli di dalam kawasan Taman Negara (lepas menyeberangi sungai). 

Pemandangan dari atas, kena turun tangga. Di seberang sungai sana kawasan Taman Negara, yang juga menempatkan Mutiara Taman Negara (satu-satunya resort yang beroperasi dalam Taman Negara).

Untuk ke seberang sana, bayaran RM1/hala. Perkhidmatan bermula dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam. Tiada masa tertentu untuk bot jalan dan tak perlu menunggu, kami datang dan terus naik bot.

Walaupun sekejap je naik bot sekadar nak ke seberang, tapi saya tetap rasa seronok dan teruja.

Dah sampai ke Taman Negara, kena mendaki anak tangga naik ke atas. Beginilah pemandangan dari atas. Menarik!

Kami menuju ke Park Centre yang dikendalikan oleh Jabatan Perhilitan untuk membayar permit dan membeli tiket menaiki Canopy Walkway.

Permit masuk masih RM1, walaupun pada hujung tahun lalu ada diwar-warkan kenaikan permit kepada RM30. Menurut staf kaunter, keputusan tu sedang dikaji semula. Jadinya buat masa sekarang permit masih kekal RM1. Kami juga membayar untuk lesen kamera RM5 (termasuklah menggunakan kamera pada handphone). Tiket Canopy Walkway RM5.

Permit masuk, lesen kamera dan tiket Canopy Walkway. Permit dan lesen sah bagi tempoh 30 hari.

Apa yang menarik kat Taman Negara ni? Inilah dia...banyak!

Peta Rintis Teresek - laluan yang paling sesuai dan mudah untuk kami bergerak tanpa bantuan guide. Kami akan bermula dari no.1 Park Centre dan terus menuju ke no.7 Canopy Walkway. Menuruf staf kaunter tadi, perjalanan mengambil masa sekitar 40 minit untuk kami ke Canopy Walkway yang terletak 1.9 km dari Park Centre. Jika kami terus ke sana, Insya Allah sempat sebelum Canopy Walkway tutup pada pukul 3 petang. Kami mula bergerak pada pukul 2.17 petang. Saya berserah kepada Allah...kot tak sempat, terpaksalah datang esok pagi pulak (ada sebab saya nak mengelak datang pagi).

Sempat atau tak kami mengejar masa sebelum pukul 3 petang? Bersambung catatan seterusnya... 


Video amatur saya..

Monday, 25 February 2013

TAMAN NEGARA : Merealisasi Impian!

(Sebuah catatan untuk perkongsian pengalaman dan panduan korang)

23 Feb. 2013 (Sabtu)

Seawal jam 7.25pagi saya dan suami bergerak menuju destinasi - TAMAN NEGARA, KUALA TAHAN, PAHANG. Sebagai penggemar alam semulajadi, Taman Negara (hutan hujan terbesar dan tertua di dunia) sememangnya antara destinasi impian saya sekian lama. Persiapan mencari info dan membeli beberapa keperluan dah pun dibuat lebih awal. Termasuklah memerhatikan ramalan cuaca untuk Kuala Tahan. 

Sebenarnya kalau ikut ramalan cuaca, ini bukanlah masa terbaik. Tapi atas faktor lain yang perlu diambil kira, kami teruskan juga rancangan untuk ke sana pada 23 & 24 Februari 2013. Kesannya, ada aktiviti yang tak dapat kami lakukan (akan diceritakan dalam entri akan datang). Dalam perjalanan ke Kuala Tahan, kami singgah ke Gua Kota Gelanggi untuk mendapatkan info. Ikut plan kami akan ke sini untuk aktiviti caving selepas balik dari Taman Negara.

CARA KE SANA? Kami melalui Lebuhraya Karak, masuk Lebuhraya Pantai Timur dan kemudian pilih susur keluar Temerloh. Dari plaza tol Temerloh, ambil ke kanan (ada signboard ke Taman Negara). Perjalanan dari situ ke destinasi mengambil masa sekitar 1jam 50minit (berdasarkan pemanduan kami sendiri). Perjalanan agak mencabar bermula dari laluan felda sehingga ke Taman Negara, atas faktor bentuk muka buminya (berselekoh tajam, berbukit-bukit) dan jalannya yang kecil. Kena berhati-hati juga kerana kadangkala ada jalan yang rosak (berlubang, tak rata).


Kalau dah nampak lampu jalan yang cantik tu, tandanya kita dah hampir dengan kawasan Taman Negara. Kami tiba dah pun tengahari. Perkara pertama kami lakukan adalah mencari tempat penginapan. 


MAHSEER CHALET
Disebabkan kami ke sana dengan bajet rendah, kami memilih Mahseer Chalet untuk penginapan satu malam di Kuala Tahan ni. Chalet ni saya pilih setelah membaca review para pelancong lain. Kami memilih chalet berharga RM90 (harga sebenar dipaparkan RM100). 



Inilah bilik penginapan kami. Staf yang bertugas siap offer kami tengok bilik dulu sebelum bersetuju. Bersih dan dengan kemudahan minima. Ada air-cond dan water heater. Tapi tiada TV di sini ya. Untuk info, chalet ni dulunya dikenali sebagai Aki Chalet. Dan sejak hujung tahun 2012 ia berada di bawah pengurusan baru. Sebab itu kami dapat katil, tilam dan bantal baru. Luasnya pun okey, masih muat untuk kita solat. Satu-satunya perkara yang tak menyenangkan adalah air di bilik airnya yang berbau tak sedap (tapi air masih berwarna jernih). Kalau nak basuh muka tu memang kena tahan nafas sikitlah. Untuk berkumur saya guna bekalan air masak yang dibawa. 

Kelebihan tinggal di sini, lokasinya yang sangat dekat dengan jeti Kuala Tahan. Cuma perlu berjalan kaki 2-3 minit sahaja melalui celah-celah rumah penduduk dan sekolah. Untuk laluan kereta, lain jalannya tau. Bagi yang berminat nak tinggal kat sini, chalet ni terletak di belakang sekolah rendah. Untuk kereta, masuk ikut jalan tadika KEMAS. Mahseer Chalet boleh dihubungi melalui Fb atau 019-383 2633.

Kalau nak yang paling selesa (paling mahal tentunya), korang boleh pilih Mutiara Taman Negara. Satu-satunya resort yang beroperasi di dalam Taman Negara. Yang lain-lain ni beroperasi di Kg. Kuala Tahan. Ada banyak pilihan, dengan pelbagai harga dan lokasi. Cuma kena rajin buat carian kat internet dan baca review orang lain yang mungkin berguna.

............bersambung.............